Tuesday, 11 March 2014

#Cerpen - Prolog Cinta



Adam Ahmad terdiam. Kalau tadi dia yang sibuk bertanya itu dan ini, kali ini dia senyap bila ibunya yang tersayang membuka cerita tergempar. Cuma matanya saja yang makin lama makin besar.

“Ya Allah, mak! Mak buat apa ni? Hancurlah masa depan Adam kalau macam ni,”ujar Adam sambil menepuk dahi. Nyaris saja telefon bimbitnya terlepas dari genggaman tangan. Kepalanya sudah digelengkan beberapa kali. Namun suara sang ibu di hujung talian kian membuat hatinya tunggang langgang.

“Mak jangan macam-macam. Batalkan cepat. Adam tak setuju!”gerutu Adam sudah separuh menjerit lantas mematikan talian. Lupa sebentar dia sudah meninggikan suara pada ibunya yang tercinta nun jauh dikampung sana.           

“Kenapa ni bro? Lain macam saja aku tengok. Apa kes?”Badrul yang sedang menonton tv sudah menegur.

“Mak aku. Ada ke patut dia jodohkan aku dengan  Kamilia. Aduh! Sesak nafas aku ni ha.”

“Baguslah. Kau itu pun bukan ada girlfriend lagi. Cantik nama Kamilia tu. Mesti secantik orangnya juga, kan? Kau suruhlah la mak cik carikan aku jodoh juga. Aku ni pun sama macam kau, tak laku-laku dari dulu sampai sekarang,”seloroh Badrul sambil angkat-angkat kening.

“Siapa cakap aku tak laku? Aku tengah mencari lagi. Belum jumpa yang betul-betul boleh buat hati aku terbersit pada pandangan pertama.”

 “Jiwang karat la kau ni. Kamilia tu kan ada. Tak payahlah nak cari-cari lagi.”

“Simpang empat puluh empat malaikat Bad! Kau tak kenal Kamilia tu. Kalau kau jumpa, ada kau pengsan ditempat kejadian.”

Badrul ketawa besar. Sudah lama dia tidak mendengar Adam menggunakan ayat’pengsan ditempat kejadian’.

“Teruk sangat ke?”

“Ni gigi dia, jarang nak mampus. Kalau makan rendang, dijamin sangkut dekat gigi dia. Belum kira cermin mata yang ala tahun 60-an  dia tu. Sudahlah begitu, dia tak ada sopan santun langsung. Kalau kau berdiri sebelah dia, kau akan rasa kau berdiri sebelah lelaki,”Adam ligat bercerita. Lengkap dengan gaya teaternya sekali.

“Amboi.. Sejak bila kau kuat kutuk orang ni bro?”

“Aku bukan kutuk, tapi aku cakap perkara yang fakta jer. Tak sesuai buat isteri Kamilia tu.”

“Kalau tak sesuai, takkan lah mak cik nak pinangkan Kamilia tu untuk kau pula.”

Adam mengeluh berat. Ibunya berkeras kerana katanya terhutang budi pada Kamilia. Geli geleman tekaknya mengingati kejadian sepuluh tahun lalu ketika dia lemas di sungai. Paling teruk yang membuat bantuan ‘CPR’, ala yang bantuan pernafasan dari mulut ke mulut itu adalah Kamilia sendiri.

Mengingati kejadian tersebut membuat Adam nyaris pengsan. Kamilia atau nama gelarannya si Kambing Liar itu telah mencium bibirnya. Pandai Kambing liar itu ambil kesempatan.

Gara-gara insiden tersebut buah hatinya waktu itu minta putus. Semuanya disebabkan si Kambing Liar. Dan sekarang, ibunya ingin Kambing Liar itu menjadi isterinya. Mustahil!

“Tak guna betul Kambing Liar tu. Yang terhegeh-hegeh nak balik kampung neneknya semula tu kenapa? Tak pasal-pasal aku pula yang jadi mangsa nak dijadikan suaminya,”gerutu Adam tidak putus-putus.

“Kambing Liar?”aju Badrul. Hairan bila teman serumahnya dari tadi menyebut-nyebut nama Kambing Liar.

“Si Kamilia tu la.”

Makin kuat tawa Badrul. Lucu melihat ekspresi muka Adam saat ini. Macam orang mabuk toya!

“Aku takut daripada Si Kambing Liar jadi si pujaan hatiku saja,”luah Badrul dengan selambanya sebelum ketawa mengekek. Tawanya tambah panjang saja saat menyedari betapa keruhnya air muka Adam. Benci sangat nampaknya Adam pada si Kamilia itu.

“Kau ikut aku balik kampung hujung minggu ni. Aku nak jumpa si Kambing Liar tu dan batalkan pertunangan kami,”cetus Adam tiba-tiba.

“Aku pun terbabit sama ke?”

“Ye lah. Sebab aku akan cakap aku nak kahwin dengan adik perempuan kau.”

“Aku mana ada adik perempuan.”

“Tipu sajalah. Tipu sunat. Yang penting aku dapat lepaskan diri daripada Kambing Liar tu.”

Badrul terpaksa setuju. Namun jauh di relung hati, dia tidak sabar pula bertemu dengan Cik Kamilia. Pakai cermin mata 60-an. Macam lelaki. Kasar. Tapi itu cerita zaman dahulu kala. Sekarang Kamilia mesti sudah lain.


AKHIRNYA Badrul selamat menjejakkan kaki di kampung halaman Adam. Segarnya udara kampung begitu menyenangkan paru-paru miliknya. Matanya begitu terpukau dengan rimbunan pokok rambutan di sekeliling rumah Adam. 

“Mana pula mak ni,”getus Adam sambil mengeluarkan beg pakaiannya dari bonet kereta.

“Panas,”keluh Badrul. Dia sudah mengipas-ngipas mukanya dengan tangan.

“Bad, kau tolong bawa beg ni dekat tepi tangga. Aku nak cari mak aku dekat belakang sekejap.”

Berkerut-kerut muka Badrul bila ditinggalkan sendirian oleh Adam Ahmad. Mahu mogok sebenarnya, tapi Adam sudah hilang pula. Sudahnya dia terhegeh-hegeh mengangkat dua buah beg besar itu lantas di letakkan di anak tangga paling atas.

“Boleh tahan panasnya. Kalau dapat sirap ais, heaven!”getus Badrul seorang diri.
Baru beberapa minit berehat, Badrul sudah dikejutkan bila terdengar suara orang bercakap menghampiri rumah. Tanpa sedar dia sudah berdiri. Matanya langsung tidak berkelip.

Sesungguhnya sepasang mata Badrul sudah melekat erat pada satu figura yang sedang menghampiri rumah Adam.

Kulitnya kuning langsat dan begitu mulus sekali. Belum lagi ketika tersenyum. Aduh.. Terserlah lesung pipit gadis itu. Matanya yang bundar itu kelihatan begitu tenang memberi tumpuan pada wanita separuh umur yang tidak lain tidak bukan ibu Adam sendiri. Barisan giginya yang tersusun cantik.. Keningnya yang terbentuk sempurna.. Alamak.. Mabuk Kepayang jadinya..

Dek kerana terlalu mengagumi makhluk ciptaan Allah SWT yang satu itu, sudahnya dia tersilap langkah hingga dia jatuh tergolek dari anak tangga teratas sampai ke anak tangga paling bawah.

“O mak kau! Opocot manusia jatuh! Jatuh langit kau jangan dekat!”Ibu Adam sudah melatah sebelum mengurut dadanya. Terkejut bukan kepalang bila seorang lelaki tiba-tiba saja jatuh tergolek di anak tangga terakhir rumahnya.

“Anak ni siapa?”tanya ibu Adam setelah nafasnya kembali tenang.

“Saya kawan Adam, mak cik. Adam ada kat belakang rumah cari mak cik.”

“Ooo.. Mak cik ingatkan siapa yang jatuh tadi,”sambung wanita separuh umur itu, cuba untuk menyembunyikan senyumnya.
“Awak tak apa-apa ke?”begitu lembut pula suara gadis di sisi wanita separuh umur itu menyapa. Hinggakan segala kesakitan yang dialaminya sirna tanpa dapat dikesan.

“Err.. Tak.. Saya tak apa-apa. Sikit saja ni.”

Berkerut-kerut dahi gadis itu mendengar penjelasannya. Mungkin tidak percaya.

“Tapi nampak lebam. Macam sudah terseliuh.”

Lekas-lekas Badrul memerhatikan pergelangan tangannya sendiri. Dan pada saat gadis itu menyentuh lebam di tangannya, barulah rasa sakit yang sirna tadi hadir semula. Mujur dia tidak menjerit, kalau tidak jatuhlah sahamnya di depan gadis tersebut.

“Nak kena urut terus ni. Kalau dibiarkan takut makin teruk. Saya panggil nenek sekejap,”usai berkata-kata, gadis itu melangkah pergi. Meninggalkan Badrul dengan hati yang rawan.

Wah.. Hati lelakiku sudah terbersit! Bisik Badrul. Tersenyum dalam kesakitan yang menyucuk-nyucuk.

Adam yang baru sampai setelah mencari ibunya di belakang rumah sudah buat muka pelik melihat Badrul. Sejak tadi Badrul asyik melihat pergelangan tangannya sendiri.

 “Ni kenapa pula?”tanya Adam usai mencium tangan ibunya.

 “Jatuh tangga tadi.”

Bukan main terkejutnya Adam mendengar kata-katanya ibunya. Lalu tanpa berlengah lagi tubuh Badrul sudah di dorong memasuki keretanya.

“Nak ke mana pula tu?”Mak Mah melarang.

“Pergi klinik sekejap.”

“Eh! Tak payahlah. Lagipun ada orang nak datang urut tangan aku ni ha,”Badrul pula membantah. Selebihnya dia ingin bertemu gadis berlesung pipit itu lagi.

“Jangan nak mengada-ngada!” Adam sudah menjengilkan matanya lalu enjin kereta terus di hidupkan.

Mak Mah menggelangkan kepalanya. Kasihan pula memikirkan Kamilia sudah pergi memanggil neneknya.


ADAM Ahmad memandu dalam kelajuan sederhana. Sesekali dia mengerling si Badrul yang macam sedang dibuai mimpi paling indah.

“Yang kau ni daripada tadi asyik senyum apa kes?”aju Adam sambil mengerling Badrul di sisinya. Sejak tadi temannya yang satu itu tidak habis-habis mengukir senyuman.

“Sudah macam orang gila pun ada dah aku tengok. Kau nampak apa tadi? Sampai boleh jatuh tangga. Tak senonoh betul,”rungut Adam. Sempat mengerling lebam pada pergelangan tangan Badrul.

“Aku jumpa Eros. Aku rasa dah terkena panahan Eros. Tepat menusuk dada aku ni ha,”balas Badrul selamba sambil menyentuh dadanya sendiri.

“Apa yang kau merepek ni? Otak kau bergegar ke tadi masa kau jatuh? Kau ingat ini zaman Yunani Rom ke ada dewa cinta tu? Teruk dah kau ni Bad.”

Badrul tidak mempedulikan pertanyaan temannya. Sebaliknya menyanyi kecil. Lagu Mahakarya Cinta.

“Masya-Allah, kau nak hujan lebat turun kat kampung aku ke ni? Suara sumbang. Pitching lari!”

Badrul menjeling tajam. Kuram asam betul.

Namun hanya sekejap bila figura gadis berkulit mulus itu kembali menari di ruang mata.

“Aku rasa aku dah jatuh cinta,”cetus Badrul tiba-tiba setelah lama membisu.

“Kau biar betul. Seingat aku kau tak jumpa siapa-siapa pun lagi selain mak aku tu. Kau jangan macam-macam bro. Aku tak sudi kau jadi ayah tiri aku.”

Bulat sungguh mata Badrul mendengar kata-kata Adam Ahmad. Hampir putus nafasnya dek kerana terkejut.

“Yang kau melalut jauh sangat tu apa kes? Aku bukan cakap pasal mak cik. Tapi gadis yang teman mak cik tadi. Macam bidadari turun dari langit. Matanya.. Kulitnya.. Alisnya..”

“Ka uni memang sudah angau. Nanti aku tolong tanya mak aku kau dah terbekenan kat anak dara siapa.”

“Thanks, bro! Kau lah sahabat aku dunia akhirat. Pertama kali aku terpandang dia, hati aku ni dah lain macam sangat. Jantung aku ni..”

“Sudah. Kau dah angau tahap extreme. Tak payah nak elaborate lagi. Kita settlekan hal putus tunang dulu dan lepas tu kita pergi rumah gadis yang matanya.. Kulitnya.. Alisnya.. tu pula.”

“Terbaik!”

Adam menggelengkan kepalanya. Dalam sakit-sakit itu Badrul masih bersemangat bercerita tentang gadis yang ditemuinya tadi. Sesungguhnya kalau Badrul gembira, dia pun akan turut bahagia.


MALAM itu.

“Erm.. Sedapnya bau. Mak macam tahu-tahu saja apa makanan kesukaan Adam. Terima kasih, mak..”

Mak Mah tersenyum senang. Wajah anak bujangnya yang satu itu ditatap penuh kasih sayang. Kemudian beralih ke arah Badrul.

“Makanlah. Jangan malu-malu Badrul.”

“Badrul ni kalau makan mana ada malunya mak. Tolak kayu batu saja. Yang lain dia sapu.”

Badrul ketawa mendengarnya.

“Tapi mak cik masak memang sedap. Menjilat jari. Ada juga saya tambah dua tiga kali ni.”

“Mak aku memang jaguh memasak, Bad. Dulu badan aku montel.”

“Betul tu. Kalau tak, takkanlah Kamilia panggil Adam ni ikan Buntal.”

Terbatuk-batuk Adam dibuatnya. Sampai hati betul ibunya menyebut ‘ikan buntal’. Padahal ibunya cukup tahu betapa dia sangat benci dipanggil ikan buntal. Ini semua Kambing Liar itu yang punya angkara!

“Mak ni pun. Adam tengah makan ni. Ada ke patut ikan tu disebut.”

Mak Mah dan Badrul ketawa mendengar rungutan Adam.

“Mak bagi resepi Asam Pedas Ikan Pari ni nanti. Sedap la mak,”tingkah Adam sambil kembali menyudu kuah asam pedas tersebut. Kena betul dengan seleranya.

“Kamilia yang masak. Kemudian dia hantar ke sini masa kamu berdua pergi klinik tadi.”

Kalau tadi dia hanya terbatuk, kali ini nasi di mulutnya habis tersembur.

Cis! Dia baru saja memuji masakan Si Kambing liar itu. Oh Tidak!

“Ni kenapa pula?”soal Mak Mah melihat gelagat anak lelakinya.

“Kenyang dah. Adam tarik balik pujian tadi. Asam Pedas ni biasa-biasa saja.”

Begitu penjelasan Adam sebelum angkat kaki dari meja makan. Meninggalkan Badrul yang masih berselera menambah nasi.

“Sedap asam pedas tu, Adam. Kalau macam ni, biar aku saja lah yang ganti tempat kau jadi bakal suami Kamilia tu. Biarlah tak cantik. Asal dia pandai jaga perut aku ni ha.”

“Banyak lah! Sudah la tu. Jangan sebut lagi nama Kambing Liar tu. Seram.”

“Assalamualaikum”

Terdengar satu suara menyapa dari luar pintu.

“Waalaikumussalam..”Adam bingkas untuk menyapa tamu yang datang. Namun baru beberapa langkah dia berhenti, dia berpaling ke arah Badrul.

“Kalau setakat Si Kambing Liar tu, tak payah kahwin pun aku sanggup daripada jadi suami dia. Tak sanggup aku kahwin dengan perempuan cermin mata besar tu. Silap-silap orang ingat aku jalan dengan mak cik-mak cik.”

Badrul ketawa mengekek. Adam tak sudah-sudah mengutuk Kamilia.

“Siapa yang datang?”Mak Mah yang baru masuk ke ruang tamu bertanya.

“Tak tahu. Tak ada orang pun,”balas Adam acuh tak acuh.

“Mana Kamilia ni. Tadi kata nak datang jenguk Badrul sekali dengan Nek Semah.”

“Biarlah dia tak datang mak. Adam lagi suka. Lagipun mak tahu kan tujuan Adam balik kampung. Adam nak putuskan pertunangan Adam dengan Kamilia tu. Adam dah ada buah hati. Adik Bad sendiri.”

Mak Mah mengucap panjang. “Kenapa tak beritahu mak? Apa mak nak cakap dengan Nek Semah nanti?”

“Macam mana Adam nak cakap. Mak pun dah pergi pinang Kamilia tu. Padahal Adam dah ada buah hati sendiri.”

“Habis kenapa minggu lepas mak tanya kamu cakap tak ada buah hati lagi?”

Adam terdiam. Namun hanya beberapa saat.

“Adam tak sedia lagi nak beritahu mak. Manalah Adam tahu mak pun nak jodohkan Adam dengan Kamilia.”

“Betul ke ni Badrul adik kamu kekasih Adam?”

Badrul pucat seketika. Tidak berani untuk berbohong. Tapi dia juga tidak berdaya untuk mengkhianati Adam. Sudahnya dia mengiyakan.

“Apa mak nak cakap dengan Nek Semah? Mak yang beriya-iya minta Kamilia untuk kamu. Sekarang mak pula yang nak buang Kamilia daripada kamu.”

“Biar Adam yang berterus terang dengan Nek Semah.”

Mak Mah membisu. Jelas dia kecewa dengan keputusan Adam. Tapi dia pun tidak boleh berbuat apa-apa bila anaknya yang sangkanya bujang rupanya sudah berpunya.

“Jadi bila mak boleh jumpa adik Badrul? Siapa namanya?”

Pucat lagi muka Adam. Makin serius pula nampaknya.

“Bulan depan mak.”

“Kenapa lama sangat?”

Adam kehilangan kata-kata lagi.

“Adik saya ada di Singapura. Jaga ayah saya yang masuk hospital.”

Mak Mah manggut-manggut. Adam sudah menghela nafas lega. Mujur Badrul memahami kesulitan dirinya tadi.

“Siapa namanya tadi?”

“Nama? A.. Amin,”ujar Adam tergagap-gagap.

“Amin?”ulang Mak Mah. Sejuta kerutan terlukis di dahi.

“Aminah. Nama adik saya Aminah, mak cik,”sampuk Badrul. Percayalah bahawasanya malam ini, dia dan Adam sudah menjadi pelakon terhebat. Tom Cruise dan Orlando Bloom pun kalah.



AGAK berhati-hati Kamilia menghampiri neneknya yang tercinta. Bibirnya sempat mengukir senyuman paling tipis.

“Nek, kalau Mila pulangkan cincin ni pada Mak Mah boleh tak?”tanya Kamilia, begitu berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan neneknya.

“Eh! Kenapa pula?”

“Mila rasa macam tak sesuai. Tak layak jadi isteri abang Adam,”balas Kamilia. 

“Nenek pun dengar  apa Abang Adam cakap semalam.. Mila tak nak paksa abang Adam. Lagipun kalau dia dah ada pilihan hati sendiri, Mila ni dah jadi penghalang pula. Mila tak mahu la, nek.”

“Tapi Mila sayang Adam, kan?”

“Itu kisah masa kecil. Sekarang sudah lain.”

“Tapi bila nenek cakap Mak Mah datang meminang, Mila tak bantah pun. Mila terima saja.”

“Nek, Mila tak sedap hati ni. Cincin ni cantik sangat. Tak padan dengan Mila yang serba kekurangan ni.”

“Kenapa cakap macam tu? Apa kurangnya cucu nenek ni?”

“Macam-macam.”

“Tak adalah. Cucu nenek ni cantik sangat. Pelajaran pun tinggi. Tapi nenek masih tak faham kenapa tolak tawaran jadi doktor kat KL tu. Kemudian balik kampung pula jaga nenek. Rugi ijazah Mila tu.”

“Mila nak jaga nenek. Mila boleh buat kerja kampung.”

Nek Semah senyum panjang. “Inilah satu kelebihan cucu nenek ni. Jadi tak hairanlah kalau sekali petik sepuluh yang datang.”

Kamilia ketawa lucu. Menyembunyikan rasa hatinya yang sebenar jauh ke relung hati paling dalam.

“Alah, kalau Mila petik pun, habis kuat yang menyahut pun katak-katak puru kat luar tu. Nak juga Mila cium. Manalah tahu jadi katak puru tu bertukar jadi putera raja.”

“Hish! Jangan mengarut Mila. Dah, pergi tidur. Esok nak bangun awal.”

Kamilia menurut. Namun matanya enggan juga lelap. Sudahnya dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula menaip.



ADAM menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Matanya sulit dipujuk. Perutnya sejak sudah mengadakan konsert rock. Kesalnya datang kerana terlalu melayan egonya. Jujur, asam pedas pari yang dimasak Kamilia itu sangat sedap. Sampai sekarang dia masih boleh merasai kesedapannya. Kecur liurnya.

Tidak dapat menahan diri, dia bangun dari tempat pembaringan. Badrul sudah lama dibuai mimpi. Mimpi bertemu gadis yang matanya.. Kulitnya.. Alisnya itulah mungkin. Bukan main lagi. Sampai dalam tidur pun boleh tersenyum-senyum!

Sepasang kemilau indahnya bersinar-sinar melihat ibunya ada menyimpan lebihan asam pedas pari. Tanpa selindung lagi, dia meratah asam pedas tersebut.

“Sedap! Pandai pula Kambing Liar tu masak. Sayang nasi dah habis pula,”rungutnya sendiri.

Acara meratahnya terganggu bila telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nombor baru yang terpapar, hatinya terbersit hairan.

Salam. Maaf ganggu. Tapi saya rasa kita patut berjumpa.
‘Kamilia’

Untuk kesekian kalinya dia tersedak lagi. Kali ini lebih teruk. Bergema ruang dapur itu dengan suara batuknya. Entah dari mana pula Si Kambing Liar itu tahu nombor telefonnya. Hatinya kembali dipagut curiga.

Wsalam. Ya awak mengganggu. Lagi satu, asam  pedas pari awak tu tak sedap langsung. Perut saya sampai sekarang sakit. Awak letak julap ke?
‘Adam’

Mila mengetap bibirnya membaca pesanan ringkas yang baru saja diterimanya. Menyakitkan hati saja! Dia ingat dia tu bagus sangat?! Banyak kompelin pula.

Tidak sampai beberapa saat telefon bimbitnya kembali berbunyi.

Awak dah buat hidup saya macam roller coaster.
Esok saya akan jumpa awak. Kita putus tunang.
‘Adam’

Cincin di jari manisnya dirungkai dan terus diletakkan di atas meja. Kemudian lampu terus ditutup.



SUBUH itu begitu syahdu sekali setelah dihiasi azan dari Masjid berdekatan. Badrul dan Mak Mah awal-awal lagi sudah sampai di masjid. Tinggal Adam di belakang kerana terlupa mengunci pintu dapur. Terkocoh-kocoh dia berlari sehinggalah dia dikejutkan bila nyaris terlanggar dua tubuh.

Adam mengucap panjang. Begitu juga pemilik dua tubuh tersebut.

“Maaf,”ujar Kamilia dan terus melangkah pergi. Malang sungguh nasibnya hari ini, subuh-subuh lagi dia sudah bertembung dengan Adam. Lelaki yang bukan main seronok lagi mengutuknya semalam.

“Tu bukan Adam ke, Mila?”Neh Semah bertanya. Sempat juga dia menoleh.

“Bukan. Orang lain tu, nek. Tak payah pedulilah. Kita dah lambat ni.”

Adam masih terpaku. Pelik sungguh apa yang dialaminya kini. Jantungnya berdetak dua kali lebih deras daripada biasa. Rasanya dia baru saja bertembung dengan Nek Semah. Jadi gadis di sisi Nek Semah itu.. Takkanlah.. hatinya menidakkan!

Matanya.. Kulitnya.. Alisnya.. Tak mungkin itu si Kambing Liar. Lain sangat.

Sudahnya sepanjang hari Adam Ahmad banyak termenung.

“Kenapa diam saja ni? Macam ayam berak kapur?”kompelin Mak Mah pada Adam. Sejak balik dari masjid tadi, Adam banyak termenung.

“Kau jumpa hantu ke bro? Lain sangat da ni.”

“Tak. Aku jumpa bidadari kut.”

“Hah!”Badrul sudah terjerit.

“Mak, saya nak jumpa Nek Semah,”ujar Badrul lagi. Sudah tidak peduli dengan wajah terkejut Badrul.

“Kamu ni Adam. Tak sabar-sabar dah. Mak ni tak dapat fikir ayat lagi.”

“Tak payah fikir mak. Saya setuju.”

“Apa yang setuju?”

“Saya setuju Kamilia jadi isteri saya.”

“Apa?”ujar Mak Mah dan Badrul hampir serentak.

“Kamu jangan main-main, Adam. Sekejap tak nak sekejap nak. Yang mana satu ni?”

“Saya Adam Ahmad Bin Mokhtar setuju seratus peratus untuk kahwin dengan Kamilia Binti Bahari.”

Mak Mah mengucap panjang dengan perangai gila anak bujangnya.

“Habis, Aminah tu kamu nak campak mana?”

“Aminah tak wujud pun.”

“Tak wujud pula. Badrul, apa semua ni?”tanya Mak Mah pada Badrul pula.

Badrul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tembelang sudah pecah! Adam sendiri yang membongkarnya!

“Masya-Allah, sampai macam tu sekali kamu tipu mak, Adam? Kamu pun sama Badrul. Jadi tali barut Adam ni.”     

“Minta maaf, mak cik.”

Pening kepala Mak Mah dengan perangai anak bujangnya. Nasib baik dia belum berjumpa Nek Semah untuk memutuskan pertunangan mereka berdua.

“Assalamualaikum,”sapa Kamilia di muka pintu. Nek Semah berdiri rapat di belakangnya.

“Waalaikumussalam,”balas Mak Mah seraya mempelawa mereka berdua masuk.

Badrul tidak mampu menyembunyikan bahagia hatinya. Awal-awal lagi dia sudah berbisik pada Adam.

“Itulah gadis yang aku jumpa semalam. Yang matanya.. kulitnya.. alisnya..”

“Itulah Kamilia. Tunang aku,”tegas Adam. Sengaja menekankan perkataan ‘tunang’.

“Kamilia? Tapi kau cakap Kamilia gigi jarang. Pakai cermin mata..”

“Manalah aku tahu. Tapi itu memang Kamilia. Lepas ni jangan macam-macam. She’s mine!”

Perlahan-lahan Kamilia menyorongkan bekas cincin belah rotan yang diterimanya lima hari lalu. Tindakannya membuat rahang Adam terbuka luas. Hampir jatuh.

“Saya tak layak,”ujar Kamilia akhirnya.

“Apa maksud semua ni, Mila?”aju Mak Mah. Wajah Nek Semah dan Kamilia dipandang silih berganti.

“Saya tak nak paksa Adam, mak cik. Saya faham saya bukan pilihan hati Adam. Lagipun tak adil bagi Adam. Saya tak nak dia rasa macam berjalan dengan mak cik-mak cik bila dia dengan saya. Paling penting, janganlah sebab saya, dia nak membujang selamanya. Saya memang tak layak,”tutur Kamilia, memulangkan paku buah kerasnya satu persatu.

“Kenapa cakap macam tu? Adam tak pernah..”

“Betul, saya tak pernah pun fikir macam tu,”pintas Adam. Besar hatinya ingin menjernihkan keadaan.

 Kamilia menggigit bibir. Ada hati pula Adam mahu membela diri. Lupa mungkin dengan kiriman smsnya malam semalam!

“Saya tak nak ganggu hidup awak. Lagipun saya dah buat awak sakit perut sepanjang malam. Saya kan letak julap.”

Adam menggigit bibirnya. Seperti batu besar baru saja menghempap kepalanya.

Adam.. Apa kau dah buat ni? Kenapa bacul sangat mulut kau tu??! Hati lelakinya juga ikut marah.

Sehingga Kamilia pulang, Adam masih termenung di muka pintu. Mungkin ini balasan Allah S.W.T padanya kerana terlalu ‘eksyen’. Sudahnya dia sudah di tolak oleh Kamilia. Cincin yang pernah menghiasi jari manis Kamilia di tatap nanar. Kesal datang bertalu-talu.

“Since Kamilia sudah tolak kau, boleh aku pikat dia?”tanya Badrul, sengaja mengusik Adam. Tapi kalau Adam membenarkan, pasti sekarang juga dia pergi memikat Kamilia.

“Kalau kau nak rasa buku lima aku ni, cubalah!”gertak Adam sambil mengepalkan buku limanya.

Aduh Kamilia! Kenapa sikit pun kata maafku kau terima? Semua kau biarkan bagai angin lepas. Hatimu yang rajuk itu bagaimana memujuknya?

“Padan muka. Mulut tu suka lepas lagi. Memang patut pun Kamilia pulangkan cincin. Mak pun malu tahu! Boleh kamu tipu Kamilia yang kamu sakit perut lepas makan asam pedas dia. Mak tengok kamu malam tu bukan main berselera lagi ‘menggoya’ asam pedas pari tu. Sampai mak datang pun kamu tak perasan. Itu kamu kata tak sedap? Ha sekarang, tanggunglah akibatnya sendiri. Mak tak nak masuk campur dah. Muka mak ni tebal lagi tahu! ”

Alahai.. Ibunya yang tercinta juga memilih membuat hatinya tambah kelam.


“Adam tak sengaja la, mak. Adam main-main saja. Manalah Adam tahu boleh jadi teruk macam ni.”

“Kau tu memang. Kan dah terkena batang hidung sendiri. Kata nak pengsan tempat kejadian kalau jumpa. Rupanya kalau jumpa, Si Kambing Liar tu sudah jadi pujaan hati kau.”
Amboi.. Badrul juga sudah bijak membuat risau jiwanya tambah melarat.

“Kambing Liar apa pula ni?”sampuk Mak Mah. Masih lagi kecewa dengan perangai Adam yang mengada-ngada itu.

“Tak ada apa-apa, mak cik.”

“Macam mana nak pujuk Mila, mak?”

“Manalah mak tahu. Kamu yang lukakan hati dia, pandai-pandailah. Kalau Kamilia tu terlepas kat orang lain. Masa tu kamu tahulah langit ni tinggi ke rendah.”

Adam bingkas berdiri. Sampai di sisi Badrul dia sempat menitipkan pesan.

“Kamilia milik aku. Jangan nak menggatal pula.”
Badrul ketawa mengekek. Dia belum sampai tahap kawan makan kawan. Tapi sungguh, Adam sudah dipanah Eros. Adam sudah angau. Angaukan Kamilia!

Hari pertama sesi memujuk Kamilia..
 “Mila, tunggu sekejap!”pinta Adam sambil cuba menyaingi langkah kaki Kamilia.

“Berhenti! Awak jangan ikut saya. Kalau awak ikut saya jerit! Dan awak takkan jumpa saya lagi lepas ni.”

Hari Kedua sesi memujuk Kamilia..
“Assalamualaikum...”sapa Adam di muka pintu.

“Waalaikummussalam.. Naiklah Adam,”pelawa Nek Semah.

“Nek, kepala Mila sakit sangat. Tak tahu kenapa. Mila masuk bilik dulu ya.”

Hari ketiga sesi memujuk Kamilia..
“Mila, Adam belikan kamu CD ni. Katanya kamu suka,”lembut suara nek Semah memujuk cucu kesayangannya.

Kamilia hampir melompat gembira. Sudah lama dia mencari CD nyanyian kumpulan Leon Bands. Lagu klasik tapi masih evergreen. Tapi rasa gembiranya harus dibunuh.

“Mila tak dengar dah lagu macam ni. Boring! Mila suka lagu rock sekarang. Nenek pulangkan saja CD ni dan pesan pada orang tu jangan beli apa-apa lagi lepas ni. Mila tak sudi nak terima!”

Hari keempat sesi memujuk Kamilia..
“Awak ni tak sudah-sudah susahkan hidup saya. Boleh tak jangan muncul lagi depan saya?”

 “Cinta dihati larang saya buat macam tu.”

 “Cinta? Ada apa dengan cinta awak Adam Ahmad Mokhtar? Sebelum ni awak kutuk saya macam-macam. Kemudian lepas jumpa saya tiba-tiba awak suka saya. Apa ni?”

 “Saya minta maaf. Tapi percayalah, pertama kali jumpa awak subuh hening tu, hati saya lain sangat. Naluri saya kata awaklah gadis yang saya cari selama ni.”

“Bukan sebab paras rupa?”

 “Bukan. Tapi sebab mata awak.”

 “Samalah tu.”

 “Tak sama. Mata awak buat saya terpesona. Buat saya tak keruan.”

 “Cukuplah tu. Awak baliklah. Saya nak masak. Bye!”

Hari kelima sesi memujuk Kamilia..
“Kamu tak kesian dengan Adam ke Mila? Hari-hari dia datang, hari-hari juga kamu layan dia macam hendak tak hendak saja. Tak baik buat macam tu,”tegur Nek Semah. Di luar rumah kedengaran suara Adam menyanyikan lagu Camelia. Konon-konon hendak memujuk hati Kamilia yang rajuk.

“Biarlah nek. Padan dengan muka dia. Geram betul hati Mila ni nek.”

“Jangan macam tu Mila. Apa kata jiran tetangga kita.”

Kamilia menjeling luar pintu. Di situ dia melihat sekujur tubuh Adam sedang membuat gaya teater menjiwai lagu yang dinyanyikan. Lagu Camelia. Cuma sudah ditukar menjadi Kamilia. Ada-ada saja si Adam Ahmad itu, kan?

“Sudahlah Adam. Tak ada maknanya awak buat semua ni. Hatta awak sebut-sebut nama saya sekalipun. Ni awak sedar tak, pitching awak lari. Suara sumbang. Sakitkan telinga saya, nenek dan jiran tetangga saya!”sampuk Kamilia yang langsung saja membuat Adam terdiam. Sedih hati lelakinya di sindir sebegitu rupa. Nawaitunya ikhlas mahu memujuk, tapi jadi begini pula.

 “Tak payah datang dah lepas ni. Mata saya ni sakit tahu tengok awak. Eloklah kita bawa haluan masing-masing.”

Pedihnya hati mendengar setiap kata Kamilia. Lama dia terpaku. Mungkin ini karma. Dan dia perlu melaluinya dengan tabah. Tapi percayalah, rasa tabahnya sudah terbang entah ke mana! Kerana itu, kakinya di atur meninggalkan halaman rumah nenek Semah.

“Kamu nak balik petang ni juga? Mana semangat kamu nak pikat Mila ni?”

“Dah mati, mak. Orang tak sudi, takkanlah saya ni nak terus sorong pipi lagi. Saya pun ada maruah mak. Saya dah tunggu depan rumah dia sehari semalam pun dia tak peduli. Saya demam sebab berhujan pun dia tak datang jenguk. Saya hulurkan salam dia langsung tak nak pandang muka saya. Dan tadi, nawaitu saya ikhlas nyanyikan dia sebuah lagu. Ada ke patut dia cakap pitching saya lari. Tak cukup dengan tu, siap beritahu suara saya sumbang! Sabar pun ada batasnya, mak. Rasanya cukuplah setakat ni.”

“Tak menyesal ke nanti?”aju Badrul pula.

“Banyak lagi gadis-gadis kat luar sana. Tak larat dah aku ni ha nak tebalkan muka aku pikat Kamilia, tapi hasilnya kosong!”balas Adam sambil menunjukkan simbol kosong.”

“Hai.. bergilir-gilir pula merajuk. Padahal suka sama suka!”gerutu Mak Mah sendiri.

Dua minggu kemudian..
“Apa?! Mila dah bertunang?!”soal Adam Ahmad kuat. Berita yang dibawa sang ibu tercinta hampir membuat jantungnya gugur.

Memang di luar dia nampak seperti sudah lupa pada Kamilia. Tapi hakikatnya dia terseksa menahan gelora rindu di jiwa.. Aduhai Kamilia yang manis... sampainya hati kamu terima pinangan lelaki lain.. Hati aku ni kau campak ke mana?

“Kamu tak nak tahu dia bertunang dengan siapa?”

“Buat apa. Biarlah dia bahagia dengan tunang dia.”

“Habis, kamu macam mana? Boleh kamu lupakan Kamilia?”desak Mak Mah di hujung talian.

“Kamilia tu bukan apa pun. Mak jangan risaulah. Saya okey saja. Kat sini lagi ramai yang..”

“Tapi tak macam Kamilia, kan?”pintas Mak Mah yang membuat Adam membisu seribu bahasa.

“Macam ni, lah. Kalau mak carikan kamu jodoh macam mana?”

“Ikutlah suka hati mak lah.”

Talian di matikan. Hatinya yang lara perlu diubati. Hanya Badrul yang memahami segala isi hatinya.

Malam itu sekali lagi dia menerima panggilan telefon daripada sang ibu tercinta. Nampaknya Mak Mah memang suka membuat anak lelakinya terkejut bukan kepalang.

“Apa?! Mak nak tunangkan saya?”

“Eh! Bukan kamu yang setuju pagi tadi?”

Adam meraup wajahnya. Aduhai.. Kerana terlalu sedih, dia mengiyakan saja segala permintaan ibunya.

“Mak tolong batalkan. Adam tak bersedia lagi ni. Nanti jadi macam kes Kamilia tu pula. Malu la Adam asyik putus tunang.”

“Jangan nak mengada-ngada. Esok kamu balik kampung. Esok public holiday, jadi jangan beri alasan pada mak kamu kerja.”

Berat sungguh kepalanya. Ibunya yang tersayang tak habis-habis mencarikannya tunang. Sedangkan hatinya masih pada Kamilia.

Keesokan harinya dia tiba juga di kampung. Rumahnya sudah meriah dengan sanak saudara. Nampak gayanya memang dia sudah bergelar tunangan orang. Tak sudah-sudah ucapan tahniah diucapkan padanya.

“Okey, mak. Siapa pula tunang saya kali ni?”aju Adam sebaik saja memasuki ruang tamu.

“Saya.”
Balas satu suara yang membuat jantungnya hampir gugur lagi. Matanya melekat kukuh pada pemilik alis yang cantik terbentuk itu.

“Saya terima pinangan keluarga Adam Ahmad Mokhtar. Tapi kalau lepas ni dia masih macam-macam, saya pulangkan balik cincin ni.”

 “Takkan ada macam-macam lagi dah!”janjinya yang membuat seisi rumah ketawa.

“Kenapa tiba-tiba terima terima saya?”soal Adam selamba.

“Kenapa? Cuba awak teka.”

“Sebab awak dah jatuh cinta dengan saya.”

“Perasan. Teka lagi.”

“Kalau bukan sebab cinta, jadi apa sebabnya?”

“Sebab awak mesti bertanggungjawab.”

“Bertanggungjawab? Sebab?”

“Sebab sepuluh tahun yang lalu awak dah curi ciuman pertama saya. Jadi nak tak nak saya mestiterima awak,”jelas Kamilia yang dibalas tawa kecil Adam.

“Mengada-ngada. Tak nak mengaku konon. Mengaku sajalah awak dah jatuh cinta dengan saya sebab, saya pun dah jatuh cinta dengan awak. Si Kambing Liar sudah jadi pujaan hatiku.”

“Si Ikan Buntal pula sudah mengganas dan paksa saya jadikan dia pujaan hati juga.”

“Mana ada paksa pun.”

“Awak dah selalu sangat muncul depan mata saya. Jadi sehari tak jumpa buat saya tak selesa. Sebab itu saya kata awak paksa saya.”

Adam tersenyum kambing. Dalam hati bukan main gembira lagi.

“Menjadi juga sesi memujuk saya hari tu. Ingatkan saya dah gagal.”

“Nak buat macam mana, Ikan Buntal tu dah buat hati saya terbersit sepuluh tahun lalu. Kalau tak, saya pun takkan berani buat CPR.”

Semakin panjang senyum kambing Adam.


Alhamdulillah.. Si Kambing Liar sudah jadi tunang si Ikan Buntal. Badrul pasti terkejut sampai nak pengsan nanti.

30 comments:

  1. Ni yg versi cerpen ye...den dh ada yg versi nvl....hehehe

    ReplyDelete
  2. wah.....dh lma x menyonteng kat blog pena kayu ni.....hihihihi......ni apa cerpen zaman purba ni, x psl2 hujg minggu kena selongkar almari cari novel ni blk.....hihihihihi.... - jumay jue

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jupe x? Ke da kene geget ngan abg tikus? Purbakala sungguh ni.. Ekeeke

      Delete
    2. PK...dh jumpa....still in good condition...weekend ni nak ulang bc lah....dh lama tu...sy tgk tarikh kt bk tu 4 mac 2012 sy bli...hihihi...its a long time... - jumay jue

      Delete
  3. Oo ya ka cerita ni ada versi novel.blh tau tjuk apa talk?

    ReplyDelete
  4. hehehe.. best gak cerpen nie erks.. wat teringat versi novel...

    ReplyDelete
  5. novelnya mcm dah ada dlm koleksi...tp nak kena selongkar blk kat rak buku....adoyai dah ingat2 lupa lah....

    ReplyDelete
  6. best.. tulah.. mula2 kutuk2 lagi.. hah kan dah suka..

    ReplyDelete
  7. Bleh bagi tahu apa tajuk novel nie x? Sbb sy da cari kat pak cik Google x dpt la..plesssssss

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tajuknyer Cinta si Ikan Buntal & si Kambing Liar :))

      Delete
  8. Tq2 cik pena kayu. .x ad lg novel tue. ..hehehhe. .nanti nak beli la..

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  10. Best......buatkan sya snyum sorang2......

    ReplyDelete
  11. Best...mmg tersengih smpe telinga dr mula sampai hbs crt...hehe...ada versi novel ke? Apa tjknya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. versi novel under Kaki Novel. Cinta Si Ikan Buntal dan Si Kambing liar :))

      Delete
  12. PK kita ada novel ni....

    kelakar tajuk dia... cerita pon best,

    ReplyDelete