Monday 13 January 2014

#Bab07- Doa Cinta Seorang Lelaki



Hidup Nadine sudah agak tenang sedikit. Tiada lagi isu diekori. Pejabatnya juga sudah tidak dipenuhi dengan jambangan bunga. Nashrin benar-benar sudah lenyap daripada hidup Nadine.

Nadine menepuk-nepuk kedua belah pipi. Mahu melupakan terus ingatannya pada si Nashrin. Lantas bibirnya bergerak-gerak menyanyikan lagu Seindah Biasa.
Kalau tidak kenangkan bantahan ayahnya, sudah lama dia menjadi penyanyi terkenal macam Dato’ Siti.

Betul ke ni boleh terkenal macam Dato’ Siti? Suara sudah la macam katak puru panggil hujan. Cuba tengok langit tu, sudah mendung kan?

Mendung sebab memang nak hujan.

Iyalah tu. Masih tak nak mengaku.

Sejuta kerutan sudah terlukis di dahi. Jujur, dia kurang senang dengan debat hatinya. Bertambah-tambah tak senang bila pandangannya bertamu dengan dengan sorotan anak lelaki Mak Jah.

Lekas-lekas Nadine berpaling. Langsung tidak bergerak-gerak.

“Apa pula dia buat kat luar rumah tu? Masuklah rumah cepat,”gerutu Nadine sendiri.
Hampir lima minit juga Nadine jadi patung. Setelah kakinya mula lenguh, akhirnya dia berpaling semula.

Abu Hanifah masih ada di situ. Meniliknya dengan muka pelik. Sampai Nadine pula yang naik angin.

“Awak nak apa sebenarnya? Cuba awak cakap betul-betul? Mood saya ni baru nak baik. Tolong jangan rosakkan mood saya pula.”

Abu Hanifah masih juga dengan muka peliknya. Kemudian tiba-tiba lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah. Makinlah Nadine geram.

“Awak nak pergi mana tu? Awak tak jawab lagi soalan saya,”luah Nadine. Kali ini dia sudah berada betul-betul di depan dinding yang menjadi pemisah rumahnya dan juga rumah Abu Hanifah.

Abu Hanifah menoleh sekilas. Kemudian mengeluh berat.

“Banyak saya nak cakap. Tapi bila tengok awak macam tu..”

“Kalau awak nak sindir-sindir saya, baik tak payah. Terima kasih banyak-banyak. Lagi? Apa lagi awak tak puas hati sangat dengan saya? Saya beri peluang sekarang. Lepas ni jangan nak pandang rendah dekat saya,”pangkah Nadine. Kali ini dia memberanikan diri membalas sorotan Abu Hanifah.

Anehnya, makin lama Nadine pandang, makin Nadine rasa raut wajah Abu Hanifah terlalu familiar. Macam pernah nampak. Tapi Nadine tak ingat dekat mana.

“Kalau macam tu tak ada apa lagilah saya nak cakap,”balas Abu Hanifah lantas terus masuk ke dalam rumah.

“Nanti dulu!”panggil Nadine sekali lagi. Tapi nampaknya Abu Hanifah terus melangkah.

“I am sooo maaaad!! What is it with that guy!!”

Nadine kepal tangannya kuat-kuat. Si Abu Hanifah ni nak merasa buku lima Nadine agaknya. Selamba saja dia beri jawapan dan kemudian masuk rumah. Baik tak payah jawab kalau beri jawapan macam tu.

Kalau hari-hari begini, memang Nadine boleh dapat serangan jantung.

“Nadine,”panggil Makcik Nazimah.

Nadine nyaris melatah dek kerana terkejut.

“Kenapa ni? Muka Nadine merah-merah ni kenapa?”

“Tak ada apalah. Panas sangat kat luar ni. Bila ibu sampai sini?”tanya Nadine kelam-kabut. Risau kalau-kalau ibunya yang tersayang melihat insiden perang kecilnya dengan Abu Hanifah.

“Baru lagi. Cuma ibu perasan dah tiga jam Nadine kat beranda ni. Muka pun sekejap senyum sekejap berkerut-kerut. Ada masalah besar ke? Tak nak cerita pada ibu?”tanya Makcik Nazimah, penuh hati-hati. Maklumlah, hari ini dia ada hajat yang sangat besar.

“Tak ada apa yang serius pun.”

“Betul ni?”

“Betul!”

“Kalau ibu minta Nadine temankan ibu ke majlis kahwin macam mana?”soal Makcik Nazimah tiba-tiba.

“Bila? Siapa yang kahwin?”

“Esok. Anak perempuan kawan ibu yang nak kahwin.”

“Esok? Tapi sekejap saja, kan?”

“Sekejap saja. Ibu nak tunjuk muka.”

“Miera ikut sekali tak?”

“Miera kalau tak ikut memang muncung dia panjang dua depalah.”

Kata-katanya ibunya segera disambut dengan gelak yang panjang sehinggalah wajah masam Miera muncul di depan mereka berdua.

“Miera tahu, ibu dengan kakak gelakkan Miera, kan? Kalau macam ni, Miera nak report pada ayah.”

“Tak malu, dah besar panjang pun perangai macam budak-budak,”giat Nadine. Dia memang suka melihat muka masam Miera.

“Miera tak kisah pun!”gertak Miera dengan muka selambanya.

“Pukul berapa kita nak bertolak?”

“Insya-Allah, pukul 10.00 pagi.”

“Awalnya,”ujar Nadine, sedikit terkejut.

“Majlis tu kat Rawang. Ibu pun nak tolong apa yang patut.”

“Lagipun, kawan ibu tu nak sangat jumpa dengan Nadine,”sambung ibunya lagi. Cukup untuk membuat Nadine menyorot ibunya.

“Nadine kenal ke?”

“Nadine pernah jumpa sekali. Tapi ibu rasa mesti Nadine sudah lupa. Waktu tu umur Nadine baru 13 tahun.”

“Kalau macam tu, memang Nadine dah lupa.”

“Pelik sangat kawan ibu tu. Kenapa beriya-iya nak jumpa kakak pula? Entah-entah nak jodohkan kakak dengan anak teruna dia tak?”

Hampir terbuntang mata Nadine mendengar telahan maha dahsyat Miera yang nakal itu.

“Mulut tu control sikit boleh, tak?”pinta Nadine.

“Kakak baru berjaya lepaskan diri daripada Nashrin. Miera jangan nak kenen-kenenkan kakak dengan sesiapa lagi. Kakak tak ada hati pun nak bercinta,”sambung Nadine dengan muka serius.

Miera sudah ketawa besar. Lucu benar melihat riak muka kakaknya yang tercinta itu sekarang.

Hanya Makcik Nazimah yang diam seribu bahasa. Masih lagi teragak-agak untuk memberitahu perkara sebenar pada Nadine.

“Nadine, ibu nak cakap sesuatu ni. Ini permintaan ibu. Ibu harap, Nadine pertimbangkan ya,”ujar Makcik Nazimah kemudian setelah tawa Miera mulai reda.

“Ibu tak pernah minta yang bukan-bukan daripada Nadine. Cuma kali ini saja.”
Nadine sudah tidak sedap hati.

“Permintaan apa tu, ibu?”soal Nadine dengan debaran yang tidak menentu. Janganlah apa yang berlegar di mindanya menjadi kenyataan.

“Ini,”balas makcik Nazimah sambil mengunjukkan sekeping gambar pada Nadine.

“Gambar siapa ni”tanya Nadine. Namun dia tetap mengambil gambar yang diunjukkan oleh ibunya. Tidak berkelip dia mengamati gambar tersebut. Cuba mengingati kalau-kalau dia pernah bertembung di mana-mana.

“Ini anak kawan ibu. Pilot dan bekerja di Dubai. Seminggu ini dia ada di kampung. Bila ibu tunjuk gambar Nadine, terus dia berkenan. Jadi esok, ibu nak Nadine berkenalan dengan Khairul Hussin.”

Khairul Hussin?

Ayoyo! Apa ibu buat ni? Nadine tak bersedia langsung nak berkenalan dengan mana-mana lelaki. Percayalah, jantung Nadine sudah seperti berhenti berdegup.

“Handsome! Lagi handsome daripada ex-boyfriend kakak. Kulit lagi cerah. Hidung pun lagi mancung daripada ‘orang tu’. Mesti perangai pun lebih baik. Betul tak ibu?”

Mulut riuh Miera terus berbunyi. Bukan main panjang lebar lagi puji-pujian Nadine. Macam melobi si Khairul Hussin pun ada.

Makcik Nazimah sudah menyiku anak bongsunya. Nadine yang berwajah sugul sedikit menggugah perasaannya saat ini.

“Kakak! Jangan buat muka sedih pasal ‘orang tu’ boleh tak? Miera tak suka la kakak asyik ingat kat ‘orang tu’ lagi. Miera berani jamin, ‘orang tu’ mesti menyesal sangat-sangat sebab tinggalkan kakak. Percayalah!”

Nadine sekadar mengeluh berat. Betul ke Amirul akan menyesal?

Makcik Nazimah sudah meraih jari tangan Nadine. Memberi sejuta kekuatan.

“Ibu yakin, Nadine boleh lupakan Amirul. Anak perempuan ibu semuanya tabah-tabah belaka.”

Tidak semena-mena Nadine merangkul tubuh ibunya dengan erat. Lama dia berkelakuan begitu sehingga dia dikejutkan bila Miera turut merangkulnya.

“Sibuklah Miera ni. Kakak nak manja-manja dengan ibu sekejap pun tak boleh.”

“Mestilah tak boleh. Miera cemburu.”

“Banyaklah!”tingkah Nadine sambil mencubit lengan Miera yang penuh muslihat itu.

“Kakak ni kalau cubit, macam nak tanggal kulit Miera ni. Esok kalau kakak jumpa Khairul Hussin tu, jangan cubit dia pula. Dijamin dia pun akan angkat kaki.”

“Kakak lagi suka.”

“Nadine,”bantah Makcik Nazimah.

“Ibu nak Nadine layan Khairul Hussin tu baik-baik. Ibu mohon dengan sangat, jangan hampakan perasaan ibu. Ibu suka dengan Khairul Hussin tu. Hormat orang tua dan pandai ambil hati.

Hurm! Pandai si Khairul Hussin ini jual minyak. Sampaikan ibunya pun sudah tertewas.

“Macam mana kakak? Kakak nak terima tak si Khairul Hussin ni?”tanya Miera setelah kelibat Makcik Nazimah hilang di sebalik pintu utama.

“Miera rasa?”

“Miera rasa kakak akan reject dia awal-awal biarpun dia lagi handsome, hidung lebih mancung dan kulit lebih cerah daripada ‘orang tu’.”

“Miera nak kakak tahu, Miera pun benci sangat dengan ‘orang tu’. Miera takkan maafkan dia sampai bila-bila. Jadi Miera harap, bila dia melutut depan kakak satu hari nanti, kakak jangan terima dia. Kalau kakak terima dia semula, Miera yang akan pergi dari hidup kakak. Miera serius ni!”

“Baiklah Miera. Kakak takkan terima dia semula.”

“Bagus. Macam inilah baru kakak Miera yang tabah. Tapi, kakak tolong pertimbangkan Khairul Hussin tu ya. Please.. Miera dah janji dengan ibu nak pujuk kakak terima Khairul Hussin tu.”

Macam ini pun boleh? Sejak bila ibunya pandai bersekongkol? Dahsyat betul.

“Oo.. Jadi Miera subahat dengan ibu lah ni?”

“Bukan subahat, tapi kami semua buat ni untuk kebaikan kakak juga. Lagipun tak ada cacat celanya si Khairul Hussin tu. Miera pun dah jumpa dia. Dia baik sangat. Tapi tak tahulah siapa lebih baik antara Nashrin dengan Khairul Hussin. Miera tak sempat berkenalan dengan Nashrin. Sepatutnya kakak bawa Nashrin jumpa Miera. Barulah Miera boleh beri markah.”

“Jangan ceritalah pasal Nashrin tu lagi. Kakak rasa geram. Pandai-pandai saja dia bawa ibu dia ke rumah kita. By the way, betul ke Miera dah jumpa Khairul Hussin ni?”

“Miera jumpa dia minggu lepas. Masa tu Khairul Hussin hantar ibu dia jumpa ibu kita. Daripada sepuluh markah, Miera beri 7 markah.” 

Amboi.. Pandai-pandai saja si Miera ini beri markah. Entah betul entahkan tidak.

“Tolong ya, kakak? Please.. Kalau kakak setuju, Miera takkan cerita pasal Nashrin lagi,”rayu Miera tanpa jemu.

“Tengoklah nanti macam mana,”jawab Nadine acuh tak acuh.

“Kakak ni, bukan selalu Miera merayu macam ni. Pertimbangkan ya? Kakak tak kasihan dengan ibu? Ibu gembira sangat bila Khairul Hussin tu kata dia suka kakak. Miera tak pernah nampak ibu sebahagia macam tu. Tolong ya kakak..”

“Baiklah. Kakak akan layan Khairul Hussin tu macam putera raja.”

“Terima kasih kakak! Miera nak report pada ibu dulu!”

Nadine Qhaisara menggelengkan kepalanya berulang kali. Macam mana dia nak tolak rancangan mulia ibunya itu dengan cara paling sopan dan penuh santun? Sila berikan tunjuk ajar pada Nadine Qhaisara.


Nota : Versi Cetak sudah ada dipasaran.



*** 
For latest teaser ‘n’ updates, please click the below link. TQ  :))

https://www.facebook.com/groups/584073261660707/

4 comments:

  1. Wah....promote baiknya dr mak n nadine...kecewa lah abam abu, nadine nk trima si KH yg konon2 nya hensem n baik tu....apa lah nadine tu, abam abu ckp mcm tu pun dh nk keluarkn penumbuk....anyway, tq PK for late supper...hihihi - jumay jue

    ReplyDelete
  2. baguih si miera nie kan... nak yg terbaik utk kakak dia... betui gak kata si miera tu, kalo si nadine bg miera jmp nashrin leh la dia kasi markah.. heheh

    ReplyDelete
  3. Entah mengapa hatiku tak percaya jodoh nadine yang manis dengan khairul hussin itu....oooo
    Sila baca komen akak dengan nyanyian...

    ReplyDelete