Wednesday, 29 January 2014

#ceriBERI - Tentang Mimpiku (Bhg.07)



“Sakittttttttt!!!”

Lengkingan suara Hayyi sekali lagi menjadi halwa telinga yang begitu mendamaikan!

“Farhan nak bunuh Hayyi ke?”

Giliran Puan Sharifah pula mempertahankan anaknya. Lekas-lekas dia membantu Hayyi bangun semula.

“Awak jahat! Tengok kepala saya ni dah benjol. Awak jahat!”teriak Hayyi dalam esakan yang tertahan. Kalau tadi suara tawa Hayyi yang menghiasi suasana, kini berganti dengan tangisan sayu pula. 

Semuanya membuat kepala Farhan berpusing 360 darjah. Lantas tanpa sepatah kata dia meninggalkan meja makan. Panggilan ibunya langsung tidak diendahkan.​

​Puan Sharifah menenangkan Hayyi dengan segala macam kata pujukan. Namun satu pun belum berhasil membuat Hayyi kembali tersenyum. Hati tuanya sudah dilanda galau.

Kata maaf daripada iparnya tidak diendahkan lagi. Jelas dia sedikit kecil hati dengan cara Farhan melayan Hayyi sebentar tadi. Sepatutnya Farhan lebih bertimbang rasa menangani kenakalan Hayyi. Bukan menolak tubuh Hayyi hingga jatuh terduduk!

​“Sue, kakak faham. Kakak tak ambil hati pun,”ujar Puan Sharifah. Akhirnya dia memilih untuk menyembunyikan rasa hatinya yang sebenar.

​“Mak Mah, tolong saya bawa Hayyi ke dalam bilik.”

​Puan Suraya memerhatikan kelibat iparnya dengan pembantu rumah mereka hingga hilang. Dalam hati dia juga merasa geram dengan sikap Farhan. Sudah berkali-kali dia memberi amaran, tapi nampaknya Farhan lebih suka menunjukkan rasa hatinya! Hati ibu mana yang tidak gusar?

​Puan Sharifah menghela nafas maha berat. Lirikan matanya tidak pernah lepas merenung anak lelakinya nan satu. Gundah hati seorang ibu begitu jelas terpancar pada seraut wajah putih bersih miliknya. Percayalah, dia sangat bimbang tentang masa depan Hayyi.

Dia bimbang setelah dia tiada nanti keluarga iparnya memperlakukan Hayyi seperti anjing kurap. Lihat saja layanan Farhan tadi. Tingkah Farhan tadi sudah cukup untuk dijadikan bukti. Susah benar hati Puan Sharifah kali ini.

​“Apa saya nak buat, Mah?”soalnya tiba-tiba. Renungannya berpusat pada pembantu rumahnya yang sudah berkhidmat lebih lapan tahun.

​Mak Cik Rahimah mengangkat wajah. Sedikit keliru dengan pertanyaan Puan Sharifah kali ini.

​“Puan nak saya buat apa? Saya sedia membantu.”

​Puan Sharifah meraup wajahnya. Lama dia membisu sebelum menggamit Mak Cik Rahimah datang dekat padanya.

​“Pasal Hayyi, Mah. Kalau saya dah tak ada nanti, siapa yang akan jaga dia?”lanjut Puan Sharifah. Suaranya tambah sayu. Seiring dengan hatinya yang dilanda segunung rasa hiba.

​“Saya kan ada, puan. Lagipun puan masih muda.”

​Hanya senyuman tipis yang membalas komentar Mak Cik Rahimah. Memang mak Cik Rahimah boleh menjaga Hayyi. Tapi bukan penjaga seperti itu yang dia inginkan. Dia juga mahu Hayyi menjalani kehidupan seperti lelaki-lelaki lain di luar sana.

Dia ingin Hayyi punya isteri yang baik hati dan anak-anak yang soleh dan solehah. Tapi adakah perempuan di luar sana yang sudi menjadi isteri kepada Hayyi? Sudahlah perangai Hayyi seperti budak umur lima tahun. Mencari rezeki pun Hayyi tidak mampu.

Jadi tiada apa-apa yang istimewa yang mampu menarik perhatian perempuan di luar sana untuk menjadi menantunya. Kalau ada pun yang sudi, benarkah mereka benar-benar ikhlas? Atau sekadar mengejar harta kekayaan? Jika benar kerana harta, yang merana nanti pasti Hayyi! Tolonglah! Dia tidak sanggup melihat Hayyi menderita kerana ditinggalkan.

“Puan ceritalah dengan saya. Insya-Allah, saya akan tolong apa yang patut.” 

Untuk kesekian kalinya, Puan Sharifah mengeluh berat. Lama dia berkeadaan begitu.

“Saya nak carikan isteri untuk Hayyi, Mah,”ujarnya sejenak. Sempat membuat pembantu rumahnya tercengang seketika sebelum lekas-lekas menghampirinya.

“Puan serius ke? Tapi Hayyi.."

“Saya tahu, Mah. Tapi Hayyi tak gila. Cuma perangainya saja yang seperti kanak-kanak.”

Mak Cik Rahimah kehilangan kata-kata. Hanya sorotan matanya saja yang berkalih antara Puan Sharifah dan Hayyi sendiri. 

Betul ke ni? Dengan keadaan Hayyi yang begini, siapa yang sudi pegang status sebagai isteri kepada lelaki ini? 

Mak Cik Rahimah sempat garu kepala.

“Kalau boleh saya nak gadis kampung yang jadi menantu saya. Tak berpelajaran pun tak apa. Lagi saya suka. Senang sikit kita berdua nak mengawal dia nanti.”

Percayalah, kali ini Mak Cik Rahimah sudah terkejut bukan kepalang mendengar kata-kata Puan Sharifah. Salah makan ubat ke Puan Sharifah ni?

“Saya tahu kata-kata saya ni macam dah tak betul. Tapi saya serius dan saya perlukan bantuan Mah untuk cari calon isteri Hayyi.”

“Saya rasa lebih elok kalau kita carikan gadis yang berpelajaran tinggi dan..”

“Tidak. Saya tak mahu menantu saya nanti buli Hayyi. Saya perlukan orang kampung. Lagi naïf lagi bagus. Senang sikit kita berdua mendidiknya nanti. Paling penting dia mampu jaga makan dan minum Hayyi. Pandai buat Hayyi tersenyum dan bijak memujuknya. Saya nak calon menantu saya ada ciri-ciri yang saya sebutkan tadi. Hanya Mah saja yang boleh tolong saya dalam hal ni.”

“Saya, puan?”

“Ya. Tolong carikan calon menantu untuk saya. Saya izinkan awak pulang bercuti di kampung. Tapi dengan syarat, bila awak pulang nanti awak mesti bawa calon menantu saya.”

Mak Cik Rahimah menepuk dahinya berulang kali sebaik saja dia selamat berada di dalam biliknya sendiri. Kata-kata Puan Sharifah terus berirama di ruang minda.

“Mana aku nak cari calon menantu Puan Sharifah?”soalnya berkali-kali. Cemas sendiri. Sumpah! Dia sangat bimbang kalau dia gagal menunaikan permintaan Puan Sharifah. 

Tapi dia juga mahu Hayyi mendapat isteri yang baik hati, yang mencintai Hayyi dengan setulus hati. Tapi dimana dia hendak mencari perempuan sedemikian? Wujud lagi ke?

“Puan Sharifah bergurau agaknya,”bisik Mak Mah, melunakkan hati sendiri yang dilanda galau.


Nota : Sambung lagi ~~~


No comments:

Post a Comment