Friday, 5 August 2016

Bab 06 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand

AWAN yang berarak lembut kelihatan sangat gelap. Mungkin sebentar lagi hujan turun. Cuma belum dikenal pasti hujan yang bakal turun ini renyai ataupun lebat. Sama juga halnya dengan sekeping hati lelaki milik Har anak Pak Ngah. Sejak tadi tidak tenang, seperti ada berita buruk yang bakal menyapa. Sekejap-sekejap dia menoleh pada Caldinanya yang baru saja hendak disentuh oleh tangan-tangan mekanik.

"Lambat lagi ke, Paei?"

"Kau baru sampai, bro. Setengah jam pun tak sampai lagi. Walaupun kau kawan baik aku, tapi kau mesti ikut giliran."

Apa yang Paei bebelkan betul. Har anak Pak Ngah tak boleh mengambil kesempatan dengan memotong barisan menunggu.

"Kenapa ni? Kau nampak tak selesa. Mesti fasal Lia ni?"

"Tak ada apalah. Kau tu, bila nak pikat Lia?"

"Tak mampu aku nak pikat Lia, Har. Mata Lia pandang kau saja. Sebelah mata pun dia tak pandang aku."

"Kau mengalah cepat sangat, memanglah Lia tak pandang."

"Lia memang tak nak pandang aku. Aku ni anak jati Melayu, tak ada campuran Portugis macam Lia. Mestilah tak setanding kalau nak berdiri sebelah Lia."
"Kau nak aku tolong?"

Paei geleng-geleng kepala.

"Jangan, aku tak nak Lia fikir aku gunakan kau untuk pikat dia. Aku nak usaha sendiri."

"Bila kau nak mula usaha sendiri tu? Aku tak nampak sebarang perkembangan baik pun. Yang aku nampak, kau dah jarang datang rumah nenda."

"Sudahlah tu, jangan cakap fasal cerita sedih aku tu lagi. Kalau buka cerita fasal kau lebih baik. Kau banyak cerita sekarang."

Paei menggaru-garu lengannya yang tidak gatal. Kalau Paei sudah melakukan aktiviti menggaru lengan begini, pasti dia hendak menjadi CIA tidak berbayar.

"Kau nak tanya apa? Tanyalah. Tak payah nak garu-garu lengan tu."

Paei menampar-nampar bahu Har anak Pak Ngah. Kemudian dengan selamba dia mengambil tempat di sisi temannya itu.

"Dengar cerita kau pinang anak dara orang. Betul ke?"

Paei menyiku lengan Har anak Pak Ngah. Bibirnya bukan main lagi melukis senyuman ada makna. Makin galak dia menyiku bila melihat Har anak Pak Ngah melarikan pandangan.

"Cerita tu tak betul," beritahu Har anak Pak Ngah. Dalam hati dia sibuk mencari tahu siapa yang menyebarkan khabar tersebut.

"Mustahil tak betul. Angin dah bertiup kencang, sampai bergoyang-goyang pokok tu. Tempua pun makin banyak yang bersarang rendah."

Habis rosak peribahasa Melayu dikerjakan oleh Paei. Kalau cikgu Bahasa Melayu Paei baca, pasti sedih.

"Aku tak pinang anak dara orang, yang pinang ibu dengan ayah aku."

"Loyar buruk pula kau ni. Kalau dah mak cik dengan pak cik yang pergi, samalah macam kau juga yang pergi. Jadi bila langsungnya?"

Sepi daripada pihak Har anak Pak Ngah. Dia terlalu tekun membaca pesanan Whatsapp yang baru masuk.

"Bila? Aku nak sediakan hadiah besar ni. Kalau kau beritahu last minute, aku tak nak sediakan hadiah."

Barulah Har anak Pak Ngah mengangkat wajah. Jelas nampak kalut air muka lelaki  Melayu-Jawa-Portugis tersebut. Lihatlah, Har anak Pak Ngah sudah bangun sembari mundar-mandir di depan Paei.

"Kenapa macam ayam berak kapur pula muka kau ni? Siapa yang hantar message? Tunang kau?" Paei pegang bahu Har anak Pak Ngah.

"Bakal adik ipar aku yang hantar."
"Bakal adik ipar kau cakap apa?"

Har anak Pak Ngah memilih untuk menjawab soalan Paei dengan soalan.

"Kereta aku tu agak-agak siap pukul berapa?"
"Lambat lagi. Tayar pun belum tukar. Minyak hitam baru nak tukar."

"Kalau macam tu aku nak pinjam motor kau dulu."
"Hah?"
"Sekejap saja."

"Kau ni dah kenapa? Tiba-tiba nak pinjam motor buruk aku pula."
"Nanti aku cerita. Sekarang kunci mana?"

Paei masih kebingungan. Wajahnya nampak terpinga-pinga bila berterusan diasak oleh Har anak Pak Ngah.

"Kunci mana? Aku nak cepat ni," gesa Har anak Pak Ngah. Helmet yang elok terletak di tepi meja segera diambil.

"Itu bukan helmet aku. Itu helmet Razif."
"Helmet kau mana?"

Paei tersengih-sengih bagaikan kerang tidak laku di pasar pagi.

"Aku tak pakai," jawabnya kemudian. Memaksa Har anak Pak Ngah melilau mencari Razif.
"Razif, pinjam helmet kau sekejap."

Razif yang tidak tahu apa-apa itu lebih teruk gaya terpinga-pinganya.

"Helmet ni, aku nak pinjam."
Meskipun masih dalam keadaan terpinga-pinga Razif tetap memberi persetujuan.

"Masalah helmet selesai. Kunci motor kau mana?"

"Kau ni biar betul, Har.Motor aku tu tak betul sikit. Kalau kau nak pergi dekat-dekat bolehlah. Kalau jauh, ada kau kena tolak motor tu dekat tengah jalan nanti."

"Dekat saja, tak jauh dari sini. Kunci motor kau mana? Yang ni ke?"

Tidak sempat Paei mengiyakan, Har anak Pak Ngah sudah menghidupkan enjin motor kapcainya.

"Hati-hati, Har. Jangan bawa laju sangat. Jangan bawa lebih 80. Kalau laju, bunyi motor tu meletup-letup."

Nasihat Paei tidak masuk ke dalam telinga Har anak Pak Ngah. Bunyi enjin motor kapcai Paei terlalu kuat.
Belum pun lima belas minit perjalanan, motor kapcai Paei sudah buat hal. Imbangan motor kapcai Paei jadi tidak seimbang, memaksa Har anak Pak Ngah berhenti di bahu jalan.

Tua sepuluh tahun muka Har anak Pak Ngah setelah melihat tayar depan motor kapcai Paei kempis.

"Tayar pancit pula," keluh Har anak Pak Ngah. 
Tangannya cepat saja meraih telefon bimbit.

"Paei!" jerit Har anak Pak Ngah bila suara Paei kedengaran di hujung talian. Lori dan kereta yang lalu lalang memaksa Har anak Pak Ngah meninggikan suara.

"Kau dekat mana ni? Dah sampai?"
"Belum, separuh jalan pun tak sampai lagi. Tayar motor kau pancit ni. Kau ada kawan tak yang boleh tukar?"

"Macam mana boleh pancit pula tu? Aku baru tukar tayar baru dua hari lepas."

"Manalah aku tahu. Benda dah nak jadi."
"Habis tu macam mana sekarang? Caldina kau tak siap lagi ni."

"Kau tolong call siapa-siapa datang tukar tayar motor ni."

Sepi sekejap di hujung talian.

"Kau dekat mana?"

"Aku hantar location sekarang. Kalau boleh cepat sikit. Aku risau nak hujan saja ni."

Talian dimatikan. Kemudian Har anak Pak Ngah menolak motor kapcai Paei menuju ke perhentian bas yang berhampiran. Boleh tahan juga jauhnya perhentian bas tersebut. Kira-kira 400 meter.

