Wednesday 22 January 2014

#cerpen - Namaku Khadijah



Nafas  Fahri sudah terhenti. Degupan jantungnya juga terhenti buat seketika. Keningnya terangkat sedikit manakala rahangnya hampir jatuh.

“I rasa I kenal dengan you,”ujar Fahri dengan beraninya. Sorotannya tajam menikam perempuan yang baru saja memasuki perut lif yang ditumpanginya itu.

“Apa dia?”tanya Khadijah sedikit kuat. Jelas dia terkejut bila tiba-tiba saja ditegur oleh seorang lelaki yang tidak kenali. Lebih parah, hanya mereka berdua saja di dalam lif tersebut.

“I kata tadi yang I kenal you. You yang satu sekolah dengan I dulu, kan,”ulang Fahri sekali lagi. Kali ini dia sudah berpeluk tubuh.

“I tak kenal you. You salah orang,”bantah Khadijah. Bulat sepasang kemilau indahnya menatap lelaki tersebut. Tajamnya renungan lelaki itu membuat dia seram sejuk. Cemas sendiri.

“I memang kenal you. Muka you ni familiar sangat. I yakin yang I memang kenal you. Siapa ya nama you ya? Lee? Shin? I pun ingat-ingat lupa.”

Aduhai Fahri, cuba bersopan sikit. Cara kamu hendak berkenalan dengan seorang perempuan sudah berlebihan. Silap haribulan ada tapak kasut yang hinggap di muka kamu nanti.

Saya memang kenal dia. Saya cuma tegur seorang kawan lama. Lagipun kalau hendak berkenalan dengan perempuan, saya takkan buat begini.

Tahu pun! Jadi jangan buat perempuan ini takut lagi. Tanya elok-elok.

Tidak berkelip mata Khadijah menatap lelaki di hadapannya sekarang. Jari tangannya sudah menekat punat lif. Sekarang juga dia ingin keluar. Biar jauh. Biar hilang dari pandangan lelaki gila ini!

“You salah orang. I memang tak kenal you,”balas Khadijah lantas lekas-lekas menghayun langkah deras sebaik saja pintu lif terbuka.

“Nanti dulu!”laung Fahri. Namun teman lamanya itu sudah susup sasap melarikan diri.

Fahri menggaru-garu lengannya yang tidak gatal. Pelik dan keliru dengan gelagat teman lamanya tadi. Dia yakin, perempuan tadi memang bekas teman sekolahnya. Siapa ya namanya?

Puas Fahri memerah otak. Agak lama barulah bibirnya tersenyum puas. Namanya Shin Lee. Ya, nama lengkapnya Lee Shin Lee!

Shin Lee yang selalu bertocang dua memang teman sekolahnya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Siapa pun yang melihat Shin Lee pasti tidak percaya kalau Shin Lee itu cina.

Mata Shin Lee tidak sepet. Mata Shin Lee bundar. Alisnya begitu cantik terbentuk. Anak matanya berwarna coklat. Bulu matanya lentik dan hidungnya bagaikan seludang. Jauh beza dengan muka uncle Lee dan auntie Hoe. Jujur, dulu dia juga sempat menyangka Shin Lee itu gadis arab. 

Tetapi Shin Lee bukan seorang muslim. Perempuan tadi lengkap bertudung menutup auratnya.

“Agaknya aku memang salah orang,”getus Fahri akhirnya.

Khadijah mengatur kembali nafasnya. Sekali-sekala dia menoleh ke belakang. Risau hatinya belum juga hilang. Manalah tahu lelaki gila tadi mengekorinya.

Nanti dulu, kalau diingat semula, wajah itu memang seakan-akan pernah dia lihat. Lebih-lebih lagi tahi lalat yang terletak sempurna di pipi kanan lelaki itu. Sorotan matanya yang tajam. Ya Allah! Itukan Fahri!

Khadijah kembali menghayun langkah deras menuju ke lif. Sayangnya lif yang membawa Fahri sudah sampai di tingkat bawah.

“Tak apalah. Kalau Fahri tinggal sini, kebarangkalian untuk terserempak sangat tinggi. Lepas ni aku akan minta maaf dengan dia.”

Begitu kata hati Khadijah. Fahri teman sekolahnya yang paling dingin dan paling ramai peminat perempuan. Dia salah seorang peminat itu. Tapi Fahri tidak pernah langsung memberi perhatian lebih daripada seorang kawan. Itu yang membuat dia kecewa berat!

Cinta monyet, bukan boleh dikira sangat. Khadijah, sila bangun daripada mimpi indah anda dan lekas-lekas ke kedai. Nanti Kedai tutup, padan dengan muka kamu!


*          *          *


“Biar betul!”bisik Fahri seorang diri. Sulit untuk percaya dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang. Sepasang matanya mengekori langkah kaki calon temuduga tersebut yang sudah pun mengambil tempat di hadapan Hafez. Jujur, dia tergamam, terkesima dan terpana.

Bibirnya terkumat-kamit cuba untuk menyatakan sesuatu. Namun segalanya tersekat. Sempat dia mengerling Hafez dan Kak Sharah di sisinya. Nampaknya keadaan Hafez dan Kak Sharah lebih parah!

