Thursday 27 September 2018

ERWAN & HELENA - Episod 10

Hari-hari yang dilalui Helena masih sama. Masih hitam tanpa warna putih. Bezanya sekarang, Helena tidak menangis lagi dan Ilyas mungkin juga sudah bosan menunggunya meletakkan jawatan. Sudah 60 hari berlalu. Kali terakhir dia dan Ilyas berinteraksi hanya melalui aplikasi Skype.
Ilyas benar-benar tidak menegurnya lagi. Memandang ke arahnya pun tidak. Ilyas telah menganggapnya seperti virus bahaya yang perlu dijauhi. Kalau kebetulan Helena berada di pantri, jangan harap Ilyas akan jejak kaki ke sana.
Kadang-kadang apabila Helena menghampiri sekelompok rakan sekerja yang sedang berkumpul, perbualan mereka terhenti serta-merta. Helena tahu, pasti ceritanya yang dijaja oleh kelompok tersebut.
"Kesian. Dia lupa, pipit mesti terbang dengan pipit. Kalau berangan nak terbang bersama dengan enggang, memang tak kesampaianlah jawabnya."
Patah dua hati Helena mendengar sindiran halus tersebut. Sedari awal lagi Helena sedar, dunianya dengan dunia Ilyas jauh berbeza. Sewaktu Ilyas dalam proses memikatnya dulu, Helena telah mengingatkan lelaki itu berkali-kali tentang tembok besar yang memisahkan mereka berdua.
Ilyas yang beria-ia. Ilyas yang penuh semangat memikatnya sehingga hatinya cair seperti aiskrim yang diletakkan di bawah terik matahari. Kenapa setelah Helena menyerahkan segenap hatinya, dia ditinggalkan pula? Ilyas jahat. Ilyas hutang penjelasan dengan Helena.
"Nasib baik Ilyas cepat sedar. Aku dah cakap dah masa mereka mula-mula bercinta dulu. Helena tu pakai topeng. Depan Ilyas pijak semut pun tak mati. Tapi belakang Ilyas, dia kuras habis-habisan harta Ilyas. Helena tu gold digger. Tapi dia lupa, Ilyas tak sebodoh yang dia sangka."
"Betul ke? Tak sangka... muka baik, tapi hati busuk."
"Betul, dia tu memang mata duitan. Dia mana mampu nak sekolahkan adik-adik dia. Berapa sangatlah gaji kerani kelas bawahan macam dia tu? Setakat sijil SPM, tapi nak bercinta dengan pemegang degree, memang bermimpi di siang hari! Aku harap adik-adik dia fail. Maklumlah, kakak dia guna duit haram untuk sekolahkan mereka."
Mereka ketawa bersama-sama.
"Kalau aku, dah lama aku angkat kaki dari sini. Tapi sebab dia jenis muka tembok, dia masih lagi fikir Ilyas akan balik semula dekat dia. Tak tahu bodoh dia tahap mana? Bodoh orang gila pun tak teruk macam bodoh dia."
Sindiran mereka semakin tajam dan busuk.
"Orang macam dia tu, mana nak lepaskan sumber kewangan dia, walaupun sumber kewangan dia, dah tak nak dia lagi. Dia mana boleh survive."
Tawa mereka semua bergema lagi.
"Aku syak, ayah dengan mak dia pun perangai sama macam dia. Kuah takkan tumpah kalau bukan ke nasi. Perangai tak malu dia ni menurun dari mak dengan ayah dia."
Langkah Helena terhenti. Nafasnya turun naik. Telinganya sudah cukup berdesing. Helena terima dengan hati terbuka kalau dirinya yang menjadi mangsa sindiran, tetapi bukan ayah dan arwah emaknya. Mereka harta Helena yang tidak terhitung nilainya.
Perlahan-lahan Helena memusingkan tubuhnya dan mula meneliti setiap raut wajah yang berada dalam kelompok tersebut. Kelompok yang seramai lima orang. Inilah kelompok yang bergembira setelah Ilyas meninggalkannya.
"Saya tak pernah kuras satu sen pun harta Ilyas," tegas Helena.
