Showing posts with label DCSL. Show all posts
Showing posts with label DCSL. Show all posts

Monday, 20 January 2014

#Bab11 - Doa Cinta Seorang Lelaki



Suraya melambaikan tangannya sebaik saja terlihat kelibat Nadine memasuki Kenny Rogers. Sayangnya Nadine langsung tidak menoleh ke arahnya.

“Nadine!”panggil Suraya yang berjaya membuat bercupak mata memberi tumpuan padanya.

“Sinilah!”gerutu Suraya sebaik saja melihat Nadine sudah berpaling ke arahnya.

“Sorry Sue, jalan jam teruk tadi kat Bukit Jalil,”ujar Nadine sebaik saja dia selamat menghampiri meja yang awal-awal lagi sudah ditempah oleh temannya itu.

“Tak apa. Sekarang kau dah sampai. Tapi aku dah order makanan dulu. Selera kau tak berubah kan?”

“Tak. Masih sama macam dulu.”

“Tapi ada yang berubah.”

Nadine mengangkat wajah. Dia menyorot Suraya lama.

“Apa dia?”desak Nadine dengan muka keliru.

Suraya sudah mengekek ketawa melihat gelagat Nadine.

“Ceritalah apa yang berubah tu. Jangan gelakkan aku pula. Aku cubit 360 darjah nanti baru padan dengan muka kau. Seminggu pun belum tentu hilang birat.”

“Amboi, garangnya! Dulu-dulu masa kita belajar, tak ada pun kau marah-marah macam ni. Nampaknya bukan muka kau saja yang berseri-seri, perangai pun sudah berubah.”

“Aku? Muka berseri-seri? Mata kau rabun ke ni?”tanya Nadine semula. Jari tangannya sudah diawang-awangkan di hadapan Suraya.

“Kau dah jumpa pengganti Amirul ya?”duga Suraya. Sempat dia mencuit lengan Nadine.

Nadine tidak segera menjawab, sebaliknya mengulum senyum lebar. Ingatannya sudah kembali pada Khairul Hussin. Lagi dua minggu Khairul Hussin akan pulang ke Malaysia dan menguruskan pertunangan mereka berdua.
Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Kalau tidak ada apa aral yang melintang, jari manisnya bakal dihiasi cincin tanda daripada Khairul Hussin.

“Diam tu tandanya betullah tekaan aku ni, kan?”desak Suraya dengan senyuman meleret.
“Siapa lelaki bertuah tu? Sampai hati kau tak kenalkan dengan aku ya. Macam ni aku merajuklah.”

“Jangan nak mengada-ngada. Kau kan kat Hong Kong beberapa bulan ni. Macam mana aku nak beritahu kau berita gembira ni.”
“Cik Nadine Qhaisara, dunia sudah canggih sekarang ni. Kalau kau nak jimat duit sangat, boleh email kat aku kan? Tak pun inform kat muka buku.”

“Cik Suraya, aku berpegang pada kata-kata ni sekarang. Sembunyikan perhubungan, rahsiakan pertunangan dan hebahkan perkahwinan.”

“Dengan aku pun kau nak berahsia ke?”

“Dengan kau tak. Orang luar saja. Kenalan rapat mesti aku beritahu.”

“Siapa saja yang dah tahu? Anne?”

“Sudah”

“Linda?”

Mengangguk.

“Sharifah?”

Mengangguk lagi.

“Nana?”

“Nana pun sudah tahu.”

“Jadi maksudnya, akulah orang terakhir yang tahu?”tanya Suraya dengan muka cemberut. Konon-konon merajuk dan minta Nadine memujuknya.

“Sekarang kan dah tahu.”

“Banyaklah!”gerutu Suraya. Muncungnya sudah panjang sedepa.

“Janganlah merajuk puan Suraya. Sudah nak masuk enam bulan kita tak jumpa, aku rindu tahu. Aku baru nak manja-manja, kau dah merajuk tarik muka empat belas. Kalau macam ni, aku pun nak tarik muka lima belas.”

Suraya menahan tawanya yang hampir meletus mendegar omelan Nadine kali ini. Agak lama dia berkeadaan begitu sebelum riak mukanya berubah serius.

“Bila kau nak bertunang ni?”

“Inilah sebabnya kenapa aku nak jumpa kau.  Kalau tak ada apa, insyaAllah, lagi dua minggu.”

“Tunang berapa lama?”

“Ikutkan enam bulan,”balas Nadine sambil menaikkan enam jari tangannya.

“Amboi! Cepatnya. Cincin dah beli tak ni?”