Hafez sudah membeliakkan sepasang matanya yang sememangnya sudah besar. Kak Sharah pula sudah menganga seluasnya. Kalau ada lalat yang berterbangan, pasti sudah masuk ke dalam mulut Kak Sharah sekarang.

Kak Sharah, sila tutup mulut anda. Tidak senonoh kalau dilihat calon temuduga di depan kita ini.

Fahri menghela nafas dalam-dalam. Calon temuduga di hadapannya di tatap tidak berkelip. Sumpah, selama dia menjadi pekerja, belum pernah dia menemuduga calon yang memakai jubah hitam, lengkap dengan purdah sekali. Mendadak dia membayangkan dirinya berada ditanah Arab di mana kaum perempuan di sana senang dengan pakaian sebegitu.

Tapi di Malaysia ini, jarang-jarang sekali dia melihat pakaian sebegini. Memang ada yang memakai jubah, tapi selalunya mereka tidak memakai purdah sekali. Apatah lagi ketika hendak menghadiri temuduga.

Fahri berdehem bila menyedari kedua temannya masih dibuai rasa terkejut yang teramat. Dia sempat menyiku Hafez. Hafez menoleh sekilas. Percayalah, riak terkejut Hafez belum hilang!

“Kita mulakan sekarang,”ujar Hafez, sedikit kelam-kabut. Namun dia juga sangat terkejut. Sudah dinyatakan pada semua calon yang hadir memakai pakaian yang selesa dan tidak menjolok mata sewaktu ke sesi temuduga.

Memang, jubah yang dipakai calon temuduga ini tidak menjolok mata. Tapi purdah itu.. Purdahnya itu yang mencacatkan keadaan. Alahai.. Macam pelarian Afghan pun ada.

Di luar sedar, Hafez sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tidak tahu mahu memulakan kata apa. Segalanya kata-katanya sudah sirna dek kerana purdah yang dipakai calon temuduga tersebut.

Hafez ini pun. Banyak betul kerenahnya. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa depan. Siapa tahu isteri Hafez pun berpurdah nanti.

“Boleh you cerita seba sedikit tentang latar belakang you.”

Akhirnya Fahri memulakan kata setelah Hafez dan Kak Sharah hanya mampu meneguk liur yang dirasakan pahit tiba-tiba.

Khadijah membesarkan sepasang matanya. Nyata dia sangat terkejut dipertemukan dengan Fahri di sini. Lama dia menyorot wajah tenang Fahri. Fahri semakin matang. Fahri tampak begitu berkarisma sekali.

Khadijah, kamu itu seorang perempuan. Mana sifat malu kamu? Jaga tata tertib kamu sebagai seorang muslimah.

“Astagfirullahulazim..”bisiknya sendiri. Kesal kerana kalah pada godaan syaitan durjana yang sempat memesongkan sedikit tumpuannya hari ini.

“Nama I Khadijah Binti Abdullah. I berkelulusan ijazah sarjana muda daripada University of Kent, UK . Pernah bekerja di Singapura selama selama dua tahun sebelum pulang ke Malaysia semula pada bulan lalu.”

“Kenapa you berhenti kerja di Singapura dan memilih Malaysia,”pintas Fahri. Dia lebih berminta mahu tahu kenapa Khadijah menukar kerja.

Khadijah terpegun seketika.

“Keluarga I masih di Malaysia. Selama mana pun I di negara orang, Malaysia tetap di hati I. Memang gaji di Singapura cukup lumayan, tetapi hati I tetap senang bekerja di Malaysia. Jadi bila ada peluang, I takkan lepaskan begitu saja.”

“Di Singapura pun you pakai macam ini juga ke?”sinis Hafez bertanya. Mukanya masih setengah terkejut. Sejak tadi tatapannya melekat kukuh pada perempuan berjubah hitam itu.

Hafez oh Hafez! Baju pun boleh jadi satu isu besar ke?

Memang! Mataku sudah terbiasa melihat perempuan sofistikated dan bukan berjubah begini. Aduh..! Kenapa dia ke sini memakai jubah??

“Kenapa?”soal Khadijah semula. Sejuta kerutan sudah terlukis indah atas dahinya.

“You tak panas ke? I nampak you pun I dah rasa sangat panas. Sesak kepala I tengok you.”

Khadijah yang mendengar mengulum senyum lebar.

“I selesa begini. Kalau pakaian jadi isu besar di syarikat tuan, I rasa I memang tak layak berkhidmat di syarikat tuan. Terima kasih kerana beri I peluang.”

Khadijah sudah bingkas berdiri. Meninggalkan Hafez dengan senyuman lebarnya. Meninggalkan Kak Sharah yang sejak tadi tidak berkutik langsung. Dia juga meninggalkan Fahri termangu seorang diri.

“Namanya Khadijah. Khadijah..”bisik Fahri. Resume Khadijah diambil dari tangan Hafez. Tidak sampai lima saat dia sudah kembali terkejut.

