Tuesday 28 June 2016

Bab 02 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand



DAHINYA dipicit keras. Nafas juga dilepaskan secara perlahan-lahan. Kemudian sekali lagi dahinya dipicit. Berharap benar ketenangan yang dicari datang lalu memujuk hatinya yang sedang rusuh.
Margina gagal! Rasa tenang yang dicari tak juga kunjung tiba. Kelopak matanya yang sejak tadi tertutup rapat, mendadak dibuka luas-luas. Nun di atas meja tulis Margina elok terletak jambangan bunga.
Margina dapat kiriman bunga tahi ayam lagi. Margina dipanggil Cik Mar.Gi.Na Kassim Baba lagi.Masuk kali ini, sudah empat kali Margina dapat bunga tahi ayam dengan nota yang sama. Margina tak suka. Jambangan bunga tahi ayam itu terus dibuang ke dalam bakul sampah.
"Sayang betul pengirim bunga ni dekat Kak Long."
"Dia bukan sayang, tapi nak melancarkan perang dengan Kak long."
"Dia nak pikat Kak Long tu. Tengoklah, tak jemu dia hantar bunga. Kalau Fahmy jadi Kak Long, dah lama Fahmy setuju jadi kekasih dia."
Fahmy ketawa mengekek di hujung kata-katanya. Dia suka melihat air muka Kak Long Marginanya kalau cemberut. Sekarang dia mengutip jambangan bunga tahi ayam yang dibuang tadi dan kemudian diletakkan elok-elok dia atas meja tulis Kak Long Marginanya. Sengaja mahu melihat air muka Kak Long Marginanya bertambah cemberut.
"Terima sajalah bunga tahi ayam ni, Kak Long. Bunga tu cantik. Kalau tanam dekat kebun bunga ibu, mesti lagi cantik laman rumah kita ni."
"Fahmy ni suka sangat bila Kak Long dapat bunga tahi ayam. Nanti kalau Kak Long tiba-tiba kena culik, baru Fahmy rasa."
"Kenapa kena culik pula?"
Margina melangkah setapak ke arah Fahmy. Biar lebih dekat. Biar Fahmy mendengar setiap patah katanya.
"Fahmy sedar tak yang pengirim bunga tahi ayam ni skru otak dia dah tanggal tiga biji?"
Margina menaikkan tiga jari kanannya. Diawangkan betul-betul di depan muka Fahmy.
"Tak baik Kak Long cakap macam tu."
"Kak Long bukan suka-suka nak cakap skru otak dia tanggal, tapi lelaki normal takkan hantar bunga tahi ayam dekat seorang perempuan. Sebab dia tak normal baru dia galak sangat kirim bunga tahi ayam. Mula-mula kirim bunga tahi ayam. Entah-entah lepas ni dia culik Kak Long."
"Taklah. Pengirim bunga tu skru otak dia lengkap lagi. Dia sayang Kak Long. Fahmy yakin yang pengirim bunga tu sayang betul pada Kak Long."
Mengecil sepasang mata bundar Margina. Sorotannya berubah jadi sorotan helang.Fahmy turut dihampiri.
"Mesti kawan Fahmy yang hantar bunga tahi ayam ni dekat kak long, kan?"
"Ke situ pula Kak Long ni. Mana ada."
"Jangan tipu."
Nampaknya Fahmy telah bersedia untuk melarikan diri. Dia sudah bangun lantas susup sasap berlari ke arah pintu.
"Fahmy!" jerit Margina bila melihat Fahmy telah berada di muka pintu.
"Ada apa ni? Dah besar panjang pun nak bertekak juga?"
Pak Cik Adenan muncul di muka pintu.Pada tangan Pak Cik Adenan terdapat akhbar hari ini.Mungkin Pak Cik Adenan terganggu dengan suara saling bertingkah Margina dan juga Fahmy.
"Kak Long tu, tak habis-habis cakap kawan Fahmy yang hantar bunga tahi ayam dekat dia."
"Fahmy beriya sangat bela pengirim bunga tahi ayam ni, ayah. Margina kenal sangat dah dengan perangai Fahmy."
"Bukan kawan Fahmy, Kak Long," nafi Fahmy sekeras-kerasnya.
"Kalau susah sangat, biar ayah yang mengaku. Pengirim bunga tahi ayam tu kawan ayah."
Sukalah tu Fahmy bila Pak Cik Adenan jadi penyelamat. Menurut Margina, Fahmy sudah besar panjang. Ayahnya yang tercinta tak sepatutnya menangkan Fahmy lagi, dibimbangi adik kesayangannya itu semakin hari semakin besar kepalanya.
Ketukan di pintu membantutkan perbualan yang sedang berlangsung. Mak Cik Khalijah datang dengan pakej tergopoh-gapah. Lihatlah, nafas Mak Cik Khalijah termengah-mengah. Pasti ada hal penting yang buat Mak Cik Khalijah jadi begini.
"Bonda abang..."
Suara Mak Cik Khalijah putus-putus. Kepenatan setelah mendaki anak tangga pada kelajuan pantas.
"Bonda abang ada dekat bawah sekarang. Bonda nak jumpa kita semua. Ada hal penting.," sambung Mak Cik Khalijah setelah nafasnya berjaya diatur.
Margina faham kenapa ibunya yang tercinta jadi teruja begitu. Selama berbelas-belas tahun ibunya yang tercinta tidak diiktiraf oleh Nenda Dasimah sebagai menantu. Jadi kedatangan Nenda Dasimah hari ini membawa makna yang sangat besar dalam diri ibunya yang tercinta.
"Cepatlah. Tak elok biar bonda tunggu lama."
Pak Cik Adenan yang masih terkejut dipaksa turun ke tingkat bawah. Margina dan Fahmy mengekori rapat di belakang.
"Nenda."
Amboi, meleret dan manja suara Fahmy. Margina pula lebih selesa memilih untuk memencilkan diri. Margina cuma cucu tiri yang dilupakan dan tidak penting langsung. Mana layak untuk bermanja dengan Nenda Dasimah. Iyalah, darah Nenda Dasimah darah bangsawan. Darah Margina darah marhaen.
"Margina."
Boleh tahan lembut suara Nenda Dasimah. Suara yang begitu menyenangkan. Cuma Margina saja yang terkejut bila namanya dipanggil. Hampir sepuluh saat Margina termanggu tanpa suara.
"Nenda panggil tu," sergah Mak Cik Khalijah sambil menyiku tubuh Margina. Sorotan Mak Cik Khalijah juga sangat garang.
"Sini, datang dekat dengan nenda."
Hari ini dalam sejarah. Nenda Dasimah sedang menggamit Margina datang padanya. Kalau tak percaya, cubalah pandang Nenda Dasimah buat. Nenda Dasimah sedang menepuk-nepuk tempat duduk di sebelahnya.
"Duduk sebelah nenda."
Betul tekaan Margina. Nenda Dasimah memang berharap Margina duduk di sebelahnya.
"Pergilah duduk sebelah nenda," gesa Mak Cik Khalijah bila melihat Margina sedikit ragu untuk melangkah. Kali ini Mak Cik Khalijah sendiri yangmendorong tubuh Margina ke arah nenda.
"Margina dah besar. Dulu masa pertama kalinenda jumpa Margina, Margina kecil lagi."
Bukan Margina menyombong tak mahu jumpa Nenda Dasimah, tapi Nenda Dasimah yang enggan jumpa Margina. Kalau Nenda Dasimah tak sudi, takkanlah Margina nak sorongkan pipi.
"Berapa umur Margina sekarang?"
Bergerak-gerak bibir Margina mahu memberikan jawapan. Sayang sekali jawapan yang Margina karang tidak mahu keluar.
"Margina!"
Keras suara Mak Cik Khalijah memberi amaran. Nampaknya Mak Cik Khalijah tidak suka dengan cara Margina melayan Nenda Dasimah.
"Nak masuk 25 tahun, nenda."
Nenda Dasimah tiba-tiba merangkul tubuh Margina. Selepas itu mengusap lembut belakang tubuh Margina. Mulalah Margina rasa seperti telah menyentuh hati orang tua tersebut. Hilang semua rasa terpencil tadi.
Jadi ini penilaian Margina tentang Nenda Dasimah;
Orangnya sangat cantik. Meski telah dimamah usia, manisnya wajah Nenda Dasimah belum pudar. Mungkin sebab darah yang mengalir dalam diri nenda ada darah Melayu-Jawa-Portugis. Tidak hairanlah kalau Pak Cik Adenan dan Fahmy mewarisi segala keindahan nenda.
Masya-Allah, hari ini dalam sejarah lagi. Buat pertama kalinya Margina lihat senyuman Nenda Dasimah. Nampak sangat khas. Margina yakin Nenda Dasimah pasti jadi rebutan teruna sewaktu zaman mudanya.
"Masa nenda umur 25 tahun, nenda dah anak tiga."
Wow, Nenda Dasimah kahwin muda.
"Margina dah ada calon suami?"
Margina yang biasa-biasa ini tak pernah dapat perhatian lelaki. Darah Margina darah asli Melayu, tidak dicampur dengan darah dari benua yang lain seperti Nenda Dasimah.
"Belum. Tak ada lelaki yang suka saya ni nenda."
"Belum ada?"
Ada rasa pelik yang singgah melihat cara Nenda Dasimah meminta kepastian. Namun Margina mengiyakan juga dengan anggukan.
"Betul tak ada?"
Lain benar cara Nenda Dasimah meminta kepastian. Jantung Margina terus berdegup dua kali ganda deras.
"Margina tu lasak, bonda. Tak lembut macam perempuan lain. Sebab tu sampai sekarang payah nak jumpa jodoh."
Ya ampun, tanpa tapis-tapis lagi Mak Cik Khalijah jaja cerita Margina sebagai anak dara tak laku.
"Tak apa, nenda ada calon untuk Margina."
Nenda Dasimah lupa agaknya. Sekarang zaman serba moden, bukan zaman Cik Siti Wan Kembang lagi. Zaman sekarang anak dara pilih sendiri calon suaminya.
"Har pun dah besar panjang. Tahun ni dah 33 tahun, sesuai sangat dengan Margina."
Nenda Dasimah serius atau sekadar main-main? Sebab Margina sudah tidak senang duduk. Panas punggungnya mendengar setiap ayat yang Nenda Dasimah tuturkan.
"Kalau Margina setuju, lagi dua minggu rombongan meminang sampai."
Bagaikan orang gila Margina bangkit dari tempat duduknya. Sejenak pandangannya bertaut dengan sorotan jernih Nenda Dasimah, atau lebih tepat lagi, sorotan penuh harapan.
"Kenapa?"
Margina mengukir senyum tipis mendengar soalan sepatah Nenda Dasimah. Kalau diikutkan hati jahat Margina, sekarang juga Margina halau Nenda Dasimah. Sama seperti ketika Nenda Dasimah halau Mak Cik Khalijah dulu.
"Nenda dah bincangkan hal ni dengan Amir, Amir tak ada halangan kalau Har berkahwin dengan Margina."
Pantas dan jitu cara Nenda Dasimah mengatur jodoh Margina. Padahal Nenda Dasimah baru jumpa Margina dua kali.
"Margina muda lagi, nenda. Banyak perkara lagi Margina nak buat sebelum tamatkan zaman bujang."
"Dua puluh lima tahun Margina kata muda?"
Jengilan mata Nenda Dasimah boleh tahan. Suara keras Nenda Dasimah juga boleh tahan. Terkunci terus mulut Margina. Margina hanya mampu meminta tolong melalui sorotan mata pada ayahnya yang tercinta.
"Orang perempuan tak elok kahwin lambat. Umur dua puluh lima tahun tu dah masuk dalam kategori lanjut. Orang lelaki pun tak sudi nak pandang."
Kata Nenda Dasimah, bukan kata perempuan muda zaman sekarang. Perempuan zaman sekarang umur 35 tahun seperti umur 25 tahun. Dan andaikata tak ada yang sudi pandang Margina, Margina tidak kisah memegang status anak dara lanjut usia.
"Nanti umur dah tua, anak kecil-kecil lagi."
Zaman sekarang semua itu bukan lagi isu. Tidak sepatutnyaNenda Dasimah samakan zaman Margina dengan zaman anak dara Nenda Dasimah. Bezanya macam langit dengan bumi.
"Lagipun nenda berkenan kalau Har jadi calon suami Margina."
Nenda Dasimah semakin melampau. Mentang-mentang semua ayat bantahan Margina tersekat dikerongkong, Nenda Dasimah serang Margina habis-habisan. Margina tidak diberikan peluang langsung untuk membela diri.
"Bonda serius nak jodohkan Margina dengan Har?"
Nasib baiklah Pak Cik Adenan mencelah ditengah serangan hebat Nenda Dasimah. Kalau tidak, boleh jadi Margina bertukar jadi cucu yang tidak beradab.
"Bonda kalau dah sebut satu hal, tak pernah tak serius, Adenan. Bonda memang nak jodohkan Margina dengan Har. Adik kamu dah setuju dengan rancangan bonda. Har pun tak membantah."
"Tapi hal ni melibatkan Margina, bonda. Biarlah Margina fikir hal kahwin dengan Har ni masak-masak."
"Nak fikir apa lagi? Har tu tak ada cacat celanya. Bukan bonda nak agungkan cucu sendiri, tapi Har tu memang terbaik dekat mata bonda."
Sekarang Margina faham. Har yang nenda sebut-sebut itu cucu Nenda Dasimah. Cuma tidak pasti cucu yang mana satu. Kalau Nenda Dasimah bawa gambar boleh juga Margina lihat.
"Saya tahu bonda, tapi saya pun mesti tanya pendapat Margina. Yang nak hidup dengan Har nanti Margina, bukan kita. Takkanlah kita nak paksa Margina kahwin dan tiga bulan selepas tu bercerai. Saya tak rela anak saya jadi janda sebab kahwin tanpa cinta."
Sorotan Nenda Dasimah mencari anak mata Margina. Sorotan yang membuat Margina beku seperti bongkah ais.
"Margina tak suka Har?"
Margina memandang seketika pada Mak Cik Khalijah. Wanita itu memberi sorotan merayu supaya Margina tidak berkasar dengan Nenda Dasimah.
"Bukan tak suka, nenda. Cuma..."
"Dengar tak, Adenan? Margina bukan tak suka, dia suka Har tu sebenarnya," potong Nenda Dasimah. Sempat membuat Margina nyaris tercekik air liur sendiri.
Wajah ayah nampak resah. Wajah Margina berkali ganda resahnya. Tidak pernah terfikir oleh otak Margina dia bakal dihimpit dalam masalah begini.
"Margina baru habis belajar, baru dapat degree. Takkan dia terus nak kahwin? Berilah Margina peluang bekerja dulu."
Margina sokong seratus peratus cakap Pak Cik Adenan. Margina mahu bekerja dahulu, bebas seperti burung layang-layang. Kahwin belum ada dalam fikiran Margina lagi.
"Har lebih daripada mampu nak sara Margina. Kalau Har nak sara empat isteri pun dia mampu."
Amboi Nenda Dasimah ni, sejak tadi mulutnya tidak lepas memuji Har. Serba-serbi Har nampak sempurna di matanya.
"Saya tahu Har mampu, bonda. Saya tahu Har boleh jaga Margina dengan baik. Saya pak cik Har, saya pun suka kalau dia jadi menantu saya. Tapi macam mana saya suka pun, saya mesti tanya Margina juga. Saya tak nak paksa Margina."
Wajah manis Nenda Dasimah berubah kelat. Tidak senang mendengar semua ayat negatif Pak Cik Adenan.
"Bonda dah pilih calon suami Margina. Macam mana pun, Har dengan Margina mesti jadi. Adenan dengan Khalijah dah pernah kecewakan bonda sekali. Bonda harap bonda takkan dikecewakan buat kali kedua."
Itu dia ayat ugutan secara halus Nenda Dasimah. Ayat ugutan begini yang menaikkan tekanan darah Pak Cik Adenan.
"Bonda tak ada hak nak tentukan siapa jodoh Margina. Margina anak saya."
"Bonda ada hak sebaik saja Adenan kahwin dengan Khalijah. Margina cucu nenda juga."
"Cucu tiri, bukan cucu kandung. Bonda tak berhak..."
"Cucu kandung atau tiri, tetap juga cucu bonda. Sebagai cucu, Margina mesti dengar cakap bonda."
Margina lihat urat leher Pak Cik Adenan mula timbul. Nafas lelaki tu juga turun naik dengan laju.
"Selama ni bonda tak pernah pedulikan kami. Kami hidup atau mati, bonda tak pernah kisah. Kenapa sekarang bonda ubah fikiran?"
Hanya kesepian yang menjawab soalan Pak Cik Adenan. Nenda Dasimah memilih memejamkan mata, menenangkan hati sendiri sebelum kembali bersuara.
"Sebab air yang dicincang takkan putus, Adenan. Macam mana bonda marah Adenan sekalipun, Adenan tetap dalam hati bonda. Adenan tetap anak lelaki bonda."
Bohong besar sangatlah kalau Pak Cik Adenan tidak terharu mendengar cakap Nenda Dasimah. Cuma bila memikirkan permintaan Nenda Dasimah, Pak Cik Adenan mengeluh berat.
"Bonda tak nak berbalah dengan kamu, Adenan. Tujuan bonda ke sini sebab nak ambil kisah fasal kamu sekeluarga. Bonda nak rapatkan lagi hubungan kita dengan serahkan Margina pada Har."
"Banyak cara lagi yang boleh diguna pakai untuk rapatkan hubungan. Saya tak nak Margina lalui apa kami adik beradik lalui."
Wajah kelat Nenda Dasimah mulai merah, petanda orang tua itu sedang marah.
"Bonda datang ke rumah kamu dengan niat baik, Adenan. Bonda tak sangka niat baik bonda kamu campak macam tu saja."
"Bonda jangan salah faham. Saya tak maksudkan macam tu. Saya gembira bonda datang ke sini. Tapi soal jodoh Margina dengan Har rasanya kita perlu perhalusi lagi."
Nenda Dasimah diam lagi. Lebih mengejutkan bila dia mencapai beg tangannya lalu berdiri. Pujukan Pak Cik Adenan selepas itu tidak Nenda Dasimah layan.
"Margina."
Panggilan Nenda Dasimah tidak lagi mesra, tapi terdengar sangat serius.
"Jangan takut dengan nenda. Nenda bukan marah Margina," pujuk Nenda Dasimah kemudian bersama suara yang mulai kendur. Sedar mungkin kalau Margina menjauhkan diri.
"Margina takkan hampakan nenda, kan?"
Soalan Nenda Dasimah seperti hukuman pancung.
"Nenda harap nenda dapat jawapan yang sedap di dengar. Nenda tunggu jawapan Margina," ujar Nenda Dasimah lalu kembali meraih tubuh Margina dalam pelukannya.
Margina menelan liur. Tidak berhenti dia menelan liur. Nenda Dasimah telah memberi kata dua. Kata dua ini kalau Margina pilih mana-mana pun, tetap juga makan diri.
"Har tu lelaki baik. Dia jenis lelaki penyayang. Margina takkan menyesal jadi isteri dia," bisik Nenda Dasimah sebelum pelukannya dilonggarkan. Segaris senyuman manis diberikan pada Margina. Kemudian kedua belah pipi Margina dicium.
Nenda Dasimah pulang selepas itu. Meninggalkan Margina dengan 'selonggok masalah'. 'Selonggok masalah' ini perlu ditangani dengan teliti, sebab 'selonggok masalah' tersebut berstatus cucu kesayangan Nenda Dasimah.

- Ber.Sam.Bung -

2 comments:

  1. terima kasih ya akak untuk sambungannya!

    ReplyDelete
  2. menarik jalan cerita...sangat menghiburkan. Ringan dan santai tapi berisi. thanks sharing to pena kayu

    ReplyDelete