Kurang lima belas minit, barulah kawan Paei datang. Selesai tayar ditukar, Har anak Pak Ngah kembali menunggang motor kapcai Paei. Namun itulah, belum cukup 10 kilometer perjalanan, motor kapcai Paei buat hal lagi. Motor kapcai Paei mengeluarkan bunyi meletup-letup. Siapa yang mendengarnya pasti menoleh dua kali.

"Paei," gerutu Har anak Pak Ngah. Kelajuan diperlahankan supaya bunyi meletup-letup itu berkurangan. Sedihnya tidak ada apa yang berubah. Bunyi meletup-letup itu masih mengiringi Har anak Pak Ngah menuju ke rumah Marginanya.

Pot! Pot! Pot! Pooottt! - Bunyi motor kapcai Paei

- Ber.Sam.Bung -

Bab 05 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand


SUDAH lebih sepuluh kali Margina menjeling jam ditangan. Margina juga telah menghantar pesanan whatsapp lebih dari lima kali pada Fattah. Jawapan Fattah pula sejak tadi sama. Kata Fattah, lagi sepuluh minit dia sampai. Sepuluh minit Fattah telah menjangkau satu jam. 

"Fattah ni mana?" gerutu Margina lantas sekali lagi menghantar satu pesanan whatsapp untuk Fattah.Jangan tak tahu, Margina sudah memesan dua gelas fresh orange sepanjang menunggu ketibaan Fattah. Lama-lama perut Margina boleh kembung kalau begini. 

"Lia, dekat sini." 

Suara di sebelah meja berjaya mencuri perhatian Margina. Margina ikut berpaling, mencari pemilik nama Lia yang sedang dipanggil. Bukan apa, Margina alergik sedikit dengan nama Lia. Nama Lia banyak mengundang memori hitam. 

"Lia." Kali ini pemilik suara di sebelah meja Margina melambaikan tangan. 

Nun di pintu masuk cafe ini, berdiri satu susuk tinggi lampai. Lebih tinggi daripada Margina pastinya. Kulitnya putih kemerahan, warna kulit anak kacukan . Hidungnya kecil dan elok bentuknya. Sepasang matanya yang paling cantik. Tidak cukup dengan itu, busana yang tersarung pada tubuh indahnya sangat moden kontemporari. 

Sayang, wajah manis itu terpalit duka. Semakin Lia menghampiri meja di sebelah Margina, semakin jelas kelihatan bekas air mata pada wajah Lia. Belum sempat Lia duduk, air matanya telah berhamburan keluar. Lia menangis tanpa silu. Bercupak mata yang memandang tidak dihiraukan. 

"Kau okey tak ni?" 

Lia tidak menjawab, tangisannya saja yang semakin panjang. 

"Apa dah jadi ni Lia? Ada apa sebenarnya? Kenapa kau menangis ni?" 

Bukan Margina sengaja hendak curi dengar perbualan Lia dengan temannya, tapi suara mereka berdua memang jelas masuk ke dalam telinga Margina. 

"Lia, cuba tarik nafas. Kalau kau menangis macam ni, aku tak dapat tolong. Tengok, semua orang pandang kita berdua." 

Iya, semua mata sedang memandang, termasuklah Margina. Mata bundar Margina hanya melekat pada seraut wajah manis Lia. Meski telah bertahun-tahun berlalu, Margina belum lupa dengan seraut wajah budak  comel tetapi berlagak yang dipanggil Lia. 

"Aku sedih sangat, Qas. Aku macam dah tak ada guna dalam dunia." Lia mengesat-ngesat hujung matanya. Semua ayat Mak Cik Huda dengan Har anak Pak Ngah jelas terngiang dalam telinga. 

"Tak elok cakap macam tu, Lia. Ingat Allah."

Betul. Margina setuju dengan nasihat teman Lia. Lia sepatutnya banyakkan bersabar dan positif.

"Aku sayang dia dari kecil, tapi dia tak sayang aku." 

Lia sedang dilanda masalah hati rupanya. Mesti Lia baru putus cinta.

"Siapa yang tak sayang kau." 

"Har." 

Lenyap semua kesimpulan dalam kepala Margina Cermin mata hitamnya yang sejak tadi tersarung ditanggalkan. Kali ini dia menilik paras milik Lia tanpa penghalang lagi. 

"Har nak kahwin tak lama lagi. Dia pilih Margina." 

Jatuh cermin mata yang Margina sedang pegang. Bunyi cermin matanya yang jatuh menyembah lantai menarik perhatian Lia dan temannya. 

"You pandang apa? You curi dengar?" 

Margina menelan liur. Suara Lia yang tadi sendu sudah bertukar garang. Sama seperti ketika Lia marah dan menolak Margina sampai jatuh.

"Maaf," sepatah ayat Margina. 

"Suara you berdua kuat. I tak sengaja pandang dan dengar apa you berdua bualkan." 

Mendadak Lia bangun. Mendadak juga teman Lia ikut bangun. Raut wajahnya resah bukan main. Lia yang emosional boleh bertindak diluar dugaan. 

"Lia, janganlah macam ni," bisik teman Lia. Tangan Lia ikut disentuh untuk menarik perhatian Lia semula. 

"Kalau kau tak selesa, kita pergi tempat lain untuk berbincang." 

Lia menggelengkan kepalanya. Tumpuannya telah kembali pada Qas sebelum beralih pada Margina semula. Senyuman hambar diberikan pada Margina.

"Sorry," ujarnya kemudian sembari duduk semula. Sepatah namun membawa makna yang sangat besar dalam diri Margina. 

Ada yang berubah dalam diri Lia. Lia sudah pandai menyebut perkataan 'sorry'. 

"Aku tak faham macam mana dia boleh terfikir nak jadikan Margina isteri dia. Margina macam ahli sihir. Entah apa dia buat sampai abang Har boleh tunduk dan suka pada dia." 

Margina menarik semula kesimpulannya tadi. Lia tidak pernah berubah. 

"Margina tu jahat!" 

Rasanya anak panah beracun baru saja Lia lepaskan ke hati Margina. Margina lemah terus. Menggigil tangannya sewaktu mencapai gelas berisi fresh orange milik. 

"Kau tahu tak Qas, abang Har pernah cakap sendiri dekat aku yang dia tak suka Margina. Hari ni, tiba-tiba Auntie Huda beritahu aku dia nak pinang Margina untuk abang Har." 

Racun yang terkena jantung Margina sedang merebak pada kelajuan pantas. Ayat-ayat yang Lia luahkan benar-benar mengejutkan! 

"Sakit hati aku ni Lia. Kalau abang Har pilih anak perempuan Kiai Rahman, aku boleh terima lagi. Ini tak, dia pilih Margina!" 

"Sabar Lia." 

"Benda-benda yang melibatkan Margina aku tak boleh sabar. Kami hilang Uncle Adenan sebab Margina dengan ibu dia. Sebab dua manusia tu, nenda hilang anak lelaki. Kau nampak tak dua manusia kejam sangat?" 

Margina memejamkan mata. Sudah lama Margina tidak mendengar ibunya dikecam. Sekarang dia mesti mendengarnya semula. 

"Mungkin abang Har sengaja cakap nak pinang Margina, supaya kau tak berharap dekat dia lagi. Tadi kau sendiri cakap abang Har pernah mengaku dia tak suka Margina."

"Abang Har tak bergurau. Aku tahu abang Har tak bergurau sebab nenda dah datang ke rumah UncleAdenan. Ya Allah Qas, aku tak boleh bayangkan abang Har kahwin dengan Margina." 

"Mungkin kau patut jumpa Margina." 

Lia mengesat matanya. 

"Jumpa Margina? Aku tak nak. Aku jijik nak jumpa perempuan tu." 

"Kalau macam tu, mungkin dah tiba masanya kau lupakan Har." 

Esakan Lia berhenti mendadak. Sekarang dia hanya memandang temannya. Memandang dengan mata yang tidak berkelip. 

