Tuesday, 8 July 2014

#Bab03 - Persembahan Dari Hati

Pernah dengar cerita tentang anak dara mengintai anak teruna? Belum pernah? Baiklah, sekarang  Nadine tunjukkan gaya sedang mengintai anak teruna Mak Jah.

Bukan mengintailah, tetapi sedang meneliti keadaan semasa. Kalau buka saja pagar rumah Mak Jah, tak fasal Nadine dapat bebelan berjela.

Wahai Nadine yang baik hati, Abu Hanifah bukan beri bebelan, tapi nasihat yang indah.

Apa-apa sajalah!

“Mana blouse tu?” soal Nadine sendiri. Masih lagi terpacak di depan pagar rumah Mak Jah. Di satu sudut halaman rumah Mak Jah, jelas terlihat berpasang-pasang jubah sedang dijemur.

Nadine, kamu ni cari blouse atau sengaja hendak lihat jubah Abu Hanifah? Cuba belajar cakap benar. Jangan asyik hendak cari alasan.

Sengaja  hendak lihat? Tolonglah! Nadine sikit pun tak suka dengan jubah Abu Hanifah. Hari-hari pakai jubah. Dalam rumah pun pakai jubah. Baju lain tak ada ke? Dan yang paling penting, Nadine tak beralasan pun.

Nadine sayang, jubah tu cantik. Sesuai sangat dengan Abu Hanifah. Cuba kalau Nadine pula yang pakai jubah. Mesti lagi cantik.

Nadine geleng kepala berkali-kali. Nadine nak pakai jubah? Tunggulah sampai seru dulu. Sekarang blousenya yang melayang ke laman rumah Mak Jah  perlu diselamatkan secepat mungkin.

Nadine mengerling pagar rumah Mak Jah. Seperti selalu tidak berkunci.

“Assalamualaikum..” laung Nadine. Sebenarnya Nadine hendak buka saja pagar rumah Mak Jah. Cuma bila teringat gaya Abu Hanifah memberi tazkirah, mulalah hati Nadine bolak balik.

“Assalamualaikum..” laung Nadine untuk kedua kalinya. Kerutan didahinya usah cerita. Memang sangat dalam dan ketara.

“Mana dia ni?” rungut Nadine. Tengahari tadi Nadine lihat Mak Jah keluar dengan Fatim. Maksudnya, yang tinggal dalam rumah ini hanya Abu Hanifah yang gila jubah itu.

“ASSALAMUALAIKUM,” laung Nadine sekali lagi. Cuma kali ini lebih meleret dan mendayu saja bunyinya.

Penat menunggu, akhirnya Nadine nekad. Penuh hati-hati dia membuka pagar rumah Mak Jah. Hari ini Nadine memang sengaja memakai baju lengan panjang serta melilit kepalanya dengan pashmina. Ini semua persediaan hendak bertemu anak teruna Mak Jah yang ala-ala ustaz tersohor itu. Jadi Nadine tidaklah diberi tazkirah berjela-jela.

"Sepatutnya jatuh dekat sini. Kenapa tak ada?” keluh Nadine.
Lehernya dipanjangnya mencari sehelai blouse chiffon tanpa lengan yang mungkin melayang ke rumah ini. Sambil itu, mata Nadine meliar juga melihat keadaan sekeliling.

“Cari apa?”

Terkejutnya Nadine bila ditegur secara tiba-tiba. Tubuhnya ditegakkan sebelum segera berpaling. Hari ini Abu Hanifah hanya memakai T-Shirt lusuh berwarna putih dengan kain pelekat. Serius, serupa Tok Mudim.

“Tak elok Nadine pandang seorang lelaki dengan renungan bernafsu macam tu. Silap gaya, boleh dapat dosa. Renungan mata tu cuba tukar jadi renungan biasa-biasa. Boleh?”

Bernafsu? Tukar renungan biasa-biasa? Abu Hanifah cakap apa ni? Sekarang juga Nadine hendak pitam.

“Ini bukan renungan bernafsu, tapi renungan mencari. I nak cari blouse I yang mungkin diterbangkan angin. I dah cari tempat lain, tapi tak jumpa. Laman rumah you ni saja I belum cari. Lagi satu, sebelum masuk I beri salam. Salah you tak jawab. Jadi, I tak menceroboh,” ujar Nadine panjang lebar.

Terangkat sedikit kening Abu Hanifah bila Nadine terlalu sengaja menekan perkataan menceroboh. Kemudian ada segaris senyuman istimewa dilemparkan pada Nadine.

“Kain yang jarang tu?” teka Abu Hanifah. Kali ini riak wajah Abu Hanifah seperti sedang menahan ketawa.

“Betul. You ada jumpa ke blouse tu?”

Blouse ke tu?” soal Abu Hanifah semula. Lengkap dengan muka peliknya.

Blouselah. Takkan kain lap pula.”

“Saya ingat kain lap tadi.”

Terhenti sekejap nafas Nadine. Blouse yang berharga hampir satu ratus setengah disamakan macam kain lap? Ini yang buat Nadine naik angin.

“Bagi balik blouse tu," pinta Nadine dengan sorotan mata tanpa perasaan. Malas hendak bertekak dengan Abu Hanifah. Buang masa dan tenaga.

“Saya dah buang dalam tong sampah. Kalau tak silap, lori sampah sudah datang tadi.”

Sepi. Hanya sorotan Nadine saja yang semakin tajam. Nafasnya ikut turun naik menahan rasa marah yang datang.

“You buat apa?”

“Maaf Nadine. Saya tak sengaja.”

“You buang? Kemudian tak sengaja? You ni kenapa?”

Berkali-kali Nadine mengepal tangan sendiri. Rasanya Nadine hendak telan Abu Hanifah. Kalau boleh telan hidup-hidup!

“Maaf ya. Nanti saya ganti dengan baju kurung.”

Baju Kurung? Ganti dengan baju kurung?

Okeylah tu, Nadine. Kalau Abu Hanifah sebut ganti dengan jubah, kamu juga yang tersedak.

“Tak payah ganti langsung!” tempelak Nadine lantas terus melangkah pergi. Rasa geramnya tidak mampu lagi ditahan. Sekarang Nadine bukan hanya hendak telan Abu Hanifah hidup-hidup, tetapi hendak mengikat Abu Hanifah di pokok. Biar semut api dan kerengga gigit Abu Hanifah. Biar padan dengan muka Abu Hanifah.

Sebaik saja Nadine berada di luar pagar, rasa geram tadi bertukar terkejut. Lebih-lebih lagi bila melihat Nashrin baru turun dari kereta.

Nahrin itu adalah lelaki yang Nadine harap boleh jadi heronya. Yang Nadine harap boleh merawat luka hati setelah Amirul memilih untuk curang. Mana tahu Nashrin bukan jadi hero, tapi jadi lelaki yang memberi luka hati. Nashrin dan Amirul sama saja.

“Buat apa datang sini? Ibu you tahu tak you ke sini?” tanya Nadine acuh tak acuh.

"I dah bincang dengan ibu I, Nadine. Dia izinkan I kahwin dengan you.”

"Izinkan? Nashrin, jangan temberang I lagi. I tak larat nak dengar semua kata temberang you.”

"I tak temberang, Nadine. I cakap betul," beritahu Nashrin. Lengan Nadine turut diraih dengan kemas.

"Let go of me."

"No. Selagi you tak.."

"Tak apa? Nashrin, tolong ingat you tu bakal tunang orang. I tak nak dilabel sebagai perampas tunang orang. Lagipun.. " Nadine mengerling sepintas lalu ke arah Abu Hanifah. Sejak tadi lelaki itu menjadi pemerhati setia. Sikit pun tidak bergerak dari tempatnya berdiri.

Sebenarnya Nadine hendak minta tolong Abu Hanifah menyamar jadi bakal suami Nadine. Isunya sekarang, Abu Hanifah itu susah hendak dibawa berbincang. Masalah paling besar, Abu Hanifah faham ke bahasa mata yang Nadine hantar sekarang ini?

"Lagipun saya bakal suami Nadine," ujar Abu Hanifah. Wajahnya nampak begitu bersahaja sekali. Kini dia berdiri betul-betul di sebelah Nadine.

Percayalah, tiba-tiba saja hati Nadine rasa selamat dan dilindungi. Tidak lagi gundah. Nampaknya, ada juga guna Abu Hanifah ni.

Pejam celik mata Nashrin. Otaknya tidak mampu memproses dengan baik ayat lelaki yang hanya memakai T-Shirt putih dan kain pelekat tersebut. Masuk telinga kanan dan terus keluar telinga kiri.

"Saya ni, bakal suami Nadine. Dan hati saya tak tenang bila awak dengan mudah pegang lengan bakal isteri saya."

Serta-merta pegangan tangan Nashrin terlepas. Bulat sepasang matanya menyorot Nadine dan lelaki yang memakai kain pelekat itu.

"Betul cakap dia ni," luah Nadine dengan suara yang sedikit gugup. Ini kerana Nadine tidak menduga langsung Abu Hanifah faham bahasa mata yang dihantar.

"You bohong, kan? Sengaja cakap macam tu supaya I mengalah?" desak Nashrin. Enggan menerima semua kata-kata Nadine.

"Dia ni memang calon suami I," beritahu Nadine lagi meski masih juga gugup.

"Tak logik, Nadine. Cepat sangat you cari pengganti.”

"Saya pilihan ibu dan ayah Nadine," jawab Abu Hanifah. Wajahnya tetap juga kelihatan santai dan tenang.

"I bukan tanya you!" tempelak Nashrin setelah kecundang mengawal emosi dalam hati.

"Memang awak tak tanya saya. Tapi awak menganggu Nadine. Saya lelaki yang dipilih untuk jaga Nadine. Tanggungjawab saya buang semua rasa susah hati Nadine."

"Nadine?" soal Nashrin. Jelas sekali dia menolak semua penjelasan lelaki dengan gaya ala-ala seorang Tok Mudim itu.

"Kami akan kahwin tak lama lagi."

"Nadine!" marah Nashrin. Telinganya sengaja dipekakkan bila Nadine mula sebut perkataan kahwin.

"Baliklah. Jangan cari Nadine lagi," pinta Nadine lalu mula mengorak langkah. Lagi lama dia melayan Nashrin, lagi panjang cerita lelaki itu. Kalau boleh, Nadine tidak mahu ada hubungan lagi dengan Nashrin.

Nashrin mahu menghalang langkah Nadine, namun tangannya lebih dulu dihalang oleh Abu Hanifah. Wajah tenang lelaki itu nampaknya telah bertukar serius.

"Kalau ada apa-apa, bincang dengan saya."

Nashrin mengeluh berat. Sangat berat. Wajahnya sejak tadi kelam, atau lebih tepat sejak lelaki pelik ini berdiri di sebelah Nadine.

"Baliklah. Kami doakan awak selalu bahagia."

Nashrin sempat menyorot Abu Hanifah tajam-tajam. Dengan hati yang separuh dia menghayun langkah gontai menuju ke Toyota Caldina yang setia menanti.

"Abu Hanifah," panggil Nadine setelah kelibat Toyota Caldina Nashrin hilang dari pandangan mata. Suaranya antara dengar dengan tidak.

Tidak jadi Abu Hanifah membuka pintu pagar rumahnya. Sebaliknya dia berpaling lalu seperti biasa, senyuman khasnya diukir untuk Nadine.

"Ya?"

Tidak tahu kenapa, Nadine kehilangan kata setelah mendengar balasan suara Abu Hanifah. Begitu lembut dan penuh perhatian.

"Terima kasih. Dan minta maaf sebab buat you menipu."

"Perkara kecil saja tu, Nadine. Lagipun saya tak menipu. Apa saya cakap tadi betul," balas Abu Hanifah. Kemudian dia terus berlalu pergi. Meninggalkan Nadine dengan sejuta kerutan di dahi.





NADINE melangkah masuk ke dalam rumah juga dengan dahi berkerut. Ketika sampai di depan pintu biliknya pun dia masih berfikir tentang makna disebalik kata-kata Abu Hanifah. Sayangnya, satu jawapan pun tidak ditemui. Susah kalau begini.

"Nadine, tengahari tadi Abu Hanifah ada pulangkan blouse. Ibu lupa nak beritahu. Tapi ibu dah letak dalam bilik," beritahu Mak Cik Nazimah dari tingkat bawah.

"Blouse? Maksudnya, Abu Hanifah tak buanglah dalam tong sampah? Abu Hanifah itu baik juga sebenarnya. Cuma cara dia meluahkan kata saja yang perlu pendidikan khas," komen Nadine lantas membuka pintu biliknya luas-luas.

Kelihatan satu beg kertas  berdiri tegak di atas tilam. Lekas-lekas Nadine meraih beg kertas tersebut. Tapi itulah, Nadine terkejut lagi. Bukan hanya blouse, kain pasang berwarna pink lembut dengan corak paisley turut berada di dalam beg kertas itu.

"Kain pasang? Dia salah beri ke? Dia nak beri siapa sebenarnya kain pasang ni?"

Nadine masih membelek-belek kain pasang tersebut sehinggalah matanya menangkap sekeping nota kecil. Tertera dengan jelas tulisan Abu Hanifah. Kemas dan cantik tulisan lelaki itu. Cuma ayatnya saja yang buat hati Nadine bagai sedang digiling menggunakan lesung batu.


Baju ni macam tak cukup kain.
Jadi saya beri kain pasang.
Boleh dijahit jadi baju kurung.
Lebihan kain tu nanti boleh dibuat lengan baju.


Jadi, kain pasang ni memang untuk Nadine? Nadine tak suka baju kurunglah. Tak suka. Benci. Rimas. Panas. Yang Nadine tak suka, semua pun Abu Hanifah suka. Abu Hanifah ni, memang sengaja cari fasal!





**
#DOA CINTA SEORANG LELAKI (DCSL) sudah berada di kedai buku berhampiran. 
#PERSEMBAHAN DARI HATI hanya sambungan cerita ini dengan beberapa tambahan bab awal. Plot tak sama. Takkan jumpa dalam versi asal dan ada sambungan betul-betul lepas 'check in'.  Jadi kalau belum baca #DCSL, cepat2 dapat kan :))

Latest teaser 'n' updates. REQ. GROUP;
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/






21 comments:

  1. Hihihihi.....................
    sweet aje abu

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu.. tp smpat lg dia menyindir cara paling halus.. kih3

      Delete
  2. Hahahahaha elm baik dia sempat lg tu menghantar sedas dua

    ReplyDelete
  3. buat lagi nadine, jaga2....terbaikkkk, nk lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nadine tu mana pandai nak berjaga2.. Dia suka rempuh jer.. Kih3

      Delete
  4. ahhhh..AH memang selalu buat aii jiwa kacau..!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalu tetibe Mok Cik Haida muncul, jiwa kacau lg tak k. Tina?

      Delete
  5. Replies
    1. Abg abu jer ke?? Cina Nadine, sumer support abg Abu.. Keh3

      Delete
  6. suka dengan abang abu....macho je. jatuh cinta lagi....hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dr SA tanya, dgn dia x jatuh cinta ker?? Hehehe

      Delete
  7. wahh x sabar nk tggu smbggannya mesti lagi best ;)

    ReplyDelete