Showing posts with label LDA. Show all posts
Showing posts with label LDA. Show all posts

Thursday, 6 August 2015

#Bab02 ~ Lain Dunia

RUMAH kayu dengan atap zink yang sudah agak berkarat sedikit itu sepi. Kalau hujan, memang menitis juga air hujan membasahi lantai rumah. Terutamanya di bahagian dapur. Bukan tidak mahu dibaiki, cuma kos membaikinya digunakan untuk hal-hal yang lebih penting.

Anggriani sempat mengeluh melihat atap zink yang berkarat sedikit itu. Kalau Anggriani bekerja nanti, pasti semua atap zink yang berkarat itu ditukar.

Cerita tentang atap zink berkarat ditutup. Sebiji nangka muda Anggriani keluarkan dari bawah sinki, kemudian dialas dengan kertas supaya getahnya tidak menitis di lantai. Pisau turut diraih lantas kulit nangka muda itu mula dikupas.

"Poster Rayhan mana? Kau ambil, kan?"

Gerakan tangan Anggriani terhenti, suara dari ruang tamu begitu kuat. Nampaknya, dua adik kesayangan Anggriani ‘berperang’ lagi.

"Sorry sikit. Afnan tak simpan la poster macam tu. Buang masa."

"Habis, mana poster tu? Petang tadi kau yang pegang poster tu, kan?"

Anis masih juga dengan telahannya. Masih juga berkeras bahawa Afnan yang mengambil poster Rayhannya yang tersayang.

“Memang pegang, tapi selepas tu Afnan letak semula dekat tempat asal poster tu. Afnan tak luak la setakat poster artis Malaysia ni. Lebih baik Afnan simpan poster Transformer.”

“Masalahnya sekarang, poster tu dah hilang. Takkan poster tu ada kaki dan lepas tu menyorok.”

Anggriani memanjangkan leher. Kalau setiap hari pun bergegar begini, boleh pekak telinga Anggriani.

"Anis, perlahankan sikit suara tu. Ingat sikit, kita ada jiran. Lagipun kak long tengah berehat tu.”

"Afnan ni, dia sorok poster Rayhan. Bukan senang Anis nak dapat poster Rayhan tu, kak ngah."

Poster Rayhan? Siapa tu? Sebab Anggriani tak kenal langsung ni.

"Afnan tak ambillah poster tu. Buat apa Afnan nak simpan poster artis lelaki. Kak Anis ni kalau nak tuduh pun, agak-agaklah."

Okey, Rayhan tu artis. Tetapi maaflah, sebab Anggriani tetap juga tak kenal.

"Kalau kau tak ambil, siapa lagi yang ambil?"

Bebelan Anis masih panjang. Bersungguh benar Anis mahukan poster Rayhannya semula.
"Sudahlah tu. Takkan perkara kecil pun nak bergaduh. Tolak ansur sikit."

Begitu kata nasihat Anggriani. Jari tangannya kembali lincah mengupas kulit nangka muda tadi.

Anis datang ke ruang tamu, air mukanya nampak begitu sedih sekali.

"Poster tu Anis beli, bukan dapat percuma. Mahal Anis beli sebab poster tu poster edisi terhad."

Fasal poster pun Anis boleh sedih begini. Entah apalah hebat sangat dengan si Rayhan tu.

"Kak ngah!"

Mujurlah pisau di tangan Anggriani tidak terlepas jatuh. Suara Anis jelas kuat. Anis juga sudah berada di sisi Anggriani. Mata Anis terbuka luas.

“Kenapa?”

"Poster tu,” jawab Anis, lengkap dengan muka hampir hendak menangis.

"Poster?" ulang Anggriani, lengkap juga dengan muka tidak tahu apa-apanya.

"Ni poster Rayhan! Sampai hati kak ngah alas nangka ni guna poster Rayhan. Lihatlah ni, habis muka Rayhan kena getah nangka."

Anggriani menelan liur. Manalah Anggriani tahu itu poster Rayhan. Anggriani bukan kenal dengan mana-mana artis. Berita hiburan pun, setahun sekali baru Anggriani baca.

"Kalau Rayhan tahu kak ngah tepek getah nangka dekat muka dia, kak ngah boleh disaman. Kalau kak ngah tak mampu nak bayar saman tu, mesti kak ngah masuk penjara."

Mulut Anis tidak bertapis langsung. Hanya disebabkan poster artis yang entah apa-apa, macam-macam ayat yang tidak sedap didengar Anis lontarkan.

“Getah nangka saja pun. Kalau kak ngah nak pijak-pijak muka dia dalam poster ni, bukan dia tahu.”

Turun naik nafas Anis menahan rasa geram.

“Esok kak ngah guna poster ni buat bungkus belacan,” sambung Anggriani. Sengaja sungguh menjolok sarang tebuan. Biarlah Anis merajuk. Anggriani juga merajuk. Anis lebihkan Rayhan daripada kakak sendiri.

“Kak ngah jahat!”

Memang Anggriani jahat kalau hal-hal lebihkan orang lain berbanding keluarga sendiri.
Mulut Anggriani masih mengomel itu dan ini ketika dia mula mahu menutup tingkap dapur. Baru saja dia bangun mahu menuju ke tingkap, ada bayangan hitam yang Anggriani lihat susup-sasap melarikan diri.

“Mak!” jerit Anggriani bagaikan orang gila. Cukup untuk membuat Afnan dan Anis berlari ke dapur.

“Kenapa, kak ngah?”

Afnan yang lebih dulu bersuara. Afnan juga telah berdiri di sisi Anggriani yang pucat lesi wajahnya.

“Kak ngah macam nampak kelibat orang tadi. Dia lari menyorok belakang tong sampah besar  tu,” jelas Anggriani sambil tangannya yang masih memegang bungkusan nangka, dihalakan ke luar tingkap.

Tidak perlu menunggu cerita selanjutnya, Afnan telah membuka pintu dapur. Afnan juga telah berlari menuju arah tong sampah besar yang Anggriani sebut. Selepas itu, terdengar suara Afnan saling bertingkah dengan suara seorang lelaki. Pasti milik kelibat yang Anggriani lihat tadi.

“Afnan,” panggil Anggriani. Masih terkejut sebenarnya dengan tindak balas diluar jangkaan Afnan. Kalau jadi apa-apa pada Afnan, Anggriani yang salah. 

“Orang ni, dah dua hari Afnan perasan dia mengendap rumah kita,” beritahu Afnan sambil menarik ‘orang ni’ yang dimaksudkannya.

Sorotan Anggriani melurut jatuh pada ‘orang ni’ yang dimaksudkan oleh Afnan. ‘Orang ni’ itu memakai topi ala-ala topi yang Bruno Mars selalu pakai. Seluar jeans ketat warna hitam. Gayanya dilengkapkan dengan cermin mata, juga berwarna hitam. Malam-malam begini pun, bercermin mata hitam juga ya?

“Dia nak mencuri ni,” tegas Afnan lagi.

“Saya bukan pencuri!”

“Banyak cekadak pula. Kalau kau bukan nak mencuri, yang kau mengendap dua hari berturut-turut tu kenapa? Atau kau nak mengendap kakak-kakak aku?”

Terserlah aura anak jantan Afnan. Afnan si bongsu yang selalu jadi mangsa buli Anis, rupa-rupanya sangat berwibawa dalam keadaan cemas begini.

Tiada jawapan daripada ‘orang ni’ tersebut. Sebaliknya dia mengeluh berat. Paling aneh, sorotannya singgah melihat anak dara arwah Pak Cik Adnan. Cuma dia seperti terkejut ketika melihat Anggriani. Dan rasa terkejut itu berganti rasa tidak puas hati melihat bungkusan nangka yang berada di tangan Anggriani. Bergerak-gerak rahangnya, gaya orang sedang marah.

“Jadi betullah kau datang sini sebab nak mengendap kakak-kakak aku?”

Makin kuat saja cengkaman tangan Afnan pada kolar baju ‘orang ni’ tersebut. Meskipun ‘orang ni’ itunampak jauh lebih gagah berbanding Afnan sendiri, ‘orang ni’ itu tidak melawan.

“Aku tanya ni, yang kau diam tu kenapa? Sebelum muka kau pecah, baik kau buka mulut sekarang.”

“Afnan,” panggil Anggriani. Risau juga melihat cara Afnan mengugut dan mencengkam kemas kolar baju ‘orang ni’ tersebut.

“Kalau ada apa, boleh bincang dulu. Jangan gunakan kekasaran,” sambung Anggriani.

“Masalahnya kak ngah, dia ni jenis manusia tak faham bahasa. Dari tadi Afnan cuba nak berbincang, tapi dia diam. Dia ingat kalau dia diam, Afnan nak lepaskan dia. Jangan harap! Silap hari bulan, Afnan pecahkan muka dia. Dengan cermin mata hitam dia ni Afnan pecahkan.”

Anggriani menghampiri Afnan. Berdiri di sisi Afnan, menyorot ‘orang ni’ tersebut dengan harapan ‘orang ni’ itu memberi kerjasama yang sepatutnya.

“Tadi awak kata awak bukan pencuri. Kalau betul awak bukan pencuri, kenapa datang ke sini? Awak nak apa?”

Anggriani memilih untuk berdiplomasi. Malangnya ‘orang ni’ tersebut hanya melihat Anggriani tanpa jiwa dan tanpa jawapan. Sesaat kemudian, dengan mudah cengkaman tangan Afnan dileraikan. Afnan pula yang terhuyung-hayang.

“Kau nak ke mana tu?”

Sekali lagi Afnan cuba untuk mencengkam kolar baju ‘orang ni’ tersebut. Cuma kali ini Afnan gagal. Malah tangan Afnan telah ditepis. Spontan tangan Afnan kembali naik. Tidak lagi memegang kolar baju, sebaliknya singgah pada pipi kiri ‘orang ni’ tersebut.

“Afnan!”

Terkejut sungguh Anggriani. Entah sejak bila Kak Long Ariana berada di belakangnya. Rasa terkejut itu bertambah dalam ketika Kak Long Ariana telah berdiri ditengah-tengah antara ‘orang ni’ itu dengan Afnan.

“Minta maaf, adik saya tak sengaja. Saya harap awak tak laporkan hal ni pada pihak polis.”
Kak Long Ariana menundukkan sedikit kepalanya, gaya sedang merayu.

“Kak long…”

“Diam, Afnan. Kali ni Afnan salah,” potong Kak Long Ariana.

“Tapi kak long…”

“Masuk rumah sekarang,” pinta Kak Long Ariana.

“Kak long tak adil!” gerutu Afnan lantas mula memasuki rumah.

“Anggriani dengan Anis, kamu berdua pun masuk. Biar kak long yang selesaikan hal ni.”
Anggriani sedikit teragak-agak. Wajahnya resah bukan main mahu meninggalkan Kak Long Ariana dengan ‘orang ni’ tersebut.

“Kak long okey, Anggriani. Masuklah. Kak long takkan lama.”

Barulah Anggriani mengalah. Itupun dengan hati yang tidak tenang. Pada akhirnya, Angriani memilih untuk mengendap di sebalik pintu.

“Kalau adik saya dimaafkan, baliklah.”

Itu ayat yang Anggriani dengar dengan jelas.

“Saya mohon, jangan datang ke sini lagi. Saya tak nak orang lain nampak awak ke sini. Saya tak nak hal kita jadi isu.”

Jujur, ada debaran yang datang mendengar setiap bait ayat Kak Long Ariana. Kak Long Ariana kenal ‘orang ni’ tersebut. Maksudnya, ‘orang ni’ itu ke sini sebab Kak Long Ariana.

“Kalau awak diam begini, saya anggap adik saya telah dimaafkan.”

Kak Long Ariana telah meninggalkan ‘orang ni’ itu. Kemudian pintu terus ditutup. Sempat menangkap basah Anggriani yang sedang mengendap.

“Maaf, kak long. Anggriani tak sedap hati tadi. Sebab tu Anggriani pilih curi dengar perbualan kak long dengan lelaki tu.”

Sorotan Kak Long Ariana nampak sangat kelam.

“Kawan kak long ke?”

Sorotan Kak Long Ariana tambah kelam saja. Kelam yang sangat kelam. Paling aneh bila mata Kak Long Ariana mulai berkaca.

“Kak long,” panggil Anggriani terus. Ada banyak tanda soal dalam kepalanya. Malangnya Kak Long Ariana pilih untuk tidak membuang semua tanda soal tersebut.

“Kak long nak rehat. Kak long penat sangat hari ni.”

Kak long yang tabah, ada apa sebenarnya? Kenapa berahsia begini? Anggriani nak lihat kak long bahagia, bukan berwajah kelam seperti tadi. Ceritalah kak long. Ceritalah pada Anggriani.


Cerita yang menunggu Anggriani hanya cerita Kak Long Ariana menutup pintu bilik rapat-rapat. Menutup semua cerita tentang ‘orang ni’ itu terus. - B.E.R.S.A.M.B.U.N.G


#tungguversicetak

Wednesday, 1 July 2015

#Bab01 ~ Lain Dunia

JARUM pendek jam baru saja melepasi angka sebelas pagi. Ada senyuman yang terlukis pada bibir Rayhan melihat angka sebelas tersebut. Cukuplah ni, cukuplah 40 minit dia lewat. Rasanya pasti ayah telah bertukar menjadi singa. Rayhan memang sengaja mengundang kemarahan lelaki yang bergelar ayah itu.

Cawan white coffeanya diangkat sembari dibawa ke bibir. Tegukan terakhir dihirup begitu perlahan, begitu menikmati aroma dan rasa khas white coffea tersebut. Selepas itu barulah langkah gontai diatur, melintas ke seberang jalan.

Belum sempat Rayhan memasuki pintu masuk, ada figura yang separas bahunya lebih dulu menyusup. Sempat juga Rayhan terpegun dek kerana terkejut. Sorotannya tidak lepas melihat figura yang bergerak seperti lipas kudung itu.

Figura itu milik seorang perempuan. Baju kurung perempuan itu nampak lusuh sedikit. Warnanya pudar dan corak baju kurungnya sesungguhnya nampak kuno, tidak mengikut peredaran zaman. Sekilas bibirnya bergerak dan segaris senyuman mula terlukis dengan indah sekali.

"Saya Anggriani. Saya datang untuk temuduga sebagai eksekutif kewangan."

Nama perempuan yang memakai baju kurung corak kuno ini Anggriani.

“Maaf, saya tahu saya dah lewat. Tapi kelewatan ni tak disengajakan. LRT ada masalah teknikal tadi, itu yang lambat.”

Dia lambat rupanya. Patutlah pergerakannya mengalahkan lipas kudung.

“Kalau tak percaya, saya ada bawa bukti. Saya ambil gambar tadi.”

Tanpa sengaja Rayhan ketawa kecil. Iyalah, belum pernah dalam sejarah hidupnya dia melihat manusia yang begitu bersungguh memberi penerangan gara-gara terlambat. Bukti bergambar turut disediakan pula tu.

Perempuan yang memakai baju kurung corak kuno itu menoleh setelah mendengar tawa kecil di sisinya. Mata bundarnya tidak berkelip melihat lelaki yang menghasilkan tawa kecil tadi.

“Maaf, saya tak sengaja. Sila teruskan,” ujar Rayhan, kembali memberi riak serius meski tawanya belum habis dikeluarkan.

"Cik Anggriani boleh naik ke tingkat tiga sekarang. Temuduga diadakan dekat sana."

Kata-kata penyambut tetamu ayah, langsung tidak masuk ke dalam kepala perempuan yang memakai baju kurung corak kuno tersebut. Mata bundarnya sedang derhaka, sorotannya masih melekat pada Rayhan.

"Cik Anggriani," tekan penyambut tetamu ayah sekali lagi. Geram juga bila semua ayatnya diabaikan.

"Ya?"

"Tingkat tiga. Bukan dekat sana," sambung penyambut tetamu ayah sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah Rayhan.

Perempuan yang memakai baju kurung corak kuno akhirnya hilang juga disebalik pintu lif.

“Saya nak jumpa datuk,” beritahu Rayhan pada penyambut tetamu ayah, pun begitu matanya masih pada pintu lif. Bibirnya juga melukis senyuman lagi, kemudian dia ketawa pula.

"Datuk sedang tunggu Encik Rayhan dalam bilik dia. Datuk tunggu Encik Rayhan hampir satu jam. Saya bimbang, Datuk tengah marah saja.”

"Lagi datuk marah, lagi saya suka."

Terkebil-kebil juga mata penyambut tetamu ayah mendengar jawapan Rayhan.

"Tapi kalau datuk marah sangat sampai pengsan, tak elok juga," sambung Rayhan sebelum berlalu, juga menuju ke pintu lif.

Sebaik saja pintu lif terbuka ditingkat tiga, wajah pertama yang menyapa mata Rayhan adalah perempuan yang memakai baju kurung corak kuno tadi. Dia sedang duduk di barisan akhir sekali antara lima orang perempuan lain. Ada fail yang didakap dengan kemas, sedangkan bibirnya kumat-kamit. Baca doa tenangkan diri agaknya.

Ketika Rayhan melintas di depan perempuan dengan baju kurung corak kuno tersebut, perempuan itu masih ralit. Tidak menoleh kiri dan kanan langsung.

Rayhan menghela nafas panjang sebelum membuka pintu bilik ayah luas-luas. Ayah sedang menunggu di sana dengan muka merah padam.

"Sekarang baru nak sampai? Kenapa tak datang esok terus? Lebih senang, tak payah datang terus!"

Suara yang agak kuat itu mengganggu konsentrasi Anggriani. Kepalanya diangkat. Sepasang matanya mencari arah datangnya suara keras tersebut.

Nun di depan matanya dia melihat lelaki yang ketawa tadi sedang berdepan dengan seorang lelaki tua, yang lengkap berbaju formal. Melihat nama Datuk Jazim yang tertera di muka pintu, tahulah Anggriani lelaki tua itu pemilik syarikat ini.

"Kalau ayah tak kisah, saya datang esok. Kalau ayah lagi tak kisah, saya tak payah datang terus."
Besarnya mata Anggriani mendengar jawapan yang sangat selamba itu. Jelas terlihat tubuh Datuk Jazim yang lelaki itu panggil ayah, bergetar dengan kuat.
Eh? Ayah?

Semakin tajam sorotan Anggriani. Namun sorotannya terbatas bila tiba-tiba saja Datuk Jazim menutup pintu dengan kuat.

Di dalam bilik yang tertutup itu, Rayhan mencari sofa lantas tubuhnya direhatkan. Tanpa menunggu pelawaan ayah terlebih dahulu.

"Jangan kurang ajar sangat, Rayhan. Ayah ni masih ayah Rayhan!"

Suara ayah makin tinggi saja, tapi kenapa ya Rayhan tidak gentar? Malah Rayhan mahu ketawa melihat ayah marah-marah begini.

"Saya tahu, sebab tu saya panggil ayah dengan panggilan ayah."

Datuk Jazim menggenggam kuat jari tangannya. Kalau ikutkan rasa hati, mahu saja ditampar muka Rayhan. Biar Rayhan sedar diri. Biar Rayhan pandai sedikit menjaga hatinya.

"Ayah panggil saya ke sini sebab apa? Kalau sebab ayah nak saya kerja dekat sini, jawapan saya masih sama. Saya tak nak."

Ada riak kesal yang membayangi wajah tua Datuk Jazim. Rayhan tidak pernah menjadi anak yang menyenangkan. Rayhan selalu jadi duri dalam daging. Kenapa sampai jadi begini wahai Rayhan?

"Ayah nak tahu fasal hal ni," suara Datuk Jazim kedengaran kendur sedikit. Berharap untuk kali ini, Rayhan juga bersikap kendur dengannya.

