“Jangan kacau!
Sekejap lagi saya bangunlah,”ujar Abdul Fadi. Sepasang matanya masih terpejam
rapat.
“Fadi.”
Lembutnya suara
itu memanggil.
Abdul Fadi
merenggus. Jari tangan yang sedang menyentuh bahunya segera ditepis. Namun
setelah ditepis, jari tangan itu kembali menyentuh bahunya tanpa jemu.
“Fadi, bangun.
Sudah subuh.”
Kali ini bukan
saja sentuhan, tubuhnya juga sudah digoncang. Tolonglah! Jangan ganggu tidur
saya boleh tak? Saya nak tidur ni.
Abdul Fadi, sila
bangun daripada mimpi indah anda. Anda bukan lagi berada di apartment anda di
Kuala Lumpur sana. Tapi anda sekarang berada di sebuah rumah kampung. Takkan
anda tidak sedar-sedar lagi betapa sejuknya saat ini.
Memang sejuk.
Tapi biarlah.
Matanya terlalu berat untuk mengomel tentang rasa sejuk yang melandanya
sekarang.
“Fadi.. Bangun
nak.”
Suara itu kembali
bergema. Begitu lembut memujuk. Makin lama makin kerap. Makin lama makin kuat.
“Fadi.. Cepat
bangun.”
Lebih parah, kali
ini bahunya ikut digoncang. Lalu dengan mata yang masih tertutup rapat dia
bangkit dari tempat pembaringan.
Kelopak matanya
dibuka perlahan-lahan. Senyuman lebar Mak Mah sudah menyapa. Bukan main
berseri-seri lagi wajah Mak Mah ketika ini. Sangat berbeza dengan dirinya.
Dengan mata yang
masih dipenuhi tahi mata dia terpisat-pisat. Rambutnya yang bagai baru dipukul
angin pantai digosok-gosok. Fesyen rambutnya kala ini setanding dengan sarang
tebuan!
“Sudah pukul
sembilan pagi ke?”tanya Abdul Fadi pada Mak Mah.
“Taklah. Baru
pukul lima pagi. Fadi bangun cepat ya,”pujuk Mak Mah. Isteri pakcik Mohsin itu
sudah membantu melipat selimut yang diguna oleh Abdul Fadi.
“Lima pagi? Bukan
lima petang kan?”ulang Abdul Fadi. Sekadar inginkan kepastian.
“Betul, lima
pagi. Cepat pergi bersihkan diri.”
Jam lima pagi dan
dia disuruh mandi? Maaf ada kesilapan besar di sini. Waktu bangun tidurnya pada
waktu pagi adalah tepat jam 8.30. Masih ada dua jam setengah.
Lalu tanpa
berfikir panjang tubuh kembali direbahkan. Selimutnya yang sudah dilipat kemas
kembali diraih.
Mak Mah sudah
menepuk dahi. Tidak menduga Abdul Fadi boleh seliat ini hendak bangun pagi.
“Masya-Allah..
Fadi! Bangun cepat! Sekejap lagi kita hendak solat jemaah.”
Abdul Fadi
membetulkan tubuhnya. Kemudian bantal yang sejak tadi dipeluk sudah ditekupkan
di telinganya.
“Kenapa
mak?”tanya Misha yang sudah muncul di muka pintu.
“Pakcik kamu ni
tak mahu bangun. Pening kepala mak.”
Misha tidak
membalas, sebaliknya langkah gontai diatur menghampiri Abdul Fadi. Bukan main
nyenyak lagi tidur Abdul Fadi sekarang. Sampai lupa dua beranak sudah
menggeleng kepala melihat telatahnya.
“Bangunlah
pakcik! Tak lama lagi azan.”
Abdul Fadi
langsung tidak berkutik. Tidak sampai beberapa saat, sudah terdengar bunyi
denguran Abdul Fadi. Mak Mah dan Misha saling berpandangan.
“Pakcik
bangunlah! Cepat pergi mandi!”desak Misha lagi. Kali ini dia sudah menarik
tangan Abdul Fadi supaya bangun.
“Apa lagi?”tanya
Abdul Fadi akhirnya. Rambutnya yang berserabai sekali lagi digosok sebelum
menguap panjang.
“Pakcik tu. Mak
dengan Misha kejut pun tak bangun-bangun. Misha jeritlah.”
“Ada apa
bising-bising ni?”
Terdengar suara
pakcik Mohsin pula menegur dari arah belakang.
“Pakcik tak nak
bangun,”omel Misha. Bibirnya sudah muncung panjang sedepa.
“Pakcik bangun la
ni,”ujar Abdul Fadi. Setuju dalam terpaksa.
Langkahnya
terhuyung-hayang hingga akhirnya dia terlanggar jenang pintu. Sedar-sedar
tubuhnya sudah jatuh terduduk. Matanya sudah terbuka luas. Rasa mengantuknya
terus hilang.
Dahinya disentuh,
terasa lebam dan pedih.
Meletus juga
ketawa Misha. Namun hanya sekejap bila perutnya sudah disiku sang ibu
tersayang.
“Fadi tak
apa-apa?”
“Saya okey,
pakcik.”
“Baguslah. Pergi
mandi cepat. Ambil tuala ni.”
Dengan langkah
sejuta kemalasan dia menuruni anak tangga menuju ke dapur. Tiba di anak tangga
terakhir, sekali lagi matanya terbuka luas.
“Kenapa? Dahi
kamu sakit?”tanya pakcik Mohsin.
Lekas-lekas Abdul
Fadi menggelengkan kepalanya.
“Tandas kat
luar,”luah Abdul Fadi antara dengar dengan tidak.
“Memang dekat
luar. Tapi kenapa?”
Abdul Fadi
menundukkan wajahnya. Belum pernah dia merasa terlalu kerdil di depan mata
keluarga pakcik Mohsin.
“Saya takut.”
