Anggriani sempat mengeluh melihat atap zink yang berkarat sedikit itu. Kalau Anggriani bekerja nanti, pasti semua atap zink yang berkarat itu ditukar.
Cerita tentang atap zink berkarat ditutup. Sebiji nangka muda
Anggriani keluarkan dari bawah sinki, kemudian dialas dengan kertas supaya
getahnya tidak menitis di lantai. Pisau turut diraih lantas kulit nangka muda
itu mula dikupas.
"Poster Rayhan mana? Kau ambil, kan?"
Gerakan tangan Anggriani terhenti, suara dari ruang tamu
begitu kuat. Nampaknya, dua adik kesayangan Anggriani ‘berperang’ lagi.
"Sorry sikit.
Afnan tak simpan la poster macam tu. Buang masa."
"Habis, mana poster tu? Petang tadi kau yang pegang
poster tu, kan?"
Anis masih juga dengan telahannya. Masih juga berkeras bahawa
Afnan yang mengambil poster Rayhannya yang tersayang.
“Memang pegang, tapi selepas tu Afnan letak semula dekat
tempat asal poster tu. Afnan tak luak la setakat poster artis Malaysia ni.
Lebih baik Afnan simpan poster Transformer.”
“Masalahnya sekarang, poster tu dah hilang. Takkan poster tu
ada kaki dan lepas tu menyorok.”
Anggriani memanjangkan leher. Kalau setiap hari pun bergegar
begini, boleh pekak telinga Anggriani.
"Anis, perlahankan sikit suara tu. Ingat sikit, kita ada
jiran. Lagipun kak long tengah berehat tu.”
"Afnan ni, dia sorok poster Rayhan. Bukan senang Anis
nak dapat poster Rayhan tu, kak ngah."
Poster Rayhan? Siapa tu? Sebab Anggriani tak kenal langsung
ni.
"Afnan tak ambillah poster tu. Buat apa Afnan nak simpan
poster artis lelaki. Kak Anis ni kalau nak tuduh pun, agak-agaklah."
Okey, Rayhan tu artis. Tetapi maaflah, sebab Anggriani tetap
juga tak kenal.
"Kalau kau tak ambil, siapa lagi yang ambil?"
Bebelan Anis masih panjang. Bersungguh benar Anis mahukan
poster Rayhannya semula.
"Sudahlah tu. Takkan perkara kecil pun nak bergaduh.
Tolak ansur sikit."
Begitu kata nasihat Anggriani. Jari tangannya kembali lincah mengupas
kulit nangka muda tadi.
Anis datang ke ruang tamu, air mukanya nampak begitu sedih
sekali.
"Poster tu Anis beli, bukan dapat percuma. Mahal Anis
beli sebab poster tu poster edisi terhad."
Fasal poster pun Anis boleh sedih begini. Entah apalah hebat
sangat dengan si Rayhan tu.
"Kak ngah!"
Mujurlah pisau di tangan Anggriani tidak terlepas jatuh.
Suara Anis jelas kuat. Anis juga sudah berada di sisi Anggriani. Mata Anis
terbuka luas.
“Kenapa?”
"Poster tu,” jawab Anis, lengkap dengan muka hampir
hendak menangis.
"Poster?" ulang Anggriani, lengkap juga dengan muka
tidak tahu apa-apanya.
"Ni poster Rayhan! Sampai hati kak ngah alas nangka ni
guna poster Rayhan. Lihatlah ni, habis muka Rayhan kena getah nangka."
Anggriani menelan liur. Manalah Anggriani tahu itu poster
Rayhan. Anggriani bukan kenal dengan mana-mana artis. Berita hiburan pun,
setahun sekali baru Anggriani baca.
"Kalau Rayhan tahu kak ngah tepek getah nangka dekat
muka dia, kak ngah boleh disaman. Kalau kak ngah tak mampu nak bayar saman tu,
mesti kak ngah masuk penjara."
Mulut Anis tidak bertapis langsung. Hanya disebabkan poster
artis yang entah apa-apa, macam-macam ayat yang tidak sedap didengar Anis
lontarkan.
“Getah nangka saja pun. Kalau kak ngah nak pijak-pijak muka
dia dalam poster ni, bukan dia tahu.”
Turun naik nafas Anis menahan rasa geram.
“Esok kak ngah guna poster ni buat bungkus belacan,” sambung
Anggriani. Sengaja sungguh menjolok sarang tebuan. Biarlah Anis merajuk.
