Showing posts with label TAS. Show all posts
Showing posts with label TAS. Show all posts

Tuesday, 7 April 2015

EDISI CETAK - Temani Aku Selamanya


Buah hati PK yang ketiga.
Buah hati PK yang tersayang.

Kali ni kita melarik kanvas bersama Carl Ibrahim dan Nirina.
Kali ni, kita belajar bersama cara Carl Ibrahim menanggalkan baju besi hati Nirina.

Terbitan April dari Idea Kreatif Publication.
#Temani Aku Selamanya
PREORDER untuk first batch telah dibuka dan tutup pada 10-04-2015
Penghantaran sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Kalau nak beli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pun boleh.
Jumpa #Temani Aku Selamanya di booth Idea Kreatif Publication (Bilik Melaka)

#penakayu
#kerjatulismenulis




Saturday, 14 March 2015

#Bab03 ~ Temani Aku Selamanya

Penerbangan yang mengambil masa berbelas-belas jam itu berakhir juga. Pesawat Malaysia Airlines MH21 telah membawa Nirina pulang dari Kota Paris. Membawa pulang Nirina yang baru. Segala cerita tentang Hang Tuah, sengaja Nirina tinggalkan di sana. Yang ada sekarang cuma cerita indah-indah. 
“Lenguhnya kaki ni.”
Awal-awal lagi Qastelah mengadu. Nampak sangat Qas mahu Nirina yang jadi pemandu. Nampak sangat Qas sedang cuba nak pasang perangkap.
“Gambar tu kau tak email, kan?”
Tidak jadi Qaspasang perangkap. Soalan Nirina buat hatinya jadi panas saja. Masuk kali ini, sudah tiga kali Nirina tanya soalan yang sama.
“Nirina, kalau kau tanya soalan tu lagi, aku hantar betul gambar tu dekat dia.”
“Jadi maksudnya, niat jahat tu ada lagi la?”
Qas tersengih-sengih. Muka cemberut Nirina diteliti sepuas hati.
“Jangan risaulah. Aku pun tak ingat dah kertas tu aku letak mana. Jadi gambar kau dengan dia tu selamat.”
“Tolong delete gambar tu.”
“Sorry babe, gambar tu gambar rare. Gambar edisi terhad. Jadi tak boleh delete. Dan makhluk Allah dekat depan kita pun sangat terhad. Kalau kau banyak main lagi, silap gaya makhluk edisi terhad tu dikebas perempuan lain.”
Berkerut terus dahi Nirina. Ketika sorotannya singgah pada makhluk Allah edisi terhad yang disebut Qas, kerutan pada dahinya bertambah dalam.
“Macam mana dia tahu kita balik hari ni?”
Qas diam. Cuma ada segaris senyuman misteri pada bibir Qas.
“Kau beritahu dia?”
“Bukan aku!” tempik Qas dengan suara yang sengaja dikawal. Matanya cukup garang membalas sorotan tanda tanya Nirina. Pantang betul Qas kalau diserkap jarang begini.
“Habis tu, siapa beritahu?”
“Manalah aku tahu.”
Nirina mengeluh lagi. Namun bibirnya tetap melukis senyuman. Senyuman paksa pastinya. Senyuman menjaga hati makhluk Allah edisi terhad tersebut.
“I datang jemput you dengan Qas. Tadi Elias nak ikut sekali, tapi last minute Elias ada hal pula. Jadi Huda yang ganti tempat Elias. Huda tunggu dalam kereta.”
Jadi abang Elias yang jaja cerita Nirina balik hari ni? Lepas tu, Huda pun ikut sekali. Huda ni adik kesayangan Rizqi.
“Thank you so much Rizqi, tapi I parking kereta dekat sini. Jadi Itak boleh balik dengan you.You hantar Nirina saja ya.”
Qas ni, macam sengaja pula nak kenakan Nirina. Nirina beri isyarat mata pun, Qas tetap juga buat-buat tidak nampak.
“Kereta I arah sana, Nirina.”
“I nak balik dengan Qas, Rizqi. Terima kasih sangat sebab datang sini.”
“Balik dengan I, Nirina.”
Suara tegas Rizqi diiringi dengan sorotan paling tajam. Sorotan paksaan supaya Nirina menurut tanpa banyak soal.
“I ada kaki.”
“I tahu you ada kaki. Tapi I tetap nak you balik dengan I,” tekan Rizqi sekali lagi. 
“I tak nak. I datang dengan Qas. Wajarlah kalau I balik dengan Qas juga. I pun tak minta you datang jemput I dekat sini.”
Terdengar Rizqi mengeluh. Sorotannya kini hanya melekat pada Nirina. Nirina yang keras kepala sangat menguji hati dan perasaan Rizqi.
“I dah janji dengan Elias. I dah janji dengan Elias nak hantar you balik sampai depan rumah. I tak nak mungkir janji, Nirina. Jadi I harap sangat you balik dengan I. Macam mana you tolak sekali pun, I tetap nak hantar you balik.”
Benci betul Nirina kalau Rizqi guna muslihat begini. Suka bermain dengan janji. Pada akhirnya, Nirina juga yang terbelit. Bukan belitan biasa-biasa, tetapi belitan yang telah disimpul mati.
“Lepas ni you jangan buat macam ni lagi. Jangan suka berjanji dengan Elias.”
Senyuman Rizqi usah cerita, memang sangat lebar. Nirina yang keras sudah lembut akhirnya. Tetapi maaf ya Elias, sebab Rizqi terpaksa jaja nama Elias untuk lembutkan hati Nirina.
“Terima kasih, Nirina.”
Barulah suara Rizqi terdengar lebih lembut berbanding tadi. 
“Terima kasih sebab?”
“Sebab mengalah dan balik dengan I.”
Nirina diam. Tidak punya ayat untuk membalas. Bimbang ayat balasannya kasar. Membisu pilihan terbaik. 
​

