Friday 14 November 2014

#Bab01 - Buat Aku Tersenyum


Ciri-ciri lelaki idaman Nurul Ain adalah seperti di bawah;

1. Kacak. Sekurang-kurangnya macam penyanyi Afghan dari Indonesia itu pun boleh. Tapi kalau dapat suami yang kacak macam Orlando Bloom pun satu rahmat yang tidak terhingga.

2. Kaya. Ini wajib, sebab selepas kahwin Ain nak berbelanja sepuasnya di luar negara.

3. Rumah dua tingkat. Kalau dapat rumah agam lagi bagus! Dan wajib ada orang gaji. Patah pula pinggang Ain nanti nak kemas rumah seorang diri.

4. Bekerjaya. Kalau boleh jangan pegawai kerajaan. Gaji tak banyak macam pekerja swasta. Nanti susah Ain nak pergi berbelanja di luar negara kalau gaji sikit.

5. Tubuh mesti tegap. Ini pun wajib. Kalau lembik saja macam mana nak jadi hero Ain, kan?

6. Umur kalau boleh tua dua tahun daripada Ain. Tidak boleh lebih atau kurang. Muktamad!

7. Mesti setia. Memanglah Islam tak melarang lelaki kahwin lebih daripada satu, tetapi Ain tak suka lelaki yang kahwin lebih daripada satu. Sangat tidak suka! Mati hidup semula pun Ain takkan suka.


Amboi.. Bukan main lagi si Ain ini ya. Agaknya dia lupa nak cermin diri sendiri dulu. Sebab itu dia berani menulis ciri-ciri suami pilihan begini. Sampai ketualah kamu hidup membujang wahai Ain!


Ain tersengih-sengih melihat nota lama tentang ciri-ciri suami pilihannya. Ditulis betul-betul di muka surat terakhir dalam buku rujukan Fiziknya semasa di sekolah menengah.


Berjela juga ayat Ain. Permintaan seorang puteri raja pun mungkin tak sehebat permintaan seorang Nurul Ain. Aduh... Hendak tergelak pun ada memikirkan zaman remajanya yang penuh keindahan itu. Tapi kalau lelaki yang mempunyai ciri-ciri di atas wujud, pasti Ain akan kejar sampai dapat.


Tak malunya kamu Ain. Sedar diri sikit, anak dara mana boleh buat perangai gelojoh macam ini. Jaga sopan santun tu. Jangan malukan abah dan ibu Ain.


“Ain.”


Suara yang memanggil mematikan lamunan Ain. Buku rujukan Fizik yang ditemuinya sewaktu mengemas rumah sewanya dua hari yang lepas digenggam erat.


“Ain.”


Sekali lagi namanya dipanggil. Ain pandang sekeliling. Tak ada satu pun wajah yang Ain kenal di Lapangan Terbang Antarabangsa Sidney tersebut. Jadi, siapa yang panggil Ain tadi?


Meremang juga bulu roma Ain. Otaknya pula nakal berfikir yang bukan-bukan.


“Excuse me.”


Ain angkat wajah. Seorang lelaki dengan rambut blonde sedang mengukir senyuman. Tangan lelaki itu menunjuk ke arah bangku di sisi Ain yang masih kosong.


“Can I sit here?”


“Sure, why not,” jawab Ain. Sempat juga menilik wajah berstatus good looking lelaki blonde tersebut. Pelat Australia lelaki blonde itu memang sangat pekat.


“Hey Benjamin, we can sit here!”


Ain besarkan mata. Nama Benjamin memang selalu buat jantung Ain seperti hendak berhenti berdegup. Ain pandang lelaki yang dipanggil Benjamin itu.


Orangnya lengkap bersut. Ada tali leher dan ada juga cermin mata hitam. Langkah kakinya sangat gagah. Sehinggakan Ain yang melihat pun memuji dalam hati.


“He’s my friend,” beritahu lelaki blonde itu tanpa dipinta.


"From Malaysia," lanjut si blonde itu lagi. Cuma Ain saja yang acuh tak acuh. Nanti Ain dilabel gatal pula.


