Friday 31 March 2017

Prolog - Sejati


YAYA puas hati bila nasi beriyani hasil air tangan emaknya disambut dengan perkataan sedap. Kalau pun Yaya tidak dapat menyertai gotong-royong membersihkan Masjid Al-Falah ini, sekurang-kurangnya Yaya membantu dari segi menyediakan makanan untuk AJK dan sukarelawan yang terlibat.

"Nak ke mana tu, Yaya? Makanlah sekali."

Terhenti langkah Yaya. Senyuman dileretkan sebelum dia mulai menggelengkan kepala.

"Yaya nak balik KL dah ni Pak Li. Yaya hantar makanan saja."

"Kalau ya pun, makanlah sekali."

Yaya tetap juga geleng kepala. Setelah menyebut kata maaf dan meminta diri, Yaya kembali melangkah.

Melalui perkarangan masjid, langkah Yaya terhenti. Nampaknya masih ada seorang sukarelawan yang bekerja keras membersihkan masjid. Sudah tua. Kalau bukan sukarelawan, mesti dia Tok Siak masjid yang baru.

Lelaki tua yang sejak tadi terbongkok-bongkok membersihkan perkarangan masjid itu, Yaya perhatikan penuh minat. Yaya menunggu sehingga lelaki tua itu selesai memasukkan daun-daun kering yang telah dikumpulkan ke dalam plastik sampah.

"Pak cik, rehat dulu. Jamah nasi beriani. Buah tembikai pun ada tu."

Serta-merta lelaki tua itu menegakkan tubuh. Baru Yaya tahu, lelaki tua ini tinggi lampai orangnya. Tinggi Yaya pun cuma separas bahu lelaki tua tersebut.

"Saya ni nampak macam pak cik-pak cik ke sampai awak panggil saya pak cik?"

Besar sungguh bukaan mata Yaya. Lebih-lebih lagi bila di sergah dengan suara keras. Dan selepas itu rahang Yaya pula nyaris bergolek. Ini kerana lelaki yang Yaya sangka seorang pak cik-pak cik itu, telah menoleh dengan sorotan maha tajam. Tembus terus ke dasar hati Yaya.

Dua kali Yaya meneguk liur.

"Tengok betul-betul, saya ni macam pak cik-pak cik ke? Tang mana yang buat saya macam pak cik-pak cik?"

Sekali lagi Yaya meneguk liur. Kemudian selangkah Yaya ke belakang.

Sumpah, Yaya betul-betul ingat lelaki ini berpangkat pak cik-pak cik tadi. Yaya tak ada niat jahat langsung. Ini semua salah faham.

"Sorry." Mendatar suara Yaya. Sedar diri dia salah kali ini. Harap-harap huluran kata maafnya diterima dan kes selesai.

"Sorry naik lori balaklah."

Eh, dia sentap pula. Berubah air muka Yaya.

"Minta maaf lagi sekali. Salah saya sebab tak tengok betul-betul. Saya nak beritahu ni, pihak masjid ada sediakan makanan dan minuman. Kalau awak tak keberatan, rehatlah dulu. Boleh recharge semula tenaga."

Sehabis sopan Yaya menuturkan ayat tersebut. Protokal formal turut dipersembahkan. Yaya harap penyakit sentap lelaki itu lekas reda.

"Lain kali, mata tu buka besar sikit dan perhati betul-betul. Saya ni muda lagi, 'mak cik'."

Yaya jaga bahasa. Silap Yaya cuma sebutan 'pak cik'. Itu pun lelaki itu tak boleh nak berkompromi. Lihatlah, dia panggil Yaya 'mak cik'. Menyampah Yaya. Lebih baik Yaya angkat kaki.

"Dah makan?"

Niat Yaya untuk pergi lenyap. Pelik sungguh Yaya bila diajukan soalan begitu. Akhirnya Yaya memilih untuk bercakap bohong.

"Dah."

"Bagus."

Eh, dia balas bagus?

"Nah."

Eh, dia hulur penyapu pula?

Membesar kedua belah mata Yaya. Penyapu yang diunjukkan padanya diperhatikan dengan muka pelik. Agak lama sebelum penyapu tersebut diambil.

"Nak buat apa ni?"  Bersama kerutan di dahi, Yaya menunggu jawapan lelaki tersebut.

Mula-mula sekali lelaki itu bercekak pinggang. Kemudian mukanya dibengiskan.

"Sapu sampahlah. Takkan nak guna jolok cempedak di luar pagar pula."

Yaya ditinggalkan selepas itu.

Eh eh eh! Apa kena lelaki tu?


- Bersambung. Tunggu preorder dibuka.

No comments:

Post a Comment