PENUH hati-hati Carl Ibrahim memasuki ruang tamu rumahnya. Sepasang matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Mencari-cari figura kesayangan hati. Malangnya ruang tamu begitu sepi. Hanya sesekali terdengar suara dari dapur. 
Carl Ibrahim melihat ibunya di sana. Terus saja tubuh tua itu dipeluk dari belakang.
"Cuba teka hero mana yang peluk Puan Latifah sekarang ni?"
Mak Cik Latifah ketawa lepas. Tubuhnya dipusing lantas wajah anak bujangnya ditatap sepenuh hati.
"Hero tak sedar diri."
"Amboi... Sampai hati mak kutuk anak sendiri."
"Memang tak sedar diri. Selalu tinggalkan mak dan biarkan mak jadi perindu."
“Carl minta maaf sangat. Tapi Carl bukan sengaja, mak. Uncle Jules tak ada pembantu dekat kedai dia. Jadi Carl ambil keputusan tolong uncle Jules sampai dia dapat pembantu.”
“Alasan. Masa dekat Malaysia pun sama. Carl beri alasan yang Mak Su tak ada pembantu.”
Lebarnya senyuman Carl Ibrahim.
“Carl nak rasa hidup berkelana, mak.”
“Berkelana? Sebab tu rambut pun dah macam sarang tebuan tak siap? Muka pun penuh bulu macam ni?”
Muka penuh bulu? Sempat juga wajah Nirina mencuri ruang dalam kepala Carl Ibrahim.
“Mak nak Carl hilangkan semua bulu tu. Rambut tu pun rapikan. Tak berkenan betul hati mak ni bila Carl buat fesyen macam ni.”
“Uncle Jules kata, gaya Carl ni nampak seksi.”
“Mak tengok dengan penuh seksa!”
Carl Ibrahim ketawa. Ketawa yang sangat kuat. Sampai berair matanya.
“Uncle Jules denganAuntie Manon kirim salam rindu. Mereka tanya bila mak dengan ayah nak ke Paris,” ujar Carl Ibrahim, itupun setelah tawanya reda.
“Lagi satu mak, Carl ada hal sikit nak beritahu,” lanjut Carl Ibrahim lagi. Sorotan matanya nampak serius. 
“Hanan dah berjaya dapatkan tempat dan lesen perniagaan dekat KL. Carl mesti balik KL semula.”
“Carl nak tinggalkan mak lagi?”
Agak lama, barulah Carl Ibrahim mengiyakan.
“Bila?”
“Minggu depan. Mak izinkan, kan?”
“Kalau mak tak izinkan, kamu pun tetap pergi, kan?”
Carl Ibrahim tersengih-sengih bagai kerang tak laku di pasar pagi.
“Tapi kamu tu, bila nak bawa calon menantu untuk mak?”
Alahai… Ibunya yang tersayang buka topik kahwin pula.
“Nantilah, mak.”
“Kalau macam inilah jawapan Carl, mak nak Carl kahwin dengan Leia. Ini keputusan mak. Ayah pun dah setuju.”
Aduh.. Ini yang buat Carl Ibrahim selalu tercekik. Ayat melulu ibunya yang tersayang memang selalu mengejutkan.
"Mak, kita kan dah bincang sebelum ni. Carl tak boleh kahwin dengan Leia. Leia tu sepupu Carl. Lagipun, sambal belacan yang Leia buat tak sedap. Pahit. Carl tak boleh kalau isteri Carl tak pandai buat sambal belacan."
Bunyi barang jatuh memang sangat mengejutkan. Di belakang Carl, ada Leia. Leia sedang kelam-kabut mengutip besen kecil. 
Carl Ibrahim hela nafas panjang. Melihat wajah sendu Leia hanya mengundang rasa bersalah. Melihat Leia terketar-ketar mengutip besen tadi, lagilah Carl Ibrahim dipalit rasa bersalah yang tebal.
"Leia, apa abang cakap tadi..."
"Mak long, Leia balik dululah. Leia baru ingat, Leia ada discussion dengan kawan-kawan serumah. Esok kami ada presentation depan lecturer."
Leia sedikit pun tidak menunggu Carl Ibrahim membina ayat. Leia pergi pun dalam keadaan tergesa-gesa. Mak Cik Latifah pun tak sempat keluarkan ayat pujukan.
"Tengok apa Carl dah buat."
"Lebih elok Leia tahu isi hati Carl sekarang. Begitu lebih baik, mak. Carl memang perlukan calon isteri yang pandai buat sambal belacan."
"Belacan. Belacan. Belacan. Kalau susah sangat, kamu kahwin sajalah dengan anak tauke kilang belacan."
"Memang itulah rancangan Carl, mak. Terima kasih sangat sebab mak beri sokonganpadu. Nanti Carl cari anak tauke kilang belacan."
Mak Cik Latifah menjengilkan matanya. Terus saja lengan anak bujangnya dicubit. Nasib baiklah Carl Ibrahim bijak mengelak. Jadi kena cubit pun sipi-sipi sahaja.
"Mak, soal jodoh tu urusan yang di Atas. Tak kisahlah dia anak siapa pun. Tapi Carl takkan kahwin selagi hati Carl ni tak klik dengan perempuan tu. Carl nak kahwin sekali saja, mak. Biarlah perempuan yang Carl pilih tu, hati dia pun klik dengan Carl."
Tenang sedikit hati Mak Cik Latifah mendengar hujah Carl Ibrahim. Anak bujangnya masih rasional.
"Lagipun Carl tak berapa berkenan dengan perangai Leia. Merata dia buang tisu. Carl dah beri nasihat tiga kali. Tapi Leia masih juga begitu. Leia selalu ingat Carl main-main fasal sampah tu.”
Semua binaan ayat Carl Ibrahim, Mak Cik Latifah hadam dengan baik sekali.
“Carl nak pilih isteri betul-betul, mak. Bukan main-main. Arwah datuk selalu pesan cari isteri yang solehah. Yang pandai jaga diri. Yang selalu beringat tentang bencana lidah dantangan."
Kali ini terdengar Mak Cik Latifah menghela nafas panjang. Tiga bulan setengah Carl Ibrahim tinggal di kampung. Tiga bulan setengah itu sudah membentuk Carl Ibrahim menjadi ala-ala seorang calon ulama.
"Mungkin buang sampah merata-rata tu perkara biasa. Tapi dalam Islam, tak biasa langsung.”
Carl Ibrahim meraih pula tangan tua ibunya yang tersayang.
“Mak, dunia ni dah terlalu banyak sampah. Semuanya berpunca daripada tangan kita yang membuang.”
Carl Ibrahim hela pula nafas panjang.
“Kalau perkara senang macam ini pun Leia tak boleh nak faham, macam mana dia nak didik anak-anak Carl nanti? Bagi Carl, wajah cantik seorang perempuan lebih bermakna kalauseiring dengan otak yang cerdas,” lanjut Carl Ibrahim. Mengakhiri jawapan kenapa Leia tidak boleh jadi calon isterinya.
Okey, Mak Cik Latifah setuju sangat dengan ayat Carl Ibrahim.
"Tapi kalau dia tak pandai buat sambal belacan, tak jadi juga mak. Terus hati Carl yang klik ni tak jadi nak klik."
"Budak bertuah ni!" - Mak Cik Latifah


*****
VERSI CETAK TELAH TERBIT
Harga Pasaran : RM25.00(SEM) / RM28.00(SS)





Monday, 12 January 2015

#Bab02 - Temani Aku Selamanya

Gara-gara mengikut rancangan gila Qas, akhirnya Nirina berada di sini. Di bumi Allah yang diberi nama Kota Paris. Lihatlah, Menara Eiffel masih teguh berdiri di atas paksinya. Ini menara besi yang dibina di atas Champ De Mars oleh Gustave Eiffel.

Pun begitu, menara yang satu itu belum dapat memujuk hati Nirina. Sebabnya Qas buat perangai buruk. Sampai hati Qas tinggalkan Nirina seorang diri di hotel. 

“Janganlah marah, Nirina. Kau nampak penat sangat, jadi aku tak kejutkan. Macam ni, aku tunggu kau dekat Menara Eiffel. Kau datang sekarang ya.”

Itu ayat pujukan Qas. Jadi pada kedinginan 5 darjah celcius, Nirina meninggalkan Hotel de Mars. Nirina menyelusuri jalan sekitar Sungai Seine menuju ke Menara Eiifel. Menurut Nirina, rugi kalau menikmati keindahan Kota Paris melalui pengangkutan awam. Lebih bagus menggunakan kaki dan berjalan penuh gemalai.

Namun itulah, segala rasa indah dan rasa sedang bermain dengan pelangi hilang. Sebabnya sejak lima minit tadi ada seorang lelaki di belakang Nirina. Lelaki yang mencurigakan. Lelaki yang memakai baju sejuk, lengkap dengan hoodie menutup kepala.

Janggutnya pula bukan seperti janggut kambing yang sejemput itu, tetapi banyak. Jambangnya lebih menakutkan, penuh seluruh muka. Kalau ada gunting ditangan, mahu juga Nirina tolong buang segala macam bulu di muka lelaki itu.

“Takkanlah dia ikut aku.”

Begitu ayat resah Nirina. Iyalah, sejak tadi lagi lelaki itu menjadi penjejak setia. 

Akhirnya Nirina berhenti melangkah. Menatap lelaki itu dalam-dalam. Pada saat mereka berpapasan, ada segaris senyuman untuk Nirina. 

“Are you following me?”

Langkah lelaki tu terhenti. 

“Nope. I’m not a stalker,” balas lelaki itu. 

“By the way, I like your shoes,” lanjut lelaki itu lagi sebelum langkah kembali dihayun. Cuma kali ini, tangan kanannya telah diangkat lalu dipusing ke kiri dan ke kanan. Seperti sedang melambaikan tangan saja gayanya.

Jujur ya, ayat lelaki itu sangat mencemaskan hati. Sekarang langkah Nirina tidak lagi gemalai, tetapi telah bertukar langkah tergesa-gesa. Tidak sampai sepuluh minit pun, Nirina telah sampai di tapak Menara Eiffel.

“Nirina, sini!” 

Terdengar panggilan Qas.

Malangnya bukan Menara Eiffel yang menarik perhatian Nirina, tetapi sebuah kedai cenderamata. Kedai ini tidak terlalu besar, tidak juga terlalu kecil. Lihatlah, sekejap saja Nirina telah leka meneliti cenderamata di situ. Isu diekori tadi pun terus hilang.

“Nirina, ambil gambar aku.” 

Qas memang suka buat permintaan mengejut begini. 

“Tunggulah sekejap lagi.”

​“Sekeping saja. Tak banyak keping pun," pujuk Qas. Bungkusan bunga kering, T-Shirt dan fridge magnet yang Nirina baru beli segera diambil. Kemudian kamera Nikonnya diserahkan pada Nirina.

"Sekeping saja? Kalau sekeping saja Nirina sudi.

“Jom, ambil gambar berdua pula.”

Gambar berdua pula? Ini yang Nirina tidak suka. Mula-mula kata sekeping, tapi selepas itu boleh jadi berkeping-keping.

“Tak payahlah. Bukan ada siapa pun nak tolong kita.”

“Kita minta tolong tuan kedai ni,” balas Qas. Muncungnya dijuih pada tuan punya kedai. Kemudian tanpa persetujuan Nirina, Nirina telah didorong menghampiri tuan punya kedai tersebut.

"Kau jangan cakap kau nak aku…”

"Iyalah. Lidah kau fasih sikit. Paling penting, kau dah beli banyak barang dia. Dia takkan tolak kalau kau minta. Lagipun bukan kau tak tahu prinsip rakyat Kota Paris ni. Please speak French or don't speak at all!" potong Qas dengan muka sedikit suram.

“Sebab tu kau heret aku ke Paris, kan? Sebab lidah aku ni kononnya fasih sikit, kan?”

Tawa Qas meletus. Sampai berair-air matanya bila Nirina memberi jawapan begitu.

Nirina tidak perlu bersusah-payah menggunakan Bahasa Perancis. Cukup dengan mengangah kamera Nikon. Laju saja tuan punya kedai itu menggamit seseorang yang berada di bahagian dalam kedai.

“Dia panggil siapa, Nirina? Bukan bodyguard dia, kan? Dia faham kita cuma nak minta tolong ambil gambar, kan?”

“Manalah aku tahu. Kau yang gatal sangat nak ambil gambar, kan? Sekarang nak lari atau nak tunggu?”

“Tunggu."

Hayunan langkah seseorang dari bahagian dalam kedai itu begitu gagah dan penuh keyakinan. Bukan hanya langkahnya saja yang gagah, susuk tubuhnya juga sangat sedap dipandang. Orangnya tinggi lampai dengan kulit yang cerah. Memakai baju sejuk, lengkap dengan hoodie di kepala.

Sekejap… Hoodie? Sempat kening Nirina naik dengan begitu tinggi sekali.

Janggut lelaki itu masih lebat. Jambangnya pun masih penuh dimuka.

"Nirina, aku suka dia ni. Dia kacak. Kenapa bukan dia yang layan kita tadi?”

Nampaknya, tahap terpegun Qas menjurus pada pesona seorang lelaki. Tahap terpegun Nirina pula menjurus sebab terkejut dan takut.

"Hati aku ni macam nak melompat keluar.”

Ayat gatal Qas terdengar lagi. 

Rasanya, ada yang tidak beres dengan otak Qas. Sekejap ya. Sekejap lagi Nirina tolong bereskan apa yang tidak beres dalam otak Qas tu.

"Kau tak geli ke dengan muka penuh bulu dia tu?" bidas Nirina tanpa berlapik lagi. Ini semua kerana otak Qas hanya dapat dibereskan setelah dibidas.

“Muka penuh bulu? Kau ni Nirina, tak baik cakap macam tu. Nasib baik dia tak faham. Kalau faham?”

“Dia takkan faham. Kau pun jangan nak terpegun sangat. Buka mata kau luas-luas. Pandang muka berbulu dia tu. Aku tak tahu apa yang kau nampak, sampai kau kata dia kacak sangat.”

“Mata dia, Nirina. Pandang mata dia betul-betul. Kau jangan pandang bulu dekat muka dia tu. Bayangkan kalau semua bulu tu tak ada.”

Masalahnya sekarang, pandang muka berbulu itu pun Nirina tak sudi.
​Lelaki yang dipanggil muka penuh bulu itu mula menyentuh kedua belah pipinya. Setelah itu kepalanya digelengkan. Ada riak kesal di situ.

“Muka I teruk sangat ke?”

Qas sudah melopong dengan teruk. Nirina pula dua kali lebih teruk gaya melopongnya. Hampir saja kamera yang sejak tadi dipegang jatuh menyembah tanah.

“Nirina, dia cakap Bahasa Melayu tadi, kan? Dia cakap Bahasa Melayu, kan? Dia bukan cakap French, kan?”

Tiada sebarang jawapan daripada Nirina.

“I memang orang Melayu.”

Dia ni, orang Melayu? Rasanya seperti sebiji batu besar baru saja jatuh di atas kepala Nirina.

“Kamera,” pinta lelaki itu tiba-tiba.

“Nak buat apa?”

“You nak ambil gambar, kan?”

Terkulat-kulat juga Nirina di situ.

“Nak ambil gambar, kan?” tekan lelaki itu sekali lagi.

Kamera Nikon telah bertukar tangan.

“Get your position. I banyak kerja lagi dekat dalam tu.”

Seperti lipas kudung Qas menarik tangan Nirina. Qas memang bijak bergaya, cuma Nirina saja yang tak sempat hendak bergaya. Yang ada cuma gaya muka terkejut.

“Senyum sikit. Jangan buat muka tak cantik tu. I tak suka.”

Muka tak cantik? Selepas tu, I tak suka? Okey, Nirina nak membantah ayat lelaki ni.

“Done.”

Okey, Nirina tak sempat nak bantah. Dan Nirina tak sempat nak ubah gaya muka pun.

“You yang pakai kasut flat tu, sini sekejap.”

“Siapa? I ke?”

Soalan Nirina memang terdengar naïf. Padahal memang dia yang memakai kasut flat.

“Habis tu, siapa lagi kalau bukan you?”

Jawapan lelaki itu pun boleh tahan diktatornya. Puas juga Nirina menyabarkan hati yang mulai panas.

"I nak ada gambar dengan you."

Lelaki itu bersuara lagi. Kamera Nikon pun telah diserahkan pada Qas.

"I tak nak. Kenapa I nak kena ambil gambar dengan you pula?"

Itu ayat bantahan pertama Nirina. Ayat bantahan dari hati. Ayat bantahan yang membuat lelaki itu mengecilkan sepasang matanya.

“Anggap sebagai upah sebab I tolong ambil gambar you berdua tadi.”

Upah? Dengar tak? Lelaki ni pintar sebut upah. Dia minta upah.

“I boleh bayar you. You nak berapa?”

Ini pula jawapan dari hati Nirina. Jawapan yang membuat Nirina menerima sorotan paling tajam.

“I tak muflis lagi. Jadi rasanya tak perlulah you nak tayang duit you tu.” 
Lengan Nirina telah diraih. Dipegang dengan kejap. Jadi meski Nirina membantah, tetap juga menemui perkataan gagal.

Qas pun satu. Mudah sangat jadi tali barut lelaki ni. Qas lupa agaknya, lelaki ni lelaki asing. Lelaki yang tak dikenali langsung. Walaupun dia kata dia orang Melayu, tetap juga jatuh dalam kategori lelaki yang tidak dikenali. Lagi satu, suka hati saja lelaki ni pegang lengan Nirina. Meskipun berlapik, tetap juga salah.

“I nak gambar ni.”

Amboi… Sudahlah lelaki ni paksa Nirina bergambar. Sekarang dia minta pula gambar tu. Jangan harap Nirina nak beri.

“Nanti I email dekat you.”

Rahang Nirina hampir jatuh. Jawapan Qas tidak membantu langsung.

“Okey, I tunggu. Ini email address I. Kalau gambar ni tak sampai dalam inbox I, you berdua siap. Faham?”

“Faham.”

Aduh… Boleh pula Qas beri jawapan budak darjah satu begitu.

“Dan you Cik Nirina,you cari orkid sampai ke sini ya? Tapi dekat sini tak ada orkid. Kalau you cari Hang Tuah, itu ada.”

Seperti orang gila Nirina mengangkat wajah. Insiden 'Hang Tuah' lebih sebulan yang lalu mula datang semula. Tapi 'Hang Tuah' sebulan lebih yang lalu, mukanya tak berbulu begini.

"You dah lupa fasal I, kan?”

Sejuk rasanya kepala Nirina. Agaknya suhu di Kota Paris ini sudah jatuh. Sama seperti hati Nirina yang telah jatuh. Bukan jatuh hati ya, tetapi jatuh sakit.

“Nirina, dia tahu nama kau. Kau kenal dia ke?”

Bisikan Qas diabaikan. Nirina lebih dulu telah menarik tangan Qas.

“Jumpa lagi Cik Nirina!”

Laungan lelaki itu juga Nirina abaikan. 

Tolonglah ya Allah, jangan biar Nirina jumpa ‘Hang Tuah’ yang tak bertuah langsung tu lagi selepas ni.  


*****
VERSI CETAK TELAH TERBIT
Harga Pasaran : RM25.00(SEM) / RM28.00(SS)











Tuesday, 23 December 2014

#Bab01 - Temani Aku Selamanya


Lajunya langkah kaki Nirina. Langsung tidak melihat kiri dan kanan. Arah langkahnya hanya pada nurseri yang tinggal beberapa langkah saja lagi. 

"Hello?" sapa Nirina sebaik saja memasuki nurseri tersebut. Sepasang matanya pula telah dipaksa bekerja keras mencari pekerja di situ. Malangnya Nirina hanya bercakap seorang diri. 

"Ada orang tak?"  

Suara Nirina semakin meninggi. Berharap benar pekerja nurseri tersebut muncul di depan mata. Kalau boleh, sekarang. Sebab Nirina sedang kejar masa ni. 

"Assalamualaikum. Selamat pagi. Salam sejahtera. I nak beli orkid. Hari ni kedai buka atau tutup?" 
Sepi lagi. 

Nirina telah mula mengetuk-ngetuk meja kaunter di situ menggunakan jari tangan. Ketukan yang perlahan, dan bukan bermaksud hendak merobohkan kaunter tersebut. 

"Mana pekerja nurseri ni?" gerutu Nirina. Ada kerutan yang mula terlukis.  

Lima minit berlalu, masih juga begitu. Akhirnya Nirina melangkah ke bahagian belakang nurseri tersebut.  

Ada objek yang hanya nampak kepala. Hanya nampak kepala sebab terlindung oleh pasu-pasu bunga yang boleh tahan besar. Apa yang pasti, rambut objek itu bergulung-gulung. 

"Yah!"

Suara Nirina bergema. Bukan sebab sedang marahkan objek yang hanya nampak kepala itu, tetapi sebab terkejut. Ini kerana Nirina telah selamat jatuh terduduk. Tumit kasut tingginya patah.  

"Are you okay?" 

Nirina mengangkat wajah. Nampaknya objek yang hanya nampak kepala itu tadi telah berada di depan Nirina.

"Okey. I okey. Tak ada yang patah pun, kecuali tumit kasut ni."

Seraut wajah objek itu begitu sedap sekali Nirina pandang. Cuma air muka menahan tawa objek itu saja yang Nirina rasa tak sedap langsung. Lekas-lekas Nirina bangun. Namun caranya berdiri tidak stabil pula. 

"You nampak susah nak berdiri dan berjalan. Kasut you..." 

"This?" potong Nirina lantas menanggalkan sebelah lagi kasutnya. Kemudian dengan segenap tenaga, Nirina patahkan tumit kasut tersebut. Setelah itu dipakai semula. 

"Masalah selesai. Nak berjalan pun senang." 

Kening objek itu naik sebelah mendengar ayat Nirina. Sorotannya tidak berkalih langsung dari melihat kaki Nirina. 

"Sepatutnya dari awal lagi you tak pakai kasut tinggi. Kalau you pakai kasut flat, insiden jatuh gaya tak sopan macam tadi takkan terjadi." 

Nirina sebenarnya mahu marah. Namun itulah, ayahnya tidak pernah pula mengajar supaya kalah dengan emosi yang dapat rating tertinggi dalam dunia syaitan. Jadi Nirina takkan marah-marah. 

"Paling penting, kaki tak sakit kalau tak pakai kasut tu. Tulang belakang pun sihat."

Aduh... Ada sambungan pula. Jujur ya, cara objek ini beri nasihat macam beri sebutir berlian pada Nirina. Cuma berlian tersebut dilemparkan lalu tepat mengenai dahi Nirina. Jadi, berlian tersebut tak ada nilai. Sebabnya hati Nirina boleh tahan sakit ni. 

"You pekerja dekat sini ke?" 

Nirina memilih untuk menutup topik tentang kasut tinggi bertuah tersebut.  

"I? Pekerja dekat sini?" 

Objek itu kelihatan sangat terkejut. Tidak berkelip matanya ketika membalas sorotan Nirina. 
Sebelum terlupa, objek yang separuh sedap dipandang dan separuh lagi tak sedap dipandang ini seorang lelaki.  Dia tinggi. Dia pakai cermin mata. Warna matanya coklat jernih.  

Sebelum terlupa lagi, ada sebiji jerawat di pipinya. Daerah lain bebas jerawat. Tapi Nirina rasa, jerawat itu sangat sesuai berada di situ. Nampak macam penyeri wajah. 

Amboi Nirina... Analisa  yang sangat terperinci. Jerawat nan sebiji itu pun boleh nampak ya. 

"I nak beli orkid." 

"Ulang sekali lagi.” 

"Orkid. I nak beli orkid jenis Cattleya Brabantiae." 

"Orkid Cattleya Brab.. Brab apa tadi?" 

Nirina mengeluh berat. Pekerja nurseri ni, sengaja cari fasal agaknya. Sengaja nak suruh Nirina kalah pada emosi pilihan syaitan. 

"Orkid Cattleya Brabantiae. Takkan orkid tu pun tak tahu."

"Tak tahu." 

Tak tahu? Jawapan objek ini memang sangat istimewa. 

"Kalau macam tu, you ni tak sesuai kerja dekat nurseri." 

"Memang I tak kerja sini. I lebih suka jadi boss." 

Berkerut-kerut dahi Nirina. Sorotan matanya dibias rasa pelik. 

"Macam inilah. Sementara you belum jadi boss, tolong carikan I Orkid Cattleya Brabantiae. I nak orkid tu. I nak lima pokok."

"You serius..." 

"I tak main-main. Nah, I dah tolong Google. I nak sekarang orkid tu. I pun nak cepat," potong Nirina sembari menunjukkan skrin telefon pintarnya pada objek tersebut. 

"You ni salah faham. I tak..." 

"Sekarang. S.E.K.A.R.A.N.G." potong Nirina sekali lagi. Lengkap dengan ejaan. 

Percayalah, Nirina betul-betul sedang kejar masa. Jadi Nirina tak cukup masa hendak dengar sebarang alasan. 

"You're going to regret this." 

Bulat mata Nirina bila diugut begitu. Objek itu hanya memakai jeans lusuh dan juga T-Shirt putih. Jelas terlihat ada sisa tanah gambut yang masih bersisa pada jari tangannya. Namun paling menyerlah pastilah rambut bergulung-gulung dia tu.

"I pelanggan dekat sini. Sekarang I nak beli Orkid Cattleya Brabantiae." 

"I tak tahu orkid tu dekat mana."

"Carilah. Kalau tak cari, memang takkan jumpa." 

"You cari sendiri, boleh?" 

Nirina baru saja mahu membantah bila terdengar suara orang ketiga. 

"Carl, maaf sangat. Ramai orang dekat klinik tadi." 

Kali ini, seorang wanita separuh umur yang datang. Di belakangnya ada seorang lelaki. Tangannya berbalut dengan kain kasa. 

"Hairi mana?"

Soalan kedua wanita separuh umur itu menyusul. Sorotannya mula mencari kelibat yang dipanggil Hairi.

"Hairi cari roti canai. Sekejap lagi dia baliklah."

"Dia ni siapa? Buah hati Carl ke?”

Soalan ketiga wanita itu lebih istimewa. Bulat mata Nirina. Sementara objek yang dipanggil Carl itu pula mula ketawa.

"Bukan, Mak Su. Pelanggan Mak Su ni. Dia ingat Carl pekerja dekat sini.. Dia siap paksa Carl cari orkid." 

"Betul ke?” 

Nirina sudah 90 persen hampir menjadi bongkah ais. Perbualan dua manusia itu sangat meresahkan sekeping hati Nirina. 

"Nak orkid jenis yang macam mana?" 

Soalan itu sangat mudah. Namun Nirina tidak punya jawapan. Sekarang sorotan Nirina hanya pada objek yang berada di depan matanya. 

"I dah cakap tadi, I bukan pekerja dekat nurseri ni. Sebab I pakai baju compang-camping, selekeh, kotor dan bla bla bla, jadi you ingat I ni tukang kebun." 

Kalau tadi bongkah ais, sekarang Nirina hampir hendak pengsan.  

"Nama you siapa?" 

“Eh?” 

Begitu jawapan Nirina. Semuanya sebab terkejut. 

“Nama you, Eh? Maksudnya I boleh panggil you Eh?"

Kali ini, rasa terkejut Nirina jadi dua kali ganda.

“Bukan.” 

“Jadi?” 

Alahai... Objek ini bijak mendesak pula. Sangat dahsyat cara dia mendesak. 

"Rin." 

"I tak suka nama manja. I nak nama penuh." 

Lihatlah tu, Nirina memang kalah dengan teruk. 

"Nirina." 

"Cik atau puan?" 

Amboi... Makin berjela pula sesi soal jawab ni. 

"Cik." 

Objek itu melangkah setapak ke arah Nirina. Sempat menyorot Nirina sembari tunduk sedikit. Biar sama tinggi dengan Nirina. 

"Cik Nirina, tolong ingat betul-betul ya. Kalau silap lagi, you jaga." 

Nirina menahan nafas. Aroma maskulin seorang lelaki sedang menebarkan pesona. Aroma yang begitu menyentuh relung hati. 

"You... You nak I ingat apa?" 

Aduh... Nirina jadi manusia gagap pula.

“I nak you ingat satu perkara saja. Perkara paling senang dalam dunia ni. Budak darjah satu pun boleh ingat.” 

Perkara paling senang? Selepas tu, budak darjah satu pun boleh ingat? Perkara apa ni?

Susahnya hati Nirina. Bertambah susah bila objek itu mula melukis senyuman. Bukan senyuman yang biasa-biasa, tetapi senyuman yang sangat khas. Dan rasa susah itu jadi berganda-ganda bila objek itu semakin menundukkan wajah.  

"I 'Hang Tuah', Cik Nirina. Bukan 'Hang Kebun'." - Carl Ibrahim


****
VERSI CETAK TELAH TERBIT
Harga Pasaran : RM25.00(SEM) / RM28.00(SS)