“Apa dia?”ulang
pakcik Mohsin sekali lagi.
“Saya takut.
Gelap di luar sana tu.”
Begitu penjelasan
Abdul Fadi yang langsung saja dibalas tawa besar Misha. Lucu benar pakcik Abdul
Fadi ini. Tubuhnya saja gagah perkasa, tapi siapa sangka pakcik Abdul Fadi
takut gelap.
Alahai.. Kuatkan
semangat Abdul Fadi. Takkanlah gelap pun engkau nak takut?
“Misha teman
pakcik ya. Tapi pakcik jangan lama sangat mandi.”
Lekas-lekas Abdul
Fadi mengangguk setuju dengan cadangan Misha. Malunya sudah tidak terkira lagi.
Di sini, di kampung ini, segala kelemahannya terbongkar satu persatu. Selepas
ini entah apa lagi yang akan terbongkar.
“Misha jangan
pergi mana-mana. Tunggu sampai pakcik selesai mandi.”
“Baik pakcik.
Misha tak pergi mana-mana. Misha tunggu kat sini saja.”
Berkerut-kerut
dahi Abdul Fadi mendengar kata-kata Misha.
“Misha
janji!”luah Misha bila menyedari keraguan pada sorotan mata pakciknya itu.
“Jangan
intai,”pesan Abdul Fadi.
“Tak ada masa
Misha nak intai-intai pakcik. Kalau Lee Min Ho lainlah. Memang Misha sanggup
panjat dinding nak intai.”
“Pakcik tak macam
Lee Min Ho ke?”
“Pakcik? Lee Ling
Kup adalah!”
Abdul Fadi
mengulum senyum lebar. Hendak ketawa pun ada melihat rupa cuak Misha ketika
ini.
“Pakcik gurau
saja,”tingkahnya kemudian sebelum ketawa mengekek.
Misha mengetap
bibirnya. Kalau diikutkan rasa geram yang meraja saat ini, ingin saja dia
menakutkan pakciknya itu. Biar padan dengan muka pakcik Abdul Fadi.
“Misha,”panggil
Abdul Fadi. Sekadar memastikan Misha tidak kemana-mana.
“Misha ada kat
sini.”
Abdul Fadi
menyentuh air yang disimpan di tempayan. Rasa sejuk hingga ke tulang hitam!
Saat jirusan
pertama menyentuh ubun-ubun, hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia bagaikan
terkena arus elektrik.
“Sejukkkkkkkk!!!!!!!!”jerit
Abdul Fadi sekuat hatinya.
Demi sebidang
tanah, inilah seksaan dahsyat yang perlu dilalui. Demi kepentingan syarikat
tempatnya bekerja, inilah padah lakonan terhebatnya menipu pakcik Mohsin.
Tepat jam 05.20
minit pagi, suaranya bergema pada subuh itu. Memecahkan kesunyian subuh nan
indah yang selalunya hanya dihiasi oleh laungan azan dari masjid dan surau
berdekatan.
Mak Mah dan
pakcik Mohsin saling berpandangan. Kemudian keduanya ketawa lucu. Sedangkan
Misha yang jadi penunggu di luar bilik mandi sudah terkejut setengah mati.
Naurah yang
sedang menyediakan bahan-bahan untuk memasak mee goreng juga terkejut bukan
kepalang. Ibunya di sebelah juga sudah mengucap panjang.
“Kenapa tu
Misha?”tanya Naurah. Pintu dapur sudah dibuka luas-luas.
Misha
tersipu-sipu. Namun dia tetap menuding ke arah bilik mandi.
“Pakcik Fadi tak
biasa mandi air tempayan.”
“Pakcik
Fadi?”ulang Naurah.
Misha
sudah menepuk dahinya.
“Misha lupa nak
kenalkan dengan aunty Naurah. Pakcik Fadi ni pakcik Misha. Baru sampai petang
tadi.”
“Aunty
Naurah,”panggil Misha, separuh berbisik. Takut didengari oleh Abdul Fadi.
Naurah sudah
menjungkitkan keningnya.
“Handsome! Tapi
still tak boleh lawan hero kesayangan Misha,”balas Misha sambil tersenyum
meleret. Naurah yang melihat lekas-lekas menggelengkan kepalanya.
“Jangan
terpikat,”lanjut Misha bila Naurah sekadar endah tak endah. Geram juga hatinya
dengan perangai aunty Naurah.
“Insya-Allah,
tak.”
“Aunty Naurah
ni..”gerutu Misha. Mulutnya sudah panjang sedepa.
Sekujur tubuh
Abdul Fadi sudah terketar-ketar. Giginya ikut berlaga sesama sendiri. Tuala
sudah dicapai.
Cukuplah sekali
jirus. Dia kalah melawan kesejukan air di kampung. Benar-benar kalah. Kalau
diteruskan, dia bimbang tubuhnya bakal mengeras lantas menjadi ketulan ais.
Mandi kerbau pun mandi kerbaulah. Yang penting dia mandi juga.
“Cepat sikit
bersiap, Fadi. Kita sudah lambat hendak ke masjid,”pesan pakcik Mohsin sebaik
saja berpapasan dengan anak saudaranya itu.
Sekujur tubuh
Abdul Fadi kembali mengeras. Serius, dia sudah lama tidak menyentuh sejadah.
Sudah bertahun-tahun. Segala surah dan niat pun dia benar-benar sudah lupa.
Macam mana ni?
“Aduh!
Aduuuhhhhhh! Sakitnya perut saya ni,”ujar Abdul Fadi tiba-tiba. Perutnya sudah
ditekan.
“Kamu kenapa,
Fadi?”tanya Mak Mah. Dia sudah menerpa mendapatkan Abdul Fadi.
“Sakit perut,
makcik. Sakit perut sangat. Hendak berdiri pun tak boleh ni. Macam mana saya
nak sembahyang kalau begini?”
