Monday 6 January 2014

#Cerpen - Encik JPJ Tersayang

Ciri-ciri lelaki idaman Nurul Ain adalah seperti di bawah.

Kacak. Sekurang-kurangnya macam penyanyi Afghan dari Indonesia itu pun boleh. Tapi kalau dapat suami yang kacak macam Orlando Bloom pun satu rahmat yang tidak terhingga.

Kaya. Ini wajib, sebab selepas kahwin dia nak berbelanja sepuasnya di luar negara.

Memiliki rumah dua tingkat. Kalau dapat rumah agam lagi bagus!

Bekerjaya. Kalau boleh jangan pegawai kerajaan. Gaji tidak banyak macam pekerja swasta.

Tubuh mesti tegap. Ini pun wajib. Kalau lembik saja macam mana nak lindungi Nurul Ain, kan?

Umur kalau boleh tua dua atau tiga tahun daripada Nurul Ain. Tidak boleh lebih atau kurang. Muktamad!

Amboi..  Bukan main lagi si Nurul Ain ini.  Agaknya dia lupa nak cermin diri sendiri dulu. Sebab itu dia berani menulis ciri-ciri suami pilihan begini. Sampai ketualah kamu hidup membujang wahai Nurul Ain!

Peduli apa. Dia sanggup membujang kalau lelaki seperti ciri-ciri di atas tidak muncul di depan matanya.

Nurul Ain tersengih-sengih melihat nota lama tentang ciri-ciri suami pilihannya di buku rujukan Matematik Tambahan sewaktu di sekolah menengah. Nak tergelak pun ada memikirkan zaman remajanya yang penuh keindahan itu. Tapi kalau lelaki yang mempunyai ciri-ciri di atas wujud, pasti akan dikejar sampai dapat.

Tak malunya! Sedar diri sikit wahai Nurul Ain. Anak dara mana boleh buat perangai gelojoh macam ini. Jaga tata-tertib sikit ya!

“Nurul, bila kamu test JPJ ni?”

Senyuman Nurul mati. Dahinya sudah dihiasi sejuta kerutan. Pertanyaan sang ibu tercinta membuat hatinya kembali gundah-gulana.

“Khamis ini,”jawab Nurul lambat-lambat.

“Kenapa lambat sangat? Sempat ke sebelum kamu masuk kerja?”

“Sempatlah, ibu. Nurul mulakan tugas hari Isnin depan.”

Ibu sekadar menganggukkan kepalanya. Tidak tahu pertanyaannya tentang ujian JPJ untuk lesen kelas D sudah membuat hati anaknya tidak keruan.

Seram sejuk tubuh Nurul Ain. Perutnya mendadak terasa sakit. Banyak Kali juga dia bertangguh nak ambil lesen kereta. Fobia punya pasal. Ini pun dia ambil ujian sebab Kak Long yang paksa.

“Nanti nak ambil ujian tu baca surah Al-Fatihah. Boleh hilangkan gemuruh. Nurul dengar tak ibu cakap apa ni?”

Terdengar Nurul Ain mengeluh.

Ibu ini pun satu. Macam tidak ada soalan lain yang nak ditanya. Benci betul!

“Kenapa muka kamu pucat saja ni?”

“Tak ada apa-apalah, ibu,”balas Nurul lantas lekas-lekas keluar dari rumah. Dia cuba berlari setempat untuk menghilangkan gemuruh di dada. Sayangnya dia gagal. Terkumat-kamit dia baca surah Al-Fatihah. Belum ujian pun sudah begini. Kalau ujian nanti macam mana?

Sudahnya Nurul Ain mengeluh lagi. Cuma kali ini sangat berat. Sungguh berat. Betul-betul berat. Kepalanya pening-pening lalat memikirkan ujian JPJ yang bakal dia duduki.

Sewaktu mengambil ujian SPM pun dia tidak segundah ini.

 “Ujian saja, Nurul. Anggap saja macam kamu ambil exam UPSR. Pejam mata pun kamu boleh score dengan cemerlang! Tak ada yang nak dirisaukan. Kalau gagal, boleh cuba lagi,”ujarnya sendiri. Cuba melunakkan hati yang gundah gulana.

Namun hanya seketika. Kata-kata Kak Long lewat petang semalam kembali membuat sekujur tubuhnya seram sejuk.

“Kamu jangan buat malu keluarga kita, Nurul. Daripada Kak Long sampailah ke achik, test JPJ semua sekali saja. Jangan sampai kamu dua kali pula,”tingkah Kak Long tanpa sedikit pun rasa bersalah. Kemudian Kak Long ketawa mengekek.

Nurul menggelengkan kepalanya. Kak Long kalau bab-bab membuat dia gemuruh memang nombor satu. Nasib baik Kak Long itu sedarah dan sedaging dengannya. Kalau tidak, malam ini juga dia ‘mandrem’ Kak Long. Biar padan dengan muka Kak Long!

Salah kamu sendiri juga, Nurul. Siapa suruh kamu gemuruh. Buat macam biasa sajalah. Pegawai-pegawai JPJ yang bertugas bukan sampai nak telan kamu. Mereka cuma menguji kamu.

Itulah yang susah sedikit!

“Nurul nak pergi mana tu?”laung sang ibu bila melihat anak gadisnya sudah memasuki perut kereta.

“Nurul keluar sekejap. Nurul nak mantapkan cara pemanduan Nurul.”

Sang ibu menggeleng lemah. Namun dia sempat menitipkan pesan pada anak kesayanganya itu supaya berhati-hati.

“Jangan pandu laju sangat. Jangan masuk bandar,”jerit ibu tua itu.

“Bukan susah sangat pun nak bawa kereta. Bawa bertenang Nurul Ain. Kacang saja ujian itu nanti. Kau boleh buatlah. Setakat naik bukit, parking kotak dan tiga penjuru itu pejam mata pun kau boleh buat. Ujian jalan raya pula kau senyumlah dengan pakcik-pakcik JPJ itu. Mesti lulus lah!”ujar Nurul Ain sendiri. Sejak tadi dia sudah seperti orang gila bercakap pada diri sendiri. Semua itu dilakukan untuk menghilangkan gemuruh di dada.

“Paling penting sekali, mesti ramah dengan pakcik-pakcik JPJ itu. Ambil hati mereka. Senanglah kau lulus nanti.”

Alahai.. Macam-macam perangai si Nurul Ain ini. Ujian JPJ pun sudah buat dia tidak keruan begini. Sewaktu peperiksaan penting macam PMR dan SPM boleh pula dia bersahaja.

Nurul Ain meneguk liur. Beraninya dia memandu hingga ke bandar. Padahal ibunya sudah berpesan tadi. Memang dasar keras kepala beginilah.

Nurul Ain yang manis, kalau pakcik-pakcik JPJ tahan kamu nanti, padan muka!

Ah! Tengah hari buta macam ini mana ada pakcik-pakcik JPJ sanggup jadi penunggu di jalan raya. Jangan risaulah. Buat macam biasa. Kalau ada pakcik-pakcik JPJ, bukan ada tulis atas dahi pun kamu tidak ada lesen. Pandu saja kereta macam biasa.

Betul juga. Buat apa nak takut. Ini Nurul Ain, lah! Ini Nurul Ain yang selalu mengikuti lakonan pentas sewaktu di sekolah menengah. Kalau bukan kerana ayah menegah dia menjadi pelakon, sudah lama dia menjadi pelakon terkenal. Setakat nak ‘kelentong’ pakcik-pakcik JPJ itu senang sangat.

Buruknya perangai Nurul Ain! Tolong jangan ikut perangai tidak senonoh si Nurul Ain ini ya. Memanglah pakcik-pakcik JPJ tidak tahu Nurul itu tidak ada lesen. Tapi tindakan Nurul Ain ini kan sudah membahayakan pemandu-pemandu lain. Betul tak?

Tak betul langsung! Nurul mahir memandu lah!

Mahirlah sangat. Sebab mahir sangatlah kamu gemuruh dan tidak tentu arah. Sudah! Balik sekarang. Nanti kalau terlanggar kereta orang lain macam mana? Kamu juga yang mati kutu nanti.

Nurul Ain mengeluh berat. Kalah pada perdebatan hatinya. Tidak menunggu lama dia sudah menukar lorong dan terus membuat pusingan. Dia lupa pada segala ajaran guru memandunya supaya memastikan tiada kenderaan sebelum membuat pusingan.

Sedar-sedar kereta lama Kak Longnya sudah pun berjaya disondol oleh sebuah Honda Jazz dari arah belakang. Serta-merta Nurul Ain menekan brek.

Percayalah, dia sangat takut sekarang. Nafasnya sudah tidak teratur. Tubuhnya sedikit menggigil. Jari tangannya sudah terketar-ketar. Hendak membuka pintu kereta pun dia sudah tidak mampu. Benaknya benar-benar kosong. Langsung tidak dapat berfikir apa-apa.

Kalau tadi jalan di situ lenggang, kini sudah sibuk dengan kereta yang sengaja melalui kawasan tersebut untuk melihat kemalangan yang berlaku. Nampaknya Kancil lama Kak Long sudah ditamatkan khidmatnya hari ini oleh pemilik Honda Jazz tersebut.

Nurul Ain, bangun dari alam tidak sedar anda. Pandang sekeliling dan sila keluar dari kereta sekarang.

Kenapa mesti keluar? Nurul takutlah!

Kenapa nak takut pula? Tadi bukan main yakin lagi sewaktu memandu.

Itu tadi, sekarang lain.

Sudah! Jangan beri banyak sangat alasan. Keluar sekarang sebelum pemandu Honda Jazz itu seret kamu keluar.

Nurul tak salah! Kereta belakang yang salah. Dia yang langgar kereta Nurul. Nurul tak salah.

Tak salah ya? Habis, ada kamu pandang cermin sisi dulu sebelum menukar lorong?
Nurul lupa. Takkan itu pun salah Nurul juga. Sepatutnya pemandu kereta belakang tadi yang patut berhati-hati dengan Nurul.

Mana dia tahu Nurul nak tukar lorong. Lampu isyarat pun Nurul tidak beri tadi. Sekarang banyak alasan pula.

Hati Nurul Ain masih resah gelisah. Dia enggan keluar dari perut keretanya. Apa nak jadi pun jadilah. Dia tidak akan keluar.

Namun ketukan keras di cermin kereta membuat Nurul Ain berpaling. Sepasang kemilau indahnya nyaris tersembul keluar melihat lelaki yang lengkap berseragam warna biru.

Malangnya nasib Nurul hari ni! Kenapa muka pemandu kereta Jazz ini garang sangat?

Lelaki yang lengkap berseragam biru itu sudah memberi arahan supaya dia keluar.

Namun Nurul masih dengan sikap keras kepalanya. Sengaja dia buat pekak telinga. Sementara jari tangannya sudah lincah menekan nombor telefon Kak Long.

Hampir satu jam dia menjadi mangsa bebelan Kak Long. Kak Long membebel entah perkara apa-apa. Yang tidak berkait langsung pun turut di ungkit. Hampir bernanah telinganya mendengar bebelan Kak Long.

Tiba-tiba saja dia ingin bebas dari segala bebelan Kak Long. Biar dia berada dalam dunianya sendiri, Jauh dari masalah kereta kancil Kak Long yang sudah di sondol Honda Jazz pemandu berseragam biru.

Seragam biru? Minda Nurul Ain berhenti berfikir sejenak. Kosong. Sepi. Dia meneguk liur. Bagaikan robot tubuhnya dipusing lantas sepasang matanya berpaling ke arah lelaki di sisi Kak Long.

Masya-Allah! Pegawai JPJ! Tidak!!!

Macam mana Nurul nak ambil ujian Khamis ini? Mesti nama sudah disenarai hitamkan. Macam mana nak dikhabarkan berita buruk ini pada semua ahli keluarganya?

“Nurul!”jerit Kak Long.

Nurul Ain sudah pura-pura tidak mendengar panggilan suara Kak Long.

“Mari sini sekejap!”arah Kak Long lagi bila Nurul Ain tetap pasif.
Sekujur tubuhnya masih kaku. Meski Kak Long sudah berada di depannya dia tetap kaku. Lantas tanpa ampun lagi tubuhnya sudah didorong secara paksa mendekati lelaki berseragam biru itu.

“Minta maaf cepat. Fahmy dah setuju perkara ini kita selesaikan secara baik.”

Fahmy? Bukan Encik Fahmy? Amboi, baru jumpa Kak Long sudah mesra nampaknya. 

Nurul Ain meneguk liur. Bibirnya terketar-ketar untuk menyatakan sesuatu.

“Apa lagi yang ditunggu tu?!”jerkah Kak Long.

Alahai malunya! Kak Long sikit pun tidak menjaga air mukanya saat ini.

“Hah! Dalam mulut kamu tu ada emas ke, Nurul?”

Nurul Ain sempat menjeling Kak Long.

“Maaf,”ujar Nurul Ain sepatah.

“Saya maafkan,”balas lelaki tersebut. Kemudian tanpa sepatah kata terus memasuki perut keretanya. Tidak sampai sepuluh saat, Honda Jazz milik lelaki itu sudah jauh dari pandangan mata.

“Degil sangat. Nasib baik kita jumpa pegawai JPJ yang bertimbang rasa. Kalau tak, kakak pun tak tahulah apa nak jadi dengan ujian JPJ kamu Khamis ni.”

“Nurul pasti lulus!”luah Nurul sepatah. Kemudian dengan selambanya memasuki perut kereta.

Khamis, sekitar jam 9.00 pagi. Suasana di sekolah memandu kelihatan sesak dengan pelajar-pelajar yang bakal menduduki ujian lesen memandu.

Hidup Nurul Ain sangat tenang. Rasa gemuruhnya juga berjaya di kawal dengan sebaik mungkin. Namun segalanya berantakan saat kemilau indahnya bertaut dengan tatapan salah seorang pegawai JPJ yang sedang melangkah dengan gagahnya.

Tidak semena-mena Nurul Ain bingkas berdiri. Lekas-lekas dia memilih untuk berada di barisan paling belakang. Biar pegawai itu tidak dapat mengesan kewujudannya di situ.

“Ha, awak yang baju putih tu. Kamu pergi belakang tu kenapa?”sergah Fahmy.

Mendadak langkah Nurul Ain terhenti. Perlahan-lahan dia berpaling. Bercupak-cupak mata sudah memberi tumpuan padanya.

“Dia nak apa ni?”gerutu Nurul Ain.

“Duduk depan semula. Kami semua tak makan orang.”

Kata-kata Fahmy disambut dengan gelak tawa. Malunya Nurul Ain Tuhan saja yang tahu. Pipinya hangat membahang. Separuh rela dia kembali semula di barisan hadapan.

Nurul Ain meneguk liur yang dirasakan pahit tiba-tiba. Tidak berkelip matanya memandang lelaki yang lengkap berseragam biru di hadapannya sekarang. Lebih perit, lelaki itu sudah menanggalkan kaca mata hitam yang dipakai lantas menyorot Nurul Ain tajam.

Alahai.. Besar harapan Nurul Ain supaya lelaki tersebut sudah lupa pada insiden kereta hari Isnin yang lalu.

Fahmy menggelengkan kepala, kemudian mengeluh keras.

“Mesti awak tak lulus nanti. Tengok gaya awak pun saya dah boleh agak,”ujar Fahmy kemudian dengan selambanya.

Nurul Ain mengetap bibirnya kuat-kuat. Geram bukan main hatinya dengan kata-kata pegawai JPJ yang bernama Fahmy itu. Tunggulah sekejap lagi, dia pasti lulus dengan markah penuh! Kata orang Inggeris, pass with flying colours!

Betul ke ni markah penuh? Entah-entah gagal.

Senyap dan jangan nak mengarut wahai sekeping hati. Bagilah semangat sikit!

“Nurul Ain!”laung pegawai JPJ yang punya misai melenting-lenting itu. Wajahnya masam saja. Sangat berbeza dengan si Fahmy. Si Fahmy itu walau tidak melemparkan senyum, raut wajahnya tetap sedap dipandang. Manis saja!

Ada macam Orlando Bloom tak?

Ada sikit. Sikit sajalah.

Amboi! Sejak bila kamu istiharkan gencatan senjata dengan pegawai JPJ yang bernama Fahmy itu? Tadi bukan main marah lagi.

Nurul Ain meraup wajahnya. Kepalanya ikut digelengkankan.

Gila! Sejak bila dia pandai memuji si seragam biru yang bernama Fahmy itu?

Sempat dia mencari-cari kelibat Fahmy. Nafasnya terhenti seketika bila menyedari Fahmy sedang menyorotnya dari jauh. Masih juga dengan senyuman sinisnya.

Haih! Kalau begini susahlah!

Susah?

Malulah kalau diperhatikan!

Kenapa nak malu pula? Buat macam biasa sudahlah.

“Hah! Nurul Ain, apa yang kamu tunggu lagi tu? Kamu nak kami escort kamu ke kereta ke?”laung pegawai JPJ yang misainya melenting-lenting itu. Lebih kepada menyindir sebenarnya!

Dengan muka tebal empat belas inci, Nurul Ain bergegas memasuki perut kereta. Tidak sampai tiga minit, dia lulus ujian bukit dengan cemerlangnya. Kemudian dia hanya mengambil masa selama lima minit untuk ujian parking. Inilah yang dikatakan kepakaran semulajadi.

Ujian terakhir dia hanya perlu membawa kereta seperti biasa dengan mematuhi segala tanda dan juga lampu isyarat. Kemudian, lesen P akan menjadi miliknya. Mudah saja, kan?

Namun wajahnya gembiranya bertukar terkejut bila melihat si Fahmy yang sedang berpeluk tubuh menantinya di sebuah kereta yang tersadai.

Lekas-lekas Nurul Ain menoleh ke belakang, berharap ada calon lain di situ. Sayangnya hanya dia seorang. Diulangi sekali lagi, hanya dia seorang. Calon-calon yang lain masih sibuk di kawasan parking.

“Kenapa berhenti tengah jalan tu. Jalan cepat sikit! Atau awak nak saya gagalkan awak?”

Kalau tadi hayunan langkahnya begitu gemalai, kini dia sengaja berjalan hentak-hentak kami. Menyampah betul hatinya!

“Kenapa jalan macam kuda tu? Melecet kaki awak nanti.”

“Suka hati sayalah. Saya nak jalan macam kuda ke, macam lembu ke atau macam apa-apa pun, yang encik sibuk-sibuk sangat tu kenapa? Lagipun kaki saya yang melecet, bukan kaki encik, kan?”

Fahmy menyembunyikan tawanya yang hampir meletus melihat gelagat Nurul Ain.

Garangnya dia! Tapi makin garang, makin seronok pula di pandang.

Fahmy, kamu itu pegawai JPJ. Jangan nak jual minyak pula ya! Sila jalankan tugas kamu dengan amanah dan saksama.

