Showing posts with label TTS. Show all posts
Showing posts with label TTS. Show all posts

Monday, 4 August 2014

VERSI CETAK @ TERSUKA TANPA SENGAJA


Salam cinta untuk semua pengunjung blog PENA KAYU.
Sharing is sexy. Makanya PK nak menambahkan keseksian dengan sharing satu berita penting.

Alhamdulillah.. #TERSUKA TANPA SENGAJA ke versi cetak. Bulan 8 ni. Iya, bulan ni. 
PREORDER sudah dibuka.
Nak beri nama dulu pun boleh.
Hantar saja message melalui akaun FB Pena Kayu.
Add PK jadi kawan ya.
Join group #kerjatulismenulis, sebabnya kaunter order dibuka dekat sana.
Email PK pun boleh; muliati.abdul@gmail.com

Harga seperti di bawah :))

Semenanjung : RM26.00
Sabah / Sarawak : RM29.00





Dan.. Kalau nak beli combo dengan karya pertama Pena Kayu #DOA CINTA SEORANG LELAKI pun boleh. 

Harga #DOA CINTA SEORANG LELAKI seperti dekat bawah ni ;))

Semenanjung : RM24.00
Sabah / Sarawak : RM27.00




Yang menulis dengan cinta di hati,
Pena Kayu




Thursday, 12 June 2014

#Bab05 - Tersuka Tanpa Sengaja



Waktu seperti sedang berhenti. Hati Farhah juga telah kecut. Serta-merta Farhah terlupa pada soalan 'bonus' doktor Syed Arif sebentar tadi.


"Maaf! Maaf sangat! Serius, I tak sengaja tadi," ujar Farhah kelam-kabut. Mukanya bertukar pucat. Cawan kertas yang sejak tadi dipegang kemas sudah diletak ke tepi. Buru-buru Farhah capai tisu.


Entah kenapa malang sangat nasibnya hari ini. Sikunya tersentuh pula cawan kertas yang berisi separuh lagi air teh miliknya.


Baru di letak di atas meja dan sekarang nampaknya sudah tersungkur bersama isinya sekali. Bagaikan air sungai, air teh itu mengalir laju ke arah doktor Syed Arif dan kemudian menitis tepat mengenai paha lelaki itu.


"Ya Allah, maaf!" pinta Farhah untuk kesekian kalinya. Sumpah, kali ini Farhah rasa macam hendak pegang lutut doktor Syed Arif dan minta maaf.


"Maaf!" ujar Farhah terus dengan muka seperti baru terkena histeria yang sangat dahsyat. Dia bingkas bangun dan kemudian menerpa ke arah doktor Syed Arif. Hatinya resah bukan main.


Farhah, apa kau dah buat ni? Alahai.. Kalau doktor ni bising macam mana? Kalau doktor ni minta ganti rugi? Masalah besar tu!


Farhah pandang lelaki itu atas bawah. Satu set Adidas! Habislah Farhah kalau macam ni. Sekarang juga Farhah ingin ghaib. Biar dia hilang. Biar dia tidak perlu lagi menatap muka doktor Syed Arif dan logo Adidas tersebut.


Doktor Syed Arif juga nampaknya sudah bangun sambil mengibas-ngibas seluar sukannya yang basah.


"I tolong. Biar I tolong," ujar Farhah. Laju saja dia meraih tisu dari meja berdekatan lalu berlutut di sisi doktor Syed Arif. Sesaat kemudian gerakan tangannya terhenti. Matanya dibesarkan. Lekas-lekas Farhah bangun semula.


Kenapa tercegat lagi tu, cepatlah tolong wahai cik Farhah yang budiman. Guna tisu tu dan tolong lap sekarang.


Masalahnya, bahagian basah tu dekat bahagian paha dan.. Dan juga bahagian 'tut'. Kalau Farhah tolong lap, itu sudah termasuk dalam kategori sexual harassment. Farhah tak nak. Mati hidup semula pun Farhah takkan tolong lap.


