Tiga bulan kemudian. Hari Ahad. Cuaca tidak terlalu terik, tidak juga redup.
Gerakan tangan Abu Hanifah terhenti. Niatnya mahu membersihkan lantai bilik air hilang ketika telinganya menangkap suara seorang perempuan. Datangnya dari luar bilik air. Bukan suara ibunya. Bukan juga suara Fatim, tetapi suara yang begitu asing pada pendengaran telinga Abu Hanifah.
Pintu bilik air Abu Hanifah buka luas-luas. Terlihat dengan jelas seorang perempuan sedang bertinggung di depan bilik air. Pada tangan perempuan itu ada seekor kucing yang boleh tahan gempalnya.
"Awak siapa?" tanya Abu Hanifah tanpa berbasa-basi lagi.
Kali ini, gerakan tangan Nadine pula yang terhenti. Lehernya terlalu keras untuk dipalingkan. Mendengar suara garau itu pun sudah cukup membuat Nadine tidak selesa. Setahu Nadine, Mak Jah yang baru jadi jirannya beberapa bulan yang lalu cuma tinggal berdua dengan Fatim. Jadi, siapa lelaki ni?
"Saya tanya, awak siapa?" ulang Abu Hanifah sekali lagi.
Mati terus debat hati Nadine.
"Bisu ke?"
Amboi.. Dia kata Nadine bisu?
"Ataupun awak ni pencuri?"
Pencuri pula? Mendadak saja Nadine bangun sebelum berpusing menghadap lelaki bersuara garau itu.
"I bukan pencuri. I tinggal.."
Ayat Nadine mati. Mulutnya sempat terbuka luas. Begitu juga matanya. Pemandangan yang sedikit menjolok mata itu hampir saja membuat jantung Nadine melompat keluar. Ini kerana pemilik suara garau itu hanya memakai seluar bermuda paras lutut dan.. Dan tidak berbaju.
Aduh.. Petang yang indah ini mata Nadine telah dipertontonkan dengan sesuatu yang terdedah. Sesuatu yang kalau dilihat lama-lama, boleh melemahkan sekeping hati perempuan Nadine. Lagipun.. Lagipun sorotan mata lelaki itu sangat tajam.
"I jiran Mak Jah," sambung Nadine kemudian. Itupun setelah degup jantungnya kembali seirama. Namun rasa terkejut dalam diri sangat sulit untuk dibuang. Dan rasanya, Abu Hanifah lebih terkejut berbanding Nadine sendiri. Pada saat ini, sepasang mata Abu Hanifah tidak berkelip lagi menatap Nadine.
Memang perempuan di depannya ini perempuan yang sama. Yang ditemuinya di dalam perut LRT beberapa bulan yang lalu. Yang meliriknya dengan pandangan biasa-biasa. Namun lirikan biasa itu sudah cukup untuk membawa lari hatinya.
"Jiran?"
Lekas-lekas Nadine mengangguk.
"I Nadine. I datang sini cuma nak ambil ni, bukan nak mencuri. I tak buat kerja macam tu," cerita Nadine. Tubuh gempal Orlando segera diangkat.
Segaris senyuman istimewa cepat benar menghiasi wajah Abu Hanifah. Tanpa dapat ditahan lagi, sepasang matanya menilik semua harta Nadine. Bermula dari rambut, kening, hidung dan kemudian singgah lama pada sepasang mata bening itu. Semuanya tidak pernah gagal memberi pesona yang indah. Buat seketika Abu Hanifah leka dan terus alpa. Tewas pada bisikan jahat di sekelilingnya.
"You siapa? You buat apa dekat rumah ni?”
Belum pun sempat Abu Hanifah memberi jawapan, Orlando lebih dulu telah melompat ke arah Abu Hanifah. Tanpa ampun lagi, Orlando telah meninggalkan corak cakaran selari pada bahu Abu Hanifah.
Bulatnya mata Nadine. Rasanya, Nadine hampir histeria melihat tindakan spontan Orlando. Habislah Orlando. Habislah Nadine juga.
"Maaf! Lando tak sengaja. Tolong jangan pukul Lando," pinta Nadine lantas penuh hati-hati mengambil Orlando dari pegangan lelaki tersebut.
"Maaf lagi sekali. Maaf sangat," pinta Nadine terus. Berharap benar Orlando tidak di apa-apakan.
Abu Hanifah menyeringai kesakitan. Dia kembali memasuki bilik air sebelum keluar semula bersama sehelai tuala dan pengepit kain. Kemudian dia menyorot Nadine dengan cukup tajam. Tanpa sebarang kata, dia mengorak langkah menghampiri Nadine.
Terhenti sekejap nafas Nadine bila lelaki itu semakin mendekat. Otak Nadine cepat benar menjadi tepu.
"You nak buat apa ni? I jerit kalau you tak berhenti sekarang," ugut Nadine sambil ikut berundur setapak ke belakang. Setelah itu setapak lagi. Pada akhirnya, Nadine terperangkap ketika belakang tubuhnya bergesel dengan dinding.
"Kalau.. Kalau you sentuh I, I jerit. You jangan main-main," ugut Nadine lagi. Otaknya ligat mencari idea mahu melarikan diri. Matanya pula meliar mencari apa-apa yang boleh diguna untuk menyelamatkan diri.
Pada saat matanya melihat botol air di atas meja, terus saja Nadine capai. Tanpa ampun lagi, kepala dan bahu Abu Hanifah selamat menjadi mangsa pukulan botol air. Bukan sekali, tapi berkali-kali.
"Nadine!" tingkah Abu Hanifah. Botol air juga berjaya dirampas lalu diletakkan di atas meja semula. Kemudian tuala yang sejak tadi dipegang berjaya singgah di atas kepala Nadine lalu dikemaskan dengan pengepit kain. Nampaknya tuala putih itu telah selamat menjadi tudung yang menutup aurat Nadine.
Hampir sepuluh saat juga Nadine terpaku dek kerana terkejut. Pandangannya silih berganti antara tuala dan juga lelaki tersebut yang sedang membelek lebam di bahu.
"Ma.. Maaf. I ingatkan you.. Err.. You nak sentuh I tadi."
"Baliklah sebelum saya betul-betul sentuh awak. Lain kali kalau keluar dari rumah, tutup aurat awak dengan sempurna. Saya bukan nabi, Nadine. Saya pun bukan mahram awak. Saya cuma lelaki biasa. Tak lepas dari godaan syaitan."
Makin kelu lidah Nadine. Hendak melangkah pun terasa amat payah. Apa lagi mahu membuka mulut. Rasa bersalahnya berganda-ganda pada lelaki itu.
Aduh... Kenapalah tangan ni laju sangat capai botol air tu. Kalau kosong, mungkin masih boleh dimaafkan. Isunya sekarang, botol air itu penuh dengan isi.
“Lagi satu, kalau nak masuk rumah orang, beri salam dulu. Jangan redah saja. Kalau pun awak jiran saya, tapi itu bukan tiket untuk awak lupa tentang salam.”
“Eh?” luah Nadine sepatah.
“Beri salam bukan saja dapat pahala kebajikan, malah rahmat pun dapat. Tidak cukup dengan itu, malaikat pun mendoakan bagi mereka yang memberi dan menjawab salam sebanyak 70 kali. Paling bagus, Allah pun mengampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah.”
Tidak berkelip mata Nadine menerima tazkirah ringkas tersebut.
“Dan kalau awak dapat tutup aurat awak dengan sempurna, sayalah yang paling bersyukur. Iman hati saya terjaga, mata saya pun terjaga. Jadi tolong, kalau awak ke sini lagi, pastikan aurat awak ditutup dengan sempurna.”
Nadine menelan liur yang tiba-tiba saja terasa sangat pahit. Tuala yang terletak molek dikepalanya dipegang kemas.
"Tunggu apa lagi? Cepatlah bergerak,” pinta Abu Hanifah bila melihat Nadine seperti melamun jauh.
Kepalang terkejutnya Nadine. Mujur saja Nadine tidak melatah. Sekarang seperti lipas kudung Nadine keluar dari ruang dapur tersebut. Orlando pun Nadine sudah lupa hendak ambil. Namun biarlah, yang penting Nadine mesti keluar dari rumah Mak Jah dulu. Rumah Mak Jah ada lelaki. Sedap dipandang dan dia beri Nadine tuala dan pengepit kain.
Nadine! Kamu cakap apa ni? Mana boleh Nadine fikir begitu. Ingat sikit, lelaki itu bukan mahram Nadine. Jaga adab Nadine sebagai seorang perempuan.
Memang itu kenyataannya. Bukan salah Nadine. Lelaki itu yang salah. Siapa suruh dia tidak pakai baju. Tapi nama dia siapa ya? Paling penting, dia buat apa dekat rumah Mak Jah?
Tidak sampai sesaat, sepasang mata Nadine kembali terbuka luas. Lelaki tadi.. Lelaki tadi tu anak lelaki Mak Jah ke? Yang katanya menetap di Kaherah? Yang katanya sangat menarik hati?
“Nadine.”
Suara garau itu lagi. Bagaikan robot Nadine berpusing. Sangka Nadine dia bakal melihat pemandangan yang indah lagi. Mana tahu kali ini dia melihat Abu Hanifah dalam versi yang lain. Versi memakai jubah. Jujur, Nadine lebih suka versi seluar bermuda tadi. Nadine tak suka jubah.
“Awak lupa kucing ni.”
“Ya. Kucing. I lupa ambil kucing ni.”
Orlando mengeliat kecil setelah kembali berada dalam pelukan Nadine.
“Nadine.”
Aduh.. Namanya kembali disebut dengan penuh kelembutan oleh lelaki berjubah tersebut. Payah kalau begini.
“Nama saya Abu Hanifah. Tolong ingat nama tu."
“Huh?”
** Persembahan Dari Hati adalah kesinambungan dari novel #Doa Cinta Seorang Lelaki (DCSL). Yang belum memiliki #DCSL, boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran pada harga RM26.00(Sem) 'n' RM29.00(SS).
Ataupun boleh beli online dengan Ideakreatifpublication pada harga diskaun RM24.00(Sem) 'n' RM27.00(SS). Penghantaran percuma (Malaysia Sahaja)
#REQ. GROUP ~ for latest updates
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/
Rindunya kat Abu
ReplyDeleteAH tgh bz sket bape bulan ni.. hihihii
DeleteOooo gitu...nanti2 buatla sambungan AH ya
ReplyDelete