Baik hati lelakiku! Nasihatmu aku turuti!

“Kalau nak ketawa, ketawa sajalah. Tak payah nak tahan-tahan,”tempelak Nurul Ain. Hatinya tambah panas bila menyedari pegawai JPJ itu kerap sekali mengulum senyum lucu.

“Yang awak nak marah-marah tak tentu pasal ni kenapa? Kalau awak asyik menyinga macam ni, bila-bila masa saya boleh gagalkan awak.”

Nurul Ain menjeling Fahmy. Hatinya yang panas membara puas dipujuk.

“Apa tunggu lagi, jalanlah. Takkan saya nak ajar awak pula macam mana nak hidupkan enjin.”

Memang si Fahmy ini tak sayang mulut. Ingin saja dia menjahit mulut si Fahmy itu sekarang juga! Biar senyap dan tidak berdecit lagi. Aman sedikit dunianya.

“Fikir apa lagi ni? Awak betul-betul nak saya ajar macam mana nak hidupkan enjin kereta ke?”

Berderum bunyi enjin kereta. Nurul Ain memang sengaja menekan pedal minyak.

Sempat dia menjeling Fahmy dan lelaki itu tunduk mencatat sesuatu. Potong markah la tu! Tapi Nurul Ain sudah tidak kisah. Apa susah, dia boleh ulang semula ujian ini nanti.

“Perlahan sikit. Awak tak nampak papan tanda had laju tadi?”

“Tak nampak!”

Terdengar Fahmy mengeluh berat. Dia kembali tunduk mencatat sesuatu.

“Sebelum awak potong kereta, perhatikan cermin sisi dulu, beri isyarat dan kalau keadaan mengizinkan baru awak potong. Cara kamu potong tadi bahaya.”

“Pandai-pandailah pemandu yang lain berwaspada.”

Fahmy sudah mengangkat wajah bila sekali lagi Nurul Ain memotong kereta di depannya tanpa melihat cermin sisi. Terdengar hon dibunyikan dan Nurul Ain sudah pun melepaskan pegangan tangannya dari stereng kereta. Sungguh! Dia sangat terkejut.

Nasibnya baik kerana Fahmy tangkas menyelamatkan keadaan. Lelaki itu sudah pun memberi isyarat untuk berhenti di tepi jalan.

“Sekarang awak turun. Biar saya yang bawa kereta. Saya masih ada keluarga untuk di sara. Saya sayangkan nyawa saya.”

Begitu sinis sekali nada suara Fahmy kali ini. Dia langsung tidak memandang Nurul Ain.

Padan muka kamu Nurul Ain! Tak payah tanya pun kamu memang sudah gagal.

Tidak sampai sepuluh minit mereka tiba semula di sekolah memandu. Fahmy terus keluar dan menggamit seorang pegawai JPJ yang lain. Entah apa yang mereka bualkan dia sendiri tidak tahu. Malas dia nak campur tangan.
Sedar-sedar cermin kereta sudah di ketuk dari luar.

“Awak rehat dulu. Lepas lima belas minit saya akan uji awak sekali lagi.”

Nurul Ain terlopong. Lekas-lekas dia mencari kelibat Fahmy. Sayangnya Fahmy sudah pun menaiki kereta lain dan bersedia untuk menjalankan ujian seterusnya.

“Saya tak gagal?”

“Belum lagi. Tapi lepas ni kalau awak buat silap lagi, awak akan saya gagalkan.”

Nurul Ain terdiam. Hilang segala rasa marahnya pada Fahmy. Berganti rasa malu dan segan dengan sikap kurang ajarnya tadi.

Tidak seperti tadi, dia dapat memandu dengan tenang. Malah dia hanya membuat satu kesilapan. Itupun kerana dia tidak begitu mahir bermain dengan clutch. Kalau tidak pasti dia dapat markah penuh!
Percayalah, dia ingin sekali mengucapkan rasa terima kasihnya pada Fahmy. Sayangnya dia tidak nampak kelibat lelaki itu di mana-mana.

“Encik Fahmy kat mana ya?”aju Nurul Ain pada pegawai JPJ yang punya misai melenting-lenting itu.

“Kenapa? Awak nak minta nombor handphone dia ke?”

Merah sebentar pipinya bila diaju soalan sebegitu. Melampau sungguh!

“Bukan. Bukan macam tu. Saya cuma nak jumpa dia saja.”

“Fahmy sudah balik. Ibunya masuk hospital. Ini nombor telefon dia. Awak boleh telefan dia nanti.”

Kalau tadi pipinya merah, kini mulutnya pula yang ternganga. Pada tangannya sudah tergenggam dengan erat nombor telefon Fahmy. Soalnya sekarang, nak telefon ke atau tak perlu langsung?

Hatinya berkata begini : Apa tunggu lagi, telefonlah dia cepat! Kamu mesti ucapkan terima kasih pada dia.

Otaknya pula berkata begini : Buang saja nombor telefon itu. Buat apa nak ucapkan terima kasih. Kamu lulus dengan usaha kamu sendiri.

Namun akhirnya dia memilih opsyen yang terlintas sejenak. Simpan nombor telefon Fahmy di dalam purse.

Dua bulan kemudian..
“Nurul, kamu simpan mana receipt bayaran Guardian tadi?”laung Kak Long. Puas sudah dia menyelongkar beg tangan Nurul Ain. Dia perlukan resit bayaran itu sekarang juga.

“Ada dalam purse tu. Kak Long cari la elok-elok. Nurul tengah mandi ni.”

Kak Long sempat mengeluh pendek. Namun tangannya sudah mencapai purse yang dimaksudkan.

Kak Long menggelengkan kepala melihat beberapa keping resit bayaran masih lagi tersimpan rapi. Bukan nak dibuang pun! Hah! Resit bayaran tahun lepas pun ada juga. Haih.. Apa nak jadi dengan si Nurul Ain ini. Suka sangat simpan barang lama.

Namun dia lebih tertarik melihat sekeping kertas kecil yang ikut terselit. Tertera nombor telefon dan dibawahnya ada tertulis nama Fahmy.

Kak Long sudah menepuk dahinya.

Pandainya Nurul Ain dengan Fahmy berahsia. Bila di tanya, Fahmy bukan main lagi mengelak. Nurul Ain pula buat-buat hilang ingatan! Patutlah muka Nurul Ain bukan main berseri-seri lagi. Rupa-rupanya dalam hati ada taman!

