Sunday 29 June 2014

#Ramadhan Special - Temani Aku Selamanya

^^ Tragedi Sahur ^^

Sudah dua kali Carl Ibrahim masuk ke ruang dapur. Setiap kali masuk, setiap kali itu jugalah matanya bekerja keras melihat apa yang Nirina lakukan. Tadi Nirina blender lada besar beserta bawang. Kemudian halia dan lengkuas. Sekarang Nirina sibuk pula memotong ayam. Belacan? Macam tak ada saja.

"Nirina, you buat apa ni?"

"Potong ayam."

"I tahulah potong ayam."

"I nak buat rendang ayam sahur nanti."

"Lagi?"

"Kailan ikan masin."

"Lagi?"

"Kangkung dengan sup kosong."

"Kangkung tu masak macam mana?"

"Tumis biasa."

"Bukan tumis dengan belacan?"

"Bukan."

Serta-merta riak wajah Carl Ibrahim berubah menjadi seperti nenek kebayan. Jawapan Nirina tidak mampu diproses dengan baik oleh sekeping hati lelakinya. 

" Nirina, jangan macam ni. I nak sambal belacan. Lauk lain tak ada pun tak apa. I was expecting to eat belacan during our first sahur."

"Maaflah, I tak pandai buat sambal belacan. Esok masa berbuka kita beli sambal belacan yang sudah siap. Boleh?"

"Tak pandai?" soal Carl Ibrahim sekali lagi. Sengaja bertanya. Dia juga sengaja tidak menjawab pertanyaan Nirina.

Nirina mengangguk. Kemudian kembali sibuk membersihkan ayam yang telah siap dipotong.

"Betul ni tak pandai?" desak Carl Ibrahim. Tidak cukup dengan itu, dia pun sudah menarik lengan Nirina. Biar Nirina menghadap wajahnya saja. Kemudian tanpa sebarang isyarat, bibirnya singgah pada ubun-ubun Nirina. Meskipun Nirina meronta, namun tidak juga dilepaskan. Dia rela berbau hamis, asalkan Nirina mengangkat bendera putih.

"Sekarang I tanya lagi sekali ya. You pandai buat sambal belacan atau tak pandai?" tanya Carl Ibrahim bersama segaris senyuman paling istimewa. Itupun setelah dia puas memeluk Nirina dengan erat dan mencium ubun-ubun Nirina sesuka hati.

Nirina mengetap bibirnya kuat-kuat. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja dibaling segala bahagian ayam ke muka Carl Ibrahim. Percayalah, rasa terkejutnya belum hilang bila Carl Ibrahim melakulan kegiatan spontan begini.

"Nirina, I tanya ni. Atau you nak I buat sekali lagi macam tadi?"

"Pan.. Pandai. I pandai buat sambal belacan," luah Nirina dengan suara terputus-putus. Rasa terkejutnya jadi berganda-ganda bila Carl Ibrahim memberi ayat mandatori.

"Good. Kali ni I cium ubun-ubun you saja. Tapi kalau you bantah I lagi, bukan saja ubun-ubun, satu badan pun I boleh cium. So please, sambal belacan ya Nirina sayang. Intan payung. Busuk-busuk."

Carl Ibrahim mengulum senyum kemenangan. Bukan susah sangat pun hendak membuat Nirina mengangkat bendera putih. Jadi selepas ini dapatlah Carl Ibrahim merasa sambal belacan Nirina yang first class tu. Sambal belacan Mak Cik Latifah pun kalah. Err.. Jangan beritahu Mak Cik Latifah ya. Ini rahsia kita bersama. Jangan beritahu Nirina juga. Nanti Nirina besar kepala.



KETIKA jam menunjukkan angka dua pagi, Carl Ibrahim masih khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Nirina pula sejak lima belas minit tadi telah mengalah. Sekarang dia menungu Carl Ibrahim. Tapi nampaknya, belum ada tanda-tanda Carl Ibrahim akan selesai. Sudahnya Nirina memilih untuk memejamkan mata. Bukan apa, kuapannya makin lama makin besar.

Belum pun sempat Nirina menarik sauh mimpi, telinganya menangkap suara esakan yang tertahan. Serta-merta Nirina kembali membuka mata. Tubuhnya juga telah ditegakkan. Jelas terlihat bahu Carl Ibrahim terhengut-hengut menahan rasa sebak yang setinggi gunung.

"Carl?" seru Nirina lalu penuh hati-hati dia menghampiri lelaki itu. Bersimpuh di sisi lelaki itu.

"Kenapa ni?" aju Nirina. Bahu Carl Ibrahim segera di sentuh. 

Paling mengejutkan bila tiba-tiba saja Carl Ibrahim meraih Nirina ke dalam pelukannya. Peliknya, kali ini Nirina tidak meronta. Sebaliknya membalas rangkulan Carl Ibrahim.

"Ada apa ni?"

"I takut, Nirina," beritahu Carl Ibrahim bersama suara yang tenggelam timbul.

Sempat juga dahi Nirina berkerut. Rangkulan Carl Ibrahim dilonggarkan. Kemudian dia menyorot lelaki itu dengan lembut.

"Takut kenapa?"

Carl Ibrahim membisu. Getaran tubuhnya juga bertambah hebat.

"Carl.." panggil Nirina. Tangan Carl Ibrahim diraih lantas digenggam.

"You boleh cerita pada I."

Barulah Carl Ibrahim punya keberanian untuk membalas sorotan Nirina. Entah keberanian dari mana, jari tangan Nirina menyeka hujung mata Carl Ibrahim.

"I tak yakin I dah bersedia, Nirina. Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Bulan yang menuntut kita mengamalkan sejuta kebaikan. I risau persiapan rohani I tak cukup untuk menyambut Ramadhan. Persediaan rohani sama juga seperti landasan kapal terbang. Kalau landasan I tak siap, I tak mampu menerima segala macam amalan dari langit. Macam mana I nak ajar anggota fizikal I berpuasa dengan persiapan rohani yang sangat dangkal?"

Tercengang juga Nirina mendengar penjelasan Carl Ibrahim. Namun terselit juga rasa bangga dalam diri Nirina. Sekurang-kurangnya dia tahu, Carl Ibrahim berusaha melakukan yang terbaik untuk Ramadhan kali ini.

"Carl, bawa bertenang. Kalau Carl rasa persiapan rohani belum cukup, tambahkan lagi. Jangan pula tambahkan aura negatif. Macam mana nak buat persiapan rohani yang bagus kalau awal-awal lagi dah fikir negatif macam ni?"

Carl Ibrahim terdiam mendengar jawapan Nirina.

"Kita sama-sama usahakan ya," luah Nirina bila melihat Carl Ibrahim tetap juga membisu.

Kali ini Carl Ibrahim mengangguk.

"Carl dah habis baca Al-Quran?"

Mengangguk lagi.

"Carl nak buat apa-apa lagi tak lepas ni?"

Geleng kepala pula.

"Tak nak tidur?"

"Mata I tak boleh tidur."

"Kalau macam tu rehat sekejap. Nanti bila I bangun untuk masak sahur, I kejutkan. You boleh sambung baca Al-Quran."

"I tak boleh tidur, Nirina."

Nirina mengulum segaris senyuman. Kemudian pahanya ditepuk dua kali.

"Baring. Letak kepala dekat sini. I bantu you berehat."

"You serius?"

Nirina mengangguk penuh rasa yakin. Tidak sampai lima saat kepala Carl Ibrahim telah selamat mendarat di paha Nirina. Matanya dipejamkan.

"Tidurlah," pujuk Nirina sambil menepuk-nepuk belakang tubuh Carl Ibrahim.

"Tepuk kuat sikit, Nirina. Tak rasa macam dodoi pun. Tapi jangan tepuk kuat sangat. Tepuk dengan penuh kasih sayang," pinta Carl Ibrahim dengan mata yang masih terpejam rapat.

Amboi.. Melebih-lebih pula Carl Ibrahim ni. Kalau Nirina ganti dengan cubitan boleh?

Segala macam nawaitu jahat Nirina hilang bila terasa setitik air hangat membasahi pahanya, kemudian setitik lagi dan lagi. 

"Carl?" panggil Nirina.

"I okey. You jangan risau. I memang selalu begini."

Nirina menghela nafas panjang. Kemudian dia menundukkan sedikit wajahnya.

"Rasulullah pasti sedang tersenyum bahagia sekarang," bisik Nirina, betul-betul di tepi telinga Carl Ibrahim.

"Sebab?"

"Sebab masih ada umatnya yang risau tentang persiapan rohani ketika mahu menyambut Ramadhan."

Segaris senyuman khas menghiasi wajah Carl Ibrahim. Tangan Nirina segera diraih lantas digenggam seeratnya.

"Thank you, Nirina. I highly appreciate the way you persuade me. Hati I terpujuk."

"Sekarang tidur ya. Jangan susah hati lagi."

Carl Ibrahim mengangguk meski matanya masih terpejam rapat. Tinggal Nirina terkebil-kebil memberi layanan paling istimewa pada Carl Ibrahim. Nirina pun tidak tahu pukul berapa dia terlelap. Dia cuma tersedar ketika telefon bimbitnya berbunyi nyaring.

