Sunday 1 October 2017

Bab 06 ~ Kerinduan


RASA rindunya pada Aliff sudah tidak tertanggung lagi. Ini kali pertama Aliff bermalam di rumah Mak Toknya lebih lama berbanding biasa. Setiap hari Hajar menghitung waktu. Penuh sabar dia menunggu Ahad menjelma. Kalau mengikut kiraan, ada tiga hari lagi sebelum Ahad menjelang. Tiga hari ini tidak ubah seperti tiga purnama. Kalau diikutkan rasa rindu Hajar yang tidak tertanggung ini, sekarang juga Hajar pecut Myvinya ke Shah Alam.

Namun bila memikirkan Din sudah pulang, Hajar batalkan niat tersebut. Hajar usahakan juga bersabar. Hajar belum lupa perang mereka di dalam telefon beberapa hari lepas.

"Hajar."

Hajar mengangkat wajah. Baru sedar kalau Dani berdiri di sisi mejanya bersama senyuman lebar.

"Kak Hajar." Hajar sengaja membetulkan sebutan namanya. Dahulu pun Dani memang memanggilnya dengan nama Kak Hajar. Sekarang saja Dani gatal memanggil namanya terus tanpa sebutan kakak. Itu salah wahai Dani!

"Zaman adik angkat kakak angkat dah lama berlalu."

Pandai Dani menjawab. Sempat kelu lidah Hajar.

"Tapi kakak, tetap kakak Cikgu Dani," tegas Hajar sambil menyusun buku latihan pelajarnya. Dalam erti kata lain, Hajar buat-buat sibuk.

"Janganlah formal sangat, Hajar. Kekok saya ni bila Hajar panggil saya Cikgu Dani. Panggil Dani dah cukup."

Hajar menoleh ke belakang bila mendengar ada tawa kecil yang terdengar. Fatim yang ketawa. Membesar kedua belah mata Hajar.

"Dah berapa hari tak nampak Aliff. Aliff sakit ke?"

"Aliff tak sakit, Dani. Aliff bermalam dekat rumah Mak Tok dia seminggu ni. Isnin depan, insya-Allah Dani boleh jumpa Aliff semula."

Tanpa dipinta, Fatim yang memberi jawapan bagi pihak Hajar. Bukan apa, Fatim kasihan dengan Dani. Hajar bukan hendak jawab soalan Dani. Lihat air muka Hajar pun, Fatim sudah dapat menduga nasib Dani macam mana.

"Rumah Mak Tok Aliff dekat mana?"

"Dekat Shah Alam. Tak jauh mana. Kenapa Dani tanya? Dani pun rindu Aliff."

Mahu saja Hajar bangkit dari kerusinya dan bergerak ke kelas. Biarpun kelasnya akan bermula setengah jam lagi.

"Rindu juga nak tengok keletah Aliff."

"Keletah bondanya tak rindu sekali?"

Kurang ajar! Berani Fatim menduga Dani dengan soalan mengarut begitu.

"Kalau saya rindu pun Kak Fatim, bonda Aliff bukan nak terima rindu saya ni. Rindu saya ni dipandang sebelah mata saja."

Berpijar muka Hajar. Berpijar bukan sebab malu, tetapi sebab menahan rasa mendengar jawapan Dani. Semua ini salah Fatim. Fatim tidak sepatutnya menggalakkan Dani.

"Kalau Dani perlukan apa-apa pertolongan, beritahu Kak Fatim cepat. Kak Fatim tolong. Isi hati Hajar tu, Kak Fatim dah tahu selok-beloknya macam mana."

Aneh, Dani nampak tersipu-sipu mengalahkan anak dara. Setelah mengulum senyum ada makna, akhirnya bekas adik angkat Hajar itu berlalu pergi. Meninggalkan Hajar yang telah bersiap sedia melancarkan perang dingin terhadap Fatim.

"Kau ni kenapa?"

"Kenapa apanya?"

"Kenapa galakkan Dani? Kalau dia salah faham macam mana?"

"Apa salahnya? Kau dengan Dani single. Kalau dia salah faham pun, tak salah."

"Dani tu pangkat adik aku. Lagi satu, dia tu bujang, aku ni janda, Fatim. Mana sepadan teruna dengan janda nak digandingkan bersama."

Sengaja Hajar menekankan perkataan janda. Biar Fatim lekas sedar.

"Hajar, sekarang ni, semua tu dah tak pakai. Asal suka sama suka, kahwin terus. Halalkan apa yang patut."

"Itu kata kau, bukan kata family Dani. Dahlah, tak nak cakap hal ni lagi."

Sengaja Hajar menutup perbualan tentang Dani. Hajar harap sangat Fatim segera beredar.

"Dani tu baik. Dia matang walaupun dia muda empat tahun daripada kita. Lagipun aku tengok dia mesra dengan budak-budak. Tak kekok dia layan Aliff. Dani tu calon ayah terbaik untuk Aliff."

"Fatim!"

Fatim sambung gelak sebelum mengambil buku mengajarnya.

"Jangan jual mahal sangat. Nanti kalau Dani bosan, kau juga yang melepas. Melopong tak sudah kau nanti bila Dani kahwin dengan orang lain."

Persetan dengan perkataan 'melepas' dan 'melopong'. Hajar tak kisah terlepas Dani. Sumpah, Dani macam adik Hajar. Bagaimana mungkin seorang adik hendak dijadikan suami?

"Dengar nasihat aku ni," pesan Fatim sebelum dia keluar dari kawasan bilik rehat guru.

Hajar hanya mampu mengeluh. Bertahun-tahun dia putus hubungan dengan Dani. Sejak Dani pindah sekolah sewaktu di tingkatan satu. Maklumlah, pada waktu itu bukan macam sekarang. Telefon bimbit mahal harganya dan pelajar sekolah macam Hajar dan Dani takkan mampu membeli telefon bimbit.

Sekarang mereka dipertemukan lagi. Bezanya sekarang, Dani tak sudi lagi memanggilnya kakak Hajar. Paling Hajar risaukan, layanan Dani. Entah kenapa naluri Hajar memberitahu, Dani menyimpan hasrat hati yang takkan mungkin Hajar balas.

"Harap-harap apa yang dalam kepala ni tak betul," doa Hajar berkali-kali. Fokusnya ditumpukan pada buku latihan pelajarnya. Hal Dani, mohon menjauh.

Petangnya Hajar termangu di sisi Myvi putihnya. Sejak tadi Si Putih itu merajuk dan enggan hidup bila kunci diputar. Mekanik yang datang hanya memberi khabar yang Si Putih kesayangannya perlu masuk 'hospital'.

Cuak muka Hajar. Sebenarnya Hajar mahu ke Perpustakaan Negara untuk membeli beberapa buku rujukan terkini. Hajar selesa membeli di sana. Lagipun Hajar ada kenalan dan jarak hendak ke Perpustakaan Negara bukanlah jauh sangat.

"Nak tumpang aku balik tak?"

Hajar geleng kepala pada Fatim yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

"Aku nak ke Perpustakaan Negara dulu."

"Kalau macam tu, minta Dani hantarkan."

Hajar menjengilkan matanya.

"Tak payah. Aku dah call grab. Kau jangan nak cuba-cuba beritahu Dani."

Fatim kaya dengan ketawa hari ini. Muka cemberut bercampur cuak Hajar memang mengundang tawa panjang.

"Okey, tapi kalau grab car tu tak sampai-sampai, minta tolong Dani."

Maaf Fatim. Dalam mimpi pun Hajar takkan minta tolong Dani. Ini keputusan Hajar.



DIN menolak pintu kaca 7-Eleven dengan tenaga yang separuh. Kelaparan dan kelelahan. Sejak pagi tadi sehingga santak senja, cuma tiga keping donut yang menjadi habuan. Hendak jamah nasi, macam rugi pula. Sebabnya sebentar lagi Maghrib memberi salam.

Jadi pilihan Din adalah Maggie Hot Cup perasa tom yam yang dijual di 7-Eleven. Cepat, mudah dan boleh beri rasa tenang sedikit pada perut yang kelaparan. Kalau makan nasi terus, payah hendak rukuk. Silap-silap dia melengahkan solat. Paling teruk kalau dia terlepas waktu solat. Dapat dosa pula nanti.

Jari tangan Din tidak jadi menarik pemicu air panas ketika telefon bimbitnya berbunyi minta dijawab. Namun bila melihat nama pemanggil yang tertera, air muka Din bertukar suram. Talian dimatikan.

Malangnya pemanggil tersebut sangat degil. Dia masih menghubungi Din. Bosan dengan telefon bimbitnya yang asyik berbunyi, Din matikan telefon terus. Din enggan melayan Dahlia. Dahlia isteri orang. Din tidak mahu dituduh cuba untuk menggoda isteri orang.

Haruman khas mee segera berperisa tom yam cepat benar menular di udara. Asap putih naik berkepul-kepul membentuk bulatan lalu hilang. Yang pasti, hidung Din kembang-kempis menghirup bauan mee segera tersebut. Sekarang dia cuma perlu menunggu dua minit. Dua minit yang panjang pastinya.

Din menebarkan pandangan keluar dari dinding kaca. Menyaksikan sendiri kesibukan warga Kuala Lumpur mengejar masa. Dan sorotan Din terhenti pada satu figura. Figura itu jauh, nun di seberang jalan. Nampaknya dia sedang menunggu untuk melintas.
Hasil dari pemerhatian Din adalah seperti berikut;

- Figura itu milik seorang perempuan.

- Berbaju kurung corak bunga-bunga kecil.

- Memakai tudung bawal kosong berwarna biru lembut.

- Hanya memakai capal yang biasa-biasa.

- Tangan kanannya memegang payung hitam, yang nampak sudah rosak sedikit. Mungkin salah satu besi kecilnya sudah patah, jadi lengkungan payung tersebut nampak tidak sempurna.

- Tangan kirinya memegang bungkusan plastik.

- Sebab jauh, jadi Din belum dapat memastikan wajah perempuan itu bagaimana. Lagipun hujan lebat.

Sumpah, Din kasihan melihat keadaan perempuan tersebut. Ketika dia melintas, hujan bertambah lebat. Lebih malang bila angin rakus Kuala Lumpur turut bertiup kencang. Habis payung hitam perempuan itu rosak akibat tiupan angin yang kuat. Mahu tidak mahu perempuan itu berlari-lari anak supaya tidak berterusan dihentam air hujan.

Nah, sekarang perempuan itu berdiri betul-betul di depan Din. Yang memisahkan pun hanya dinding kaca yang tebalnya entah berapa inci. Apa yang jelas, perempuan itu memang seperti anak kucing yang baru jatuh longkang. Sekujur tubuhnya pula mengeletar menahan kesejukan.

Ini aneh, sebab tangan Din terketar-ketar. Lebih mengejutkan bila air panas dari Maggie Hot Cupnya mulai melimpah.

"Panas! Panas! Panas! Panas! Panas" cetus Din lantas lekas-lekas meletakkan Maggie hot cup perisa tom yam itu di atas meja yang disediakan. Kemudian sepasang matanya jadi jahat semula. Sejak tadi matanya enggan melepaskan figura perempuan di depannya.

Baiklah, ini hasil pemerhatian Din bila perempuan itu berada betul-betul di depan matanya.

- Namanya Hajar. Din sangat yakin perempuan di depannya ini memang Hajar. Hajar yang mana satu? Hajar bekas kakak ipar Din! Din takkan salah sebab arwah abang Fadhil ada menghantar gambar Hajar padanya.

- Baju kurung Hajar dari kain kapas. Sayang sekali baju kurung kain kapas tersebut tidak melindungi langsung bila sudah basah kuyup. Melekat bagaikan digam pada tubuh Hajar. Mulalah semua lekuk pun kelihatan. Din sendiri sudah tiga kali menelan liur. Aduh, payah kalau begini.

- Capal Hajar rosak pula! Talinya putus sebelah.

- Kalau bercakap soal wajah.. Subhanallah, cukup lembut raut wajah Hajar. Alisnya elok terbentuk. Hidungnya kecil dan tidak kembang seperti gen hidung orang asia yang biasa Din lihat. Sepasang matanya nampak bening. Paling Din geram dengan bibir Hajar. Meskipun bergetar kesejukan, tetap juga membuat jantung Din menyanyikan irama aneh-aneh.

Masya-Allah Din! Berdosa tilik seorang perempuan sampai bernafsu begini. Cepat istigfar. Jaga iman. Jaga mata. Jaga hati tu.

Din memang menurut perintah. Bibirnya mula bergerak-gerak memohon keampunan. Cuma matanya saja yang degil. Paras degilnya setinggi langit gara-gara takjub melihat makhluk ciptaan Allah yang satu ini.

Segala rasa takjub Din hilang bila sorotannya bertaut dengan Hajar. Tidak berkelip mata Din bila ditangkap basah begini.

Cukup lima saat, Hajar terus angkat kaki. Lari daripada Din yang gatal menilik seorang perempuan.

"Encik.." panggil satu suara halus. Bahu Din ikut dicuit.

Din memang menoleh, tapi dengan seraut wajah macam hendak telan orang.

"Apa?"

"Err.. Maggie encik dah kembang sangat tu."

Din membesarkan matanya. Baru teringat tentang mee segera yang telah dicurah dengan air panas tadi.

Ya Tuhan, hilang selera Din melihat keadaan mee segera tersebut. Kembang dan kuahnya telah kering tersejat. Serentak dengan itu, azan Maghrib mula kedengaran sayup-sayup dari telefon bimbit salah seorang pengunjung di kedai tersebut.

Din, solat dulu. Hal-hal duniawi yang lain, tolak ke belakang. Yang wajib mesti didahulukan. Dan yang paling penting, lupakanlah fasal Hajar. Ingat Din, Hajar tu muka saja baik. Hatinya jenis pisau cukur.


***

- Bersambung. Versi cetak yang boleh dipegang bakal release pada Oktober 2017. Untuk pembelian, boleh berurusan dengan pihak Karya Seni (KS) -

No comments:

Post a Comment