Keesokan harinya. Sekitar jam 1.00 tengahari.

“Nurul, ada lelaki kacak tunggu kau kat reception.”

Nurul Ain yang leka menaip sesuatu mengangkat wajah.

“Siapa, Anne?”

“Manalah aku tahu. Dia kata ada hal penting dia nak bincang. Jadi dia harap kau jumpa dia cepat.”

“Baik kau cakap siapa? Kau saja nak kenakan aku, kan?”duga Nurul Ain. Sebenarnya dia malas nak bangun dari kerusi kerjanya sekarang.

“Ada pula macam tu. Pergilah cepat. Kasihan dia tunggu kau lama. Macam penting sangat hal yang dia nak bincangkan. Nampak muka dia risau sangat.”

Sempat Nurul Ain mengeluh berat. Namun dia tetap bangun dengan malasnya.
Langkah Nurul Ain yang deras mulai longlai melihat kelibat lelaki yang lengkap berseragam biru itu. Nafasnya sesak seketika. Entah kenapa, setiap kali berpapasan dengan lelaki berseragam biru, hatinya pasti tidak keruan.

Bawa bertenang, Nurul Ain. Dunia ini bukan kecil sangat. Mustahil kamu akan bertembung dengan Fahmy di sini.

Bibirnya kembali mengulum senyum. Sayangnya senyuman itu hanya mampu bertahan selama dua saat. Saat si lelaki berseragam biru itu berpaling, dia hampir melompat dek kerana rasa terkejut. Dan pasti sekali saat ini mulutnya sedang terlopong. Oh Tidak!

Lekas-lekas Nurul Ain menutup mulutnya. Dengan selambanya juga dia berpusing dan mula menghayun langkah deras.

“We need to talk!”sergah satu suara. Sekelip mata pemilik suara garau itu sudah berada di depannya.

“Mak!”jerit Nurul Ain tanpa sedar. Sungguh, dia sangat kalut.

“Please, sekejap saja. Masalah sangat serius sekarang.”

“Ta.. Tapi.. Isu saya langgar kereta kamu kan sudah selesai. Sa.. Sa.. Saya pun dah dapat lesen P. Perkara apa lagi yang nak dibincangkan? Kamu nak saman saya ke? Saya tak bersalah pun,”ujar Nurul Ain, sedikit tergagap-gagap. Sungguh, dia sendiri malu!

Berkerut-kerut dahi Fahmy mendengar segala kata-kata Nurul Ain.

“Awak merepek apa ni?”tanya Fahmy. Wajahnya sudah agak tegang. Stress mungkin melayani kerenah Nurul Ain yang entah apa-apa itu.

“Awak nak bincang tentang apa?”

“About us,”tekan Fahmy.

“Us?”

“Yup. Keluarga saya akan datang  rumah awak untuk merisik Ahad depan.”

“Keluarga awak? Merisik? Tapi nak merisik siapa? Kak Long sudah ada tunang.

Takkan nak risik Alang. Tapi Alang lelaki.”

Fahmy meraup rambutnya dengan kasar. Lalu tanpa sepatah kata, tangan Nurul Ain sudah di raih.

“Jangan pegang tangan saya! Awak bukan muhrin saya. Berdosa!”tegas Nurul Ain, tangannya sudah direntap. Bulat sepasang kemilau indahnya membalas tatapan Fahmy sekarang.

“Saya minta maaf. Kita bincang tempat lain, boleh? Kat sini macam tak berapa sesuai,”ujar Fahmy, sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

Nurul Ain ikut memerhatikan keadaan sekeliling, lantas sekali lagi jantungnya hampir gugur bila menyedari hampir keseluruhan rakan sekerja sedang menjadi pemerhati. Anne awal-awal lagi sudah menaikkan ibu jarinya.

Amboi! Pandai-pandai saja Anne itu kan?

Nurul Ain meraup wajahnya entah untuk keberapa kali. Resah gelisah setelah mendengar berita duka yang di bawa Fahmy. Siapa pula yang pandai-pandai nak jodohkan dirinya dengan Fahmy ni? Macam tiada lelaki lain!    

“Masalah ni akan selesai kalau awak beritahu keluarga awak yang awak tak setuju. Awak terus tolak lamaran keluarga saya. Dan kita berdua bebas. Boleh awak buat macam tu?”

“Mestilah boleh! Saya pun tak ingin jadi isteri awak,”balas Nurul Ain separuh menjerit. Jauh di relung hati paling dalam, hatinya sedikit terluka bila di suruh menolak lamaran Fahmy. Tapi kenapa ya?

“Bagus. Baru tenang sikit hati saya. Ingat, hari Ahad ni awak terus kata tak setuju.”

“Tapi kenapa awak nak saya tolak lamaran keluarga awak?”aju Nurul Ain kemudian. Raut wajahnya seperti tiada perasaan langsung. Sesaat kemudian kemilau indahnya sudah terbeliak. Terkejut dengan keberaniannya bertanya soalan seperti itu.

Fahmy yang baru saja mahu melangkah pergi segera berpaling. Berkerut-kerut dahinya.

“Awak tanya saya apa?”

Nurul Ain mengetap bibirnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mulutnya begitu bacul bertanyakan soalan tersebut.

“Boleh ulang sekali lagi. Saya takut saya salah dengar.”

“Tak ada apa. Anggap saja saya tak pernah tanya soalan.”

No. Awak ulang balik soalan awak.”

Nurul Ain bingkas berdiri. Ulang semula soalan? Tidak sama sekali!

“Saya banyak kerja lain nak buat.”

“Awak takkan kemana-mana selagi awak tak ulang semula soalan awak tadi. Saya serius ni,”balas Fahmy. Dia memang sengaja bercekak pinggang di hadapan Nurul Ain. Biar Nurul Ain takut dan segera mengulang semula soalannya tadi.
Sekali lagi Nurul Ain mengetap bibirnya. Malu dan segan menguasai diri. Setuju atau tidak, nampaknya dia terpaksa akur dengan permintaan Fahmy.

“Saya tanya, kenapa awak nak saya tolak lamaran keluarga awak? Saya ni teruk sangat ke di mata awak?”

Fahmy mengulum senyum lebar mendengarnya. Nurul Ain pula yang terasa rendah diri. Seolah-olah dia tergila-gilakan Fahmy pula dengan bertanya soalan sebegitu. Alahai.. Malunya!

“Awak tak teruk pun di mata saya. Saya lihat awak sebagai perempuan sempurna. Tidak ada cacat celanya.”

Tuhan saja yang tahu betapa hangat pipinya saat ini mendengar setiap patah kata Fahmy. Aduh! Kenapa dengan Fahmy ini? Fahmy kan garang, kenapa sekarang hatinya begitu lembut? Malah kata-katanya sangat menyenangkan hati dan perasaan.

Duhai hati, bawa bertenang ya. Jangan mudah tergoda dengan segala kata-kata Fahmy ini. Mana tahu dia sengaja berkata begitu. Malu kita nanti!

“Cuma saya rasa saya yang tak sesuai dengan awak. Saya tak kacak macam Afghan. Apalagi macam Orlando Bloom.”

Eh? Nurul Ain meneguk liur. Adakah satu kebetulan atau memang ada orang yang sengaja menjaja rahsianya pada Fahmy?

“Saya pun tak kaya, Nurul. Taraf kewangan saya biasa-biasa saja. Rumah pun satu tingkat saja. Macam inilah kalau kerja kerajaan. Gaji tak tinggi macam kerja swasta.”

Nurul Ain sudah melopong. Tidak berkelip matanya membalas tatapan Fahmy. Alahai.. Macam jauh hati saja si Fahmy ini.

“Lagipun Nurul sendiri pasti sudah sedar. Badan saya tak tegap mana. Umur saya pun tua empat tahun daripada Nurul. Saya serba kekurangan. Tak layak nak jadi lelaki idaman Nurul. Saya harap Nurul faham.”

Nurul tak faham. Nurul tak nak faham. Nurul cuma faham, Nurul tak sanggup membiarkan lelaki di hadapannya ini berlalu dengan segala salah faham tentang lelaki idamannya. Tapi kenapa dia nak memberi penjelasan pula pada Fahmy? Biarlah lelaki itu dengan salah fahamnya. Betul tak?

“Baiklah. Saya pun tak boleh keluar lama daripada pejabat. Ahad depan keluarga saya akan ke rumah Nurul . Saya harap Nurul faham hasrat hati saya yang sebenarnya.”

Fahmy sudah bangun lalu terus melangkah meninggalkannya.

Padan dengan muka kamu, Nurul! Itulah, siapa suruh jual mahal sangat. Kemudian pilih lelaki yang kacak, kaya, tegap dan macam-macam lagilah. Sekarang kamu sudah ditinggalkan. Silap, bukan ditinggalkan. Tapi sebenarnya ditolak ketepi.

Wahai sekeping hati, tolong jangan buat hidup saya tambah berserabut boleh tak?

Sepanjang minggu itu hidupnya tidak tenteram. Selera makannya juga kurang. Dia banyak termenung dan mengeluh berat. Kadang-kadang dia boleh bertopang dagu selama berjam-jam lamanya. Nampaknya angau yang melanda Nurul Ain memang parah!

“Kakak perhatikan Nurul banyak termenung sejak dua tiga hari ini. Boleh kakak tahu kenapa?”sapa Kak Long lewat petang Sabtu itu.

Nurul Ain mengangkat wajah. Tidak semena-mena dia memeluk erat tubuh Kak Long.

“Kenapa ni, Nurul?”

“Nurul rasa Nurul dah mula sayang pada Encik JPJ tu.”

“Encik JPJ? Siapa tu?”

“Fahmy. Pegawai JPJ yang Nurul tak sengaja langgar kereta dia dulu.”

“Oh.. Fahmy. Alhamdulillah.. Nampaknya doa Fahmy selama ni sudah dimakbulkan.”

Lekas-lekas Nurul Ain melepaskan pelukannya lantas wajah Kak Long di sorot tajam.

“Maksud Kak Long?”

“Nurul langsung tak ingat dengan Fahmy ke?”

Menggeleng.
Kak Long ikut menggelengkan kepalanya. Kemudian tanpa sebarang kata, Kak Long keluar dari bilik. Lima minit kemudian, dia kembali dengan sebuah album lama.

“Oke, Nurul kenal tak siapa ni?”

Nurul Ain menatap gambar lama badan pengawas Kak Long sewaktu di tingkatan lima.

“Ini kan ketua pengawas dan juga ketua pelajar sekolah kita.”

“Inilah Fahmy. Kak Long ingat Nurul kenal. Lagipun Fahmy kan selalu datang rumah kita. Masa Nurul nak ambil SPM, buku rujukan yang Kak Long beri pada Nurul, semua Fahmy punya. Fahmy yang minta Kak Long beri pada Nurul.”

Nurul Ain menepuk dahinya. Baru dia ingat sekarang. Patutlah dia rasa Famy itu seakan-akan begitu akrab dengan keluarganya.

“Jadi Kak Long la yang beritahu Fahmy tentang lelaki idaman Nurul?”
Kak Long tersipu. Kemudian dia ketawa besar.

“Sebenarnya Kak Long sakit hati masa itu. Kak Long beriya-iya ambil hati dia, tapi dia pula syok dengan Nurul. Mana Kak Long tak sakit hati. Jadi Kak Long sengaja tunjuk ciri-ciri lelaki idaman Nurul, biar dia mengalah.”

“Kak Long jahat.”

“Nak buat macam mana, Nurul. Kak Long pun ada hati dengan Fahmy waktu tu. Kak Long minta maaf ya. Sekarang Kak Long tebus semula. Kak Long akan cuba sebaik mungkin untuk jodohkan kamu berdua. Nurul tak perlu risau. Fahmy memang lelaki terbaik untuk Nurul.”

“Tapi Fahmy sudah tak suka dengan Nurul.”

“Siapa kata? Kalau Nurul nak tahu, dialah yang paling gembira walaupun belakang keretanya kemek kena langgar dengan kancil kita. Bukan main bahagia lagi si Fahmy tu bila tahu Nurul belum berpunya. Fahmy ingat, selama Nurul belajar di UK, Nurul sudah berpunya.”

“Kak Long bukan reka cerita, kan?”

“Kak Long cerita yang fakta saja. Ini yang terjadi dan berlaku. Sarapan yang selalu Nurul makan kat pejabat tu, Fahmy yang belikan. Bukan Anne atau kakak yang belanja. Kalau Nurul nak tahu lagi, Fahmy sengaja jumpa bosnya minta supaya dia boleh pergi ke sekolah memandu tempat Nurul ambil lesen P dulu. Sebab apa? Sebab dia risau Nurul gagal. Lagipun dia rindu nak jumpa Nurul.”

Nurul Ain menatap Kak Long dengan sejuta kerutan di dahi.

“Sumpah! Kak Long tak tipu. Kalau Nurul tak percaya, Kak Long telefon Fahmy sekarang.”

“Kenapa Kak Long nak telefon Fahmy pula?”

Kak Long sekadar memberi isyarat supaya Nurul Ain diam.

“Hello Fahmy? Yana ni. Sibuk ke?”

“Taklah Yana. Fahmy baru sampai rumah. Kenapa ya?”
Terdengar suara Fahmy di hujung talian. Nampaknya Kak Long sengaja menggunakan pembesar suara supaya setiap kata Fahmy sampai pada pendengaran telinga Nurul Ain.

“Nurul ni tiba-tiba nak makan nasi lemak yang selalu Fahmy belikan untuk dia di pejabat. Dia nak sangat Yana belikan. Tapi Yana mana tahu kedai mana Fahmy beli.”

“Itu saja ke? Fahmy ingatkan ada apa tadi. Macam inilah, esok pukul 7 pagi Yana tunggu depan pagar ya.”

“Boleh. Tak ada masalah.”

Talian sudah dimatikan. Hanya Nurul Ain yang masih melopong.

“Kak Long tak bohong,”ujar Kak Long tiba-tiba.

“Fahmy kasihan pada Nurul saja agaknya. Sebab hari Isnin baru ini dia ada datang pejabat Nurul. Dia minta Nurul tolak lamaran keluarganya.”

“Dia minta Nurul tolak sebab dia mahu Nurul terima dia dengan hati yang ikhlas. Bukan sebab desakan keluarga kita.”

“Betul ke?”

“Betullah! Nurul pun jangan fikir banyak sangat. Minta doa dengan Allah. Kalau Fahmy tu jodoh Nurul, mohon segala urusan akan dipermudahkan.”

Pagi Ahad esoknya, hidup Nurul Ain tambah tidak keruan. Serba tidak kena. Dia memang sengaja menunggu di hadapan rumahnya. Sengaja menyorok disebalik pokok sena. Dan pada saat sebuah Honda Jazz melalui kawasan tersebut, nafasnya terhenti sesaat dua. Dia takut sekali  Fahmy yang datang. Debaran hatinya sudah tidak menentu.

“Nasib baik bukan,”getusnya, meski ada rasa kecewa yang ikut terpalit. Sempat dia mengerling jam tangannya. Sudah pukul 7.15 minit pagi. Kenapa Fahmy belum datang?

Jangan-jangan Fahmy memang tidak mahu datang! Fahmy memang tidak sayangkan dia seperti yang dicerita oleh Kak Long petang semalam.

Wahai Nurul Ain, bawa bersabar ya. Mungkin Fahmy terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Sekejap lagi sampailah.

Sekali lagi Nurul Ain mengerling jam tangannya. Angka jam sudah bergerak menjadi 7.30 minit pagi. Hatinya semakin resah gelisah. Duduk salah, berdiri pun salah. Entah-entah Fahmy terlibat dalam kemalangan jalan raya!

Astagafirullahulazim.. Bawa mengucap Nurul Ain. Jangan fikir yang bukan-bukan.
Hatinya masih bertelagah bila sebuah Honda Jazz akhirnya berhenti betul-betul di depan rumahnya. Sekujur tubuhnya menjadi keras seketika.

“Fahmy..”bisiknya sendiri.

Terlihat dengan jelas lelaki itu membawa satu bungkus plastik. Tentu saja bungkusan itu berisi nasi lemak untuknya. Baiknya hati Fahmy!

Sumpah! Bibirnya tersenyum lebar sekarang. Hingga tanpa sedar dia sudah mengatur langkah menghampiri Fahmy.

“Untuk saya ke nasi lemak tu?”

Kepalang terkejutnya Fahmy bila tiba-tiba satu suara menegurnya dari arah belakang. Dan dia semakin terkejut bila menyedari Nurul Ain yang berdiri di belakangnya. Lengkap dengan segaris senyum hangat.

“Ya. Eh.. Bukan! Nasi lemak ini untuk Yana.”

“Untuk Kak Long? Nurul ingatkan untuk Nurul tadi. Tapi kalau Nurul yang makan, boleh kan?”
Fahmy tidak segera menjawab, sebaliknya dia menyerahkan bungkusan berisi nasi lemak itu pada Nurul Ain.

“Terima kasih,”ujar Nurul Ain. Masih juga tersenyum. Kemudian dia mencium bungkusan tersebut.

“Bau macam nasi lemak yang selalu Nurul makan,”sambung Nurul Ain lagi.
Fahmy tidak berkata apa-apa. Sebaliknya lekas-lekas memasuki perut kereta dan beredar dari situ. Meninggalkan Nurul Ain dengan senyuman mekarnya.
Kata hati Nurul Ain, Fahmy itu comel juga rupanya!

Petang itu apabila keluarga Fahmy datang bertandang, Fahmy langsung tidak berkutik dari tempat duduknya. Meski ayah dan ibunya riuh bercerita dengan keluarga Nurul Ain, dia tetap berada dalam dunianya sendiri. Peristiwa pagi tadi masih membuat hidupnya tidak tenang. Sehinggalah dia disiku oleh ibunya.

“Manis. Pandai kamu pilih calon menantu untuk ibu,”bisiknya ibunya.
Fahmy sudah mengangkat wajah. Tatapannya bersatu dengan kemilau indah Nurul Ain yang baru saja selesai menuang air minuman ke dalam cawan.

“Hai.. Ingat ini acara jelling-menjeling ke?”usik Kak Long hinggakan Fahmy tersipu-sipu mendengarnya.

“Sebenarnya kami berdua sudah bertanya dengan tuan empunya diri pagi tadi. Alhamdulillah, tuan empunya diri setuju,”ujar ayah Nurul Ain setelah agak lama sekadar menjadi pemerhati.

“Alhamdulillah,”balas ayah dan ibu Fahmy hampir serentak.

“Kalau begitu, bolehlah kita tetapkan tarikh..”

“Nanti dulu, saya nak bercakap dengan Nurul sekejap. Sepuluh minit saja,”potong Fahmy tiba-tiba. Dia sudah pun bangun dari kerusinya.

“Kenapa pula ni, Fahmy?”soal sang ibu dengan rasa curiga yang menebal.

“Nurul, kita bercakap kat luar,”pinta Fahmy, langsung tidak peduli pada soalan ibunya.

“Kami berbincang sekejap ya,”ujar Fahmy terus sebelum mengikuti langkah Nurul Ain.

“Kenapa awak terima?”soal Fahmy terus, meskipun mereka berdua belum sampai di beranda.

“Sebab Kak Long dah cerita semua pada saya.”

“Jadi awak terima hasrat keluarga saya sebab Kak Long?”

“Bukan!”nafi Nurul Ain serta-merta.

“Habis tu? Jangan main-main, Nurul. Ini bukan soal hidup bersama sehari dua. Tapi sehingga nafas terhenti.”

“Saya faham. Saya pun perlukan teman hidup saya mampu jaga saya, terima saya apa adanya dan boleh hidup dengan saya sehingga nafas terhenti.”

“Tapi awak terima saya bukan dengan kerelaan hati awak. Awak dipaksa terima saya.”

“Saya tak dipaksa.”

“Tak mungkin.”

“Tapi inilah yang sebenarnya.”

“Tak mungkin.”

“Fahmy..”

“Tak mungkin.”

“Fahmy!”

“Ya?”balas Fahmy, itupun setelah puas menggelengkan kepalanya.

“Saya terima awak sebab awak selalu menjadi pelindung saya secara senyap-senyap. Yang selalu ikhlas menolong saya tanpa mengharap sebarang alasan. Yang selalu melihat saya dari jauh. Yang selalu mendoakan yang baik-baik untuk saya. Yang selalu mahu melihat saya bahagia, yang selalu ada ketika saya kesusahan,”sambung Nurul Ain lagi.

“Saya bukan terima awak sebab Kak Long, bukan juga sebab desakan keluarga saya. Saya terima awak sebab Allah, naluri saya juga mengatakan ya.”

“Tapi..”

“Saya tak tahu macam mana rasa sayang ini boleh tumbuh dalam hati. Tapi awak sudah curi hati saya dan sekarang awak tak mahu bertanggungjawab.”

“Bukan begitu, Nurul. Cuma semua macam terlalu mustahil. Macam dalam mimpi. Saya takut bila saya terbangun, semua ni hanya khayalan indah saya saja. Pada akhirnya saya yang terluka dengan teruk.”

Tanpa menunggu lama, Nurul Ain sudah pun mencubit lengan Fahmy sekuat hatinya.

“Sakittttt!”jerit Fahmy.

“Tahu pun sakit. Jadi semua ini bukan mimpi dan juga bukan khayalan awak. Kalau awak macam-macam lagi, saya akan kata tak setuju pula.”
Hanya senyuman lebar Fahmy yang membalas segala luahan hati Nurul Ain kali ini. Kesakitan tadi terus sirna.

“Lagipun Fahmy, awak dah jadi Encik JPJ saya yang tersayang. Yang selalu sabar melayan kerenah saya sewaktu mengambil ujian lesen P. Insya-Allah, saya pun akan selalu sabar sebagaimana sabarnya awak melayan segala macam kerenah saya.”

“Terima kasih Nurul sebab hadir dalam hidup saya. Terima kasih sebab setuju dan saya minta maaf sebab tadi saya asyik ingat ini semua cuma mimpi indah saya.”

“Sama-sama, Fahmy. Jangan pernah ragu-ragu lagi lepas ni ya.”

“Baik. Terima kasih juga sebab terima pegawai JPJ macam saya yang tak kacak macam Orlando Bloom ni.”

Nurul Ain mengetap bibirnya sebelum sekali lagi mencubit lengan Fahmy dengan cubitan 360 darjah. Terjerit-jerit Fahmy dibuatnya. Kali ini suaranya lebih kuat.

“Nampaknya kita perlu awalkan tarikh kahwin mereka berdua tu,”seluruh Kak Long yang disambut tawa besar keluarganya dan juga keluarga Fahmy.

Ciri-ciri suami pilihan Nurul Ain sekarang adalah seperti berikut :
Kacak. Ini wajib. Yang pasti sekacak Fahmy. Kalau muka tidak serupa Fahmy, terus di tolak serta-merta.

Kaya? Ini pun wajib. Tapi kaya budi pekerti macam Fahmy ya. Kaya harta tapi miskin budi pekerti juga digugurkan dari senarai suami pilihan.

Rumah. Ini lagi wajib. Rumah satu tingkat macam rumah Fahmy pun diterima.
Bekerjaya. Hukumnya harus. Paling penting dia inginkan pegawai JPJ, macam Fahmy juga.

Tubuh tegap. Ini sunat saja. Badan macam Fahmy sudah cukup.

Umur? Tak kisah. Yang penting tua empat tahun macam Fahmy sangatlah dialu-alukan.

Alahai Nurul Ain. Gediknya kamu! Kenapa tak tempah saja patung lilin berupa Fahmy dan buat pengumuman begini.


“Ciri-ciri suami idaman saya ada pada Encik JPJ yang tersayang ni. Namanya Fahmy!”

14 comments:

  1. Alahai meltingnya baca cerpen ni. Apa yg kita impikan tak semstinya baik untuk kita....dapat yg penyayang macam fahmi pun ok...hahahah

    ReplyDelete
  2. hihihi.. betoi2.. PK setuju.. yg penting caring n responsible.. hahah

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. eh.. bukanlah. PK dpt idea tulis cerpen ni mase nmpak lalu depan sekolah memandu tmpat PK test JPJ.. hahahaha

      Delete
  4. yahooooooooooooo.... dah lama pass peksa JPJ.... *err.. ada kena mengena ker PK..?* hehehe....

    ReplyDelete
  5. Hahahaha
    Diary seorang nurul ain yg sengalll

    Mcm ada kena megena aje.....mcm ada aje....

    ReplyDelete
  6. PK bestt laaa cerpen niee. lain dr yg lain. thumbs up. hahaha

    ReplyDelete
  7. Salam pk. cerpen ni xde kene mngene dgn BAT ek?
    sy conpiuss hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. BAT tu versi full novel sis.. yg ni cuma versi cerpen :)

      Delete
  8. Sweet lah pk citer ni... Yg versi novel lg sweet kisah nurul & fahmi di alam perkahwinan... Nurul yg banyak brsabar dan Fahmi yg selalu mencabar... Tp sweet

    ReplyDelete