Nirina sempat terpisat-pisat. Carl Ibrahim masih tertidur pulas dipangkuannya. Percayalah, paha Nirina terasa begitu lenguh sekali. Namun segala rasa lenguh itu hilang bila melihat jarum jam.

"Carl, bangun!" ujar Nirina lantas menggoncang bahu Carl Ibrahim. Begitu kuat sekali. Sehinggakan Carl Ibrahim bangun dengan muka mamai.

"Apa? Apa yang runtuh?"

"Tak ada apa yang runtuh. Bangun cepat. Cuci muka. Waktu imsak tinggal lima belas minit," balas Nirina lantas mendorong tubuh Carl Ibrahim bangun. Kemudian Nirina bergegas ke dapur. Dua bungkus instant oat juga telah dicapai.

"Makan cepat," arah Nirina sebaik saja melihat kelibat Carl Ibrahim memasuki ruang dapur.

"Apa tu?" soal Carl Ibrahim dengan muka nenek kebayannya.

"Oat."

"Sambal belacan I mana?"

"Tak sempatlah. Masa dah suntuk."

"Heh?"

"Hirup cepat. Kalau boleh, sekali hirup."

"Heh??"

Geramnya Nirina bila Carl Ibrahim buat muka pelik begini. Terus saja mug yang berisi oat disuakan pada Carl Ibrahim.

"Baca doa sahur dulu."

Carl Ibrahim menurut. Namun muncungnya usah cerita. Memang sedepa panjangnya.

Nirina menjeling jam di tangan. Masih ada lima minit. Lekas-lekas dia buka peti sejuk. Tiga biji kurma dikeluarkan.

"Bismillah," ujar Nirina lantas menyuakan sebiji kurma pada Carl Ibrahim. Kemudian sebiji lagi. Cuma kurma yang terakhir saja Carl Ibrahim menolak untuk disuap.

"Nirina, kalau kurma ni cecah sambal belacan mesti sedap, kan?"

"Jangan nak mengarutlah."

"Kempunan nak makan sambal belacan you. Kena tunggu sampai berbuka baru boleh merasa. Ini namanya penyiksaan hati, mata dan otak."

Nirina ketawa kecil. Ada saja ayat Carl Ibrahim yang jelas-jelas merepek.

"Sebiji lagi," ujar Nirina lantas kembali menyuakan kurma terakhir. Tapi itulah, dia sangat terkejut bila Carl Ibrahim mengambil kurma tersebut lantas dicium. Kemudian disuakan pada Nirina.

"I dah jampi dengan jampi khas. Makan ya."

Terkebil-kebil juga mata Nirina. Lidahnya jelas kelu. Lebih-lebih lagi bila menerima sorotan paling hangat. Paling istimewa. Aduhai hati, jaga diri baik-baik. Jangan terbabas.

"Selamat berpuasa, Nirina," bisik Carl Ibrahim. Sempat dia menyentuh pipi Nirina sebelum bingkas berdiri. Meninggalkan Nirina dengan sejuta rasa terindah.


** For latest updates and teaser, log on to #kerjatulismenulis;
https://www.facebook.com/groups/584073261660707


10 comments:

  1. Kalo terlambat sahur tu mmg slalu la PK... kalo kurma nk cicah ngan sambal belacan mmg idak lerrr ......

    ReplyDelete
  2. Belum lagi terjadi tragedi sahur mcm tu hehehe..next time x tahu la kannnn

    ReplyDelete
  3. Pernah
    Kurma cicah belacan pon pernah
    Lauk n nasi jer xleh nk mkn
    Sahur tinggal 5minit
    Nasib de kurma buat lauk b
    Sambal belacan

    ReplyDelete
  4. Haha ...aduhai sambl blacan
    Tahu lak takut terbabas...
    Ada eh taksub yg amat sambal belacan

    ReplyDelete
  5. Dlm kalut mgejar masa..masih teringat lagi sambal belacan....nasib la nirina..

    ReplyDelete
  6. Isk..x abes2 ngan belacan dia....
    Tragedi sahur???
    Masih segar dlm ingatan..hehehehe

    ReplyDelete
  7. terburai ketawa ai bila Carl kata nak cicah kurma dgn sambal belacan..... ekekekeke...best.

    ReplyDelete
  8. Carl ni ada ja cara nak buat Rina terkaku... hehehe

    ReplyDelete
  9. dear you... got a question.. kenapa kiss "ubun-ubun"? bukan dahi ke, pipi ke.. by right it is the top of our head. atau.. bahagian kepala yg hampir dgn dahi (dan kelihatan bergerak-gerak pd kepala bayi).. atau.. bahagian puncak kepala (copied & pasted from prpm.dbp.gov.my). kalau nk kiss sesuka hati.. hmmmmmm

    ReplyDelete