“Dia satu sekolah dengan aku?”bisiknya tidak percaya.

“Khadijah tadi tu, kita reject terus. Tak sanggup aku ada pekerja berjubah datang ke tempat kerja. Panas sangat!”

“Tapi kakak rasa dia bagus,”bantah Kak Sharah.

“Bagus apanya? Kakak pun nampak tadi perangai dia macam mana. Kita tak habis tanya lagi dia dah angkat kaki. Lagipun baju dia tak sesuai. Kalau kita ambil dia, dijamin klien kita pun takut berurusan dengan dia.”

“Kenapa pula?”sampuk Fahri pula.

“Terus-terang Fahri, aku belum pernah jumpa arkitek di Malaysia ni pakai jubah dan purdah ke tempat kerja. Kalau dia bekerja dengan kita, silap-silap imej syarikat kita jadi buruk.”

“Kita ambil dia bekerja. Aku suka dia, Hafez. Dia penuh keyakinan dan yakin dengan keputusan yang diambil. Dia tak goyah bila kau pertikaikan cara dia berpakaian,”putus Fahri tiba-tiba.

“Apa dia? Kau dah gila ke, Fahri? Aku tak sanggup ada rakan sekerja pakai purdah. Pening kepala aku ni ha.”

“Kakak pun setuju. Kakak suka dengan sikap tegas dia.”

Hafez sudah melopong dek kerana terkejut mendengar keputusan kak Sharah.

“Tapi..”

“Dia nampak sangat yakin. Lagipun matanya cantik,”sambung kak Sharah. Lengkap dengan senyuman lebar.

“Cantik? Kak Sharah ada salah pandang ke?”

Kak Sharah ketawa mengekek bila di aju soalan begitu.

“Kakak cuma cakap perkara benar saja. Matanya memang cantik. Betul tak, Fahri.”

“Betul. Lirikan matanya boleh buat lelaki jatuh hati.”

Hati aku tak jatuh pun, bentak Hafez.

Memanglah! Hati kau hitam dan berkarat.

“Serius ke ni nak ambil dia?”

“Kami serius,”balas Fahri dan Kak Sharah hampir serentak.

Hafez sudah menepuk dahinya kuat-kuat. Mahu pengsan pun ada. Mahu muntah pun ada juga bila Fahri dan Kak Sharah setuju untuk menggaji perempuan tadi.

Jangan-jangan perempuan tadi ada ilmu menundukkan orang tak? Kalau tidak masakan dengan mudah Fahri dan Kak Sharah memilih perempuan aneh tadi. Ini mesti ada sesuatu yang tidak kena.

Amboi Hafez, kalau merepek memang nombor satu. Mengutuk orang pun nombor satu. Semua yang mendatangkan dosa, memang Hafez yang jadi juaranya.

“Habislah klien kita lari dek kerana terkejut,”gerutu Hafez, lantang meluahkan protesnya.

Fahri yang mendengar hanya ketawa kecil. Kak Sharah pura-pura menyibukkan diri. Telatah mereka berdua hanya membuat hati Hafez makin geram.


*   *   *


Hafez berpeluk tubuh melihat Khadijah diperkenalkan pada semua pekerja di Architectural. Rasa geram dan tidak puas hati silih berganti. Khadijah oh Khadijah, kamu telah menjadi duri dalam daging. Begitu menyakitkan!

Saat menyedari Khadijah lengkap berpurdah, semangatnya ikut hilang. Nampaknya Khadijah itu seperti sengaja mencabarnya pula.

Hafez memicit dahinya kuat-kuat. Purdah Khadijah benar-benar buat dia sakit kepala. Kalau diikutkan rasa hati, sekarang juga dia ingin mencabut purdah yang menutupi sebahagian wajah Khadijah.

Entah-entah ada panau, atau kurap di situ. Kalau tidak pun mulut Khadijah senget sebelah. Ataupun ada bisul besar yang tumbuh di sekitar mulut Khadijah. Ataupun mulutnya besar dan menakutkan. Sebab itu Khadijah beriya-iya benar memakai purdah.

 “Untuk tempoh percubaan, Khadijah aku letakkan di bawah pengawasan kau, Hafez. Kau bertanggungjawab sepenuhnya pada semua perkembangan kerja Khadijah.”

Bagaikan sebiji batu besar baru saja menghimpit bahu Hafez mendengar kata-kata paling manis yang pernah keluar dari bibir Fahri.

“Apa dia?”

“Aku bilang Khadijah kau yang jaga. Ajar dia tentang selok belok syarikat kita.”

“Kau nak aku ditahan di bawah ISA ke, Fahri?”tanya Hafez, separuh berbisik. Namun sumpah, Khadijah dapat mendengar setiap patah bicara Hafez dengan jelas.

“Kenapa ISA berbangkit pula ni? ISA kan sudah tak wujud."

“Apa-apa sajalah. Kau tak takut ke Khadijah tu pengikut militan pengganas?"

Khadijah meneguk liurnya. Puas dia memujuk diri supaya bertenang. Kalau diikutkan rasa hati, sekarang juga dia sudah membaling segala macam fail yang berada di tangannya ke arah Hafez. Biar padan dengan muka Hafez itu!

