Sunday 1 October 2017

Bab 02 ~ Kerinduan


HAJAR mengambil tempat duduk bertentangan dengan bekas emak mertuanya. Tuhan saja yang tahu betapa lajunya degupan jantung Hajar. Kalau tadi hal Dani yang bermain dalam fikiran Hajar, sekarang berbaur dengan hal Aliff. Kalau Mak Cik Arifah minta Hajar pulangkan Aliff, menangis tak berlagulah Hajar.

"Mak nak cakap fasal Hajar."

Bukan hal Dani dan Aliff yang bekas emak mertuanya hendak bincangkan. Oh, leganya hati Hajar.

"Mak risau tengok Hajar."

Ada senyuman yang Hajar lemparkan untuk Mak Cik Arifah. Semoga senyuman Hajar meredakan sedikit risau jiwa bekas emak mertuanya itu.

"Saya sihat, mak. Saya gembira dengan hidup saya. Tak ada apa yang mak perlu risaukan."

Terdengar Mak Cik Arifah mengeluh. Sugul pada air mukanya jelas kelihatan.

"Mak ni tak ubah macam tengah dera Hajar."

"Mak, kenapa cakap macam tu? Hajar tak pernah rasa didera atau terdera. Hajar rasa sangat bahagia dengan hidup Hajar sekarang."

"Hajar muda lagi. Hajar boleh cari pengganti arwah Fadhil."

Rupa-rupanya, perkara ini yang merunsingkan hati bekas emak mertuanya. Hajar tidak kisah hidup dengan gelaran janda. Hajar ada Aliff sekarang. Dengan adanya Aliff di sisi Hajar, hidup Hajar sudah lengkap. Tidak ada kurangnya lagi. Hajar boleh jadi mak dan pada masa sama jadi ayah pada Aliff.

"Kadang-kadang mak rasa bersalah sebab biarkan Hajar jaga Aliff. Mak risau sebab Aliff, Hajar susah nak cari pengganti arwah Fadhil."

"Mak, kalau saya nak cari pengganti arwah abang Fadhil, saya cari yang sanggup terima saya dengan Aliff. Tapi bukan dalam masa terdekat ni. Hati saya tak terdetik pun nak kahwin semula. Saya sayangkan arwah abang Fadhil. Lagipun kubur arwah abang Fadhil merah sangat lagi."

Hajar berhenti sejenak. Dia bangun lalu duduk di sisi bekas emak mertuanya. Kemudian jari tangan bekas emak mertuanya digenggam erat-erat.

"Saya tak pernah rasa bersyukur sangat bila saya jadi isteri arwah abang Fadhil. Sebelum saya jumpa arwah abang Fadhil, hidup saya kosong dan tak ada makna. Arwah abang Fadhil banyak ajar Hajar. Dia sedarkan Hajar. Dia buka mata hati Hajar yang selama ni tertutup rapat."

Nampak berkaca pandangan Mak Cik Arifah. Dia membalas genggaman tangan Hajar. Kepala ikut dianggukkan berulang kali.

"Mak minta maaf. Anak mak jadi punca Hajar jadi janda."

"Ya Allah mak, mak cakap apa ni?"

"Kalaulah Hajar tak kahwin dengan arwah Fadhil, Hajar takkan susah."

Hajar melonggarkan pelukan bekas emak mertuanya. Kemudian emosi bekas emak mertuanya yang terganggu cuba untuk ditenangkan semula. 

"Tak ada apa yang susah pun, mak. Kalau mak nak tahu, Hajar rasa lagi tenang berbanding sebelum Hajar kahwin dengan arwah abang Fadhil."

​"Hajar muda lagi. Mak tak sanggup nak tengok Hajar berterusan jadi janda anak satu. Sepatutnya Hajar dah mula cari seorang lelaki yang sesuai sebagai peneman hidup."

Hajar ketawa mendengarnya.

"Mak, Hajar tak terfikir nak kahwin semula buat masa sekarang. Hajar nak besarkan Aliff. Hajar tak nak gagal jaga Aliff disebabkan terlalu sibuk mengejar lelaki."

Hajar menghela nafas panjang. Bekas emak mertuanya perlu disedarkan dengan fakta yang Hajar tidak perlukan lelaki buat masa sekarang.

"Arwah abang Fadhil dah banyak sangat tolong Hajar. Kalau bukan dia, Hajar masih hanyut dengan dunia. Bila arwah abang Fadhil dengan Aliff datang dalam hidup Hajar, cara hidup Hajar berubah 360 darjah."

"Mak rasa bersalah pada Hajar. Hajar jadi janda sebab..."

"Janda atau isteri orang, bukan isu besar, mak. Ramai janda dekat luar sana yang boleh hidup berdikari. Janganlah sebab status janda tu, mak pandang Hajar ni macam perempuan lemah. Hajar kuat dan Hajar pun tak kacau hidup orang lain," potong Hajar bersama segaris senyuman tipis.

"Memang Hajar tak kacau hidup orang lain, tapi setengah orang lain tu pandang serong pada Hajar. Selagi Hajar tak kahwin, selagi itulah ada mulut jahat nak tabur fitnah."
"Tak apalah, mak. Biarlah mereka tu. Yang penting mak tahu Hajar tak kacau mereka. Lama-lama nanti mereka diamlah."

Semakin sayu sorotan mata bekas emak mertuanya.

"Mak kalau boleh, nak Hajar kahwin semula. Bila Hajar dah jadi isteri orang semula, barulah hati mak ni tenang. Selagi Hajar menjanda, selagi tu hati mak rasa bersalah. Mak macam tunggu hukuman gantung sampai mati."

"Mak... Mak fikir banyak sangat ni."

"Tadi bila Aliff sebut nama cikgu Dani, hati mak ni tenang sedikit. Mak harap, cikgu Dani boleh jaga Hajar."

Aduh, nama Dani naik lagi.

"Mak, Hajar okey jadi janda. Hajar happy dengan hidup Hajar. Dan cikgu Dani tak masuk dalam planning hidup Hajar. Sekarang niat Hajar satu saja. Hajar nak jaga Aliff. Aliff harta yang arwah abang Fadhil tinggalkan untuk Hajar. Bila Hajar jaga Aliff, rindu Hajar pada arwah abang Fadhil terubat."

Mak Cik Arifah menyeka hujung mata sebelum menarik Hajar ke dalam pelukannya. Dia menangis di bahu Hajar. Bergetar tubuh tua itu menahan sendu yang menyucuk jiwa.

"Kalau mak sedih macam ni, Hajar pun sedih. Hajar pun susah hati."

Tambah mendayu saja suara tangisan Mak Cik Arifah bila dipujuk.

"Senyumlah, mak. Jangan sedih-sedih. Arwah abang Fadhil mesti tak suka tengok mak menangis."

Pelukan dilonggarkan.

"Mak harap, bila Hajar jumpa pengganti arwah Fadhil, Hajar masih selalu datang jenguk mak. Mak dah anggap Hajar macam anak mak sendiri. Mak tak rela kehilangan Hajar."

"Insya-Allah, kita keluarga sampai bila-bila. Selagi nafas masih diberi, mak tetap keluarga Hajar."

Aduh, makin panjang tangisan bekas emak mertuanya. Hajar yang kelam-kabut memujuk. Hajar tidak sudi melihat wajah bekas emak mertuanya lencun. Cukuplah ketika arwah abang Fadhil pergi.

"Mak Tok nangis?"

Kalau tadi tanpa segan silu Mak Cik Arifah menangis, kini dia sudah menyeka hujung matanya. Kehadiran Aliff menghapus sifat cengeng Mak Cik Arifah.

"Taklah. Mana ada Mak Tok nangis. Mata Mak Tok masuk habuklah. Rumah Mak Tok hari ni banyak habuk. Nanti Mak Tok vacuum."

Melebar senyuman Hajar mendengar jawapan bekas emak mertuanya. Mujurlah Aliff percaya. Kalau tidak, habislah bekas emak mertuanya jadi mangsa soal siasat  Aliff.

"Minggu depan Hajar ada apa-apa rancangan tak?"

"Rancangan yang macam mana, mak?"

"Maksud mak, Hajar nak balik kampung ke? Atau dah janji dengan kawan-kawan nak ke mana-mana ke?"

Naik tinggi kening Hajar. Bekas emak mertuanya belum memberitahu sebab Hajar ditanyakan soalan berikut, namun sudah terasa debaran hati Hajar. Rasanya, awan yang cerah sudah beransur gelap. Awan gelap itu membawa hujan. Kalau terkena air hujan tersebut, boleh jadi diserang demam panas.

"Kenapa, mak?"

Mak Cik Arifah nampak sedikit teragak-agak. Pun begitu Hajar sempat melihat senyuman manis Mak Cik Arifah.

"Din balik minggu depan."

Oh, sekujur tubuh Hajar seperti telah dirasuk hantu gila. Duduknya tidak lagi setenang tadi. Hajar jadi goyah. Ini kali kedua nama Din disebut hari ini.

Din satu nama yang sangat taboo dalam kamus hidup Hajar. Mendengar nama saja, Hajar sudah tidak selesa. Itu belum bertentang mata. Kalau bertentang mata, Hajar belum tahu apa yang bakal jadi pada saraf-saraf dalam tubuhnya.

"Hajar belum pernah jumpa Din depan-depan. Mak ingat nak kenalkan Hajar dengan Din."

Berhenti! Jangan teruskan lagi. Terima kasih atas sikap prihatian yang ditunjukkan. Buat masa sekarang, Hajar belum terfikir hendak bersemuka dengan Din. Hajar tak berapa suka dengan perangai Din. Din jenis lelaki yang cakap lepas. Kata-katanya tidak bertapis dan sangat melukakan hati si pendengarnya.

"Dulu masa Hajar kahwin dengan arwah Fadhil, Din tengah exam. Din tak dapat balik ke sini."

Exam sekadar alasan Din. Arwah abang Fadhil sudah menceritakan perkara sebenar pada Hajar. Dan meskipun Din tak balik, tapi ayat-ayat pedasnya balik melalui corong telefon. Merinding bulu roma Hajar kalau mengenangkan semula perbualan telefon tersebut.

"Saya tahu awak kejar harta abang Fadhil."

Kenapalah Hajar mesti mengingati ayat pedas Din? 

 ​"Selama ni abang Fadhil kerja keras demi Aliff. Kalau awak sentuh harta Aliff, hidup awak takkan tenang. Kalau awak berani juga, awak tahulah nasib awak macam mana nanti. Saya takkan lepaskan awak selagi awak tak bayar semua harta abang Fadhil yang awak lesapkan."

Kenapalah Hajar rasa macam satu panah beracun telah dilepaskan ke arahnya? Meskipun beberapa purnama telah berlalu, ayat Din selalu segar dalam kepala. Dan mujurlah Din tidak pulang sewaktu pengebumian arwah abang Fadhil. Mujurlah Din demam teruk dan ditahan dihospital di UK sana. 

"Hajar?" panggil Mak Cik Arifah lantas jari tangan Hajar digenggam erat.

"Bila Din balik sini, Mak nak Aliff tinggal dengan mak. Mak nak jaga Aliff."

Tua terus muka Hajar mendengar kata putus bekas emak mertuanya. Terkumat-kamit mulut Hajar untuk menuturkan kata bantahan. Walaupun pangkat Hajar cuma emak tiri, tapi Hajar sayangkan Aliff macam anak sendiri.

"Biarlah Aliff tinggal dengan mak seminggu. Dalam masa seminggu tu, mak akan cuba beritahu Din yang Aliff tinggal dengan Hajar."

Alhamdulillah, cuma seminggu. Hajar fikir, bekas emak mertuanya mahu menjaga Aliff terus.

"Selama ni, Din fikir Aliff tinggal dengan mak. Mak pun tak beritahu perkara sebenar dekat dia. Mak risau dia bising kalau dia tahu Aliff tinggal dengan Hajar."

Hajar membatukan diri. Hajar tidak menolak, cuma Hajar risau kalau Din tahu perkara sebenar, Din tidak benarkan Aliff balik padanya lagi. Paling Hajar risaukan, bekas emak mertuanya menjadi mangsa kemarahan Din.

"Hajar jangan risau. Macam mana pun, mak akan pastikan Aliff balik semula pada Hajar. Mak pun tak nak cucu mak sedih."

Hajar percayakan cakap bekas emak mertuanya. Yang Hajar susah hendak percaya, pastilah penyakit keras kepala Din. Keras kepala Din bukan boleh dilentur.

​"Boleh tak Aliff tinggal dengan mak seminggu ni?"

​Jawapan Hajar berupa senyuman dan anggukan kepala.

​"Alhamdulillah," luah bekas emak mertuanya berkali-kali. Luahan begini membuat Hajar diburu rasa bersalah. Sepatutnya bekas emak mertuanya tidak perlu meminta kebenaran.

​"Minggu depan macam mana?"

​Hilang senyuman Hajar.

​"Hajar datang ya. Mak ingat nak buat kenduri kesyukuran dan tahlil sekali."
​Berpinar pandangan mata Hajar.

​"Mak nak sangat Din jumpa Hajar. Biar Din kenal Hajar macam mana."
​Gelap pula pandangan Hajar. Mujurlah dia duduk disofa. Tubuhnya segera disandarkan. Kalau tidak, mungkin dia sudah jatuh terlentang.

​"Hajar balik kampung minggu depan, mak. Maaf sangat, sebab Hajar dah terlanjur berjanji dengan keluarga dekat kampung."

​Dalam hati, tidak berhenti Hajar menitipkan kata maaf sebab berbohong. Ini bohong sunat. Bohong terpaksa yang terpaksa dicipta sekejap tadi.

​"Tak boleh ke Hajar datang sekejap? Lepas tu Hajar baliklah kampung."

​"Hajar nak sampai awal dekat sana."

​Nampak kecewa air muka bekas emak mertuanya. Namun apalah daya Hajar. Hajar belum kuat dan bersedia untuk berdepan dengan Din.

​"Kalau macam tu tak apalah. Nampaknya mak kena aturkan hari lain. Mungkin makan malam dekat rumah mak."

​Anggukan kepala Hajar yang menyambut jawapan kecewa bekas emak mertuanya. Tengoklah nanti. Mana tahu, suatu hari nanti Hajar sudah kuat untuk berdepan dengan Din. Doakan hari itu tiba. Amin.


***

- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -

No comments:

Post a Comment