Thursday, 27 September 2018

ERWAN & HELENA - Episod 05

MIRA menghampiri Erwan dengan wajah kelat. Sudah menghampiri dua tahun setengah dia dan Erwan bercinta, namun tanda-tanda dia akan akan menjadi Mrs. Erwan belum nampak bayangnya. Kakinya dihentakkan, biar bunyi kasut tumit tingginya kuat dan menarik perhatian Erwan. Dia berjaya. Erwan telah berpaling dan tumpuannya kini hanya pada Mira. Dia suka apabila menjadi perhatian Erwan.
"Kenapa ni? Moody saja." Suara Erwan lembut. Dia menyentuh lengan Mira dan Mira lebih daripada sudi membalas dengan kucupan di bibir. Mira tidak peduli pada bercupak mata yang akan memandang dengan rupa terkejut. Itu memang hasratnya. Biar semua tahu, Erwan miliknya seorang. Namun sebelum sempat bibir mereka bertaut, Erwan menjauhkan wajahnya.
"Mira, berapa kali saya nak ingatkan? Jangan cium saya depan public. Saya tak main-main dan saya nak awak dengar cakap saya kali ni." Merah padam muka Erwan. Dia mengaku naluri lelakinya menyukai sentuhan bibir Mira, tetapi ciuman itu terlalu privasi. Erwan tidak suka Mira menunjuk-nunjuk di depan orang awam.
"Maksudnya, kalau kita berdua dekat rumah, kita berdua boleh buat lebih daripada ciuman?" Mira menduga dan Erwan mahu segera bersetuju dengan cadangan Mira. Malangnya, bayangan wajah emaknya menghalang.
Erwan menyandarkan tubuh. Ini bukan kali pertama Mira melontarkan soalan berhubung hal kelambu. Selalunya apabila Erwan memberi jawapan menolak, pasti hari tersebut berakhir dengan pergaduhan besar.
Namun bergaduh dengan Mira tak pernah meresahkan Erwan. Dia tahu bagaimana mahu memujuk Mira. Dia tahu kelemahan Mira. Yang meresahkan Erwan, dia tidak tahu sampai bila bentengnya mampu bertahan dengan godaan sepuluh bintang Mira. Mira selalu berjaya bermain dengan nafsunya, dan dia memerlukan berjam-jam lamanya untuk kembali bertenang.
"Erwan, I need you in my bed," lirih suara Mira. Dia tunduk memandang lantai. Dia tahu permintaannya melampau. Dia cuma mencuba nasib.
"Tapi awak takkan bersetuju dengan idea tidur bersama sebelum berkahwin. Awak bantah konsep tu," sambung Mira kemudian. Dia sudah mengangkat wajah untuk melihat raut muka Erwan. Dia mahu membaca raut muka lelaki itu.
Sorotan mata Erwan bertemu dengan pandangan mata Mira. Dia melihat nafsu di situ. Kadang-kadang dia sengaja mengelak bertemu dengan Mira. Mira lain sejak akhir-akhir ini. Fikiran Mira selalu ke arah tidur bersama. Miranya yang dahulu, telah hilang. Diganti dengan Mira yang sangat agresif untuk menyentuhnya.
"Saya nak kita berkahwin dahulu, Mira. Saya tak nak asas hubungan kita terpalit noda."
"Okey, saya boleh terima syarat awak. Tapi bila kita akan berkahwin? Saya dah tanya soalan ni dari tahun lepas, tapi awak tak pernah berikan tarikh. Awak asyik cakap tak lama lagi. Tak-lama-lagi awak sampai sekarang tak menemui noktah."
"Beri saya sikit masa lagi, Mira. Financial saya belum stabil," bohong Erwan. Dia tidak mahu Mira kecewa kalau sampai sebab sebenar perkahwinam mereka tertangguh terbongkar.
"Saya dah cukup memberi masa. Kalau saya hilang sabar, awak tahu apa saya akan buat."
Jari Mira singgah menyentuh kedua belah pipi Erwan, sebelum menarik Erwan dekat padanya. Tanpa isyarat, dia meratah bibir Erwan. Dia terdesak dan dia mahukan Erwan. Dia sudah tidak peduli pada prinsip Erwan. Kalau ada peluang, dia akan mencuba sehingga Erwan kalah pada belaiannya. Siapa tahu, mungkin malam ini dia berjaya.
"Mira!" Tubuhnya ditolak dengan kasar. Dia nyaris jatuh kalau dia tidak segera berpaut pada lengan Erwan.
"What was that? Awak hampir buat saya jatuh." Suara Mira kembali lirih. Kali ini seperti mahu menangis. Dia sedang menunggu pujukan Erwan. Dia akan bersedih, merajuk dan akhirnya Erwan tidak ada alasan untuk membawanya pulang ke rumah lelaki itu. Selepas itu, barulah rancangan terbesarnya bermula.
Malam ini, Mira takkan kecewa. Dia mahu bangun pada esok pagi, dengan Erwan di sisinya. Erwan yang tidur tanpa baju di sisinya pasti mengujakan.
"What is wrong with you? Saya dah kata tadi, jangan cium saya dekat public. Takkan awak tak faham bahasa mudah yang saya guna?"
Melopong mulut Mira. Kata pujukan yang diimpikannya, bertukar kata kemarahan Erwan. Belum pernah Erwan meninggikan suara padanya. Ini yang pertama kali dan dia menikus.
"Kalau mak saya nampak apa awak buat, jangan harap dia nak beri restu pada hubungan kita. Kalau awak bernafsu sangat, pergi ke tandas dan ambil wudhuk."
Hilang sifat menikus Mira. Menyinga Mira mendengar ayat-ayat yang meluncur dari bibir Erwan. Jelas sekali Erwan sedang menghinanya.
"Saya takkan jadi bernafsu begini kalau awak berkahwin dengan saya. Saya tunggu lamaran keluarga awak, tapi awak asyik berdalih dan beralasan. Erwan, saya perempuan dan saya ada nafsu. Awak kekasih saya, takkan awak nak saya bernafsu dengan lelaki lain?"
Erwan meraup mukanya. Makan malam yang tenang, mungkin bertukar malapetaka. Kesalahan semuanya terletak di bahu Erwan. Dia yang bertangguh. Dia yang menyebabkan mereka tidak berkahwin sehingga sekarang.
"Kita akan berkahwin, Mira. Dalam waktu terdekat ni. Saya akan minta keluarga saya ke rumah awak."
"Awak dah cakap ayat sama dua bulan lepas. Sehingga sekarang, saya belum nampak perkembangan positif. Dari dulu sampai sekarang, hubungan kita tak pernah berganjak. Kita masih lagi digarisan permulaan. Awak pun dah tak pernah buka mulut tentang mak awak. Awak janji dengan saya, yang awak akan bawa saya jumpa mak awak."
"Saya dah pernah bawa awak, Mira." Erwan membela diri, biarpun dia tahu, kata-katanya hanya akan mengundang kemarahan Mira.
"Ya, awak bawa saya sekali. Tapi sekali tu, mak cik awak tiba-tiba sakit dan saya tak dapat jumpa mak awak. Selepas tu, awak langsung tak berikan tarikh baru."
Mira berpeluk tubuh. Pandangannya berkaca.
"Kadang-kadang saya terfikir, keluarga awak mungkin tak suka saya. Awak sorok kebenaran tu. Awak jadikan saya macam orang bodoh tunggu lamaran keluarga awak yang takkan datang."
Jatuh air mata Mira. Apabila memikirkan hubungannya dengan Erwan, emosinya berombak. Awal hubungannya dengan Erwan begitu indah. Malah, lelaki itu menakutkannya apabila hubungan mereka melepasi usia tiga bulan, Erwan telah menyebut hal berkahwin. Paling mendebarkan apabila dia dibawa terbang ke Moscow untuk bertemu dengan emak Erwan.
Mira menjangkakan dia bakal menamatnya status daranya dua tahun setengah yang lalu, mana tahu sehingga sekarang, cincin tunang pun belum dia terima.
"Erwan, saya takut," cetus Mira sambal menyeka air matanya yang berjatuhan. Dia mula membayangkan, mungkin Erwan tidak serius dengannya. Mungkin sebulan dua lagi, dia akan ditinggalkan.
"Awak tak perlu takut. Saya ada. Saya selalu ada," kata Erwan. Jari tangannya bergerak untuk membersihkan air mata yang membasahi pipi Mira.
"Awak takkan tinggalkan saya?" Soalan ini semakin kerap Mira ungkapkan.
"I love you, Mira. Saya takkan tinggalkan wanita yang saya dah pilih sebagai soulmate hidup saya. Kita dah bercinta dua tahun setengah. Awak kenal hati saya macam mana."
Mira mencari tangan Erwan. Jari tangannya dicantumkan dengan jari lelaki itu. Berharap kehangan genggaman Erwan, dapat memberinya sedikit kekuatan.
"Saya nak jadi isteri awak. Ada anak dengan awak."
"Saya tahu. Jangan risau. Kita akan berkahwin. Pasti."
Pasti? Erwan keresahan. Dia memberi harapan pada Mira. Harapan yang tidak pasti. 
°°°×××°°°
Nota PK: 
Versi novel dengan 51 episod, lengkap dengan prolog & epilog yang baru dan dikemaskan dengan bonus Erwan & Helena.
Pre-Order akan dibuka bermula 01/10/2018 - 14/10/2018. Stok terhad dan dijual secara online sahaja. First come first serve.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh whatsapp ke +60 10-449 7835. Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!

 Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!     

No comments:

Post a Comment