“Apa yang kau merepek ni? Militan pengganas? Kau demam ke, Hafez?”

“Aku tak demam,”jelas Hafez, sempat dia menjeling ke arah Khadijah

“Habis tu?”

“Aku tak nak bekerjasama dengan dia.”

Mengada-ngada! Macam budak kecil. Manja sangat si Hafez ini.

“Jangan macam-macam. Pergi ke pejabat Cari Gali dengan Khadijah sekarang dan dapatkan tender tu. Kalau tak dapat, siaplah kamu berdua nanti.”

“Kalau klien kita terkejut lihat jubah dan purdah dia macam mana? Macam mana kalau kita diketepikan daripada merebut tender tu.”

“Cuci muka dulu sebelum pergi. Kau mamai lagi nampaknya sampai isu baju pun boleh jadi masalah. Aku hanya nak tahu kita dapat tender tu,”tegas Fahri sebelum berlalu pergi. Namun sebaik saja menghampiri Khadijah, bibirnya mengulum senyum tipis.

Aduhai.. Manisnya senyuman Fahri. Fahri yang sangat jauh berbeza dengan si Hafez yang penuh curiga itu. Hafez itu hanya tahu marah-marah dan membentak tidak tentu pasal.

“Apa tunggu lagi, cepatlah jalan. Terhegeh-hegeh macam kura-kura!”bentak Hafez yang mengejutkan Khadijah daripada lamunan indahnya. Hafez memang pengacau!

Hafez mengerling Khadijah. Bibirnya tidak lagi membentak setelah tender Cari Gali berjaya digenggam erat. Memang presentation mereka gagal menarik perhatian Cari Gali, tapi kepetahan Khadijah berbicara menambat hati mereka dan akhirnya mereka yang dipilih. Hebat juga si Khadijah ni.

Memanglah Khadijah hebat. Dia kan pernah bekerja di syarikat multi national. Engkau saja yang selalu memperlekehkan Khadijah.

Siapa suruh dia berpakaian macam pelarian Afghan yang selalu aku lihat di kaca televisyen. Cuba kalau dia berpakaian macam perempuan-perempuan Malaysia yang lain, sedap sikit mata aku ini memandang. Ini tidak, boleh sakit mata dibuatnya. Silap haribulan boleh buta!

Encik Hafez sayang, jangan melampau sangat. Nanti siapa tahu perempuan berpurdah juga jadi teman sehidup semati kamu. Masa itu kau tahulah langit ini tinggi atau rendah.

“Hujan lebat,”luah Khadijah.

“Habis tu? Hujan boleh buat mati?”

Lekas-lekas Khadijah menggeleng. Sumpah, kalau diberi pilihan, dia pun tidak ingin bekerjasama dengan Hafez yang banyak kerenah ini. Itu tidak kena, ini tidak kena. Entah apa yang kena di mata lelaki itu pun dia tidak tahu.

“Jauh hendak ke tempat kereta. Lagipun tempat letak kereta tadi tak berbumbung.”

“Jadi you nak suruh I ambil kereta dan you tunggu kat sini. I basah seorang diri dan you goyang kaki tunggu I. Begitu?”

Amboi! Boleh tahan mulut si Hafez pengacau ini. Kalau sudah membebel, ibu Khadijah pun boleh kalah.

“Bukan macam tu. Maksud I kita tunggu sampai hujan reda sikit baru kita ke tempat letak kereta. I risau ada antara kita yang demam saja. Tak ada maksud lain pun.”

“Masa itu emas cik Khadijah. Lagipun hujan bukan boleh buat mati. Redah saja. Kalau setakat demam tu telan Panadol dua biji terus sihat semula.”

“Tapi..”

“Kalau you tak ikut, you balik dengan teksi.”

Usai berkata-kata Hafez sudah berlari meredah hujan lebat ke tempat letak kereta. Khadijah hanya sempat mengeluh sebelum membuntuti langkah lelaki itu.

Hafez mengulum senyum lucu melihat Khadijah bagaikan anak kucing yang baru saja jatuh longkang. Jubahnya habis basah. Memang dia sengaja tadi mengunci pintu, biar Khadijah menunggu di luar kereta. Biar lama sikit Khadijah bermandi hujan.

Jahatnya kamu, Hafez. Ingat Hafez, setiap perbuatan jahat itu akan dapat pembalasan! Kalau bukan di dunia, di akhirat kelak. Minta maaf dengan Khadijah cepat.

“Boleh I sambil tisu ni?”tanya Khadijah.

“Silakan,”balas Hafez. Makin seronok melihat telatah Khadijah mengeringkan baju terutama di bahagian kepala.

“Minta maaf ya. Kusyen kereta you habis basah.”

Hafez tidak membalas, sebaliknya sorotannya seperti tidak berkalih lagi memandang Khadijah. Khadijah sudah membuka purdahnya. 

Masya-Allah! Bibirnya terletak sempurna. Tidak ada cacat celanya. Memerah segar tanpa perlu dicalit dengan gincu. Langsung tidak ada satu pun panau atau kurap seperti yang disangkanya sebelum ini.

Hafez meneguk liur. Lekas-lekas dia memandang ke arah lain. Berderau darahnya melihat Khadijah tanpa purdah. Jantungnya berdegup lebih deras. Dia sudah tidak berani lagi memandang Khadijah. Bimbang hatinya terpaut sayang.

Duhai hati! Kamu buat apa ni? Bawa bertenang. Kamu jangan beritahu kamu suka Khadijah pula. Siap kamu nanti!  

“Hafez,”panggil Khadijah bila menyedari lelaki itu tiba-tiba saja menjadi pendiam.

“Hafez,”panggilnya sekali lagi.

“Keringkan sikit baju you dulu,”balas Hafez. Kemudian dia terus memasukkan gear satu dan menurunkan brek tangan. Kereta Grand Livinanya terus membelah jalan raya bersama sekeping hati yang terbersit indah. Sumpah, sepanjang perjalanan pulang, dia langsung tidak memandang Khadijah.


*   *   *
   

“Kau ni kenapa, Hafez? Sudah tiga hari aku lihat kau banyak termenung. Kalau bukan termenung, kau mengeluh berat. Ada apa sebenarnya ni? Kau ada masalah?”

 “Aku sakit.”

“Kau sakit apa?”

“Entahlah Fahri, aku pun tak tahu. Aku keliru dengan penyakit aku sekarang.”

“Sudah pergi jumpa doktor?”

Diam seketika. Hanya terdengar keluhan maha berat Hafez. Kusut benar wajahnya ketika ini.

“Cuba cerita pada aku. Insya-Allah, aku pasti akan tolong mana yang terdaya.”

Fahri sejak dulu memang suka menolong. Bukan seperti dirinya yang suka mementingkan diri sendiri. Mendadak dia merasa kerdil.

“Ceritalah.”

“Aku angau agaknya,”akui Hafez kemudian.

Fahri ketawa besar mendengar cerita Hafez. Hafez angau? Hafez yang selalu bertukar teman wanita itu angau? Salah dengar dia barangkali tadi.

“Aku serius. Aku rasa aku sudah mula sukakan seorang perempuan.”

“Selama ini kami semua pun tahu kamu suka perempuan.”

“Maksud aku secara serius. Aku suka dia dengan apa adanya. Aku dambakan dia sebagai isteri dan ibu kepada anak-anakku. Aku tak nampak perempuan lain dah selain dia. Dia begitu sempurna. Begitu manis dan penuh kesopanan. Dia tak serupa dengan perempuan-perempuan yang pernah aku kenal sebelum ni. Dia lembut, Fahri. Senyuman dia indah sekali. Kalau dia senyum, seluruh alam pun akan tersenyum semula pada dia.”

Lekas-lekas Fahri meraba dahi temannya itu. Normal. Langsung tidak panas.

“Kenapa tiba-tiba boleh terlebih puitis ni? Kau mimpi apa semalam?”

“Aku serius ni, Fahri. Aku tak main-main. Kalau aku tak nampak muka dia sehari, aku boleh gila. Aku nak dia jadi isteri aku. Tapi aku tak tahu bagaimana caranya. Kalau aku main redah saja, aku bimbang aku akan kehilangan dia. Lagipun masalah paling besar aku sekarang ni adalah dia tak suka aku. Lebih parah, aku rasa dia benci sangat dengan aku. Macam mana aku hendak buat dia suka pada aku dan pada masa sama aku dapat buang rasa benci dia?”

“Serius benar masalah kau ni, Hafez. Aku dengar pun berbelit-belit. Boleh aku tahu siapa perempuan malang tu?”

“Fahri!”

Fahri ketawa mengekek. Lucu benar melihat wajah cemberut Hafez ketika ini. Tapi percayalah, dialah orang yang paling bersyukur andai Hafez benar-benar sudah jatuh cinta dan pandai menghargai seorang perempuan. Perempuan itukan untuk disayangi dan bukan untuk disakiti hatinya seperti yang selalu dilakukan oleh Hafez.

“Bila kau hendak perkenalkan aku dengan dia? Aku pun hendak kenal perempuan yang sudah berjaya menundukkan seorang lelaki kasanova terhebat di Kuala Lumpur ni.”

Hafez sudah menjeling tajam. Kemudian tanpa kata dia keluar dari bilik Fahri.

“Merajuk pula,”tingkah Fahri, masih juga ketawa.


*   *   *

“Mana purdah you?!”jerkah Hafez sebaik saja terpandang Khadijah melangkah masuk ke dalam bilik pejabat tanpa menutup sebahagian wajahnya. Janggal dirasakan melihat Khadijah tanpa purdahnya. Dia juga tidak rela keindahan Khadijah menjadi tatapan lelaki lain. Dia cemburu. Hatinya sakit bukan main.

Sekilas Khadijah menoleh. Alahai.. Pagi-pagi begini Hafez sudah buat kecoh.

“I tertinggal di rumah.”

“You tertinggal di rumah? You tahu tak betapa pentingnya purdah tu? You tak malu ke tunjuk aurat you pada lelaki lain?”

Berkerut-kerut dahi Khadijah mendengar bebelan Hafez. Hafez sejak akhir-akhir ini benar-benar membuat kepalanya berpusing 360 darjah.

“Shin Lee?”panggil satu suara. Suara yang amat dia kenali. Itu suara Fahri. Fahri yang penuh karisma itu memanggilnya dengan nama Shin Lee. Nama yang diguna pakai sewaktu dia bukan muslim. Nama yang sudah jauh ditinggalkan dibelakang.

“You memang Shin Lee!”tegas Fahri sekali lagi. Langkah diatur cukup deras menghampiri Khadijah.

“Shin Lee?”ulang Hafez, penuh dengan rasa hairan.

“Siapa Shin Lee?”tanya Hafez pada Fahri yang sudah pun berdiri betul-betul di depan Khadijah. Namun Fahri tidak sudi menjawab pertanyaannya. Fahri terlalu sibuk menumpukan perhatiannya pada Khadijah.

“Memang you yang I jumpa di lif tempoh hari. Sebab you pakai purdah jadi I susah hendak cam you. You memang Shin Lee, kan?”

“Panggil I, Khadijah. Nama itu sudah lama I tinggalkan sejak I peluk Islam. I minta maaf pasal kejadian kat lif tempoh hari. Lepas beberapa hari baru I perasan you adalah Fahri. Tapi bila I sampai sana, lif you dah sampai tingkat bawah.”

“Masya-Allah, jadi you kenal I dan you masih pilih untuk berdiam diri?”

Khadijah mengulum senyum tipis. Hanya Hafez yang tambah jengkel. Dia yang tidak tahu hujung pangkal cerita mula membuat andaian sendiri.

Nampaknya ada orang dibuai api cemburu. Siapa ya?

Nama dia Hafez Aryan. Hafez sedang dibakar api. Api apa? Api cemburu.

Hafez mendengus geram. Tanpa sepatah kata dia keluar dari ruang pejabat

“Bila you hendak cerita tentang Shin Lee pada I?”aju Hafez sebaik saja mempunyai peluang berdua bersama Khadijah di dalam perut lif. Memang dia sengaja menunggu Khadijah balik hari ini.

Hatinya tidak tenang selagi isu Shin Lee tidak dijelaskan padanya.

“Shin Lee tu perkara yang sudah lepas. Kenapa tak tanya perkara tentang sekarang atau masa depan.”

“I cuma hendak tahu tentang Shin Lee dan apa kaitannya dengan Fahri.”

“I pun ada hak untuk tak jawab soalan you.”

Hafez mengeluh berat. Tubuhnya sudah disandarkan pada dinding lif.

“Kenapa dengan Fahri you tak berahsia langsung. Tapi dengan I you rahsia sana sini?”

“I tak simpan apa-apa rahsia pun. Kalau ada rahsia pun, kenapa I hendak beritahu you pula?”

“Tapi dengan Fahri, semua rahsia you boleh cerita dengan dia.”

“Sejak hari pertama I kerja sampai dekat tiga bulan I kat sini, hari-hari you cari pasal dengan I. Boleh I tahu apa yang you tak puas hati sangat dengan I?”

“Sebab dengan Fahri you layan dia dengan baik. Tapi dengan I, you buat muka.”

“Perasaan you saja. I layan semua pekerja dan boss di sini sama rata.”

“Bohong! Jangan-jangan you ada hati dengan Fahri. Sebab itu Fahri selalu dapat layanan terbaik. Kalau diingat semula, you tak pernah langsung senyum pada I. Tapi kalau dengan Fahri, sebatu lagi you sudah senyum meleret.”

“You ni merepek tak tentu pasal kenapa?”

“Mestilah I merepek tak tentu pasal sebab you sedang berjalan pada tali kedukaan.”

“Tali kedukaan apa pula ni?”

“You tahu tak Fahri tu bakal berkahwin tak lama lagi?”

Khadijah terbata. Tubuhnya enggan berkutik lagi. Namun digagahkan dirinya untuk berpaling ke arah Hafez.

“Kalau dia hendak kahwin, kita sesama muslim mesti mendoakan yang baik-baik untuk dia.”

Hafez mengeluh berat. Khadijah memang ada hati dengan Fahri. Kalau tidak masakan riak wajah Khadijah berubah tadi. Pun begitu Khadijah masih kental dan sulit untuk dipujuk supaya memberinya layanan lebih baik. Dia sudah puas menerima layanan dingin Khadijah. Tolonglah! Dia sudah tidak sanggup.

Padan muka! Hari itu kutuk sangat si Khadijah itu. Sekarang rasakan panahan cinta campur angau Khadijah. Lalui segala macam rasa rindu dendam, sakit hati, geram dan sedih dan bahagia itu dengan tenang ya!

Langkah Khadijah terhenti saat sepasang matanya bertamu dengan figura Fahri dengan seorang perempuan. Keduanya kelihatan mesra dan begitu serasi. Bibirnya sudah terkunci rapat.

Ada satu rasa aneh yang menyelubungi diri melihat Fahri bersama perempuan lain. Melihat sendiri dan mendengar cerita daripada Hafez adalah dua perkara yang berbeza.

Ketika mendengar hatinya tidak sedih begini. Apabila mata sudah melihat sendiri hatinya sulit untuk dipujuk.

Hafez mengeluh berat melihat wajah sugul Khadijah. Dia juga tidak menduga Khadijah akan bersua dengan Fahri dan bakal tunangnya di sini.

“Khadijah,”lembut suaranya memanggil.

Lekas-lekas Khadijah berpaling. Sorotannya membalas tatapan Hafez.

“I tahu you sedih dengan apa yang you lihat.”

“I okay. Jangan risau sangat,”balas Khadijah selamba lantas kembali menghayun langkah.

“Boleh you beri I peluang untuk mengubati luka hati you?”

“Maksudnya?”

“I minta satu peluang.”
“Peluang apa?”

“Peluang untuk mencintai you seikhlasnya.”

Khadijah sudah membesarkan sepasang matanya. Kemudian dia ketawa lucu.

“You hendak kenakan I lagi, kan?”

“Sumpah. I minta peluang untuk mencintai you. I tak ada niat langsung hendak kenakan you.”

Khadijah sekadar menggelengkan kepalanya.

“You kan kisah sangat dengan pakaian I. I tak nak you rasa panas atau sesak atau sakit kepala dengan cara pakaian I.”

“Nanti dulu, Khadijah. Dengar dulu penjelasan I ni.”

Khadijah memilih untuk terus melangkah. Meninggalkan Hafez dengan sekeping hatinya yang rawan.

Itulah Hafez. Dari dulu lagi aku sudah bilang, jangan perlekehkan cara Khadijah berpakaian. Kamu itu degil sangat. Sekarang menyesal pun tidak berguna.

Hatiku, jangan risau sangat. Tahulah aku pujuk Khadijah nanti.

Takut tak terpujuk saja nanti.

Terpujuklah!


*   *   *


“Kau buat apa pada Khadijah? Kenapa Khadijah letak jawatan?”tanya Hafez sebaik saja memasuki bilik luas Fahri.
Fahri yang baru saja menjawab panggilan bakal tunangnya terpinga-pinga. Dia menatap Hafez tajam.

“Aku buat apa? Bila dia letak jawatan?”
“Kau pun hendak berpura-pura?”

“Serius, aku tak tahu apa-apa tentang perletakan jawatan Khadijah.”

“Kau ada cakap apa-apa dengan dia?”

“Kalau aku cakap pun semua tentang kerja.”

“Pasal bakal tunang kau?”

“Ada. Aku jemput dia ke majlis pertunangan kami.”

Hafez sudah menjatuhkan tubuh tegapnya. Kepalanya digelengkan. Sulit untuk percaya Khadijah senekad ini menyukai Fahri hingga sanggup meletak jawatan.

“Apa kena-mengena bakal tunang aku dengan Khadijah?”

Fahri ini naïf sangat! Khadijah sayang dengan dia pun dia tidak sedar. Alahai.. Kasihannya Khadijah!

“Susah sangat ke kau nak nampak rasa cinta Khadijah yang cukup besar untuk kau, Fahri?”

“Khadijah? Suka pada aku?”

Mengangguk.

“Kalau dia suka aku sekalipun, aku tak dapat buat apa-apa. Takkanlah aku nak batalkan majlis pertunangan aku dengan Nurul dan kemudian pilih Khadijah?”

“Entahlah, Fahri. Aku risaukan, Khadijah.”

“Jangan risau. Khadijah tak selemah yang kau sangka.”

“Aku tahu. Tapi hati ini tetap risaukan dia. Bimbangkan dia.”

“Jangan-jangan perempuan yang kau cerita tempoh hari adalah Khadijah.”

Lambat-lambat Hafez mengangguk. Tapi apalah yang mampu dia lakukan lagi. Khadijah sudah pergi jauh. Khadijah tidak pernah memandang rasa cinta yang sangat besar dalam dirinya. Khadijah hanya melihat Fahri.

Inilah yang dinamakan sang pungguk merindukan sang bulan! Walau apa pun yang terjadi, kamu mesti kuatkan semangat, Hafez. Senyum selalu.

“Aku hendak cuti tiga hari.”

“Kau hendak kemana?”

“Aku hendak cari Khadijah. Aku takkan biarkan dia terlepas. Kau pula lepas ini jangan pernah harap hendak pikat Khadijah semula. Aku tak izinkan.”

Fahri sudah melopong. Buat pertama kalinya dia melihat Hafez begitu serius. Kata-katanya penuh keyakinan. Tapi mahukah Khadijah pada si Hafez?

Hafez teragak-agak sama ada mahu memberi salam atau tidak. Dia bimbang Khadijah tidak ada di rumah.

“Cari siapa?”tanya seorang perempuan cina separuh umur.

“Cari Khadijah, auntie.”

“Awak siapa?”

“Saya Hafez Aryan. Kawan satu tempat kerja Khadijah.”

“Awak datang sini sebab apa?”

Hafez kelihatan sedikit resah.

“Saya mahu jumpa, Khadijah. Saya hendak kahwin dengan Khadijah, auntie.”

“Hah!”jerit perempuan cina separuh umur itu. Sayur kobis yang dibelinya sudah terlepas dari pegangan tangan lalu berguling-guling mengenai kaki Hafez. Lekas-lekas Hafez mengutipnya lantas diserahkan pada perempuan separuh umur tersebut.
“Saya serius. Saya suka dan sayang sangat dengan anak auntie.”

Alamak.. Macam mana Hafez boleh cari aku sampai sini? Lagi satu, beraninya dia beritahu ibuku dia mahu berkahwin dengan aku. Apa aku hendak bilang dengan ayah dan ibuku? Soal Khadijah sambil menepuk dahinya. Sejak tadi dia menyorok dari balik pintu bila menyedari Hafez yang berada di depan rumahnya.

“Tapi..”

“Saya serius auntie. Saya sumpah, saya memang cinta dengan anak auntie. Saya sayang dia lebih daripada saya sayang diri saya sendiri. Saya akan jaga anak auntie sebaiknya.”

Auntie Hoe sudah terlopong. Dia berpaling ke arah pintu rumahnya. Berharap anak angkat kesayangannya dapat memberi sejuta penjelasan.

“Khadijah!”panggil Madam Hoe.

Namaku Khadijah. Aku dibesarkan dalam keluarga cina. Sepasang mataku bundar dan iras mukaku langsung tidak serupa dengan ayah dan ibuku. Aku cuma anak angkat.

Pun begitu, aku sangat sayang pada ayah dan ibu angkatku. Keluarga sebenarku? Aku sendiri tidak tahu. Mungkin ada antara mereka yang berdarah kacukan Arab hingga aku mewarisinya.

Ketika sedang menuntut di UK, aku menjadi seorang Muslim. Jujur, sudah lama aku jatuh cinta dengan agama Islam. Sejak Fahri menjadi ketua perbahasan di sekolah tentang 1 Muharram. Sejak itu aku mulai berjinak-jinak dengan Islam. Aku jatuh cinta pada keindahan Islam.

Alhamdulillah, keluarga angkatku sangat memahami. Mereka tidak marah sewaktu aku memberitu aku sudah muslim. Mereka cuma menitipkan pesan supaya aku tidak melupakan mereka sampai bila-bila. Insya-Allah, sampai mati pun aku akan tetap menjaga mereka semua.

Dan sekarang, aku kenal erti kecewa. Aku kecewa bila lelaki yang selalu aku dambakan rupa-rupanya bakal menjadi milik gadis lain. Fahri yang baik hati itu bakal melangsungkan hari bahagianya.

Jauh aku membawa diri. Tapi disini, pada detik ini ada seorang lelaki meluahkan perasaannya padaku. Aku sangat terkejut. Namun aku lihat keikhlasan pada sinar matanya. Aku lihat cinta pada sinar matanya. Dan aku lihat sebuah tanggung jawab pada sinar matanya itu.

Lalu aku yakin dengan pilihanmu ini Ya Allah. Aku ikuti petunjukmu. Andai dia lelaki terbaik yang kau kirim untukku, aku terima dia sebagai lelakiku. Hafez Aryan, cinta dihatimu itu membawamu ke sini. 

Percayalah, cinta itu satu proses. Proses dari ada, menjadi hadir, lalu tumbuh, kemudian dirawat sebaiknya. Agar cinta itu bisa bersemi dengan indah menaungi dua insan dalam pernikahan yang suci. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin..



Dialog tambahan :-

Hafez :
Yes! Saya dapat Khadijah (sambil menari samba dengan galaknya)
            
Khadijah : 
Kenapa jadi macam ni? Saya nak Fahri. Saya tak nak Hafez!

Fahri : 
(Berdiri di sudut paling tepi dengan muka hampir hendak menangis)

Hafez :
Terima kasih penulis sebab bagi saya Khadijah. Leganya!   

Khadijah :
Saya tak setuju. Ubah semula jalan cerita cerpen ni!

Fahri :
(Masih lagi berdiri di sudut paling tepi sambil teresak-esak)

MA :
(Sambil garu kepala) Susahnya nak puaskan hati semua orang. Adoi..

7 comments:

  1. Pk ni novel yg mana...lepas dcsl ke. Wah best. Tak sia2 desak pk up cerpang. Tq tq tq tq tq sebab suka menulis

    ReplyDelete
  2. hehehe...yg last2 punya ayat tuh funny ok....hehehe...hai wawa.. <3

    ReplyDelete
  3. Ohohoi! Lama x ke sini. Akhirnya entri yg ku nanti2kan. haha Kak PK, buatlah dgn Fahri. kesian Fahri. Hafez tu biaq pi lantak dia. poyo x hinggat dunia

    ReplyDelete
  4. hokeyyyyy sy sakit perut gelak bw skrip tambahan tu hahaha

    ReplyDelete