Wednesday, 24 February 2016

Prolog ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand


KULIT putih melepak dan gebu. Rambut panjang, diikat tinggi seperti ekor kuda. Tubuh pula dibalut gaun yang paling cantik pernah Margina lihat. Pokoknya budak perempuan itu nampak sangat comel. Margina pun budak perempuan juga, cuma Margina tak comel. Kulit Margina sawo matang, warna asli orang asia tenggara. Budak perempuan yang comel ini pasti darahnya bercampur dengan darah dari benua yang lain.
Malangnya itu cerita lima minit tadi. Segala rasa terpegun Margina sudah terbang tinggi lalu hilang. Tak dapat dikesan lagi.
"Awak ni tak malu! Kita dah halau tapi awak tak nak balik juga."
Muka budak perempuan yang comel ni macam tuan puteri, tetapi perangainya macam ahli sihir paling jahat.
"Pergi balik!"
Dahi Margina ditunjal dua kali. Nyaris Margina jatuh terlentang kalau Margina tidak cepat-cepat mengimbangi tubuh.
"Tak faham bahasa ke? Kita kata pergi balik!"
"Kita tunggu ibu kita, kak."
"Jangan panggil kita kak. Awak bukan adik kita," selar budak perempuan tersebut. Lantang suaranya macam petir.
"Kita datang dengan ibu kita. Kalau kita balik, nanti ibu kita tak jumpa kita. Lepas tu ibu kita mesti risau."
Bergetar suara Margina. Bergetar bukan sebab takut, tapi sebab menahan marah. Lagi satu, Margina pun tak sudi nak panggil budak perempuan berlagak ni 'kak'. Margina cuma ingat pesan ibunya saja supaya jadi anak beradab.
"Pandai melawan budak kampung ni. Tak dengar cakap."
Sekali lagi dahi Margina ditunjal. Kali ini tubuhnya ikut ditolak kuat, sehingga Margina jatuh terduduk. Habis kotor gaun kain kapas Margina yang berwarna putih itu.
"Baju kita dah kotor."
Rungutan Margina dibalas dengan jelingan tajam. Belum sempat Margina bangun, tubuhnya ditolak lagi. Kasar dan kemudian tangan budak perempuan berlagak itu mula melumur tanah pada gaun putih Margina.
Margina tak boleh lagi jadi beradab. Sekarang Margina telah menarik rambut ekor kuda budak perempuan berlagak itu. Margina pun gigit lengan budak perempuan berlagak tersebut. Padan muka dia. Siapa suruh cari fasal dengan Margina.
"Lia!"
Gigitan Margina terlepas. Rambut ekor kuda budak perempuan itu turut dilepaskan. Selang tiga langkah di depan Margina, berdiri seorang budak lelaki.Mungkin darjah lima atau pun darjah enam.
"Abang Har, dia buli kita. Dia tarik rambut kita. Lepas tu dia gigit tangan kita."
Jari telunjuk budak perempuan yang bernama Lia itu tak lepas menuding ke arah Margina.
"Tengoklah ni, tangan kita merah kena gigit. Sakit sangat. Nasib baik tak tercabut tadi."
Lia yang kuat berlagak dan pintar berlakon itu telah berlari ke arah budak lelaki tadi. Lia mengongoi sampai tak cukup nafas.
"Awak gigit Lia?"
Margina mengangguk.
"Tapi kita gigit dia sebab..."
Tidak sempat Margina menyudahkan ayat penjelasan, pipi kecilnya seperti melayang.
"Kita tak salah. Kenapa pukul kita?"
"Tak salah awak cakap?" tempelak budak lelaki itu. Garangnya dia sampai Margina melangkah setapak ke belakang. Margina mahu menangis namun Margina tahan. Margina mahu kelihatan kuat meski pipinya macam telah pecah.
"Awak dengan ibu awak orang jahat. Jangan ingat awak dengan ibu awak boleh jadi ahli keluarga kami."
"Ibu baik. Kita pun baik. Kenapa kita dengan ibu kitatak boleh jadi keluarga Uncle Adenan?"
"Sebab saya tak suka ibu awak. Nenda marah Uncle Adenan sebab ibu awak. Kalau Uncle Adenan tinggalkan kami, semuanya sebab ibu awak."
Terkebil-kebil mata Margina. Lama-kelamaan bola matanya mulai berkaca.
"Abang tolonglah pujuk nenda abang supaya terima ibu kita. Kita pun tak nak nenda marah Uncle Adenan."
Terdiam Har anak Pak Ngah mendengar jawapan balas budak perempuan di depannya. Lebih-lebih lagi bila dirinya dipanggil abang oleh bakal anak tiri Uncle Adenan.
"Jangan layan budak kampung ni, abang Har. Budak kampung ni memang tak faham bahasa.."
Lia yang berlagak itu telah menarik tangan Hardimin Jose pergi jauh. Genap lima langkah, Lia berpaling sambil menjelirkan lidah.
"Ada hati nak jadi anak Uncle Adenan. Muka tak malu!"
Margina ditinggalkan termangu di situ. Jari kecil Margina masih lagi menggosok pipinya yang merah bekas ditampar. Matanya yang berair ikut dilap dengan menggunakan jari.
Hampir setengah jam juga Margina berdiri seperti patung. Kemudian barulah ibu Margina datang. Pak Cik Adenan juga ada di sisi ibu. Wajah keduanya nampak murung dan sugul.
"Kenapa ibu menangis?"
Mak Cik Khalijah memaksakan segaris senyuman tipis. Kemudian rambut halus Margina diusap dengan penuh rasa cinta.
"Tak sayang, ibu tak menangis."
Mak Cik Khalijah bohong! Mata Mak Cik Khalijah merah dan nampak basah. Wajah Pak Cik Adenan juga semakin kelam. Pasti ada cerita sedih. Margina bukan bodoh sangat sampai tidak pandai membaca fikiran orang dewasa.
"Uncle tak boleh jadi ayah kita ke?"
Sepi.
"Kalau tak boleh, tak apa. Kita faham. Kita pun tak nak nenda benci dengan uncle."
Masih lagi sepi.
"Uncle jangan risau, kita boleh jaga ibu. Kita kuat. Kita pun tak suka menangis."
Kali ini tubuh kecil Margina telah Mak Cik Khalijah peluk dengan kemas. Menutup semua celoteh seorang Margina yang baru berusia tujuh tahun sebelas bulan dan dua puluh hari. 

- Ber.Sam.Bung -

1 comment:

  1. Jom singgah baca and jangan lupa tinggalkan comments http://balqisluv99.blogspot.my/2016/03/gred-for-exam-2016.html

    ReplyDelete