“Eh! Tadi molek
saja. Elok lepas pakcik ajak kamu pergi masjid, terus kamu kena sakit perut.
Ini sakit perut betul ke sakit perut yang yuk ni?”
Rasakan Abdul
Fadi! Jangan ingat pakcik Mohsin tu senang ditipu.
Pakcik Mohsin
memang senang ditipu. Aku bilang aku anak adiknya Abdullah, terus dia percaya.
Amboi.. Pandai
menjawab ya! Sudah, pergi ikut pakcik Mohsin kamu itu ke masjid.
Aku tak pandai
sembahyang la!
Kamu kan pelakon
terhebat sampai dapat menipu pakcik Mohsin.
Belum terhebat
lagi. Setelah aku berjaya pujuk pakcik Mohsin jual tanahnya, setelah itu aku
layak bergelar pelakon terhebat.
Kalau begitu kau
tiru saja apa jemaah lain lakukan. Kalau mereka ruku’ kau ruku’. Kalau sujud,
kau pun sujudlah.
Abdul Fadi
mengulum senyum tipis. Betul juga kata hatinya, tiru saja apa yang dilakukan
jemaah lain. Senang cerita. Masalah besarnya selesai!
“Pakcik makan pil
chi kit teck aun ni. Misha jamin, sakit perut pakcik akan hilang.”
Siap berpakaian,
Abdul Fadi terpaku di depan cermin. Sepasang matanya seperti enggan berkelip
lagi menatap figuranya dicermin. Sungguh, dia sendiri tidak kenal siapa lelaki
yang sedang membalas tatapannya di dalam cermin tersebut. Kelihatan begitu
suci.
Abdul Fadi meraup
wajahnya. Ada satu rasa aneh seperti meresap ke dalam jiwanya melihat dirinya
lengkap berbaju melayu, berkain sarung dan bersongkok tadi. Entahlah..
Ramainya jemaah
yang memenuhi masjid di kampung Beserah ini. Wajah mereka bersih-bersih
semuanya. Langsung tidak sama dengan wajah Abdul Fadi yang dipaliti
kepura-puraan.
Abdul Fadi
menguap panjang. Dia sempat mengeliat kecil sebelum ikut memasuki saf.
Tapi sebelum itu,
solat subuh ada berapa rakaat ya? Mahu bertanya pada jemaah lain, malu. Kalau
bertanya pada pakcik Mohsin, terbongkarlah rahsia dia tidak tahu solat.
Otaknya belum
dapat mencari sebarang idea saat Azan berkumandang. Sepasang matanya meliar ke
kiri dan ke kanan. Prinsipnya kali ini, ikut saja apa jemaah lain lakukan.
Rakaat pertama
dia lepasi dengan jayanya. Sekarang rakaat kedua. Selesai saja bertakbir, dia
terus sujud. Sepasang matanya meliar lagi.
“Eh! Kenapa lama
sangat jemaah lain nak sujud?”soal Abdul Fadi sendiri. Kepalanya sudah
dimiringkan sedikit. Memang benar, jemaah lain masih belum sujud. Masih lagi
berdiri tegak sambil menadah tangan.
“Lamanya mereka
nak sujud. Sudah hampir satu minit,”gerutu Abdul Fadi. Sudahlah setiap kali
sujud matanya cukup layu. Pasti enak kalau dapat tidur lagi dan bukan
terhegeh-hegeh mengerjakan solat seperti sekarang!
“Mereka ni buat
apa? Sujud pun susah ke?”hatinya terus bersoal jawab. Tidak dapat menahan
perasaan dia berpaling menatap jemaah di sisi kanannya, kemudian jemaah yang
lain.
"Mesti baca
doa dulu ke?"gerutu Abdul Fadi dengan dahi berkerut-kerut.
Perlahan-lahan
dia bangun semula, kemudian menadah tangan. Harapannya cuma satu, jangan sampai
ada jemaah lain yang melihat dia sujud tadi.
“Doa apa mereka
baca ni? Panjangnya!"omel Abdul Fadi lagi. Dia mahu segera sujud. Dia
paling suka sujud. Hanya ketika sujud tubuhnya merasa sangat selesa.
Akhirnya saat
yang ditunggu-tunggu tiba juga. Namun sempat juga dia menguap panjang tanpa menutup
mulutnya.
“Mengantuknya,”bisiknya
sendiri.
Saat dahinya
menyentuh sejadah, matanya dipejam rapat-rapat. Rasa mengantuk semakin
menguasai diri. Enaknya tidur...
“Fadi,”panggil
satu suara. Suara pakcik Mohsin mungkin.
“Anak saudara
kamu ni pengsan agaknya, Mohsin.”
“Ini bukan
pengsan. Ini namanya tidur,”bantah pakcik Mohsin lalu tubuh Abdul Fadi
digerakkan. Kali ini lebih kuat. Denguran Abdul Fadi benar-benar menguji tahap
kesabarannya.
“Pergi ambil
wuduk dan solat semula!”arah pakcik Mohsin saat Abdul Fadi berjaya membuka
kedua belah matanya.
Beberapa orang
jemaah ketawa kecil melihat gelagat Abdul Fadi mengeliat. Pakcik Mohsin hanya
mampu menggeleng lemah.
“Mungkin dia
penat dan tak cukup tidur,”kata pakcik Mohsin, sekadar melunakkan hati sendiri.
* * *
“Papa!”jerit
Nafiz sebaik saja terpandang figura Abdul Fadi di muka pintu.
Bukan saja Abdul
Fadi yang terkejut, malah semua penghuni rumah pakcik Mohsin. Lebih-lebih lagi
Naurah. Sepasang kemilau indahnya sudah terbuka luas. Jelas dia sangat terkejut
dengan takdir yang menemukan mereka sekali lagi. Penculik Nafiz! Gerutu
hatinya.
“Papa datang
jumpa Apiz ke? Papa rindu dengan Apiz ye?”
