Tuesday, 14 January 2014

#CeriBeri - Tentang Mimpiku (Bhg.02)


​Begitu penjelasan Jiha yang membuat Jamie terbata seorang diri. Matanya menyorot keadaan sekeliling rumahnya. Hatinya sakit bukan main melihat rumah kesayangannya dipenuhi kain rentang. Inilah rumah yang banyak menyimpan kisah suka duka mereka sekeluarga.​

“Awak semua tak ada hak nak sita rumah kami! Berhenti saya cakap!!”jerit Jamie akhirnya. Dia sudah pun bergerak menghalang petugas-petugas tersebut.

Dia pulang ke tanahair kerana ingin menghabiskan cuti musim panasnya. Tapi siapa sangka rumahnya sudah disita!

​“Awak semua ni tak faham bahasa ke? Saya cakap berhenti!”

​Jeritannya sekadar dipandang sepi. Lebih parah bila tubuhnya sudah ditolak ketepi.

Dan keadaan bertambah sesak dengan jiran tetangga yang selama ini begitu asing nampaknya hari ini begitu ramah mengerumuni sekitar rumahnya. Hati sudah menjerit pedih melihat ada diantara mereka yang melemparkan senyum sinis.

​“Ibu?”desak Jamie. Beg sandangnya sudah diletakkan di tepi. Air mata yang membasahi  wajah ibunya segera diseka.

​“Ayah mana?”soal Jamie.

​Namun hanya gelengan kepala ibu yang terus menjawab segala pertanyaan Jamie. Sudahnya dia mulai tidak senang duduk. Lekas-lekas dia mendekati ketua pegawai yang bertanggung jawab menyita rumah mereka setelah anak buahnya memberikan respon pasif pada permintaan Jamie tadi.

​“Saya boleh saman awak semua sebab sita rumah kami tanpa notis!”

​Pegawai tersebut hanya memandangnya sekilas lantas menyerahkan notis.

​Nafasnya sesak seketika membaca bait-bait ayat yang tertera. Hancur luluh perasaannya membaca notis tersebut. Enggan percaya dengan apa yang tertera di atas sekeping nota tersebut.

​“Ada kesilapan ni. Semua ni tak mungkin!”tingkahnya sambil menyerahkan semula notis tersebut. Kemudian langkah di hayun cukup pantas menghalang petugas-petugas tersebut menyita rumah mereka.

​“Kakak!”jerit si bongsu, Siti Aminah.

​“Ayah sudah lari kak!”sambung Siti Aminah yang langsung saja membuat langkah kakinya terhenti. Nafas yang dihela mendadak saja menjadi sangat sempit.

​“Amy cakap apa ni?”

​Siti Aminah hanya mendakap erat tubuhnya. Tangisannya cukup mendayu.

​“Jawab soalan kakak,” desaknya, kali ini suaranya sengaja dikeraskan.

​“Ayah dah lari kak. Kami semua tak dapat hubungi ayah.”

​“Tak mungkin ayah buat macam tu, Amy. Ayah..”

​“Mana kita nak cari duit seratus lima puluh ribu kak?”pintas Jiha pula.

​“Apa maksud Jiha ni? Duit apa pula seratus lima puluh ribu tu?”tanya Jamie. Tidak henti-henti kejutan melanda dirinya pada hari ini. Sekujur tubuhnya sudah sangat lemah dan tidak rela untuk menerima sebarang berita buruk!

​“Ayah dah tinggalkan hutang, kak. Sekarang kita yang mesti langsaikan hutang tu semua!”

​Mengucap panjang Jamie mendengar berita terbaru itu. Sorotannya beralih pada ibu serta dua orang adiknya.

“Ayah lari?”soal Jamie berulang kali. Kenyataan itu terlalu pahit untuk ditelan. Semuanya terlalu pantas. Sekelip mata kehidupannya berubah menjadi sebuah kehidupan yang tidak pernah langsung dia dambakan!

​Percayalah, kalau ini sebuah mimpi, dia ingin lekas-lekas bangun dari mimpi ngeri ini. Jiwa dan perasaannya tidak kuat menahan dugaan seperti ini. Segala yang berlaku tidak ubah seperti mimpi. Dan dia juga menginginkan segala apa yang berlaku hanyalah sebuah mimpi ngeri!

​Jamie menekur kepalanya entah untuk yang keberapa kali. Kenangan sebulan lalu masih segar dalam ingatan. Bermula saat itu, corak hidupnya berubah seratus peratus. Separuh rela dia harus menangguhkan kuliahnya demi ibu dan adik-adiknya.

Kalau dulu, semuanya semudah melarikkan kad kredit atau menggunakan kad atm dan wang sudah berada di tangan. Segalanya sudah tersedia dan dia hanya perlu membelanjakan wang tersebut. Tapi sekarang dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang! Perlu berjimat cermat dalam segala hal!

​Kepalanya dirasakan berpusing 360 darjah. Berdenyut-denyut hingga dia dia tidak mampu lagi berfikir. Pagi tadi dia baru saja menjual ipad miliknya. Pun begitu hasil jualan rantai tersebut hanya mampu menampung perbelanjaan kuliah adiknya di universiti.

Lalu, di mana lagi dia hendak mencari wang sejumlah RM50,000.00 dalam waktu singkat? Hanya tinggal lima puluh ribu sebelum hidupnya bebas daripada along. Tapi hendak mencari lima puluh ribu itu bukan kerja mudah. Sedangkan masa yang diberi oleh along hanya tinggal beberapa hari lagi.

​Bukan tidak pernah dia terfikir untuk meminjam wang daripada sanak saudara. Tapi mereka semua memilih untuk menjauhkan diri setelah keluarganya diistiharkan muflis. Hati mana yang tidak terluka? Sewaktu senang, semua bermulut manis. Sewaktu susah begini, tiada seorang pun saudara mara yang sudi membantu.

​Hendak meminta pada rakan karib, dia sudah diserang penyakit segan dan malu. Sharifah baru saja meminjamkan wang sejumlah RM15,000.00. Teman-temannya yang lain sudah lama melupakan dirinya. Tiada lagi sahabat bernama Jamie dalam hidup mereka!

Namun Jamie paling kesal dengan sikap ayah. ​Tidak pernah terlintas di minda Jamie ayah akan meminjam wang daripada sang along lantas meletakkan semua tugas melunaskan hutang tersebut pada ibu. Kemudian ayah lesap entah ke mana.

​Lalu ingatan terhadap ugutan along yang katanya hendak membakar rumah tempat mereka berlindung sekarang sedikit sebanyak menggugah rasa hati. Kedamaian yang dicari langsung menjauh, berganti rasa bimbang, gusar dan takut. Semuanya bersatu menjadi satu rasa yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

​Wajah-wajah bengis serta suara garau kumpulan along tersebut sudah sebati dalam mindanya. Kepalanya kembali ditekur memikirkan sang ibu tersayang yang selama ini tidak pernah bekerja sudah menjadi pekerja sambilan mencuci pinggan di restoran.

​Jamie pejam mata rapat-rapat. Mindanya ligat berfikir meski dia buntu mencari jalan keluar.

​Aku mesti kuat! Aku mesti tabah! Ini semua dugaan dan akan berlalu tidak lama lagi. Aku yakin. Aku juga percaya mendung hitam ini tidak akan lama menghantui hidup kami sekeluarga. Hidup Jamie dan keluarganya!

​Alahai.. Macam hendak berkempen pun ada. Wahai Jamie yang tabah hati, tetaplah tersenyum menghadapi hari esok ya!

​Senyum lain kali boleh tak? Ada masalah besar perlu diselesaikan secepat mungkin.

​Apa dia?

​Duit.

​Sepi seketika.

​“Mana aku nak cari duit lima puluh ribu ni?”keluhnya sendiri kemudian. Namun hanya bunyi cicak yang membalas pertanyaannya lewat jam 3 pagi itu.

#Bersambung lagi..

5 comments:

  1. Siapakah si hensem yg akn jd superhero??? PK, nk lagi....hihihihih - jumay jue

    ReplyDelete
  2. jangan dok risau sangat Jamie,pasti akan ada jalan yg boleh membawa kamu dn keluarga keluar dr kesempitan itu..
    In Sha Allah..jangan lupa..usaha..doa n tawakkal..
    (bila hero nk muncul nie)

    ReplyDelete
  3. Aduh...secoet je. Mana puas. Haha! Kak sambung lagi! Nak kemunculan hero ya. Cehceh. Kesian Jamie. :l

    ReplyDelete