"Majalah ni, ayah Fatin yang beri. Ayah nak dengar penjelasan Rayhan tentang hal ni. Ayah malu dengan ayah Fatin."

Rayhan menjenguk melihat isi kandungan majalah tersebut. Ada gambar dirinya. Namun gambar itu bukan perkara yang menarik perhatian, tetapi tajuk utama tentang gambar itu yang membuat Rayhan mengeluh berat.

"Betul kamu melamar seorang gadis?"

Rayhan tidak memberi sebarang jawapan.

"Siapa gadis tu?"

Ah ayah, semakin pintar saja mendesak. Desakan yang membuat hati Rayhan panas sedikit.

"Bukan hak ayah untuk tahu."

"Bukan hak ayah Rayhan kata? Rayhan, Fatin tu calon isteri Rayhan. Mana ayah nak letak muka kalau dekat belakang ayah, kamu sibuk melamar perempuan lain? Ayah nak cakap apa pada Fatin? Pada keluarga Fatin?"

"Cakap saja Rayhan tak suka Fatin. Rayhan tak nak kahwin dengan Fatin. Hal ni akan selesai kalau ayah cakap begitu."

"Kurang ajar!"

Tubuh tua ayah yang Rayhan kira sudah tidak gagah, rupanya masih perkasa. Ayah menolak Rayhan dengan kasar. Kemudian ayah ikut menampar muka Rayhan. Semuanya membuat Rayhan terhenyak sebab terkejut.

"Ayah tak pernah didik kamu jadi macam ni. Kalau arwah ibu kamu masih hidup, pasti dia malu!"

Rayhan mengukir senyum sinis. Ayat ayah seperti meludah ke muka sendiri saja.

"Kalau arwah ibu masih hidup, pasti ibu sedang sedih. Ayah curang dengan ibu sebelum ibu pergi."

Bergetar juga tubuh Datuk Jazim bila Rayhan mula ungkit cerita lama. Cerita lama yang membuat Rayhan pilih keluar dari rumah. Cerita lama yang membuat Rayhan jauh dari dirinya. Kerana cerita lama itu juga, Rayhan pilih untuk tidak mewarisi legasi miliknya sekarang.

"Kalau ayah tak ada isu lagi, saya balik dulu. Petang ni saya ada kerja. Tentang Fatin, Rayhan mohon ayah batalkan hasrat ayah tu. Sebelum ayah dan keluarga Fatin malu."

"Rayhan!"

Rayhan tetap menarik daun pintu. Keluar dari bilik tersebut. Dan sekali lagi, sorotannya bersua dengan sorotan perempuan yang memakai baju kurung corak kuno tadi. Entah kenapa sorotan matanya sulit untuk dialihkan.

Perlahan-lahan Rayhan menghampiri perempuan baju kurung corak kuno tersebut. Menilik perempuan itu dengan mata jantannya.

"Corak baju kurung awak tak cantik. Ketinggalan zaman," luah Rayhan. Kemudian berlalu menghampiri pintu lif. Puas hati dapat juga meluahkan apa yang terbuku sejak awal tadi.
Anggriani tunduk melihat corak baju kurungnya.


Tak cantik. Ketinggalan zaman. Dua ayat ini telah berjaya menjadikan Anggriani melopong hampir lima saat. - B.E.R.S.A.M.B.U.N.G 


#tungguversicetak ~


Monday, 8 June 2015

#Prolog ~ Lain Dunia

Cinta bukan tentang berapa lama kamu telah mengenal seseorang, tapi tentang seseorang yang buatmu tersenyum sejak kamu melihatnya. - Rayhan

BUKAN sekali, tetapi berkali-kali Rayhan Jazim membuang pandang. Kepalanya ikut digelengkan. Kemudian sekali lagi dia menyorot wajah bening di depannya. Berharap sangat ada perubahan keputusan. Berharap lamarannya diterima, meski harapannya seperti tinggal harapan. Hanya angan-angan kosong tingkat tinggi!

"Saya tak boleh terima cincin ni, Rayhan. Maaf. Cincin ni terlalu mahal sentimentalnya. Saya bukan perempuan yang sesuai untuk pakai cincin ni."