"Tolong I ambil tisu lagi dekat kaunter. Cepat sikit," pinta doktor Syed Arif setelah mengambil tisu dari tangan Farhah.


Farhah sempat tergamam. Otaknya tidak mampu memproses arahan doktor Syed Arif dek kerana perkataan 'sexual harassment' yang muncul dalam kepala.


"Tisu! I need more tissues," ulang doktor Syed Arif bila melihat Farhah masih berada dalam dunianya sendiri.


"Oh.. Tisu. You tunggu sini sekejap."


Tidak sampai sepuluh saat, Farhah sudah kembali. Malangnya, bayang doktor Syed Arif langsung tidak kelihatan di mana-mana. Puas juga Farhah melilau ke kiri dan ke kanan.


"Mana pula perginya doktor bertuah tu? Dah balik ke?" soal Farhah. Tubuhnya sudah dijatuhkan di atas kerusi. Sempat juga dia menjengah ke luar dinding kaca. Manalah tahu, doktor Syed Arif ada di sana.


"I rasa tempat yang you duduk sekarang tempat duduk I. Tempat duduk you sini," ujar doktor Syed Arif. Jari telunjuknya sudah menunjuk ke arah kerusi satu lagi.


Farhah buka mata luas-luas. Mahu memastikan memang doktor Syed Arif yang berdiri di sisinya. Namun bila melihat sorotan doktor Syed Arif makin tajam, lekas-lekas Farhah bangun.


"I ingat you dah balik."


"I pergi tandas. I mana boleh balik macam tu saja. I belum minta ganti rugi lagi daripada you. Belum campur laundry fee."


Tidak jadi Farhah duduk di kerusinya. Dahinya berkerut-kerut. Dengan muka sugul, dia menatap doktor Syed Arif dalam-dalam. Mohon sejuta pengertian.


"You boleh marah I.”


“Marah saja tak cukup.”


Terdengar Farhah mengeluh berat. Agak-agak Rin ada duit lebih tak? Farhah hendakpinjam dan bayar ganti rugi dekat doktor Syed Arif ni.


“Kalau you tetap nak minta ganti rugi, I pasti akan bayar. Tapi mungkin minggu depan. Boleh?"

Doktor Syed Arif geleng kepala.


"I tak setuju. Bayar sekarang dan selesai."


"I mana ada duit sekarang ni. Kalau you minta sepuluh ringgit, I boleh bayar sekarang juga."


"Sepuluh ringgit?"


Farhah tidak berani mengangguk. Hanya hatinya saja yang semakin resah.


"Duduk," pinta doktor Syed Arif.


Meski susah hati, Farhah duduk semula. Farhah juga sempat meraup mukanya berkali-kali.


“I ada cadangan lebih baik. Macam mana kalau you tolong I. Lepas tu I anggap isu ni selesai. Bukan itu saja, I pun akan bayar you. You juga yang untung.”


Mendengar doktor Syed Arif menyebut perkataan ‘bayar you’, sudah membuat Farhah tidak senang duduk.


“You nak I tolong apa? Kalau perkara mengarut, I tak nak. You cari orang lain.”


“Masalahnya, cuma you yang paling sesuai. Besides, you owe me. I nak you bayar ganti rugi sekarang. You kata you ada sepuluh ringgit saja, kan? This is the only way to settle our issue.”


Semakin dalam kerutan di dahi Farhah.


“You nak apa sebenarnya ni? Kalau susah sangat tak apalah. I call kawan I sekarang. Cakap saja berapa you nak, I akan bayar ganti rugi.”


Doktor  Syed Arif menggelengkan kepalanya. Kemudian seperti selalu dia ketawa senang hati.


“Tak susah pun kecuali you sendiri yang fikir susah.”


“You nak I buat apa?”


Doktor Syed Arif menyandarkan tubuh. Wajahnya sudah serius.


“I tak bergurau bila I minta you jadi girlfriend I tadi. I serius. I nak you jadi girlfriend I.”


Besarnya mata Farhah ketika ini. Doktor Syed Arif sengaja menduga ke? Atau main-main? Atau dia memang serius macam yang diberitahu?


"You jangan risau. I cuma nak you berlakon jadi girlfriend I. Itu saja.”


Nasib baiklah rahang Farhah melekat pada soket muka. Kalau tidak, sudah lama rahang Farhah bergolek-golek di bawah kaki.


“I tahu you rasa semua ni macam mengarut. Tapi I cuma tak nak keluarga I risau. Banyak sangat gosip kata I ni gay. Sebab tu I perlukan you. I tak nak orang ramai asyik label I ni gay. Mak I tak boleh terima. Kalau berterusan, dia boleh jatuh sakit.”


Kening Farhah sudah terangkat-angkat. Gay? Terus saja otak nakalnya mula berimaginasiyang aneh-aneh. Kalau doktor Syed Arif ni gay, agak-agak dia akan jadi perempuan ke atau lelaki?


Farhah ketawa tanpa sedar. Suka sangat hatinya. Lupa sebentar tentang doktor Syed Arif yang sudah bermuka pelik. Kemudian daripada pelik bertukar cemberut.


"You gelakkan I ke?" tanya doktor Syed Arif. Lebih kepala satu sergahan sebenarnya.


Terus mati tawa Farhah melihat doktor Syed Arif sudah bertukar menjadi ‘ayah singa’.


"I anggap you dah setuju. Three days. I nak pinjam you selama tiga hari. Lepas tu selesai. I takkan cari you lagi,” putus doktor Syed Arif tiba-tiba.


Mata Farhah yang agak bundar itu semakin besar. Mana boleh doktor Syed Arif ni buat keputusan tanpa tanya dia setuju atau tak dulu.


“I belum..” kata-kata Farhah terhenti bila doktor Syed Arif mengangkat jari tangannya.


“Kali ni I minta tolong sangat,” pinta doktor Syed Arif. Lengkap dengan pakej sorotan mata paling lembut dan suara paling sedap di dengar. Sampaikan hati Farhah mula bolak-balik.


"I tak pandai berlakon ni, doktor. Nanti rahsia you bocor. You juga yang susah."


"I yakin you boleh," tegas doktor Syed Arif.


Tipulah kalau hati perempuan Farhah tidak senang bila doktor Syed Arif menyebut yakin.

"Nantilah I fikirkan.”


"I nak jawapan you sekarang."


Rasa senang hati Farhah tadi sudah hilang. Berganti rasa tak senang hati bila didesak begini.


"Kita baru jumpa beberapa kali. Boleh kira dengan jari tangan."


"So?"


"So, you tak rasa ke semua ni mengarut?"


“Itu bukan satu masalah.”


“Tapi itu satu masalah bagi I.”


"Nope. Not at all. You calon terbaik untuk jadi girlfriend sementara I. You polos. You tak macam perempuan KL yang lain. Lagipun you sempoi. I yakin you takkan ada masalah depan mak I."


Farhah mengeluh. Sangat berat. Sebenarnya, tiga per empat hatinya sudah setuju. Satu per empat itu yang masih ragu-ragu.


"Trust me. I takkan tipu atau ambil kesempatan. I pun ada maruah seorang lelaki. You nampak I ni macam lelaki dayus ke?"


Laju saja kepada Farhah menggeleng. Tindakan refleks yang juga dibuat tanpa sedar.


"Habis tu?"


Farhah kehilangan kata. Susah lelaki di hadapan Farhah ni. Suka mendesak. Peliknya, hati Farhah bagai ditarik-tarik supaya sejutu.


Hati, jangan macam ni. Jangan buat Farhah Ahmad Alias malu.


