Sunday 1 October 2017

Bab 01 ~ Kerinduan

SAYA Hajar. Nama penuh, Siti Hajar Binti Shamsudin. Arwah ayah orang nogori, arwah emak pula orang Perak. Saya anak tunggal dan saya janda. 

Saya tahu ramai yang pandang serong dengan status janda saya, tapi saya tak kisah. Janji saya tak kacau orang, saya tak meminta-minta dan saya boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Awalnya memang pahit untuk ditelan.Meski tidak sudi, gelaran janda saya pikul setelah lelaki yang menerima nikah saya, pergi selamanya. Dia pergi ketika usia pernikahan kami belum cukup satu bulan. Dia pergi disebabkan kemalangan kereta sewaktu bertugas diluar daerah.

Oh, ada satu lagi rahsia penting. Sebenarnya saya janda anak satu. 


Pembetulan. Sebenarnya janda dengan satu anak tiri. Namanya Aliff, baru menginjak usia empat tahun lebih sedikit. Aliff anak tunggal arwah abang Fadhil, satu amanah yang mesti saya jaga sebaiknya.

 "Bonda..."

Itulah Aliff. Dengar tak suaranya yang mendayu? Itu tandanya ada yang tidak kena.

"Bonda, kita nak 'ee ek'."

Jadi emak segera pada usia awal 30-an rupanya agak payah. Apatah lagi ketika Aliff sedang membesar dengan segala macam ragam.

"Bonda, 'ee ek' kita dah keluar!"

Nanti kita sambung lagi. Aliff sudah menjerit tu. Kalau tidak dilayan, nanti Aliff main pondok-pondok di dalam bilik air tersebut.

"Bonda, 'ee ek' ni busuk. Cepatlah datang bonda!"

Hajar sudah berlari anak menuju ke bilik air. Suara hampir hendak menangis Aliff memaksanya mempercepatkan langkah.

"Bonda datanglah ni."

Semerbak haruman hasil dari 'ee ek' Aliff. Sempat berpinar kepala Hajar. Meskipun begitu, Hajar tidak kekok menjadi ibu segera. Kurang sepuluh minit, Hajar sudah selesai membersihkan Aliff. 

"Kita minta maaf, bonda," pinta Aliff sewaktu Hajar memakaikannya seluar panjang baru. Terkelip-kelip mata indahnya memandang Hajar. Memohon simpati supaya tidak dimarah.

"Kenapa Aliff minta maaf?"

"Sebab kita tak pandai basuh sendiri lagi. Kita selalu susahkan bonda."

Hajar memberikan senyuman paling manis. Pipi temban Aliff sempat dicuit.

"Tak apa. Nanti bila Aliff dah besar sikit, Aliff boleh basuh sendiri. Kalau Aliff basuh sekarang, nanti tak bersih."

"Kita takut bonda tinggalkan kita sebab kita selalu susahkan bonda."

Jauh benar fikiran Aliff. Anak seumurnya sepatutnya bergembira, dan bukan berfikir tentang hal-hal orang dewasa.

Hajar mengemaskan seluar panjang Aliff sebelum memegang kedua belah tangan kecil tersebut. Wajah polos Aliff ditatap nanar.

"Bonda sayang Aliff. Bonda takkan tinggalkan Aliff," pujuk Hajar bersama sentuhan lembut pada hujung hidung Aliff.

"Bonda janji?"

"Janji."

"Betul ni? Bonda tak tipu?"

"Betul. Bonda tak tipu."

Aliff berfikir sejenak sebelum bibir comelnya kembali terbuka bersama ayat yang mengejutkan.

"Kita pinky promise dulu."

Berkerut-kerut dahi Hajar. Seingat Hajar, tidak pernah dia mengajar Aliff tentang pinky promise.

"Kita tengok kat tv. Kat tv kalau buat pinky promise, tak boleh tipu dah."

Besarnya pengaruh tv sekarang. Nampaknya Hajar perlu memantau isi kandungan rancangan tv yang Aliff tonton. Sel-sel otak Aliff sedang berkembang dengan pesat, jadi tak mustahil Aliff terikut-ikut ajaran tidak elok di tv.

Aliff sudah mengunjukkan jari kelinkingnya pada Hajar. Terpaksalah Hajar menurut permintaan Aliff.

"Bonda, boleh tak bonda tidur sekali rumah Mak Tok malam ni?"

"Bonda banyak kerja, sayang."

"Bonda tak suka Mak Tok yer?"

Hajar menghela nafas panjang. Dia bangun lalu beg pakaian Aliff mula dikemas. Beberapa pasang baju Aliff dimasukkan ke dalam beg tersebut.

"Bonda bukan tak sayang Mak Tok. Bonda sayang sangat dengan Mak Tok. Mak Tok banyak tolong bonda. Tapi bonda nak Aliff dengan Mak Tok lagi mesra. Lagipun bonda tahu, kalau bonda ada, nanti Aliff malu-malu nak bermanja dengan Mak Tok."

Aliff tersengih-sengih. Dia ikut menghampiri Hajar. Tanpa disuruh, bingkai gambar arwah papa dan arwah mamanya diambil lalu diunjukkan pada Hajar. Kemudian dia turut mengambil bingkai gambar berisi gambar Hajar. 

"Gambar bonda pun Aliff nak bawa sekali?"

"Mestilah. Kita sayang papa. Sayang mama. Kita pun sayang sangat dekat bonda."

Aliff meluru lalu tubuh Hajar dipeluk erat-erat.

"Bila kita besar nanti, bonda tak payah kerja dah. Biar kita kerja. Kita nak jaga bonda."

Alhamdulillah, arwah abang Fadhil berjaya menerapkan nilai murni dalam diri Aliff.

"Bonda." Aliff meleraikan pelukannya. Bola matanya bersinar sangat terang.

"Ya?"

"Hari tu Mak Tok cakap, uncle Din  dah nak balik. Bonda kenal tak uncle Din?"

Bila nama Din disebut, masa seperti terhenti. Hajar rasa ada awan hitam di atas kepalanya. Awan hitam itu sarat dengan muatan. Bila-bila masa guruh boleh berdentum, petir memancar dan hujan turun dengan lebatnya.

Din bukan satu nama asing dalam hidup Hajar. Sebelum berkahwin dengan arwah abang Fadhil lagi, Hajar sudah mengenali suara pemilik yang bernama Din tersebut. Biarpun belum pernah bersua secara empat mata, hati Din, Hajar sudah dapat baca. Ada tiga kesimpulan yang Hajar buat.

1.    Din tak suka Hajar.

2.    Din anggap Hajar ni perempuan pisau cukur yang nak kaut harta arwah abang Fadhil.

3.    Din fikir Hajar macam emak tiri Cinderella. Kejam dan tak berperi kemanusiaan.

"Bonda," desak Aliff. Mengejutkan Hajar terus dari alam fikiran tentang Din.

"Aliff tanya apa tadi?"

"Uncle Din."

"Hurm... Bonda tak pernah jumpa  uncle Din lagi. Tapi bonda rasa, uncle Din tu baik."

Keras lidah Hajar sewaktu menyebut perkataan baik. Din dan perkataan baik tidak seiring. Itu yang Hajar fikir.

"Baik banyak ke baik sikit, bonda?"

"Baik banyak." Semakin keras lidah Hajar menuturkan kata bohong.

"Banyak macam ni?" Aliff sudah membuka tangannya luas-luas lalu membentuk bulatan.

"Lagi banyak."

Lebar senyuman Aliff mendengar jawapan Hajar.

"Kita tak sabar nak jumpa uncle Din. Hari tu Mak Tok tunjuk gambar uncle Din. Uncle Din macam ni, bonda. Muka uncle Din macam papa sikit-sikit." Naik tinggi ibu jari Aliff. 

Muka saja sama. Perangai tak sama. Macam langit dengan bumi. Arwah abang Fadhil lelaki terbaik pernah Hajar jumpa. Din pula... Belum berjumpa lagi, tetapi lelaki itu sudah memberi gambaran yang takkan wujud rasa 'klik' antara mereka berdua. Silap haribulan, boleh meletus perang.

"Jom, kita pergi rumah Mak Tok. Mak Tok dah tunggu ni. Tak elok kita buat Mak Tok tunggu lama."

Aliff turun dari katil sambil melompat-lompat. Mulutnya tak berhenti berdecit tanda gembira. Malah sepanjang jalan, si kecil yang comel itu sibuk menyanyikan lagu-lagu popular dendangan Didi and Friends.

"Okey, kita dah sampai."

Mak Cik Arifah sudah sedia menunggu di depan rumah. Sebaik saja Myvi Hajar berhenti di depan pagar rumah, terus saja Mak Cik Arifah meluru ke depan.

"Mak Tok!"

Amboi, bukan main laju lagi larian Aliff. Hajar sudah ditinggalkan di belakang.

"Aliff sihat?"

"Kita sihat sangat. Mak Tok?"

"Mak Tok pun sihat sangat macam Aliff."

Kedua belah pipi temban Aliff dicium sebelum tubuh Aliff berada dalam pelukan Mak Cik Arifah. Setelah puas melepaskan rindu, barulah Mak Cik Arifah memberi tumpuan pada Hajar.

"Hajar sihat?"

"Alhamdulillah, Hajar pun sihat, mak."

Kali ini, tubuh Hajar pula yang berada dalam dakapan kemas Mak Cik Arifah.

"Terima kasih Hajar, sebab bawa Aliff ke sini."


"Mak ni, tak perlulah terima kasih. Tanggungjawab Hajar bawa Aliff ke sini jumpa mak. Mak dah benarkan Hajar jaga Aliff, itu dah kira syukur sangat."

Mak Cik Arifah menepuk-nepuk belakang tubuh Hajar.

"Masuklah Hajar. Mak dah siap masak. Kita makan tengahari sama."

Hajar risau sebenarnya kalau diajak makan bersama. Nanti bila berada di meja makan, mesti banyak soalan yang Mak Cik Arifah tanyakan. Kadang-kadang, soalan Mak Cik Arifah boleh buat Hajar terkedu tanpa suara.

"Saya ada hal, mak."

"Jamah sikit saja. Lagipun benda dah ada. Tak elok tolak rezeki."

Percayalah, macam mana Hajar mengelak, Hajar selalu kalah dengan pujukan bekas emak mertuanya. Ini kerana bekas emak mertuanya ini emak mertua terbaik di dalam dunia. Meskipun Hajar cuma bekas anak menantu saja, tetapi Hajar tetap dilayan bagai anak kandung sendiri. Paling mengharukan, pastilah bila bekas emak mertuanya membenarkan Aliff tinggal bersama Hajar.

"Tambah lagi, Hajar. Makan banyak sikit. Mak tengok Hajar dah susut."

"Mana ada susut mak. Makin membesar adalah."

Tanpa mempedulikan jawapan balas Hajar, Mak Cik Arifah tetap menyenduk satu senduk nasi lagi ke dalam pinggan Hajar.

"Bukan selalu Hajar datang ke sini. Mak masak special untuk Hajar."

Kalau sudah begitulah bunyi ayat pujukan bekas emak mertuanya, Hajar habiskan juga satu senduk nasi tersebut. Lagipun masakan bekas emak mertuanya setanding masakan master chef.

"Bonda, kita tidur rumah Mak Tok ni, bonda jangan keluar dengan cikgu Dani tau."

Suapan Hajar terhenti. Matanya dibesarkan. Sampai hati Aliff buka mulut tentang Dani di depan Mak Cik Arifah.

"Cikgu Dani tu siapa?" lancar mulut Mak Cik Arifah menuturkan soalan. Nampak dengan jelas kening Mak Cik Arifah hampir bercantum. Hajar perlu bersiap sedia dengan jawapan selepas ini.

"Cikgu Dani kawan bonda, Mak Tok."

Aduh, Aliff sedang membuka rahsia Hajar.

"Kerja satu tempat kerja ke?"

Tumpuan Mak Cik Arifah kini berpusat pada Hajar. 

Terangguk-angguk kepala Hajar, mengiyakan telahan bekas emak mertuanya.

"Dia cikgu baru dekat Idrissi, mak."

"Hajar rapat tak dengan Cikgu Dani tu?"

Lain macam soalan Mak Cik Arifah. Risau jiwa Hajar dibuatnya. Hajar perlu berfikir sebelum memberikan jawapan. Kalau salah jawab, boleh timbul salah faham dihati bekas emak mertuanya.

"Dulu dia adik angkat saya, mak."

"Kalau adik angkat, maksudnya rapatlah," seloroh Mak Cik Arifah sambil ketawa senang hati.

"Dia muda saya tiga tahun," jelas Hajar. Tidak mahu sebarang anasir tidak elok bersarang di kepala bekas emak mertuanya.

"Kalau muda pun, apa salahnya. Yang penting cikgu Dani bertanggungjawab. Mak tak kisah siapa pun pilihan Hajar, asalkan dia mampu jaga Hajar dengan Aliff dengan baik. Boleh buat Hajar dengan Aliff bahagia. Yang paling penting, dia boleh terima mak sebagai mak mertua dia juga."

Berteguk-teguk air liur Hajar telan. Bibirnya terkunci rapat untuk mengulas cadangan bekas emak mertuanya. Kalau Hajar ulas, makin panjang cerita tentang Dani. Hajar juga yang terkapai-kapai nanti. 

"Kalau ada masa, bawalah cikgu Dani tu ke sini."

Senyuman polos Hajar yang membalas permintaan bekas emak mertuanya. 

"Insya-Allah, kalau cikgu Dani nak ikut. Sebab dia baru masuk kerja, jadi dia sibuk sikit. Lagipun saya ni bekas kakak angkat dia saja, mak. Bukan kekasih dia."

Hajar harap Mak Cik Arifah faham ayat yang sedang Hajar sampaikan. 

"Tak apa. Bila-bila masa dia senang. Rumah mak selalu terbuka. Lagipun zaman sekarang ni Hajar, bekas kakak angkat pun boleh bertukar jadi kekasih hati. Yang penting berani beri peluang pada diri sendiri."

Hajar manggut-manggut, sedangkan otaknya bekerja keras mencari akal untuk menutup topik tentang Dani. Jelaslah kini, ayat penjelasan Hajar tadi hanya memakan diri.

"Nanti Aliff duduk dengan Mak Tok, Aliff jangan nakal. Lepas main, kemas semula mainan Aliff," pesan Hajar pada Aliff. Kali ini tumpuannya pada Aliff. Biar cerita tentang Dani tamat disini.

"Bonda jangan risau. Kita mesti kemas."

Acara makan tengahari selesai juga akhirnya. Cerita tentang Dani telah dinoktahkan dengan jayanya. Sekarang Hajar sedang bersiap-siap untuk pulang.

"Hajar, mak nak cakap sikit."

Debaran hati Hajar datang semula. Lirikan mata bekas emak mertuanya nampak lain.

"Ada apa, mak?"

"Kita bincang dekat ruang tamu. Mak Yah tolong tengok-tengokkan Aliff ya."

Setelah Mak Yah memberi kata setuju, barulah Mak Cik Arifah menapak menuju ke ruang tamu. Hajar mengikut rapat di belakang dengan sejuta rasa yang sulit untuk digambarkan. 

Hajar harap, bekas emak mertuanya bukan hendak berbincang tentang Dani lagi. Tolonglah bukan hal Dani. Dani muda sangat kalau jadi pasangan Hajar. Lagipun, Hajar anggap Dani adik. Tolonglah faham ya wahai Mak Cik Arifah tersayang.


***

- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -

No comments:

Post a Comment