Monday 24 September 2018

ERWAN & HELENA - Episod 02

MIRA melihat dinding, melihat gambarnya dan melihat apa sahaja objek yang berada di dalam bilik tidurnya. Nafasnya berombak tenang. Hampir setiap masa dia dihantui bayangan wajah Erwan. Ini kali pertama Mira rasa dipenjara dan lemah. Dia hanya mahukan Erwan wujud di depan matanya sekarang.
Setitis air matanya gugur. Sekarang Mira faham maksud bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Dia menyukai Erwan, dan Erwan meremehkan rasa hatinya.
Selama ini, sia yang sering meremehkan hati lelaki, dan sekarang... karma sedang menuntut bela. Mira kalah pada Erwan. Dia tunduk pada pesona Erwan.
Biarpun perkenalan mereka tak bemula dengan baik, tetapi selepas itu, hanya lelaki itu yang berada di dalam fikirannya. Dia telah menghubungi Erwan secara email, tetapi lelaki itu terlalu dingin. Emailnya dibiarkan tidak bersambut.
Jatuh lagi air mata Mira. Mira tidak suka dengan keadaan ini. Menangis sebab kalah dan tersungkur.
"Mira," emaknya memanggil, diiringi dengan ketukan di pintu.
"Ada apa mak?" suara ditahan supaya tidak ketara dia menangis.
"Makan malam dah siap."
"Saya kenyang lagi. Mak makanlah."
"Mira makan apa? Mak tak nampak Mira makan dari semalam."
Mira makan hati. Makan rindunya pada Erwan. Namun satu pun tak berjaya menenangkan hatinya. Dia semakin emosional dan mungkin tak berapa lama lagi, dia boleh gila.
"Mira tak rasa nak makan sekarang. Mira belum ada selera."
"Mira, ada apa ni? Mak tengok Mira lain sangat sejak dua tiga hari ni. Mira ada masalah ke? Kalau ada apa, Mira boleh cerita pada mak."
"Mira okey, mak. Mira tak apa-apa. Mira Cuma nak bersendirian."
Jelas terdengar emaknya mengeluh. Emaknya masih mahu berkeras, dan Mira menoktahkannya dengan satu janji.
"Sekejap lagi Mira turun makan. Mira janji."
"Mira dah janji, jangan tak turun makan pula. Kalau tak, mak ambil kunci pendua dan buka bilik Mira."
"Mira janji, mak."
Akhirnya, emaknya meninggalkan ruang di depan biliknya. Derap kaki emak semakin jauh.