Lekas-lekas
Abdul Fadi menarik tangannya yang cuba diraih oleh Nafiz. Cukuplah sekali dia
dituduh cuba menculik anak kecil tersebut. Dia sudah serik.
“Macam mana Apiz
boleh kenal dengan pakcik Fadi?”tanya Misha lalu mengusap rambut halus Nafiz.
“Bukan pakcik la
kakak Misha. Tapi papa. Dulu Apiz jumpa papa. Tapi ibu tak suka. Ibu
marah-marah.”
Nafiz! Kamu
sebelah ibu atau sebelah si penculik tu?jerit hati kecil Naurah.
“Saya tak culik
pun anak dia. Tapi dia asyik cakap saya culik anak dia,”cerita Abdul Fadi. Biar
pakcik Mohsin tahu betapa malang nasibnya sejak datang ke bumi Kuantan.
Mula-mula dia
dituduh menculik. Tidak cukup dengan itu, pipinya turut menjadi mangsa penampar
perempuan tersebut. Setelah itu dia dirompak pula hingga tinggal sehelai
sepinggang.
Mujurlah dalam
kekalutan itu, muncul cikgu Qamarul sebagai penyelamat harinya yang malang.
Kini dia ditemukan semula dengan perempuan yang telah menamparnya. Apakah ini
petanda episod malang hidupnya bermula lagi?
“Senang saja tu.
Salah faham saja. Jadi kita jernihkan sekarang. Naurah, ini Abdul Fadi. Anak
saudara pakcik, baru datang dari Kuala Lumpur.”
Abdul Fadi
terpegun. Segera terbayang cerita-cerita Hakimi tentang Naurah. Naurah sulit
dipujuklah. Naurah tidak sudi keluar makan bersamalah.
Jadi ini dia
Naurah, jiran sebelah rumah pakcik Mohsin yang menjadi punca utama Pakcik
Mohsin enggan menjual tanahnya.
Kalau Hakimi
mengatakan Naurah sulit dipujuk dan tidak sudi keluar makan bersama, dia pula
mengatakan Naurah itu garang bagaikan singa dan suka tuduh tanpa usul periksa!
Namun untuk
menjayakan misinya memujuk pakcik Mohsin menjual tanahnya, dia perlu juga
melembutkan Naurah yang keras hati lagi garang. Ada siapa-siapa punya cadangan
bagaimana mahu melentur Naurah yang garang ini?
“Assalamualaikum..”
Suara itu begitu
sedap didengar. Siapa lagi kalau bukan suara cikgu Qamarul. Tidak sampai
beberapa saat cikgu Qamarul sudah tercegat dimuka pintu.
Sebaik saja
sorotan matanya melihat Naurah, percayalah, tatapan matanya tidak mahu berkalih
lagi. Naurah sudah menjadi objek perhatiannya sejak hari pertama lagi dia
berada di sini. Sekeping hati lelakinya sudah dicuri Naurah.
Abdul Fadi
mengulum senyum panjang. Sekali pandang pun dia sudah dapat meneka cikgu
Qamarul ada hati dengan Naurah. Kalau begini, rancangannya tambah mudah. Cikgu
Qamarul akan digunakan untuk melentur Naurah sendiri.
“Langkah kanan
kamu, Qamarul. Kami semua baru hendak sarapan. Jemput sekali. Naurah masak mee
goreng hari ini.”
“Naurah yang
masak? Mesti sedap!’
Naurah yang
mendengar tersenyum manis. Manis sekali hingga berjaya membuat cikgu Qamarul
tambah mabuk kepayang. Hanya Abdul Fadi yang jengkel mendengar pujian cikgu
Qamarul.
Belum rasa sudah
kata sedap. Kalau hendak menarik perhatian Naurah pun biarlah berpada.
“Siapa nak baca
doa makan hari ni?”aju Mak Mah sambil menatap Nafiz.
“Papa! Apiz nak
papa baca doa makan hari ni,”teriak Nafiz. Dia sudah pun menarik sebuah kerusi
di sisi Abdul Fadi.
“Hah!”
Abdul Fadi sudah
tercengang. Bala apa pula yang datang. Selama ini dia hanya menyebut Bismillah.
Itupun kalau dia ingat. Kalau terlupa, memang dia tidak membaca apa-apa sebelum
makan.
“Cepatlah papa.
Apiz lapar ni.”
“Apiz, panggil
pakcik. Mana boleh panggil papa.”
“Tak mengapa,
Naurah. Biarlah dia panggil saya papa. Saya tak kisah. Asalkan Apiz bahagia.”
Tapi cikgu
Qamarul kisah! Hatinya sudah terasa lain macam melihat kemesraan Nafiz dan
Abdul Fadi. Sehari saja dan mereka berdua sudah seakrab ini?
“Tak elok
begitu.”
“Saya tak kisah,
Naurah,”tegas Abdul Fadi.
Amboi.. Baiknya
hati Abdul Fadi. Padahal dia adalah lelaki yang tidak suka dengan budak-budak.
Menurut Abdul
Fadi, budak-budak hanya menyusahkan. Hanya pandai membuat sepah, menangis dan
membuat hati ayah dan ibu susah. Tapi demi tanah pakcik Mohsin, dikebalkan
hatinya melayan Nafiz sehabis baik. Prinsipnya yang tidak suka budak-budak
ditolak ke tepi dulu.
“Papa baca doa
makan sekarang.”
Semua orang
dimeja makan sudah menadah tangan. Abdul Fadi sudah terkumat-kamit membaca doa.
Tidak sampai sepuluh saat, dia sudah mengaminkan doanya.
“Amin..”balas
yang lain hampir serentak.
Abdul Fadi
mengangkat wajah. Buat pertama kalinya hadir rasa bersalah dalam dirinya kerana
menipu semasa membaca doa makan tadi. Dia tidak membaca apa-apa. Hanya bibirnya
yang digerakkan. Dia sudah terdesak, harap dimaafkan!
*
* *
“Inilah dusun
durian kita. Pakcik sengaja bawa kamu ke sini sebab tanah ini sepatutnya milik
ayah kamu. Pakcik hanya menjaganya saja,”beritahu pakcik Mokhsin setelah mereka
tiba di dusun. Pokok-pokok durian memenuhi dusun tersebut. Di bahagian kanan
terdapat lebih kurang 15 batang pokok manggis.”
“Besar juga dusun
ni.”
“Bulan lepas ada
syarikat perumahan hendak beli tanah ini. Pakcik hampir menjualnya sampailah
Naurah beri pakcik nasihat. Pakcik sudah nekad, tanah ini pakcik akan pulangkan
semula pada ayah kamu. Sementara menunggu ayah kamu pulang, pakcik akan tolong
jaga. Hasil buah-buahan di sini memang pakcik asing dengan hasil buah-buahan
tanah yang satu lagi di baruh. Pakcik akan serahkan pada ayah kamu juga. Pakcik
harap Fadi boleh pujuk ayah Fadi pulang ke kampung.”
“Larat ke pakcik
jaga dua dusun? Pakcik ada ambil pekerja?”
“Pakcik senang
lakukan semua kerja-kerja di dusun. Dulu ada juga pakcik gaji pekerja, tapi
itulah, pecah amanah.”
“Saya risau
kesihatan pakcik. Saya rasa ada baiknya kita jual tanah ni. Saya tak sanggup
tengok pakcik bersusah payah macam ni. Lagipun saya percaya ayah saya tak
berminat dengan tanah ni. Kalau dia masih berminat, pasti dari dulu lagi dia
sudah tuntut.”
“Pakcik pun ada
fikir semua tu. Tapi ini tanah pusaka, Fadi. Pakcik takkan jual.”
Begitu tegas
suara pakcik Mohsin, begitu dalam jugalah rasa kecewa yang dialaminya.
“Pakcik nak minta
tolong kamu, Fadi.”
“Apa dia pakcik?”
“Tolong pakcik
racun rumpai di kawasan pokok-pokok manggis tu. Pakcik akan sembur di kawasan
pokok-pokok durian ni. Selepas semua ini siap, kita ke baruh. Jumpa Naurah.
Naurah ada bawa bekal untuk kita makan tengahari.”
Demi tanah pakcik
Mohsin, apa saja sanggup Abdul Fadi lakukan. Termasuklah meracun rumpai.
Semangatnya jadi berkobar-kobar. Apatah lagi melihat betapa mudahnya pakcik
Mohsin melakukan kerja.
Namun sebaik saja
dia cuba menggalas penyembur racun rumpai tersebut dia terkejut. Beratnya
Nauzubillah!
Bahunya sakit
sekali. Buat seketika dia berjalan terhuyung-hayang setelah gagal mengimbangi
berat penyembur tersebut.
“Boleh ke, Fadi?”
“Boleh pakcik!
Kerja senang saja ni,”tingkahnya meski sebenarnya dia sudah berpeluh-peluh.
Mungkin ada enam
kali dia berhenti rehat. Hasilnya separuh daripada kawasan pokok-pokok manggis
sudah selesai disembur dengan racun rumpai. Lututnya sudah terketar-ketar. Dia
kelelahan, kepenatan dan benar-benar perlukan rehat yang mencukupi.
“Susah siap?”
“Belum pakcik.
Tak sangka penyembur ni berat sangat.”
“Fadi tak biasa
lagi tu. Mari sini, biar pakcik tolong kamu.”
“Pakcik sudah
siap sembur kawasan pokok-pokok durian?”
“Sudah.”
Aduh! Malunya
Abdul Fadi. Pakcik Mohsin yang berumur hampir mencecah 50 tahun itu begitu
handal menyembur racun rumpai. Sedangkan dia baru separuh sudah mengangkat
bendera putih.
Tidak sampai
setengah jam, pakcik Mohsin selesai menyembur rumpai. Fadi malu sekali. Sejak
tadi mukanya ditundukkan.
“Minta maaf,
pakcik. Saya tak dapat membantu sedikit pun,”akuinya kemudian. Dia jujur saat
menuturkan kata maaf itu. Hatinya memang diburu rasa bersalah. Satu perasaan
yang sering hadir sejak akhir-akhir ini.
Melihat peluh
renik yang berlumba-lumba tumbuh di muka pakcik Mohsin benar-benar membuat hati
Abdul Fadi tidak keruan. Nafas pakcik Mohsin yang termengah-mengah benar-benar
membuat dia merasakan dia seorang lelaki tidak berguna. Menyembur racun rumpai
pun dia tidak mampu. Yang mampu dia lakukan hanyalah menyamar sebagai anak
saudara pakcik Mohsin dan menipu lelaki itu.
Soal agama memang
dia kosong. Suka pentingkan diri sendiri. Penuh kepura-puraan. Bijak menipu dan
yang terakhir, tidak boleh diharap langsung!
Teruknya kamu
wahai Abdul Fadi. Memalukan kaum lelaki saja!
“Pakcik sudah
lapar sangat. Kita pergi tempat Naurah sekarang ya.”
Dia menurut saja.
Dia sudah hilang suara untuk berkata-kata. Dia benar-benar merasakan dirinya
hanya seorang yang menyusahkan. Dia bagaikan satu beban pada semua orang.
Sepuluh minit perjalanan,
mereka tiba di dusun durian Naurah. Naurah tidak kelihatan dimana-mana. Yang
kelihatan hanyalah cikgu Qamarul. Dimana ada Naurah, di situ dia melihat cikgu
Qamarul. Apa istimewanya Naurah itu pun dia tidak tahu. Yang jelas di matanya
hanyalah sifat garang Naurah!
“Kamu ni dari
mana, Qamarul?”tanya pakcik Mohsin.
“Baru balik dari
sekolah, pakcik. Kemudian saya terus ke sini. Saya nak ambil durian yang jiran
saya tempah dengan Naurah.”
“Baiknya kamu ni,
Qamarul. Jiran kamu yang tempah, kamu yang tolong ambilkan,”luah pakcik Mohsin
sambil tersenyum simpul. Lirikan matanya penuh usikan hingga cikgu Qamarul jadi
malu.
Cikgu Qamarul
menggaru-garu kepalanya.
“Sebenarnya
pakcik, sudah lama saya hendak tanya. Sampai sekarang saya belum pernah jumpa
suami Naurah. Suaminya ada dimana?”
“Suami?
Masya-Allah!. Naurah belum berkahwin. Dari mana kamu dapat berita Naurah sudah
kahwin ni?”
“Apa?!”tanya
cikgu Qamarul dan Abdul Fadi hampir serentak.
“Habis, Naja
dengan Nafiz tu siapa?”tanya cikgu Qamarul lagi. Degupan jantungnya berdegup
dua kali lebih deras. Rasanya dia ingin melompat tinggi dengan cerita yang
dibawa pakcik Mohsin.
Naurah belum
berkahwin? Naurah tidak terikat dengan mana-mana lelaki bergelar suami? Ya
Allah! Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
“Naja dengan
Nafiz anak saudara Naurah. Anak arwah Naeim, kakak Naurah. Selepas kematian
kakaknya, Naurah lepaskan segalanya termasuk kerjayanya sebagai jurutera di
Petronas. Dia pulang ke kampung menjaga Naja dan Nafiz. Dia juga memilih
untuk menjaga dusun buah-buahan peninggalan keluarga mereka.”
Abdul Fadi sudah
ternganga mendengar cerita tentang Naurah. Naurah yang berjawatan sebagai
jurutera sanggup menjadi pengusaha durian? Naurah yang garang itu? Naurah yang
disangkanya orang kampung dan tidak berpelajaran itu?
“Alhamdulillah...
Terima kasih sangat-sangat, pakcik. Hati dan jiwa saya sudah tenang sekarang.”
“Kenapa, kamu
fikir pun Naja dan Nafiz itu anak Naurah?”
Mengangguk.
Pakcik Mohsin
sudah ketawa besar. Patutlah cikgu Qamarul begitu teragak-agak untuk memikat
Naurah. Rupa-rupanya ada salah faham besar.
“Sebenarnya
pakcik, saya pun fikir Naja dengan Nafiz itu anak Naurah.”
“Kamu pun
sama?”tanya pakcik Mohsin.
Mengangguk juga.
“Kamu berdua ni,
buat pakcik nak ketawa tergolek-golek. Jadi sekarang apa kamu berdua nak buat
setelah tahu Naurah belum berkahwin.”
“Saya biasa-biasa
saja, pakcik. Tak tahulah cikgu Qamarul. Siapa tahu dia hantar rombongan
meminang.”
“Insya-Allah.
Akan saya lakukan begitu,”balas cikgu Qamarul penuh yakin.
Senyuman Abdul
Fadi dan pakcik Mohsin terhenti. Keduanya menyorot cikgu Qamarul tajam.
“Saya serius.
Kali pertama bertemu hati saya sudah terbersit dengan indah.
“Cuma memikirkan
Naurah isteri orang, jadi saya berpada-pada. Takut menimbulkan salah faham dan
fitnah.”
“Alhamdulillah..
Pakcik sokong kamu. Kalau kamu ada apa-apa masalah, macam hendak memujuk Naurah
terima lamaran kamu, beritahu pakcik cepat-cepat. Tahulah isteri pakcik pujuk
Naurah sampai Naurah terima lamaran kamu.”
Apalah yang bagus
sangat dengan Naurah itu? Apalah yang istimewa sangat dengan Naurah hingga
cikgu Qamarul mabuk kepayang begini. Sila jelaskan!
“Kenapa tak
panggil Naurah tadi? Dah lama tunggu kat sini?”
Suara lembut
menyapa mereka semua dari belakang. Saat mereka semua berpaling,
Naurah sudah
berada di belakang mereka. Masih lagi dengan baju kerjanya. Masih juga membawa
penyembur racun rumpainya.
Straw hatnya
ditanggalkan kemudian dikibas-kibas. Teriknya cahaya matahari hari ini.
Kulitnya sudah memerah. Peluh renik membasahi wajah.
“Awak pun sembur
racun rumpai?”tanya Abdul Fadi.
Percayalah, dia
terkejut melihat Naurah juga melakukan penyemburan rancun rumpai. Mendadak saja
dia merasakan dirinya benar-benar tidak berguna.
Setakat
dikalahkan dengan pakcik Mohsin ketika menyembur racun rumpai dia masih boleh
terima. Tapi tidak bila ternyata Naurah juga jauh lebih kuat berbanding
dirinya. Alahai.. Malunya!
Abdul Fadi diam
tidak berkutik. Hanya ekor matanya saja yang sekali-sekala menjeling kearah
Naurah. Semakin lama semakin kerap dia menatap wajah tenang itu. Sebenarnya
Naurah itu manis juga orangnya. Tanpa sebarang riasan di muka pun Naurah sudah
cukup jelita. Cuma sifat garangnya itu yang mencacatkan pakejnya itu.
Tapi dia bukan
garang tidak bertempat. Dia garang pun sebab Nafiz hilang tempoh hari. Salah
kamu juga. Siapa suruh bawa Nafiz pergi tanpa pengetahuannya. Memang padan
dengan muka kamu dituduh cuba menculik.
“Baiklah! Naurah
tidak garang. Naurah memang manis. Naurah memang cantik. Naurah penuh
kelembutan. Naurah penuh kesopanan. Naurah penuh sifat keibuan,”tutur Abdul
Fadi di luar sedar.
Cikgu Qamarul
sudah menatap Abdul Fadi setengah tidak percaya. Begitu juga pakcik Mohsin.
Naurah sudah mengerutkan dahinya.
Sepi. Hening
seketika. Abdul Fadi meneguk liurnya yang dirasakan pahit tiba-tiba. Kerana
terlalu leka bertelagah dengan hatinya, dia sudah terlepas cakap.
“Kamu pun ada
hati dengan Naurah juga? Macam cikgu Qamarul?”usik pakcik Mohsin.
Lekas-lekas Abdul
Fadi menggelengkan kepalanya. Dia ada hati dengan Naurah? Tidak, tidak, tidak,
tidak dan tidak! Kata pujiannya tadi sekadar ucapan biasa, tidak sampai ke relung
hati. Dia tidak ikhlas memuji Naurah!
Betul ke ni?
Nampak macam ikhlas sangat sewaktu kata pujian itu dituturkan.
Betullah!
* * *
Abdul Fadi
mengeluh berat. Sudah hampir sebulan dia di sini. Namun sehingga sekarang dia
belum berhasil memujuk pakcik Mohsin berbincang tentang tanah tersebut. Ada
saja halangan yang datang. Pening kepala Abdul Fadi memikirkan perkara
tersebut.
Kalau berterusan
begini, kemungkinan mereka tidak berjaya membeli tanah pakcik Mohsin sangat
besar. Bagaimana ya? Pakcik Mohsin itu begitu bijak sekali. Setiap kali isu
tanah dibangkitkan, laju saja lelaki separuh umur itu mengubah topik.
Dia menjeling jam
tangannya. Sudah hampir masuk waktu Asar. Ada satu perubahan besar sejak dia
tinggal di sini. Dia sudah tahu bila masuknya waktu solat.
Paling penting,
dia sudah mengerjakan solat hasil khutbah panjang lebar pakcik Mohsin dan
Naurah. Dia juga sudah pandai mengaji. Meski masih merangkak-rangkak, namun dia
tetap bangga dengan pencapaiannya. Tapi itulah, hasrat untuk membeli tanah
pakcik Mohsin masih belum berjaya direalitikan.
“Kemana pula
Misha ni pergi?”gerutu Mak Mah. Dia sudah muncul di muka pintu bersama sebuah
dulang berisi makanan.
“Kenapa makcik?”
“Makcik nak suruh
Misha hantar dulang ni ke rumah Naurah. Semalan Naurah bilang mahu makan bubur
kacang dengan durian.”
“Tak apalah,
makcik. Biar saya yang tolong hantar.”
Dulang sudah
bertukar tangan. Memang sejak dulu lagi dia memang teringin sekali untuk masuk
ke dalam istana si Naurah itu. Belum pernah sekalipun dia memasuki istana kayu
itu. Selalunya memang Naurah yang bertandang ke rumah pakcik Mohsin.
Rumah Naurah sepi
sewaktu dia memasuki ruang tamu. Sepasang mata Abdul Fadi bagaiman enggan
berkelip lagi. Bayangkan! Hanya ada set kerusi rotan yang nampak begitu usang.
Set televisyen di rumah ini juga sudah lama. Hanya komputer riba saja yang
kelihatan mengikuti peredaran zaman.
Biar betul si
Naurah ini! Kalau hendak dibandingkan dengan segala macam kelengkapan barangan
elektrik di rumahnya, Naurah jauh ketinggalan! Naurah bagaikan hidup di zaman
70-an.
Aduhai Naurah
yang rupawan, kamu bukan tidak mampu membeli set kerusi atau tv yang baru.
Wahai Encik Abdul
Fadi, Naurah itu memilih cara hidup bersederhana. Bukan macam kamu. Pemboros!
Pantang melihat benda canggih sikit mulalah 'menggeletik' hendak beli.
“Apiz pergi mana
tu? Balik sini cepat. Nasi ada lagi ni. Nanti nasi ni nangis, ibu tak tahu.
Malam-malam Apiz mimpi nasi ni kejar Apiz.”
“Apiz tak takut
pun!”
Naurah yang
mendengar ucapan Nafiz mengetap bibirnya. Dia sudah bangun untuk menangkap
tubuh kecil Nafiz. Nafiz yang memang terkenal dengan nakalnya mula ketawa
sambil melarikan diri daripada ditangkap oleh Naurah.
“Apiz!”tingkah
Naurah.
Namun segala
kata-katanya tersekat setelah melihat ada tamu yang berkunjung. Bulat matanya
membalas sorotan mata Abdul Fadi. Namun bulat lagi mata Abdul Fadi.
Lelaki itu sedang
menatapnya dengan rupa terkejut. Tidak berkutik sejak tadi. Tapi
percayalah, dia lebih terkejut sekarang! Berderau darahnya berdepan dengan
Abdul Fadi.
Tidak sampai dua
saat Naurah berpusing lekas-lekas turun semula ke dapur. Debaran begitu jelas
terasa. Dia meraup wajahnya lambat-lambat. Terasa hangat membahang.
Abdul Fadi itu
pun satu. Salam langsung tidak diberi. Tak elok masuk rumah orang tanpa
kebenaran.
“Kenapa muka kamu
ni pucat sangat?”soal ibunya yang baru keluar dari kamar mandi.
“Ibu naik atas.
Ada tamu.”
“Siapa?”
“Abdul Fadi ada
atas. Ibu layan dia ya.”
“Naurah?”soal
ibunya lagi.
“Naurah tak pakai
tudung ni.”
Ibu
manggut-manggut. Sekejap saja ibu sudah berbual mesra dengan Abdul Fadi. Hanya
Naurah saja yang terhendap-hendap dari celah jenang pintu. Takut di lihat oleh
Abdul Fadi.