Anggriani juga merajuk. Anis lebihkan Rayhan daripada kakak sendiri.
“Kak ngah jahat!”
Memang Anggriani jahat kalau hal-hal lebihkan orang lain
berbanding keluarga sendiri.
Mulut Anggriani masih mengomel itu dan ini ketika dia mula
mahu menutup tingkap dapur. Baru saja dia bangun mahu menuju ke tingkap, ada
bayangan hitam yang Anggriani lihat susup-sasap melarikan diri.
“Mak!” jerit Anggriani bagaikan orang gila. Cukup untuk
membuat Afnan dan Anis berlari ke dapur.
“Kenapa, kak ngah?”
Afnan yang lebih dulu bersuara. Afnan juga telah berdiri di
sisi Anggriani yang pucat lesi wajahnya.
“Kak ngah macam nampak kelibat orang tadi. Dia lari menyorok
belakang tong sampah besar tu,” jelas
Anggriani sambil tangannya yang masih memegang bungkusan nangka, dihalakan ke
luar tingkap.
Tidak perlu menunggu cerita selanjutnya, Afnan telah membuka
pintu dapur. Afnan juga telah berlari menuju arah tong sampah besar yang
Anggriani sebut. Selepas itu, terdengar suara Afnan saling bertingkah dengan
suara seorang lelaki. Pasti milik kelibat yang Anggriani lihat tadi.
“Afnan,” panggil Anggriani. Masih terkejut sebenarnya dengan
tindak balas diluar jangkaan Afnan. Kalau jadi apa-apa pada Afnan, Anggriani
yang salah.
“Orang ni, dah dua hari Afnan perasan dia mengendap rumah
kita,” beritahu Afnan sambil menarik ‘orang ni’ yang dimaksudkannya.
Sorotan Anggriani melurut jatuh pada ‘orang ni’ yang
dimaksudkan oleh Afnan. ‘Orang ni’ itu memakai topi
ala-ala topi yang Bruno Mars selalu pakai. Seluar jeans ketat warna hitam.
Gayanya dilengkapkan dengan cermin mata, juga berwarna hitam. Malam-malam
begini pun, bercermin mata hitam juga ya?
“Dia nak mencuri ni,” tegas Afnan lagi.
“Saya bukan pencuri!”
“Banyak cekadak pula.
Kalau kau bukan nak mencuri, yang kau mengendap dua hari berturut-turut tu
kenapa? Atau kau nak mengendap kakak-kakak aku?”
Terserlah aura anak jantan Afnan. Afnan si bongsu yang selalu
jadi mangsa buli Anis, rupa-rupanya sangat berwibawa dalam keadaan cemas
begini.
Tiada jawapan daripada ‘orang ni’ tersebut. Sebaliknya dia
mengeluh berat. Paling aneh, sorotannya singgah melihat anak dara arwah Pak Cik
Adnan. Cuma dia seperti terkejut ketika melihat Anggriani. Dan rasa terkejut
itu berganti rasa tidak puas hati melihat bungkusan nangka yang berada di
tangan Anggriani. Bergerak-gerak rahangnya, gaya orang sedang marah.
“Jadi betullah kau datang sini sebab nak mengendap kakak-kakak
aku?”
Makin kuat saja cengkaman tangan Afnan pada kolar baju ‘orang ni’
tersebut. Meskipun ‘orang ni’ itunampak jauh lebih gagah berbanding Afnan
sendiri, ‘orang ni’ itu tidak melawan.
“Aku tanya ni, yang kau diam tu kenapa? Sebelum muka kau pecah,
baik kau buka mulut sekarang.”
“Afnan,” panggil Anggriani. Risau juga melihat cara Afnan mengugut
dan mencengkam kemas kolar baju ‘orang ni’ tersebut.
“Kalau ada apa, boleh bincang dulu. Jangan gunakan kekasaran,”
sambung Anggriani.
“Masalahnya kak ngah, dia ni jenis manusia tak faham bahasa.
Dari tadi Afnan cuba nak berbincang, tapi dia diam. Dia ingat kalau dia diam,
Afnan nak lepaskan dia. Jangan harap! Silap hari bulan, Afnan pecahkan muka
dia. Dengan cermin mata hitam dia ni Afnan pecahkan.”
