Sunday 1 October 2017

Bab 03 ~ Kerinduan



DIN menarik bagasinya keluar dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Hawa khatulistiwa milik asia tenggara cepat benar memberi salam. Nun di sebelah sebuah Honda CRV, Kusyairi melambaikan tangan. Kusyairi datang dengan hanya berseluar bermuda paras lutut, capal dan juga T-Shirt bercop muka Cristiano Ronaldo.

Din sengaja meminta bantuan Kusyairi menjemputnya. Pada emaknya telah ditinggalkan pesan supaya menunggunya saja di rumah. Din ada urusan penting yang mesti di selesaikan terlebih dahulu.

"Selamat pulang, bro," cetus Kusyairi sembari memeluk Din erat. Selepas itu bahu Din ditampar mesra. Rakan sekerjanya yang menyambung Master di bumi Ratu Elizabeth telah pulang.

"Kerja berlonggok-longgok dekat ofis tu dah sedia menunggu, tuan pengurus. Jangan ingat sebab tuan pengurus dapat tajaan company settlekan master, tuan pengurus boleh lari dari kerja lepas balik ke sini," lanjut Kusyairi kemudian sambil mengangkat-angkat keningnya.

"Kau tolonglah cover kerja tuan pengurus tu lagi. Bagi can tuan pengurus tu lepaskan lelah belajar dulu."

"Dah pencen. Baru kejap tadi pencen lepas nampak tuan pengurus." balas Kusyairi enggan kalah. Selepas itu matanya tanpa jemu menilik Din atas dan bawah. Lirikan Kusyairi sangat mendatangkan panas di hati Din.

"Apa?" sergah Din tidak senang. Kalau Kusyairi memandang dengan cara begitu, adalah yang sedang Kusyairi fikirkan. Kebiasaannya hal yang menjurus pada mahu mengusik Din.

"Kau tengah fikir apa?" sergah Din terus. Makin tidak senang hati dibuatnya bila melihat senyuman ada makna Kusyairi.

"Kau pergi gym?" Suara Kusyairi sangat serius. Tiada lagi kata ganti tuan pengurus yang digunakan.

Din angguk. Polos benar air mukanya ketika ini.

"Patutlah tangan dah nampak makin besar. Sebelum ni nampak tulang saja."
Jelingan Din tajam menikam anak mata Kusyairi. Ini kerana sekali lagi dia menjadi mangsa tilikan lelaki tersebut. Lagak Kusyairi sekarang seperti sedang menilik anak dara untuk dijadikan isteri. Itu yang Din tidak suka.

"Kulit makin cerah. Pakai Fair & Lovely ke?"

Din menjeling Kusyairi lantas tanpa malu, pintu Honda CRV Kusyairi terus dibuka. Din mengambil tempat di kerusi penumpang tanpa di pelawa. Membiarkan saja Kusyairi tergelak-gelak melihat muka cemberutnya.

"Bukan main lagi kau sekarang ya, Din. Kalah kulit perempuan dah kulit kau sekarang. Halus, gebu dan cerah."

"Jangan merepeklah Kusyairi. Aku tak ada masa nak layan."

Besar ketawa Kusyairi. Suka sangat nampaknya bila dapat mengusik Din.
"Kau dah nak naik pelamin ke?"

Kusyairi cuit pula lengan Din. Keningnya diangkat tinggi-tinggi sebelum ditarikan di depan mata Din.

"Jangan-jangan kau yang naik pelamin dulu ni. Seri pengantin baru dah ada tu."
"Stop it, Kusyairi. Penat naik flight belum hilang. Kebas kaki aku pun masih boleh rasa lagi. Tak ada maknanya seri pengantin nak datang. Seri stress adalah. Kau nak rasa seri stress tu?"

Nampaknya tawa Kusyairi seperti takkan berhenti lagi. Senang benar hatinya dapat mengusik Din.

"Jangan terasa Din. Kita dah lama tak jumpa. Bila jumpa ni, bertabahlah bila aku usik."
Diam saja daripada pihak Din. Sudah sedia maklum dengan perangai Kusyairi.

"Jadi kita nak ke mana ni? Balik rumah mak kau terus?" aju Kusyairi setelah puas ketawa. Raut wajahnya mulai serius.

"Aku nak ke kubur arwah abang Fadhil dulu."

"Boleh. Tak ada masalah."

Honda CRV Kusyairi terus bergerak meninggalkan Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Mujurlah sekarang bukan waktu puncak. Kurang empat puluh minit, Honda CRV Kusyairi telah memasuki kawasan perkuburan yang menjadi tempat bersemadinya jasad arwah abang Fadhil.

"Din, aku tunggu sini ya. Lutut aku nampak ni."

Din sekadar mengangguk. Berpandukan pada lokasi yang telah emaknya berikan, Din jumpa juga pusara arwah abang Fadhil. Letaknya selang lima kubur daripada kubur arwah kakak ipar Din.

Lama Din berdiri. Din sedang menenangkan emosinya yang mulai berkecamuk. Mereka cuma dua beradik, jadi Din sangat rapat dengan arwah abang Fadhil. Arwah abang Fadhil tempatnya meluahkan rasa selama ini. Dan meskipun kadang-kala mereka tidak sebulu, Din tetap sangat menghormati arwah abang Fadhilnya.

"Assalamualaikum, abang..."

Hanya itu yang mampu Din lafazkan. Tangannya terketar-ketar sewaktu menyentuh batu nisan yang masih kelihatan baru  itu. Tanahnya juga masih merah.

"Din minta maaf, abang. Baru sekarang Din datang ke sini," luah Din bersama suara yang putus-putus.

"Din nak jumpa abang buat kali terakhir, tapi kesihatan Din tak mengizinkan waktu tu."
Suara Din terdengar sangat kesal. Wajahnya diraup. Terbayang-bayang segala kenangan manisnya bersama arwah abang Fadhil.

"Abang jangan risau. Din akan jaga Aliff macam anak Din sendiri. Din akan pastikan Aliff tak kurang kasih sayang. Din akan didik Aliff macam abang didik dia selama ni."

Din menyeka pelupuk matanya. Sewaktu dalam perjalanan, dia sudah berjanji takkan menitiskan air mata. Nampaknya Din terlalu lemah. Air mata Din jatuh juga. Dia tersengguk-sengguk menangisi pemergian arwah abang Fadhilnya.

"Abang tenanglah dekat sana. Jangan risau sikit pun fasal Aliff, ya? Aliff anak yang tabah, dia pasti baik-baik saja."

Din hela nafas panjang. Setelah emosinya tenang sedikit, doa mula dititipkan untuk abang kesayangannya.

Setelah menghabiskan masa lebih tiga puluh minit, barulah Din kembali ke tempat Kusyairi menunggunya.

"Kau menangis Din?"

Cepat saja Din meraup wajahnya semula. Mahu memastikan semua bekas air mata pada wajahnya terhapus.

Namun sangat mengejutkan bila tubuhnya dirangkul oleh Kusyairi. Erat pelukan Kusyairi.

"Sabarlah, Din. Semua yang berlaku ni ada hikmah. Yang penting kau jangan putus semangat. Arwah abang Fadhil ada tinggalkan amanah untuk dijaga. Amanah tu masih kecil, perlukan perhatian kau."

"Aku tahu. Aku takkan sia-siakan Aliff. Macam mana aku dah kahwin pun, aku tetap nak jaga Aliff."

Kusyairi angguk-angguk. Kemudian barulah rangkulannya dilepaskan.

"Sekarang kita balik rumah mak kau?"

"Belum. Kalau kau tak keberatan, aku nak minta tolong sekali lagi."

Sedikit teragak-agak Din sewaktu mahu menyambung ayatnya. Wajah pelik Kusyairi jadi penghalang.

"Tolong bawa aku ke rumah  Dahlia."

Meluncur juga ayat yang sejak tadi tersekat di kerongkongan. Din sedang menunggu reaksi Kusyairi.

"Boleh. Depan kediaman Perdana Menteri pun aku boleh bawa," seloroh Kusyairi sambil ketawa kecil.

"Din... Din..." keluh Kusyairi sejurus selepas tawanya reda.

"Lain kali tak payah sebut perkataan 'kalau kau tak keberatan' tu. Hati aku ni sedih. Kau kawan aku. Kalau kau ada masalah, cakap terus. Insya-Allah aku pasti tolong selagi mampu."

Masih senyap dipihak Din. Din sedang melamun.

"Tapi kan, Din... Aku dah agak dah. Mesti rumah Dahlia kau sebut. Kau nak buat surprise dekat dia dengan balik Malaysia tak beritahu dia, kan?"

Agak berat helaan nafas Din. Sorotannya juga jadi tidak bermaya.Sewaktu berada di UK lagi, Din sudah dikejutkan dengan dua berita. Satu hal pemergian arwah abang Fadhil. Satu lagi keputusan drastik keluarga Dahlia.

"Boleh kita gerak sekarang?"

Terkulat-kulat Kusyairi dibuatnya. Mati kutu bila Din berterusan serius dan tidak peduli dengan semua usikannya.

Memasuki lorong rumah Dahlia, jalan tiba-tiba jadi sempit. Sempit sebab banyak kereta memilih untuk meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan. Kebanyakannya kereta mewah.

"Din, kau pasti ke Dahlia tak tahu kau balik hari ni?"

Din hanya membuang pandang. Tidak ada sebarang kata yang terluah dari bibirnya. Fikirannya benar-benar kosong.

Di depan rumah Dahlia dan merangkumi rumah jiran-jirannya, sudah berdiri lapan buah khemah Aladdin. Tidak lepas mata Kusyairi melihat khemas Aladdin tersebut. Gagal mengawal rasa ingin tahunya, Kusyairi cuit lengan Din.

"Kenapa tak cakap family Dahlia nak sambut kepulangan kau? Kau tengok gaya aku sekarang. Tengok betul-betul. Mana sesuai nak masuk majlis orang," bebel Kusyairi dengan wajah tidak senang. Sekejap-sekejap matanya melihat ke arah rumah Dahlia. Nampak dengan jelas mereka semua sibuk menyediakan juadah.

"Kau masuklah. Aku tak nak. Aku sejuta kali lebih rela tunggu dalam kereta daripada jadi perhatian orang."

"Majlis ni bukan untuk aku," getus Din. Pandangannya kian berbalam.

Kusyairi menegakkan tubuh. Sedikit pelik mendengar jawapan balas Din.

"Habis tu untuk siapa?"

"Dahlia."

Bertambah tinggi peratusan rasa pelik Kusyairi. Buktinya bila dia semakin ligat melontarkan soalan.

"Birthday Dahlia?"

"Bukan."

Agak dalam kerutan dahi Kusyairi. Kusyairi perlukan penjelasan yang lebih lebar.

"Bukan juga? Habis tu majlis apa?"

Din melirik sekilas khemas-khemah Aladdin yang gagah berdiri sebelum matanya beradu dengan mata penuh tanda tanya milik Kusyairi.

"Majlis pernikahan Dahlia."

"What?"Nyaris terbeliak mata Kusyairi. Kepalanya ikut digelengkan tanpa jemu. Rasanya dia salah dengar.

"Kau buat lawak ke? Atau kau sengaja nak usik aku?"

"Kau nampak aku macam buat lawak ke?"

Muka suram dan tanpa semangat Din, Kusyairi tatap nanar. Baru sedar kalau sejak tadi teman baiknya itu seperti dilanda masalah hidup yang tak dapat diselesaikan.

"Mak kau tahu tak kau nak kahwin dengan Dahlia? Kau jangan main-main, Din. Kecil hati mak kau nanti. Kau kahwin tak jemput dia. Tak elok kau buat macam tu. Berdosa, Din."

"Majlis pernikahan Dahlia dengan Yusuf, bukan untuk aku dengan Dahlia."

Kalau tadi mata Kusyairi nyaris terbeliak, sekarang rahangnya pula nyaris bergolek.

"Aku tak dipilih jadi calon suami Dahlia. Aku anak pesara polis, bukan anak Datuk. Jauh beza darjat kami. Datuk tak suka aku jadi calon suami Dahlia."

"Tapi kau dengan Dahlia..."

"Sekarang dah tamat," potong Din dengan suara tanpa rasa. Sorotannya nampak semakin kelam setiap kali melihat ke arah rumah Dahlia.

"Aku tak mampu nak sediakan hantaran RM200K. Jadi secara automatik aku tercalon keluar."

"Hantaran RM200K? Gila! Datuk tu jual anak ke apa?"

Berkali-kali Kusyairi meraup wajahnya. Keadaannya sekarang lebih teruk berbanding Din sendiri.

"Habis tu, Dahlia tak cakap apa-apa? Takkan dia tak pujuk Datuk langsung? Kau dengan Dahlia bukan sekejap bercinta, tapi dah nak masuk tiga tahun."

Tidak ada jawapan daripada pihak Din. Mata Din sedang melekat pada Mercedez yang baru saja melintasi Honda CRV milik Kusyairi.

Pada saat Mercedez itu berhenti mengejut dan mula mengundur ke belakang, Din sudah mengarahkan Kusyairi menurunkan brek tangan.

"Kita balik sekarang," pinta Din.

Teragak-agak Kusyairi mahu memenuhi permintaan Din. Apatah lagi bila melihat Dahlia sudah keluar dari Mercedez hitam tersebut lalu menerpa Honda CRV miliknya.

"Din," sayup-sayup suara Dahlia. Cepat saja raut manis Dahlia diselaputi awan hitam. Lihatlah, Dahlia sedang mengesat-ngesat pipinya yang mulai lencun.

"Kusyairi!" desak Din dengan wajah yang mulai merah. Lengan Kusyairi dicengkam kuat. Menghalang lelaki itu dari menukar arah stereng kereta.

"Kita balik sekarang," pinta Din terus bersama sejuta harapan. Din belum bersedia untuk melihat air mata Dahlia. Din risau Din buat kerja jahat dengan membawa Dahlia kahwin lari di sempadan Thailand.

Dan meskipun Dahlia merayu supaya jangan pergi, Honda CRV milik Kusyairi tetap meluncur laju meninggalkan Dahlia. Dahlia ditinggalkan terduduk di bahu jalan dengan juraian air mata.

Serentak dengan itu, ada panggilan yang masuk. Najah pemanggilnya. Din memilih menghantar ton sibuk kepada Najah. Namun sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Kali ini pesanan ringkas yang masuk.

Saya tahu awak sedih sekarang. Dahlia memang melampau sebab pilih Yusuf.
Saya harap awak tabah dan kuat, Din. Saya nak awak tahu, bahu saya selalu ada untuk membantu.

Serta-merta Din menghapus pesanan ringkas Najah. Najah kawan Dahlia, merangkap kawan Din juga. Cuma sekarang, Din tidak perlukan bahu siapa-siapa untuk tumpang bersandar. Bahu Din masih kuat.


***

- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -

No comments:

Post a Comment