Tuesday 15 July 2014

#Cerpen - Salam Cinta Dari Syurga


KHASYAF sempat mengeluh panjang. Memohon sejuta pengertian daripada Marsha tersayang. Tapi nampaknya sejuta pengertian itu sangat sulit untuk diraih. Sejak tadi raut wajah Marsha tidak gembira langsung.

"Khasyaf, I tak nak you pergi sana. You faham tak? Orang lain boleh pergi. You tak perlu nak gadaikan nyawa you. I tak faham macam mana you boleh setuju. Otak you tu you letak mana? Lutut?" tempelak Marsha. Biarlah satu cafe dengar suaranya. Marsha tidak peduli. Yang penting dia perlu cuci semula otak Khasyaf.

"Marsha, ini tugas I. Tanggungjawab I."

"Tanggungjawab you kata? Dekat luar sana ada ramai lagi orang yang berebut nak pergi. You tak payahlah nak sengaja tempah maut. Khasyaf, I ni tunang you. Your future wife to be. Kita ni tak lama lagi nak kahwin. I tak nak you mati. Kalau you berkeras juga nak pergi, hubungan kita putus."

Khasyaf mengeluh lagi. Antara hasrat hati dan Marsha, mana satu dia perlu pilih? Pergi ke Palestin itu keinginan hati yang tiba-tiba tumbuh. Marsha pula adalah masa depannya. Mana satu ya?

"I serius dengan apa yang I cakap tadi, Khasyaf. I tak benarkan you ke sana. Kalau you tetap nak pergi, pergilah. Tapi you takkan jumpa I lagi," ujar Marsha. Cuma kali ini cincin di jari manisnya dirungkai.

"Marsha.." bantah Khasyaf. Sayangnya Marsha terlalu nekad. Cincin tunang mereka di letak di atas meja.

"Kalau you rasa I lebih penting, you pulangkan cincin ni semula pada I. Kalau you rasa Palestin tu lebih penting, jangan jumpa I lagi!"

Marsha sudah bangun. Kemudian terus meninggalkan Khasyaf terkebil-kebil seorang diri. Lama juga Khasyaf termangu. Tidak bergerak langsung. Hanya hatinya saja yang bertambah resah.

Resah di hati Khasyaf hilang bila sepasang matanya melekat pada satu susuk tinggi lampai. Susuk tinggi lampai itu memakai kurung warna emas, lengkap dengan tudung berwarna pastel. Kulitnya kuning langsat. Wajahnya kelihatan bersih dan sangat tenang.

Khasyaf, jangan pandang anak dara orang begitu. Nampak kamu ni macam lelaki jalang saja. Kawal sikit mata tu.

Sempat Khasyaf beristigfar dalam hati. Sedar diri dengan kesilapan sendiri. Tapi itulah, matanya tetap degil. Ada sesuatu pada susuk yang baru memasuki cafe tersebut. Sesuatu yang sempat membuat hatinya terasa lain.

Kini pemilik susuk tinggi lampai itu sedang tersenyum, dan kemudian melambaikan tangan. Nampaknya pada dua orang gadis yang duduk selang satu meja dari meja Khasyaf sendiri. Khasyaf pula bagaimana? Percayalah, hati Khasyaf sangat senang melihat senyuman itu.

Khasyaf! Kamu tu tunang orang. Jaga sikit status kamu.

Khasyaf beristigfar lagi. Wajahnya ditundukkan. Sepasang matanya perlu diajar cukup-cukup. Biar lekas sedar diri!

"Assalamualaikum," sapa pemilik wajah yang sangat tenang itu. Setelah itu, tubuhnya jadi mangsa pelukan kawannya yang berdua.

"Nur, kau serius ke nak pergi Gaza? Uncle Syed dengan Auntie Farhah tak cakap apa-apa? Tak larang?" tanya Ain. Riak wajahnya jelas mahukan jawapan pasti daripada Nurdina.

"Ayah dengan ibu aku menyokong penuh. Pesan mereka cuma tiga. Jangan tinggal solat. Jaga maruah diri dan bantu seramai mungkin saudara kita disana."

"Abang kau Harraz, takkan tak komen apa-apa?" tanya Lily pula. Segera terbayang figura Syed Harraz di dalam kepalanya. Abang long Nurdina memang sedap dipandang.

"Abang aku tu lagi semangat nak pergi. Tapi tugas dia menghalang. Aku ni lepas pergi sebab tengah bercuti. Lagipun kalau abang aku pergi, siapa nak jaga ayah dengan ibu aku? Kalau sesuatu terjadi dekat aku, abang aku masih ada."

"Hisy! Kau ni, mulut tu jaga sikit," bantah Ain dan Lily hampir serentak.

Khasyaf menelan liur sendiri. Sumpah dia terasa. Dia sendiri masih ragu-ragu setelah diugut oleh Marsha. Pemilik wajah tenang itu pula begitu lantang sekali mahu ke Palestin. Jujur, Khasyaf cemburu dengan semangat seperti itu.

“I can't wait to go. Melihat mereka menderita dekat tv hanya buat aku sakit hati. Macam aku ni tak berguna langsung. Sehingga sekarang, Israel tak habis-habis menyerang Palestin semata-mata nak meluaskan sempadan. Rakyat Palestin pula berjihad dalam usaha menawan semula Masjidil Aqsa."

“Ada saja alasan Israel. PBB pun kalah dengan Israel. Selepas Palestin teruk diserang, baru ada gencatan senjata,” gerutu Lily. Mukanya sudah merah padam.

“Sejak kerajaan Khalifah Islam tumbang, tak ada siapa yang sudi menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk pada Amerika,” keluh Ain pula. Redup saja tatapan matanya.

“Selagi kita tak bersatu, selagi itulah Palestin menangis. Mungkin Palestin akan lenyap satu hari nanti sementara menunggu kita bersatu. Agaknya kita ni cuma nak bersatu bila Masjidil Aqsa musnah. Bila masa tu tiba, menyesal pun tak guna.”

Nurdina membuang pandang. Banyak yang difikirkan oleh kepalanya sejak akhir-akhir ini. Semuanya berkisar tentang Palestin.

“Tapi aku harap, masa tu takkan tiba. Palestine will be free, insya-Allah,” lanjut Nurdina bersama segaris senyuman pasti. Segaris senyuman yang sekali lagi membuat Khasyaf terpegun.

MALAM masih awal. Baru melewati 9.30 malam. Entah kenapa Khasyaf memilih untuk baring saja. Matanya pula rakus mengira beberapa ekor cicak yang berkejaran di siling.

Ada tiga ekor cicak semuanya. Dua ekor berbadan gempal. Manakala yang seekor lagi sedikit kurus. Lihatlah, cicak yag kurus tadi sudah jatuh lalu bergolek di atas lantai.

Khasyaf geleng kepala. Isu cicak tolak ketepi wahai otak. Isu Marsha lebih penting. Kalau Khasyaf turutkan rasa hati, dia pasti kehilangan Marsha. Rasanya, Khasyaf tidak sanggup.

Macam mana ya?

Begitulah soalan hati Khasyaf. Berkali-kali dia mengiring ke kanan, kemudian ke kiri. Terakhir sekali dia menelentang. Tujuh puluh peratus hatinya sudah menolak hasrat mahu ke Palestin. Marsha lebih penting.

Ketika hatinya sudah bulat, pintu biliknya dibuka dengan kasar. Lekas-lekas Khasyaf angkat muka.

"Awak siapa?" tanya Khasyaf.

Lelaki separuh umur itu tidak lekas menjawab. Sebaliknya menarik tangan Khasyaf. Memaksa Khasyaf bangun tanpa rela.

"Lepas!" pinta Khasyaf.

Langkah lelaki separuh umur itu terhenti. Kemudian dia bercakap dalam bahasa arab yang sangat pekat. Peliknya, Khasyaf faham apa yang dituturkan pleh lelaki tersebut, 

"Cepat lari. Israel serang kita lagi!"

"Hah?!"

Segala macam rasa pelik Khasyaf hilang bila terdengar dentuman yang sangat kuat. Bergegar rumah tersebut. Dinding rumah cepat benar retak bila menerima gegaran begitu.

"Cepat! Nanti anak kena bom."

Bom? Khasyaf tidak berfikir panjang lagi. Kali ini dia tidak perlu dipimpin, sebaliknya dia yang memimpin jalan.

"Jalan sebelah mana?"

"Jalan terus. Lepas blok ketiga nanti ambil kanan," kata lelak separuh umur tersebut. Dia kelelahan mendukung dua orang anak lelakinya. Isterinya pula mendukung anak perempuan mereka.

Meskipun langit begitu gelap, namun Khasyaf dapat melihat dengan jelas suasana kelam-kabut di kota Gaza. Penduduk Gaza sedang menyelamatkan diri. Tangisan anak kecil berada di mana-mana. Ada juga yang meraung memanggil nama ahli keluarga masing-masing. 

Leka memerhati, Khasyaf tersadung. Bagaikan nangka busuk dia jatuh tersemban. Namun sepantas kilat juga dia bangun.

"Anak tak apa-apa?" 

"Okey, saya okey," jawab Khasyaf, sedikit kelam-kabut.

"Kamu ikut belakang pak cik."

Khasyaf menurut. Namun timbul rasa belas melihat lelaki yang bertubuh sederhana itu mendukung dua orang anak lelakinya yang masih kecil.

"Pak cik, saya dukung seorang," pinta Khasyaf.

"Boleh ke?"

"Insya-Allah, boleh."

"Sayid, kamu ikut abang ni."

Sayid yang bermata bundar itu kelihatan sedikit takut-takut. Hanya setelah dipujuk oleh ayah dan ibunya, barulah Sayid menurut. 

Hampir dua puluh minit juga mereka berlari. Hanya sesekali berhenti mengumpul tenaga dan mengatur nafas.

"Kita dah sampai. Dekat sini lebih selamat."

Lebih selamat kata lelaki separuh umur itu. Namun tidak selamat langsung bagi Khasyaf. Bunyi dentuman dan kilaulan api bom masih boleh didengar dan dilihat dengan jelas.

Rasa tidak selamat itu sedikit berkurang bila jari tangan Khasyaf tiba-tiba saja diraih. Kemudian digenggam seeratnya.

"Abang jangan takut. Tentera Israel tu tak dapat buat apa-apa pada kita. Kalau pun badan Sayid kena bom, tapi Sayid tahu Allah jaga iman Sayid. Betul tak, ayah?"

Malu rasanya Khasyaf ketika ini. Meskipun Sayid hanya bercerita, tapi Khasyaf terasa betul. Sejak tadi dia ketakutan, bimbang bom meledak lalu mengenai tubuhnya. 

"Betul. Jangan takut dengan Israel tu. Mereka yang takut dengan kita, sebab itu dia serang."

"Bila Sayid besar nanti, Sayid nak hidup sebagai orang bebas di negara yang bebas."

"Belajar mengeja sampai habis dulu. Kemudian hafaz Al-Quran," nasihat ibu Sayid.

Aduh.. Makin kerdil rasanya tubuh Khasyaf. Nampaknya, cuma dia yang ketakutan. Keluarga ini langsung tidak takut. Malah mereka masih boleh berbual seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sekejap.. Bom? Kena serang? Israel? Khasyaf dekat mana sebenarnya ni? Takkanlah.. Takkanlah Khasyaf berada di Palestin? Ini pasti mimpi! 

Jadi Khasyaf cubit pipi, sakitnya menular sampai ke pangkal otak. Ini bukan mimpi, tapi realiti!

Khasyaf mundar-mandir. Otaknya kosong dan tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Benarlah seperti kata Marsha. Pergi ke Palestin sama macam pergi bunuh diri.

"Ibu, adik lapar," senyuman ibu Sayid mati. Begitu juga dengan segala soalan hati Khasyaf. Ikut mati. Luluh hatinya mendengar permintaan si kecil itu. Wajahnya nampak polos sekali.

"Abang ada ambil roti tadi. Adik makan dulu," ujar Sayid lantas mengeluarkan sebuku roti dari dalam poket seluarnya. Patutlah poket seluar Sayid nampak besar. Berisi makanan rupa-rupanya.

"Air tak ada ke?" soal seorang lagi adik Sayid. 

"Abang lupa ambillah. Tadi nak cepat," jawab Sayid sambil tersengih-sengih.

"Kamu semua tunggu sini, ayah pergi cari air."

"Jangan lama sangat."

Lelaki separuh umur itu mengangguk. Sempat menyentuh ubun-ubun Sayid. Kemudian mengucup ubun-ubun kecil itu penuh rasa kasih.

"Jaga keluarga kita," pesan lelaki separuh umur itu. Kemudian sekujur tubuhnya terus hilang dalam pekatnya malam. Tidak sampai lima belas minit, terdengar dentuman yang sangat kuat. Betul-betul datang dari arah yang dituju oleh ayah Sayid.

"Ibu jangan risau. Ayah pasti balik," pujuk Sayid. Bahu ibunya yang tersayang ditepuk beberapa kali.

Sumpah, Khasyaf melihat Sayid sebagai seorang lelaki dewasa. Bukan lagi anak kecil berumur tujuh tahun lebih. Perang di tanah airnya mendewasakan anak sekecil itu. Khasyaf jadi malu. Tadi dia bukan main takut lagi mati.



SEHINGGA matahari mula muncul, kelibat ayah Sayid masih juga tidak kelihatan di mana-mana. Meskipun wajah Sayid dan keluarganya yang lain nampak tenang, tapi Khasyaf percaya, hati mereka sedang tidak keruan. Buktinya bila adik Sayid yang paling kecil mula merengek mencari ayahnya.

"Ayah mana? Lambat lagi ke?" tanya si kecil itu. Wajahnya sedikit comot terpalit debu perang. Begitu juga Sayid dan seorang lagi adiknya. Ketika ini, barulah Khasyaf dapat melihat kemusnahan sebenar bandar Ghaza. Asap masih berkepul-kepul di sesetangah bangunan yang telah roboh. 

"Aminah!" laung satu suara. Kemudian ibu Sayid digamit berkali-kali.

"Ada apa?"

"Suami kamu.." Kata si pemanggil itu. Sengaja tidak menyudahkan kata-katanya.

Sayid lebih dulu berlari. Kemudian diikuti ahli keluarganya yang lain. Tinggal Khasyaf berdiri kaku. Tidak tahu mahu berbuat apa. 

Akhirnya Khasyaf ikut berlari. Sampai kakinya berhenti melangkah. Semuanya gara-gara terkejut. Jelas terlihat ayah Sayid sedang terbaring kaku. Ada darah pekat yang masih mengalir di kepala ayah Sayid. Baju yang dipakainya juga koyak di bahagian lengan. Paling menguris hati bila tangan kanannya memegang botol minuman.

Khasyaf berundur setapak ke belakang. Tubuhnya bergetar. Lama-lama lututnya juga terasa lemah. Dia terjelepuk jatuh. Mengenal nama lelaki itu pun Khasyaf belum sempat. Sekarang dia hanya mampu melihat tubuh itu kaku tanpa suara.

"Lelaki tu terkena serpihan roket malam tadi. Kami bawa dia ke sini."

Suara itu begitu lembut menyapa telinga. Khasyaf berpaling dengan tubuh yang masih bergetar. Percayalah, kini bibirnya pula yang bergetar melihat seraut wajah tenang itu. Iya, dia perempuan yang sama. Yang dipanggil 'Nur' oleh teman-temannya.

"Ini pemandangan biasa, bukan luar biasa. Palestin dijarah, tapi ramai yang memilih untuk menutup mata. You nak tutup mata juga ke?"

Soalan itu sangat ringkas. Budak darjah satu pun boleh jawab. Entah kenapa Khasyaf tidak punya jawapan. Sekarang Khasyaf menerima sorotan sinis pemilik wajah tenang itu.

"Tolong jangan tutup mata lagi. Inilah realiti sebenar. Ramai yang tak tahu. Ramai yang tak peduli. Tapi I harap you peduli pada mereka."

Pesanan itu terus masuk ke dalam jiwa Khasyaf. Sorotannya mengekori pemilik wajah tenang itu. Kemudian pemilik wajah tenang itu memeluk ibu Sayid. Memujuk dengan kata-kata terindah.



TUBUH kaku ayah Sayid baru saja selesai dikuburkan secara beramai-ramai dengan mangsa yang lain. Dua orang adik Sayid semuanya menangis. Ibu Sayid juga terlihat sangat sedih. Sudah dua kali ibu Sayid pengsan.

Hanya Sayid yang masih mampu mengukir senyuman tipis. Meskipun wajah kecilnya nampak kelelahan, namun dia tetap aktif.

"Abang, kita cari makanan dulu. Biar ibu jaga yang lain."

Khasyaf terdiam. Sebenarnya dia mencari pemilik wajah tenang itu. Sejak satu jam tadi dia kehilangan pemilik wajah tenang itu. Dia kemana ya?

"Abang?" desak Sayid bersama wajah penuh harapan. Khasyaf yang melihat pun tidak sampai hati mahu menolak.

"Ya, boleh. Tapi tak boleh jauh sangat. Kita pergi dekat-dekat saja."

Sayid mengangguk. Peliknya Sayid berlari ke arah adiknya yang dua orang itu. Khasyaf hanya melihat dengan kerutan di dahi. Sekarang Khasyaf membesarkan sepasang matanya. Ini kerana Sayid hanya berkaki ayam.

"Kenapa tak pakai selipar?"

"Sayid beri Safar pakai. Sayid abang. Kaki Sayid lebih kuat."

Okey, Khasyaf takkan tanya apa-apa lagi. Kalah pada jawapan Sayid. Jauh di sudut hati, sebenarnya Khasyaf terharu. Nilai kekeluargaan dalam diri Sayid begitu tinggi.

Ya Tuhan, banyaknya pengajaran yang Sayid beri pada Khasyaf.

"Sayid ada duit banyak ni saja. Kita beli apa yang patut dekat kedai tu," cadang Sayid. Laju saja kakinya memasuki kedai yang dipenuhi ramai orang. Nampaknya mereka semua berebut-rebut mahu mendapatkan makanan. Sudahnya Sayid jatuh terduduk setelah ditolak.

"Nantilah baru kita beli. Ramai orang lagi," cadang Sayid sekali lagi. Khasyaf hanya menurut. Dia sendiri belum pernah berebut dengan cara begitu. Nampak ganas.

"Abang...!" panggil Sayid lantas berlari mengutip bendera Palestin di atas tanah. Bendera itu sudah koyak di bahagian tengah. 

"Saya orang yang bebas!" jerit Sayid lantas mengibarkan bendera Palestin sekuat tenaga kecilnya. Bibirnya usah cerita, memang sejak tadi mengukir senyuman.

Khasyaf menaikkan ibu jari tangannya sebelum ikut tersenyum. Khasyaf juga mahu Palestin bebas. Supaya Sayid dan generasi muda lainnya dapat hidup dengan sempurna. Bukan macam sekarang.

Sayid berlari menuju ke tempat yang agak tinggi sedikit. Kini dia perlu mendaki dengan cerucuk besi berada di mana-mana.

"Sayid, jangan naik atas tu. Banyak besi. Bahaya!"

Aduh.. Sayid nampaknya masih seorang anak kecil. Lihatlah tu, dia begitu nakal. Enggan mendengar nasihat Khasyaf. Kalau kaki Sayid luka nanti macam mana?

"Sayid nak jadi doktor. Sayid nak rawat hati manusia yang kotor."

Khasyaf telan liur. Rawat hati manusia yang kotor?

Khasyaf telan liur sekali lagi. Sayid tidak pernah gagal membuatnya terkesima begini.

Belum sempat Khasyaf membalas, dentuman kuat terlebih dulu memekakkan telinga. Khasyaf terpelanting jauh. Tubuhnya terhempas dengan kuat. Sedar-sedar debu kembali berterbangan, bersama dengan api yang marak membakar.

"Sayid.." panggil Khasyaf. Dia cuba bangun, namun kakinya terlalu sakit. Sudahnya dia mengengsot.

"Sayid.." panggil Khasyaf sekali lagi. Mula dihambat rasa risau bila dia kehilangan figura Sayid.

"Awak tak apa-apa ke?" sapa satu suara asing. Mula-mula seorang dan kemudian dia mula dikerumuni ramai orang.

"Sayid.. Tolong cari Sayid," pinta Khasyaf bersama suara yang terputus-putus. Tekaknya terasa sangat kering ketika ini.

"Sayid?"

"Dia dekat sana. Tadi dia dekat sana. Cepat cari dia!" pinta Khasyaf sekali lagi. Digagahkan juga untuk bangun dengan bantuan orang ramai.

"Dekat sini!"

Jerit satu suara yang lain. Tangannya dilambaikan sambil menunjuk pada satu tubuh kecil yang terbujur.

Hampir terhenti nafas Khasyaf. Lebih-lebih lagi bila melihat bendera Palestin elok saja di sisi tubuh kecil yang terbujur itu. Khasyaf lupa pada sakit yang beraja di kaki kanannya. Kini dia mampu melangkah tanpa bantuan orang ramai.

"Sayid..." luah Khasyaf. Perasaannya sudah melayang-layang melihat tubuh kecil Sayid basah dengan cairan pekat warna merah. 

Sayid kelihatan susah hendak bernafas. Lekas-lekas Khasyaf membersihkan debu dan pasir yang melekat pada wajah kecil Sayid.

"Abang, jangan sedih," kata Sayid. Segaris senyuman terukir pada bibir comot itu. Bibir yang juga dipenuhi cairan pekat warna merah.
Khasyaf menggelengkan kepalanya berkali-kali. Kemudian tubuh kecil itu didakap erat-erat. Tidak peduli kalau bajunya juga terpalit cairan pekat merah itu.
"Saya.. Saya tak mati, tapi saya pergi jumpa Allah," luah Sayid lagi dengan suara yang terputus-putus.  Kemudian tangan kecilnya digagahkan untuk menyentuh pipi Khasyaf.
"Saya nak tinggal dengan abang lagi. Tapi saya pun nak jumpa Allah."
Makin payah rasanya hendak bernafas mendengar ayat-ayat Sayid. Meski terdengar sangat perlahan, namun menyentuh ke dalam jiwa.
"Sayid suka jadi kawan abang. Abang baik,” lanjut si kecil itu terus. Kemudian tangan kecil itu melurut jatuh. Hanya bibirnya saja yang terkumat-kamit. Kemudian langsung berhenti bergerak.
Kali ini Khasyaf meraung sekuat hati. Tubuh kaku itu diletakkan penuh hati-hati sebelum dia memukul-mukul tanah Palestin dengan tangan. Menangisi penindasan yang terjadi. Biarlah tangannya luka dan pecah sekalipun, Khasyaf tidak peduli.

"Sayid.. Sayid.. Sayid.." Rintih Khasyaf. 
Khasyaf bangun dengan muka bermandi peluh. Bibirnya masih menyebut-nyebut nama Sayid. 

Terketar-ketar tangannya mencari suis lampu di kepala katil. Kemudian dia memeluk lutut erat-erat. Semakin lama semakin kuat getaran pada tubuhnya. Berkali-kali juga dia beristigfar.
"Ya Allah, apa maksud mimpi tadi?" keluh Khasyaf bersama suara yang tenggelam timbul. Masih jelas terbayang wajah-wajah keluarga Sayid. Hilang satu persatu. Masih jelas suara Sayid. Menuntun hatinya yang memang sudah sedia rawan.
"Saya tak mati, tapi pergi jumpa Allah."

Iya, itu kata-kata Sayid. Kata-kata yang  Khasyaf ulang berkali-kali. Wajahnya turut diraup berkali-kali sebelum dia bingkas berdiri. Laju saja sepasang kakinya melangkah menuju ke bilik air. Khasyaf mahu memohon pada Allah.


USAI menunaikan solat subuh, Khasyaf meraih telefon bimbitnya. Dalam fikirannya sekarang, dia hanya mahu menghubungi Marsha. Marsha akan dipujuk sebaik mungkin.

“Marsha,” panggil Khasyaf.

“Maaf, ganggu you subuh-subuh macam ni," sambung Khasyaf.

“It’s okay. Kenapa? You dah buat keputusan? You takkan pergi, kan?”

Sepi seketika. Agak lama, barulah Khasyaf berani bersuara semula.

“I akan ke Palestin, Marsha. Tapi.."

Bye.”

Talian putus. Khasyaf mengeluh. Telefon bimbitnya dipandang dengan sorotan hampa. Sekali lagi Khasyaf cuba menghubungi Marsha. Sayangnya, kali ini hanya suara operator yang membalas. Sekali lagi, pun masih operator yang menjawab. Pada akhirnya, Khasyaf resah sendiri mengenangkan sikap Marsha.

Seawal pagi Khasyaf telah berada di depan bangunan tempat Marsha bekerja. Dia menunggu Marsha muncul dengan setia. Ketika Marsha muncul, hatinya bukan main ceria. Kalau cara pujukan melalui perbualan telefon tidak berjaya, Khasyaf akan cuba cara face to face pula.

Langkah Marsha semakin lama semakin perlahan dan kemudian berhenti terus. Kelibat Khasyaf di depannya mengundang rasa marah setinggi gunung Everest.

“I tak nak jumpa you lagi," getus Marsha lantas lekas-lekas menghayun langkah deras.

“Marsha, masalah ni remeh sangat. Takkan you nak putuskan hubungan kita.”

“Remeh bagi you. Bagi I tidak. I tak suka ditinggalkan.”

“I bukan tinggalkan you Marsha, tapi I cuma pergi ke Palestin.”

“Pergi ke Palestin sama macam you pergi bunuh diri. You tahu tak makna peluru sesat? You faham tak apa akan jadi kalau peluru sesat tu terkena you?”

“Marsha, ajal maut tu selalu di tangan Tuhan. Sekarang pun I boleh mati. Tak perlu tunggu sampai I sampai ke Palestin.”

Marsha mengetap bibirnya kuat-kuat. Sebenarnya dia sakit hati mendengar penjelasan Khasyaf.

“Jangan cari I lagi. You dengan I dah tak ada apa-apa. Faham?”

“Marsha, I bukan pergi Palestin suka-suka. Tapi I buat semua ni sebab Allah dan sebab saudara kita perlukan bantuan.”

“I hate you. You bukan tunang I lagi. Lebih baik you pergi sebelum I jerit.”

“Marsha..”

“Mana cincin tu?”

Sempat juga dahi Khasyaf berkerut. Keliru mendengar permintaan Marsha.

“I nak cincin. Cincin!”

Barulah Khasyaf mengeluarkan cincin tunang mereka dari dalam walletnya. Belum sempat dihulur, Marsha lebih dulu telah mengambil cincin tersebut.

“Cincin ni.. Dah tak ada nilai!” luah Marsha lantas membuang cincin tersebut jauh ke seberang jalan. Biar hilang. Biar Khasyaf tidak jumpa semula cincin tersebut. Sama macam hubungan mereka berdua.

“Marsha!”

“Sekarang cincin dah tak ada. You dengan I, dah habis. Faham?”

Khasyaf mahu berkata sesuatu, namun seperti selalu Marsha telah melangkah pergi. Sekali lagi meninggalkan Khasyaf terkebil-kebil di situ.

“I cuma nak buat sesuatu atas nama Allah, Marsha. Kenapa susah sangat you nak sokong?” keluh Khasyaf. Matanya ditebarkan diseberang jalan kanan. Kereta masih bersimpang siur. Nampaknya dia perlu menunggu kereta berhenti dilampu isyarat sebelum dapat bergerak ke seberang jalan sana.

Cincin itu cincin pusaka. Cincin daripada arwah ibunya yang tersayang. Sampai hati Marsha baling cincin tadi. Padahal Marsha tahu sangat cincin itu tinggi nilainya di hati Khasyaf.

“Assalamualaikum..”

Begitu lembut suara itu menyapa. Sama seperti suara dalam mimpinya subuh tadi. Suara itu terus saja memberi rasa tenang dalam hati Khasyaf. Hilang sekejap semua rasa susah hatinya sebentar tadi. 

“Nur..” ujar Khasyaf. Cukup untuk didengar oleh dirinya sendiri.

“Maaf. Tapi tadi I nampak.. I mean I accidentally saw you and your girlfriend.. Maaf, I betul-betul tak sengaja nampak you berdua bergaduh. Kemudian cincin ni dia campak. Kebetulan cincin ni meleret jatuh dekat dengan I.  Sorry again, I bukan sengaja nak ambil tahu. You nampak sedih sangat, jadi I pulangkan semula sebelum orang lain jumpa cincin ni.”

Khasyaf termangu. Tidak tahu mahu berkata apa lagi. Lebih-lebih lagi bila pemilik wajah tenang itu sudah mengunjukkan cincin yang dibuang Marsha tadi.

“Terima kasih.”

“Perkara kecil saja ni,” balas Nurdina. Sempat mengukir segaris senyuman ringkas sebelum melangkah pergi.

“Nur,” panggil Khasyaf.

Mendadak langkah Nurdina terhenti. Bulat sepasang matanya. Hairan bila namanya disebut oleh lelaki asing tersebut.

“Apa yang you tahu tentang Palestin?” sambung Khasyaf. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa soalan itu yang terhambur.

“Palestin?" soal Nurdina semula. Hilang sebentar isu bagaimana lelaki itu tahu namanya,

“Ya. Tentang Palestin.”

“Palestin tu tanah rahmat. Tanah istimewa yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau. Di sana ada Masjidil Aqsa, masjid ketiga paling mulia di dunia setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.”

Khasyaf tenang mendengar penjelasan Nurdina. Sepasang matanya tidak lepas lagi menatap Nurdina. Khasyaf pun sudah jadi seperti Marsha. Sudah tidak peduli kalau Nurdina tidak selesa.

“Yahudi pula menganggap Palestin sebagai ‘Tanah Yang Dijanjikan Tuhan.' Sebabnya, disitulah asal nenek moyang mereka, iaitu Bani Israel. Mereka percaya di Palestin letaknya Bukit Zion. Mereka juga percaya disitulah tertanamnya Temple of Soloman. Dua sebab inilah yang menjadikan Palestin jadi rebutan dan jadi pusat pertumpahan darah.”

Jawapan yang berjela. Namun Khasyaf senang sekali mendengarnya. Seraut wajah Sayid mula muncul dalam kepalanya. Khasyaf harap, dia dapat berjumpa dengan Sayid bila dia sampai di Palestin nanti. Kalau pun Sayid tidak wujud, segala nasihat Sayid akan selalu melekat dalam jiwa Khasyaf.

“Selain Yahudi, Kristian pun menganggap tanah Palestin sebagai tanah suci. Di tanah inilah Nabi Isa menyampaikan ajarannya. Menurut kepercayaan mereka, Nabi Isa di salib di tanah Palestin. Jadi tak hairan kalau Yahudi dapat tajaan penuh. Sedangkan Palestin tanpa sebarang tajaan. Semuanya atas kepala mereka sendiri.”

Nurdina menghela nafas panjang. Kemudian dia menyorot lelaki di depannya tajam-tajam.

“Palestin telah dikhianati oleh Tanah Arab yang lain. Tanah rahmat yang dulunya seluas-luas kawasan, sudah bertukar jadi tanah rahmat yang sekangkang kera. Yahudi berjaya menjarah tanah Palestin. Dan I tak nak jadi pengkhianat seterusnya. Palestin dah cukup menderita.”

Okey, sekarang Khasyaf semakin kagum mendengar jawapan Nurdina. Boleh tak kalau Khasyaf minta Nurdina simpan cincin ditangannya sekarang? Agak-agak, Nurdina terima tak? Atau dia akan terkejut?

Nurdina takkan terima dan pasti terkejut! Silap hari bulan, cincin ini pun bakal dibuang ke seberang jalan buat kali kedua. Kamu sanggup ke, Khasyaf?

Tak sanggup!

“Kalau tak ada apa lagi, saya minta diri dulu.”

Nurdina kembali melangkah. Makin lama makin jauh dan hilang terus dari pandangan Khasyaf. Nampaknya ruang gelap dalam hati Khasyaf telah dihiasi 'nur'. Lihatlah tu, Khasyaf sedang mengulum senyuman paling istimewa.



KLIA tidak terlalu sibuk hari ini. Di satu sudut, Nurdina tidak habis-habis dipeluk oleh keluarganya. Kemudian teman-temannya yang lain.

"Jaga diri," pesan Syed Harraz lantas memeluk tubuh adik kesayangannya. Berat rasanya hati mahu melepaskan Nurdina pergi. Lebih-lebih lagi ke tanah bergolak seperti Palestin.

"Abang pun sama. Jaga ibu dengan ayah dan adik kita."

Syed Harraz mengangguk sebelum kembali memeluk Nurdina. Susah benar hatinya mahu melepaskan Nurdina pergi. Padahal ayah dan ibunya tidak menghalang langsung hasrat hati Nurdina.

"Daus, jaga adik aku elok-elok," pesan Syed Harraz pada sepupunya pula. Sorotannya sangat tajam. 

"Ini kali ke dua puluh kau ulang ayat yang sama. Naik bernanah telinga aku dengar. Cara kau membebel ni dah macam nenek-nenek tua! Uncle Syed dengan auntie Farhah pun tak macam ni! " gerutu Daus dengan wajah cemberut.

Meletus tawa mereka semua. Namun tawa mereka berhenti mendadak bila Khasyaf datang menghampiri mereka semua. Penuh hati-hati Khasyaf memberi salam. Tangan juga dihulur pada ayah Nurdina, abang dan juga sepupunya. Pada Ibu Nurdina, Khasyaf memberikan senyuman khasnya yang tersendiri.

"Saya nak minta tangan anak pak cik dengan mak cik."

Jelas terlihat kerutan di dahi uncle Syed Arif dan juga auntie Farhah. Keduanya saling berbalas pandang. Begitu juga Syed Harraz dan Daus. Hanya Nurdina saja yang berwajah tenang meskipun dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu sedalam mana rasa pelik yang tumbuh.

"Saya nak minta Nur jadi isteri saya. Sebagai nur dalam hidup saya."

"Eh?"


T.A.M.A.T (Jangan minta PK sambung. Nanti tajuk jadi Salam Cinta Dari Hati pula kalau disambung)
Every day we tell each other
That this day will be the last
And tomorrow we all can go home FREE
And all this will finally end
Palestine tomorrow will be FREE
"Setiap hari. Sejak tanah Gaza dipijak oleh kaki-kaki kotor.
Sayangnya hingga kini masih menunggu.
Menunggu dengan penuh rasa sabar dan cinta."
No mother no father to wipe away my tears That’s why I won’t cry I feel scared but I won’t show my fears I keep my head high Deep in my heart I never have any doubt that Palestine tomorrow will be FREE "Iya, tanpa ayah dan ibu.
Tapi Malaikat ada di kanan dan kirimu.
Jangan takut. Teguhkan dalam hati.
Buang semua rasa ragu.
Bebas itu pasti."
I saw those rockets and bombs shining in the sky
Like drops of rain in the sun’s light
Takin away everyone dear to my heart
Destroying my dreams in a blink of an eye
'Kami juga melihat. Melihat dengan mata hati yang luluh.
Langit juga sedang bersedih.
Asap perang mengaburi lagi pandangan."
What happened to our human rights?
What happened to the sanctity of life??
And all those other lies???
I know that I’m only a child
But is your conscience still alive????
"Oh, jangan tanya.
Semuanya telah hilang lepas entah kemana.
Yang tertinggal hanya suara-suara lantang.
Tapi jauh. Sangat jauh.
Tidak terdengar oleh saudaramu yang lain.
Gugup untuk bersatu. Gentar pada kuasa besar."
Ooooooh ... Yeaaah
I will caress with my bare hands
Every precious grain of sand
Every stone and every tree
Cuz no matter what they do
They can never hurt you
Cuz your soul will always be FREE
"Janji Allah selalu pasti.
Tersenyumlah untuk hari esok yang cerah.
Syurga juga sedang tersenyum. Menitipkan kata rindu.
Salam Cinta Dari Syurga untuk semua yang syahid."
Palestine tomorrow will be FREE
"Insya-Allah."
~ Khasyaf . Sayid . Nurdina ^^


19 comments:

  1. Hellehhhhhh
    mcm tau2 aje nl surh smbung....
    potong tul lah...

    Apa yg boleh di tulis....BEST
    MMG BEST... SGT BEST
    menusuk dlm hati meruntun jiwa
    nilai2 manusia bermain kat otak...
    sedih bila part sayid
    geram bila part marsya
    senyum bila part family
    terkedu bila part minta tgn...

    Pena Kayu.... thumbs up....

    ReplyDelete
    Replies
    1. PK mcm nk lenyek n penyek Marsha. Sibuk jer nk ugut2.. Maseh dear.. Mase cari material mmg berendam air mata tgk penderitaan rakyat Palestine.. Huhuhu

      Delete
  2. Tak tau nak kata apa....
    Ya Allah,sekalipyn kita c mampu nak berjuang ke Palestin..jangan pula nak menghalang niat suci org lain...
    Ajal maut,jodoh pertemuan semuanya ditangan yg Maha ESA ..

    Sungguh murni hati sikecil sayid..

    Ya Allah,selamatkan bumi Palestin,

    ReplyDelete
  3. citer yg meruntun perasaan mengenai anak anak yg bernama sayid ini... dan bumi Palestin yg ditindas berzaman zaman dahulu... dan mmg benar apa kata Nur itu... itualah suara hati umat islam yg sedar akan penindasan puak yahudi kan... tapi kenapa umat islam di benua sana ..tidak bersatu menentang puak puak ini...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah yg patut dikupas.. PK pn x faham knp mereka butakan mata hati.. Mungkin ad yg trsirat.. smpai bila trsirat tu nk dilayan?

      Delete
  4. Sedihnya.... mcm berada kt sana rasanya.... nak sambungan PK.. hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. PK lagilah.. Cari material nmpak sumer.. Luluh hati.. Huhuhu

      Delete
  5. Ala, potong betul kak pena ni.. baru bersemangat nak baca bagi habis apa yang jadi selepas dorang pegi palestin huuhu.. BEST sampai menangis-ii baca. harap-harap dapat ilham untuk mengerang mengenai kemelut yang melanda bumi GAZA tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaha.. Ni akak PK saje potong, lepas nia dik plak smbung yor.. Heheh

      Delete
  6. Cerita mcm tergantung... Mmg perlu sgt disambung... Pk berkisah tu biarlah smpi ke hujung.. Jgn suruh kami ni dok terhitung2...

    ReplyDelete
  7. Touching my heart n make me cry...
    Smoge Palestine akn BEBAS satu hari nnt InsyAllah

    ReplyDelete
  8. sedih.. :'( kisah sayid sangat menyentuh hati.. huhu nak sambung boleh tak :)

    ReplyDelete
  9. sedih nye...berjuraian air mata bce cerpen PK ni.. :'( ..semoga Allah merahmati umat Islam yg tertindas...
    pray for palestin..

    ReplyDelete