Serentak dengan itu, matanya menangkap figura Ilyas. Lelaki itu sedang menyandarkan tubuh dengan kedua-dua belah matanya terpejam rapat. Jadi, sejak tadi lelaki itu jadi pendengar dan langsung tidak membela kebenaran? Diam Ilyas seperti membenarkan semua tuduhan mereka. Kalau pun Ilyas membencinya, Ilyas sepatutnya menolong memberitahu perkara sebenar.
"Ada ke orang yang dah baling batu, lepas tu nak mengaku? Nasiblah Ilyas sedar cepat. Kalau tak, Ilyas boleh jatuh miskin," ujar Raisha tenang. Dia merupakan ketua kelompok tersebut. Sejak hari pertama Helena dan Ilyas bercinta lagi, Raisha sudah menunjukkan rasa bencinya pada Helena.
"Kalau saya kat tempat awak, saya dah berhenti. Tapi muka awak tebal, tak pernah nak rasa malu. Biarpun satu ofis tahu awak buat jahat pada Ilyas, awak masih berlagak macam awak tu suci sangat dan tak bersalah."
Lirikan mata Helena singgah pada Ilyas. Sesaat pandangan mereka bertaut. Sesaat Helena melihat kesedihan pada bola mata tersebut. Dua saat kemudian, tiada lagi kesedihan, berganti pandangan tanpa rasa.
Tiga saat selepas itu, Ilyas beredar dari ruang tersebut. Meninggalkan Helena dibuli terus oleh kelompok yang jelas-jelas mahu mengusirnya dari syarikat ini.
Petang itu, setelah waktu kerjanya tamat, Helena bergegas keluar. Langkah kakinya menghala ke arah Cafe Lavender. Dia sudah berkhidmat di sini hampir setahun. Bekerja dari pukul 6.00 petang sehingga 11.00 malam.

Selalunya, dia akan sampai di rumah selepas pukul 12
Selalunya, dia akan sampai di rumah selepas pukul 12.00 tengah malam. Penat bukan isu lagi. Helena rela asalkan adik-adiknya dapat memegang segulung ijazah. Helena takkan membiarkan adik-adiknya memiliki nasib sama sepertinya.
"Helena!"
Helena mengangkat muka. Tangannya dilambaikan ke arah Tarmizi. Tarmizi itu kawan sekerja Helena yang paling rapat di sini. Disebabkan hubungan akrab mereka, Ilyas pernah cemburu.
Itu cerita dulu. Cerita sekarang, Helena bercinta dengan Tarmizi sekali pun, takkan memberi apa-apa kesan pada Ilyas.
Ilyas lagi. Sepatutnya dia tidak berfikir tentang Ilyas lagi.
"Hari ni kita dapat reservation daripada anak kenamaan."
"Okey."
"Okey saja? Helena, kau sepatutnya ambil peluang ni dan buktikan pada Ilyas bongok tu yang kau boleh dapat lelaki lebih baik dan lebih kaya daripada dia."
Itu adalah perkara terakhir yang Helena akan buat. Oh, salah. Itu adalah perkara yang takkan Helena buat.
"Fokus aku sekarang nak sekolahkan adik-adik aku dan pastikan dapur rumah aku tu berasap. Itu saja. Hal bercinta aku dah letak ke tepi. Belum masanya aku bercinta."
"Helena, takkan sebab Ilyas tu..."
"Sekarang waktu kerja. Kalau manager nampak kita curi tulang, nanti gaji kena potong. Aku tak nak gaji aku kena potong. Gaji aku tak besar mana. Kau lain, gaji ribu-raban."
"Aku boleh pinjamkan kau wang, kalau betul kau perlukan wang. Kau kawan aku. Apa gunanya kawan kalau tak saling membantu? Dulu sewaktu aku dalam kesusahan, kau pun tolong aku."
"Thank you, Tarmizi. Kaulah kawan aku dunia dan akhirat. Tapi buat masa sekarang, aku mampu lagi tanggung family aku. Tulang empat kerat dengan otak aku ni larat lagi bekerja. Kalau dah betul terdesak, baru aku cari kau."
"Kawan dunia dan akhirat? Apa kata kau jadi isteri aku dunia dan akhirat terus? Kau dah kenal aku luar dan dalam. Aku pun dah kenal semua perangai buruk kau. Aku rasa, mesti kita bahagia sampai akhir hayat."