Abdul Fadi masih
tersenyum-senyum sewaktu menuruni anak tangga rumah Naurah. Hati lelakinya
bernyanyi senang. Naurah tanpa tudung rupa-rupanya begitu indah. Indah sekali!
Naurah yang manis itu tampak lebih manis tadi. Patutlah Naurah memakai tudung.
Kalau rambutnya di biar lepas, pasti ramai yang mabuk kepayang macam cikgu
Qamarul.
Haih.. Cikgu
Qamarul saja ke?
Abdul Fadi
tersipu sendiri. Bayangan Naurah sudah menjadi hantu, mengekorinya terus.
Hingga tanpa sedar bahunya disentuh dari belakang. Lekas-lekas dia menoleh.
Siapa tahu, Naurah yang menyentuh bahunya.
Ternyata bukan
Naurah. Tapi Cikgu Qamarul. Lelaki itu sudah tidak lepas-lepas lagi menyorot
Abdul Fadi tajam. Sejak tadi dia menjadi penonton setiap pada segala telatah
Abdul Fadi.
“Bila
sampai?”soal Abdul Fadi.
“Tadi lagi,”balas
cikgu Qamarul.
“Dari mana
ni?”lanjut cikgu Qamarul.
“Rumah Naurah.”
“Buat apa?”aju
cikgu Qamarul lagi.
“Hantar bubur
kacang.”
“Keluarga saya
akan datang ke sini hantar rombongan merisik Naurah,”cerita cikgu Qamarul
terus.
Senyuman bahagia
Abdul Fadi sirna. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Hanya tatapannya yang
mengekori langkah kaki lelaki itu menuju ke rumah Naurah.
Duduk salah.
Berdiri pun salah. Semuanya serba tidak kena setelah cikgu Qamarul meluahkan
hajatnya untuk merisik Naurah.
Ini tidak boleh
jadi! Naurah itu siapa? Dia kan orang biasa-biasa saja. Pedulikan Naurah!
Lagipun dia ke sini kerana hendak membeli tanah pakcik Mohsin! Bukan hendak
mencari isteri macam cikgu Qamarul.
Tapi hatinya
sangat berat untuk melepaskan Naurah. Perasaan apakah ini? Kenapa hatinya
sangat sakit melihat cikgu Qamarul dan Naurah. Hatinya juga sudah pandai
cemburu sekarang.
“Aku ke sini
hendak memujuk pakcik Mohsin. Aku ke sini kerana sebuah tanah. Aku ke sini
bukan kerana Naurah!”Abdul Fadi mengingatkan dirinya sendiri.
Nafasnya kembali
diatur dengan tenang. Sekali-sekala dia menjeling pintu rumah Naurah. Berharap
cikgu Qamarul lekas-lekas keluar rumah tersebut.
Hatinya tidak
tenang selagi cikgu Qamarul ada di sana.
Cikgu Qamarul
itupun satu. Mentang-mentang sudah tahu Naurah masih belum berkahwin, terus dia
hendak hantar rombongan merisik.
Akhirnya setelah
hampir setengah jam, cikgu Qamarul keluar juga dari rumah
Naurah. Senyuman
cikgu Qamarul hingga ke telinga. Wajahnya berseri-seri bagaikan bulan
mengambang pula.
“Macam mana,
Qamarul?”tegur Mak Mah yang entah muncul dari mana. Cikgu Qamarul sudah
digamit.
“Alhamdulillah..
Mereka setuju.”
“Syukurlah.. Jadi
bila mak dan ayah Qamarul hendak datang sini.”
“Insya-Allah,
kalau tak ada apa-apa aral melintang esok petang, lepas zuhur mereka akan
sampai.”
“Apa? Esok?
Cepatnya!”jerit Abdul Fadi sekuat hatinya. Dia sudah gagal mengawal emosinya.
Segalanya sudah dihamburkan melalui ekpresi muka dan nada suaranya.
“Encik, bangun.
Encik sudah sampai Kuantan. Bangun encik!”
Lekas-lekas Abdul
Fadi membuka matanya. Pemandu bas Plus Liner yang dinaikinya dari Kuala Lumpur
tadi sudah melemparkan senyum panjang. Dia memandang sekeliling. Tenyata semua
penumpang sudah turun. Tinggal dia seorang diri.
“Aku mimpi
rupanya,”bisiknya sendiri. Tapi sungguh, mimpi tadi benar-benar bagaikan
kenyataan.
“Naurah.. Naurah
yang manis sekali,”ujar Abdul Fadi. Begitu jelas dan kuat sehingga pemandu bas
yang membangunkannya hanya mampu menggeleng kepala.
“Saya tidak gila,
pakcik pemandu bas!”
Duhai hati,
jangan jadikan mimpi itu kenyataan. Sila ingat misi utama kita bersama. Kita
berdua akan menyamar menjadi anak saudara pakcik Mohsin. Kita akan pujuk pakcik
Mohsin habis-habisan hingga dia menjual tanahnya. Tentang Naurah, abaikan dia.
Jangan jatuh cinta dengan dia.
Kalau Naurah yang
jatuh hati dengan kita bagaimana?
Entah!
#TAMAT
Nota PK : Hanya
secebis kisah dari versi novel. Sila tunggu versi novel release ya!
Unbelievable.....speechless.... - jumay jue
ReplyDeleteBelieve.. Talkative.. Hahahaha
DeleteMimpi yg akan jd kenyataankah?...
ReplyDeleteOpkos la daling.. Ad 56 chapter sume.. Hahahah
ReplyDelete56 chpter?? Byk gak tu.....mcm dh siap je mss nya....hihihi - jumay jue
DeleteOpkos dah siap. Manuskrip ni dulu sblm DCSL. Hahahahha
DeleteBestnye.. gelak2 kita baca.. kelakar la hero dia.. hihi.. wish you gud luck
ReplyDeletetunggu yer versi novelnyer.. ngeh3
DeleteI enjoyed readingg this
ReplyDelete