Adam Ahmad menuruni anak
tangga dapur, longlai saja langkah kakinya. Sejak tadi dia berperang dengan
bondanya yang tercinta, sejak tadi juga dia kalah. Untuk kali ini, Adam mahu
menang dengan cemerlang.
"Mak, saya tak nak
kahwin dengan Kamilia. Mak pujuklah macam mana pun, saya pasti bantah."
Bondanya yang tercinta
mengangkat wajah, sebelum kembali sibuk membersihkan sayur kobis yang telah
siap dipotong.
"Kamilia tu mak dah
pinangkan untuk kamu, dah selamat pun jadi tunang kamu. Kamu bantah macam mana
pun, tetap takkan jalan."
"Mak minta tangan
Kamilia tanpa pengetahuan saya. Tiba-tiba malam semalam mak telefon, kemudian
kata saya ni dah jadi tunang orang. Nasib baik saya tak kena serangan
jantung."
"Tak ada lagi orang yang
diserang sakit jantung sebab ditunangkan. Kalau ada, kamulah tu yang mulakan.
Tapi kamu tu belum pengsan lagi."
Bondanya sedang menyindirlah
tu.
"Mak tak nak Adam
macam-macam."
"Saya tak..."
"Kamilia yang terbaik
untuk Adam. Lagipun kalau nak tunggu kamu cari sendiri, lima tahun lagi pun
belum tentu kamu dapat. Mak kenal sangat perangai Adam tu," potong
bondanya yang tersayang. Mengeluh panjang Adam dibuatnya.
"Cari calon makmum ni
bukan boleh main-main, mak. Harus hati-hati. Mak pula lain, mak terus tangkap
si Kamilia tu dan jadikan tunang saya."
"Mak kenalah bertindak
cepat dan betul. Kalau tidak, nanti kamu tak dapat Kamilia tu."
"Saya tak tahulah apa
Kamilia tu dah buat pada mak, sampai mak macam taksub sangat pada dia,"
gerutu Adam, pun begitu masih menjaga santunnya sebagai anak.
"Mak, saya dengan
Kamilia tak serasi. Dari zaman sekolah lagi kami memang tak pernah berdamai.
Satu hal yang tak patut kalau kami nak tinggal sebumbung dan sekatil. Boleh
tercetus perang dunia baru mak," lanjut Adam bersama hujah yang dirasakan
sangat bernas.
"Banyaklah kamu berdua
punya perang. Jangan nak kelentong mak sangat."
"Saya tak kelentong,
mak. Saya bercakap hal yang betul."
Segera terbayang figura
Kamilia. Kamilia yang suka memakai cermin mata mak cik-mak cik. Kamilia yang
garang dan boyish. Kamilia yang tak pernah sebulu dengannya.
"Mak nak Adam luaskan
minda, jangan asyik nak negatif. Sekarang kamu berdua dah dewasa, hal zaman
hingusan tu, kuburkan sajalah. Kalau kamu jumpa Kamilia sekarang, mak jamin
kamu minta dinikahkan malam ini juga."
"Mak tak faham. Saya ada
Sarah."
"Sarah yang tolak cinta
kamu tu?" tempelak bondanya yang tersayang.
Pedasnya ayat bonda,
sepertinya hati Adam baru saja dilumur dengan cabai. Kuantiti cabai itu banyak!
"Mak betul, memang Sarah
belum terima saya, tapi tak lama lagi dia pasti terima saya."
Cukuplah, cukuplah setakat
ini Kamilia mencuri dengar perbualan Adam dengan bondanya. Sempat Kamilia
mengumpul nafas sebelum melangkah meninggalkan laman dapur rumah Adam. Langkahnya
jelas sedikit tidak teratur.
Maaf ya nek, kuih talam untuk
Adam dan bondanya, tidak jadi Kamilia hantar. Kamilia tidak kuat untuk memberi
salam dan selepas itu melukis senyuman.
Kamilia tidak segera masuk
sebaik saja sampai di rumah. Kamilia memilih duduk di anak tangga. Cincin di
jari manisnya ditanggalkan dan kemudian diletakkan di sisi. Setelah itu sudu
dicapai.
Seketul kuih talam disuap.
Selepas itu seketul lagi dan lagi. Rasanya sangat sedap. Adam tu rugi sebab tak
rasa air tangan Kamilia.
Kamilia menyeka pipi pula
bila ada air hangat yang jatuh. Sepatutnya air hangat ini tidak jatuh. Dunia
belum berakhir kalau Adam bukan tunangnya. Dunia masih berputar, selagi Allah
belum kata berhenti.
Nek, pinggan tak retak, nasi
pun tak dingin. Adam tak hendak, Kamilia pun lagi tak hingin.
Nek, cincin tunang ni mohon
pulangkan semula. Kamilia pasti dapat cincin yang lebih baik selepas ini.
Pasti, nek.
"Kamilia buat apa dekat
tangga tu? Kuih talam yang nenek suruh hantar tadi, dah hantar?"
Burb... Alhamdulillah,
kesemua kuih talam untuk Adam dan bondanya telah selamat Kamilia telan.
***
B.E.R.S.A.M.B.U.N.G
Nota :
PK nak beritahu, cerita ni sambungan novel Cinta Si Ikan Buntal & Si Kambing Liar Versi sambungan ni takkan ke versi cetak, cuma
versi ebook. Harga RM10.00.
Pk, nanti akak nak jugak tau...baru ylang balik bc kisah adam ngan kamilia nih...mmg xpuas baca sebab buku dia nipis saja...mmg harus ada sambungan...😅😅
ReplyDeleteNAKK
ReplyDeleteSalam how to order ebook
ReplyDeletemcm mana nak dapat ebook tu
ReplyDelete