Thursday 23 January 2014

#Bab01 - Namaku Khadijah


Isnin. Keadaan cuaca semasa : 33 darjah celcius.
           
“Panasnya! Kaki pun lenguh!”rungut Shin Lee. Dia sudah pun mengambil buku latihan lalu mengipas mukanya sendiri.

“Kuat sikit kipas tu. Aku pun panas juga ni,”giat Aisyah lantas mendekatkan mukanya pada muka Shin Lee.

“Banyak cantik muka kau. Kipas sendiri,”bantah Shin Lee. Pipi Aisyah ditolak jauh-jauh.

“Kemut!”gerutu Aisyah dengan muka tidak puas hatinya.

“Nah, ambil buku ni dan kipas sendiri ya. Tak ada maknanya aku nak kipas muka kau sekali. Ingat kau tuan puteri ke?”

“Memang pun. Kau sudah lupa isteri Tengku Muda Pahang pun nama dia Cik Puan Muda Julita Aisyah.”

“Perasan tahap extreme!”tempelak Shin Lee sambil ketawa mengekek.

Tawa Shin Lee mendadak terhenti bila bahunya dicuit secara tiba-tiba.

“Tolong senyap! Kalau awak bising lagi, saya denda awak,”ugut pelajar yang memakai seragam berwarna biru itu. Hendak tahu siapa? Siapa lagi kalau bukan tali barut sekolah. Tak faham lagi? Okay, mereka itu pengawas sekolah.

Shin Lee dan Aisyah sempat mencebikkan bibir. Kenal sangat mereka berdua dengan pengawas yang memakai tag nama Zalia itu. Sombong, berlagak dan sangat mengada-ngada!

“Macam bagus. Baru kena lantik jadi pengawas nak berlagak pula.”

“Biasalah. Pengawas kan macam golongan elite kat sekolah ni. Kita ni orang kebanyakan saja,”balas Shin Lee dengan selambanya.

“Pukul berapa nak habis ni Shin Lee? Perhimpunan hari ni macam lebih panjang daripada biasa.”

“Kau tanya aku? Aku lagilah tak tahu. Sepatutnya kau tanya Pengetua kat depan tu.”

“Kau tolonglah aku tanya,”rayu Aisyah, lengkap dengan mimik muka sekali.

“Cari nahas ke? Silap-silap aku kena tahan dua tiga jam lagi kat sini. Boleh rentung kulit aku ni ha.”

“Kau putih, tak apalah. Kalau aku yang kena tahan, nanti aku jadi Dayang Senandung pula.”

“Kalau bagi alasan tak logik, laju saja kau menjawab,”gerutu Shin Lee.

“Aku tak boleh berdiri lama-lama. Boleh kejang kaki aku ni ha. Silap-silap aku pengsan dekat sini, baru padan dengan muka cikgu-cikgu dan pengetua sekolah,”rungut Aisyah untuk kesekian kalinya, cuba kali ini suaranya agak perlahan. Bimbang juga kalau namanya diambil oleh pengawas yang bernama Zalia itu.

“Kau ingat kau seorang saja ke? Aku pun sama. Lagi teruk sebab pagi tadi aku tak ambil breakfast. Perut pun memulas. Nak terberak pun ada. Kalau kentut tu tak payah cakap la. Sudah empat kali aku terkentut.”

“Cis! Patutlah dari tadi aku ada bau busuk. Busuk sangat tau! Kurang asam jawa betullah kau ni. Nak kentut tu bagi la warning awal-awal. Boleh juga aku jauhkan diri!”marah Aisyah tanpa berlapik. Sudahlah kepalanya pening sebab berdiri terlalu lama, ditambah pula bau yang sangat busuk berlegar-legar di sekitar hidungnya. Rupa-rupanya bau kentut si Shin Lee. Adoiii.. Bau petai!

“Awak berdua, ikut saya sekarang!”arah Zalia yang tiba-tiba saja sudah berada di sisi Aisyah dan Shin Lee.

“Eh.. Tapi kami..”

“Ikut saya sekarang!”

Separuh rela Shin Lee dan Aisyah mengekori langkah Zalia. Kini mereka berdua bukan lagi berdiri di barisan kelas mereka, tapi berdiri sebaris dengan barisan pengawas di bahagian belakang.

“Lepas ni cubalah bising lagi. Nampak tak selang dua orang dari sini, dia tu ketua pengawas merangkap ketua pelajar. Kalau awak berani buka mulut dan buat bising lagi, tahulah nasib awak berdua nanti. Saya serius ni.”

Shin Lee dan Aisyah ikut menoleh ke arah ketua pengawas merangkap ketua pelajar yang dimaksudkan oleh Zalia.

“Oh.. Itu ketua pengawas merangkap ketua pelajar kita,”ujar Shin Lee antara dengar dengan tidak. Lebih kepada ‘malas nak ambil port’ sebenarnya.

Handsome la, Shin Lee. Kenapa aku tak tahu ada pelajar tersangat handsome kat sekolah kita ni?”

Shin Lee buat-buat pekak telinga.

“Kau agak-agak aku ada peluang tak?”bisik Aisyah. Tiba-tiba saja Aisyah sudah membetulkan baju kurung seragam yang dipakai. Biar nampak kemas.

“Tengok ni, habis berkedut baju aku. Mesti nampak selekeh. Betul tak?”

Shin Lee sudah buat muka pelik dengan perangai luar biasa Aisyah. Sebelum-sebelum ini, mana pernah si Aisyah kisah kalau bajunya berkedut sejuta sekalipun. Asal boleh pakai cukuplah.

“Tudung aku senget tak?”tanya Aisyah lagi.

Berkerut-kerut dahi Shin Lee mendengar segala macam pertanyaan Aisyah.

“Macam biasalah. Takkan luar biasa pula.”

“Cakap betul-betullah.”

“Kau ni kenapa? Buang tabiat ke apa? Tahulah tahun ni kita nak ambil SPM. Tapi janganlah kalut sangat. Lagipun baru bulan Januari kot. Lambat lagilah.”

“Kau tak perasaan dan rasa apa-apa ke tengok ketua pengawas yang baru dilantik tu?”

“Nak perasan dan rasa apa pula? Biasa-biasa saja.”

“Sikit punya handsome kau tak rasa apa-apa?”

Handsome ke?”

“Sah! Mata kau ni ada masalah. Memang sah!”

“Apa kau merepek ni. Bagi aku tak pun. Handsome lagi Andy Lau. Nicholas Tze pun handsome juga.”

“Heh! Aku lupa yang walaupun muka kau tak Chinese look langsung, taste kau tetap Chinese look.”

“Nak buat macam mana, keluarga aku hari-hari tengok drama cina. Drama lain mana mereka layan.”

“Aku rasa ayah atau ibu kandung kau mesti ada darah Arab.”

Mendadak riak wajah Shin Lee bertukar kelam. Meskipun dia sudah hidup dimuka bumi ini hampir 17 tahun, hatinya tetap terusik kalau isu ayah dan ibu kandung dibangkitkan.

“Minta maaf Shin Lee. Aku tak sengaja. Minta maaf sangat-sangat,”ujar Aisyah bila menyedari betapa kelamnya muka Shin Lee.

“Tak apa. Macam mana pun aku tak boleh ubah kenyataan yang aku ni anak yang dibuang. Mungkin anak haram.”

“Janganlah cakap macam tu. Uncle dengan auntie layan kau dengan baik.”

“Tapi kadang-kadang aku sakit hati juga bila saudara mara belah ayah dengan ibu aku pandang aku ni macam orang luar. Memanglah muka aku ni tak ada Chinese look langsung, tapi at least aku tetap anak ayah dengan ibu aku.”

“Aku rasa mereka anggap kau orang luar sebab kau pun lebih suka berkawan dengan kawan-kawan Melayu. Cakap Bahasa Melayu pun fasih. Langsung tak ada pelat macam pelajar cina lain. Bila ujian Bahasa Melayu, memang kau pelajar cemerlang. Lepas tu aku ajar makan budu, belacan dengan tempoyak pun kau layan. Makanan pedas pun kau sapu. Dah macam mana dia orang tak anggap kau orang luar?”

“Kalau sedap, takkan tekak aku ni nak tolak pula.”

“Dah tu, jangan nak mengeluh la. Terima kenyataan tu. Alah, kau buat tak tahu saja dengan dia orang tu. Kalau dia orang cakap apa-apa, uncle dengan auntie mesti back up.”

“Memanglah back up. Tapi kasihan lah dengan ayah dengan ibu aku. Setiap kali makan besar sebelum Tahun Baru Cina, mesti mereka kena sindir-sindir dengan pakcik dan makcik aku. Dulu masa datuk dengan nenek aku masih hidup, mereka tak berani sangat. Sekarang, terang lagi bersuluh mereka sindir keluarga aku. Sebab tu sekarang ayah dengan ibu aku mana balik dah kampung bila Tahun Baru Cina.”

“Rumit juga hidup kau ni.”

“Memanglah. Aku ni rasa bersalah sangat. Kalau ayah dengan ibu aku pilih anak angkat daripada keturunan cina, mesti mereka tak dipinggirkan macam sekarang ni. Aku ni macam bawa malang.”

“Kau ni, fikir macam tu pula.”

“Dah tu aku nak fikir macam mana lagi?”

“Awak berdua ni memang tak makan saman ya. Saya suruh senyap, awak buat bising. Saya ingatkan bila saya bawa awak kat sini, kurang sikit bisingnya. Tak tahu pula makin rancak buat bising. Sekarang ketuk ketampi sepuluh kali,”pangkah Zalia. Dia sudah bercekak pinggang di depan Shin Lee dan Aisyah. Sejak tadi dia menahan sabar.

Shin Lee dan Aisyah sudah tercengang di tempat kejadian.

“Kami tak buat bising pun. Kami bercakap pun bisik-bisik.”

“Banyaklah awak punya bisik. Buat sekarang. 10 kali!”

“Tapi..”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Atau awak nak saya tulis nama?”ugut Zalia pula sambil tersengih-sengih.

Susah-payah Shin Lee dan Aisyah melaksanakan hukuman yang diberi. Macam hendak tercabut pinggang dan juga lutut Shin Lee. Aisyah pula sudah terduduk sebab kelelahan.

“Na.. Nasib baik perhimpunan ni nak habis dah!”gerutu Aisyah bila Ustaz Harun sudah berada di atas pentas untuk membaca doa.

Shin Lee hanya mengangguk setuju. Dia sendiri pun kepenatan.

“Kenapa tak tadah tangan ni? Atau awak nak saya bawa awak kat atas pentas tu?”jerkah satu suara. Kali ini bukan Zalia. Tapi ketua pengawas merangkap ketua pelajar yang dilabel handsome oleh Aisyah.

Shin Lee pandang sekeliling. Manalah tahu bukan dia yang dijerkah. Lagipun buat apa dia hendak tadah tangan.

“Tunggu apa lagi? Terhegeh-hegeh. Macam kura-kura.”

Shin Lee pandang pula Aisyah. Nampaknya Aisyah sudah lama menadah tangan. Cuma mata Aisyah saja yang melekat pada muka ketua pengawas merangkap ketua pelajar itu.

“Saya ke?”tanya Shin Lee sambil menunjuk ke arah dirinya sendiri.

“Habis tu awak ingat siapa? Dari tadi saya tengok awak buat bising. Bila nak baca doa, tak pandai pula nak tadah tangan.”

“Tapi..”

“Tadah tangan cepat. Hormat sikit bila orang baca doa.”

“Tapi saya..”

“Jangan banyak cakap. Tadah sekarang sebelum saya heret awak pergi atas pentas.”

Shin Lee sudah menyiku Aisyah yang nampak sudah berada dalam dunianya sendiri. Leka Aisyah menatap muka ketua pengawas merangkap ketua pelajar tersebut.

“Aisyah.. Tolonglah aku,”rayu Shin Lee lalu menyiku Aisyah di sisinya.

Aisyah terpinga-pinga sebentar. Sempat dia menoleh ke arah Shin Lee.

“Dia ni bukan muslim. Kalau suruh dia tadah tangan sejuta kali pun dia takkan tadah.”

“Bukan muslim?”tanya Fahri dengan muka pelik bercampur terkejut. Dia menilik pelajar perempuan di hadapannya.

Memang pelajar tersebut tidak memakai tudung. Namun raut wajahnya langsung tidak serupa pelajar cina yang lain.

“Dia Cina,”beritahu Aisyah lagi. Itupun setelah puas menatap muka handsome ketua pengawas merangkap ketua pelajar tersebut.

“Betul ke?”

Lekas-lekas Aisyah mengangguk.

“Tapi muka dia ni tak macam Cina pun.”

“Ayah dengan ibu saya Cina. Saya tak tipu. Saya sumpah!”jelas Shin Lee. Siap angkat tangan lagi. Dia juga memberanikan diri membalas sorotan ketua pengawas merangkap ketua pelajar tersebut.

“Habis tu kenapa pakai baju kurung?”

“Dia ni memang suka pakai baju kurung. Nama dia Lee Shin Lee,”jelas Aisyah pula lagi sambil menunjukkan buku latihan milik Shin Lee. Tidak cukup dengan itu, tag nama Shin lee turut ditunjukkan.

Fahri Khair sudah termangu. Dia sempat menoleh ke arah Zalia.

“Memang dia Cina,”beritahu Zalia pula.

“Minta maaf kalau macam tu.”

Sekali lagi Shin Lee dan Aisyah tercengang dengan perangai ketua pengawas merangkap ketua pelajar itu. Selepas minta maaf terus melangkah tanpa menoleh lagi.

“Dia malulah tu. Muka pun merah padam. Tapi terima kasih sangat-sangat Shin Lee. Sebab kau aku dapat tengok dia dengan dekat. Ada tahi lalat la kat pipi kanan dia. Mesti ramai peminat.”

Shin Lee hanya menggelengkan kepalanya. Ketika itu angka jam sudah menunjukkan tepat pkul 8.16 minit pagi. Matahari pagi menjadi saksi pertemuan dan juga perbualan pertama Lee Shin Lee dan juga Fahri Khair.





Dialog tambahan :-

Shin Lee :
Penulis, bagilah gambaran muka saya ni ala-ala macam Amber Chia. Barulah Fahri Khair tak rasa saya ni macam anak Melayu + Arab.

MA :
Maaflah. Draft cerita ni sudah tertulis muka awak macam anak  Melayu + Arab. Tak boleh liquid paper dah.

Shin Lee :
Cet! 

5 comments:

  1. Pengawas sekolah memang kena kerek ker???
    Hmm....ada tarikan dlm citer ni..

    ReplyDelete
  2. cerita yg menarik....pengawas sekolah mmg mcm tu....Ai masa sekolah pun selalu kena ketuk ketampi....

    ReplyDelete
  3. haaa..sis...my name is khadijah jugak..hahaha..

    ReplyDelete
  4. Rindu pulak dgn shin lee@khadijah... Bila muncul ye, pk.?

    ReplyDelete