Thursday 27 September 2018

ERWAN & HELENA - Episod 09

BELUM selesai perbincangan Erwan dan Ilyas tentang Helena, telefon bimbit Erwan mulai berbunyi. Kenal sangat Erwan dengan suara Marc Anthony menyanyikan lagu My Baby You. Itu memberi petanda, Mira yang menghubunginya. Senyuman Erwan mekar. Hilang semua masalah Ilyas dari dalam kepalanya.
"Hai sayang." Manja suara Mira di hujung talian.
Tidak sempat Erwan membalas, Mira telah melontarkan lagi suaranya.
"Awak dah makan?"
"Hai juga sayang. No, saya belum makan. Saya baru habis game badminton dengan Ilyas."
"Ilyas ada dengan awak?" Suara Mira kedengaran lain.
Erwan mengerling Ilyas di sisinya. Lelaki itu membalas dengan kerutan di dahi.
"Ada. Dia ada sebelah saya. Awak nak bercakap dengan dia ke?"
"No, saya tak nak dengar suara dia. Saya nak awak pukul dia untuk saya. Pukul kuat-kuatDia layak kena pukul. Dia tu lelaki tak guna."
Dahi Erwan pula yang berkerut. Mira tidak pernah segresif ini. Mira baru bertemu sekali dengan Ilyas. Ketika pertemuan itu, Mira dan Ilyas nampak baik-baik sahaja. Jadi Erwan tidak faham kenapa Mira marah pada Erwan.
"Kenapa, Mira? Ilyas dah buat apa?" Erwan sedar, Ilyas sekarang memandangnya cukup tajam.
"Sebab dia ada perempuan lain selain Sherry. How could he do that to her? Sampai hati dia curang pada Sherry. Sherry setia dengan dia, dan dia pula bercinta dengan perempuan lain. Kalau awak dekat tempat Sherry, awak boleh terima?"
"Hold on, Mira. Awak cakap apa ni?"
Mira mengeluh keras di hujung talian sana. Nafasnya berbunyi kuat.

"Ilyas tu, dia dah ada perempuan lain     
"Ilyas tu, dia dah ada perempuan lain."
Sekali lagi Erwan mengerling ke arah Ilyas. Pegangan tangannya pada telefon bimbitnya turut dikemaskan.
"Siapa nama perempuan tu?"
"Erwan! Saya tak nak sebut nama perempuan bodoh tu. Saya nak bunuh dia sebab dah buat Sherry menangis."
"Saya nak tahu, Mira. Saya nak nama perempuan tu."
Erwan dapat mendengar dengan jelas Mira mencarut sebelum akhirnya menyebut nama Helena. Erwan tidak tahu bagaimana hal Helena boleh terlepas ke pengetahuan Sherina dan Mira.
"Wait... Awak tahu tentang hal ni?" duga Mira. Dia menunggu jawapan Erwan bersama rasa marah yang mahu meletup keluar.
Erwan tidak memberikan jawapan. Dia tidak sanggup membongkar kebenaran. Dia penat hendak bergaduh dengan Mira lagi.
"Oh, mestilah awak tahu. Awak bestie Ilyas. Awak dengan Ilyas, sama saja!"
"Mira, saya tak macam Ilyas. Saya cuma ada awak."
Mira memilih menutup talian. Kelam-kabut Erwan cuba menghubungi Mira semula, namun tidak berjaya. Dia mengeluh dan kemudian menyiku lengan Ilyas.
"Sherry dah tahu fasal Helena. Sekarang Mira mengamuk dekat aku, sebab rahsiakan hal ni daripada dia dan Sherry."
Ilyas hanya meraup wajahnya. Pandangannya kosong. Dia tahu akan tiba juga masanya dia perlu berdepan krisis Helena-Sherry, cuma dia tidak menjangkakan secepat ini.
"Aku nak jumpa Mira." Erwan telah bangun. Beg raket badmintonnya diraih. Sebelum sempat dia melangkah, Ilyas menahannya.
"Jangan tunduk sangat dengan Mira, Erwan. Kalau Mira dekat dengan kau, kau macam orang lain."
Ilyas tidak layak menasihatinya. Ilyas sendiri berkelakuan seperti lelaki dayus.
"Aku bukan nak rendahkan kau, tapi aku perhatikan, kau macam lembu dicucuk hidung kalau Mira ada dengan kau."
"Hal aku dengan Mira, kau tak perlu masuk campur. Selesaikan masalah kau dengan Sherry tu. Selagi kau tak selesaikan masalah tu, aku pun terpalit sama." Bersama nasihat berbaur sindiran itu, Erwan melangkah meninggalkan Ilyas.
Dua jam masa yang Erwan habiskan untuk memujuk Mira. Mira akhirnya lembut hati dan sudi menemaninya makan malam bersama. Cuma sepanjang acara makan malam berlangsung, Mira tidak berhenti mengutuk Helena. Erwan dapat rasa, Mira betul-betul bencikan Helena.
"Awak dah pernah jumpa Helena?" aju Erwan ditengah-tengah kesibukan Mira melampiaskan kemarahannya pada Helena. Tanpa segan-silu Mira menyebut Helena sial.
"Tak pernah dan saya pun tak nak jumpa dia. Dia tu bodoh dan sial."
Agak Panjang tarikan nafas Erwan. Jari tangannya bergerak mencari jari tangan Mira. Digenggam erat jari tangan halus tersebut. Mulut Mira semakin terbiasa menyebut bodoh dan sial. Erwan tidak suka.
"Mira, kalau awak belum jumpa dia, tak elok awak cakap buruk fasal dia."
Mira merentap tangannya daripada genggaman tangan Erwan. Pandangan matanya berapi-api. Nafasnya yang tenang, bertukar seperti ombak ganas.
"Awak ni kenapa, Erwan? Kenapa awak nak back up sangat perempuan bodoh tu? Ke awak dah pernah tidur dengan perempuan bodoh tu?"
Lancang bibir Mira menuduhnya. Kalau Mira bukan kekasihnya, sudah lama dia meninggikan suara. Mira melampau menuduhnya pernah tidur dengan Helena.
"Kenapa diam? Jawablah! Awak beritahu saya, yang awak hanya akan tidur dengan saya selepas kita berkahwin. Tapi dengan Helena tu, sebelum berkahwin pun awak dah ratah..."
"Shut up, Mira!" Naik tinggi suara Erwan. Menggigil buku limanya.
"Awak tahu tak, saya jumpa Helena pun tak pernah. Macam mana awak boleh terfikir saya pernah tidur dengan dia? Lagi satu, Mira... saya kekasih awak. Saya cuma pandang awak. Kalau saya tak sayangkan awak, dah lama saya main kayu tiga."
"Cubalah main kayu tiga. Kayu tu dengan awak sekali saya patahkan."
Tajam sorotan mata Erwan. Mira semakin kerap meninggikan suara padanya. Ini pun dia tidak suka.
"Saya cuma beri awak nasihat. Kalau ada orang cakap buruk fasal awak sebelum kenal awak, awak pun mesti tak suka. Sama la dengan kes Helena sekarang."
"Awak jangan ugut saya, Erwan. Saya tak suka. Awak jangan buat sampai saya tinggalkan awak."
Inilah perangai Mira yang Erwan tidak berkenan. Selain suka mengeluarkan ayat tidak elok, Mira juga panas baran dan suka mengugutnya. Mira lupa agaknya, yang Erwan sendiri ada baran dan lebih bijak mengugut.
"Mira, boleh tak kita jangan bincangkan lagi hal Helena-Ilyas-Sherry. Lebih baik kita ambil berat fasal hubungan kita sendiri."
Mira melihat ke arah pintu masuk restoran, kemudian pada kaunter bayaran sebelum singgah pada wajah kacukan milik Erwan. Wajah kacukan inilah yang membuat tidurnya tidak lena setelah pertemuan pertama mereka. Malah sehingga sekarang, Erwan tak pernah gagal menggetarkan hatinya.
"I'm so sorry, Erwan. Saya terlalu emosional."
Senyuman Erwan yang menyapa kata maaf Mira. Erwan ikut menggenggam semula jari tangan Mira.
"Kita manusia, logik kalau emosi kita terbabas. Cuma saya harap, selepas ni awak lebih bijak mengawal emosi. Jangan biarkan emosi yang mengawal diri awak. Awak akan menyesal nanti."
"Insya-Allah, saya cuba. Tapi perempuan bodoh tu memang melampau."
Agak berat keluhan yang keluar dari bibir Erwan. Pandangan matanya nampak hampa.
"Mira, saya baru beri nasihat dan awak dah mulakan semula."
"Tapi dia memang melampau. Kalau dia ada depan saya, dah lama saya cincang-cincang dia sampai lumat. Oh, saya mungkin nak sepak muka dia dulu."
"Apa kata awak jangan buat kesimpulan awal sangat tentang Helena. Mungkin awak patut kenal dia dulu. Tengok peribadi dia macam mana. Saya yakin, Helena tu tak seteruk yang awak fikirkan."
"Kalau awak asyik back up dia, saya takkan bertukar positif, Erwan. Malah, saya semakin benci dekat perempuan bodoh tu."
Erwan menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Sekarang dia berpeluk tubuh melawan pandangan mata Mira. Mira cantik, sangat cantik orangnya. Sayang, kecantikan itu selalu dikaburi dengan sikap panas baran Mira.
"Sherry beritahu saya, perempuan bodoh tu buat part time dekat restoran berdekatan dengan tempat dia bekerja sekarang."
"So?"
"Saya nak ke sana dan beri amaran pada dia."
"Mira... Jangan buat macam tu. Tak elok. Sherry sendiri tak macam awak."
"Minta maaf, Erwan. Saya tak boleh bertolak ansur dengan perempuan perampas ni. Saya bagi kosong markah. No, saya beri negatif kosong!"
"Awak pasti dia perampas? Macam mana kalau Sherry yang merampas Ilyas dari dia?"
Melopong mulut Mira, sebelum cepat-cepat ditutup. Minumannya diteguk.
"Itu tak mungkin. Ilyas sendiri mengaku depan Sherry, yang dia single lagi."
"Mungkin Ilyas menipu. Dia tak nak Sherry terluka, jadi dia terpaksa mengaku single."
"Awak nak cakap apa sebenarnya ni?"
"My point is, Helena mangsa dalam situasi ni. Dia terpaksa putus dengan Ilyas bagi memberi laluan pada Sherry."
"Erwan, boleh tak awak jangan back up dia sangat? Saya menyampah dengar. Hati saya sakit sangat."
Erwan takkan memberitahu, yang dia melihat Helena seperti emaknya. Emaknya pernah menerima nasib yang sama seperti Helena. Emaknya menderita teruk sebelum berjaya bangkit semula.
"Dan saya tak percaya Sherry yang rampas Ilyas daripada dia. Dia tu bodoh, tak mungkin Ilyas suka dekat perempuan bodoh."
Sepi menguasai waktu. Baik Erwan atau Mira tidak membuka mulut selepas Mira memberikan pendapatnya. Mira senang melayan perasaan, dan Erwan mencari jalan penyelesaian pada sakit hati Mira.
"Mira, saya nak tahu restoran tempat Helena buat part time. Saya nak nama restoran tu."
"Awak nak buat apa?"
"Saya nak booking tempat untuk makan malam dekat sana. Kita berempat, awak, saya, Sherry dan Ilyas akan ke sana."
Raut wajah Mira seperti baru disimbah sebaldi air sejuk.
"Awak dah gila?!"
Suara Mira seperti halilintar yang membelah langit.
"Mira, dengar apa saya nak cakap dulu sebelum awak buat kesimpulan saya dah gila."
Berkali-kali Mira menggelengkan kepalanya. Erwan sakit. Erwan sakit sebab terlalu mempertahankan Helena.
"Saya nak awak jumpa Helena, Mira. Saya pun nak Sherry kenal siapa Helena. Saya tak nak awak dengan Sherry berfikir yang buruk-buruk fasal Helena."
"Sherry takkan setuju. Ilyas pun pasti membantah. Rancangan awak tak siuman."
"Fasal mereka berdua awak jangan risau. Saya akan uruskan."
"Erwan... Jangan buat macam ni boleh tak? Awak buat saya risau."
"Please Mira... saya perlu buat macam ni supaya awak lebih tenang. Saya tak nak awak dikuasai kebencian."
Mira merenggus. Dia berpeluk tubuh. Tanpa memandang Erwan, dia menyuarakan rasa hatinya.
"Tengoklah... kalau saya tak sibuk, saya join makan malam tu. Tapi jangan berharap sangat saya nak bermesra dengan perempuan bodoh tu."
Melebar senyuman Erwan. Kalau Mira berkata begitu, maksudnya Mira telah bersetuju. Dia cuma berharap, Mira lebih mengenali Helena selepas ini. Setahu Erwan, Ilyas takkan sembarangan memilih teman wanitanya. Helena itu pasti ada ciri khas, yang membuat Ilyas bertahan bercinta dengannya selama dua tahun. Mungkin kalau Sherina tidak muncul, status bujang Ilyas tamat ditangan Helena.
°°°×××°°°
Nota PK: 
Versi novel dengan 51 episod, lengkap dengan prolog & epilog yang baru dan dikemaskan dengan bonus Erwan & Helena.
Pre-Order akan dibuka bermula 01/10/2018 - 14/10/2018. Stok terhad dan dijual secara online sahaja. First come first serve.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh whatsapp ke +60 10-449 7835. Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!

 Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!     

3 comments: