Friday 5 August 2016

Bab 06 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand

AWAN yang berarak lembut kelihatan sangat gelap. Mungkin sebentar lagi hujan turun. Cuma belum dikenal pasti hujan yang bakal turun ini renyai ataupun lebat. Sama juga halnya dengan sekeping hati lelaki milik Har anak Pak Ngah. Sejak tadi tidak tenang, seperti ada berita buruk yang bakal menyapa. Sekejap-sekejap dia menoleh pada Caldinanya yang baru saja hendak disentuh oleh tangan-tangan mekanik.

"Lambat lagi ke, Paei?"

"Kau baru sampai, bro. Setengah jam pun tak sampai lagi. Walaupun kau kawan baik aku, tapi kau mesti ikut giliran."

Apa yang Paei bebelkan betul. Har anak Pak Ngah tak boleh mengambil kesempatan dengan memotong barisan menunggu.

"Kenapa ni? Kau nampak tak selesa. Mesti fasal Lia ni?"

"Tak ada apalah. Kau tu, bila nak pikat Lia?"

"Tak mampu aku nak pikat Lia, Har. Mata Lia pandang kau saja. Sebelah mata pun dia tak pandang aku."

"Kau mengalah cepat sangat, memanglah Lia tak pandang."

"Lia memang tak nak pandang aku. Aku ni anak jati Melayu, tak ada campuran Portugis macam Lia. Mestilah tak setanding kalau nak berdiri sebelah Lia."
"Kau nak aku tolong?"

Paei geleng-geleng kepala.

"Jangan, aku tak nak Lia fikir aku gunakan kau untuk pikat dia. Aku nak usaha sendiri."

"Bila kau nak mula usaha sendiri tu? Aku tak nampak sebarang perkembangan baik pun. Yang aku nampak, kau dah jarang datang rumah nenda."

"Sudahlah tu, jangan cakap fasal cerita sedih aku tu lagi. Kalau buka cerita fasal kau lebih baik. Kau banyak cerita sekarang."

Paei menggaru-garu lengannya yang tidak gatal. Kalau Paei sudah melakukan aktiviti menggaru lengan begini, pasti dia hendak menjadi CIA tidak berbayar.

"Kau nak tanya apa? Tanyalah. Tak payah nak garu-garu lengan tu."

Paei menampar-nampar bahu Har anak Pak Ngah. Kemudian dengan selamba dia mengambil tempat di sisi temannya itu.

"Dengar cerita kau pinang anak dara orang. Betul ke?"

Paei menyiku lengan Har anak Pak Ngah. Bibirnya bukan main lagi melukis senyuman ada makna. Makin galak dia menyiku bila melihat Har anak Pak Ngah melarikan pandangan.

"Cerita tu tak betul," beritahu Har anak Pak Ngah. Dalam hati dia sibuk mencari tahu siapa yang menyebarkan khabar tersebut.

"Mustahil tak betul. Angin dah bertiup kencang, sampai bergoyang-goyang pokok tu. Tempua pun makin banyak yang bersarang rendah."

Habis rosak peribahasa Melayu dikerjakan oleh Paei. Kalau cikgu Bahasa Melayu Paei baca, pasti sedih.

"Aku tak pinang anak dara orang, yang pinang ibu dengan ayah aku."

"Loyar buruk pula kau ni. Kalau dah mak cik dengan pak cik yang pergi, samalah macam kau juga yang pergi. Jadi bila langsungnya?"

Sepi daripada pihak Har anak Pak Ngah. Dia terlalu tekun membaca pesanan Whatsapp yang baru masuk.

"Bila? Aku nak sediakan hadiah besar ni. Kalau kau beritahu last minute, aku tak nak sediakan hadiah."

Barulah Har anak Pak Ngah mengangkat wajah. Jelas nampak kalut air muka lelaki  Melayu-Jawa-Portugis tersebut. Lihatlah, Har anak Pak Ngah sudah bangun sembari mundar-mandir di depan Paei.

"Kenapa macam ayam berak kapur pula muka kau ni? Siapa yang hantar message? Tunang kau?" Paei pegang bahu Har anak Pak Ngah.

"Bakal adik ipar aku yang hantar."
"Bakal adik ipar kau cakap apa?"

Har anak Pak Ngah memilih untuk menjawab soalan Paei dengan soalan.

"Kereta aku tu agak-agak siap pukul berapa?"
"Lambat lagi. Tayar pun belum tukar. Minyak hitam baru nak tukar."

"Kalau macam tu aku nak pinjam motor kau dulu."
"Hah?"
"Sekejap saja."

"Kau ni dah kenapa? Tiba-tiba nak pinjam motor buruk aku pula."
"Nanti aku cerita. Sekarang kunci mana?"

Paei masih kebingungan. Wajahnya nampak terpinga-pinga bila berterusan diasak oleh Har anak Pak Ngah.

"Kunci mana? Aku nak cepat ni," gesa Har anak Pak Ngah. Helmet yang elok terletak di tepi meja segera diambil.

"Itu bukan helmet aku. Itu helmet Razif."
"Helmet kau mana?"

Paei tersengih-sengih bagaikan kerang tidak laku di pasar pagi.

"Aku tak pakai," jawabnya kemudian. Memaksa Har anak Pak Ngah melilau mencari Razif.
"Razif, pinjam helmet kau sekejap."

Razif yang tidak tahu apa-apa itu lebih teruk gaya terpinga-pinganya.

"Helmet ni, aku nak pinjam."
Meskipun masih dalam keadaan terpinga-pinga Razif tetap memberi persetujuan.

"Masalah helmet selesai. Kunci motor kau mana?"

"Kau ni biar betul, Har.Motor aku tu tak betul sikit. Kalau kau nak pergi dekat-dekat bolehlah. Kalau jauh, ada kau kena tolak motor tu dekat tengah jalan nanti."

"Dekat saja, tak jauh dari sini. Kunci motor kau mana? Yang ni ke?"

Tidak sempat Paei mengiyakan, Har anak Pak Ngah sudah menghidupkan enjin motor kapcainya.

"Hati-hati, Har. Jangan bawa laju sangat. Jangan bawa lebih 80. Kalau laju, bunyi motor tu meletup-letup."

Nasihat Paei tidak masuk ke dalam telinga Har anak Pak Ngah. Bunyi enjin motor kapcai Paei terlalu kuat.
Belum pun lima belas minit perjalanan, motor kapcai Paei sudah buat hal. Imbangan motor kapcai Paei jadi tidak seimbang, memaksa Har anak Pak Ngah berhenti di bahu jalan.

Tua sepuluh tahun muka Har anak Pak Ngah setelah melihat tayar depan motor kapcai Paei kempis.

"Tayar pancit pula," keluh Har anak Pak Ngah. 
Tangannya cepat saja meraih telefon bimbit.

"Paei!" jerit Har anak Pak Ngah bila suara Paei kedengaran di hujung talian. Lori dan kereta yang lalu lalang memaksa Har anak Pak Ngah meninggikan suara.

"Kau dekat mana ni? Dah sampai?"
"Belum, separuh jalan pun tak sampai lagi. Tayar motor kau pancit ni. Kau ada kawan tak yang boleh tukar?"

"Macam mana boleh pancit pula tu? Aku baru tukar tayar baru dua hari lepas."

"Manalah aku tahu. Benda dah nak jadi."
"Habis tu macam mana sekarang? Caldina kau tak siap lagi ni."

"Kau tolong call siapa-siapa datang tukar tayar motor ni."

Sepi sekejap di hujung talian.

"Kau dekat mana?"

"Aku hantar location sekarang. Kalau boleh cepat sikit. Aku risau nak hujan saja ni."

Talian dimatikan. Kemudian Har anak Pak Ngah menolak motor kapcai Paei menuju ke perhentian bas yang berhampiran. Boleh tahan juga jauhnya perhentian bas tersebut. Kira-kira 400 meter.

Kurang lima belas minit, barulah kawan Paei datang. Selesai tayar ditukar, Har anak Pak Ngah kembali menunggang motor kapcai Paei. Namun itulah, belum cukup 10 kilometer perjalanan, motor kapcai Paei buat hal lagi. Motor kapcai Paei mengeluarkan bunyi meletup-letup. Siapa yang mendengarnya pasti menoleh dua kali.

"Paei," gerutu Har anak Pak Ngah. Kelajuan diperlahankan supaya bunyi meletup-letup itu berkurangan. Sedihnya tidak ada apa yang berubah. Bunyi meletup-letup itu masih mengiringi Har anak Pak Ngah menuju ke rumah Marginanya.

Pot! Pot! Pot! Pooottt! - Bunyi motor kapcai Paei

- Ber.Sam.Bung -

5 comments:

  1. hahahahahaha...
    lawak giler bunyi motor Paei....

    ReplyDelete
  2. Sorry, i am very used to go to bookshops for your novels. How to pre-order? This novel Cik Margina...
    Any contact number, bank account...

    ReplyDelete