Thursday, 27 September 2018

ERWAN & HELENA - Episod 06

ERWAN menunggu sehingga panggilan bersambung. Tadi dia baru sahaja sampai di rumahnya. Mira berkeras mahu bermalam di sini, tetapi Erwan menolak. Gerak hatinya tidak baik. Erwan patuh pada gerak hatinya kali ini. Dia takut bentengnya roboh, sekiranya dia membenarkan Mira bermalam di rumahnya.
Menghampiri 20 saat menunggu, akhirnya, suara emaknya jelas kedengaran di hujung talian sana. Suara emaknya sedikit garau.
"Erwan sihat?" Emaknya mesra menyapa, berselang-seli dengan batuk keras.
"Alhamdulillah, saya sihat. Mak dah ke klinik ke ni? Teruk bunyi mak batuk."
Emak ketawa kecil.
"Sekarang tengah musim, Erwan. Esok lusa hilanglah batuk mak ni."
Erwan menarik nafas panjang mendengar penjelasan emaknya. Emaknya bukan jenis yang suka bergantung pada ubat. Setakat demam dan batuk, emaknya takkan ke klinik. Selalunya, emaknya hanya akan ke klinik kalau Erwan bertegas.

"Mak, esok pergi klinik, ya?"
"Mak, esok pergi klinik, ya?"
Emak hanya diam kali ini. Itu memberi petanda, emak membantah.
"Mak..." seru Erwan, mendayu dan panjang sebutannya.
"Baiklah, esok mak ke klinik."
Serta-merta senyuman bermain di pinggir bibir Erwan. Dia mengemaskan pegangan telefon bimbitnya. Dia telah bersedia untuk berbincang hal serius dengan emaknya.
"Mak, saya dan Mira dah berbincang. Kami sepakat nak bertunang. Dua tahun setengah dah cukup untuk kami saling mengenali."
"Jawapan mak masih sama, Erwan. Tak berubah dari dulu."
Erwan menahan nafasnya. Dia sudah menduga jawapan emaknya, cuma dia berharap, mungkin malam ini ada magis dan emaknya berubah fikiran. Dia mahu menamatkan zaman bujangnya dengan restu daripada emaknya. Apalah guna dia berkahwin tetapi tidak direstui?
"Mak, kami dah menunggu hampir dua tahun setengah."
"Dua ratus tahun sekali pun, mak takkan setuju."
"Mak melampau," getusnya tanpa sedar. Ayat yang lahir disebabkan rasa kecewa yang bergumpal dalam dirinya.
"Kalau mak berterusan menghalang hubungan kami, tak mustahil saya dengan Mira mengambil keputusan tinggal bersama, dan hidup seperti suami dan isteri. Mungkin kami akan ada anak sebelum berkahwin."
Hati Erwan sakit menuturkan ayat-ayat tersebut. Dia tahu emaknya lebih terluka mendengarnya. Dia terpaksa. Kalau dengan gertakan boleh mengubah jawapan 'hitam' emaknya kepada 'putih', Erwan sanggup berdosa.

 Kalau dengan gertakan boleh mengubah jawapan 'hitam' emaknya kepada 'putih', Erwan sanggup berdosa     
"Mak yang besarkan Erwan. Mak yang didik Erwan. Mak yakin, mak dah beri didikan agama yang cukup pada Erwan. Erwan boleh bezakan mana dosa dan pahala. Mana haram dan halal." Emak sebak di hujung talian. Mungkin emak sedang menangis sekarang.
"Semua tu boleh dielakkan kalau mak benarkan saya berkahwin dengan Mira. Saya merayu sangat, mak... saya harap sangat kali ni mak beri lampu hijau. Mak kesianlah dengan kami berdua."
Tidak ada jawapan balas daripada pihak emaknya. Erwan tahu emaknya sedang berfikir panjang. Dia akan terus mendesak sehingga emaknya memberi kata setuju.
"Sampai bila mak nak tengok saya dengan Mira berkepit macam belangkas? Sampai bila mak nak saya dengan Mira menunggu? Mak nak tunggu sampai perut Mira besar dan lahirkan anak saya dulu? Kemudian baru mak benarkan kami berkahwin?"
Helaan nafas emak yang menyapa rayuan berjiwa Erwan.
"Tempoh dua tahun saya beri pada mak, takkan tak cukup lagi mak nak kenal Mira tu orangnya macam mana? Selama dua tahun setengah saya bercinta dengan dia, dia jaga saya dengan baik."
"Jaga dengan baik? Apa yang mak nampak, Erwan dah terikut-ikut dengan perangai buruk Mira. Erwan dah tak kisah bersentuhan dengan Mira. Beringat sikit, Erwan. Mira belum halal. Mak tak suka Mira bebas cium Erwan, dan Erwan langsung tak membantah. Sepatutnya sebagai anak dara, dia menjaga adab dia."
Matanya dipejamkan dengan rapat. Dia faham kenapa emaknya marah. Mira memang begitu sikapnya. Dia pernah menghalang, namun Mira selalu melanggar arahan. Lama-kelamaan, dia sudah terbiasa dan jujur, naluri lelakinya suka dengan ciuman Mira.
"Walaupun mak jauh daripada Erwan, tapi mak tahu apa Erwan buat. Mak bukan buta. Saudara mara kita bukan tak ada mulut nak bercerita. Mereka nampak dan mereka terus bertanya pada mak. Erwan tahu tak, mak malu sangat bila mereka tanya kenapa Erwan berubah sangat sekarang ni?"
"Saya dengan Mira tengah belajar mengawal diri. Beri kami sikit masa."
"Kalau macam tu senang, Erwan dengan Mira belajar mengawal nafsu dulu. Bila dah berjaya, beritahu mak. Mak dengan senang hati beri lampu hijau. Tapi jangan bohong dengan mak. Allah ada sebagai mata-mata gelap mak."
Berat keluhan Erwan. Permintaan emaknya berat. Dia mungkin boleh mengawal dirinya, tetapi bukan Mira. Ini antara sebab kenapa dia mahu segera berkahwin dengan Mira.
"Kenapa diam? Sebab Erwab dengan Mira tak mampu nak tunaikan permintaan mak?"
"Bukan macam tu mak."
"Mak tak suka apa Mira dah buat pada Erwan. Dia buat Erwan jauh dari Allah," sebut emaknya secara tiba-tiba.
"Saya sedang cuba menghalalkan dia untuk saya, tapi mak tak benarkan. Saya pun tak nak berdosa, tapi mak tak pernah nak faham darah muda kami."
"You give your heart to the wrong woman, Erwan. Itu masalah terbesar yang membuat mak bantah hubungan Erwan dengan Mira."
Lagi-lagi emaknya menyebut ayat yang sama. Mira bukan satu kesilapan, tetapi keajaiban. Kalau Mira satu kesilapan, dia takkan jatuh cinta pandang pertama pada Mira.
"Mak, saya penat."
"Mak lebih penat memikirkan Erwan usung Mira ke hulur dan ke hilir, bercium sesuka hati, raba sana, raba sini..."
"Mak..." bantah Erwan.
"Cara mak bercakap macam saya dengan Mira dah teruk sangat. Padahal apa kami buat, semuanya ringan-ringan."
"Ringan-ringan?!"
Bingit telinga Erwan. Dia salah memilih ayat dan ayat tersebut tidak boleh ditarik lagi. Emaknya sedang menyinga dan dia tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk emaknya.
"Bukan Mira seorang yang bersalah dalam hal ni. Saya terlibat sama. Saya yang menggalakkan Mira," sambungnya kemudian, dengan harapan emaknya lebih memahami.
"Inilah yang mak maksudkan. Mira dah ubah Erwan jadi lelaki yang dekat dengan neraka."
Sekali lagi Erwan memejamkan kedua belah matanya. Emak sedang menyeksanya. Dia terlalu ingin menamatkan zaman bujangnya bersama Mira. Dia telah menunggu kata setuju emaknya selama dua tahun ini penuh setia. Namun nampaknya, kata setuju emaknya seperti takkan wujud.
"Mak takkan berikan restu mak, selagi Erwan pilih Mira. Ini keputusan muktamad mak."
Mengeluh Erwan dibuatnya. Dia jatuh cinta buat pertama kali. Dia jatuh cinta pandang pertama pada Mira. Dia mengharapkan kebahagiaan setelah 32 tahun menunggu, tetapi kenapa emaknya seperti mahu dia membujang seumur hidup?
Sebelum dia menemui Mira, saban hari emaknya mendesak supaya dia segera bernikah. Sekarang ketika dia sudah mempunyai Mira, niatnya dihalang pula. Erwan tidak faham apa yang emaknya mahukan.
"Mak tak berikan saya jalan." Mendatar suara Erwan, penuh kesal.
"Mak sedang berikan Erwan peluang."
"Mak beri saya peluang mati."
"Peluang tu tak mati. Erwan tutup mata hati. Jadi Erwan tak nampak peluang tu sebenarnya terbuka luas."
"Mak, saya tetap akan berkahwin dengan Mira dengan atau tanpa persetujuan mak."
Sepi. Lama dia menunggu sebelum suara emaknya kembali bergema.
"Erwan akan jadi anak derhaka."
"Mak paksa saya jadi anak derhaka."
"Mak doakan Erwan cepat sedar, yang pilihan Erwan salah."
Erwan mahu membidas ayat emaknya, namun tidak kesampaian. Emaknga lebih dahulu menutup talian. Lebih dramatik lagi, emaknya mematikan telefon terus. Tiga kali dia cuma menghubungi emaknya semula, tiga kali operator yang menyapa panggilannya.
Erwan menekur kepalanya, memicit dahinya dan terakhir sekali, dia meraup mukanya dengan rakus. Emaknya merajuk.
Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Berkahwin dengan Mira menyenangkan hatinya, tetapi memberi luka pada emaknya. Pilihan apa lagi yang tinggal untuk Erwan? 

°°°×××°°°
Nota PK: 
Versi novel dengan 51 episod, lengkap dengan prolog & epilog yang baru dan dikemaskan dengan bonus Erwan & Helena.
Pre-Order akan dibuka bermula 01/10/2018 - 14/10/2018. Stok terhad dan dijual secara online sahaja. First come first serve.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh whatsapp ke +60 10-449 7835. Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!

 Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!     

No comments:

Post a Comment