Besar kedua-dua belah mata Helena. Besar juga tawa Tarmizi.
"Helena sayang, aku ni lelaki sejati. Cukup sifat. Mestilah aku nak ada isteri."
"Tak naklah. Nanti anak-anak aku ikut perangai lembut kau."
Mengekek Tarmizi mendengar jawapan balas Helena. Dia masih belum puas mengusik Helena.
"Memandangkan kau kawan baik aku dan kau pun dah single, why not..."
"Why not kita ambil order customer sekarang. Nampak tu, ada dua meja tengah tunggu. Kau ambil yang sebelah kanan, aku ambil customer yang sebelah kiri."
Tarmizi ketawa lagi. Suka sangat dia melihat muka terkejut dan merah padam Helena. Meskipun Helena itu teman akrabnya, Helena tetap juga tersipu-sipu kalau diusik.
"Helena."
"Apa lagi?"
"I love you."
Semakin besar bukaan mata Helena. Bibirnya bergerak-gerak untuk mengeluarkan ayat balasan, namun tidak kesampaian setelah Tarmizi susup-sasap melarikan diri ke arah pelanggan yang berada di meja sebelah kanan.
Menghampiri 40 minit kemudian, pelanggan yang berada di sebelah kiri itu bangun setelah selesai membuat bayaran. Mereka berpuas hati dengan layanan staf Cafe Lavender dan hidangan yang disediakan.
Baru saja Helena mahu membersihkan meja tersebut, pintu masuk Cafe Lavender telah dibuka. Serta-merta Helena mengulum senyum dan bersedia untuk menyambut pelanggan baru tersebut.
Senyuman Helena mati. Gerak tubuhnya kaku. Nafasnya juga seperti telah berhenti. Nun di pintu masuk sana, tubuh tinggi Ilyas sedang berdiri. Mata Ilyas tepat memandang ke arah Helena. Sekejap saja sebelum perhatiannya beralih pada temannya di sisi.
Teman Ilyas seorang perempuan. Jujur, dia sangat cantik. Rambutnya didandan dengan rapi, solekannya memukau, malah blaus dan skirt yang membaluti tubuhnya cukup untuk membuat lelaki lain mengerling dua kali. Mungkin tiga kali.
Helena menegakkan tubuh. Dia perlu kuat. Bibirnya dipaksa kembali melukis senyuman. Macam mana remuk hatinya, dia mesti ingat yang dia telah pun membuka lembaran baru. Dengan siapa pun Ilyas keluar, atau dengan siapa pun Ilyas bercinta, bukan lagi satu isu untuk Helena.
"Dia buat apa dekat sini?" bisik Tarmizi dengan raut muka menyampah. Sejak tadi, matanya tidak lepas meneliti Erwan dan kumpulannya.
"Besar kemungkinan dia nak makan."
"Bukan sebab nak jumpa kau?"
Kalau Ilyas ke sini mahu menemuinya, dia takkan berkepit dengan seorang wanita cantik untuk ke sini. Helena rasa, Ilyas ke sini mahu menunjuk teman wanitanya yang baru.
"Selamat datang," sebut Helena sebelum bergerak meninggalkan Tarmizi. Ilyas telah memulakan wayangnya. Helena perlu mengikut rentak kaki lelaki itu. Dia perlu menjadi pelakon setanding penerima anugerah Oscar.
"Saya dah buat reservation. Atas nama Erwan."
Helena mengerling sekilas pada lelaki yang sudah pun mengambil tempat untuk berada di sisi Ilyas. Kemudian matanya beralih pada perempuan cantik di sebelah Ilyas sebelum berakhir pada Ilyas sendiri. Ilyas melarikan pandangan. Ilyas tidak sudi lagi memandang matanya.
Rasanya, senyuman Helena semakin payah untuk dipertahankan. Helena mahu menangis sekarang. Bibirnya bergetar. Matanya panas.
"Sila ikut saya." Helena masih perlu bersikap profesional. Jari tangannya sempat menyeka hujung matanya, sebelum dia melilau mencari meja yang diletakkan plat reserved. Dan dia menemuinya di bahagian kiri Cafe Lavender, berdekatan dengan dinding kaca.
"Helena," panggil Tarmizi. Dalam keadaan terkocoh-kocoh dia menghampiri Helena.
"Bukan meja ni," sebutnya kemudian setelah berjaya berdiri di sebelah Helena.
"Kau masuk ke dalam, Helena. Biar aku yang handle Ilyas bongok dengan kawan-kawan dia ni. Mereka tak layak dapat layanan terbaik kau. Kau patut simbah muka mereka semua."
Helena dapat mendengar dengan jelas suara orang berdeham. Suara lelaki yang mula-mula menegur Helena tadi. Helena sudah lupa siapa nama lelaki tersebut. Helena yakin, lelaki itu mendengar bisikan Tarmizi. Raut mukanya nampak lain.
"Did he just called Ilyas bongokLepas tu dia nak simbah muka kita semua? Erwan, kita tak sepatutnya ke sini. Cadangan tak siuman awak tak berbaloi. They're being rude and I don't like it. Lebih baik kita beredar sekarang, sebelum saya yang simbah muka dia."
Ya Tuhan, longlai lutut Helena mendengar ayat-ayat yang dikeluarkan oleh perempuan yang baru saja mata Helena nampak. Sekarang baru Helena sedar, kumpulan Ilyas ini berjumlah empat orang. Dua lelaki dan dua perempuan. Mereka datang secara berpasangan.
"No. Saya nak kita makan dekat sini."
"Awak degil, Erwan. Percayalah, tak ada perkara baik yang akan berlaku kalau kita makan dekat sini. We can just go to other cafe. Lagipun kafe ni panas dan nampak kotor."
Nah, itu suara Ilyas. Nampaknya, Ilyas sengaja menekankan perkataan 'kotor'. Helena tahu, Ilyas sedang membidasnya.
"No. Kita makan dekat sini. Where's our table?" putus lelaki yang Ilyas gelar sebagai Erwan. Dia memandang Ilyas sebelum berpaling pada Tarmizi dan Helena.
Tarmizi menolak Helena ke tepi dan selepas itu, dia sendiri membawa pelanggan seramai empat orang itu ke meja mereka yang sebenar. Tarmizi juga yang mengambil pesanan mereka semua. Dan Tarmizi tidak memohon maaf pada mereka. Kadang-kadang Helena kagum dengan keyakinan tinggi yang dimiliki oleh Tarmizi.
Helena hanya berdiri di tepi kaunter. Berdiri sejak tadi sambil memandang ke arah Ilyas. Dia tidak mahu memandang ke sana, namun matanya selalu degil. Gelak tawa Ilyas bersama perempuan yang berada di sebelahnya membuatkan Helena rasa mahu mati.
Baru dua bulan, Ilyas sudah ada penggantinya. Belum pun sembuh luka hati Helena, Ilyas sudah ada cinta yang baru. Benarlah kata Ilyas, dia menerima Helena atas dasar kasihan.
Helena mengeluh. Sekali lagi dia cuba untuk memandang ke arah Ilyas. Namun kali ini pandangannya dicuri oleh lelaki yang digelar Erwan. Lelaki itu memandangnya tanpa berkelip. Dia seperti sedang cuba merungkai apa yang berada dalam kepala Helena.

"Hantar minuman ni dekat meja sana     
"Hantar minuman ni dekat meja sana. Cepat sikit. Kalau lambat, nanti dia bagi review teruk dekat kafe ni."
Bahu Helena dicuit. Serta-merta Helena mengalihkan pandangan. Dapat Helena rasakan, degupan jantungnya tidak seperti selalu.
"Helena, saya nak awak fokus. Awak macam tak dengar apa saya cakap."
Helena mengangkat muka memandang Encik Latif. Dia memohon maaf sebelum satu dulang berisi tiga gelas minuman diserahkan padanya.
"Hantar dekat meja mana?"
"Meja nombor lima."
Mata Helena bukan mencari meja nombor lima, sebaliknya mencari Erwan. Lelaki itu tidak memandang ke arahnya lagi. Lelaki itu tenggelam dalam perbualan bersama wanita yang berada di sebelahnya.
"Awak dengar tak saya cakap apa tadi?"
"Hantar ke meja nombor lima," kata Helena. Kali ini, matanya menemui meja nombor lima. Dia mengatur langkah tenang biarpun hakikatnya, sebelum sampai ke meja nombor lima, dia perlu melalui meja yang menempatkan Ilyas dan kawan-kawannya. Berat keluhan Helena.
Dia masih perlu menyelesaikan tugasannya. Dia pekerja di sini dan pekerja perlu mendengar arahan. Arahan yang diterima jelas. Dia perlu ke meja nombor lima untuk menghantar minuman pelanggan di sana.
"Aku tunggu kad jemputan kahwin kau dengan Sherry. Jangan bertunang lama sangat, Ilyas. Nanti basi."
Langkah Helena terhenti. Berdirinya tidak stabil. Lututnya goyah.
Helena tidak tahu siapa yang menyebut perkataan tunang. Namun Helena yakin, kawan Ilyas memang menyebut Ilyas sudah bertunang.
Koyak hati Helena mendengar ayat tersebut. Dahulu, Ilyas pernah berjanji, mereka akan bertunang pada pertengahan tahun hadapan. Nampaknya, janji Ilyas takkan terkabul dan Ilyas sudah pergi jauh dari sisi Helena.
Longlai langkah Helena. Panas lagi tubir matanya. Dan tawa Ilyas bersama tunangnya, hanya membuat Helena semakin tidak pandai melangkah. Lututnya seperti tidak mampu lagi untuk menampung tubuhnya sendiri.
Selepas itu, dia mendengar jeritan marah. Jeritan marah daripada Ilyas. Kemudian bunyi cawan dan pinggan berlaga sebelum pecah. Terakhir sekali Helena menerima sumpah seranah Ilyas. Ketahuilah, Helena terlalu lemah ketika melalui meja Ilyas dan kawan-kawannya. Lemah sehingga dulang yang berisi minuman jatuh lalu mengenai tubuh tunang Ilyas.
"Ma... maaf. Saya tak sengaja. Saya betul-betul tak sengaja."
"Pergi mampus dengan maaf awak. Awak memang tak puas hati dengan saya, kan? Sebab awak tak puas hati, awak kenakan tunang saya. Awak sengaja tumpahkan air dekat dia."
Tuduhan Ilyas tidak berasas. Helena menafikan dengan gelengan kepala. Sumpah, dia tidak ada niat langsung hendak mengenakan Ilyas atau tunangnya. Segala yang berlaku tadi di luar kawalan. Kalau masa dapat diputar, dia pasti lebih berhati-hati.
"Dia tak sengaja, Ilyas. Lagipun saya okey."
Buat pertama kali, Helena mendengar suara tunang Ilyas. Lembut suaranya, selembut sorotan matanya.
"No. Awak tak okey langsung!"
Pandangan Ilyas kembali terarah pada Helena. Pandangan tajam yang boleh membunuh Helena.
"I told you over and over again... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kenapa susah sangat awak nak terima kenyataan tu? Apa masalah awak sebenarnya ni? Kenapa awak nak berdendam dengan saya?"
Helena tidak sempat memberikan penjelasan. Ini kerana mukanya telah disimbah dengan air. Bukan sekali, tetapi dua kali.

Helena menyapu wajahnya
Helena menyapu wajahnya. Pandangannya terarah pada perempuan yang mungkin saja kawan tunang Ilyas. Dia yang menyimbah dua gelas air tadi pada Helena. Pandangan matanya menakutkan Helena.
"You're stupid and disgusting!" kata kawan tunang Ilyas.
"Calm down, Mira. Jangan melenting tak tentu fasal. Awak dengan Ilyas sama saja."
"Melenting tak tentu fasal? Erwan, awak sendiri pun nampak apa perempuan bodoh ni dah buat. Dia sengaja tumpahkan air dekat Sherry. Awak minta saya dengan Sherry ke sini sebab nak kenal dia. Okey, saya dah kenal dia. Saya dah cukup kenal dia sekarang dan saya yakin, pendapat Sherry sama dengan saya. Perangai dia busuk!"
Helena melangkah setapak ke belakang. Suasana café jadi kecoh. Semua pasang mata kini tertumpu ke arahnya.
"Saya dah tak nak makan dekat kafe ni lagi. Kita makan tempat lain," kawan tunang Ilyas lagi selepas itu. Dia telah menarik tangan Sherina, namun sempat ditahan oleh Erwan. Erwan masih lagi dengan sikap diplomasinya.
"Please Mira... Jangan buat hal. Hal kecil, awak besarkan.
"Hal kecil? Helo, Erwan... Awak buta ke apa? Atau awak buat-buat tak nampak? Saya cadangkan kita tinggalkan tempat ni sekarang."
"Mira betul. Tempat ni tak sesuai untuk kita berempat." Ilyas yang memang bencikan Helena, awal-awal lagi telah bersetuju dengan cadangan Mira.
Encik Latiff, pengurus Cafe Lavender berusaha untuk memujuk Ilyas dan kawan-kawannya. Dia berhasil memujuk, namun diberikan kata dua.
"Kalau awak nak kami makan dekat sini, pecat dia serta-merta," sebut kawan tunang Ilyas. Jari telunjuknya tepat terarah pada Helena. Bibirnya mengorak senyuman kemenangan. Dia sudah tidak peduli lagi pada bantahan Erwan di sisinya. Dia telah memberikan Erwan peluang dengan bersetuju ke sini, dan peluang itu Helena sendiri yang leburkan.
Helena mengeringkan tangannya menggunakan apron yang sedang dipakainya. Kemudian dia tunduk memberi hormat pada Encik Latiff. Raut wajah Encik Latiff memaksa Helena membuat keputusan untuk lelaki tersebut.
"Terima kasih, Encik Latiff sebab beri saya peluang bekerja dekat sini selama setahun ni," luah Helena setenang yang mungkin.
Tarmizi cuba menghalang Helena. Dia memujuk Helena menggunakan segalanya skilnya, namun dia gagal setelah Helena nekad dengan keputusan untuk berhenti.
Setelah itu Helena melangkah menuju ke ruang rehat pekerja. Apronnya ditanggalkan. Bajunya juga ditukar. Cukuplah drama hari ini. Esok, Helena usahakan untuk mencari kerja sambilan di tempat yang lain.
Di sebalik kekecohan hari ini, air mata Helena tidak jatuh, sekadar bergenang. Air matanya tidak menjadi tatapan mata Ilyas dan kawan-kawannya. Helena sudah belajar menjadi perempuan yang kuat.
"Hei."
Helena berpaling. Dia terkejut melihat Erwan berada di belakangnya. Erwan nampak serba salah.
"Awak tak boleh masuk ke sini. Ruangan ni dikhaskan untuk pekerja."
"I know." Erwan membetulkan caranya berdiri. Melihat Helena sekarang, seperti melihat emaknya enam belas tahun yang lalu. Emaknya mengalami pengalaman yang sama dengan Helena.
"Kalau awak tahu, kenapa awak masuk juga?"
Soalannya mudah, tetapi Erwan gagal memberi jawapan. Akhirnya Helena memusingkan tubuh dan kembali mengemas lokernya.
Hampir seminit berlalu, Erwan masih berada di belakangnya. Helena keresahan. Dia mengeluh dan kemudian kembali memusingkan tubuhnya untuk berdepan dengan Erwan.
"Awak patut keluar sekarang. Awak tak dibenarkan berada di sini."
"Encik Latiff benarkan saya masuk," potong Erwan. Dia menghampiri Helena, sehingga tinggal jarak selangkah yang memisahkan mereka berdua.
"Saya minta maaf, Helena. Saya pun minta maaf bagi pihak Ilyas dan Mira. Kami menyusahkan awak hari ini."
Jantung Helena seperti telah luruh. Sebelum sempat dia mengutip jantungnya yang luruh, Erwan telah meninggalkannya. 

°°°×××°°°
Nota PK: 
Versi novel dengan 51 episod, lengkap dengan prolog & epilog yang baru dan dikemaskan dengan bonus Erwan & Helena.
Pre-Order akan dibuka bermula 01/10/2018 - 14/10/2018. Stok terhad dan dijual secara online sahaja. First come first serve.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh whatsapp ke +60 10-449 7835. Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!

 Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!     

1 comment: