MELINA mengeluh, sangat berat. Mahu
saja dihalakan kepalanya ke dinding sembari dihantuk berkali-kali. Biar cedera
parah dan kemudian, bolehlah dia dihantar semula ke semenanjung. Jadi Melina
tidak perlu jadi cikgu di Sabah ini lagi. Cuma bila difikirkan itu idea gila,
maka Melina batalkan niat gila tersebut.
Ini cerita jujur. Melina Binti Samad
tidak sudi jadi cikgu. Melina dipaksa jadi cikgu. Semuanya sebab ini kerja
turun-temurun keluarga Melina. Bayangkan, daripada moyang sampailah ke ayah dan
ibu, profession mereka semua adalah cikgu.
"Cikgu Mel."
Nah, itu suara tuan pengetua. Melina
memang mengukir senyuman. Cuma segala macam ayat tuan pengetua, semuanya masuk
telinga kiri dan terus keluar telinga kiri semula. Melina malas nak dengar.
Otak Melina sekarang cuma ingin segera pulang ke semenanjung.
"Faham, Cikgu Mel?"
"Faham."
Sebenarnya Melina tidak faham langsung.
Alahai Mel, macam mana nak didik anak
bangsa kalau begini? Tugas sebagai pendidik belum dimulakan, tapi otak Mel
sudah melayang entah ke mana. Mel, mendidik anak bangsa itu amanah. Jangan
rosakkan amanah tersebut.
Mel tahu, Mel juga faham. Salahkan ibu
dan ayah Mel. Ayah dan ibu yang paksa Mel jadi cikgu. Cikgu subjek Kimia pula.
Memang berkimialah otak Mel.
"Cikgu baru, kan?"
Satu suara lunak menegur setelah tuan pengetua
melangkah pergi. Kalau jadi penyanyi, pasti albumnya laku keras.
Bersinar bola mata Melina melihat
pemilik suara lunak tersebut. Lebih kepada kagum sebenarnya.
Kulit pemilik suara lunak itu nampak
mulus, putih seperti cina. Tidak sama dengan kulit kuning langsat Melina.
Matanya bundar dan hidungnya begitu indah terbentuk. Itu belum disebut bibirnya
yang comel. Pokoknya, serba-serbi sempurna. Jujur yang paling jujur, Melina
jauh kalah.
"Cikgu baru, kan?"
Pemilik suara lunak itu meminta kepastian
lagi. Melina pula masih melopong. Kalau reaksi Melina pun sudah begini, apatah
lagi kalau anak teruna yang melihat pemilik suara lunak ini. Boleh jadi gila
bayang.
"Cikgu?"
"Ya. Ya. Saya cikgu baru,” balas
Melina setelah bebas daripada penyakit kagum.
"Saya Cikgu Suraya. Awak boleh
panggil saya Sue. Meja saya depan meja awak. Depan sana tu."
Tangan yang Cikgu Suraya hulur, segera
Melina sambut. Halus dan tidak kasar seperti tangan Melina. Pasti Cikgu Suraya
rajin memakai losyen.
"Melina. Panggil saya Mel
saja."
"Selamat datang ke sekolah ni dan
selamat mengajar, Mel. Selamat datang ke Tawau juga."
Bagusnya Cikgu Suraya ni. Sudahlah
cantik, berbudi bahasa pula. Sememangnya Cikgu Suraya calon isteri terbaik
untuk lelaki-lelaki bujang di luar sana.
"Saya ada kelas sekarang, bila ada
masa terluang, kita borak lagi."
Melina juga ada kelas. Bergegas Melina
ke mejanya mengambil bahan mengajar sebelum ikut keluar dari bilik guru. Melina
tidak mahu lewat walau sesaat pun pada hari pertama bertemu pelajarnya.
Begitupun, satu-satu anak tangga Melina
turuni dengan hati yang melayang. Otaknya pun ikut bergoyang-goyang. Hingga
akhirnya, matanya dipaku oleh satu susuk gagah.
Terpegun. Terkejut. Terkesima. Akhir
sekali Melina terpesona dengan hati yang telah jatuh tanpa sengaja. Lebih
tragis bila langkahnya tersilap, lalu terjadilah insiden terduduk di tepi
tangga.
Ya Tuhan, perit rasanya bila jatuh
terduduk begini. Itulah Mel, ada mata tapi tak digunakan.
"Apalah nasib, hari pertama
mengajar, jatuh tangga pula," keluh Melina sembari bahan mengajarnya
dikutip. Setelah itu kepalanya dijengah mencari susuk gagah tadi. Sepi dan
kosong koridor tersebut. Susuk gagah tadi jejaknya telah hilang.
"Salah nampak agaknya. Tak
mungkinlah orang yang sama."
Dalam keadaan berjingkit sedikit,
Melina meneruskan langkah menuju ke bilik darjah. Anak muridnya yang seramai 28
orang kelihatan leka berbual dan ketawa. Bukan main lagi mereka itu semua ya.
Tipikal pelajar tingkatan empat
beginilah. Memasuki tingkatan empat, mereka anggap sebagai tahun honeymoon, tahun berpesta dan bersuka
ria hingga lupa dunia. Tahun hadapan baru hendak serius. Mental beginilah yang
Melina nekad hendak ubah.
"Selamat pagi, cikgu!"
Suara anak muridnya yang seramai 28
orang itu bergema, tidak serentak. Jadi bunyinya seperti langau yang menghurung
tahi. Berkerut dahi Melina. Sepasang matanya dikecilkan lalu sorotannya
ditebarkan pada sekeliling bilik darjah.
"Sekali lagi. Kali ni cikgu nak
serentak dan dengan suara yang bersemangat. Jangan buat suara lembik macam
seminggu tak makan. Kalau suara lembik, semua sekali berdiri dekat luar."
“Cikgu tak sporting!”
Memang Melina tidak sporting, sebab itulah awal-awal lagi
Melina tidak sudi terjun ke dalam profession
perguruan. Melina kejam dan tidak berhati perut.
“Lagi sekali, kali ni beri ucapan
betul-betul. Kalau nak menuntut ilmu ni, biar bersemangat. Barulah apa yang
diajar pun bersemangat masuk dalam otak.”
"Selamat pagi, cikgu!"
Suara pelajarnya serentak dan nyaring.
Sebagai hadiah, senyuman paling manis Melina berikan pada semua pelajarnya.
Nanti kalau ada yang malas, siaplah yang malas itu. Melina ni, garang macam
singa.
Dan gatal juga. Pantang nampak lelaki
dahi licin, terus jatuh tangga.
Fakta salah! Jangan percaya. Jatuh
tangga tadi termasuk dalam kategori kesilapan teknikal.
Sesi suai kenal bermula, satu persatu
pelajarnya disuruh mengenalkan diri. Pelajar yang terakhir, raut wajahnya
nampak nakal sedikit. Gerak hati Melina pun mulai lain. Nampaknya Melina perlu
beri perhatian pada pelajar lelakinya yang seorang ini.
"Namaku ani Ahmad Fendi. Mun di
lagau Fendi pun boleh. Kan bertanya mun inda keberatan, Cikgu Mel ani udah
kawin ke balum?” (Nama saya Ahmad Fendi. Boleh panggil Fendi. Cikgu Mel dah
kahwin atau belum?)
Amboi, isu kahwin yang ditimbulkan oleh
Fendi ni. Bergema bilik darjah tersebut dengan suara deheman dan siulan yang
dibuat-buat. Masing-masing menyokong soalan berstatus peribadi Fendi.
“Cikgu Mel balum kawin, lakat tah lagi
bujang.” (Cikgu Mel belum kahwin, bujang lagi.)
“Wow! Wow! Wow! Cikgu Mel faham dan
pandai balas balik.”
Ini Melina Samad la. Darah pahlawan Perak
mengalir dalam diri Melina. Pantang Melina menyerah sebelum berjuang. Sebab
itulah sebelum ke Tawau, Melina awal-awal lagi sudah belajar sedikit bahasa
daerah Tawau.
“Mun miatu, basar tah hati kan sayang
Cikgu Mel ani banar-banar. Inda main-main lagi ni.” (Kalau macam ni, nak sayang
Cikgu Mel lebihlah.”
Alahai, makin ligat pula si Fendi ini
menuturkan bahasa daerahnya.
“Cikgu Mel, mun inda kabaratan kan
minta alamat rumah Cikgu Mel di semenanjung atu. Sanang jua ku maunjar.” (Cikgu
Mel, nak minta alamat Cikgu Mel dekat semenanjung. Nanti senang nak cari.)
“Nak buat apa?”
Fendi mula tersengih-sengih.
Sengihannya nampak luar biasa nakal.
“Nak suruh mak masuk meminang Cikgu
Mel.”
Kali ini bilik darjah bergema dengan
sorakan. Keadaan seperti tidak terkawal. Aduh, pening kepala Melina. Rasanya
Melina sudah cukup garang, tetapi kenapa seolah-olah Melina sedang dibuli ni?
Bukan buli wahai Melina. Sesi suai
kenal, biasalah kalau pelajar bergurau.
Ini bukan bergurau, ini sengaja
mengundang Melina bertukar menjadi singa.
“Saya ada abang Cikgu Mel. Handsome macam saya juga. Kalau Cikgu
Mel kosong lagi, Cikgu Mel boleh jadi kakak ipar saya.”
Belum sempat Melina keluarkan ngauman
singa, susuk gagah yang membuatnya jatuh terduduk tadi sedang menghayun langkah
tenang di tepi bilik darjah. Pastilah Melina besarkan mata. Hilang semua
ayat-ayat nakal si Fendi dari dalam kepalanya.
"Excuse me! Assalamualaikum! Awak yang tengah berjalan tu, tolong
berhenti."
Susuk gagah itu berhenti melangkah, dia
juga telah berpaling dengan kerutan di dahi.
Memang Melina tidak salah pandang.
Memang pemilik susuk gagah tadi, lelaki sama yang Melina jumpa di lapangan
terbang tempoh hari. Dunia ni, memang kecil.
Apa yang pasti, deheman dan siulan para
pelajarnya semakin ketara saja. Menganggu konsentrasi Melina mahu menilik susuk
gagah itu sepuas hati.
"Kelas, tolong senyap," pinta
Melina. Ekor matanya masih curi-curi melihat susuk gagah tersebut. Sayangnya
susuk gagah itu telah mula melangkah pergi.
"Cikgu Mel mengorat."
Kurang ajar, Melina dituduh mengorat
pula.
"Cikgu tak mengorat. Okey, semua
tolong buka buku teks masing-masing. Kita mulakan pembelajaran hari ni."
Maka terdengarlah bunyi-bunyi protes
daripada tipikal pelajar tingkatan 4 Dinamik, terhadap seorang cikgu bernama
Melina. Tetapi Melina peduli apa, yang Melina
pedulikan, pemilik susuk gagah tadi.
Dia, satu
sekolah dengan Melina. Cikgu juga. Nanti Melina siasat habis-habisan tentang
dia ya. Namanya, umur dan statusnya. Bila dapat, Melina kongsikan di sini.
Tunggu, sebab sekarang masa untuk mendidik anak bangsa.
***
#bersambung
#versicetak
#soon
#tunggu
Sempat gak erk cikgu mel...
ReplyDeleteBakal kiciwa
ReplyDeleteAlaaaa.. Kumbang bukan sekoq.. Eheehe
DeleteBaru bab 2..tp dah terasa2 aura sedih...
ReplyDelete