Anggriani menghampiri Afnan. Berdiri di sisi Afnan, menyorot
‘orang ni’ tersebut dengan harapan ‘orang ni’ itu memberi kerjasama yang
sepatutnya.
“Tadi awak kata awak bukan pencuri. Kalau betul awak bukan
pencuri, kenapa datang ke sini? Awak nak apa?”
Anggriani memilih untuk berdiplomasi. Malangnya ‘orang ni’
tersebut hanya melihat Anggriani tanpa jiwa dan tanpa jawapan. Sesaat kemudian,
dengan mudah cengkaman tangan Afnan dileraikan. Afnan pula yang
terhuyung-hayang.
“Kau nak ke mana tu?”
Sekali lagi Afnan cuba untuk mencengkam kolar baju ‘orang ni’
tersebut. Cuma kali ini Afnan gagal. Malah tangan Afnan telah ditepis. Spontan
tangan Afnan kembali naik. Tidak lagi memegang kolar baju, sebaliknya singgah
pada pipi kiri ‘orang ni’ tersebut.
“Afnan!”
Terkejut sungguh Anggriani. Entah sejak bila Kak Long Ariana
berada di belakangnya. Rasa terkejut itu bertambah dalam ketika Kak Long Ariana
telah berdiri ditengah-tengah antara ‘orang ni’ itu dengan Afnan.
“Minta maaf, adik saya tak sengaja. Saya harap awak tak
laporkan hal ni pada pihak polis.”
Kak Long Ariana menundukkan sedikit kepalanya, gaya sedang
merayu.
“Kak long…”
“Diam, Afnan. Kali ni Afnan salah,” potong Kak Long Ariana.
“Tapi kak long…”
“Masuk rumah sekarang,” pinta Kak Long Ariana.
“Kak long tak adil!” gerutu Afnan lantas mula memasuki rumah.
“Anggriani dengan Anis, kamu berdua pun masuk. Biar kak long
yang selesaikan hal ni.”
Anggriani sedikit teragak-agak. Wajahnya resah bukan main
mahu meninggalkan Kak Long Ariana dengan ‘orang ni’ tersebut.
“Kak long okey, Anggriani. Masuklah. Kak long takkan lama.”
Barulah Anggriani mengalah. Itupun dengan hati yang tidak
tenang. Pada akhirnya, Angriani memilih untuk mengendap di sebalik pintu.
“Kalau adik saya dimaafkan, baliklah.”
Itu ayat yang Anggriani dengar dengan jelas.
“Saya mohon, jangan datang ke sini lagi. Saya tak nak orang
lain nampak awak ke sini. Saya tak nak hal kita jadi isu.”
Jujur, ada debaran yang datang mendengar setiap bait ayat Kak
Long Ariana. Kak Long Ariana kenal ‘orang ni’ tersebut. Maksudnya, ‘orang ni’
itu ke sini sebab Kak Long Ariana.
“Kalau awak diam begini, saya anggap adik saya telah
dimaafkan.”
Kak Long Ariana telah meninggalkan ‘orang ni’ itu. Kemudian
pintu terus ditutup. Sempat menangkap basah Anggriani yang sedang mengendap.
“Maaf, kak long. Anggriani tak sedap hati tadi. Sebab tu
Anggriani pilih curi dengar perbualan kak long dengan lelaki tu.”
Sorotan Kak Long Ariana nampak sangat kelam.
“Kawan kak long ke?”
Sorotan Kak Long Ariana tambah kelam saja. Kelam yang sangat
kelam. Paling aneh bila mata Kak Long Ariana mulai berkaca.
“Kak long,” panggil Anggriani terus. Ada banyak tanda soal
dalam kepalanya. Malangnya Kak Long Ariana pilih untuk tidak membuang semua
tanda soal tersebut.
“Kak long nak rehat. Kak long penat sangat hari ni.”
Kak long yang tabah, ada apa sebenarnya? Kenapa berahsia
begini? Anggriani nak lihat kak long bahagia, bukan berwajah kelam seperti
tadi. Ceritalah kak long. Ceritalah pada Anggriani.
Cerita yang menunggu Anggriani hanya cerita Kak Long Ariana
menutup pintu bilik rapat-rapat. Menutup semua cerita tentang ‘orang ni’ itu terus. - B.E.R.S.A.M.B.U.N.G
#tungguversicetak
ceritanaya sangat menarik gan.,mantap deh pokoknya...
ReplyDeleteblog ini sangat bermanfaat gan...
salam kenal gan...