Lagi-lagi Rayhan mendengar perkataan 'tak boleh'. Jujur ya, Rayhan paling benci dengan perkataan tersebut. Perkataan itu racun. Racun yang membunuh secara senyap.

"Saya tunggu awak lama. Saya dah lamar awak bukan sekali, tetapi tiga kali. Hari ni saya harap sangat saya tak dengar penolakan dari awak."

"Kalau begitu jangan tunggu saya lagi. Saya tak cukup bagus untuk awak. Saya tak serupa perempuan lain, Rayhan. Tanggungjawab saya banyak. Dunia kita pun lain."

Pemilik wajah bening itu telah bangun. Pun begitu sorotannya masih singgah pada wajah hampa Rayhan.

"Saya tak boleh jadi isteri awak, tapi saya harap kita kawan sampai bila-bila. Saya sayangkan hubungan kawan ni."

Soroton tidak puas hati Rayhan mencari sorotan perempuan berwajah bening tersebut. Wajahnya diraup seketika sebelum sorotannya berubah tajam.

"Kawan? Kawan saja tak cukup. Saya mahukan awak sebagai isteri. Isteri yang nantinya akan saya ubah jadi seorang ibu."

Rayhan kembali meraup wajahnya. Kali ini rakus.

"For God's sake! Tolong buka kamus dan cari beza perkataan kawan dengan isteri. Bezanya sangat jauh!"

Sekarang pemilik wajah bening itu sedang menundukkan wajah. Ayat Rayhan, cukup jauh menyentuh relung hatinya yang keras bagai kerikil.

"Saya sayang awak. Kalau tak sayang, saya takkan lamar awak. Saya mohon sangat, tolong hargai lamaran ni," pujuk Rayhan pula. Sedar diri kalau suaranya terlalu keras tadi. Lihatlah, makin mendung saja wajah bening di hadapannya.

"Saya tak boleh, Rayhan. Saya tak boleh terima lamaran ni. Banyak hal saya perlu buat. Awak mungkin bosan dengan saya nanti. Hargai diri awak, jangan buang masa untuk saya. Saya hanya bawa kesusahan."

Sepi.

"Baliklah, Rayhan. Sebelum orang awam cam siapa awak, ada baiknya awak hentikan semua perkara mengarut ni."

"Melamar awak bukan perkara mengarut, tetapi perkara paling penting dalam hidup saya. Kalau mereka cam saya sekali pun, saya tak kisah."

Perempuan berwajah bening itu menyentuh kotak baldu kecil berisi cincin tanda Rayhan. Kemudian disorongkan semula pada Rayhan.

"Saya kisah. Jadi saya mohon, baliklah. Tak guna awak tunggu saya lagi. Cincin ni, tak sesuai untuk saya. Cincin ni, tak bersinar kalau disarung dekat jari manis saya. Hanya nampak kusam.”

"Itu fikiran negatif awak yang fikir," bidas Rayhan, lengkap dengan wajah tertekan.
"Iya, saya banyak negatif dari positif. Saya bimbang negatif tu terpalit dekat awak."

Rayhan mengeluh keras, sudah tidak punya ayat lagi untuk berbahas.

"Saya doakan awak dapat perempuan baik. Yang layak jadi isteri dan ibu pada anak-anak awak nanti."

Kerusi telah ditolak masuk ke dalam meja. Selepas itu terdengar bunyi tapak kasut melangkah pergi. Nampaknya Rayhan ditinggalkan. Lamarannya untuk kali ketiga, tetap juga ditolak.

Lambat-lambat Rayhan meraih kotak baldu kecil tadi. Warnanya hitam. Di dalamnya ada cincin berlian. Harga cincin itu mencecah enam ribu lebih. Dan sekarang cincin berlian ini sudah tidak ada nilai lagi di matanya. Seperti sampah yang busuk.

Spontan Rayhan mengambil cincin berlian tersebut. Direnung sejenak sebelum dibaling keluar dari cafe. Biar hilang terus! - B.E.R.S.A.M.B.U.N.G


#tungguversicetak