Saturday 11 January 2014

#Cerpen - Manuskrip Cinta



“Jangan kacau! Sekejap lagi saya bangunlah,”ujar Abdul Fadi. Sepasang matanya masih terpejam rapat.

“Fadi.”

Lembutnya suara itu memanggil.
Abdul Fadi merenggus. Jari tangan yang sedang menyentuh bahunya segera ditepis. Namun setelah ditepis, jari tangan itu kembali menyentuh bahunya tanpa jemu.

“Fadi, bangun. Sudah subuh.”

Kali ini bukan saja sentuhan, tubuhnya juga sudah digoncang. Tolonglah! Jangan ganggu tidur saya boleh tak? Saya nak tidur ni.

Abdul Fadi, sila bangun daripada mimpi indah anda. Anda bukan lagi berada di apartment anda di Kuala Lumpur sana. Tapi anda sekarang berada di sebuah rumah kampung. Takkan anda tidak sedar-sedar lagi betapa sejuknya saat ini.

Memang sejuk.

Tapi biarlah. Matanya terlalu berat untuk mengomel tentang rasa sejuk yang melandanya sekarang.

“Fadi.. Bangun nak.”

Suara itu kembali bergema. Begitu lembut memujuk. Makin lama makin kerap. Makin lama makin kuat.

“Fadi.. Cepat bangun.”

Lebih parah, kali ini bahunya ikut digoncang. Lalu dengan mata yang masih tertutup rapat dia bangkit dari tempat pembaringan.

Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Senyuman lebar Mak Mah sudah menyapa. Bukan main berseri-seri lagi wajah Mak Mah ketika ini. Sangat berbeza dengan dirinya.

Dengan mata yang masih dipenuhi tahi mata dia terpisat-pisat. Rambutnya yang bagai baru dipukul angin pantai digosok-gosok. Fesyen rambutnya kala ini setanding dengan sarang tebuan!

“Sudah pukul sembilan pagi ke?”tanya Abdul Fadi pada Mak Mah.

“Taklah. Baru pukul lima pagi. Fadi bangun cepat ya,”pujuk Mak Mah. Isteri pakcik Mohsin itu sudah membantu melipat selimut yang diguna oleh Abdul Fadi.

“Lima pagi? Bukan lima petang kan?”ulang Abdul Fadi. Sekadar inginkan kepastian.

“Betul, lima pagi. Cepat pergi bersihkan diri.”

Jam lima pagi dan dia disuruh mandi? Maaf ada kesilapan besar di sini. Waktu bangun tidurnya pada waktu pagi adalah tepat jam 8.30. Masih ada dua jam setengah.

Lalu tanpa berfikir panjang tubuh kembali direbahkan. Selimutnya yang sudah dilipat kemas kembali diraih.

Mak Mah sudah menepuk dahi. Tidak menduga Abdul Fadi boleh seliat ini hendak bangun pagi.

“Masya-Allah.. Fadi! Bangun cepat! Sekejap lagi kita hendak solat jemaah.”

Abdul Fadi membetulkan tubuhnya. Kemudian bantal yang sejak tadi dipeluk sudah ditekupkan di telinganya.

“Kenapa mak?”tanya Misha yang sudah muncul di muka pintu.

“Pakcik kamu ni tak mahu bangun. Pening kepala mak.”

Misha tidak membalas, sebaliknya langkah gontai diatur menghampiri Abdul Fadi. Bukan main nyenyak lagi tidur Abdul Fadi sekarang. Sampai lupa dua beranak sudah menggeleng kepala melihat telatahnya.

“Bangunlah pakcik! Tak lama lagi azan.”

Abdul Fadi langsung tidak berkutik. Tidak sampai beberapa saat, sudah terdengar bunyi denguran Abdul Fadi. Mak Mah dan Misha saling berpandangan.

“Pakcik bangunlah! Cepat pergi mandi!”desak Misha lagi. Kali ini dia sudah menarik tangan Abdul Fadi supaya bangun.

“Apa lagi?”tanya Abdul Fadi akhirnya. Rambutnya yang berserabai sekali lagi digosok sebelum menguap panjang.

“Pakcik tu. Mak dengan Misha kejut pun tak bangun-bangun. Misha jeritlah.”

“Ada apa bising-bising ni?”

Terdengar suara pakcik Mohsin pula menegur dari arah belakang.

“Pakcik tak nak bangun,”omel Misha. Bibirnya sudah muncung panjang sedepa.

“Pakcik bangun la ni,”ujar Abdul Fadi. Setuju dalam terpaksa.

Langkahnya terhuyung-hayang hingga akhirnya dia terlanggar jenang pintu. Sedar-sedar tubuhnya sudah jatuh terduduk. Matanya sudah terbuka luas. Rasa mengantuknya terus hilang.

Dahinya disentuh, terasa lebam dan pedih.

Meletus juga ketawa Misha. Namun hanya sekejap bila perutnya sudah disiku sang ibu tersayang.

“Fadi tak apa-apa?”

“Saya okey, pakcik.”

“Baguslah. Pergi mandi cepat. Ambil tuala ni.”

Dengan langkah sejuta kemalasan dia menuruni anak tangga menuju ke dapur. Tiba di anak tangga terakhir, sekali lagi matanya terbuka luas.

“Kenapa? Dahi kamu sakit?”tanya pakcik Mohsin.

Lekas-lekas Abdul Fadi menggelengkan kepalanya.

“Tandas kat luar,”luah Abdul Fadi antara dengar dengan tidak.

“Memang dekat luar. Tapi kenapa?”

Abdul Fadi menundukkan wajahnya. Belum pernah dia merasa terlalu kerdil di depan mata keluarga pakcik Mohsin.

“Saya takut.”

“Apa dia?”ulang pakcik Mohsin sekali lagi.

“Saya takut. Gelap di luar sana tu.”

Begitu penjelasan Abdul Fadi yang langsung saja dibalas tawa besar Misha. Lucu benar pakcik Abdul Fadi ini. Tubuhnya saja gagah perkasa, tapi siapa sangka pakcik Abdul Fadi takut gelap.

Alahai.. Kuatkan semangat Abdul Fadi. Takkanlah gelap pun engkau nak takut?

“Misha teman pakcik ya. Tapi pakcik jangan lama sangat mandi.”

Lekas-lekas Abdul Fadi mengangguk setuju dengan cadangan Misha. Malunya sudah tidak terkira lagi. Di sini, di kampung ini, segala kelemahannya terbongkar satu persatu. Selepas ini entah apa lagi yang akan terbongkar.

“Misha jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai pakcik selesai mandi.”

“Baik pakcik. Misha tak pergi mana-mana. Misha tunggu kat sini saja.”

Berkerut-kerut dahi Abdul Fadi mendengar kata-kata Misha.

“Misha janji!”luah Misha bila menyedari keraguan pada sorotan mata pakciknya itu.

“Jangan intai,”pesan Abdul Fadi.

“Tak ada masa Misha nak intai-intai pakcik. Kalau Lee Min Ho lainlah. Memang Misha sanggup panjat dinding nak intai.”

“Pakcik tak macam Lee Min Ho ke?”

“Pakcik? Lee Ling Kup adalah!”

Abdul Fadi mengulum senyum lebar. Hendak ketawa pun ada melihat rupa cuak Misha ketika ini.

“Pakcik gurau saja,”tingkahnya kemudian sebelum ketawa mengekek.

Misha mengetap bibirnya. Kalau diikutkan rasa geram yang meraja saat ini, ingin saja dia menakutkan pakciknya itu. Biar padan dengan muka pakcik Abdul Fadi.

“Misha,”panggil Abdul Fadi. Sekadar memastikan Misha tidak kemana-mana.

“Misha ada kat sini.”

Abdul Fadi menyentuh air yang disimpan di tempayan. Rasa sejuk hingga ke tulang hitam!

Saat jirusan pertama menyentuh ubun-ubun, hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia bagaikan terkena arus elektrik.

“Sejukkkkkkkk!!!!!!!!”jerit Abdul Fadi sekuat hatinya.

Demi sebidang tanah, inilah seksaan dahsyat yang perlu dilalui. Demi kepentingan syarikat tempatnya bekerja, inilah padah lakonan terhebatnya menipu pakcik Mohsin.

Tepat jam 05.20 minit pagi, suaranya bergema pada subuh itu. Memecahkan kesunyian subuh nan indah yang selalunya hanya dihiasi oleh laungan azan dari masjid dan surau berdekatan.

Mak Mah dan pakcik Mohsin saling berpandangan. Kemudian keduanya ketawa lucu. Sedangkan Misha yang jadi penunggu di luar bilik mandi sudah terkejut setengah mati.

Naurah yang sedang menyediakan bahan-bahan untuk memasak mee goreng juga terkejut bukan kepalang. Ibunya di sebelah juga sudah mengucap panjang.

“Kenapa tu Misha?”tanya Naurah. Pintu dapur sudah dibuka luas-luas.

Misha tersipu-sipu. Namun dia tetap menuding ke arah bilik mandi.

“Pakcik Fadi tak biasa mandi air tempayan.”

“Pakcik Fadi?”ulang Naurah.

  Misha sudah menepuk dahinya.

“Misha lupa nak kenalkan dengan aunty Naurah. Pakcik Fadi ni pakcik Misha. Baru sampai petang tadi.”

“Aunty Naurah,”panggil Misha, separuh berbisik. Takut didengari oleh Abdul Fadi.

Naurah sudah menjungkitkan keningnya.

“Handsome! Tapi still tak boleh lawan hero kesayangan Misha,”balas Misha sambil tersenyum meleret. Naurah yang melihat lekas-lekas menggelengkan kepalanya.

“Jangan terpikat,”lanjut Misha bila Naurah sekadar endah tak endah. Geram juga hatinya dengan perangai aunty Naurah.

“Insya-Allah, tak.”

“Aunty Naurah ni..”gerutu Misha. Mulutnya sudah panjang sedepa.

Sekujur tubuh Abdul Fadi sudah terketar-ketar. Giginya ikut berlaga sesama sendiri. Tuala sudah dicapai.

Cukuplah sekali jirus. Dia kalah melawan kesejukan air di kampung. Benar-benar kalah. Kalau diteruskan, dia bimbang tubuhnya bakal mengeras lantas menjadi ketulan ais. Mandi kerbau pun mandi kerbaulah. Yang penting dia mandi juga.

“Cepat sikit bersiap, Fadi. Kita sudah lambat hendak ke masjid,”pesan pakcik Mohsin sebaik saja berpapasan dengan anak saudaranya itu.

Sekujur tubuh Abdul Fadi kembali mengeras. Serius, dia sudah lama tidak menyentuh sejadah. Sudah bertahun-tahun. Segala surah dan niat pun dia benar-benar sudah lupa. Macam mana ni?

“Aduh! Aduuuhhhhhh! Sakitnya perut saya ni,”ujar Abdul Fadi tiba-tiba. Perutnya sudah ditekan.

“Kamu kenapa, Fadi?”tanya Mak Mah. Dia sudah menerpa mendapatkan Abdul Fadi.

“Sakit perut, makcik. Sakit perut sangat. Hendak berdiri pun tak boleh ni. Macam mana saya nak sembahyang kalau begini?”

“Eh! Tadi molek saja. Elok lepas pakcik ajak kamu pergi masjid, terus kamu kena sakit perut. Ini sakit perut betul ke sakit perut yang yuk ni?”

Rasakan Abdul Fadi! Jangan ingat pakcik Mohsin tu senang ditipu.

Pakcik Mohsin memang senang ditipu. Aku bilang aku anak adiknya Abdullah, terus dia percaya.

Amboi.. Pandai menjawab ya! Sudah, pergi ikut pakcik Mohsin kamu itu ke masjid.

Aku tak pandai sembahyang la!

Kamu kan pelakon terhebat sampai dapat menipu pakcik Mohsin.

Belum terhebat lagi. Setelah aku berjaya pujuk pakcik Mohsin jual tanahnya, setelah itu aku layak bergelar pelakon terhebat.

Kalau begitu kau tiru saja apa jemaah lain lakukan. Kalau mereka ruku’ kau ruku’. Kalau sujud, kau pun sujudlah.

Abdul Fadi mengulum senyum tipis. Betul juga kata hatinya, tiru saja apa yang dilakukan jemaah lain. Senang cerita. Masalah besarnya selesai!

“Pakcik makan pil chi kit teck aun ni. Misha jamin, sakit perut pakcik akan hilang.”

Siap berpakaian, Abdul Fadi terpaku di depan cermin. Sepasang matanya seperti enggan berkelip lagi menatap figuranya dicermin. Sungguh, dia sendiri tidak kenal siapa lelaki yang sedang membalas tatapannya di dalam cermin tersebut. Kelihatan begitu suci.

Abdul Fadi meraup wajahnya. Ada satu rasa aneh seperti meresap ke dalam jiwanya melihat dirinya lengkap berbaju melayu, berkain sarung dan bersongkok tadi. Entahlah..

Ramainya jemaah yang memenuhi masjid di kampung Beserah ini. Wajah mereka bersih-bersih semuanya. Langsung tidak sama dengan wajah Abdul Fadi yang dipaliti kepura-puraan.          

Abdul Fadi menguap panjang. Dia sempat mengeliat kecil sebelum ikut memasuki saf.

Tapi sebelum itu, solat subuh ada berapa rakaat ya? Mahu bertanya pada jemaah lain, malu. Kalau bertanya pada pakcik Mohsin, terbongkarlah rahsia dia tidak tahu solat.

Otaknya belum dapat mencari sebarang idea saat Azan berkumandang. Sepasang matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Prinsipnya kali ini, ikut saja apa jemaah lain lakukan.

Rakaat pertama dia lepasi dengan jayanya. Sekarang rakaat kedua. Selesai saja bertakbir, dia terus sujud. Sepasang matanya meliar lagi.

“Eh! Kenapa lama sangat jemaah lain nak sujud?”soal Abdul Fadi sendiri. Kepalanya sudah dimiringkan sedikit. Memang benar, jemaah lain masih belum sujud. Masih lagi berdiri tegak sambil menadah tangan.

“Lamanya mereka nak sujud. Sudah hampir satu minit,”gerutu Abdul Fadi. Sudahlah setiap kali sujud matanya cukup layu. Pasti enak kalau dapat tidur lagi dan bukan terhegeh-hegeh mengerjakan solat seperti sekarang!

“Mereka ni buat apa? Sujud pun susah ke?”hatinya terus bersoal jawab. Tidak dapat menahan perasaan dia berpaling menatap jemaah di sisi kanannya, kemudian jemaah yang lain.

"Mesti baca doa dulu ke?"gerutu Abdul Fadi dengan dahi berkerut-kerut.

Perlahan-lahan dia bangun semula, kemudian menadah tangan. Harapannya cuma satu, jangan sampai ada jemaah lain yang melihat dia sujud tadi.

“Doa apa mereka baca ni? Panjangnya!"omel Abdul Fadi lagi. Dia mahu segera sujud. Dia paling suka sujud. Hanya ketika sujud tubuhnya merasa sangat selesa.

Akhirnya saat yang ditunggu-tunggu tiba juga. Namun sempat juga dia menguap panjang tanpa menutup mulutnya.

“Mengantuknya,”bisiknya sendiri.

Saat dahinya menyentuh sejadah, matanya dipejam rapat-rapat. Rasa mengantuk semakin menguasai diri. Enaknya tidur...

“Fadi,”panggil satu suara. Suara pakcik Mohsin mungkin.

“Anak saudara kamu ni pengsan agaknya, Mohsin.”

“Ini bukan pengsan. Ini namanya tidur,”bantah pakcik Mohsin lalu tubuh Abdul Fadi digerakkan. Kali ini lebih kuat. Denguran Abdul Fadi benar-benar menguji tahap kesabarannya.

“Pergi ambil wuduk dan solat semula!”arah pakcik Mohsin saat Abdul Fadi berjaya membuka kedua belah matanya.

Beberapa orang jemaah ketawa kecil melihat gelagat Abdul Fadi mengeliat. Pakcik Mohsin hanya mampu menggeleng lemah.

“Mungkin dia penat dan tak cukup tidur,”kata pakcik Mohsin, sekadar melunakkan hati sendiri.

* * *

“Papa!”jerit Nafiz sebaik saja terpandang figura Abdul Fadi di muka pintu.

Bukan saja Abdul Fadi yang terkejut, malah semua penghuni rumah pakcik Mohsin. Lebih-lebih lagi Naurah. Sepasang kemilau indahnya sudah terbuka luas. Jelas dia sangat terkejut dengan takdir yang menemukan mereka sekali lagi. Penculik Nafiz! Gerutu hatinya.

“Papa datang jumpa Apiz ke? Papa rindu dengan Apiz ye?”

 Lekas-lekas Abdul Fadi menarik tangannya yang cuba diraih oleh Nafiz. Cukuplah sekali dia dituduh cuba menculik anak kecil tersebut. Dia sudah serik.

“Macam mana Apiz boleh kenal dengan pakcik Fadi?”tanya Misha lalu mengusap rambut halus Nafiz.

“Bukan pakcik la kakak Misha. Tapi papa. Dulu Apiz jumpa papa. Tapi ibu tak suka. Ibu marah-marah.”

Nafiz! Kamu sebelah ibu atau sebelah si penculik tu?jerit hati kecil Naurah.

“Saya tak culik pun anak dia. Tapi dia asyik cakap saya culik anak dia,”cerita Abdul Fadi. Biar pakcik Mohsin tahu betapa malang nasibnya sejak datang ke bumi Kuantan.

Mula-mula dia dituduh menculik. Tidak cukup dengan itu, pipinya turut menjadi mangsa penampar perempuan tersebut. Setelah itu dia dirompak pula hingga tinggal sehelai sepinggang.

Mujurlah dalam kekalutan itu, muncul cikgu Qamarul sebagai penyelamat harinya yang malang. Kini dia ditemukan semula dengan perempuan yang telah menamparnya. Apakah ini petanda episod malang hidupnya bermula lagi?

“Senang saja tu. Salah faham saja. Jadi kita jernihkan sekarang. Naurah, ini Abdul Fadi. Anak saudara pakcik, baru datang dari Kuala Lumpur.”

Abdul Fadi terpegun. Segera terbayang cerita-cerita Hakimi tentang Naurah. Naurah sulit dipujuklah. Naurah tidak sudi keluar makan bersamalah.

Jadi ini dia Naurah, jiran sebelah rumah pakcik Mohsin yang menjadi punca utama Pakcik Mohsin enggan menjual tanahnya.

Kalau Hakimi mengatakan Naurah sulit dipujuk dan tidak sudi keluar makan bersama, dia pula mengatakan Naurah itu garang bagaikan singa dan suka tuduh tanpa usul periksa!

Namun untuk menjayakan misinya memujuk pakcik Mohsin menjual tanahnya, dia perlu juga melembutkan Naurah yang keras hati lagi garang. Ada siapa-siapa punya cadangan bagaimana mahu melentur Naurah yang garang ini? 

“Assalamualaikum..”

Suara itu begitu sedap didengar. Siapa lagi kalau bukan suara cikgu Qamarul. Tidak sampai beberapa saat cikgu Qamarul sudah tercegat dimuka pintu.

Sebaik saja sorotan matanya melihat Naurah, percayalah, tatapan matanya tidak mahu berkalih lagi. Naurah sudah menjadi objek perhatiannya sejak hari pertama lagi dia berada di sini. Sekeping hati lelakinya sudah dicuri Naurah.

Abdul Fadi mengulum senyum panjang. Sekali pandang pun dia sudah dapat meneka cikgu Qamarul ada hati dengan Naurah. Kalau begini, rancangannya tambah mudah. Cikgu Qamarul akan digunakan untuk melentur Naurah sendiri.

“Langkah kanan kamu, Qamarul. Kami semua baru hendak sarapan. Jemput sekali. Naurah masak mee goreng hari ini.”

“Naurah yang masak? Mesti sedap!’

Naurah yang mendengar tersenyum manis. Manis sekali hingga berjaya membuat cikgu Qamarul tambah mabuk kepayang. Hanya Abdul Fadi yang jengkel mendengar pujian cikgu Qamarul.

Belum rasa sudah kata sedap. Kalau hendak menarik perhatian Naurah pun biarlah berpada.

“Siapa nak baca doa makan hari ni?”aju Mak Mah sambil menatap Nafiz.

“Papa! Apiz nak papa baca doa makan hari ni,”teriak Nafiz. Dia sudah pun menarik sebuah kerusi di sisi Abdul Fadi.

“Hah!”

Abdul Fadi sudah tercengang. Bala apa pula yang datang. Selama ini dia hanya menyebut Bismillah. Itupun kalau dia ingat. Kalau terlupa, memang dia tidak membaca apa-apa sebelum makan.

“Cepatlah papa. Apiz lapar ni.”

“Apiz, panggil pakcik. Mana boleh panggil papa.”

“Tak mengapa, Naurah. Biarlah dia panggil saya papa. Saya tak kisah. Asalkan Apiz bahagia.”

Tapi cikgu Qamarul kisah! Hatinya sudah terasa lain macam melihat kemesraan Nafiz dan Abdul Fadi. Sehari saja dan mereka berdua sudah seakrab ini? 

“Tak elok begitu.”

“Saya tak kisah, Naurah,”tegas Abdul Fadi.

Amboi.. Baiknya hati Abdul Fadi. Padahal dia adalah lelaki yang tidak suka dengan budak-budak.

Menurut Abdul Fadi, budak-budak hanya menyusahkan. Hanya pandai membuat sepah, menangis dan membuat hati ayah dan ibu susah. Tapi demi tanah pakcik Mohsin, dikebalkan hatinya melayan Nafiz sehabis baik. Prinsipnya yang tidak suka budak-budak ditolak ke tepi dulu.

“Papa baca doa makan sekarang.”

Semua orang dimeja makan sudah menadah tangan. Abdul Fadi sudah terkumat-kamit membaca doa. Tidak sampai sepuluh saat, dia sudah mengaminkan doanya.

“Amin..”balas yang lain hampir serentak.

Abdul Fadi mengangkat wajah. Buat pertama kalinya hadir rasa bersalah dalam dirinya kerana menipu semasa membaca doa makan tadi. Dia tidak membaca apa-apa. Hanya bibirnya yang digerakkan. Dia sudah terdesak, harap dimaafkan!

*          *          *
           
“Inilah dusun durian kita. Pakcik sengaja bawa kamu ke sini sebab tanah ini sepatutnya milik ayah kamu. Pakcik hanya menjaganya saja,”beritahu pakcik Mokhsin setelah mereka tiba di dusun. Pokok-pokok durian memenuhi dusun tersebut. Di bahagian kanan terdapat lebih kurang 15 batang pokok manggis.”

“Besar juga dusun ni.”

“Bulan lepas ada syarikat perumahan hendak beli tanah ini. Pakcik hampir menjualnya sampailah Naurah beri pakcik nasihat. Pakcik sudah nekad, tanah ini pakcik akan pulangkan semula pada ayah kamu. Sementara menunggu ayah kamu pulang, pakcik akan tolong jaga. Hasil buah-buahan di sini memang pakcik asing dengan hasil buah-buahan tanah yang satu lagi di baruh. Pakcik akan serahkan pada ayah kamu juga. Pakcik harap Fadi boleh pujuk ayah Fadi pulang ke kampung.”

“Larat ke pakcik jaga dua dusun? Pakcik ada ambil pekerja?”

“Pakcik senang lakukan semua kerja-kerja di dusun. Dulu ada juga pakcik gaji pekerja, tapi itulah, pecah amanah.”

“Saya risau kesihatan pakcik. Saya rasa ada baiknya kita jual tanah ni. Saya tak sanggup tengok pakcik bersusah payah macam ni. Lagipun saya percaya ayah saya tak berminat dengan tanah ni. Kalau dia masih berminat, pasti dari dulu lagi dia sudah tuntut.”

“Pakcik pun ada fikir semua tu. Tapi ini tanah pusaka, Fadi. Pakcik takkan jual.”
Begitu tegas suara pakcik Mohsin, begitu dalam jugalah rasa kecewa yang dialaminya.

“Pakcik nak minta tolong kamu, Fadi.”

“Apa dia pakcik?”

“Tolong pakcik racun rumpai di kawasan pokok-pokok manggis tu. Pakcik akan sembur di kawasan pokok-pokok durian ni. Selepas semua ini siap, kita ke baruh. Jumpa Naurah. Naurah ada bawa bekal untuk kita makan tengahari.”

Demi tanah pakcik Mohsin, apa saja sanggup Abdul Fadi lakukan. Termasuklah meracun rumpai. Semangatnya jadi berkobar-kobar. Apatah lagi melihat betapa mudahnya pakcik Mohsin melakukan kerja.

Namun sebaik saja dia cuba menggalas penyembur racun rumpai tersebut dia terkejut. Beratnya Nauzubillah!

Bahunya sakit sekali. Buat seketika dia berjalan terhuyung-hayang setelah gagal mengimbangi berat penyembur tersebut.

“Boleh ke, Fadi?”

“Boleh pakcik! Kerja senang saja ni,”tingkahnya meski sebenarnya dia sudah berpeluh-peluh.

Mungkin ada enam kali dia berhenti rehat. Hasilnya separuh daripada kawasan pokok-pokok manggis sudah selesai disembur dengan racun rumpai. Lututnya sudah terketar-ketar. Dia kelelahan, kepenatan dan benar-benar perlukan rehat yang mencukupi.

“Susah siap?”

“Belum pakcik. Tak sangka penyembur ni berat sangat.”

“Fadi tak biasa lagi tu. Mari sini, biar pakcik tolong kamu.”

“Pakcik sudah siap sembur kawasan pokok-pokok durian?”

“Sudah.”

Aduh! Malunya Abdul Fadi. Pakcik Mohsin yang berumur hampir mencecah 50 tahun itu begitu handal menyembur racun rumpai. Sedangkan dia baru separuh sudah mengangkat bendera putih.

Tidak sampai setengah jam, pakcik Mohsin selesai menyembur rumpai. Fadi malu sekali. Sejak tadi mukanya ditundukkan.

“Minta maaf, pakcik. Saya tak dapat membantu sedikit pun,”akuinya kemudian. Dia jujur saat menuturkan kata maaf itu. Hatinya memang diburu rasa bersalah. Satu perasaan yang sering hadir sejak akhir-akhir ini.

Melihat peluh renik yang berlumba-lumba tumbuh di muka pakcik Mohsin benar-benar membuat hati Abdul Fadi tidak keruan. Nafas pakcik Mohsin yang termengah-mengah benar-benar membuat dia merasakan dia seorang lelaki tidak berguna. Menyembur racun rumpai pun dia tidak mampu. Yang mampu dia lakukan hanyalah menyamar sebagai anak saudara pakcik Mohsin dan menipu lelaki itu.

Soal agama memang dia kosong. Suka pentingkan diri sendiri. Penuh kepura-puraan. Bijak menipu dan yang terakhir, tidak boleh diharap langsung!

Teruknya kamu wahai Abdul Fadi. Memalukan kaum lelaki saja!

“Pakcik sudah lapar sangat. Kita pergi tempat Naurah sekarang ya.”

Dia menurut saja. Dia sudah hilang suara untuk berkata-kata. Dia benar-benar merasakan dirinya hanya seorang yang menyusahkan. Dia bagaikan satu beban pada semua orang.

Sepuluh minit perjalanan, mereka tiba di dusun durian Naurah. Naurah tidak kelihatan dimana-mana. Yang kelihatan hanyalah cikgu Qamarul. Dimana ada Naurah, di situ dia melihat cikgu Qamarul. Apa istimewanya Naurah itu pun dia tidak tahu. Yang jelas di matanya hanyalah sifat garang Naurah!

“Kamu ni dari mana, Qamarul?”tanya pakcik Mohsin.

“Baru balik dari sekolah, pakcik. Kemudian saya terus ke sini. Saya nak ambil durian yang jiran saya tempah dengan Naurah.”

“Baiknya kamu ni, Qamarul. Jiran kamu yang tempah, kamu yang tolong ambilkan,”luah pakcik Mohsin sambil tersenyum simpul. Lirikan matanya penuh usikan hingga cikgu Qamarul jadi malu.

Cikgu Qamarul menggaru-garu kepalanya.

“Sebenarnya pakcik, sudah lama saya hendak tanya. Sampai sekarang saya belum pernah jumpa suami Naurah. Suaminya ada dimana?”

“Suami? Masya-Allah!. Naurah belum berkahwin. Dari mana kamu dapat berita Naurah sudah kahwin ni?”

“Apa?!”tanya cikgu Qamarul dan Abdul Fadi hampir serentak.

“Habis, Naja dengan Nafiz tu siapa?”tanya cikgu Qamarul lagi. Degupan jantungnya berdegup dua kali lebih deras. Rasanya dia ingin melompat tinggi dengan cerita yang dibawa pakcik Mohsin. 

Naurah belum berkahwin? Naurah tidak terikat dengan mana-mana lelaki bergelar suami? Ya Allah! Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

“Naja dengan Nafiz anak saudara Naurah. Anak arwah Naeim, kakak Naurah. Selepas kematian kakaknya, Naurah lepaskan segalanya termasuk kerjayanya sebagai jurutera di Petronas.  Dia pulang ke kampung menjaga Naja dan Nafiz. Dia juga memilih untuk menjaga dusun buah-buahan peninggalan keluarga mereka.”

Abdul Fadi sudah ternganga mendengar cerita tentang Naurah. Naurah yang berjawatan sebagai jurutera sanggup menjadi pengusaha durian? Naurah yang garang itu? Naurah yang disangkanya orang kampung dan tidak berpelajaran itu?

“Alhamdulillah... Terima kasih sangat-sangat, pakcik. Hati dan jiwa saya sudah tenang sekarang.”

“Kenapa, kamu fikir pun Naja dan Nafiz itu anak Naurah?”

Mengangguk.

Pakcik Mohsin sudah ketawa besar. Patutlah cikgu Qamarul begitu teragak-agak untuk memikat Naurah. Rupa-rupanya ada salah faham besar.

“Sebenarnya pakcik, saya pun fikir Naja dengan Nafiz itu anak Naurah.”

“Kamu pun sama?”tanya pakcik Mohsin.

Mengangguk juga.

“Kamu berdua ni, buat pakcik nak ketawa tergolek-golek. Jadi sekarang apa kamu berdua nak buat setelah tahu Naurah belum berkahwin.”

“Saya biasa-biasa saja, pakcik. Tak tahulah cikgu Qamarul. Siapa tahu dia hantar rombongan meminang.”

“Insya-Allah. Akan saya lakukan begitu,”balas cikgu Qamarul penuh yakin.

Senyuman Abdul Fadi dan pakcik Mohsin terhenti. Keduanya menyorot cikgu Qamarul tajam.

“Saya serius. Kali pertama bertemu hati saya sudah terbersit dengan indah.

“Cuma memikirkan Naurah isteri orang, jadi saya berpada-pada. Takut menimbulkan salah faham dan fitnah.”

 “Alhamdulillah.. Pakcik sokong kamu. Kalau kamu ada apa-apa masalah, macam hendak memujuk Naurah terima lamaran kamu, beritahu pakcik cepat-cepat. Tahulah isteri pakcik pujuk Naurah sampai Naurah terima lamaran kamu.”
   
Apalah yang bagus sangat dengan Naurah itu? Apalah yang istimewa sangat dengan Naurah hingga cikgu Qamarul mabuk kepayang begini. Sila jelaskan!

“Kenapa tak panggil Naurah tadi? Dah lama tunggu kat sini?”

Suara lembut menyapa mereka semua dari belakang. Saat mereka semua berpaling,

Naurah sudah berada di belakang mereka. Masih lagi dengan baju kerjanya. Masih juga membawa penyembur racun rumpainya.

Straw hatnya ditanggalkan kemudian dikibas-kibas. Teriknya cahaya matahari hari ini. Kulitnya sudah memerah. Peluh renik membasahi wajah.

“Awak pun sembur racun rumpai?”tanya Abdul Fadi. 

Percayalah, dia terkejut melihat Naurah juga melakukan penyemburan rancun rumpai. Mendadak saja dia merasakan dirinya benar-benar tidak berguna. 

Setakat dikalahkan dengan pakcik Mohsin ketika menyembur racun rumpai dia masih boleh terima. Tapi tidak bila ternyata Naurah juga jauh lebih kuat berbanding dirinya. Alahai.. Malunya!

Abdul Fadi diam tidak berkutik. Hanya ekor matanya saja yang sekali-sekala menjeling kearah Naurah. Semakin lama semakin kerap dia menatap wajah tenang itu. Sebenarnya Naurah itu manis juga orangnya. Tanpa sebarang riasan di muka pun Naurah sudah cukup jelita. Cuma sifat garangnya itu yang mencacatkan pakejnya itu.

Tapi dia bukan garang tidak bertempat. Dia garang pun sebab Nafiz hilang tempoh hari. Salah kamu juga. Siapa suruh bawa Nafiz pergi tanpa pengetahuannya. Memang padan dengan muka kamu dituduh cuba menculik.

“Baiklah! Naurah tidak garang. Naurah memang manis. Naurah memang cantik. Naurah penuh kelembutan. Naurah penuh kesopanan. Naurah penuh sifat keibuan,”tutur Abdul Fadi di luar sedar.

Cikgu Qamarul sudah menatap Abdul Fadi setengah tidak percaya. Begitu juga pakcik Mohsin. Naurah sudah mengerutkan dahinya.

Sepi. Hening seketika. Abdul Fadi meneguk liurnya yang dirasakan pahit tiba-tiba. Kerana terlalu leka bertelagah dengan hatinya, dia sudah terlepas cakap.

“Kamu pun ada hati dengan Naurah juga? Macam cikgu Qamarul?”usik pakcik Mohsin.

Lekas-lekas Abdul Fadi menggelengkan kepalanya. Dia ada hati dengan Naurah? Tidak, tidak, tidak, tidak dan tidak! Kata pujiannya tadi sekadar ucapan biasa, tidak sampai ke relung hati. Dia tidak ikhlas memuji Naurah!

Betul ke ni? Nampak macam ikhlas sangat sewaktu kata pujian itu dituturkan.

Betullah!

* * *

Abdul Fadi mengeluh berat. Sudah hampir sebulan dia di sini. Namun sehingga sekarang dia belum berhasil memujuk pakcik Mohsin berbincang tentang tanah tersebut. Ada saja halangan yang datang. Pening kepala Abdul Fadi memikirkan perkara tersebut.

Kalau berterusan begini, kemungkinan mereka tidak berjaya membeli tanah pakcik Mohsin sangat besar. Bagaimana ya? Pakcik Mohsin itu begitu bijak sekali. Setiap kali isu tanah dibangkitkan, laju saja lelaki separuh umur itu mengubah topik.

Dia menjeling jam tangannya. Sudah hampir masuk waktu Asar. Ada satu perubahan besar sejak dia tinggal di sini. Dia sudah tahu bila masuknya waktu solat. 

Paling penting, dia sudah mengerjakan solat hasil khutbah panjang lebar pakcik Mohsin dan Naurah. Dia juga sudah pandai mengaji. Meski masih merangkak-rangkak, namun dia tetap bangga dengan pencapaiannya. Tapi itulah, hasrat untuk membeli tanah pakcik Mohsin masih belum berjaya direalitikan.

“Kemana pula Misha ni pergi?”gerutu Mak Mah. Dia sudah muncul di muka pintu bersama sebuah dulang berisi makanan.

“Kenapa makcik?”

“Makcik nak suruh Misha hantar dulang ni ke rumah Naurah. Semalan Naurah bilang mahu makan bubur kacang dengan durian.”

“Tak apalah, makcik. Biar saya yang tolong hantar.”

Dulang sudah bertukar tangan. Memang sejak dulu lagi dia memang teringin sekali untuk masuk ke dalam istana si Naurah itu. Belum pernah sekalipun dia memasuki istana kayu itu. Selalunya memang Naurah yang bertandang ke rumah pakcik Mohsin.

Rumah Naurah sepi sewaktu dia memasuki ruang tamu. Sepasang mata Abdul Fadi bagaiman enggan berkelip lagi. Bayangkan! Hanya ada set kerusi rotan yang nampak begitu usang. Set televisyen di rumah ini juga sudah lama. Hanya komputer riba saja yang kelihatan mengikuti peredaran zaman.

Biar betul si Naurah ini! Kalau hendak dibandingkan dengan segala macam kelengkapan barangan elektrik di rumahnya, Naurah jauh ketinggalan! Naurah bagaikan hidup di zaman 70-an.

Aduhai Naurah yang rupawan, kamu bukan tidak mampu membeli set kerusi atau tv yang baru.

Wahai Encik Abdul Fadi, Naurah itu memilih cara hidup bersederhana. Bukan macam kamu. Pemboros! Pantang melihat benda canggih sikit mulalah 'menggeletik' hendak beli.

“Apiz pergi mana tu? Balik sini cepat. Nasi ada lagi ni. Nanti nasi ni nangis, ibu tak tahu. Malam-malam Apiz mimpi nasi ni kejar Apiz.”

“Apiz tak takut pun!”

Naurah yang mendengar ucapan Nafiz mengetap bibirnya. Dia sudah bangun untuk menangkap tubuh kecil Nafiz. Nafiz yang memang terkenal dengan nakalnya mula ketawa sambil melarikan diri daripada ditangkap oleh Naurah.

“Apiz!”tingkah Naurah.

Namun segala kata-katanya tersekat setelah melihat ada tamu yang berkunjung. Bulat matanya membalas sorotan mata Abdul Fadi. Namun bulat lagi mata Abdul Fadi.

Lelaki itu sedang menatapnya dengan rupa terkejut. Tidak berkutik sejak tadi.  Tapi percayalah, dia lebih terkejut sekarang! Berderau darahnya berdepan dengan Abdul Fadi.

Tidak sampai dua saat Naurah berpusing lekas-lekas turun semula ke dapur. Debaran begitu jelas terasa. Dia meraup wajahnya lambat-lambat. Terasa hangat membahang.

Abdul Fadi itu pun satu. Salam langsung tidak diberi. Tak elok masuk rumah orang tanpa kebenaran.

“Kenapa muka kamu ni pucat sangat?”soal ibunya yang baru keluar dari kamar mandi.

“Ibu naik atas. Ada tamu.”

“Siapa?”

“Abdul Fadi ada atas. Ibu layan dia ya.”

“Naurah?”soal  ibunya lagi.

“Naurah tak pakai tudung ni.”

Ibu manggut-manggut. Sekejap saja ibu sudah berbual mesra dengan Abdul Fadi. Hanya Naurah saja yang terhendap-hendap dari celah jenang pintu. Takut di lihat oleh Abdul Fadi.

Abdul Fadi masih tersenyum-senyum sewaktu menuruni anak tangga rumah Naurah. Hati lelakinya bernyanyi senang. Naurah tanpa tudung rupa-rupanya begitu indah. Indah sekali! Naurah yang manis itu tampak lebih manis tadi. Patutlah Naurah memakai tudung. Kalau rambutnya di biar lepas, pasti ramai yang mabuk kepayang macam cikgu Qamarul.

Haih.. Cikgu Qamarul saja ke?

Abdul Fadi tersipu sendiri. Bayangan Naurah sudah menjadi hantu, mengekorinya terus. Hingga tanpa sedar bahunya disentuh dari belakang. Lekas-lekas dia menoleh. Siapa tahu, Naurah yang menyentuh bahunya.

Ternyata bukan Naurah. Tapi Cikgu Qamarul. Lelaki itu sudah tidak lepas-lepas lagi menyorot Abdul Fadi tajam. Sejak tadi dia menjadi penonton setiap pada segala telatah Abdul Fadi.

“Bila sampai?”soal Abdul Fadi.

“Tadi lagi,”balas cikgu Qamarul.

“Dari mana ni?”lanjut cikgu Qamarul.

“Rumah Naurah.”

“Buat apa?”aju cikgu Qamarul lagi.

“Hantar bubur kacang.”

“Keluarga saya akan datang ke sini hantar rombongan merisik Naurah,”cerita cikgu Qamarul terus.

Senyuman bahagia Abdul Fadi sirna. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Hanya tatapannya yang mengekori langkah kaki lelaki itu menuju ke rumah Naurah.

Duduk salah. Berdiri pun salah. Semuanya serba tidak kena setelah cikgu Qamarul meluahkan hajatnya untuk merisik Naurah.

Ini tidak boleh jadi! Naurah itu siapa? Dia kan orang biasa-biasa saja. Pedulikan Naurah! Lagipun dia ke sini kerana hendak membeli tanah pakcik Mohsin! Bukan hendak mencari isteri macam cikgu Qamarul.

Tapi hatinya sangat berat untuk melepaskan Naurah. Perasaan apakah ini? Kenapa hatinya sangat sakit melihat cikgu Qamarul dan Naurah. Hatinya juga sudah pandai cemburu sekarang.

“Aku ke sini hendak memujuk pakcik Mohsin. Aku ke sini kerana sebuah tanah. Aku ke sini bukan kerana Naurah!”Abdul Fadi mengingatkan dirinya sendiri.

Nafasnya kembali diatur dengan tenang. Sekali-sekala dia menjeling pintu rumah Naurah. Berharap cikgu Qamarul lekas-lekas keluar rumah tersebut.

Hatinya tidak tenang selagi cikgu Qamarul ada di sana.

Cikgu Qamarul itupun satu. Mentang-mentang sudah tahu Naurah masih belum berkahwin, terus dia hendak hantar rombongan merisik.

Akhirnya setelah hampir setengah jam, cikgu Qamarul keluar juga dari rumah
Naurah. Senyuman cikgu Qamarul hingga ke telinga. Wajahnya berseri-seri bagaikan bulan mengambang pula.

“Macam mana, Qamarul?”tegur Mak Mah yang entah muncul dari mana. Cikgu Qamarul sudah digamit.

“Alhamdulillah.. Mereka setuju.”

“Syukurlah.. Jadi bila mak dan ayah Qamarul hendak datang sini.”

“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa aral melintang esok petang, lepas zuhur mereka akan sampai.”

“Apa? Esok? Cepatnya!”jerit Abdul Fadi sekuat hatinya. Dia sudah gagal mengawal emosinya. Segalanya sudah dihamburkan melalui ekpresi muka dan nada suaranya.

“Encik, bangun. Encik sudah sampai Kuantan. Bangun encik!”

Lekas-lekas Abdul Fadi membuka matanya. Pemandu bas Plus Liner yang dinaikinya dari Kuala Lumpur tadi sudah melemparkan senyum panjang. Dia memandang sekeliling. Tenyata semua penumpang sudah turun. Tinggal dia seorang diri.

“Aku mimpi rupanya,”bisiknya sendiri. Tapi sungguh, mimpi tadi benar-benar bagaikan kenyataan.

“Naurah.. Naurah yang manis sekali,”ujar Abdul Fadi. Begitu jelas dan kuat sehingga pemandu bas yang membangunkannya hanya mampu menggeleng kepala.

“Saya tidak gila, pakcik pemandu bas!”

Duhai hati, jangan jadikan mimpi itu kenyataan. Sila ingat misi utama kita bersama. Kita berdua akan menyamar menjadi anak saudara pakcik Mohsin. Kita akan pujuk pakcik Mohsin habis-habisan hingga dia menjual tanahnya. Tentang Naurah, abaikan dia. Jangan jatuh cinta dengan dia.

Kalau Naurah yang jatuh hati dengan kita bagaimana?

Entah!



#TAMAT

Nota PK : Hanya secebis kisah dari versi novel. Sila tunggu versi novel release ya!

9 comments:

  1. Unbelievable.....speechless.... - jumay jue

    ReplyDelete
  2. Mimpi yg akan jd kenyataankah?...

    ReplyDelete
  3. Opkos la daling.. Ad 56 chapter sume.. Hahahah

    ReplyDelete
    Replies
    1. 56 chpter?? Byk gak tu.....mcm dh siap je mss nya....hihihi - jumay jue

      Delete
    2. Opkos dah siap. Manuskrip ni dulu sblm DCSL. Hahahahha

      Delete
  4. Bestnye.. gelak2 kita baca.. kelakar la hero dia.. hihi.. wish you gud luck

    ReplyDelete