“Farhah, anggap macam you sedang bekerja. Every single hour you spend your time with my family, I will pay your salary.”


Sesak nafas Farhah bila duit pula jadi taruhan doktor Syed Arif. Duit boleh selesai semua masalah ke?


“Jangan buat I ni terasa macam perempuan murah sangat. I bukan perempuan macam tu. Kalau you nak minta tolong, bukan begini caranya. Walaupun you nampak I selekeh dan miskin macam ni, I ada maruah.”


Sepi seketika. Sebenarnya, doktor Syed Arif terkejut. Farhah yang lucu ini boleh berubah tegas dan serius.


Tanpa sedar doktor Syed Arif mengulum senyum senang hati. Sedar diri dengan penggunaan bahasanya yang salah tadi.


“Minta maaf sangat-sangat, Farhah. I tak ada maksud pun nak buat you rasa macam tu.”


“Tak apa. Orang kaya memang biasa bermain dengan ringgit.”


“Farhah..” bantah doktor Syed Arif.


“I minta maaf. Okey, apa yang I boleh tolong sebagai ganti you tolong I?”


“Kalau I setuju jadi girlfriend sementara you, I nak you carikan I lima belas pembeli lukisan. Bila I dah berjaya jual 15 lukisan, anggap macam perjanjian ni pun selesai.”


“Lima belas saja? I boleh tolong jual sampai 50 dan ke atas.”


“Lima belas tu sudah cukup. Setimpal dengan kerja yang I akan buat.”


“Baiklah. Kalau macam tu I setuju. Tapi kalau you nak tambah jadi 50 lukisan, I tak kisah. You tolong I, I pasti tolong you balik.”


“15 tu pun dah banyak. I tak nak makan duit haram.”


“Okey.”





** versi CETAK bakal direlease pada 23.08.2014 (insya-Allah kalau tak ada sebarang perubahan). Kaunter PREORDER telah di buka. Mohon message PK melalui akaun FB kalau berminat nak dapatkan first batch yang bertanda tangan (TT) 




Harga Online IKP ;

1. Semenanjung @ RM24.00

2. Sabah / Sarawak @ RM27.00

Free postage


#Latest updates ‘n’ teaser : Group PENA KAYU #kerjatulismenulis

Thursday, 17 April 2014

#Bab 06 - Tersuka Tanpa Sengaja


Datuk Ahmad Alias sempat mengeluh panjang. Kemudian lelaki separuh umur itu menyandarkan tubuh. Matanya turut dipejamkan rapat-rapat. Ketika ini, otaknya sedang berfikir sama ada mahu meneruskan rancangan gilanya atau tidak.

"Macam mana Datuk? Datuk nak teruskan juga ke?"

Datuk Ahmad Alias membuka matanya luas-luas. Sampul surat yang bersaiz kertas A4 tadi kembali diambil. Isinya dikeluarkan semula. Lama dia menatap isi kandungan sampul surat tersebut.

Terdengar Datuk Ahmad Alias mengeluh keras. Sangat keras.

“Awak rasa cara saya ni betul ke?”

“Datuk nak pendapat jujur saya ke?”

Datuk Ahmad Alias mengangguk.

“Jujur, saya tetap kata cara Datuk salah.”

Datuk Ahmad Alias ketawa kecil.

“Macamlah awak tak kenal perangai anak sulung saya. Dia tak pernah suka dengan saya pun.”

Encik Imran mengulum senyum tipis. Datuk Ahmad Alias seperti berjauh hati dengan Farhah. Sebenarnya, Datuk Ahmad Alias dengan Farhah perangai lebih kurang saja.

"Kalau saya teruskan rancangan kita ni, awak yakin Farhah akan balik ke sini semula?"tanya Datuk Ahmad Alias lagi. Kali ini dia terlalu sengaja menyorot pembantunya dalam-dalam.

Encik Imran tidak segera menjawab. Sebaliknya dia seperti sedang berfikir panjang.