Mira menyeka air matanya     
Mira menyeka air matanya. Dia menyentuh dadanya yang terasa sakit. Tidak pernah diduga, cintanya yang tidak dibalas, boleh membuatnya menderita seperti ini.
Sepuluh minit berkeluh kesah dan menangis, Mira dikejutkan dengan panggilan telefon Sherina. Sebelum dia menjawab panggilan tersebut, matanya meneliti inbox emailnya. Masih tidak ada balasan daripada Erwan.
Erwan jahat. Kalau pun dia tidak sudi menerima Mira, sepatutnya dia memberi penjelasan. Bukan membiarkannya tergantung tanpa jawapan.
Menderu lagi air mata Mira. Kerjanya hanya menangis, lambang dia lemah dan tidak kuat seperti yang disangkanya selama ni.
"Sherry," sebut Mira dengan suara yang mendayu. Dia teresak di hujung suaranya. Pada Sherina, dia tidak malu untuk menangis seperti anak kecil.
"Kenapa ni, Mira? Mak kau telefon aku tadi. Dia tanya apa dah berlaku sampai kau dah lain sangat. Dia kata kau tak makan sejak semalam."
"Aku tak tahu kenapa keadaan boleh jadi teruk macam ni. Aku tak sepatutnya macam ni. Dia tu bukan siapa-siapa."
"Mira, kau mengandung ke?" aju Sherina dengan debaran yang cukup jelas di dada. Dia tahu Mira dan Amir pernah bersama. Mira sendiri yang membuka cerita. Mira ketakutan ketika itu. Amir mengugut Mira dengan menyebut tidur bersama lambang cinta mereka sejati. Dan Sherina tidak tahu apa yang merasuk Mira, sehingga Mira tunduk pada kehendak Amir.
"Tak, Sherry. Aku tak mengandung. In fact, aku dah putus dengan Amir. Aku dengan dia dah tak ada hubungan."
Rasanya, Sherina sudah dapat menduga punca Mira berkabung dan mengunci diri.
"Mira, Amir tu bukan lelaki yang elok untuk kau. Kalau dia baik, dia takkan tinggalkan kau. Okey, kau pernah tidur dengan dia. Tapi kau dah insaf dan kau dah janji takkan buat lagi perkara tu."
"Dia tak tinggalkan aku, Sherry. Aku yang tinggalkan dia. Aku tak boleh terus dengan dia bila hati aku penuh dengan nama Erwan."
Sherina menelan liur. Apa yang lahir dari bibir Mira, bukan sesuatu yang dijangka oleh Sherina. Dia terdiam dan hampir kehilangan ayat.
"Kenapa nama Erwan boleh ada dekat sana?" Dia melontarkan soalan, biarpun dia sudah tahu jawapannya. Sebelum ini dia bergurau dengan menyebut Mira menyukai Erwan. Mana tahu gurauannya menjadi kenyataan.
"Aku tak tahu, Mira. Aku tak tahu. Sebaik saja kita balik dari resepsi Dylan dan Laura, aku dah macam ni. Aku dah tak boleh buat apa. Aku nak dia ada depan mata aku."
Parah penyakit cinta yang melanda Mira. Sherina serba-salah untuk memberi pendapat. Dia bukan tidak menyokong Mira dan Erwan bercinta, cuma dia rasa, dunia Mira terlalu berbeza dengan Erwan. Dia kenal Erwan. Erwan seorang lelaki gentleman dan Erwan sangat menjaga batasnya dengan wanita. Kalau dibandingkan dengan Mira, mereka seperti langit dengan bumi.
Atau mungkin, Erwan telah dikirim Tuhan, sebagai lelaki yang akan membimbing Mira ke jalan yang lebih lurus?
"Kau betul nak jumpa dia?"
Mira mengiyakan soalan Sherina dengan anggukan kepala.
"Aku nak sangat jumpa dia. Aku nak kepastian tentang apa yang aku rasa sekarang. Tapi dia tak nak jumpa aku."
"Kau dah berhubung dengan Erwan?"
Sekali lagi Mira menganggukkan kepalanya. Dia masih menangis seperti seorang isteri yang terpaksa melepaskan suaminya ke medan perang.
"Aku dah email dia dua kali, tapi satu pun dia tak balas. Dia benci aku, Sherry. Dia mungkin tahu aku bukan anak dara lagi, jadi dia ignore email aku." Mendayu-dayu suara Mira. Sherina dapat membayangkan keadaan Mira. Maskaranya luruh, mukanya basah, matanya merah dan sembab dan segala yang teruk, pasti dapat dilihat di muka Mira sekarang.
"Aku cuma nak kepastian. Aku takkan desak dia suka dengan aku, tapi dia langsung tak beri aku peluang."
Sherina kalah untuk memujuk Mira. Hati Mira patah dua.
"Ya, aku pernah buat dosa dengan Amir. Tapi sekali saja. Takkan Allah nak hukum aku seteruk ni? Aku dah taubat. Takkan sebab dosa aku tu, aku tak layak dapat penjelasan dari Erwan?"
Mira sedang menyalahkan Tuhan. Sherina tidak suka mendengarnya. Dia sendiri pernah runtuh ketika cintanya tidak kesampaian bersama Ilyas, tetapi dia lebih tenang menghadapi hari-hari gelapnya. Mira pula seperti telah hilang arah dan kalau tidak diselesaikan dengan baik, Mira mungkin melakukan perkara bukan-bukan, termasuk opsyen bunuh diri.

"Masalah kau tak besar mana, Mira
"Masalah kau tak besar mana, Mira. Kau sendiri besarkan masalah tu. Sepatutnya kau lebih tawakal dan selalu bermohon pada Allah, supaya Erwan didekatkan dengan kau."
"Kau rasa Allah akan dengar doa aku? Kau rasa dia akan hantar Erwan pada aku?"
"Allah mendengar setiap doa hambanya dalam dunia ni, asalkan ikhlas memohon."
"Aku tak yakin Allah akan..."
"Mira, aku akan tolong kau. Tapi aku harap, kau jangan letak harapan tinggi."
"Dia kawan kau. Kau mesti tahu macam mana nak pujuk dia."
Diam-diam Sherina mengeluh dari dalam hati. Kadang-kadang Mira ada satu perangai yang boleh membuat Sherina meluat.
"Mira, kau kena faham, soal hati ni aku tak boleh nak kawal. Aku tak boleh nak paksa Erwan suka kau."
Mira diam. Sherina tahu Mira tidak boleh menerima penjelasannya.
"Kalau lepas kau tolong dan dia pun tak nak aku, aku nak buat apa, Sherry? Aku tak boleh bayangkan dia tolak aku."
Mira seperti orang tidak ada otak. Mira terlalu taksub dan sikap yang begitu boleh membuat Erwan pergi jauh.
"Bawa bertenang. Fikir yang positif dulu. Kalau kau jadi dengan Erwan, kau mesti tinggalkan semua perangai lama kau. Aku nak kau setia pada yang satu. Jangan ulang lagi kesilapan lama kau dengan Amir."
"Please, tolong aku dapatkan Erwan. Aku sanggup buat apa saja, asalkan Erwan milik aku."
Kalaulah Sherina bukan kawan Mira, Sherina pasti menganggap Mira telah naik gila.
"Aku try call dia, dan slow talk dengan dia."
"Minta Erwan balas email aku. Aku tunggu email dia."
"Okey."
"Pastikan dia balas email aku." Mira mengingatkan Sherina tanpa jemu. Sekali lagi Mira mengeluh di dalam hati.
"In case kalau dia minta contact number kau, aku boleh beri pada dia?"
"Boleh, tapi..." Mira berfikir sejenak.
"Kau jual mahal, buat macam aku tak benarkan. Aku tak nak dia tahu, aku gilakan dia. Aku tak nak nampak terhegeh-hegeh. Aku nak dia yang gilakan aku."
Berkerut-kerut dahi Sherina mendengar permintaan Mira.
"Lagi satu Sherry, aku tak nak Erwan tahu fasal aku dengan Amir. Tolong rahsiakan."
"Janji dulu dengan aku yang kau takkan kecewakan Erwan." Pinta Sherina. Dia memerlukan janji Mira sebelum menyerahkan Erwan. Dia tidak mahu Erwan menerima nasib sama seperti bekas teman lelaki Mira yang sebelum-sebelum ini.
"Aku janji."
"Janji juga dengan aku, yang kau akan beritahu Erwan tentang hal kau dengan Amir."
Mira tidak memberi jawapan.
"Mira," desak Sherina.
"Aku janji, tapi itu pun kalau aku dengan dia bercinta."
"Deal."
°°°×××°°°
Nota PK: 
Versi novel dengan 51 episod, lengkap dengan prolog & epilog yang baru dan dikemaskan dengan bonus Erwan & Helena.
Pre-Order akan dibuka bermula 01/10/2018 - 14/10/2018. Stok terhad dan dijual secara online sahaja. First come first serve.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh whatsapp ke +60 10-449 7835. Kalau suka dengan cerita ni, jangan lupa tinggalkan komen dan vote!


     

No comments:

Post a Comment