Sunday 28 September 2014

#Bab01 - Persembahan Dari Hati

Mula-mula  seminit.  Kemudian  meleret  sampai lima belas minit. Lihatlah tu, sejak tadi Abu Hanifah sibuk dengan gadget iPad ditangan. Email yang diterima dibaca satu  persatu.  Suara  operator  LRT  yang  membuat pengumuman  juga  tidak  dihiraukan.  Kiranya,  Abu Hanifah hanyut dalam dunianya yang tersendiri.

"Kenapa tak ada," keluh Abu Hanifah. Email yang ditunggu-tunggu belum juga masuk.  Hidungnya disentuh sebelum naik ke dahi. Memicit dengan lembut.

"Tunggu!"

Suara nyaring itu memang sangat  mengejutkan. Cukup untuk membuat  Abu Hanifah mengalih tumpuan ke arah pintu LRT yang  baru  saja tertutup.  Atau  lebih tepat, arah datangnya suara nyaring tadi. Satu susuk tinggi lambai berdiri di sana, lengkap dengan wajah kelegaan.

Bermula  dari  atas  kepala  dan  kemudian  turun sampai ke kaki. Kemudian naik semula sampai ke kepala. Semua  yang  Abu  Hanifah  lihat  menghadirkan  pesona terindah.  Lekas-lekas  Abu  Hanifah  mengalihkan pandangan. Malu sendiri dengan naluri jahat yang sempat menjadi raja dalam hati.

"Nasib baik sempat."

Suara itu lagi. Suara milik perempuan yang hanya memakai  T-Shirt  kuning  beserta  dengan  jeans.  Suara perempuan  yang  begitu  senang  sekali  menyentuh  hati lelakinya. Padahal, hatinya sangat terkenal sulit disentuh. Lagipun  gaya  perempuan  itu  langsung  tidak  seperti Saidatina  Khadijah.  Bagaimana  mungkin  hatinya  boleh tergolek-golek?

Sekarang  tumpuan  Abu  Hanifah  beralih  pada derap  kaki  perempuan  itu.  Makin  lama  makin  dekat dengan  tempat  duduknya.  Sehinggakan  Abu  Hanifah menghela  nafas  panjang.  Ketika  memberi  ucapan pada ratusan  tetamu  pun  Abu  Hanifah  tidak  segugup  ini. Peliknya..

Abu  Hanifah,  kamu  tak  pernah  begini.  Jadi jangan buat  perangai  entah apa-apa ya.  Baca Al-Fatihah banyak-banyak.  Nanti  semua  rasa  gugup  itu  hilang. Semangat sikit!

"Duduklah,"  pelawa  Abu  Hanifah  tanpa  sedar. Dia  telah  bangun  sembari  memberi  laluan  pada
perempuan tersebut.  

"Tak apa. I turun dekat stesen Titiwangsa. Dekat saja ni," ujar Nadine. Hanya memandang sekilas sebelum kembali  sibuk menekan butang telefon bimbit pintarnya. Namun  matanya  dapat  menangkap  barisan  gigi  putih bersih milik lelaki itu.

Tidak  berkelip  mata  Abu  Hanifah  bila  ditolak mentah-mentah  begini.  Dia  duduk  semula.  Tapi  itulah, sepasang matanya tetap juga melirik perempuan itu lagi. Melirik tanpa rasa malu. Gagal lagi mengawal diri.

Tidak  sampai  seminit,  rasa  terkejut  pula  yang datang.  Ketika  LRT  berhenti  di  stesen  seterusnya, perempuan itu nyaris  jatuh tersungkur  jika Abu Hanifah tidak segera meraih lengan perempuan tersebut.  Konon-kononnya  hendak  menjadi  hero.  Baru dua  saat,  hatinya  sudah  macam-macam.  Sentuh  sedikit begini pun Abu Hanifah sudah mengerti betapa mulusnya kulit perempuan itu. 

"Maaf,"  luah  Abu  Hanifah  lantas  lekas-lekas menarik tangannya semula.  Elok saja tangan dilepaskan, langsung saja perempuan itu jatuh terduduk. Gaya nangka busuk jatuh pun tidak seteruk gaya perempuan itu jatuh. 

Nadine  menyeringai  kesakitan.  Tidak  menduga langsung  pegangan  tangan  lelaki  itu  akan  dilepaskan. Lebih parah bila  semua  penumpang  digerabak  tersebut menatap tanpa berkelip. Aksi akrobatik Nadine memang luar biasa.

Sekarang  Nadine  menahan  rasa  perit  pada lututnya.  Mujur  saja  jeans  menjadi  pelindung.  Kalau
tidak, memang berdarah lutut Nadine.

"Maaf. Saya ingatkan awak dah stabil tadi."

Nadine  mengangkat  wajah.  Menyorot  lelaki berjubah  putih,  berketayap  putih  dan  bercermin  mata hitam itu puas-puas.

"Kalau nak tolong, tolonglah betul-betul," gerutu Nadine seraya berusaha untuk bangun. Sempat dia jeling lelaki itu dengan sejuta rasa geram.

"Tak payah tolong, I boleh bangun sendiri," bidas Nadine lagi bila lelaki itu cuba membantu.

Abu  Hanifah  tidak  bergerak  langsung.  Rasa bersalahnya  begitu  tinggi.  Lebih-lebih  lagi  bila  melihat betapa cemberutnya wajah perempuan itu.  Pun begitu, masih  juga  hatinya  terpesona. Buatlah  sejuta  ekspresi sekalipun, pesona itu tetap ada.

"Duduklah. Lutut awak sakit tu."

Kali  ini  Nadine  terus  duduk.  Enggan  melihat lelaki berjubah, berketayap dan bercermin mata hitam itu lagi.  Dia  rela  menjadi  robot  statik  dan  tidak  menoleh langsung pada lelaki  itu.  Ini  semua sebab sakit  hati  dan lutut punya fasal.

Mulut  Nadine  memang  kata  begitu,  tapi  kata hatinya lain. Sebab itulah Nadine melirik lelaki itu. Paling mengejutkan  bila  sorotannya  bertaut  dengan  lelaki tersebut.

"You pandang I ya?" tanya Nadine dengan kening naik  sebelah.  Sebenarnya  Nadine  mahu  menutup  salah sendiri. Sebabnya dia yang gatal melirik dahulu tadi. Itupun sebab lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya. Jadi Nadine cuma mahu melihat sepasang mata lelaki itu. Dan ya, sepasang mata itu begitu jernih dan indah.

Sumpah,  rasa  tidak keruan  Abu  Hanifah  begitu cepat memenuhi  segenap rongga dalam diri. Cermin matanya dipakai semula. Kemudian  kata  maaf  diucap sebelum dia bergerak ke gerabak yang lain.

Duhai  hati,  jangan  melompat-lompat  begini. Kawal  diri.  Kalau terbersit  sekalipun,  jangan buat  gaya macam  lelaki  baru  pertama  kali  jumpa  perempuan. Boleh?





STESEN LRT Titiwangsa  tidak  sibuk  seperti  di  stesen Masjid Jamek.  Hanya  ada  beberapa  orang  penumpang  yang menunggu di stesen tersebut. Enam orang perempuan dan empat  lagi  lelaki.  Salah  seorang  pastinya  Abu  Hanifah. Dan  Abu  Hanifah  telah  dua  kali  mundar-mandir  di hadapan perempuan yang memakai T-Shirt kuning itu.

Malangnya, perempuan itu masih juga menangis dan  menangis.  Menangisnya  bukan  terkawal,  tetapi sangat teruk. Maskaranya.. Masya-Allah, sudah luruh. 

Dengan lafaz bismillah, Abu Hanifah menghampiri perempuan itu. Rasanya, dia tidak sanggup melihat perempuan itu berterusan menangis di sini.

"Nampaknya hari ini, ada kelenjar air mata yang bekerja keras.  Dari  tadi  lagi  tuan dia menangis  dengan teruk. Penat kelenjar air mata tu."

Nadine berhenti mengongoi. Wajahnya diangkat dengan  bahu  yang  masih  lagi  terhingut-hinggut.
Sorotannya  bertemu  lagi  dengan  lelaki  berjubah  dan berketayap putih tadi. Nadine  kenal  dengan  lelaki  yang  sedang menegurnya  ini.  Apa  yang  pelik,  lelaki  itu  tidak  lagi menyembunyikan sepasang mata jernihnya.

"Cakap dengan I ke?" tanya Nadine semula seraya menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Nanti  kalau ada masa,  jangan lupa pergi  zoo. Tadi saya ke sana dan jumpa sepasang panda."

Tadi kelenjar air mata. Sekarang zoo pula? Paling teruk,  soalan  Nadine  dibiarkan  tanpa  jawapan.  Buang tabiat agaknya lelaki ni.

"Tapi tak sangka dekat sini pun ada panda."

"Huh?"  luah  Nadine,  lengkap  dengan  muka kelirunya. Kerutan di dahi pun semakin dalam. Mendadak saja sedu sedan Nadine hilang. Berganti dengan sejuta rasa pelik.

Abu Hanifah menyuakan sapu tangan miliknya. Pakej  bersama  senyuman  khasnya  lagi.  Senyuman  yang menghadirkan  rasa  nyaman  dalam  diri  Nadine. Membuang  sedikit  rasa  sedih  Nadine  bila  ditinggalkan Amirul yang curang.

"Hapuskan air  mata tu.  Maskara awak pun dah luruh."

Maskara? Luruh? Jadi.. Jadi lelaki  ini  cuba  nak  cakap Nadine  macam panda sebab maskara luruh?  Hilang  sekejap isu Nadine ditinggalkan  kekasih  hati.  Tidak  berkelip-kelip  mata Nadine membalas sorotan lelaki  itu.  Segala rasa nyaman yang hadir tadi telah bertempiaran lari. Berganti segudang rasa geram.

"Tak  payah!"  balas  Nadine  lalu  bangun.  Ketika LRT  singgah  di  stesen  tersebut,  terus  saja  Nadine menyelinap  masuk.  Sedikit  pun  dia  tidak  memandang lelaki itu.

Panda ya?  Hari  ini  jangan sebut  tentang panda langsung.  Kata orang zaman sekarang,  tabu.  Kata orang dulu-dulu, pemali.



** #Persembahan Dari Hati adalah kesinambungan dari novel #Doa Cinta Seorang Lelaki (DCSL). Yang belum memiliki #DCSL, boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran pada harga RM26.00(Sem) 'n' RM29.00(SS). 

Ataupun boleh beli online dengan Ideakreatifpublication pada harga diskaun RM24.00(Sem) 'n' RM27.00(SS). Penghantaran percuma (Malaysia Sahaja)



#REQ. GROUP ~ for latest updates
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/






No comments:

Post a Comment