Tuesday 18 August 2015

#Prolog ~ Prolog Hati

Adam Ahmad menuruni anak tangga dapur, longlai saja langkah kakinya. Sejak tadi dia berperang dengan bondanya yang tercinta, sejak tadi juga dia kalah. Untuk kali ini, Adam mahu menang dengan cemerlang.

"Mak, saya tak nak kahwin dengan Kamilia. Mak pujuklah macam mana pun, saya pasti bantah."

Bondanya yang tercinta mengangkat wajah, sebelum kembali sibuk membersihkan sayur kobis yang telah siap dipotong.

"Kamilia tu mak dah pinangkan untuk kamu, dah selamat pun jadi tunang kamu. Kamu bantah macam mana pun, tetap takkan jalan."

"Mak minta tangan Kamilia tanpa pengetahuan saya. Tiba-tiba malam semalam mak telefon, kemudian kata saya ni dah jadi tunang orang. Nasib baik saya tak kena serangan jantung."

"Tak ada lagi orang yang diserang sakit jantung sebab ditunangkan. Kalau ada, kamulah tu yang mulakan. Tapi kamu tu belum pengsan lagi."

Bondanya sedang menyindirlah tu.

"Mak tak nak Adam macam-macam."

"Saya tak..."

"Kamilia yang terbaik untuk Adam. Lagipun kalau nak tunggu kamu cari sendiri, lima tahun lagi pun belum tentu kamu dapat. Mak kenal sangat perangai Adam tu," potong bondanya yang tersayang. Mengeluh panjang Adam dibuatnya.

"Cari calon makmum ni bukan boleh main-main, mak. Harus hati-hati. Mak pula lain, mak terus tangkap si Kamilia tu dan jadikan tunang saya."

"Mak kenalah bertindak cepat dan betul. Kalau tidak, nanti kamu tak dapat Kamilia tu."

"Saya tak tahulah apa Kamilia tu dah buat pada mak, sampai mak macam taksub sangat pada dia," gerutu Adam, pun begitu masih menjaga santunnya sebagai anak.

"Mak, saya dengan Kamilia tak serasi. Dari zaman sekolah lagi kami memang tak pernah berdamai. Satu hal yang tak patut kalau kami nak tinggal sebumbung dan sekatil. Boleh tercetus perang dunia baru mak," lanjut Adam bersama hujah yang dirasakan sangat bernas.

"Banyaklah kamu berdua punya perang. Jangan nak kelentong mak sangat."

"Saya tak kelentong, mak. Saya bercakap hal yang betul."

Segera terbayang figura Kamilia. Kamilia yang suka memakai cermin mata mak cik-mak cik. Kamilia yang garang dan boyish. Kamilia yang tak pernah sebulu dengannya.

"Mak nak Adam luaskan minda, jangan asyik nak negatif. Sekarang kamu berdua dah dewasa, hal zaman hingusan tu, kuburkan sajalah. Kalau kamu jumpa Kamilia sekarang, mak jamin kamu minta dinikahkan malam ini juga."

"Mak tak faham. Saya ada Sarah."

"Sarah yang tolak cinta kamu tu?" tempelak bondanya yang tersayang.
Pedasnya ayat bonda, sepertinya hati Adam baru saja dilumur dengan cabai. Kuantiti cabai itu banyak!

"Mak betul, memang Sarah belum terima saya, tapi tak lama lagi dia pasti terima saya."

Cukuplah, cukuplah setakat ini Kamilia mencuri dengar perbualan Adam dengan bondanya. Sempat Kamilia mengumpul nafas sebelum melangkah meninggalkan laman dapur rumah Adam. Langkahnya jelas sedikit tidak teratur.

Maaf ya nek, kuih talam untuk Adam dan bondanya, tidak jadi Kamilia hantar. Kamilia tidak kuat untuk memberi salam dan selepas itu melukis senyuman.

Kamilia tidak segera masuk sebaik saja sampai di rumah. Kamilia memilih duduk di anak tangga. Cincin di jari manisnya ditanggalkan dan kemudian diletakkan di sisi. Setelah itu sudu dicapai.

Seketul kuih talam disuap. Selepas itu seketul lagi dan lagi. Rasanya sangat sedap. Adam tu rugi sebab tak rasa air tangan Kamilia.

Kamilia menyeka pipi pula bila ada air hangat yang jatuh. Sepatutnya air hangat ini tidak jatuh. Dunia belum berakhir kalau Adam bukan tunangnya. Dunia masih berputar, selagi Allah belum kata berhenti.

Nek, pinggan tak retak, nasi pun tak dingin. Adam tak hendak, Kamilia pun lagi tak hingin.

Nek, cincin tunang ni mohon pulangkan semula. Kamilia pasti dapat cincin yang lebih baik selepas ini. Pasti, nek.

"Kamilia buat apa dekat tangga tu? Kuih talam yang nenek suruh hantar tadi, dah hantar?"

Burb... Alhamdulillah, kesemua kuih talam untuk Adam dan bondanya telah selamat Kamilia telan.


***
B.E.R.S.A.M.B.U.N.G

Nota  :
PK nak beritahu, cerita ni sambungan novel Cinta Si Ikan Buntal & Si Kambing Liar Versi sambungan ni takkan ke versi cetak, cuma versi ebook. Harga RM10.00.

Cerita ni cerita biasa. PK beritahu awal-awal dahulu, cerita ni sangat biasa. PK tulis sebab ada yang personal message minta sambungan.





4 comments:

  1. Pk, nanti akak nak jugak tau...baru ylang balik bc kisah adam ngan kamilia nih...mmg xpuas baca sebab buku dia nipis saja...mmg harus ada sambungan...😅😅

    ReplyDelete