Thursday 27 November 2014

#Bab03 - Buat Aku Tersenyum

Nurul Ain terhendap-hendap di sebalik pokok bunga yang merimbun. Berharap sangat tidak ada pengawas sekolah yang melihatnya kelibatnya ketika ini. Cikgu pun jangan muncul di depan Ain.

"Safe," luah Ain dengan senyuman. Bangga sangat ketika berjaya memasuki kawasan sekolah tanpa dapat dikesan.

“I won the bet. Datang lambat dan tak ditangkap,” luah Ain lagi. Makin lebar saja senyuman Ain. Sepasang mata beningnya pun bukan main berseri-seri.

"Lambat lagi?"

Mendadak saja langkah Ain terhenti. Segala rasa bangganya tadi ikut bertempiaran lari. Wajahnya jadi masam.

"Semalam lambat. Kelmarin lambat. Dua hari sebelum ni pun lambat. Apa nak jadi dengan kamu ni, Ain?"

Aduh… Nampaknya anak murid kesayangan semua cikgu sudah mengeluarkan ayat bebelan. Kenal sangat Ain dengan suara yang berbaur tegas milik si anak emas itu. Dan misi Ain juga telah gagal. Hari ini dia ditangkap basah lagi.

"Kenapa diam?”

Ain berpaling. Jelas terlihat Benjamin Fahmy sedang tekun menulis namanya di dalam buku nota. Buku nota yang menempatkan senarai nama pelajar bermasalah pastinya.

"Suka hati sayalah saya nak lambat sekali pun. Awak peduli apa."

"Saya mesti peduli Ain. Selagi awak pelajar sekolah ni, saya mesti ambil tahu. Lebih-lebih lagi bila awak selalu lambat begini."

Ain mengetap bibirnya kuat-kuat. Mahu saja Ain cakar wajah Melayu bercampur Belgium si Benjamin Fahmy. Biar si anak emas cikgu itu tidak berani lagi menangkapnya.

"Ain, kalau awak lambat lagi esok, saya nak beritahu kakak awak tentang hal ni. Mungkin Yana boleh luruskan fikiran awak tu. "

Ain sudah mengepal-ngepal tangannya. Bertambah geram bila isu dia datang lambat mahu dipanjangkan pada pengetahuan kakaknya. Mana boleh macam ni. Kak Long Yana garangnya memang sangat dahsyat. Garang cikgu disiplin pun kalah.

"Awak jangan nak cari fasal dengan saya. Kalau awak berani beritahu kak long, siap! Hidup awak takkan..."

Ayat Ain mati. Benjamin Fahmy yang telah berdiri betul-betul di depan matanya membuat dia gugup. Baru sedar diri betapa tingginya si Benjamin Fahmy ini. Ain pun terpaksa mendongak.

"Takkan apa, Ain?"

Ain mengecilkan sepasang matanya. Makin gugup saja bila didesak begini. Suara Benjamin Fahmy yang berubah serius itu sebenarnya melemaskan Ain.

"Takkan aman? Awak yakin ke? Silap-silap..." ujar Benjamin Fahmy. Terlalu sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Sekarang dia sedang menyorot setiap inci wajah Ain. Nampaknya sebiji jerawat pun tidak ada. Yang ada cuma sebiji tahi lalat kecil. Letaknya betul-betul di tengah dagu Ain.

"Hidup awak yang takkan aman," lanjut Benjamin Fahmy. Paling aneh bila ada segaris senyuman pada bibir lelaki itu. Sumpah, ini kali pertama Ain lihat si anak emas sekolah ini tersenyum. Dan patutlah dia jarang tersenyum. Senyumannya sangat mahal. Hati pun boleh cair macam lilin.

Hati kamu cair ke Ain?

Huh! Itu hati perempuan lain. Hati Ain hati istimewa. Hati Ain diperbuat daripada besi keluli. Takkan cair dengan mudah.

Betul ke ni?

Betullah!

"Esok datang awal sikit ya. Buku saya ni dah penuh dengan nama awak. Kalau lambat lagi, bukan saja kakak awak tahu, cikgu pun tahu. Nanti tak fasal sekolah ni ada tukang sapu tak bergaji setiap kali habis waktu sekolah."

Benjamin Fahmy telah melangkah pergi. Meninggalkan Ain dengan sejuta rasa. Semuanya bergulir lalu menjadi satu.

"Awak ingat saya takut? Boleh jalanlah!" jerit Ain sambil menendang angin. Konon-konon seperti sedang menendang si anak emas itulah. Mana tahu kasut sekolahnya yang sedikit longgar tercabut dari kaki. Paling mengejutkan bila kasut bertuah itu melayang-layang lalu mendarat tepat di kepala Benjamin Fahmy.

"Eh?" luah Ain sepatah dengan mulut separa terbuka luas. Sumpah, Ain tak ada niat pun nak tepek kepala Benjamin Fahmy dengan kasut sekolah. Percayalah cakap Ain kali ni. Ain tak sengaja. 

"Ain..."

Sepi. Ain langsung tidak berkutik. Kemudian Ain sudah berpaling sembari terus angkat kaki. Pecutan lipas kudung juga kalah.

"Nurul Ain Ariffin!"

Mendadak saja Ain menegakkan tubuh. Pandangannya ditebarkan. Tiada lagi zaman baju putih biru. Yang ada cuma wajah garang Kak Long Yana.

“Ain tidur ke?”

Soalan Ain hanya membuat wajah Kak Long Yana tambah merah saja. Dan seperti tadi, suara Kak Long Yana bergema lagi. Pun begitu Ain masih lagi mamai. Masih terkebil-kebil.

Ain sentuh dahi sendiri. Tadi tu, mimpi saja rupanya. Nasib baik sungguh. Rasanya, Ain tak rela hendak mengulang semula kisah kasut Ain melekat di kepala Benjamin Fahmy. Ain ingat sangat, seminggu dia menjadi tukang sapu tidak berbayar di sekolah.

Benjamin Fahmy.

Kenapalah dia boleh datang dalam mimpi Ain? Ain memang dah buang jauh-jauh bayangan anak emas sekolah tu. Cerita zaman baju putih biru memang Ain tak suka ungkit. Sebabnya mood Ain yang berbunga-bunga pun boleh bertukar jadi mood hitam legam.

“Petang nanti ikut kakak. Pergi daftar dan ambil lesen kereta. Malulah sikit, Ain. Ain tu dah besar panjang. Sampai bila Ain nak ikutkan sangat rasa fobia tu? Kalau Allah kata umur kita setakat ni, tak payah drive pun boleh mati. Sekarang pun Ain boleh mati kalau dah sampai janji Allah.”

Aduhai.. Lancar sungguh mulut Kak Long Yana sebut fasal mati.

“Tunggulah dulu, kak long. Ain ni kereta pun tak ada lagi. Tiba-tiba nak ambil lesen kereta. Macam pelik saja.”

“Ain tu lebih daripada mampu nak beli kereta. Ain saja yang bertangguh,” bebel Kak Long Yana lagi.

“Lesen kereta tu apa auntie?” sapa si comel Leya. Hujung baju Ain ditarik-tarik oleh tangan kecil itu.

“Bila auntie Ain ada lesen kereta, baru auntie Ain boleh bawa Leya jalan-jalan.”

Ain mengerling Kak Long Yana. Pandailah Kak Long Yana guna Leya untuk paksa Ain.

Auntie, cepatlah ambil lesen kereta. Kita nak jalan-jalan dengan auntie.”

Haa… Baru cakap tadi. Lihatlah, Leya sedang merengek pula sekarang. Dan seperti selalu, Kak Long Yana mengulum senyum kemenangan.

“Ambil lesen kereta saja, Ain. Bukan pergi kahwin. Nak takut apa?”

Haa… Isu kahwin pula yang timbul. Kalau begini, lebih baik Ain angkat kaki sebelum isu jadi meleret.

“Leya, kita jalan-jalan naik teksi dulu. Nak ikut auntie tak?”

“Nak!” jerit Leya sambil bersorak. Leya itu, memang paling suka kalau dibawa berjalan.




TIDAK sampai dua puluh minit, mereka berdua sudah ada dalam perut teksi. Malangnya jalan sesak pula. Teksi yang dinaiki pun bergerak perlahan. Kalaulah ada kura-kura yang bergerak di sebelah teksi ini, pastilah kura-kura yang menang.

Auntie, lama lagi ke? Kita penatlah duduk dalam teksi ni.”

“Sabar ya. Sekejap lagi kita sampai.”

“Sekejap lagi sekejap lagi. Asyik-asyik sekejap lagi,” rungut Leya. Tangannya disilangkan dengan muncung panjang sedepa.

Alahai… Marah pula tuan puteri kecil ni.

Auntie, yang pakai baju biru tu kerja apa?”

Nampaknya marah tuan puteri kecil itu tidak lama. Lihatlah tu, sepasang mata galaknya sedang ditebar keluar dari perut teksi.

“Kalau pakai seragam biru pekat macam tu, dia kerja dekat JPJ,” beritahu Ain. Macamlah Leya faham maksud JPJ.

“JPJ tu apa auntie?”

Nampaknya soalan susulan Leya sudah muncul.

“JPJ tu kerja dia mengawas keselamatan lalu lintas.”

“Bukan polis trafik ke auntie yang jaga lalu lintas?”

Kening Ain naik sebelah. Petahnya Leya kadang-kadang boleh buat Ain mati kutu.

“Memang polis trafik. Tapi kadang-kadang JPJ pun buat pemeriksaan juga dekat kenderaan dan pemandu. Kalau pemandu tak ada lesen tapi bawa kenderaan, itu salah. Jadi JPJ boleh saman.”

“Ooo… Macam auntie, kan? Auntie tak ada lesen.”

Sempat juga telinga Ain berdesing. Kalau ikutkan rasa hati, mahu saja pipi Leya ditarik. Biar Leya menjerit sampai tak ada suara pun tidak apa.

Uncle yang pakai baju biru tu pandang kitalah.”

Ain ikut memandang arah yang ditunjuk oleh jari kecil Leya. Seorang pegawai JPJ lengkap dengan cermin mata hitam sedang bekerja keras di bawah teriknya matahari.

“Taklah. Dia tak pandang kita.”

“Tu, dia angkat tangan,” tegas Leya.

Terkebil-kebil mata Ain. Memang pegawai JPJ itu sedang mengangkat tangan.

“Dia bukan angkat tangan pada kita.”

Auntie, uncle tu buka cermin mata dia la,” cerita Leya pula.

Ain pandang lagi pegawai JPJ itu. Kali ini bibirnya kelu untuk membantah ayat Leya. Sebabnya dia sedang dalam keadaan pegun.

“Hai uncle!” jerit Leya setelah menurunkan cermin kereta. Tindakan spontan yang hampir membuat jantung Ain melompat-lompat.

Oh Tuhan… Cepat-cepat Ain tutup mulut Leya. Kemudian tubuh kecil Leya dibawa ke sebelah kirinya pula. Tidak cukup dengan itu, cermin tingkap pun segera Ain naikkan.

“Jangan buat macam tu lagi! Kita tak kenal orang tu siapa,” marah Ain. Mata beningnya sengaja dijengilkan.

Betul ke tak kenal?

Wahai hati, jangan macam ni. Lupakan tentang Benjamin Fahmy. Jangan cari fasal dengan Benjamin Fahmy lagi. Kalau terjumpa pun, tolong buat-buat tidak kenal. Begitu lebih selamat.

Belum habis rasa terkejut Ain, dia dikejutkan pula bila teksi yang dinaikinya mula tersengguk-sengguk lalu berhenti di tengah jalan. Bulat mata Ain.

"Kenapa pula ni, pak cik?"

"Entahlah. Tiba-tiba saja enjin mati."

Enjin mati? Ain hanya mampu menghela nafas panjang. Ketika Ain berpaling ke sisinya semula, rasa terkejut Ain jadi dua kali ganda. Benjamin Fahmy sedang melangkah gagah ke arah teksi yang dinaiki Ain.

"Kenapa ni?"

Suara garau itu mula menghiasi halwa telinga Ain. Cuma Ain saja yang pekakkan telinga.

"Tak tahulah enjin. Saya pun baru nak periksa."

"Bawa ke tepi dulu teksi ni. Sekarang waktu puncak. Nanti jalan bertambah sesak kalau teksi pak cik berhenti dekat tengah-tengah jalan."

Sekarang Benjamin Fahmy menyorot Ain. Menyorot dengan sorotan lembut.

"Ain, you naik dengan I. I hantar you."

Melopong juga Ain mendengar hujah berani mati Benjamin Fahmy.

"You tengah kerja, kan? Patutlah ramai orang kata staff government..."

"Excuse me, Ain. I dah habis kerja. Look carefully before you jump to stupid conclusion," potong Benjamin Fahmy, lengkap dengan wajah seriusnya.

Ain menelan liurnya satu persatu.

"Kalau semua rakyat pun fikir macam you, susahlah kami yang kerja kerajaan ni."

Ayat tambahan Benjamin Fahmy hanya buat Ain tambah bersalah saja.

"I hantar you."

Ayat ke-empat Benjamin Fahmy pula menyusul.

"I boleh naik teksi."

"Teksi tak ada."

"Mana you tahu tak ada?" bidas Ain. Suka sangat Benjamin Fahmy ni pangkah Ain.

"Naluri lelaki I selalu betul, Ain. Kereta I depan sana tu. Jangan salah naik kereta pula."

Ain hela nafas panjang. Benjamin Fahmy ni, perangai dia memang tak pernah berubah. Suka sangat beri arahan ala-ala mandatori begini. Dia lupa agaknya yang Ain ni bukan siapa-siapa dengan dia. Cuma bekas rakan sekolah. Itu saja. 

"I tak nak naik kereta you. I boleh balik sendiri."

Tidak jadi Benjamin Fahmy melangkah. Sebaliknya wajahnya ditundukkan supaya separas dengan wajah Ain. Menyorot Ain tanpa berkelip.

"What did you say?"

"Haish!" keluh Ain lantas membuka pintu teksi tersebut. Kalah pada desakan dan sorotan bekas ketua pengawas sewaktu zaman sekolah menengahnya dulu. Baru saja Ain mahu bayar tambang teksi, Benjamin Fahmy lebih dulu telah mengeluarkan not dua puluh ringgit.

"I boleh bayar sendiri."

Sekali lagi Ain menerima sorotan paling tajam Benjamin Fahmy. Kalau selalu diberi sorotan begini, lama-lama Ain pun boleh jadi lemah.

"I tak nak terhutang budi dengan you," beritahu Ain sembari melarikan pandangan. Kalah lagi pada sorotan tajam itu.

"I nak you terhutang budi dengan I. That's it. Tunggu I dekat kereta JPJ yang depan sekali tu. Bawa Leya sekali. Sekejap lagi I datang."

Ain melopong ditempat kejadian. Sudahlah panas terik, Benjamin Fahmy pula menambahkan lagi terik hati Ain.

"Tadi auntie kata auntie tak kenal uncle baju biru tu. Tapi auntie cakap dengan uncle tu. Lepas tu uncle tu pun tahu nama Leya. Uncle tu siapa, auntie?"

Leya yang sejak tadi membisu mula mengeluarkan aura Detektif Conan.

"Dia tu bukan siapa-siapa. Leya tak payah ingat fasal dia."

"Auntie ni, sekejap cakap tak kenal. Lepas tu Leya tengok auntie bercakap dengan uncle tu. Nanti balik rumah, Leya nak tanya ibu."

"Leya tak payah ingat fasal dia. Dia tak penting pun."

"Leya, jangan dengar cakap 'ah so' Ain ni. Uncle kawan ibu Leya. Hari tu uncle pernah jumpa Leya, kan? Masa hari jadi Leya."

"Haaaa... Leya dah ingat. Uncle yang belikan Leya teddy bear besar tu, kan?"

Lekas-lekas Benjamin Fahmy mengangguk. 

"You jangan nak ajar anak saudara I, panggil I 'ah so'. I bukan 'ah so'!" tempelak Ain dengan suara yang sengaja diperlahankan. Itupun setelah Leya selamat berada di dalam perut kereta.

"Deal. Tapi dengan syarat, you jangan beritahu Leya lagi yang I ni tak penting."

"You memang tak penting."

"Sekarang you tak nampak 'penting' tu lagi, Ain. Tapi lambat laun you akan nampak juga 'penting' tu nanti.  Trust me, AinYou will need me. Itu pasti.

Pasti? Dan selepas tu percayakan Benjamin Fahmy? Baiklah, Ain hendak pengsan dulu.

"Ain."

"Apa lagi?"

"You nampak cantik hari ni."



*** PK stop dekat bab03 ya. Tunggu versi cetak dengan penuh rasa cinta di hati. Paling penting, mesti selalu tersenyum ~



LIMITED EDITION. STOK SANGAT TERHAD. HANYA ADA 1500 COPIES. 


6 comments: