Tuesday 7 January 2014

#Bab03 - Doa Cinta Seorang Lelaki


Otak Nadine masih belum berfungsi dengan baik. Terus-terang, otaknya masih berfikir tentang Amirul. Dan sekarang, suara Miera yang nyaring menambah sakit kepalanya. Tapi Nadine pun tak boleh salahkan Miera. Miera memang jenis banyak cakap. Dari dulu lagi. Cuma hari ini saja Nadine harap sangat Miera boleh senyap sekejap.

“Siapa yang baru pindah sebelah rumah kita tu?”tanya Miera tiba-tiba. Tapi sebenarnya Miera lebih bersemangat melihat si Orlando, kucing kesayangan mereka sedang melenggang keluar dari pagar rumah. Bukan main lagi si Orlando itu menjadi pemerhati. Sesekali Orlando menjilat bulunya yang berkilat.

Soalan Miera tidak berjawab. Nampaknya Nadine juga terkejut melihat jiran baru mereka.

“Entah. Kakak pun tak tahu. Ibu tak cakap apa-apa pun ada orang nak pindah masuk kat sebelah rumah tu.”

“Miera harap lelaki-lelaki kacak lagi tampan lagi ‘hensem’ yang pindah sebelah rumah kita. Barulah Miera rajin exercise depan rumah.”
Nadine sempat jeling Miera.

“Cuba Miera tengok betul-betul. ‘Hensem’ kan mereka tu,”usik Nadine.

Imaginasi Miera terus lenyap bila sorotannya singgah pada perempuan separuh umur dan juga seorang perempuan muda bertudung labuh.

“Alah.. Kenapa bukan lelaki-lelaki ‘hensem’,”rungut Miera. Nampaknya Miera sangat kecewa.

Nadine ketawa kecil mendengar rungutan Miera.

“Tengok tu, kucing kita lebih dulu sambut mereka,”seloroh Miera bila matanya turut menangkap kelibat si Orlando sudah berada di tepi kaki jiran baru mereka.

“Macam jadi wakil kita pula,”lanjut Miera lalu tersengih-sengih.

Sebaik saja kereta yang mereka naiki berhenti di depan pagar, terus saja Miera keluar untuk menyapa jiran baru mereka. Mengalahkan ibu mereka sendiri.

Nadine macam biasa memilih menjadi pemerhati pada sesi suai kenal dengan jiran baru mereka. Lama dia berdiri tanpa sebarang kata. Nadine lebih senang dengan sikap tunggu dan lihatnya.

“Ini anak saya yang sulung, Nadine Qhaisara.”

Ibu sudah pun mengenalkan dirinya pada jiran baru mereka yang bernama Mak Jah itu. Anak gadisnya diberi nama Fatimah Azzahra.

“Yang sebelah saya ni pula Miera Qhaisara, anak bongsu saya. Dan yang berwarna kelabu tu kucing kami. Namanya Orlando,”tambah Makcik Nazimah lagi.

Mak Jah ketawa mengekek. Kemudian terus dia bercerita bagaimana si Orlando menyambut ketibaan mereka setengah jam yang lalu.

“Dah lama rumah sebelah ni kosong. Sebab tu agaknya Lando suka sangat,”ulas Miera sebelum mendukung Orlando.
“Comel. Dulu Fatim pun ada pelihara kucing masa kat Kaherah. Tapi mati sebab kena langgar. Lepas tu Fatim tak pernah pelihara kucing dah,”cerita Fatimah Azzahra pula.

“Kami sekeluarga menetap di Mesir hampir lima tahun. Sepatutnya selepas Abu habis belajar, kami balik Malaysia. Tapi dia diterima bekerja kat universiti Al-Azhar. Itu yang sampai lima tahun.”

Giliran Mak Jah pula bercerita.

Abu? Alahai, kolotnya!

Nadine! Kenapa kurang ajar sangat ni?

Nadine Qhaisara menyembunyikan senyumnya. Namun senyumannya hanya bertahan lima saat. Jelingan tajam Fatimah Azzahra membuat dia terpegun seketika.

“Abang Abu tak balik sekali ke?”tanya Makcik Nazimah meski dia sendiri tidak tahu siapa Abu.

Mak Jah ketawa kecil.

“Sebenarnya Abu tu anak saya. Suami saya sudah lama meninggal. Sebelum kami bertolak ke Mesir lagi.”

“Saya minta maaf kak Jah. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya ingat Abu tu suami Kak Jah tadi.”

“Perkara kecil saja tu. Pasal Abu tadi, kalau tak aral, lusa dia sampailah sini. Tapi minggu depan dia kena terbang balik semula ke Kaherah.”

“La.. Kenapa jadi macam tu?”

“Dia balik ni pun sebab nak ke Putrajaya. Lepas siap urusan di Putrajaya, dia kena settle pula urusan penjualan rumah kami kat Kaherah. Kakak ni sebagai mak nak tolong dia pun tak dapat. Banyak sangat paper work dengan appointment. Lagipun kakak tak berapa fasih sangat nak guna bahasa Arab macam Abu dengan Fatim.”

Makcik Nazimah mengangguk tanda mengerti.

“Malam nanti jemputlah ke rumah. Kita kenal-kenal lebih mendalam.”

“Insya-Allah kak Jah. Nanti saya bawa anak-anak saya ni ikut sekali. Boleh juga tolong kemas apa yang patut.

Ibu! Jangan suka buat keputusan sendiri untuk Nadine boleh tak? Nadine tak nak pergi rumah Mak Jah. Nadine tak suka dengan si Fatimah Azzahra ni.

Malam itu selepas Isyak Nadine sudah selamat berada di ruang tamu rumah Mak Jah.  Muka Nadine cemberut habis. Dia datang setelah dipaksa.

“Cuba ibu tengok siapa kat dapur tu,”ujar Miera tiba-tiba. Bibirnya sudah melebar dengan senyuman.

“Masya-Allah, bertuah betul si Lando tu ya!”balas Makcik Nazimah dengan suara yang agak tinggi. Patutlah kelibat Orlando langsung tidak kelihatan. Rupa-rupanya Orlando sudah menjadikan rumah Mak Jah sebagai rumah keduanya.

“Biarlah Mah. Kakak pun suka dengan si Lando tu. Manja sangat dia,”bantah Mak Jah bila Makcik Nazimah menyuruh Miera menghalau Orlando pulang.

“Saya risau dia buat hal saja.”

“Tak adalah. Lando tu kucing cerdik.”

Makcik Nazimah hanya mampu setuju meski masih juga risau dengan perangai si Orlando yang suka mengoyakkan kertas. Kalau mood Orlando tidak elok, memang habis dicakar surat khabar di rumah.

“Makanlah kurma ni, Nadine,”pelawa Mak Jah dengan ramahnya.

“Terima kasih, makcik.”
Selepas itu ibu dan Miera rancak berborak dengan Mak Jah. Meninggalkan Nadine sendirian tanpa teman. Sudahnya dia hanya mampu menjadi pemerhati pada keindahan hiasan dalaman rumah Mak Jah yang sudah ala-ala rumah orang Arab itu.

“Abang Abu yang pilih konsep hiasan dalaman ni.”

Suara yang tiba-tiba menegur itu membuat Nadine lekas berpaling. Fatimah Azzahra sedang menatapnya tajam.

“Unik,”balas Nadine sepatah.

“Dan cantik,”sambung Fatimah Azzahra.

“Ya,”Nadine mengiyakan.

“Abang Abu memang hebat. Kalau awak jumpa abang Abu, mesti awak pun akan kata hebat.”

Awak? Amboi! Mana sopan santun si Fatimah Azzahra ni?

“Panggil saya kakak,”komen Nadine sambil mengulum senyum tipis.

“Awak bukan kakak saya. Kenapa saya nak panggil awak kakak pula? Awak ingat bila saya panggil awak kakak, abang Abu akan suka pada awak?”

Berkerut-kerut dahi Nadine mendengar komen Fatimah Azzahra. Sudahlah puji abang sendiri setinggi langit. Kalau nak puji pun, biarlah berpada-pada. Barulah isu menyampah dan meluat tidak timbul.

“Bila Fatim habis belajar nanti, Fatim nak kahwin dengan abang Abu.”

Hampir terlepas gelas yang sejak tadi dipegang oleh Nadine.

“Saya tahu awak fikir apa. Kami adik beradik jadi tak boleh kahwin, kan?”

Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Sebaliknya Nadine memilih untuk membisu. Hanya matanya saja yang kerap memberi isyarat pada Miera supaya datang dekat padanya.

“Saya cuma anak angkat. Jadi kami berdua boleh berkahwin dan menjadi pasangan suami isteri.”

“Baguslah kalau begitu. Saya doakan awak bahagia dengan abang Abu awak tu.”

Fatimah Azzahra mengetap bibirnya kuat-kuat. Entah mengapa hatinya jadi sakit mendengar setiap patah kata Nadine. Sejak petang tadi lagi dia sudah tidak sehaluan dengan anak sulung Makcik Nazimah ini.

“Abang Abu takkan suka perempuan macam awak. Abang Abu takkan pilih perempuan tak bertudung macam awak.”

Langkah kaki Nadine terhenti. Tekanan darahnya naik tiba-tiba.

Siapa pula yang kata aku nak pikat abang Abu kesayangan dia tu? Tolonglah!

“Saya, tak kenal pun dengan abang Abu awak tu. Lagi satu, macam mana hebat pun abang Abu awak tu, saya pun takkan pilih dia. Kenapa? Sebab saya pun tak suka lelaki paksa-paksa saya pakai tudung. Jadi awak kahwinlah dengan abang Abu awak tu dan hidup bahagia sampai akhir hayat. Sekian, terima kasih.”

Nadine melebarkan senyum. Puas hatinya dapat meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Kakak cakap apa ni?”bantah Miera yang entah sejak bila sudah berada di sisinya.

“Kakak cakap apa yang betul saja.”

“Minta maaf ya, Fatim. Kakak saya bergurau saja tu. Jangan simpan dalam hati. Perangai kakak saya ni memang begini.”

“Saya faham. Saya pun memang sengaja cakap begitu tadi. Saya cuma nak tengok reaksi kakak awak macam mana. Tak sangka pula dia terus meletup. Awak lebih penyabar.”

Amboi! Manisnya bahasa si Fatimah Azzahra ini. Dia ingat dia itu siapa? Mentang-mentanglah tinggal lama di Mesir, terus nak tengok perangai aku macam mana. Boleh jalanlah!

“Kakak ni pun, kawal panas baran baran tu sikit.”

“Fatim itu yang mulakan dulu. Bukan kakak. Lagi satu, dia itu muda daripada kakak. Tapi dia panggil kakak apa, awak!”

“Tadi kan dia sudah beritahu, dia cuma nak tengok reaksi kakak macam mana.”

“Apa hak dia nak tengok reaksi kakak macam mana?”

“Sebab dia nak tengok sama ada kakak sesuai atau tidak dengan abang Abu dia.”

Nadine sudah menepuk dahinya. Kepalanya sudah berpusing 360 darjah. Tambah seorang lagi agen cari jodoh di taman perumahan ini. Nasib baik dia tidak lulus di mata Fatimah Azzahra. Kalau tidak, pasti dia hendak dijodohkan pula dengan si abang Abu.

“Miera tolong beritahu kawan baru Miera tu, kakak pun sejuta kali tak sudi nak berkawan dengan abang Abu dia tu. Tak luak pun!”


Miera hanya mampu menggelengkan kepalanya. Sejak kakaknya putus cinta dengan Amirul, kakaknya yang tercinta itu sudah berubah lapan puluh peratus. Macam mana ya hendak dapatkan Nadine Qhaisara yang dulu? 


Nota : Versi Cetak sudah ada dipasaran.



*** 
For latest teaser ‘n’ updates, please click the below link. TQ  :))

https://www.facebook.com/groups/584073261660707/

5 comments:

  1. Best...nak lagi boleh tak sambil grlak jahat macam pk td...hahahah
    Bila nadine nak jumpa abam abu.
    Panas je hati dengan fatim tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tu bru ckit.. belom dia buat muka lg.. kene sabau tnggu ni :)

      Delete
  2. Wah...nadine mcm ada pesaing je.....best3x citer ni.... -jumay jue

    ReplyDelete