Suasana sibuk menyelubungi ruang
legar Hospital Tawakkal yang masih berdiri
kukuh di tengah-tengah Bandaraya
Kuala Lumpur. Orang ramai kelihatan berpusu-pusu memasuki hospital yang telah
berdiri gah selama 25 tahun itu.
Di satu bilik, rasa cemas masih
menghantui sekeping hati seorang ibu tua. Pilu di hati ibu tua itu tidak tertanggung
lagi setiap kali sepasang mata tuanya meleret pada wajah pucat anak lelakinya.
Jari tangannya sudah menyentuh
tangan Faris Hayyi yang dingin. Tangan anak lelakinya itu dielus lembut. Berdoa
dengan sejuta harapan Hayyi akan segera membuka mata.
“Buka mata, Hayyi. Hayyi dah tidur
lama sangat. Buka mata ya?”lembut saja suara ibu tua itu memujuk anaknya supaya
lekas bangun.
Sepi. Langsung tiada sebarang tindak
balas daripada Hayyi. Hayyi masih lagi tidur dengan nyenyak. Hayyi enggan
bangun. Hayyi enggan memujuk hati ibunya yang gundah. Dia memilih untuk tidur
dan bebas daripada belenggu dunia.
“Hayyi..”seru sang ibu terus. Begitu
sayu dan perlahan. Begitu mencengkam jiwa tuanya yang lara. Dia hanya ingin Hayyi
lekas-lekas sedar dan kembali pada pangkuan keluarga.
“Hayyi,”panggil sang ibu lagi, lebih
kuat dari sebelumnya. Renungan matanya kian redup.
“Hayyi tak kasihan dengan ibu ke?
Ibu tak sanggup tengok Hayyi dalam keadaan macam ni. Hati ibu sakit sangat.
Buka mata Hayyi! Buka mata sekarang!”jerit ibu tua itu. Dia sudah gagal
mengawal emosi yang berkecamuk.
“Sabar makcik. Bawa bertenang. Nanti
Hayyi pasti akan buka mata,”pujuk doktor Danish. Risau juga hatinya melihat
kedaan ibu Hayyi.
Hanya esakan yang membalas kata-kata
pujukan doktor Danish. Agak lama ibu tua itu berkeadaan begitu sebelum kembali
mengelus lembut rambut anak lelakinya.
“Ibu datang. Tolong buka mata
sayang,”lanjut sang ibu tua itu kemudian. Masih
memujuk anaknya supaya segera
bangun. Doktor Danish di sisinya sudah lama memicit dahi.
Fikirannya ikut berkecamuk.
“Buka mata sayang. Kita balik rumah
ya. Ibu masak semua lauk kegemaran Hayyi. Ibu janji. Ibu pun takkan marah-marah
atau paksa Hayyi lagi buat perkara yang Hayyi tak suka. Buka mata sekarang
ya,”lanjut ibu tua itu. Sayangnya Hayyi masih tetap kaku. Langsung tidak peduli
pada segala kata pujukan ibunya saat ini.
“Hayyi, buka mata sayang. Jangan
buat ibu risau. Ibu merayu sangat, Hayyi bukalah mata. Ibu tak sanggup
ditinggalkan,”luah ibu tua itu terus pada anaknya yang tercinta. Tubuh tuanya
terhingut-hingut menahan tangis yang kembali meletus.
“Hayyi...”panggil ibu tua itu tanpa
jemu.
“Hayyi..”panggil ibu tua itu sekali
lagi. Begitu lirih. Begitu mencengkam perasaan.
Doktor Danish merenung pada
jururawat yang bertugas di sampingnya. Hatinya
juga tidak yakin dengan keputusan
yang telah diambil. Dan percayalah, rasa bersalah sudah mengekorinya terus!
“Doktor,”panggil jururawat di
sisinya. Wajah jururawat muda itu kelihatan tegang sekali. Sebenarnya dia juga
tidak sanggup. Tapi doktor Danish sudah merayu meminta tolong. Dia tidak
berdaya untuk berkata tidak pada permintaan doktor Danish.
“Saya minta maaf, Ain. Saya dah
libatkan awak dalam hal ni.”
“Doktor Danish jangan risau. Biar
pecah di perut. Jangan pecah di mulut,”balas Ain sambil mengukir senyum.
Sekadar untuk melunakkan hati doktor Danish. Padahal hatinya sendiri sudah
dilanda tsunami. Risau! Bimbang! Takut! Semuanya bersatu menjadi satu rasa yang
menyusahkan hati dan minda.
Doktor Danish menganggukkan
kepalanya. Sekilas dia mengerling Hayyi. Nafasnya di hela, cukup panjang.
Kemudian dilepaskan perlahan-lahan.
Aku sahabatmu dunia akhirat. Tapi
aku tak sanggup menipu begini, Hayyi. Aduh..
Permintaan Hayyi sudah membuat
hidupnya tunggang langgang.
Sungguh, dia sangat keliru dengan
keputusan yang telah dia ambil. Keputusan yang bakal menghancur luluhkan hati
seorang ibu tua. Namun apalah yang mampu dia lakukan.
Sebagai teman baik Hayyi, dia
sentiasa menginginkan yang terbaik buat temannya itu.
“Bangun, Hayyi. Ibu kata
bangun!”jerit Puan Sharifah setelah gagal mengawal
emosinya untuk kali kedua. Kali ini
tubuh kaku Hayyi turut digoncang dengan keras. Hampir saja tubuh Hayyi jatuh
kalau tidak segera di halang oleh doktor Danish.
“Bawa mengucap, makcik. Percayalah
cakap saya, Hayyi pasti akan bangun,”pujuk doktor Danish. Dia sudah menarik
tubuh tua Puan Sharifah. Kemudian di dudukkan pada sofa yang setia menanti.
“Bila? Bila Hayyi akan buka mata, Danish?
Makcik cuma nak tahu bila?”
Doktor Danish menghela nafas
panjang. Tangan tua ibu Hayyi digenggam erat.
“Danish sebagai doktor pun tak dapat
beri jawapan. Macam mana makcik tak
risau,”ujar Puan Sharifah sebelum
mengongoi sepuas hati. Pandangannya berbalam-balam.
Hatinya gelisah memikirkan keadaan
kesihatan Hayyi.
“Bertenang, makcik. Hayyi selamat.
Insya-Allah, dia akan buka mata. Makcik beri Hayyi sedikit masa,”lanjut doktor Danish
lagi.
“Macam mana dengan keadaan Hayyi, Danish?
Hayyi sihat, kan? Lepas dia buka mata, dia sudah boleh pulang, kan?”tanya Puan
Sharifah bertalu-talu.
Hanya keluhan kecil yang lahir dari
bibir doktor Danish. Renungannya silih berganti antara Hayyi yang masih
terbaring kaku di katil hospital dan juga Puan Sharifah. Hatinya sedikit ragu
untuk mencari kata pemula paling sesuai untuk menerangkan keadaan sebenar Hayyi.
Alahai.. Sulitnya mahu menuturkan
satu pembohongan! Maafkan saya, makcik. Saya cuma mengikuti permintaan seorang
teman.
“Kenapa diam saja ni, Danish?
Jawablah pertanyaan makcik ni! Bila Hayyi akan sedar?”desak Puan Sharifah bila
doktor Danish masih memilih untuk berdiam diri. Kemudian renungan mata Puan
Sharifah beralih pada jururawat yang berada di sisi doktor Danish.
Ain meneguk liurnya sendiri.
Berusaha sebaik mungkin untuk kelihatan tenang.
Susah kalau pembohongan mereka
terbongkar!
“Hayyi sihat, kan? Dia akan ingat
makcik semula, kan?” aju Puan Sharifah. Berat
hatinya untuk menerima hakikat Hayyi
langsung tidak mengenali dirinya sewaktu sedar tadi.
“Hayyi akan sedar tak lama
lagi,”balas Ain akhirnya. Suaranya sedikit gugup. Sempat dia merenung doktor Danish,
meminta pertolongan daripada lelaki itu.
Kalau Puan Sharifah terus mendesak,
Ain bimbang dia akan memberitahu perkara sebenar.
“Tapi mungkin Hayyi tidak seperti
dulu lagi,”beritahu doktor Danish. Begitu
berhati-hati supaya tidak
menyinggung perasaan ibu tua itu.
Diluar kawalan fikiran, Puan
Sharifah menggenggam erat lengan doktor Danish.
Jelas dia menginginkan penjelasan
lebih lanjut.
“Apa maksud Danish ni? Makcik tak
faham. Cuba jelaskan dengan lanjut.”
Danish hela nafas panjang.
Perlahan-lahan dia mendorong tubuh tua ibu teman baiknya untuk mengambil tempat
pada kerusi yang disediakan.
“Makcik masih tak faham. Tolong
jangan beritahu makcik Hayyi hilang ingatan. Makcik tak boleh terima,”ujar Puan
Sharifah.
Nampaknya suaranya Puan Sharifah sudah
berubah serak menahan tangis yang hampir meletus. Sekilas dia merenung sekujur
tubuh kaku Hayyi. Pilu di hati hanya Tuhan saja yang tahu. Percayalah, hatinya
tidak kuat untuk menerima dugaan seperti ini.
“Saya minta maaf makcik. Tapi itulah
yang berlaku. Gegaran yang berlaku di
kepalanya sudah menyebabkan Hayyi
mengalami amnesia yang kami kategorikan sebagai jenis am”
“Amnesia? Tapi Hayyi tetap akan
kenal makcik, kan?”pintas Puan Sharifah.
“Begini makcik. Amnesia jenis am
mengakibatkan ketidak upayaan pesakit mengingati keseluruhan peristiwa dalam
hidupnya. Hayyi tak dapat mengingati fakta-fakta peribadi seperti nama dan asal
usul seluruh peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. ”
Puan Sharifah mengucap panjang.
Kepalanya digelengkan berulang kali. Amat payah untuk hati tuanya menerima segala
penerangan doktor Danish. Tidak mungkin Hayyi lupa pada dirinya! Tidak mungkin Hayyi
lupa pada ibu yang telah melahirkan dan membesarkannya!
“Ada satu perkara lagi saya nak
beritahu makcik pasal keadaan Hayyi. Saya harap makcik bertenang.”
Lekas-lekas Puan Sharifah menyorot
doktor Danish.
“Semalam Hayyi ada sedar sekejap.
Dan dia..”
“Dan dia apa? Kenapa tak beritahu
makcik awal-awal?”
“Saya bimbang makcik tak dapat
terima perubahan Hayyi.”
“Apa maksud Danish ni? Kenapa dengan
Hayyi? Apa yang berubah?”
Sepi seketika.
“Jawab pertanyaan makcik, Danish.
Kenapa dengan Hayyi? Hayyi sakit apa? Beritahu makcik sekarang. Makcik sanggup
bayar berapa sekalipun rawatan perubatan, asalkan Hayyi selamat.”
“Duit bukan lagi masalah, makcik.”
“Habis itu? Apa yang kurang lagi?”
“Begini, makcik. Saya harap makcik
bawa bertenang dan bersabar. Ini semua dugaan.”
“Jangan buat makcik tambah risau.
Cerita saja,”desak Puan Sharifah.
Doktor Danish mengeluh berat.
“Hayyi perlu menerima rawatan
mental.”
Mendadak Puan Sharifah bangun daripada
kerusinya.
“Ra.. Rawatan mental?”
Lambat-lambat doktor Danish
mengangguk.
“Kenapa Hayyi mesti dapatkan rawatan
mental? Jawab pertanyaan makcik ni sekarang!”tekan Puan Sharifah dengan suara
yang agak keras. Jelas dia sangat terkejut mendengar ayat ‘rawatan mental’
meniti di bibir Doktor Danish.
Selepas itu tubuhnya sudah menjadi
seringan kapas. Lututnya sudah tidak berupaya untuk menampung beban tubuhnya.
Pandangannya berubah gelap.
Sayup-sayup dia mendengar suara Danish
memanggil namanya dan juga jururawat yang bertugas. Percayalah, dia enggan
mendengar penjelasan Doktor Danish tentang ‘rawatan mental’. Hati tuanya tidak sanggup.
Benar-benar tidak sanggup.
Hayyi tidak gila. Tidak mungkin
anaknya gila!
#bersambung lagi..
PK... Danish tu komplot dgn hayyi ke yg hayyi tu mental? Ni kena ulang bc btl2 ni...huhu - jumay jue
ReplyDeleteLalalalalalalalalalalalala.. No comment! Lililililililili ;D
ReplyDeletekomen la pkkkkk....
ReplyDeleteIsy isy isy makin vanyak kemusykilan timbul yg akan buat sy nak mintakkkkkkk lagiiiiiiiiikk kat pk yg baik hati ni...hehehe
ReplyDeleteuikssss...dah suspen la plak citer ni???
ReplyDelete