Tuesday 28 June 2016

Bab 03 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand



HAR anak Pak Ngah melihat sekeliling Pesantren Assogiri. Tidak banyak yang berubah. Dahulu dia sempat menghabiskan usianya selama dua tahun setengah di sini. Sekarang kakinya menyentuh lagi tanah di pesantren ini. Bukan sebagai pelajar, tetapi sebagai seorang bekas pelajar yang ingin bertemu kawan lama dan bertanya khabar dengan kiai dan ustaz di sini.
"Hardimin Jose!"
Kenal sangat Har anak Pak Ngah dengan manusia yang sedang memanggil namanya itu. Siapa lagi kalau bukan Amri. Cuma sejak Amri berkahwin dengan anak dara Jawa, nama panggilannya jadi Ade.
"Nyong fikir kuea meneng wis lali karo jejak mu neng kenea." (Aku fikir kau tak nak jejak kaki dekat sini lagi.)
Erat pelukan Ade. Malah berkali-kali Ade menepuk bahu teman lamanya.
"Kepeya nyong ora mamper neng kenen. Pesantren iki wis koyok omah nyong nombor loro." (Mana boleh tak jejak kaki ke sini. Pesantren ni dah macam rumah kedua aku.)
Ketawa Ade berkumandang dengan jelas sekali, petanda hatinya sangat senang. Lihatlah, Ade kembali menepuk-nepuk bahu Har anak Pak Ngah.
"Bagus, tak hilang lagi bahasa Jawa kau. Sekarang ni ramai Jawa murtad. Mengaku keturunan Jawa, tapi tak pandai cakap Jawa."
"Kalau aku tak pandai cakap Jawa, pecah telinga aku ni nak dengar bebelan nenda aku. Kau pun bukan tak kenal dengan perangai nenda."
Tambah panjang saja ketawa Ade. Segera terbayang di kepala Ade wajah nenda Har anak Pak Ngah. Seingat Ade, orang tua itu memang tegas orangnya. Pantang betul kalau anak cucunya tak pandai berbahasa Jawa.
"Lama sangat kau tak ke sini. Aku ingatkan kau kecewa. Maklumlah, anak dara Kiai Rahman kahwin dengan lelaki lain."
"Jangan mengarut. Aku tak pernah simpan hati dekat Aisya. Kau tu suka buat telahan melulu," selar Har anak Pak Ngah dengan wajah tidak senang. Bukan main dalam lagi kerutan pada dahinya ketika ini. Nampak sangat Har anak Pak Ngah tak senang bila dikaitkan dengan Aisya.
"Mengaku sajalah yang kau tu sebenarnya patah hati sebab Aisya pilih lelaki lain. Kau tolak tawaran jadi tenaga pengajar dekat sini sebab kau tak nak bertembung dengan suami Aisya."
Lancar sungguh mulut Ade membuat kesimpulan.
"Aku nak balik."
Bergema tawa Ade mendengar jawapan ala-ala merajuk Har anak Pak Ngah. Suara tawanya berhasil membuat 40 peratus pelajar di pesantren tersebut menoleh ke arah mereka berdua.
Cuak air muka Har anak Pak Ngah. Langkah kakinya diatur ke arah pagar pesantren.
"Nak kemana?"
"Baliklah."
Har anak Pak Ngah merajuk seperti anak kecil. Menoleh pun tidak pada Ade.
"Janganlah macam tu. Baiklah, aku mengalah. Kau tak ada hati pada Aisya," pujuk Ade kemudian sambil mengangkat kedua belah tangannya sebagai tanda mengalah.
"Kalau kau kaitkan aku dengan Aisya lagi, aku balik terus."
"Iya, aku tak kaitkan kau dengan Aisya lagi."
"Aisya tu isteri orang, Ade. Kalau sampai suami Aisya dengar cakap kau, nanti Aisya susah. Suaminya mesti kecil hati."
"Pembetulan. Aisya tu bekas isteri orang."
Sekilas Har anak Pak Ngah mencari sorotan mata Ade. Hilang semua rajuknya tadi. Air mukanya jelas menunjukkan betapa dia payah menerima berita yang disampaikan Ade.
"Betul, aku tak tipu."
Bersungguh benar Ade memberi penjelasan, meski Har anak Pak Ngah belum lagi meminta kepastian.
"Bila Aisya bercerai? Kiai Rahman tak cerita apa-apa pun dekat aku."
"Baru lagi, tak sampai tiga bulan. Kau tu bawa diri lama sangat. Macam manalah Kiai Rahman tak fikir kau dah lupakan dia."
"Aku tak pernah lupakan Kiai Rahman. Sedetik pun aku tak pernah lupakan dia. Beberapa bulan ni aku sibuk dengan nenda."
"Tak kisahlah apa sebab kau sekalipun. Yang penting sekarang hati kau. Kalau betul hati kau sayangkan Aisya, rasanya inilah peluang kau. Pergilah jumpa Kiai Rahman. Bincang elok-elok."
Wajah Ade wajah orang mengharap. Besarlah harapan Ade yang Har anak Pak Ngah setuju dengan cadangannya.
"Aku kasihan dengan Aisya. Muda-muda lagi dah jadi janda. Aku nak bela dia, tapi aku ni tak mampu nak beristeri dua. Lagipun aku bukan calon suami pilihan Kiai Rahman. Kalau kau yang minta tangan Aisya, aku yakin Kiai Rahman takkan membantah."
Berat keluhan Har anak Pak Ngah. Baru tadi dia memberi amaran supaya tidak dikaitkan dengan Aisya lagi. Tak sampai sepuluh minit, Ade jadi agen pencari jodoh semula.
"Kiai Rahman dengan Aisya dah tak tinggal sini lagi. Mereka berdua ada dekat Kedah. Bila kau balik Malaysia nanti, pergilah jumpa Kiai Rahman dulu. Orang tua tu selalu sangat tanya fasal kau."
"Aku boleh ke Kedah jumpa Kiai Rahman, tapi bukan atas sebab nak minta tangan Aisya. Kalau aku suka Aisya, dulu lagi aku hantar rombongan."
Figura Aisya sempat singgah dalam kepala Har anak Pak Ngah. Aisya yang penuh kelembutan itu memang jadi rebutan sewaktu zaman suntinya.
"Perkara ni aku dah bincangkan sendiri dengan Kiai Rahman, sebelum aku tamat belajar lagi dan beliau hormat keputusan aku."
Ade sebenarnya bosan dengan perangai main tarik tali Har anak Pak Ngah.
"Aisya tu macam adik kandung aku, Ade. Aku tak boleh nak berkahwin dengan seorang perempuan yang aku dah klasifikasikan sebagai adik kandung."
"Itulah jawapan kau dari dulu sampai sekarang. Sebab perangai kau yang macam inilah yang buat Aisya pilih lelaki lain," sinis suara Ade. Memberi petunjuk dia tak suka dengan jawapan berulang Har anak Pak Ngah.
"Memang itu jawapan paling jujur."
Ade geleng kepala. Kadang-kadang dia tak faham apa yang Har anak Pak Ngah cari dalam diri seorang perempuan. Semua yang bagus-bagus pada mata Ade, Har anak Pak Ngah tolak ke tepi.
"Lia macam mana? Kau tak terima Aisya sebab Lia? Atau kau nak beri jawapan yang Lia tu sepupu kau, jadi kau tak boleh kahwin dengan dia?"
Har anak Pak Ngah mengiyakan dengan cara mengangguk. Anggukan yang cukup untuk membuat Ade mahu menghantukkan kepala ke dinding.
"Aku tak tahulah kau ni nak cari isteri yang macam mana. Aisya dengan Lia tu, cantik sangat dekat mata aku. Kalau akulah dekat tempat kau, aku sambar dua-dua terus."
"Cantik rupa saja tak cukup, Ade. Yang penting cantik hati."
"Lia tu cantik rupa dan hati. Aisya pun sama. Kau tu menolak tuah yang datang bergolek-golek. Sedar diri sikit, umur kita ni makin hari makin pendek, bila-bila masa saja boleh berpindah ke lain dunia."
"Jangan risau, Ade."
Keras bunyi keluhan Ade.
"Macam mana aku tak risau, semua kawan-kawan kita dah kahwin. Bila mereka kahwin dulu, kau yang banyak menolong, termasuklah aku ni."
"Jangan risau."
Lagi-lagi ayat 'jangan risau' yang Har anak Pak Ngah tuturkan.
"Aku nak kahwin dalam waktu terdekat ni, Ade," desis Har anak Pak Ngah. Ayatnya ringkas. Senyumannya juga ringkas tetapi sangat mendamaikan.
Ade yang banyak mulut itu tiba-tiba seperti telah hilang mulut. Hanya matanya saja yang terkebil-kebil. Berita terkini yang disampaikan oleh Har anak Pak Ngah seperti bom atom.
"Betul ke ni? Kau jangan bergurau."
"Urusan nikah kahwin ni aku tak bawa bergurau, Ade. Kali ni serius. Aku nak kahwin."
Ade menilik Har anak Pak Ngah. Mencari kebenaran disebalik kata-kata teman lamanya.
"Pokok yang aku tanam dan jaga selama ni dah mengeluarkan hasil. Buahnya banyak, ranum dan manis. Sekarang waktu yang sesuai untuk dituai."
Besar bukaan mata Ade, namun besar lagi bukaan dan mulut Ade.
"Kau merepek apa ni?"
Tawa Har anak Pak Ngah yang membalas soalan Ade. Paling menjengkelkan bila Har anak Pak Ngah mula menghayun langkah meninggalkan Ade.
"Nak kemana lagi tu?"
Har anak Pak Ngah masih melangkah, memaksa Ade berlari untuk menahan langkah lelaki tersebut.
"Kau nak kahwin dengan siapa ni? Cuba cerita betul-betul. Jangan cerita sekerat jalan."
Har anak Pak Ngah terlalu sengaja mendekatkan wajahnya pada wajah Ade. Hidungnya nyaris menyentuh hidung Ade sendiri. Meremang terus bulu roma Ade.
"Cepatlah beritahu. Kau nak kahwin dengan siapa?" desak Ade tidak sabar. Dia sudah menolak Har anak Pak Ngah supaya menjauh. Kalau dilihat pelajar, boleh timbul cerita yang tak elok.
"Kau nak kahwin dengan Lia, kan?"
Kali ini Har anak Pak Ngah sengaja menempel dekat dengan telinga Ade.
"Aku nak kahwin dengan Cik R.A.H.S.I.A, Ade. Ini rahsia, jadi jangan beritahu orang lain."
Ade baru saja mengumumkan dalam hati. Ade putus kawan dengan Har anak Pak Ngah selama sehari. Titik.

- Ber.Sam.Bung -

No comments:

Post a Comment