“Sudah. Made in Dubai lagi,”seloroh Nadine sambil melebarkan senyuman.

“Jauhnya cincin tunang kau datang. Dari oversea pula tu! By the way, persiapan dah berapa peratus? Macam tak sabar nak rakam gambar kau nanti!”

“Alhamdulillah, setakat ni sudah 80 peratus siap. Jadi hari ni aku nak kau tolong aku siapkan 10% lagi.”

“Lagi 10% macam mana pula?”

“Yang itu aku akan siapkan bila Khairul balik Malaysia.”

“Oo.. Jadi nama lelaki bertuah tu Khairul. Nama penuh dia apa?”

“Khairul Hussin Bin Kamarudin.”

“Siap bagi nama ayah,”seloroh Suraya.

“Habis, kau kata nak nama penuh.”

“Mengada-ngada! Tapi bila kau kenal dia? Kau tak pernah cerita apa-apa pun.”

“Baru lagi. Baru nak masuk dua bulan.”

“Serius? Kau tak rasa cepat sangat ke?”

“Mulanya tu aku risau juga. Tapi bila fikir kes Amirul hari tu, lebih baik aku cepatkan. Lagipun perkara baik. Bukan perkara tak baik.”

Suraya menyandarkan tubuhnya. Agak lama dia berfikir panjang.

“Apa pun aku tumpang gembira, Nadine. Hati aku ni syukur sangat. Masa Amirul main kayu tiga, aku susah sangat hendak percaya. Aku tak boleh terima percintaan kau dengan Amirul selama lima tahun boleh putus macam tu saja.”

“Benda tu lah aku nak elak Sue. Bercinta lama-lama dan kemudian putus.”

“Dengan Khairul ni kau rasa macam mana?”

“Dia caring. A very responsible guy. Walaupun kami baru jumpa lima kali, tapi dia berjaya buat aku setuju bila dia kata nak tunang.”

“Wow! Ni yang buat aku lagi semangat nak jumpa dia..”

“Semua ni ada hikmah, kan? Kalau aku tak putus dengan Amirul, aku tak jumpa Khairul Hussin.”

“Susah nak percaya Nadine Qhaisara boleh kata macam ni. Masa mula-mula kau putus dengan Amirul, dahsyat betul keadaan kau.”

“Janganlah cerita kisah dulu-dulu. Malu aku!”

“Apa yang aku boleh tolong?”

“Hari ni aku nak test baju tunang. Kau tolong tengok ya? Kalau ada yang tak kena, boleh tukar terus. Kau kan pakar perunding aku. Jadi, setuju atau pun tak, kau mesti pastikan baju aku yang terbaik dan tercantik,”pinta Nadine dengan lirikan penuh mengharap.

“Boleh! Satu jam seratus ringgit.”

“Sue!”jerit Nadine lalu tanpa ampun lagi dia sudah pun mencubit lengan Suraya yang penuh muslihat nakal itu.

“Sakitnya, Nadine. Macam nak tanggal kulit aku ni ha.”

“Padan muka. Sengaja cari pasal, kan?”
Suraya masih lagi membelek-belek lengannya yang terasa perit.

“Dahsyat cubitan kau ni, Nadine. Nanti hubby aku mesti tanya kenapa lengan aku berbirat.”

“Siapa suruh kau gedik sangat.”

“Aku gurau-gurau saja. Lagipun, kau suruh tengok saja, kan baju tunang tu?”tanya Suraya dengan senyuman meleret. Masih lagi ingin mengusik Nadine.

“Mestilah tengok dan komen sekali! Kalau tidak, aku tak kawan kau selama tiga hari,”gertak Nadine Kemudian sebelum menghirup minuman yang terhidang.

“Memang kau dah garanglah sekarang ni, Nadine. Kasihan Khairul Hussin dapat bakal isteri yang garang.”

“Kau ni kawan Khairul ke kawan aku ni? Dari tadi asyik nak jadi sekutu Khairul saja. Jumpa pun belum.”

Meletus lagi tawa Suraya. Bahu teman yang dikenalinya sewaktu menuntut di UPM di tepuk mesra.

“Aku gembira sangat sebenarnya, Nadine.”

“Aku tahu. Terima kasih Sue sebab selalu ada sewaktu aku sedih dulu. Kalau kau tak ada pujuk dan nasihat kau, aku pun tak tahu nak mulakan hidup macam mana.”

“Always remember what Ali Ibn Abi Talib AS said, do not let your difficulties fill you with anxiety,”ujar Suraya sebelum menghela nafas dalam-dalam.

“After all, it is only in the darkest nights that the stars shine more brightly,”sambung Nadine.

“Alhamdulillah, ingat lagi rupa-rupanya.”

“Insya-Allah, aku takkan lupa sampai bila-bila, Sue.”

“Pukul berapa kau nak pergi butik test baju tunang tu?”

“Lepas Zohor la, sayang. Sekarang pun dah pukul satu. Kita solat sekejap,”beritahu Nadine. Sempat dia menjeling telefon bimbitnya. Sebenarnya ada rasa bimbang yang hadir dalam senyumannya kali ini.

Sejak malam tadi, Khairul Hussin langsung tidak membalas satu pun pesanan yang dihantar. Selalunya lelaki itu paling cepat membalas setiap pesanan ringkas yang dihantar.

“Tadi senyum, sekarang monyok pula. Kenapa ni? Jangan beritahu aku kau gaduh dengan Khairul Hussin sudahlah.”

“Tak adalah. Tak ada perkara yang serius pun. Cuma Khairul belum balas msg yang aku hantar.”

“Dia sibuk kot.”

“Aku pun fikir macam tu. Tak apalah. Malam nanti aku telefon dia. Yang penting sekarang, planning kita berdua hari ni.”

“Aku akan teman kau sampai lebam!”balas Suraya sambil ketawa senang yang langsung saja dibalas tawa mesra Nadine.

Dan petang itu, Nadine kembali melakukan aktiviti kegemarannya sewaktu di universiti lagi. Dia dan Suraya memang sekepala. Dua-dua suka window shopping. 
Jadi setelah berpuas hati dengan ukuran dan rekaan baju tunangnya, terus saja tangan Suraya di tarik menjelajah dari satu kedai ke kedai yang lain.

Lewat jam sembilan malam barulah dia selamat berada di perkarangan rumah. Enjin kereta tidak segera dimatikan. Sebaliknya dia bergegas mencari telefon bimbitnya.

Bukan main lebar lagi senyuman Nadine tatkala melihat ada notis tentang kemasukan pesanan ringkas di dalam telefon bimbitnya.

“Ingatkan tak balas langsung,”gerutu Nadine. Konon-konon marahkan si Khairul Hussin. Padahal bibirnya bukan main lagi melebar dengan senyuman.

'Thanks belanja aku makan. Esok belanja lagi ya!'

Berkerut-kerut dahi Nadine membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Suraya. 
Sangkanya tadi pesanan tersebut daripada Khairul Hussin.

Lalu tanpa berfikir panjang lagi, dia sudah pun menghubungi Khairul Hussin.
Lama dia menunggu, namun panggilannya hanya di jawab oleh sang operator.

“Mana Khairul ni?”gerutu Nadine. Jari tangannya sudah menekan punat redial.

“Tak dapat dihubungi? Apa masalah Khairul ni? Buat lawak antarabangsa ke?”hati Nadine sudah mulai bertelagah. Dia masih mengomel sendirian, sehinggalah tatapannya singgah membalas tatapan anak lelaki Mak Jah.

Lekas-lekas Nadine melarikan pandangan. Mula mengira-ngira kali terakhir sorotan matanya bertembung dengan Abu Hanifah. Rasanya sudah agak lama. Nadine pun sampai hampir lupa tentang lelaki yang suka cakap lepas itu. Biarlah dia.

“Abu pandang apa?”sapa Mak Jah. Sejak tadi dia melihat gelagat Abu Hanifah.

Merah pipi Abu Hanifah bila ditangkap basah begitu.

“Jangan ralit sangat pandang ‘sesuatu’ yang bukan milik Abu. Tak elok kalau orang nampak.”

“Kesitu pula mak ni. Abu belek kasut tadi,”nafi Abu Hanifah lantas lekas-lekas mencapai remote control tv. Kemudian dia pura-pura menonton drama yang tersiar. Padahal tv yang menonton Abu Hanifah.


Mak Jah geleng kepala. Macamlah dia tidak tahu isi hati anak bujangnya yang satu itu.



Nota : Versi Cetak sudah ada dipasaran.



*** 
For latest teaser ‘n’ updates, please click the below link. TQ  :))

https://www.facebook.com/groups/584073261660707/


Sunday, 19 January 2014

#Bab10 - Doa Cinta Seorang Lelaki


​'Missing you!'

​Pesanan ringkas yang dihantar oleh Khairul Hussin serta-merta membuat pipi Nadine hangat membahang.

'​Macam mana ya? I macam tak nak balik Dubai la.'

​Begitu kata-kata yang tertulis pada pesanan ringkas kedua yang dihantar oleh Khairul Hussin. Berkerut-kerut dahi Nadine membacanya. Jari tangannya sudah lincah menaip.

'​Jangan nak mengada-ngada. Naik flight tu dan jangan lupa sms bila sudah sampai.'

​Tidak sampai seminit, telefon bimbitnya kembali berbunyi.

​'Kaki I tak nak masuk ruang berlepas la. Lainlah kalau you ada sebelah I sekarang, mesti laju kaki I masuk dalam ruang berlepas ni.'

​Nadine tergelak kecil membaca pesanan ringkas tersebut. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Khairul Hussin memang mengada-ngada.

'​I doakan you selamat sampai.'

'​Doa saja? Tak ada salam rindu.'

'​Tak ada.'

​'Betul ke tak ada ni? Kecewanya!'

'​Kalau ada pun sikit saja. Sikit sangat.'

'​Alhamdulillah. Sikit pun jadilah. Terima kasih Nadine!'

​Senyuman Nadine Qhaisara kian lebar. Ada-ada saja si Khairul Hussin itu. Perangai macam budak-budak.

​Perangai macam budak-budak pun, tapi Nadine suka, kan? Mengaku sajalah Nadine.

​Nadine menghela nafas panjang. Sebenarnya dia pun masih keliru. Dia pernah berikrar mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerja dan tidak lagi pada cerita cinta. 

Tapi nampaknya si Khairul Hussin sedang mengacau-bilau ikrarnya. Macam mana ni? Kenapalah si Khairul Hussin itu perlu muncul?

​“Betul ke Nadine datang kerja dengan seorang lelaki?”

​Nadine mengangkat wajah. Kak Alin sudah menyorotnya dengan muka penuh tanda tanya.

​Ini mesti kerja Fareed. Hanya Fareed yang melihat dia turun dari kereta Khairul Hussin tadi. Kalau tidak, masakan kak Alin pun boleh tahu.

​“Siapa beritahu kak Alin? Fareed?”

​“Bukan Fareed, kakak nampak sendiri. Buah hati baru ke?”

​Nadine sudah memandang Kak Alin dengan muka penuh curiga.

​“Kalau Kak Alin sendiri dah nampak, kenapa nak tanya lagi? Fareed, kan?”

​Kak Alin terdiam. Kemudian ketawa kecil sebelum menampar mesra bahu Nadine.

​“Baiklah. Memang Fareed yang beritahu kakak.”

​Macam perempuanlah si Fareed tu. Suka bergosip itu dan ini.

​“Siapa lelaki yang hantar Nadine tadi?”tanya Kak Alin sambil mengenyitkan matanya.

​Nadine mengeluh pendek. Tidak tahu mahu memberi jawapan apa pada soalan kak Alin.

​“Kenapa mengeluh ni? Kalau ada apa masalah, cerita pada kak Alin.”

​“Nanti kak Alin cerita pada Fareed pula,”tempelak Nadine.

​Kak Alin ketawa lagi mendengarnya.

​“Insya-Allah, takkan tersebar. Hari itu kak Alin tersasul.”

​“Siapa nama lelaki tu?”desak Kak Alin bila Nadine memilih untuk membisu.

​“Khairul Hussin. Dia anak kawan ibu Nadine. Nadine pun baru kenal dia tiga hari lepas. Itupun sebab Nadine pergi ke majlis kahwin adik dia.”

​“Lepas tu?”

​“Lepas tu dia kata dia suka pada Nadine.”

​“Lepas tu?”

​“Pagi ni dia tiba-tiba muncul depan rumah Nadine dan sarapan sama-sama.”

​“Lepas tu?”

​“Lepas tu dia hantar Nadine ke pejabat.”

​“Lepas tu?”

​“Tak ada lepas tu dah. Dia pun dah nak naik flight ke Dubai.”

​“Dubai? Dia kerja sana ke, Nadine?”

​“Jadi pilot kat sana.”

​“Nadine macam mana?”

​Nadine mengeluh ringkas. Sukar untuk ditafsirkan rasa hatinya sekarang.

​“Nadine pun sudah pening. Dia buat Nadine rasa yang Nadine tak pernah terluka sebab cinta. Dia buat hati Nadine jadi kuat untuk move on dan lupakan terus si Amirul. Dia beri keyakinan pada Nadine. Tapi entahlah.. Nadine pun tak tahu semua ni terjadi atas sebab kasihan dengan dia atau sebaliknya. Nadine harap sangat bukan sebab kasihan. Sampai sekarang, Nadine masih tak percaya Nadine dah beri harapan pada Khairul tu. Lagipun kami berdua baru sangat berkenalan. Takkan secepat ni Nadine boleh buka pintu hati Nadine. Macam tak logik sangat-sangat,”ujar Nadine panjang lebar. Pada Kak Alin diceritakan segala gundah di hati.

​Terbuka luas sepasang mata kak Alin mendengar cerita Nadine.

​“Serius ke ni?”

​Nadine menganggukkan kepalanya.

​“Dan sekarang Nadine rasa keliru dan takut.”

​“Sebab?”

​“Nadine keliru sebab begitu mudah Nadine terima dia. Nadine takut sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Nadine takut pisang berbuah dua kali, kak Alin.”

​“Kalau hati Nadine sudah yakin, jangan risau dan takut. Hadapi dengan tenang sebab setiap perkara yang berlaku ada hikmah.”

​“Entahlah, kak Alin. Macam terlalu awal dan terlalu cepat.”

​“Positif Nadine. Just follow the flow. Macam yang kak Alin selalu cakap, tak semua lelaki perangai sama macam Amirul. Lagipun Kak Alin percaya, Khairul Hussin tu mesti pilihan keluarga Nadine. Betul tak?”

​Lambat-lambat Nadine mengangguk setuju. Ibunya dengan Miera bukan main lagi jadi sekutu tegar si Khairul Hussin itu.

​“Beri peluang pada diri Nadine sendiri dan juga Khairul Hussin,”nasihat Kak Alin terus.

​“Kak Alin,”panggil Nadine.

​“Ya?”

​“Kak Alin pernah pergi Dubai, kan?”

​Mengangguk.

​“Kenapa?”

​“Kalau naik flight dari KLIA ke Dubai ambil masa berapa jam?”

​Kak Alin mengulum senyum lebar. Nadine kembali dihampiri.

​“Kalau tak salah, 7 jam lebih. Pukul berapa flight Khairul Hussin?”

​“Dia beritahu pukul sebelas.”

​“Insya-Allah, pukul 6 petang sampailah tu.”

​Percayalah, sepanjang hari ini Nadine kerap menjeling jam tangannya.

​Lambatnya hendak pukul enam!



Nota : Versi Cetak sudah ada dipasaran.



*** 
For latest teaser ‘n’ updates, please click the below link. TQ  :))

https://www.facebook.com/groups/584073261660707/



Friday, 17 January 2014

#Bab09 - Doa Cinta Seorang Lelaki



Sayu-sayup terdengar suara ibu mempelawa masuk tamu yang datang. Nadine baru saja selesai mengikat kemas rambutnya sudah disapa rasa hairan. Jarang rumahnya dikunjungi tamu seawal pagi begini. Siapa ya?

Kemudian terdengar pintu biliknya diketuk dari luar. Suara Miera memanggilnya, juga begitu nyaring.

“Kenapa ni?”tanya Nadine sebaik saja pintu dibuka.

“Ada tetamu datang. Ibu minta kakak bersiap cepat sikit. Kita semua nak sarapan sama-sama.

Nadine sudah membesarkan sepasang matanya.

Miera tergelak kecil melihat rupa terkejut kakaknya yang manis itu.

“Siapa yang datang?”tekan Nadine.

“Seorang putera raja yang datang. Dia datang nak selamatkan kakak daripada ahli sihir yang jahat.”

“Please Miera, kakak serius ni. Jangan main-main.”

“Miera pun serius. Prince charming kakak sudah sampai.”

“Sekejap putera raja sekejap prince charming. Dari tadi asyik mengarut entah apa-apa,”gerutu Nadine tidak puas hati. Mukanya sudah cemberut.

“Siapa yang datang sebenarnya ni?”desak Nadine serius. Kali ini dia sudah menangkap pergelangan tangan Miera yang nakal itu.

“Yang pasti bukan abang Abu.”

“Miera! Cakap betul-betul dengan kakak. Siapa yang datang?”

“Rahsia. Kakak turunlah tengok sendiri,”jawab Miera dengan selambanya. Bibir si nakal itu sudah lama mengukir senyum lucu.

Berkerut-kerut dahi Nadine melihat gelagat Miera yang aneh itu.

“Siapa yang datang ni?”desak Nadine untuk kesekian kalinya.

“Miera tak nak cakap. Lebih baik kakak bersiap cepat dan turun ke dapur. Kami semua tunggu kakak.”

Begitu kata Miera. Hanya membuat Nadine resah gelisah seorang diri.
Kalau saudara mara yang datang, pasti mulut Miera sudah riuh bercerita. Tapi tadi sebaliknya. Miera terlalu sengaja berahsia. Jangan-jangan Mak Jah? Fatimah ada datang sekali tak?

Ketika Nadine menuruni anak tangga lagi dia sudah mendengar tawa ayah bersatu dengan tawa seorang lelaki yang tidak dikenali. Mendadak hayunan langkah Nadine terhenti.

Lelaki? Jadi bukan keluarga Mak Jah. Tapi siapa? Kawan ayah ke? Kalau kawan ayah, buat apa Miera hendak berahsia sangat?

“Miera pun nak souvenir dari Dubai juga. Tak adil kalau kakak saja yang dapat. Betul tak, ibu?”pinta Miera.

Eh! Miera kenal ke dengan tetamu misteri tu? Bukan main lagi Miera minta souvenir dari Dubai.

“Baiklah. Abang belikan Miera souvenir juga,”ujar tetamu misteri itu.

Hisy! Tetamu misteri itu setuju hendak belikan Miera souvenir? Lagi satu, abang? Miera panggil tetamu misteri itu abang? Biar betul si Miera ni.

Nadine sudah terhendap-hendap di sebalik ruang tamu menuju ke dapur. Penuh hati-hati. Lagaknya sudah seperti pencuri amatur pula.

“Abang memang tak nak kerja kat Malaysia ke? Nanti kalau abang kahwin dengan kakak, abang mesti bawa kakak balik Dubai, kan?”

Suara Miera terdengar lagi.

Amboi! Abang kahwin dengan kakak? Miera ini kenapa? Siapa tetamu misteri yang hendak di jodohkan dengan aku tu? Putera raja dari negeri mana? Prince Charming macam pelakon yang mana satu?

“Insya-Allah, lepas kahwin memang saya berniat nak pindah semula ke Malaysia. Lagipun emak di kampung sudah semakin tua. Emak asyik bising bila saya nak pindah Malaysia semula.”

Jawapan tetamu misteri itu hanya menambahkan rasa tidak sabar Nadine untuk melihatnya. Dia sudah mengintai dari sebalik dinding. Sayangnya si tetamu misteri itu membelakanginya pula. Susahlah kalau begini!

“Alhamdulillah. Lega sikit hati makcik ni dengar kamu cakap macam tu, Khairul,”balas makcik Nazimah. Bibirnya sudah melebar dengan senyuman.

Serta-merta Nadine menegakkan tubuhnya. Mukanya sudah berubah kelat lalu langkah di hayun menghampiri tetamu yang bernama Khairul itu.

“You buat apa kat rumah I?”sergah Nadine. Mujur saja sudu yang sedang di pegang si Khairul Hussin tidak terpelanting. Dan Nadine pun sudah lupa bahawa keluarganya masih ada dimeja makan.

Terkejutnya Makcik Nazimah mendengar suara Nadine yang agak tinggi itu. Bulat mata Makcik Nazimah menyorot Nadine.

“Nadine! Kenapa cakap macam tu dengan Khairul?”bantah Makcik Nazimah. Siku Nadine sudah ditarik lalu dipaksa duduk di kerusi makan.
Nadine Qhaisara menyorot ibunya tajam.

Wahai Nadine, kamu itu masih seorang gadis melayu. Jaga tata tertib kamu. Kamu mesti bersopan santun di depan tamu.

Kalau tamu itu bukan Khairul Hussin, memang aku akan layan bagai menatang minyak yang penuh. Tapi sebab yang datang ini si Khairul Hussin yang cuma pandang paras rupa, minta maaf banyak-banyak. Jangan harap dia akan dapat layanan istimewa.

“Makcik minta maaf bagi pihak Nadine ya, Khairul. Kalau waktu pagi, perangai Nadine memang macam ni.”

“Ibu,”bisik Nadine. Air mukanya sudah berubah keruh.

Sampai hati ibu menangkan si Khairul Hussin. Ibu lupa agaknya, si Khairul Hussin itu orang luar. Nadine sebenarnya anak ibu.

“Pukul 10 nanti Khairul akan berangkat pulang ke Dubai. Jadi, dia singgah jumpa keluarga kita sekejap,”ujar pakcik Johari tiba-tiba.

Tidak berkelip mata Nadine membalas tatapan sang ayah tercinta. Tiba-tiba dia merasa telah menjadi anak terbuang. Ayah pun sudah jadi sekutu si Khairul Hussin.

“Kenapa tak makan ni Nadine?”

Benci betul Nadine mendengar soalan si Khairul Hussin.

“Kenyang.”

“Bila kakak makan?”tanya Miera dengan rupa terkejut.

“Makan hati.”

Sepi seketika.

“Tambahlah nasi lemak tu, Khairul. Jangan malu-malu ya,”tingkah makcik Nazimah dalam usahanya menghalau segala kekalutan.

“Cukup dah ni, makcik. Sudah dua kali saya tambah. Siapa yang masak nasi lemak ni? Nadine ke? Sedap.”

“Memang Nadine yang masak. Kalau Khairul suka, nanti kalau Khairul balik Malaysia beritahu makcik. Makcik suruh Nadine masak special untuk Khairul.”

Alahai, ibu sampai sanggup menipu semata-mata hendak ambil hati si Khairul Hussin. Tolonglah! Nadine masak nasi lemak? Dalam mimpi bolehlah.

“Terima kasih, Nadine,”ujar Khairul Hussin dengan senyuman mekar di bibir.

Nadine baru saja ingin membuka mulut, namun jari tangannya lebih dulu digenggam erat oleh sang ibu tersayang. Sudahnya dia membisu seribu.

“Kalau Nadine sudi, saya nak hantar Nadine ke pejabat,”pinta Khairul pada ayah dan ibu Nadine. Besar benar harapan Khairul Hussin untuk mendapat green light daripada Pakcik Johari dan juga Makcik Nazimah.

“Kalau you hantar I, macam mana I nak balik nanti?”bantah Nadine.

“Miera jemput kakak balik nanti. Miera memang nak guna kereta.”
Nadine menjeling Miera tajam. Miera ni memang nak kena!

“Baguslah! Jadi hari ni Nadine pergi pejabat dengan Khairul ya.”
Makcik Nazimah sudah membuat keputusan. Nadine Qhaisara hanya mampu menyandarkan tubuhnya. Sumpah, kepalanya sudah pening-pening lalat.

Nadine baru saja ingin memasuki perut kereta bila tatapannya bertaut dengan tatapan anak perempuan Mak Jah. Bukan main tajam lagi jelingan gadis manis bertudung litup itu.

Nadine pula yang bertambah cuak. Entah apa salahnya sehingga dia menerima jelingan setajam itu.

Sepanjang jalan hanya sepi yang mengisi suasana. Dari ekor matanya, Nadine dapat melihat betapa resahnya Khairul Hussin. Sebentar lagi kereta yang dipandu Khairul Hussin akan sampai ditempat kerjanya.

“I tahu you tak sudi naik kereta I,”luah Khairul Hussin tiba-tiba.

“Baguslah kalau you dah tahu. Tak payah susah-susah I nak inform,”balas Nadine acuh tak acuh.”

“Tapi I pelik, kalau you dah tahu, kenapa nak paksa I lagi. I paling tak suka dipaksa.”

“Sebab I percaya you untuk I.”

Berkerut-kerut dahi Nadine mendengar jawapan balas Khairul Hussin.

“I know your past, Nadine.How I wished I was your first love and not that stupid Amirul. I will bring happiness to you, cherish you all the time.”

Serta-merta Nadine menatap wajah Khairul Hussin.

“Siapa beritahu you semua ni? Miera?”

Lambat-lambat Khairul Hussin menggelengkan kepalanya.

“Makcik yang beritahu,”jawab Khairul Hussin kemudian.

Nadine mengeluh pendek. Sampai hati ibu jaja cerita cintanya yang tidak kesampaian!

“Entahlah Nadine. Lepas I tengok gambar you tempoh hari, I dah rasa lain macam. Kemudian bila kali pertama I nampak you hari tu, hati I ni dah terbersit mengatakan you adalah perempuan terakhir yang mampu bahagiakan hidup I.”
Sepi.

“Mungkin ini yang dikatakan cinta pandang pertama.”

Sepi lagi. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Nadine sudah serik dan muak dengan kata-kata sebegitu. Pada akhirnya dia yang terluka lagi. Janji manusia takkan kemana.

“Mungkin semua ni terlalu mendadak bagi you. You pun baru kenal I dan I dah luahkan isi hati. I tak nak you takut dan curiga. I akan balik ke Dubai dan I pun tak pasti bila I boleh balik Malaysia lagi. I tak nak terlepas untuk jadi calon suami you. Sebab tu I terus-terang hari ni.”

Nadine telan liurnya satu-satu mendengar isi hati Khairul Hussin yang sebenarnya. Keliru dan takut sudah bermain dalam hati Nadine. Kenal baru tiga hari. Jumpa pun baru dua kali termasuk hari ini dan sekarang si Khairul Hussin sudah mahu menjadi calon suaminya. Alamak!

“I  nak you tahu, I tak macam Amirul yang tinggalkan you untuk perempuan lain. I cuma minta sedikit peluang daripada you.”

Berdesing-desing telinga Nadine bila Khairul Hussin berkata begitu.

“Peluang? Peluang yang macam mana? I tak nampak pun keikhlasan you. You hanya pentingkan paras rupa.”

“Nadine, kita dah bincang sebelum ni tentang paras rupa tu. I tak kisah pun. I lebih pentingkan hati dan perasaan.”

Betul ke?bisik hati Nadine.

“Dan tentang keikhlasan tu, Nadine faham ke definisi sebenar ikhlas?”tanya Khairul Hussin dengan beraninya.

Nadine menatap Khairul Hussin, begitu lama. Sebenarnya dia kehilangan kata untuk menjawab soalan Khairul Hussin.

“Ikhlas ialah kedudukan paling tinggi selepas Iman. Ikhlas adalah rahsia Tuhan, sehinggakan para malaikat dan manusia sendiri pun tidak dapat mengesannya. Agama kita tidak membenarkan seseorang itu mengaku ikhlas, Nadine. Sesiapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas maka secara automatik keikhlasannya terbatal. Jadi I takkan sebut ikhlas. I tak nak keikhlasan I terbatal.”

Padan muka kamu, Nadine. Hendak sangat berdebat tentang ikhlas dengan Khairul Hussin. Siapa yang mati kutu sekarang?

“I pun tak harap you lupakan terus tentang Amirul. Cuma berikan I peluang untuk mengubati luka hati you.”

Begitu kata-kata Khairul Hussin. Lelaki itu sudah pun menghentikan keretanya di tempat letak kereta berhampiran dengan tempat kerja Nadine.

“Hati I yakin. Naluri I pun yakin. I harap you pun yakin dengan I. I sanggup tunggu sampai hati you terbuka untuk I.”

Nadine menghela nafas panjang. Sempat dia menatap Khairul Hussin sebelum membuka pintu kereta.

“Terima kasih sebab hantar I,”balas Nadine.

“Sama-sama. Jadi..”

“Jadi apa?”ulang Nadine semula.

“Jadi inilah syarikat ABC tempat Nadine bekerja tu.”

Besar lagi sepasang mata Nadine bila Khairul Hussin berkata begitu. Nadine mahu ketawa, namun ditahan sebaik mungkin. Ingat lagi rupanya lelaki itu pasal perbualan mereka tempoh hari.

“Minta maaf. I tak ada maksud nak tipu you. Cuma I tak nak cerita banyak pada somebody yang I baru kenal.”

“Tak apa. I faham,”balas Khairul Hussin sambil mengulum senyum selebarnya.

“Nadine!”panggil Khairul Hussin bila melihat Nadine sudah bersedia untuk melangkah pergi.

“Apa?”

“Terima kasih sebab beri I peluang hantar you ke pejabat.”

Berkerut-kerut lagi dahi Nadine mendengar kata terima kasih si Khairul Hussin itu.

“Okey, drive elok-elok,”pesan Nadine. Konon-konon hendak berbasa-basi.

“Nadine,”panggil Khairul Hussin lagi. Kali ini lebih lembut.

“Apa dia?”

“I akan tunggu you. I yakin you untuk I.”

Sepi. Nadine sudah kehilangan kata. Sinar mata si Khairul Hussin itu jelas terlihat ketulusan hatinya. Susahlah kalau begini! Silap haribulan, hatinya yang keras macam kerikil pun boleh jadi lembut.

Entah bagaimana, perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman. Nadine sendiri masih keliru mencari jawapan apa yang membuatnya mengukir senyum untuk si Khairul Hussin. Pelik bukan?

 “Terima kasih sebab senyum. I suka dan I harap hubungan kita tak berakhir setakat hari ini saja. Harap-harap ada kisah sambungan.”

“Insya-Allah,”balas Nadine yang membuat Khairul Hussin membesarkan sepasang matanya.

“Pandu hati-hati. Nanti bila sudah sampai, beritahu ya,”pesan Nadine sekali lagi. Cuma kali ini terdengar lebih ikhlas.

Tutur kata Nadine sudah membuat Khairul Hussin seperti berada diawang-awangan.


“Alhamdulillah.. Syukran!”bisiknya berkali-kali. Terasa seperti hendak melompat tinggi pun ada.



Nota : Versi Cetak sudah ada dipasaran.



*** 
For latest teaser ‘n’ updates, please click the below link. TQ  :))

https://www.facebook.com/groups/584073261660707/