Thursday 26 May 2016

Bab 01 ~ Cik Mar-Gi-Na / Print On Demand


MARGINA anak yatim. Margina cuma ada ibu. Ayahtelah lama pergi berjumpa Tuhan. Ayahpergi ketika Margina belum pandai merangkak. Ayah pergi ketika Margina belum tahu makna kasih sayang seorang ayah.
"Kenapa menangis ni? Anak gadis ayah tak boleh menangis hari ni. Hari ni hari besar Margina. Hari ni anak gadis ayah pegang segulung ijazah," ujar Pak Cik Adenan. Pada bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
Pak Cik Adenan yang sedang memujuk iniayah Margina juga. Pembetulan, sebetulnya ayah tiri Margina. Demi menjaga Margina dan Mak Cik Khalijah, Pak Cik Adenan rela disisihkan keluarga sendiri. Pak Cik Adenan pilih Mak Cik Khalijah yang darahnya bukan darah bangsawan. Sudahlah bukan darah bangsawan, Mak Cik Khalijah janda anak satu pula. Sebab itulah nenda mengamuk besar.
"Biasalah, ayah. Kak Long memang terkenal cengeng. Benda kecil pun boleh buat dia menangis sampai bengkak-bengkak mata. Kalau ayah tak percaya, ayah boleh intip Kak Long bila dia tonton drama korea. Banjir bilik Kak Long tu."
Kenalkan, yang suka memberi bidasan ini pula adik tiri Margina. Nama lengkapnya Benjamin Fahmy. Panggil dia Fahmy.
"Cakap baik-baik sikit ya. Kak Long tak cengeng. Kebetulan hari tu Kak Long menguap sampai berair mata."
"Pandailah Kak Long cipta alasan. Fahmy tak termakan dengan alasan tak cantik Kak Long tu."
Penat kalau bertelagah dengan Fahmy.
"Cik Margina Kassim Baba."
Hilang rasa penat Margina. Kosong fikiran Margina. Lambat-lambat dia berpaling ke arah suara yang memanggil. Seorang remaja lelaki lengkap dengan senyuman yang lebih dahulu menyapa pandangan. Pada tangan remaja lelaki itu ada sejambak bunga.
"Cik Margina Kassim Baba, kan?"
Atas dan bawah Margina menilik remaja lelaki tersebut.
"Ada bunga untuk kak."
Terdapat kesilapan besar di sini. Nama ayah kandung Margina ialah Abdullah. Nama ayah tiri Margina pulaAdenan. Jauh menyimpang dengan nama Kassim Baba.
"Awak ni salah orang. Nama kak, Margina Abdullah. Bukan Margina Kassim Baba."
Tawa Fahmy sempat Margina tangkap. Satu jelingan tajam terus diberikan pada Fahmy.
"Tapi bunga ni untuk Cik Margina Kassim Baba. Cik Margina Kassim Baba tu kak la, kan?"
Margina tunduk melihat kertas kecil yang sedang dibaca oleh remaja penghantar bunga tersebut. Begini ejaan nama Margina yang sempat membuat Margina sesak nafas.
Cik Mar. Gi. Na Kassim Baba
Nampaknya pengirim bunga ini sengaja mengundang rasa geram Margina. Terlalu sengaja melancarkan perang berskala besar-besaran dengan Margina.
"Nama kak memang Margina, tapi Kassim Baba tu bukan ayah kak. Jadi bunga ni bukan untuk kak."
Remaja lelaki yang bekerja sebagai penghantar bunga itu nampak sedikit teragak-agak. Kakinya seperti telah digam. Tidak bergerak langsung selagi Margina tidak menerima jambangan bunga yang dibawanya.
"Bunga ni memang untuk kak. Tak eloklah kalau kak tak terima. Saya ni pegang amanah orang, kak. Dosa saya nanti kalau tak tunaikan amanah orang. Kalau kak tak kisah fasal bunga tu, tak apalah. Tapi kisahlah sikit dekat saya. Saya tak nak kumpul dosa, kak"
Amboi, pandai sungguh penghantar bunga ni memberi hujah tentang dosa. Margina mahu marah, tapi melepaskan geram pada penghantar bunga ini adalah tidak betul.
"Macam nilah, kaktak nak bunga ni. Awak ambillah. Buat perhiasan dekat rumah."
