Tuesday 4 April 2017

Bab 01 - Sejati

CINCIN tanda pemberian emak Faiz, Yaya sentuh bersama segenap rasa sayang. Jari manisnya tambah berseri setelah dihiasi cincin cinta tersebut. Inilah cincin tanda yang memberi 0engumuman bahawa dia selangkah lagi untuk menjadi sepenuhnya milik Faiz.

Hati Yaya mendadak jadi sebak. Panas mata Yaya. Kabur pandangan mata Yaya. Kurang dua saat, jatuh juga air mata Yaya. Yaya menangis sebab bahagia. Bergetar sekujur tubuh Yaya menahan rasa.

"Kak Maira, Kak Yaya dah mula menangis," adu Yana. Yana ni adik Yaya. Mereka cuma dua beradik.

"Yaya menangis?" Maira bergegas menghampiri Yaya.

Kelam-kabut Yaya menyeka jatuhan air matanya. Bukan apa, Maira kalau membebel, payah hendak berhenti. Malangnya jatuhan air mata Yaya semakin lebat. Yaya kalah pada emosinya.

Maira memilih untuk duduk di sisi Yaya. Bahu Yaya ditarik rapat padanya.

"Yaya, jangan menangis. Cairlah make up kau nanti. Kalau dah cair, nanti tak cantik."

Air mata Yaya bukan dapat ditahan-tahan. Lagipun sejak tadi lagi Yaya berusaha keras menahan air matanya dari jatuh. Bila sudah jatuh, amat payah dipujuk supaya berhenti. Jadi biarlah hari ini, Yaya tadahkan telinga mendengar bebelan Maira.

"Tengok tu, maskara dah bersememeh. Dah macam panda mata kau sekarang. Ini kalau Faiz nampak, terus lari agaknya."

Bersememeh? Mata Yaya macam panda? Faiz lari kalau melihat mata Yaya sekarang? Cepat saja Yaya memeriksa keadaan matanya.

Kurang ajar! Maira mengusik rupanya! Tapi aneh, sebab Maira tidak membebel. Padahal Maira sangat terkenal sebagai teman yang suka membebel kalau ada yang tidak kena. Mungkin sebab hari ini hari istimewa. Hari ini Yaya menukar statusnya dari being single kepada being engaged.

"Senyum sikit. Jangan nangis dah. Nanti bakal keluarga mertua kau ingat, kau menangis sebab tak nak jadi tunang Faiz. Sedih mereka nanti."

Yaya membersihkan sisa air matanya. Nafas dihela panjang. Yaya harus menenangkan emosinya semula.

"Walaupun ikut perbincangan waktu bertunang enam bulan, tapi kalau persiapan semua dah lengkap, kita awalkan. Saya ni, dah tak sabar nak ada anak menantu. Lama dah kami tunggu menantu pertama datang ke rumah kami," seloroh ayah Faiz sambil memandang semua tetamu yang menjadi saksi perbincangan rasmi sebentar tadi.

Bergema suara-suara setuju dari kedua belah pihak keluarga. Nampaknya mereka suka cadangan ayah Faiz. Yaya pun suka. Lebih awal, lebih bagus, supaya terhindar fitnah dan kerja jahat syaitan. Lagipun, Yaya mahu lekas-lekas menoktahkan status bujang Faiz. Biar Faiz jadi miliknya dan tidak lagi dirisik perempuan lain. Kalau nak tahu, Yaya ni kuat cemburu orangnya.

"Saya sependapat dengan suami saya. Yaya dengan Faiz dah lama bercinta. Dah kenal sangat hati budi masing-masing. Sekarang masanya kita panjangkan percintaan mereka dengan perkahwinan. Kita halalkan apa yang haram."

Bergema lagi suara setuju dari kedua belah pihak.

"Pihak saya tak ada masalah, kak. Lagi cepat, lagi bagus. Cepat juga kita timang cucu. Harap-harap raya tahun depan, merasalah kita jaga cucu."

Lagi-lagi Yaya mendengar gemuruh suara sanak saudaranya dan kerabat Faiz, menandakan mereka bersetuju.

"Dengar tu Yaya, semua tak sabar nak tengok kau bersanding atas pelamin dengan Faiz," giat Maira sambil tersengih-sengih. Maira antara penyokong tegar kisah cinta Yaya dan Faiz. Semua rahsia percintaan Yaya dan Faiz, ada dalam tangan Maira. Lagipun, Maira tali barut Faiz semasa lelaki itu mahu menyunting Yaya sebagai kekasihnya.

Jatuh lagi air mata Yaya. Yaya mengesat-ngesat matanya. Kalaulah Faiz tidak dapat panggilan mengejut dari pihak KPJ Ampang pagi tadi, pasti Faiz ada di sini sekarang. Pasti Faiz dapat merasai apa yang Yaya rasa sekarang.

Tiba-tiba saja Yaya jadi rindu pada lelaki yang baru saja menjadi tunangnya itu. Yaya tamak, Yaya mahu Faiz berada di depan matanya sekarang.

"Yaya, kenapa ni? Tadi kau dah tak menangis. Ni dah basah balik mata tu."

"Aku nak Faiz ada dekat majlis ni," luah Yaya satu persatu.

"Dah, jangan sedih-sedih. Faiz ada dekat Ampang saja kut. Bukan jauh pun, semenanjung Malaysia juga. Tak sampai lima jam drive, dah sampai. Kalau naik flight, lagi cepat kau sampai. Lagipun, Faiz kan dah janji, malam ni dia nak datang ke sini."

Ada saja cara Maira mahu memujuk Yaya. Dan Yaya selalu terpujuk.

"Aku rasa bahagia sangat sekarang ni, Maira. Dalam masa sama, aku nak Faiz ada dalam majlis ni sekali. Tapi aku tak boleh tamak," luah Yaya dengan suara yang tertahan.

Yaya mesti akur. Tugas Faiz sebagai doktor besar tanggungjawabnya. Faiz on call tak kira masa. Dan biarpun begitu, Yaya bangga dengan Faiz. Cuma kadang-kadang sebagai manusia yang khilaf, Yaya boleh bertukar tamak. Maafkanlah perangai Yaya yang satu ini wahai Faiz. Yaya janji, akan lentur perangai tamak Yaya supaya lebih rasional.

Kalau hendak tahu, Faiz lelaki yang Yaya pilih sendiri. Lelaki yang Yaya jumpa di perkarangan Masjid Al-Falah lebih dua tahun dahulu. Lelaki yang Yaya rasa, lelaki paling kurang ajar pernah Yaya jumpa. Bayangkanlah, baru berjumpa Faiz sudah menempelaknya.

Namun itu cerita lapuk, cerita basi, sebelum Allah pertemukan Yaya sekali lagi dengan Faiz. Pertemuan kedua yang mengenalkan Yaya pada peribadi Faiz yang sebenar. Peribadi cemerlang lelaki itu membawa hubungan mereka berdua ke fasa pertunangan, dan dengan izinNya, akan disambung ke fasa pernikahan.

"Yaya, enam bulan tu tak lama. Kau kena buat persiapan dari sekarang. Kau dah kena mula beli barang persiapan kau sikit-sikit."

Yaya membalas pandangan mata Maira dengan senyuman di bibir.

Iya, enam bulan itu tak lama. Pejam celik pejam celik, tahu-tahu Faiz sedang menggenggam tangan kadi. Yaya pun tidak suka sesuatu hal dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Kalau boleh, Yaya mahukan kesempurnaan sewaktu majlis pernikahan dan persandingannya nanti.

"Tapi aku rasa, dua bulan lagi kau dah kahwin dah dengan Faiz."

Besar mata Yaya.

"Jangan mengarutlah. Dua bulan cepat sangat. Mana sempat nak buat persiapan."

Maira menyiku pula bahu Yaya.

"Aku cakap ni berdasarkan pandangan mata aku. Aku tengok gaya Faiz tu, dah tak sabar-sabar nak tukar status kau jadi puan. Aku jamin, sepuluh bulan kemudian kau dah ada anak dengan Faiz. Bunting pelamin!" usik Maira sambil ketawa. Suka sangat dia dapat menyakat Yaya.

Merah padam muka Yaya mendengar karangan cerita Maira. Suara Maira boleh tahan kuat.

"Perlahanlah sikit suara tu. Kalau mereka yang dekat luar tu dengar, malu!"

Maira peduli apa. Yang jelas, dia memang seronok menyakat Yaya.

"Kuwek kuwek kuwek," giat Maira sambil membuat suara bayi kecil menangis. Kemudian dia buat pula gaya sedang mendodoi bayi kecil tersebut.

Yaya baru mahu memberi cubitan bantahan bila tiba-tiba saja telefon bimbit pintarnya berbunyi. Ada pesanan whatsapp yang masuk, daripada Faiz. Faiz yang Yaya rindu setengah mati.

Yaya, macam mana dah? Cincin I dah jadi peneman jari you ke?

Yaya membaca pesanan itu dengan senyuman paling manis di bibir. Yaya tidak memberikan jawapan balas. Yaya sengaja membuat Faiz ternanti-nanti. Dan sebaliknya Yaya meminta Maira mengambil gambar jarinya yang berhias cincin cinta Faiz.

Selepas itu Yaya membuka akaun Instagram(IG)nya. Gambar yang diambil Maira tadi dimuat naik lalu Faiz ditag.

Begini caption jiwa Yaya hari ini;

Dear manusia seluruh dunia,
Hari ini Yaya telah disunting. Zaman dara Yaya bakal dinoktahkan oleh doktor Faiz Ilyas. Doakan yang indah-indah dan manis untuk seorang Yaya dengan Faiznya.

#faizyaya
#enambulandarisekarang
#kerjakahwinkami
#pray4us

- Bersambung -

No comments:

Post a Comment