"Kita boleh cuba, Datuk. Selebihnya terletak pada Farhah sendiri."

"Farhah tu pelik sikit, Imran. Kalau Katrina jenis menurut, Farhah jenis memberontak. Keras hati. Keras kepala. Saya yakin dia takkan balik ke rumah ni macam itu saja."

Datuk Ahmad Alias sudah geleng kepala berkali-kali. Tahu sangat Datuk Ahmad Alias perangai Farhah. Kalau setakat merana biasa-biasa, Farhah memang tahan lasak.

"Melainkan.."

Datuk Ahmad Alias tidak menyudahkan kata-katanya. Sebaliknya dia kembali berfikir panjang.

"Melainkan apa, Datuk?"

"Melainkan dia terdesak sangat dan perlukan bantuan keluarga dia. Selagi kita tak desak dia dengan teruk, dia takkan mengalah."

"Datuk nak saya buat apa?"

Datuk Ahmad Alias mengeluh lagi. Sampul surat tadi diserahkan semula pada Encik Imran.

Encik Imran terdiam. Sorotannya langsung tidak berkalih daripada menatap Datuk Ahmad Alias. Kemudian penerangan lanjut Datuk Ahmad Alias sempat membuat Encik Imran terkedu.

"Datuk serius ke ni?"tanya Encik Imran dengan muka setengah tidak percaya. Kata-kata Datuk Ahmad Alias sebentar tadi sangat mengejutkan!

"Saya serius. Degil Farhah perlu ditangani dengan cara begini. Buat secepat mungkin. Wang bukan masalah.  Saya sanggup keluarkan berapa saja, asalkan Farhah balik.”

“Tapi Datuk..”

“Saya cuma nak Farhah balik. Lain-lain perkara saya tak nak tahu,”potong Datuk Ahmad Alias.

"Saya tak sampai hati nak buat begitu pada Farhah, Datuk. Lagipun saya dah anggap Farhah tu macam anak saya sendiri juga."

"Saya ayahnya, Imran. Hati saya lebih dulu terluka kalau sesuatu terjadi pada Farhah. Tapi degil Farhah tu bukan degil biasa. Degil Farhah degil luar biasa.”
 “Cara lain tak boleh ke Datuk?”

“Cara lain takkan jalan. Awak pun tahu dari dulu lagi Farhah dah biasa hidup berdikari. Kalau kita tak buat begini, sampai ke sudah dia takkan balik. Farhah betul-betul ikut perangai arwah emak saya."

Giliran Encik Imran pula mengeluh kecil. Tentang Farhah ikut perangai arwah emak Datuk Ahmad Alias, memang dia sangat setuju. Tapi kalau perangai keras kepala, rasanya Farhah ambil gen Datuk Ahmad Alias.

"Kalau awak perlukan apa-apa, cakap saja. Saya akan sediakan. Yang penting Farhah balik ke sini,"lanjut Datuk Ahmad Alias.

Encik Imran menghela nafas panjang. Dia ingin sekali membantah, tapi wajah keruh Datuk Ahmad Alias membuat dia membatalkan hasratnya yang satu itu.

Alahai Farhah.. Kenapa degil sangat ni?



PENUH hati-hati Katrina melangkah mendaki anak tangga satu-persatu. Besar harapan Katrina ayah tidak sedar kepulangannya hari ini. Namun sebaik saja tiba di anak tangga terakhir, langkah kakinya terhenti.

Ayah dan Encik Imran sedang berada betul-betul di depan pintu bilik kerja ayah. Dan sekarang keduanya sudah menatap Katrina tajam-tajam. Memang Katrina tidak sempat menyorok.

"Hai ayah. Hai uncle Imran,"ujar Katrina sambil mengukir senyum tipis. Dalam hati sudah berdebar tidak menentu. Sekejap lagi terdengarlah bebelan ayahnya yang luar biasa panjang.

Datuk Ahmad Alias dan Encik Imran saling berpandangan. Jelas terkejut dengan kemunculan Katrina yang secara tiba-tiba itu.

"Kat buat apa dekat sini?"

Katrina sudah tersengih-sengih. Ada rasa segan dan takut mahu bercerita tentang perkara sebenar. Katrina sebenarnya mahu berjumpa ibunya dulu.

Konon-konon hendak meminta bantuan ibunya yang tersayang pujuk ayah. Tapi nampaknya sekarang, rancangannya sudah kucar-kacir.

"Maaf ayah. Kat tak boleh nak sambung study. Kat tak boleh."

“Jadi?”

“Jadi Kat berhenti dan lari balik ke sini,”beritahu Katrina. Sudah reda dengan hukuman yang bakal menimpa.

Datuk Ahmad Alis sudah pun menjengilkan matanya.

Ini lagi seorang. Farhah dengan keras hati dan kepalanya. Katrina pula dengan sikap anak kecilnya. Lihatlah sekarang! Katrina lari lagi dari kolej.

"Imran, awak balik dulu. Buat macam yang kita bincangkan tadi."

"Baik Datuk."

"Masuk bilik ayah sekarang."

Katrina mengeluh pendek. Sekejap lagi pasti Katrina rentung mendengar bebelan ayah.

"Mood ayah baik tak, uncle?"tanya Katrina sebaik saja berpapasan dengan Encik Imran.

"Tak berapa bagus sangat."

"Alamak!"keluh Katrina sambil menepuk dahi sendiri. Habislah Katrina kalau begini.

Perlahan-lahan Katrina mengetuk pintu bilik kerja ayahnya. Kalaulah Katrina tahu ayah ada dirumah, sumpah, Katrina takkan terus balik ke rumah tadi.

Tapi kenapa ayah tak ke pejabat hari ini? Paling aneh, ayah bincang apa dengan uncle Imran? Macam ada rahsia besar saja.

"Kenapa Kat balik? Ayah suruh Kat habiskan belajar dulu, kan?"tanya Datuk Ahmad Alias. Anak perempuan bongsunya disorot dengan tajam.

"Kat minta maaf, ayah. Kat bukan sengaja nak hampakan harapan ayah, tapi Kat tak minat nak belajar. Daripada Kat habiskan duit ayah, lebih baik Kat balik ke sini."

"Kat balik sini nak buat apa? Hari tu elok-elok ayah beri Kat kerja dekat pejabat. Tapi Kat selalu ponteng. Ayah hantar Kat pergi belajar, Kat pun lari balik. Kat nak apa sebenarnya ni?"

"Kat nak kerja dengan ayah."

"Kerja dengan ayah lagi?”

Lekas-lekas Katrina mengangguk pasti.

"Lepas tu tak sampai seminggu, Kat mula ponteng kerja. Macam tu?"

Berkerut-kerut dahi Katrina bila ditempelak sebegitu rupa.

"Ayah, Kat bukan sengaja tak datang kerja. Kat ada hal."

"Hal yang macam mana? Hal pergi berdating? Hal pergi jadi model?"bidas Datuk Ahmad Alias.

"Kat bukan selalu tak datang kerja, ayah. Seminggu dua kali saja. Kerja pun Kat siapkan semua."

"Kerja cincai memanglah siap,”tempelak Datuk Ahmad Alias untuk kedua kalinya.

Katrina mengetap bibirnya kuat-kuat. Mulalah tubir matanya terasa hangat bila ditempelak begini.

"Kalau Kat tak nak belajar lagi, ayah terima. Tapi dengan syarat, ayah nak Kat kahwin. Ayah dah jumpa calon suami untuk Kat,"ujar Datuk Ahmad Alias tiba-tiba. Sengaja dia menyorot Katrina, mahu melihat reaksi anak bongsunya itu.

"Kahwin? No! Kat muda lagi. Kat tak bersedia nak kahwin dalam masa terdekat ni."

"Ayah berkenan dengan dia, Kat. Dia doktor yang jaga ibu Kat di hospital."

"Doktor yang jaga ibu? Hospital? Ayah cakap apa ni? Ibu masuk hospital ke?"

"Esok ibu kamu sudah boleh keluar."

"Kenapa ayah tak beritahu Kat pun? Sampai hati ayah."

"Ayah tak nak Kat risau. Kemudian pelajaran Kat terjejas. Tapi mana tahu, Kat tak belajar langsung dekat US tu."

Muka Katrina cemberut habis. Namun cuma seketika.

"Kak long? Macam mana dengan Kak long? Ayah dah jumpa dia?"

"Jangan cari kakak kamu tu."

"Ayah tak rindu dengan kakak?"

"Sudah. Jangan sebut lagi cerita tentang kakak kamu. Ayah tak suka."

Katrina mengukir senyum lebar. Biarlah Farhah bawa diri. Katrina lebih suka begitu. Hidupnya lebih tenang.

"Kat, ayah serius tentang calon suami tu. Nanti ayah akan cuba aturkan supaya Kat boleh jumpa dengan dia."

"Please ayah, jangan buat macam tu. Kat takkan setuju. Kat lebih suka hidup macam ni. Lagipun takkan ayah nak kahwinkan Kat guna cara dulu-dulu.”

Datuk Ahmad Alias berdehem keras.

“Kat nak kahwin dengan lelaki yang Kat pilih sendiri. Kat harap sangat, ayah dapat beri pengecualian untuk kali ni. Kat bukan budak kecil lagi macam dulu-dulu."

Katrina menghela nafas panjang.

"Kat dah pernah sekali dengar cakap ayah. Kali ni, Kat harap ayah dengar isi hati Kat pula."

"Sampai bila Kat nak hidup macam ni? Ayah pun nak lihat anak ayah kahwin. Ada suami dan anak-anak."

"Kita bincang perkara ni kemudian, ayah. Kat lebih berminat nak tahu ibu dirawat dekat hospital mana,”dalih Katrina. Besar harapan Katrina ayah faham, yang dia tidak suka isu nikah kahwin ditimbulkan.

Datuk Ahmad Alias hanya mampu mengeluh kecil. Mula-mula dia hendak jodohkan Farhah dengan doktor itu, tapi Farhah sudah lari. Jadi dia ada pilihan kedua, iaitu Katrina.

Mana tahu Katrina pun dua kali lima sepuluh dengan Farhah. Nampaknya, Datuk Ahmad Alias boleh berputih mata sajalah.

Datuk Ahmad Alias baru berangan-angan hendak dapat menantu doktor. Belum apa-apa, angan-angan indahnya sudah berkecai.

Menurut Datuk Ahmad Alias, doktor tersebut segak orangnya. Peramah dan baik budi. Memang Farhah dengan Katrina tolak tuah, kan?

Apa nak jadilah dengan anak-anak perempuan Datuk Ahmad Alias ni? Dapat calon suami terbaik pun nak tolak. Dapat suami penyangak, baru padan muka Farhah dengan Katrina tu.



~ Ringkasan diari hidup Katrina hari ini ~

Lari dari kolej lagi. Pulang ke rumah, terserempak dengan ayah tersayang. Dapat pula bebelan percuma. Paling teruk, bila ada ura-ura nak jodohkan dia dengan doktor yang konon-kononnya baik budi. Sorry, not interested!



** versi CETAK bakal direlease pada 23.08.2014 (insya-Allah kalau tak ada sebarang perubahan). Kaunter PREORDER telah di buka. Mohon message PK melalui akaun FB kalau berminat nak dapatkan first batch yang bertanda tangan (TT) 




Harga Online IKP ;

1. Semenanjung @ RM24.00

2. Sabah / Sarawak @ RM27.00

Free postage


REQ. GROUP :
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/