"Tak boleh macam tu, kak. Abang yang kirim bunga ni dah pesan banyak kali supaya kak terima bunga ni. Abang tu siap suruh saya angkat sumpah. Kalau kak tak terima, saya masuk api neraka."
Yang bersalah dalam hal ini adalah si pengirim bunga. Tak sepatutnya dia ugut penghantar bunga ni dengan api neraka.
"Tak apa. Kalau abang yang kirim bunga tu tanya, beritahu dia kak dah terima bunga ni."
"Masya-Allah kak, itu membohong namanya. Tak baik kak ajar saya bercakap bohong."
Penat Margina jadi berganda-ganda. Semakin dia menepis, semakin handal penghantar bunga ni member hujah. Hujahnya pula sempat membuat Margina terkedu.
"Saya bawa amanah ni, kak.Kalau kak tak terima, apa saya nak jawab dekat akhirat nanti? "
Alahai, dia bercakap tentang akhirat pula. Serba-salah Margina dibuatnya.
"Tak dosa sebab kak yang minta awak ambil. Awak bawa balik semula, ya? Kalau awak nak jual semula bunga ni pun kak halalkan."
Lima minit kemudian Margina tekun menilik jambangan bunga tadi. Margina kalah debat dengan penghantar bunga tersebut. Margina dipaksa menerima jambangan bunga tadi.
Kuantitinya ada dua belas kuntum. Warna kuning dengan pakej bau yang tengit. Bau tengit yang boleh mendatangkan pening kepala. Kalaulah pengirim bunga tahi ayam ini ada di depan Margina, mahu juga Margina libas muka pengirim bunga tersebut dengan jambangan bunga ni.
"Tahniah dan tunggu saya. Yang menulis, Har."
Senget mulut Margina membaca ucapan pada kad kecil yang disertakan bersama.Kenal pun tidak, tiba-tiba pengirim bunga tahi ayam ni minta Margina menunggu.
"Siapa yang hantar, Kak Long?"
"Tengoklah sendiri. Kalau Fahmy nak, ambillah bunga tu."
"Har."
Sepatah sebutan yang keluar dari mulut Fahmy.
"Sedap nama pengirim bunga ni, Kak Long. Fahmy suka."
"Kalau Fahmy nak tahu, inilah contoh manusia pengecut. Jumpa Kak Long dia tak berani. Letak nama penuh pun dia tak berani."
"Kak Long ni cepat sangat buat kesimpulan. Mesti ada sebab dia buat macm ni."
"Fahmy nak bela sangat dia ni kenapa?"
"Fahmy cakap saja. Bersangka baik kan memang disarankan dalam agama."
Nampaknya Fahmy pun sudah bijak bercakap tentang saranan agama.
"Apa yang kecoh sangat tu?"
Pak Cik Adenan mula menyampuk. Lelaki separuh abad itu menunjukkan minat yang sangat besar ketika melihat jambangan bunga tahi ayam yang dipegang Margina.
"Kak Long dapat bunga, ayah. Peminat misteri Kak Long yang hantar. Nama peminat misteri Kak Long tu Har."
Kalau bersama dengan Fahmy, jangan pernah bermimpilah dapat menyimpan rahsia. Lihatlah, senyuman Pak Cik Adenan bukan main lebar mendengar cerita Fahmy. Entah-entah Pak Cik Adenan kenal dengan pengirim bunga bernama Har tersebut. Kadang-kadang Pak Cik Adenan pun pandai berteka-teki macam Fahmy.
"Ayah tak tahu pula anak ayah ni ada peminat misteri."
"Ini bukan peminat misteri, ayah. Ini peminat yang otaknya senget sebelah."
Pak Cik Adenan ketawa mendengar jawapan Margina, namun ketawaFahmy lebih kuat, nyaring dan bergema.
Jambangan bunga tahi ayam tadi selamat Margina letakkan di tepi pintu masuk Universiti Putra Malaysia. Biar menjadi perhiasan di situ. Lagipun lebih lama jambangan bunga tahi ayam itu dalam pegangan tangannya, lebih sakit hatinya.
"Kak Long tak rasa apa-apa ke tinggalkan bunga tu dekat sana?"
"Sikit pun tak. Nil. Kosong."
"Fahmy rasa, mesti muka Har tu monyok kalau dia tahu Kak Long buang bunga dia."
Pedulikan. Monyok atau berkerut seribu sekali pun muka si Har itu, Margina sedikit pun tidak kisah.
"Siapa Har yang Fahmy sebut-sebut ni?"
Nampaknya Mak Cik Khalijah yang sejak tadi berbual dengan kenalan lamanya mula campur tangan.
"Har tu secret admirer Kak Long."
"Lelaki?"
"Tak penting Har tu lelaki atau perempuan, ibu. Margina tak kenal dan tak nak kenal dia."
Mak Cik Khalijah memilih mencuit lengan Fahmy. Kalau Margina berdalih memberi jawapan, Fahmy pasti sebaliknya.
"Har tu lelaki, ibu. Dia nak pikat Kak Long. Kak Long ni jual mahal sangat."
"Syukurlah kalau Har tu nak pikat Kak Long kamu. Sekurang-kurangnya ada juga lelaki lain yang suka Kak Long kamu selain Fattah."
Pening kepala Margina bila ibunya yang tersayang mula berbahas tentang lelaki dalam hidup Margina. Setakat ini Margina cuma ada Fattah. Meskipun hubungannya dengan Fattah atas dasar kawan, ibu selalu saja runsing kalau-kalau Margina pilih Fattah sebagai teman hidup.
"Tak jalan juga, ibu. Kak Long mana pandang lelaki lain. Kak Long pandang Fattah saja."
Mulut Fahmy seperti tempayan yang tidak ditutup. Lancar bercerita mengalahkan perempuan.
"Kak Long, lupakanlah Fattah tu. Fattah tak sesuai dengan Kak Long. Kak Long dengan Fattah macam langit dengan bumi."
Tanpa sedar jari tangan Margina singgah pada lengan Fahmy. Satu cubitan ketam dihadiahkan pada Fahmy yang banyak cakap. Terjerit-jerit Fahmy di tengah arus orang ramai di pintu masuk UPM tersebut.
"Fattah tu tua lapan tahun daripada Fahmy. Hormatlah dia sikit. Panggil dia abang Fattah."
"Fahmy tak boleh klik dengan Fattah Kak Long tu. Kalau dia nak Fahmy hormat dia, dia pun mesti hormat Fahmy juga. Selagi dia tak faham maksud hormat yang sebenarnya, jangan harap Fahmy nak hormat dia."
"Ibu pun tak suka dengan Fattah."
Margina tak faham apa masalah Fahmy dengan ibu.Apa-apa perkara yang melibatkan Fattah, pasti Fahmy dengan ibu tarik muka. Lebih tepat lagi, Fahmy dengan ibu aggap Fattah macam virus yang mesti dielakkan.
"Fattah kawan Margina. Kalau Fahmy dengan ibu tak suka Fattah pun, Margina tetap suka Fattah."
"Kak Long tak kenal lagi Fattah tu macam mana."
Agak beremosi suara Fahmy. Turun naik nafasnya menahan gelora rasa tidak puas hati.
"Sudahlah tu, jangan bertekak lagi. Hari ni hari bahagia kak long kamu, Fahmy. Kenapa nak buka cerita fasal orang lain? Rosak mood Kak Long kamu nak berkonvo kalau macam ni."
Terima kasih Pak Cik Adenan sebab memahami isi hati Margina.
"Lupakan tentang Fattah, lupakan tentang bunga tahi ayam. Sekarang ayah nak kita semua senyum."
Sekali lagi terima kasih sebab sokong Margina. Sekali-sekala Fahmy perlu diajar supaya tak besar kepala.
"Okey, Fahmy benarkan Kak Long berkawan dengan Fattah. Fahmy tunggu sampai Kak Long kenal hati budi Fattah yang sebenar," luah Fahmy, mengalah juga akhirnya. Pun begitu dia telah berdiri rapat di sebelah Kak Long Marginanya.
"Kak Long takkan lama jadi kawan Fattah."
Margina mengerutkan dahi.
"Trust me, Kak Long."
Margina lebih percayakan hatinya. Kata Fahmy dicampak ke belakang dulu.
"Sebab Fattah tu tak bagus untuk Kak Long," sambungFahmy. Kali ini dia sengaja berbisik.Cukup untuk didengar oleh Margina saja. Cukup untuk mengacau otak Margina. Sudahnya sepanjang malam itu dia berfikir tentang Fattah yang tak bagus untuk seorang Margina.

- Ber.Sam.Bung -


2 comments: