Mula-mula seminit. Kemudian meleret sampai lima belas minit. Lihatlah tu, sejak tadi Abu Hanifah sibuk dengan gadget iPad ditangan. Email yang diterima dibaca satu persatu. Suara operator LRT yang membuat pengumuman juga tidak dihiraukan. Kiranya, Abu Hanifah hanyut dalam dunianya yang tersendiri.
"Kenapa tak ada," keluh Abu Hanifah. Email yang ditunggu-tunggu belum juga masuk. Hidungnya disentuh sebelum naik ke dahi. Memicit dengan lembut.
"Tunggu!"
Suara nyaring itu memang sangat mengejutkan. Cukup untuk membuat Abu Hanifah mengalih tumpuan ke arah pintu LRT yang baru saja tertutup. Atau lebih tepat, arah datangnya suara nyaring tadi. Satu susuk tinggi lambai berdiri di sana, lengkap dengan wajah kelegaan.
Bermula dari atas kepala dan kemudian turun sampai ke kaki. Kemudian naik semula sampai ke kepala. Semua yang Abu Hanifah lihat menghadirkan pesona terindah. Lekas-lekas Abu Hanifah mengalihkan pandangan. Malu sendiri dengan naluri jahat yang sempat menjadi raja dalam hati.
"Nasib baik sempat."
Suara itu lagi. Suara milik perempuan yang hanya memakai T-Shirt kuning beserta dengan jeans. Suara perempuan yang begitu senang sekali menyentuh hati lelakinya. Padahal, hatinya sangat terkenal sulit disentuh. Lagipun gaya perempuan itu langsung tidak seperti Saidatina Khadijah. Bagaimana mungkin hatinya boleh tergolek-golek?
Sekarang tumpuan Abu Hanifah beralih pada derap kaki perempuan itu. Makin lama makin dekat dengan tempat duduknya. Sehinggakan Abu Hanifah menghela nafas panjang. Ketika memberi ucapan pada ratusan tetamu pun Abu Hanifah tidak segugup ini. Peliknya..
Abu Hanifah, kamu tak pernah begini. Jadi jangan buat perangai entah apa-apa ya. Baca Al-Fatihah banyak-banyak. Nanti semua rasa gugup itu hilang. Semangat sikit!
"Duduklah," pelawa Abu Hanifah tanpa sedar. Dia telah bangun sembari memberi laluan pada
perempuan tersebut.
"Tak apa. I turun dekat stesen Titiwangsa. Dekat saja ni," ujar Nadine. Hanya memandang sekilas sebelum kembali sibuk menekan butang telefon bimbit pintarnya. Namun matanya dapat menangkap barisan gigi putih bersih milik lelaki itu.
Tidak berkelip mata Abu Hanifah bila ditolak mentah-mentah begini. Dia duduk semula. Tapi itulah, sepasang matanya tetap juga melirik perempuan itu lagi. Melirik tanpa rasa malu. Gagal lagi mengawal diri.
Tidak sampai seminit, rasa terkejut pula yang datang. Ketika LRT berhenti di stesen seterusnya, perempuan itu nyaris jatuh tersungkur jika Abu Hanifah tidak segera meraih lengan perempuan tersebut. Konon-kononnya hendak menjadi hero. Baru dua saat, hatinya sudah macam-macam. Sentuh sedikit begini pun Abu Hanifah sudah mengerti betapa mulusnya kulit perempuan itu.
"Maaf," luah Abu Hanifah lantas lekas-lekas menarik tangannya semula. Elok saja tangan dilepaskan, langsung saja perempuan itu jatuh terduduk. Gaya nangka busuk jatuh pun tidak seteruk gaya perempuan itu jatuh.
Nadine menyeringai kesakitan. Tidak menduga langsung pegangan tangan lelaki itu akan dilepaskan. Lebih parah bila semua penumpang digerabak tersebut menatap tanpa berkelip. Aksi akrobatik Nadine memang luar biasa.
Sekarang Nadine menahan rasa perit pada lututnya. Mujur saja jeans menjadi pelindung. Kalau
tidak, memang berdarah lutut Nadine.
"Maaf. Saya ingatkan awak dah stabil tadi."
Nadine mengangkat wajah. Menyorot lelaki berjubah putih, berketayap putih dan bercermin mata hitam itu puas-puas.
"Kalau nak tolong, tolonglah betul-betul," gerutu Nadine seraya berusaha untuk bangun. Sempat dia jeling lelaki itu dengan sejuta rasa geram.
"Tak payah tolong, I boleh bangun sendiri," bidas Nadine lagi bila lelaki itu cuba membantu.
Abu Hanifah tidak bergerak langsung. Rasa bersalahnya begitu tinggi. Lebih-lebih lagi bila melihat betapa cemberutnya wajah perempuan itu. Pun begitu, masih juga hatinya terpesona. Buatlah sejuta ekspresi sekalipun, pesona itu tetap ada.
"Duduklah. Lutut awak sakit tu."
Kali ini Nadine terus duduk. Enggan melihat lelaki berjubah, berketayap dan bercermin mata hitam itu lagi. Dia rela menjadi robot statik dan tidak menoleh langsung pada lelaki itu. Ini semua sebab sakit hati dan lutut punya fasal.
Mulut Nadine memang kata begitu, tapi kata hatinya lain. Sebab itulah Nadine melirik lelaki itu. Paling mengejutkan bila sorotannya bertaut dengan lelaki tersebut.
"You pandang I ya?" tanya Nadine dengan kening naik sebelah. Sebenarnya Nadine mahu menutup salah sendiri. Sebabnya dia yang gatal melirik dahulu tadi. Itupun sebab lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya. Jadi Nadine cuma mahu melihat sepasang mata lelaki itu. Dan ya, sepasang mata itu begitu jernih dan indah.
Sumpah, rasa tidak keruan Abu Hanifah begitu cepat memenuhi segenap rongga dalam diri. Cermin matanya dipakai semula. Kemudian kata maaf diucap sebelum dia bergerak ke gerabak yang lain.
Duhai hati, jangan melompat-lompat begini. Kawal diri. Kalau terbersit sekalipun, jangan buat gaya macam lelaki baru pertama kali jumpa perempuan. Boleh?
STESEN LRT Titiwangsa tidak sibuk seperti di stesen Masjid Jamek. Hanya ada beberapa orang penumpang yang menunggu di stesen tersebut. Enam orang perempuan dan empat lagi lelaki. Salah seorang pastinya Abu Hanifah. Dan Abu Hanifah telah dua kali mundar-mandir di hadapan perempuan yang memakai T-Shirt kuning itu.
Malangnya, perempuan itu masih juga menangis dan menangis. Menangisnya bukan terkawal, tetapi sangat teruk. Maskaranya.. Masya-Allah, sudah luruh.
Dengan lafaz bismillah, Abu Hanifah menghampiri perempuan itu. Rasanya, dia tidak sanggup melihat perempuan itu berterusan menangis di sini.
"Nampaknya hari ini, ada kelenjar air mata yang bekerja keras. Dari tadi lagi tuan dia menangis dengan teruk. Penat kelenjar air mata tu."
Nadine berhenti mengongoi. Wajahnya diangkat dengan bahu yang masih lagi terhingut-hinggut.
Sorotannya bertemu lagi dengan lelaki berjubah dan berketayap putih tadi. Nadine kenal dengan lelaki yang sedang menegurnya ini. Apa yang pelik, lelaki itu tidak lagi menyembunyikan sepasang mata jernihnya.
"Cakap dengan I ke?" tanya Nadine semula seraya menoleh ke kiri dan ke kanan.
"Nanti kalau ada masa, jangan lupa pergi zoo. Tadi saya ke sana dan jumpa sepasang panda."
Tadi kelenjar air mata. Sekarang zoo pula? Paling teruk, soalan Nadine dibiarkan tanpa jawapan. Buang tabiat agaknya lelaki ni.
"Tapi tak sangka dekat sini pun ada panda."
"Huh?" luah Nadine, lengkap dengan muka kelirunya. Kerutan di dahi pun semakin dalam. Mendadak saja sedu sedan Nadine hilang. Berganti dengan sejuta rasa pelik.
Abu Hanifah menyuakan sapu tangan miliknya. Pakej bersama senyuman khasnya lagi. Senyuman yang menghadirkan rasa nyaman dalam diri Nadine. Membuang sedikit rasa sedih Nadine bila ditinggalkan Amirul yang curang.
"Hapuskan air mata tu. Maskara awak pun dah luruh."
Maskara? Luruh? Jadi.. Jadi lelaki ini cuba nak cakap Nadine macam panda sebab maskara luruh? Hilang sekejap isu Nadine ditinggalkan kekasih hati. Tidak berkelip-kelip mata Nadine membalas sorotan lelaki itu. Segala rasa nyaman yang hadir tadi telah bertempiaran lari. Berganti segudang rasa geram.
"Tak payah!" balas Nadine lalu bangun. Ketika LRT singgah di stesen tersebut, terus saja Nadine menyelinap masuk. Sedikit pun dia tidak memandang lelaki itu.
Panda ya? Hari ini jangan sebut tentang panda langsung. Kata orang zaman sekarang, tabu. Kata orang dulu-dulu, pemali.
** #Persembahan Dari Hati adalah kesinambungan dari novel #Doa Cinta Seorang Lelaki (DCSL). Yang belum memiliki #DCSL, boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran pada harga RM26.00(Sem) 'n' RM29.00(SS).
Ataupun boleh beli online dengan Ideakreatifpublication pada harga diskaun RM24.00(Sem) 'n' RM27.00(SS). Penghantaran percuma (Malaysia Sahaja)
#REQ. GROUP ~ for latest updates
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/
No comments:
Post a Comment