"Aku tak nak!" Tempik Lia keras. Tangannya turut memukul meja. Habis tumpah gelas yang berisi fresh orange. 

"Aku tak nak lelaki lain. Aku nak abang Har. Kau nak aku ulang berapa kali baru kau nak faham?" 

Tiba-tiba saja suasana restoran jadi senyap. Semua mata hanya memandang ke arah meja Lia dan temannya. 

"Lia, cuba kawal diri tu sikit. Takkanlah fasal lelaki kau nak hilang kawalan?" 

Lia tunduk bersama juraian air mata. Berkali-kali kepalanya digelengkan. Dia juga meraup wajahnya tanpa jemu. 

"Maaf, Qas. Aku tak sengaja. Maaf sangat-sangat," ujar Lia dengan wajah berganda murung. Emosinya elok sedikit berbanding tadi. 

"Jiwa aku dah hilang," lanjut Lia lagi, dan Qas yang penyabar itu telah bangun. Bahu Lia dipeluk dengan erat. 

"Aku tak tahu nak buat apa lagi, Qas. Semua usaha aku buntu. Dia makin jauh. Aku nak abang Har. Jadi bila kau suruh aku lupakan dia, aku tak boleh terima permintaan tu. Permintaan tu terlalu kejam." 

Bahu Lia seperti mahu runtuh menahan sebak yang datang. Wajahnya juga disembankan pada bahu Qas. 

"Aku cuma nak kau ingat satu perkara, Lia. Kalaulah ditakdirkan dia jodoh kau, takkan kemana. Kau buat macam biasa. Minta pada Allah supaya Abang Har jadi hak kau." 

"Kali ni aku tak yakin, Qas. Nenda pun dah beri lampu hijau. Nenda benarkan dia kahwin dengan Margina. Aku dah tak ada peluang. Penantian aku selama ni sia-sia." 

"Nenda memang benarkan, tapi mereka berdua belum kahwin. Siapa tahu saat-saat akhir ada perubahan positif. Mana tahu, kau yang bersanding dengan dia nanti atas pelamin." 

Lia mengangkat wajah. Air mata yang jatuh cepat saja diseka. 

"Aku ada harapan lagi, kan? Aku boleh buat dia pilih aku, kan? Aku pun boleh pujuk nenda supaya ubah sokongan pada aku, kan?" 

"Pandai. Ini barulah Liana Ross yang aku kenal." 

Meski sedikit payah, Lia usahakan juga untuk mengukir senyuman. Hatinya tenang sedikit mendengar semua kata-kata Qas. Selagi Margina belum jadi isteri Har anak Pak Ngah, peluang Lia masih terbuka. 

"Minta maaf. I lambat. I tahu I kata sepuluh minit, tapi jalan sesak. Itu yang bertukar dari minit kepada jam." 

Lari terus tumpuan Margina pada Lia. Sekarang sorotannya melekat pada Fattah yang baru sampai. Fattah bukan anak . Fattah asli Melayu, pun begitu Fattah tetap masuk dalam golongan sedap dipandang. Kalaulah Margina ada adik perempuan, pasti Margina 'kenen-kenenkan' dengan Fattah. 

"Tak apa. Salah I juga sebab ajak you jumpa secara mengejut. Sepatutnya I buat appointment dulu." 

Fattah ketawa. 

"Jangan mengadalah, Margina. Kalau untuk you, tak payah appointment. You boleh jumpa I bila-bila masa you nak." 

"Thank you, Fattah. You memang kawan I yang paling memahami I." 

Margina bangun dan kemudia menggamit pekerja restoran. Not sepuluh ringgit diberikan. 

"Keep the change," ujar Margina lantas mendorong tubuh Fattah keluar dari restoran tersebut. 

"Kita nak ke mana ni?" 

"Kita bincang dalam kereta you." 
Ada kerutan yang terlukis di dahi Fattah, namun permintaan Margina diturutkan juga. 

"You ajak I jumpa sebab apa?" 

Margina memilih melihat restoran yang ditinggalkan tadi sebelum memberi jawapan. 

"I nak tanya kalau-kalau syarikat you perlukan pekerja. Calon pekerja ni freshie, langsung tak ada pengalaman bekerja." 

"Siapa calon pekerja tu?" 

Margina menunjuk dirinya sendiri.

"Esok you boleh mulakan kerja." 

"Serius? Jangan bergurau, Fattah. Kalau esok I betul-betul datang, you juga yang terkejut sampai rahang nak jatuh." 

"I serius. Dan kalau you betul-betul datang esok, I buat kenduri kesyukuran terus." 

Terdiam Margina dibuatnya. Sorotannya tidak berkelip melihat ke arah Fattah. 

"Jangan pandang I macam tu. You memang dah diterima bekerja." 

"Semudah tu? You tak nak tanya ayah you dulu?" 

"Rasanya ayah I yang paling gembira kalau dia tahu you nak kerja dengan dia." 

"Tapi sepatutnya you interview..." 

"Tak payah isi borang, tak payah interview. Tak payah buat semua kerja leceh tu. Yang penting esok I nak nampak muka you dalam ofis I. Waktu kerja Isnin sampai Jumaat. 
Sembilan pagi sampai pukul 6 petang, dan rehat satu jam. Hari Jumaat special, you boleh rehat macam staff government." 

"You nak bagi I jawatan apa ni? Kalau you cakap cleaner, sekarang juga I bersihkan muka you cukup-cukup." 

Fattah ketawa lagi. Ketawa yang menyenangkan hati Margina. Semua tentang Fattah memang mendamaikan hati Margina. Mungkin sebab inilah Margina tidak faham kenapa Fahmy dan Mak Cik Khalijah boikot Fattah. 

"Terpulang you nak pegang jawatan apa. Gaji pun I akan ikut berapa yang you minta." 

"Fattah, I serius ni. I nak kerja. You janganlah buat lawak sedap didengar macam ni. Nanti I juga yang kecewa kalau semua ni cuma lawak." 

"I serius la ni. I memang nak sangat you kerja satu bumbung dengan I. Kalau dapat tinggal satu bumbung, lagi I suka." 

Fattah kalau bergurau, memang melampau. 

"Kalau nak sangat tinggal sebumbung dengan I, angkutlah kain baju you dan lepas tu datang rumah I." 

Fattah menyambung tawanya. Senang sangat hati mendengar jawapan balas Margina. 

"Soon, Margina. I pasti angkut kain baju I datang rumah you. Tapi you mesti pujuk your mom dengan your beloved brother tu terima I dulu. I seganlah nak singgah rumah you sekarang. I tak dialukan dekat sana." 

"Ibu dengan Fahmy okey. Mereka memang macam tu. Dan fasal kerja tadi, I nak mula dari bawah. Gaji I ikut budi bicara you." 

"Takkanlah you nak mula dari bawah? I boleh beri you jawatan manager." 

"No, I tak nak. Kalau you buat juga, I tak jadi kerja dengan company you."

Fattah mengangkat kedua belah tangannya. Mengaku kalah pada pendirian Margina. 

"Sekarang you boleh drive dan belanja I makan. I belum kerja, duit tak ada nak belanja you makan. Selera you high class, I tak mampu. You kena tunggu I dapat gaji, baru I boleh belanja you." 

Bergema lagi tawa Fattah. 

"Baiklah, Cik Margina Abdullah. Sekarang juga I bawa you pergi makan. I belanja." 

Senyuman Margina yang membalas jawapan Fattah. Kemudian sekali lagi Margina berpaling kearah restoran yang ditinggalkan tadi. Dari jauh dia dapat melihat figura Lia dan temannya. Lia masih menangis.

Tangisan Lia membuat Margina nekad dengan keputusannya. Kalau berkahwin dengan Har anak Pak Ngah bakal membuat dia berperang dengan Lia, Margina rela mengalah. Cukuplah dia berperang sekali dengan Lia. Margina sudah serik. 

"Kawan you ke tadi tu?" 

Nampaknya Fattah menjadi pemerhati. Memaksa Margina kembali memberi perhatian pada Fattah. 

"Kawan yang mana?" 

"Tadi masa I masuk restoran tu, mata you tak lepas pandanggirl yang tengah menangis dekat sebelah meja you." 

"Bukan kawan I. Kebetulan dia duduk sebelah meja tu. Dia menangis jadi I terpanggil pandang dia. Dia cantik, kan?" 

Fattah ikut menoleh ke arah restoran tadi. Kemudian dia berpaling semula pada Margina. Memberi senyuman sebelum menyentuh pipi Margina dengan jari kasarnya.

"Ya, dia cantik. Tapi you lagi cantik."


- Ber.Sam.Bung dalam versi cetak -

Tuesday, 28 June 2016

Bab 04 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand


KALAU hendak dihitung, belum pun seminit Har anak Pak Ngah jejak kaki di rumah keluarganya. Bau kapal terbang belum hilang. Bau tanah Jawa masih melekat. Sekarang Har anak Pak Ngah mesti berdepan dengan soalan-soalan berbaur cinta daripada Lia. Penjelasan panjang lebar sudah diberi, Lia tu susah sangat hendak faham.
"Abang tak boleh dengan Lia."

Lia membuang pandang. Sejak tadi ayat Har anak Pak Ngah berkisar tentang perkataan 'tak'. Meskipun penggunaan ayatnya lain, tetapi maksudnya tetap sama.

"Lia beri abang ruang. Lia beri abang masa. Tapi akhirnya abang cakap abang tak boleh dengan Lia. Maksudnya abang tak nak Lia?"

"Kita sepupu, Lia."
"Kita memang sepupu. Jadi? Lia kurang apa?"
"Lia macam adik abang."
"Lia tak nak dengar alasan tu. Abang tak patut gunakan alasan tu. Lia dah cuba yang terbaik siapkan diri untuk abang. Lia tak faham kenapa abang tak nak Lia."
Har anak Pak Ngah berpaling pada Mak Cik Huda. Memohon sedikit pengertian supaya ibunya turun padang untuk memujuk Lia.

"Lia buat macam-macam supaya abang suka Lia. Tak pernah sedetik pun Lia putus harap, walaupun Lia rasa muka Lia ni lebih keras dari tembok."
Lia menepuk-nepuk pipinya. Tidak beri peluang pada Mak Cik Huda untuk mencelah.

"Lia tahu abang suka anak perempuan Kiai Rahman. Tapi abang mesti faham, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Abang suka anak Kiai Rahman tu bagai nak rak sekali pun, takkan ke mana kalau dia tak suka abang."
Pandainya Lia berhujah. Lia lupa agaknya, situasinya sekarang sama. Lia juga sedang bertepuk sebelah tangan.
Kening Mak Cik Huda naik dengan begitu tinggi sekali. Anak bujangnya dilirik, memohon sejuta penjelasan.

"Kiai Rahman mana pula ni, Har? Kenapa selama ni Har tak pernah cerita?"

"Kiai dekat tempat abang Har belajar agama. Abang Har suka dengan anak perempuan Kiai Rahman tu." Lia yang memberi jawapan.
"Betul ke Har suka anak perempuan Kiai Rahman? Kalau betul, kenapa Har minta ibu dengan ayah lamar Margina?"
Lia membesarkan sepasang matanya yang cantik. Lekas-lekas dia menghayun langkah menghampiri Mak Cik Huda.
"Auntie dengan uncle nak pinang Margina? Margina yang mana?"

Berkali-kali Lia meraup wajahnya dengan kasar. Tanpa menunggu jawapan Mak Cik Huda, Lia melontarkan lagi soalan. Kali ini soalan tersebut ditujukan khas untuk Har anak Pak Ngah.
"Abang jangan beritahu Lia abang nak kahwin dengan Margina anak tiri Uncle Adenan. Lia tak rela nak lepaskan abang pergi dekat dia. Abang dah lupa ke? Sebab Margina dengan ibu dia, nenda buang Uncle Adenan."
"Sebab tu abang nak rapatkan kembali keluarga kita. Nenda dah tua, Lia. Macam mana nenda nampak kental sekalipun, nenda sebenarnya rindukan Uncle Adenan."
"Ada banyak lagi jalan penyelesaian yang abang boleh guna. Abang boleh pujuk Uncle Adenan jumpa nenda dan minta maaf."
"Kalau nenda tak keras hatinya, dah lama abang guna cara tu."
"Habis tu, abang nak beritahu Lia yang kalau abang kahwin dengan Margina, nenda terima UncleAdenan semula?"
"Itu saja cara yang berkesan sekarang. Bila abang guna cara ni, nenda dah pergi jumpa Uncle Adenan."
Lia tiba-tiba ketawa keras, tapi cuma sekejap.
"Abang dah gila! Abang sendiri pernah cakap abang tak suka Margina. Sekarang abang nak jilat balik ludah abang?"
"Lia, abang buat semua ni untuk kebaikan nenda dan keluarga kita. Dah lama sangat Uncle Adenan hidup jauh dari kita. Abang nak keluarga kita jadi macam dulu sebelum nenda tutup mata. Lia tinggal dengan nenda, Lia mesti faham isi hati nenda."
"Lia tak faham. Lia lagi tak faham bila abang buat keputusan gila macam ni. Abang korbankan hidup sendiri. Kalau abang tanya pendapat Lia, Lia jawab abang bodoh."
Mak Cik Huda menarik Lia ke dalam pelukannya. Memujuk Lia supaya bertenang.
"Lia sayang, Lia mesti belajar lupakan Har."
Ayat Mak Cik Huda hanya membuat tubuh Lia bergetar. Kurang sepuluh saat, terdengar esakan Lia. Makin lama makin panjang. Lia mengongoi di bahu Mak Cik Huda, melampiaskan semua rasa kecewanya yang setinggi Everest.
"Lia sayangkan abang Har, auntie. Lia tunggu abang Har bukan sekejap, tapi lama. Lia suka abang sejak umur Lia enam belas tahun lagi. Kalau dihitung, Lia dah tunggu abang Har datang pinang Lia lebih sepuluh tahun!"
"Lebih daripada sepuluh tahu tu juga abang selalu beritahu, kita berdua tak sesuai jadi suami dan isteri. Lia sepupu abang."
"Tapi tetap tak haram kalau abang pilih Lia jadi isteri abang."
Itulah jawapan Lia lebih sepuluh tahun ini. Har anak Pak Ngah kadang-kadang tak tahu bagaimana lagi hendak memberi penjelasan.
"Dan kalau abang cakap sebab hubungan sepupu kita yang jadi penghalang, Margina tu sepupu kita juga. Taraf hubungan dia dengan abang sama dengan taraf hubungan kita berdua. Kenapa abang boleh terima Margina dan tolak Lia? Apa salah Lia?"
"Lia, Margina sepupu tiri. Lia sepupu kandung abang."
Lia geleng-geleng kepala. Sangat sulit untuk menerima penjelasan Har anak Pak Ngah.
"Abang percaya, dekat luar sana ada seorang lelaki yang lebih sesuai dengan Lia."
"Lia tak nak. Lia cuma nak abang. Mati hidup semula pun, pilihan Lia tetap abang. Abang bangkanglah macam mana sekali pun, hati Lia tetap pilih abang."
Lia terlalu obsess. Penyakit obsess Lia melemaskan Har anak Pak Ngah.

"Abang, Lia takkan putus asa. Kalau abang gunakan nenda, Lia pun boleh buat perkara sama. Lia akan pastikan nenda pilih Lia dan bukan Margina."
"Lia..."
"Lia nak balik. Lia nak jumpa nenda. Abang siapkan diri jadi suami Lia sebab Lia takkan putus asa pujuk nenda sampai nenda tukar fikiran," pangkah Lia. Dia bingkas berdiri sambil mengesat matanya sampai kering.
"Lia, jangan macam ni." Mak Cik Huda pula yang bersuara. Tangan Lia dicapai lalu digenggam seeratnya.

"Asalkan Lia jadi isteri abang Har, Lia sanggup jadi macam ni."
"Lia jangan buat perangai macam budak kecil."
Lia menggigit bibirnya hingga terasa sakit. Ayat yang baru Har anak Pak Ngah lontarkan sangat mendera perasaan.
"Lia tak peduli dan jangan halang Lia lagi. Lia dah nekad. Lia nak abang. Susah macam mana pun, Lia tetap nak abang. Lia harap abang faham."

Pintu dihempas kuat. Lia sengaja, biar Har anak Pak Ngah tahu yang Lia nekad kali ini.
Untuk Mak Cik Huda, Lia minta maaf sebab hempas pintu kuat-kuat.

- Ber.Sam.Bung -

Bab 03 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand



HAR anak Pak Ngah melihat sekeliling Pesantren Assogiri. Tidak banyak yang berubah. Dahulu dia sempat menghabiskan usianya selama dua tahun setengah di sini. Sekarang kakinya menyentuh lagi tanah di pesantren ini. Bukan sebagai pelajar, tetapi sebagai seorang bekas pelajar yang ingin bertemu kawan lama dan bertanya khabar dengan kiai dan ustaz di sini.
"Hardimin Jose!"
Kenal sangat Har anak Pak Ngah dengan manusia yang sedang memanggil namanya itu. Siapa lagi kalau bukan Amri. Cuma sejak Amri berkahwin dengan anak dara Jawa, nama panggilannya jadi Ade.
"Nyong fikir kuea meneng wis lali karo jejak mu neng kenea." (Aku fikir kau tak nak jejak kaki dekat sini lagi.)
Erat pelukan Ade. Malah berkali-kali Ade menepuk bahu teman lamanya.
"Kepeya nyong ora mamper neng kenen. Pesantren iki wis koyok omah nyong nombor loro." (Mana boleh tak jejak kaki ke sini. Pesantren ni dah macam rumah kedua aku.)
Ketawa Ade berkumandang dengan jelas sekali, petanda hatinya sangat senang. Lihatlah, Ade kembali menepuk-nepuk bahu Har anak Pak Ngah.
"Bagus, tak hilang lagi bahasa Jawa kau. Sekarang ni ramai Jawa murtad. Mengaku keturunan Jawa, tapi tak pandai cakap Jawa."
"Kalau aku tak pandai cakap Jawa, pecah telinga aku ni nak dengar bebelan nenda aku. Kau pun bukan tak kenal dengan perangai nenda."
Tambah panjang saja ketawa Ade. Segera terbayang di kepala Ade wajah nenda Har anak Pak Ngah. Seingat Ade, orang tua itu memang tegas orangnya. Pantang betul kalau anak cucunya tak pandai berbahasa Jawa.
"Lama sangat kau tak ke sini. Aku ingatkan kau kecewa. Maklumlah, anak dara Kiai Rahman kahwin dengan lelaki lain."
"Jangan mengarut. Aku tak pernah simpan hati dekat Aisya. Kau tu suka buat telahan melulu," selar Har anak Pak Ngah dengan wajah tidak senang. Bukan main dalam lagi kerutan pada dahinya ketika ini. Nampak sangat Har anak Pak Ngah tak senang bila dikaitkan dengan Aisya.
"Mengaku sajalah yang kau tu sebenarnya patah hati sebab Aisya pilih lelaki lain. Kau tolak tawaran jadi tenaga pengajar dekat sini sebab kau tak nak bertembung dengan suami Aisya."
Lancar sungguh mulut Ade membuat kesimpulan.
"Aku nak balik."
Bergema tawa Ade mendengar jawapan ala-ala merajuk Har anak Pak Ngah. Suara tawanya berhasil membuat 40 peratus pelajar di pesantren tersebut menoleh ke arah mereka berdua.
Cuak air muka Har anak Pak Ngah. Langkah kakinya diatur ke arah pagar pesantren.
"Nak kemana?"
"Baliklah."
Har anak Pak Ngah merajuk seperti anak kecil. Menoleh pun tidak pada Ade.
"Janganlah macam tu. Baiklah, aku mengalah. Kau tak ada hati pada Aisya," pujuk Ade kemudian sambil mengangkat kedua belah tangannya sebagai tanda mengalah.
"Kalau kau kaitkan aku dengan Aisya lagi, aku balik terus."
"Iya, aku tak kaitkan kau dengan Aisya lagi."
"Aisya tu isteri orang, Ade. Kalau sampai suami Aisya dengar cakap kau, nanti Aisya susah. Suaminya mesti kecil hati."
"Pembetulan. Aisya tu bekas isteri orang."
Sekilas Har anak Pak Ngah mencari sorotan mata Ade. Hilang semua rajuknya tadi. Air mukanya jelas menunjukkan betapa dia payah menerima berita yang disampaikan Ade.
"Betul, aku tak tipu."
Bersungguh benar Ade memberi penjelasan, meski Har anak Pak Ngah belum lagi meminta kepastian.
"Bila Aisya bercerai? Kiai Rahman tak cerita apa-apa pun dekat aku."
"Baru lagi, tak sampai tiga bulan. Kau tu bawa diri lama sangat. Macam manalah Kiai Rahman tak fikir kau dah lupakan dia."
"Aku tak pernah lupakan Kiai Rahman. Sedetik pun aku tak pernah lupakan dia. Beberapa bulan ni aku sibuk dengan nenda."
"Tak kisahlah apa sebab kau sekalipun. Yang penting sekarang hati kau. Kalau betul hati kau sayangkan Aisya, rasanya inilah peluang kau. Pergilah jumpa Kiai Rahman. Bincang elok-elok."
Wajah Ade wajah orang mengharap. Besarlah harapan Ade yang Har anak Pak Ngah setuju dengan cadangannya.
"Aku kasihan dengan Aisya. Muda-muda lagi dah jadi janda. Aku nak bela dia, tapi aku ni tak mampu nak beristeri dua. Lagipun aku bukan calon suami pilihan Kiai Rahman. Kalau kau yang minta tangan Aisya, aku yakin Kiai Rahman takkan membantah."
Berat keluhan Har anak Pak Ngah. Baru tadi dia memberi amaran supaya tidak dikaitkan dengan Aisya lagi. Tak sampai sepuluh minit, Ade jadi agen pencari jodoh semula.
"Kiai Rahman dengan Aisya dah tak tinggal sini lagi. Mereka berdua ada dekat Kedah. Bila kau balik Malaysia nanti, pergilah jumpa Kiai Rahman dulu. Orang tua tu selalu sangat tanya fasal kau."
"Aku boleh ke Kedah jumpa Kiai Rahman, tapi bukan atas sebab nak minta tangan Aisya. Kalau aku suka Aisya, dulu lagi aku hantar rombongan."
Figura Aisya sempat singgah dalam kepala Har anak Pak Ngah. Aisya yang penuh kelembutan itu memang jadi rebutan sewaktu zaman suntinya.
"Perkara ni aku dah bincangkan sendiri dengan Kiai Rahman, sebelum aku tamat belajar lagi dan beliau hormat keputusan aku."
Ade sebenarnya bosan dengan perangai main tarik tali Har anak Pak Ngah.
"Aisya tu macam adik kandung aku, Ade. Aku tak boleh nak berkahwin dengan seorang perempuan yang aku dah klasifikasikan sebagai adik kandung."
"Itulah jawapan kau dari dulu sampai sekarang. Sebab perangai kau yang macam inilah yang buat Aisya pilih lelaki lain," sinis suara Ade. Memberi petunjuk dia tak suka dengan jawapan berulang Har anak Pak Ngah.
"Memang itu jawapan paling jujur."
Ade geleng kepala. Kadang-kadang dia tak faham apa yang Har anak Pak Ngah cari dalam diri seorang perempuan. Semua yang bagus-bagus pada mata Ade, Har anak Pak Ngah tolak ke tepi.
"Lia macam mana? Kau tak terima Aisya sebab Lia? Atau kau nak beri jawapan yang Lia tu sepupu kau, jadi kau tak boleh kahwin dengan dia?"
Har anak Pak Ngah mengiyakan dengan cara mengangguk. Anggukan yang cukup untuk membuat Ade mahu menghantukkan kepala ke dinding.
"Aku tak tahulah kau ni nak cari isteri yang macam mana. Aisya dengan Lia tu, cantik sangat dekat mata aku. Kalau akulah dekat tempat kau, aku sambar dua-dua terus."
"Cantik rupa saja tak cukup, Ade. Yang penting cantik hati."
"Lia tu cantik rupa dan hati. Aisya pun sama. Kau tu menolak tuah yang datang bergolek-golek. Sedar diri sikit, umur kita ni makin hari makin pendek, bila-bila masa saja boleh berpindah ke lain dunia."
"Jangan risau, Ade."
Keras bunyi keluhan Ade.
"Macam mana aku tak risau, semua kawan-kawan kita dah kahwin. Bila mereka kahwin dulu, kau yang banyak menolong, termasuklah aku ni."
"Jangan risau."
Lagi-lagi ayat 'jangan risau' yang Har anak Pak Ngah tuturkan.
"Aku nak kahwin dalam waktu terdekat ni, Ade," desis Har anak Pak Ngah. Ayatnya ringkas. Senyumannya juga ringkas tetapi sangat mendamaikan.
Ade yang banyak mulut itu tiba-tiba seperti telah hilang mulut. Hanya matanya saja yang terkebil-kebil. Berita terkini yang disampaikan oleh Har anak Pak Ngah seperti bom atom.
"Betul ke ni? Kau jangan bergurau."
"Urusan nikah kahwin ni aku tak bawa bergurau, Ade. Kali ni serius. Aku nak kahwin."
Ade menilik Har anak Pak Ngah. Mencari kebenaran disebalik kata-kata teman lamanya.
"Pokok yang aku tanam dan jaga selama ni dah mengeluarkan hasil. Buahnya banyak, ranum dan manis. Sekarang waktu yang sesuai untuk dituai."
Besar bukaan mata Ade, namun besar lagi bukaan dan mulut Ade.
"Kau merepek apa ni?"
Tawa Har anak Pak Ngah yang membalas soalan Ade. Paling menjengkelkan bila Har anak Pak Ngah mula menghayun langkah meninggalkan Ade.
"Nak kemana lagi tu?"
Har anak Pak Ngah masih melangkah, memaksa Ade berlari untuk menahan langkah lelaki tersebut.
"Kau nak kahwin dengan siapa ni? Cuba cerita betul-betul. Jangan cerita sekerat jalan."
Har anak Pak Ngah terlalu sengaja mendekatkan wajahnya pada wajah Ade. Hidungnya nyaris menyentuh hidung Ade sendiri. Meremang terus bulu roma Ade.
"Cepatlah beritahu. Kau nak kahwin dengan siapa?" desak Ade tidak sabar. Dia sudah menolak Har anak Pak Ngah supaya menjauh. Kalau dilihat pelajar, boleh timbul cerita yang tak elok.
"Kau nak kahwin dengan Lia, kan?"
Kali ini Har anak Pak Ngah sengaja menempel dekat dengan telinga Ade.
"Aku nak kahwin dengan Cik R.A.H.S.I.A, Ade. Ini rahsia, jadi jangan beritahu orang lain."
Ade baru saja mengumumkan dalam hati. Ade putus kawan dengan Har anak Pak Ngah selama sehari. Titik.

- Ber.Sam.Bung -

Bab 02 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand



DAHINYA dipicit keras. Nafas juga dilepaskan secara perlahan-lahan. Kemudian sekali lagi dahinya dipicit. Berharap benar ketenangan yang dicari datang lalu memujuk hatinya yang sedang rusuh.
Margina gagal! Rasa tenang yang dicari tak juga kunjung tiba. Kelopak matanya yang sejak tadi tertutup rapat, mendadak dibuka luas-luas. Nun di atas meja tulis Margina elok terletak jambangan bunga.
Margina dapat kiriman bunga tahi ayam lagi. Margina dipanggil Cik Mar.Gi.Na Kassim Baba lagi.Masuk kali ini, sudah empat kali Margina dapat bunga tahi ayam dengan nota yang sama. Margina tak suka. Jambangan bunga tahi ayam itu terus dibuang ke dalam bakul sampah.
"Sayang betul pengirim bunga ni dekat Kak Long."
"Dia bukan sayang, tapi nak melancarkan perang dengan Kak long."
"Dia nak pikat Kak Long tu. Tengoklah, tak jemu dia hantar bunga. Kalau Fahmy jadi Kak Long, dah lama Fahmy setuju jadi kekasih dia."
Fahmy ketawa mengekek di hujung kata-katanya. Dia suka melihat air muka Kak Long Marginanya kalau cemberut. Sekarang dia mengutip jambangan bunga tahi ayam yang dibuang tadi dan kemudian diletakkan elok-elok dia atas meja tulis Kak Long Marginanya. Sengaja mahu melihat air muka Kak Long Marginanya bertambah cemberut.
"Terima sajalah bunga tahi ayam ni, Kak Long. Bunga tu cantik. Kalau tanam dekat kebun bunga ibu, mesti lagi cantik laman rumah kita ni."
"Fahmy ni suka sangat bila Kak Long dapat bunga tahi ayam. Nanti kalau Kak Long tiba-tiba kena culik, baru Fahmy rasa."
"Kenapa kena culik pula?"
Margina melangkah setapak ke arah Fahmy. Biar lebih dekat. Biar Fahmy mendengar setiap patah katanya.
"Fahmy sedar tak yang pengirim bunga tahi ayam ni skru otak dia dah tanggal tiga biji?"
Margina menaikkan tiga jari kanannya. Diawangkan betul-betul di depan muka Fahmy.
"Tak baik Kak Long cakap macam tu."
"Kak Long bukan suka-suka nak cakap skru otak dia tanggal, tapi lelaki normal takkan hantar bunga tahi ayam dekat seorang perempuan. Sebab dia tak normal baru dia galak sangat kirim bunga tahi ayam. Mula-mula kirim bunga tahi ayam. Entah-entah lepas ni dia culik Kak Long."
"Taklah. Pengirim bunga tu skru otak dia lengkap lagi. Dia sayang Kak Long. Fahmy yakin yang pengirim bunga tu sayang betul pada Kak Long."
Mengecil sepasang mata bundar Margina. Sorotannya berubah jadi sorotan helang.Fahmy turut dihampiri.
"Mesti kawan Fahmy yang hantar bunga tahi ayam ni dekat kak long, kan?"
"Ke situ pula Kak Long ni. Mana ada."
"Jangan tipu."
Nampaknya Fahmy telah bersedia untuk melarikan diri. Dia sudah bangun lantas susup sasap berlari ke arah pintu.
"Fahmy!" jerit Margina bila melihat Fahmy telah berada di muka pintu.
"Ada apa ni? Dah besar panjang pun nak bertekak juga?"
Pak Cik Adenan muncul di muka pintu.Pada tangan Pak Cik Adenan terdapat akhbar hari ini.Mungkin Pak Cik Adenan terganggu dengan suara saling bertingkah Margina dan juga Fahmy.
"Kak Long tu, tak habis-habis cakap kawan Fahmy yang hantar bunga tahi ayam dekat dia."
"Fahmy beriya sangat bela pengirim bunga tahi ayam ni, ayah. Margina kenal sangat dah dengan perangai Fahmy."
"Bukan kawan Fahmy, Kak Long," nafi Fahmy sekeras-kerasnya.
"Kalau susah sangat, biar ayah yang mengaku. Pengirim bunga tahi ayam tu kawan ayah."
Sukalah tu Fahmy bila Pak Cik Adenan jadi penyelamat. Menurut Margina, Fahmy sudah besar panjang. Ayahnya yang tercinta tak sepatutnya menangkan Fahmy lagi, dibimbangi adik kesayangannya itu semakin hari semakin besar kepalanya.
Ketukan di pintu membantutkan perbualan yang sedang berlangsung. Mak Cik Khalijah datang dengan pakej tergopoh-gapah. Lihatlah, nafas Mak Cik Khalijah termengah-mengah. Pasti ada hal penting yang buat Mak Cik Khalijah jadi begini.
"Bonda abang..."
Suara Mak Cik Khalijah putus-putus. Kepenatan setelah mendaki anak tangga pada kelajuan pantas.
"Bonda abang ada dekat bawah sekarang. Bonda nak jumpa kita semua. Ada hal penting.," sambung Mak Cik Khalijah setelah nafasnya berjaya diatur.
Margina faham kenapa ibunya yang tercinta jadi teruja begitu. Selama berbelas-belas tahun ibunya yang tercinta tidak diiktiraf oleh Nenda Dasimah sebagai menantu. Jadi kedatangan Nenda Dasimah hari ini membawa makna yang sangat besar dalam diri ibunya yang tercinta.
"Cepatlah. Tak elok biar bonda tunggu lama."
Pak Cik Adenan yang masih terkejut dipaksa turun ke tingkat bawah. Margina dan Fahmy mengekori rapat di belakang.
"Nenda."
Amboi, meleret dan manja suara Fahmy. Margina pula lebih selesa memilih untuk memencilkan diri. Margina cuma cucu tiri yang dilupakan dan tidak penting langsung. Mana layak untuk bermanja dengan Nenda Dasimah. Iyalah, darah Nenda Dasimah darah bangsawan. Darah Margina darah marhaen.
"Margina."
Boleh tahan lembut suara Nenda Dasimah. Suara yang begitu menyenangkan. Cuma Margina saja yang terkejut bila namanya dipanggil. Hampir sepuluh saat Margina termanggu tanpa suara.
"Nenda panggil tu," sergah Mak Cik Khalijah sambil menyiku tubuh Margina. Sorotan Mak Cik Khalijah juga sangat garang.
"Sini, datang dekat dengan nenda."
Hari ini dalam sejarah. Nenda Dasimah sedang menggamit Margina datang padanya. Kalau tak percaya, cubalah pandang Nenda Dasimah buat. Nenda Dasimah sedang menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya.
"Duduk sebelah nenda."
Betul tekaan Margina. Nenda Dasimah memang berharap Margina duduk di sebelahnya.
"Pergilah duduk sebelah nenda," gesa Mak Cik Khalijah bila melihat Margina sedikit ragu untuk melangkah. Kali ini Mak Cik Khalijah sendiri yangmendorong tubuh Margina ke arah nenda.
"Margina dah besar. Dulu masa pertama kalinenda jumpa Margina, Margina kecil lagi."
Bukan Margina menyombong tak mahu jumpa Nenda Dasimah, tapi Nenda Dasimah yang enggan jumpa Margina. Kalau Nenda Dasimah tak sudi, takkanlah Margina nak sorongkan pipi.
"Berapa umur Margina sekarang?"
Bergerak-gerak bibir Margina mahu memberikan jawapan. Sayang sekali jawapan yang Margina karang tidak mahu keluar.
"Margina!"
Keras suara Mak Cik Khalijah memberi amaran. Nampaknya Mak Cik Khalijah tidak suka dengan cara Margina melayan Nenda Dasimah.
"Nak masuk 25 tahun, nenda."
Nenda Dasimah tiba-tiba merangkul tubuh Margina. Selepas itu mengusap lembut belakang tubuh Margina. Mulalah Margina rasa seperti telah menyentuh hati orang tua tersebut. Hilang semua rasa terpencil tadi.
Jadi ini penilaian Margina tentang Nenda Dasimah;
Orangnya sangat cantik. Meski telah dimamah usia, manisnya wajah Nenda Dasimah belum pudar. Mungkin sebab darah yang mengalir dalam diri nenda ada darah Melayu-Jawa-Portugis. Tidak hairanlah kalau Pak Cik Adenan dan Fahmy mewarisi segala keindahan nenda.
Masya-Allah, hari ini dalam sejarah lagi. Buat pertama kalinya Margina lihat senyuman Nenda Dasimah. Nampak sangat khas. Margina yakin Nenda Dasimah pasti jadi rebutan teruna sewaktu zaman mudanya.
"Masa nenda umur 25 tahun, nenda dah anak tiga."
Wow, Nenda Dasimah kahwin muda.
"Margina dah ada calon suami?"
Margina yang biasa-biasa ini tak pernah dapat perhatian lelaki. Darah Margina darah asli Melayu, tidak dicampur dengan darah dari benua yang lain seperti Nenda Dasimah.
"Belum. Tak ada lelaki yang suka saya ni nenda."
"Belum ada?"
Ada rasa pelik yang singgah melihat cara Nenda Dasimah meminta kepastian. Namun Margina mengiyakan juga dengan anggukan.
"Betul tak ada?"
Lain benar cara Nenda Dasimah meminta kepastian. Jantung Margina terus berdegup dua kali ganda deras.
"Margina tu lasak, bonda. Tak lembut macam perempuan lain. Sebab tu sampai sekarang payah nak jumpa jodoh."
Ya ampun, tanpa tapis-tapis lagi Mak Cik Khalijah jaja cerita Margina sebagai anak dara tak laku.
"Tak apa, nenda ada calon untuk Margina."
Nenda Dasimah lupa agaknya. Sekarang zaman serba moden, bukan zaman Cik Siti Wan Kembang lagi. Zaman sekarang anak dara pilih sendiri calon suaminya.
"Har pun dah besar panjang. Tahun ni dah 33 tahun, sesuai sangat dengan Margina."
Nenda Dasimah serius atau sekadar main-main? Sebab Margina sudah tidak senang duduk. Panas punggungnya mendengar setiap ayat yang Nenda Dasimah tuturkan.
"Kalau Margina setuju, lagi dua minggu rombongan meminang sampai."
Bagaikan orang gila Margina bangkit dari tempat duduknya. Sejenak pandangannya bertaut dengan sorotan jernih Nenda Dasimah, atau lebih tepat lagi, sorotan penuh harapan.
"Kenapa?"
Margina mengukir senyum tipis mendengar soalan sepatah Nenda Dasimah. Kalau diikutkan hati jahat Margina, sekarang juga Margina halau Nenda Dasimah. Sama seperti ketika Nenda Dasimah halau Mak Cik Khalijah dulu.
"Nenda dah bincangkan hal ni dengan Amir, Amir tak ada halangan kalau Har berkahwin dengan Margina."
Pantas dan jitu cara Nenda Dasimah mengatur jodoh Margina. Padahal Nenda Dasimah baru jumpa Margina dua kali.
"Margina muda lagi, nenda. Banyak perkara lagi Margina nak buat sebelum tamatkan zaman bujang."
"Dua puluh lima tahun Margina kata muda?"
Jengilan mata Nenda Dasimah boleh tahan. Suara keras Nenda Dasimah juga boleh tahan. Terkunci terus mulut Margina. Margina hanya mampu meminta tolong melalui sorotan mata pada ayahnya yang tercinta.
"Orang perempuan tak elok kahwin lambat. Umur dua puluh lima tahun tu dah masuk dalam kategori lanjut. Orang lelaki pun tak sudi nak pandang."
Kata Nenda Dasimah, bukan kata perempuan muda zaman sekarang. Perempuan zaman sekarang umur 35 tahun seperti umur 25 tahun. Dan andaikata tak ada yang sudi pandang Margina, Margina tidak kisah memegang status anak dara lanjut usia.
"Nanti umur dah tua, anak kecil-kecil lagi."
Zaman sekarang semua itu bukan lagi isu. Tidak sepatutnyaNenda Dasimah samakan zaman Margina dengan zaman anak dara Nenda Dasimah. Bezanya macam langit dengan bumi.
"Lagipun nenda berkenan kalau Har jadi calon suami Margina."
Nenda Dasimah semakin melampau. Mentang-mentang semua ayat bantahan Margina tersekat dikerongkong, Nenda Dasimah serang Margina habis-habisan. Margina tidak diberikan peluang langsung untuk membela diri.
"Bonda serius nak jodohkan Margina dengan Har?"
Nasib baiklah Pak Cik Adenan mencelah ditengah serangan hebat Nenda Dasimah. Kalau tidak, boleh jadi Margina bertukar jadi cucu yang tidak beradab.
"Bonda kalau dah sebut satu hal, tak pernah tak serius, Adenan. Bonda memang nak jodohkan Margina dengan Har. Adik kamu dah setuju dengan rancangan bonda. Har pun tak membantah."
"Tapi hal ni melibatkan Margina, bonda. Biarlah Margina fikir hal kahwin dengan Har ni masak-masak."
"Nak fikir apa lagi? Har tu tak ada cacat celanya. Bukan bonda nak agungkan cucu sendiri, tapi Har tu memang terbaik dekat mata bonda."
Sekarang Margina faham. Har yang nenda sebut-sebut itu cucu Nenda Dasimah. Cuma tidak pasti cucu yang mana satu. Kalau Nenda Dasimah bawa gambar boleh juga Margina lihat.
"Saya tahu bonda, tapi saya pun mesti tanya pendapat Margina. Yang nak hidup dengan Har nanti Margina, bukan kita. Takkanlah kita nak paksa Margina kahwin dan tiga bulan selepas tu bercerai. Saya tak rela anak saya jadi janda sebab kahwin tanpa cinta."
Sorotan Nenda Dasimah mencari anak mata Margina. Sorotan yang membuat Margina beku seperti bongkah ais.
"Margina tak suka Har?"
Margina memandang seketika pada Mak Cik Khalijah. Wanita itu memberi sorotan merayu supaya Margina tidak berkasar dengan Nenda Dasimah.
"Bukan tak suka, nenda. Cuma..."
"Dengar tak, Adenan? Margina bukan tak suka, dia suka Har tu sebenarnya," potong Nenda Dasimah. Sempat membuat Margina nyaris tercekik air liur sendiri.
Wajah ayah nampak resah. Wajah Margina berkali ganda resahnya. Tidak pernah terfikir oleh otak Margina dia bakal dihimpit dalam masalah begini.
"Margina baru habis belajar, baru dapat degree. Takkan dia terus nak kahwin? Berilah Margina peluang bekerja dulu."
Margina sokong seratus peratus cakap Pak Cik Adenan. Margina mahu bekerja dahulu, bebas seperti burung layang-layang. Kahwin belum ada dalam fikiran Margina lagi.
"Har lebih daripada mampu nak sara Margina. Kalau Har nak sara empat isteri pun dia mampu."
Amboi Nenda Dasimah ni, sejak tadi mulutnya tidak lepas memuji Har. Serba-serbi Har nampak sempurna di matanya.
"Saya tahu Har mampu, bonda. Saya tahu Har boleh jaga Margina dengan baik. Saya pak cik Har, saya pun suka kalau dia jadi menantu saya. Tapi macam mana saya suka pun, saya mesti tanya Margina juga. Saya tak nak paksa Margina."
Wajah manis Nenda Dasimah berubah kelat. Tidak senang mendengar semua ayat negatif Pak Cik Adenan.
"Bonda dah pilih calon suami Margina. Macam mana pun, Har dengan Margina mesti jadi. Adenan dengan Khalijah dah pernah kecewakan bonda sekali. Bonda harap bonda takkan dikecewakan buat kali kedua."
Itu dia ayat ugutan secara halus Nenda Dasimah. Ayat ugutan begini yang menaikkan tekanan darah Pak Cik Adenan.
"Bonda tak ada hak nak tentukan siapa jodoh Margina. Margina anak saya."
"Bonda ada hak sebaik saja Adenan kahwin dengan Khalijah. Margina cucu nenda juga."
"Cucu tiri, bukan cucu kandung. Bonda tak berhak..."
"Cucu kandung atau tiri, tetap juga cucu bonda. Sebagai cucu, Margina mesti dengar cakap bonda."
Margina lihat urat leher Pak Cik Adenan mula timbul. Nafas lelaki tu juga turun naik dengan laju.
"Selama ni bonda tak pernah pedulikan kami. Kami hidup atau mati, bonda tak pernah kisah. Kenapa sekarang bonda ubah fikiran?"
Hanya kesepian yang menjawab soalan Pak Cik Adenan. Nenda Dasimah memilih memejamkan mata, menenangkan hati sendiri sebelum kembali bersuara.
"Sebab air yang dicincang takkan putus, Adenan. Macam mana bonda marah Adenan sekalipun, Adenan tetap dalam hati bonda. Adenan tetap anak lelaki bonda."
Bohong besar sangatlah kalau Pak Cik Adenan tidak terharu mendengar cakap Nenda Dasimah. Cuma bila memikirkan permintaan Nenda Dasimah, Pak Cik Adenan mengeluh berat.
"Bonda tak nak berbalah dengan kamu, Adenan. Tujuan bonda ke sini sebab nak ambil kisah fasal kamu sekeluarga. Bonda nak rapatkan lagi hubungan kita dengan serahkan Margina pada Har."
"Banyak cara lagi yang boleh diguna pakai untuk rapatkan hubungan. Saya tak nak Margina lalui apa kami adik beradik lalui."
Wajah kelat Nenda Dasimah mulai merah, petanda orang tua itu sedang marah.
"Bonda datang ke rumah kamu dengan niat baik, Adenan. Bonda tak sangka niat baik bonda kamu campak macam tu saja."
"Bonda jangan salah faham. Saya tak maksudkan macam tu. Saya gembira bonda datang ke sini. Tapi soal jodoh Margina dengan Har rasanya kita perlu perhalusi lagi."
Nenda Dasimah diam lagi. Lebih mengejutkan bila dia mencapai beg tangannya lalu berdiri. Pujukan Pak Cik Adenan selepas itu tidak Nenda Dasimah layan.
"Margina."
Panggilan Nenda Dasimah tidak lagi mesra, tapi terdengar sangat serius.
"Jangan takut dengan nenda. Nenda bukan marah Margina," pujuk Nenda Dasimah kemudian bersama suara yang mulai kendur. Sedar mungkin kalau Margina menjauhkan diri.
"Margina takkan hampakan nenda, kan?"
Soalan Nenda Dasimah seperti hukuman pancung.
"Nenda harap nenda dapat jawapan yang sedap di dengar. Nenda tunggu jawapan Margina," ujar Nenda Dasimah lalu kembali meraih tubuh Margina dalam pelukannya.
Margina menelan liur. Tidak berhenti dia menelan liur. Nenda Dasimah telah memberi kata dua. Kata dua ini kalau Margina pilih mana-mana pun, tetap juga makan diri.
"Har tu lelaki baik. Dia jenis lelaki penyayang. Margina takkan menyesal jadi isteri dia," bisik Nenda Dasimah sebelum pelukannya dilonggarkan. Segaris senyuman manis diberikan pada Margina. Kemudian kedua belah pipi Margina dicium.
Nenda Dasimah pulang selepas itu. Meninggalkan Margina dengan 'selonggok masalah'. 'Selonggok masalah' ini perlu ditangani dengan teliti, sebab 'selonggok masalah' tersebut berstatus cucu kesayangan Nenda Dasimah.

- Ber.Sam.Bung -