Gadget iPhone telah dikeluarkan lalu akaun Instagram Ain aktifkan. Ada 20 notifikasi. Paling banyak pastilah daripada Kak Long Yana. Kak Long Yana yang paling gembira bila kontrak kerja Ain di bumi Sidney ini tamat. Kak Long Yana juga yang beriya-iya membeli tiket penerbangan untuk Ain pulang ke Kuala Lumpur


Seminit berlalu, Ain mula tidak selesa. Seperti ada mata helang saja yang menilik Ain. Naluri perempuan Ain kata, kawan si blonde itu yang jadi helang.


Ain toleh ke kiri.


Haa... Naluri Ain betul. Kawan si blonde itu sedang tekun meniliknya.


Mana kamu tahu, Ain? Kawan si blonde itu kan pakai cermin mata hitam. Entah-entah dia pandang tempat lain.


Naluri seorang Nurul Ain tak pernah salah. Memang kawan si blonde ini telah bertukar jadi helang.


“What?” tanya Ain terus. Ada nada tidak puas hati yang Ain suarakan.


“What?” sapa lelaki itu semula. Keningnya naik sebelah. Si blonde itu pula buat muka pelik.


Oh... Suara lelaki bersut ini sedap didengar. Hati Ain yang sedang geram boleh jadi terpujuk kalau begini.


“You were looking at me.”


“Nope. There’s must be some misunderstanding. I’m not looking at you.”


Maaflah, hati Ain tak terpujuk pun. Suara sedap tapi jawapan lelaki ini tak sedap.


“Urgh!” keluh Ain. Sepasang matanya dikecilkan. Kemudian Ain bangun. Begnya yang boleh tahan besar ditarik pergi.


“Ain.”


Suara itu lagi. Ini kali ketiga Ain dengar suara yang memanggil namanya dalam nada yang lembut begitu. Mendadak saja langkah Ain terhenti.


“Siapa?”


Sepi. Suara itu tidak membalas soalan Ain. Yang terdengar hanya suara riuh lautan manusia di lapangan terbang tersebut. Ain jeling jam tangannya. Masih berbaki dua jam sebelum dia berangkat meninggalkan bumi Sidney.






LANGKAH kaki Ain terhenti. Bulat mata Ain melihat tempat duduknya. Maaf, bukan tempat duduk, tetapi makhluk yang duduk di sebelah tempat duduk Ain.


"That's my seat?" tanya Ain pada pramugari yang bertugas. Sekadar mahu kepastian meskipun dia sendiri tahu itu adalah tempat duduknya. Dan jawapan pramugari itu hanya membuat muka Ain jadi cemberut.


Ain meneliti seketika makhluk Tuhan yang berada di sebelah kanan tempat duduknya. Bercermin mata hitam, memegang buku motivasi dan makhluk Tuhan itu seorang lelaki. Di sebelah lelaki itu pula, pastilah temannya yang berambut blonde tadi.


Dia ni lagi ke? Dalam ramai-ramai penumpang, kenapa tempat duduk Ain mesti di sebelah lelaki bercermin mata hitam itu? Payah hidup Ain kalau macam ni.


“Kenapalah bukan perempuan?" keluh Ain sebaik saja dia selamat mengambil tempat duduknya. Cukup perlahan. Pun begitu sempat juga membuat lelaki tersebut berhenti berbual lalu berpaling pada Ain.


Ain macam biasalah, mengulum segaris senyuman hambar. Lebih kepada senyuman tak puas hati sebenarnya.


Oh Tuhan... Tebalnya muka Ain. Lelaki tu, sedikit pun tidak membalas senyuman Ain. Hanya pandang seketika dan kemudian kembali berbual dengan temannya sendiri. Macam Ain tidak wujud langsung. Macam senyuman Ain tak ada harga langsung dan tak patut dibalas.


Ain marah ni. Ain juga geram.


Ain sayang, senyuman Ain tadi pun bukan ikhlas. Memang patutlah kalau lelaki tu tak balas. Lain kali kalau beri sesuatu, biar ikhlas. Barulah yang menerima pun senang hati nak balas.


Ikhlas atau tak ikhlas sepatutnya tak jadi isu wahai hati. Itu urusan Ain dengan Tuhan. Lelaki ni sepatutnya tak bolehlah sombong sangat. Tapi tak mengapa, selepas ni jangan harap Ain nak tegur lelaki ni. Pandang muka dia yang bercermin mata hitam itu pun Ain tak nak.


Penerbangan dari Sidney ke Kuala Lumpur meskipun tidak lama, tetap juga meletihkan Ain. Rasa letihnya jadi berganda-ganda pula bila makhluk Allah yang sombong sangat itu asyik berbual. Bukan hendak perlahankan suara pun. Mengganggu betul.


"Pardon?" sapa Ain. Terpaksa juga memandang wajah lelaki bercermin mata hitam itu. Ini bukan sengaja hendak pandang ya, tetapi terpaksa pandang.


Lelaki itu berpaling lagi. Tetap juga tidak menanggalkan cermin mata hitamnya. Agaknya, dia sakit mata ni.


"Yes?"


"I'm trying to sleep here," balas Ain setelah rasa terpegunnya berjaya diusir. Ain sengaja memberi kias paling sopan. Kalau tak faham lagi, bersiap sedialah untuk mendengar ayat kias paling tidak sopan Ain.


Kening lelaki itu terangkat sedikit. Paling aneh, ada segaris senyuman pada bibir lelaki itu. Senyuman yang biasa-biasa, tetapi tidak biasa langsung pada pandangan mata Ain.


Oho... Senyuman lelaki ini sedap dipandang. Sayangnya tak puas pula dilihat sebab cuma sekejap. Ain tak sempat kelip mata, senyuman itu telah hilang.


"I'm really sorry for disturbing you," ujar lelaki itu. Berbual seketika dengan temannya dan kemudian buku motivasi yang sejak tadi dipegang kemas mula dibaca. Kiranya, Ain telah diabaikan.


Ain sedikit pun tidak kisah. Yang penting lelaki itu tak bising lagi.


Baru saja Ain mahu melelapkan mata, sepasang mata beningnya terpandang pula dua baris perkataan. Dua baris perkataan yang berjaya membuat jantung Ain tidak seirama.


BENJAMIN FAHMY


Nah... Tak mungkinlah orang yang sama. Kalau si Benjamin Fahmy anak emas sekolah itu, sekali pandang Ain pasti kenal.


Lagipun, kenal sangat Ain dengan perangai si Benjamin Fahmy. Benjamin Fahmy yang Ain kenal takkan biarkan Ain bersenang lenang begini. Kesimpulannya, dia ni Benjamin Fahmy 
yang lain. Jadi Ain, jangan fikir banyak sangat. Tidur lebih baik.


Ain tidak tahu berapa lama dia terlelap. Ain terjaga pun sebab bantal dikepalanya tidak empuk. Keras dan menyebabkan lehernya sakit. Nanti Ain sampaikan rasa tak puas hatinya pada pramugari yang bertugas.


Namun itulah, ada bau haruman perfume pula. Begitu menggetarkan segala rasa dalam diri. Yang pasti bukan bau perfume Ain.


Huh? Bau perfume siapa ni? Begitu melekat dalam jiwa.


Ain buka mata besar-besar. Objek pertama yang Ain lihat adalah bibir. Bukan juga bibir Ain. Yang pasti bibir itu begitu dekat dengan Ain dan sangat menyerlah.


Heh? Bibir siapa pula ni?


Bagaikan baru terkena renjatan elektrik, Ain menegakkan badan. Wajahnya diraup dengan mata yang juga terbuka luas.


Ya Tuhan... Apa Ain buat ni? Macam mana bahu lelaki itu boleh jadi bantal Ain? Alahai Ain... Ganasnya kamu tidur.


Dan sekarang mata Ain terbuka dua kali ganda besarnya. Ada tompokan air pada bahu lelaki itu.


"Tak mungkinlah!" jerit Ain dengan suara yang ditahan.


Ain mengelap hujung mulutnya. Basah. Sejuk rasanya kepala Ain.


“Macam mana boleh jadi macam ni?” tanya Ain berkali-kali. Dahinya ditepuk lembut, juga berkali-kali. Kalau begini, Ain nak pengsan dulu.


“Sakit kepala ke?”


Badan Ain jadi keras. Lambat-lambat dia berpaling ke kanan. Nampaknya lelaki yang menjadi mangsa tempat berlabuh saliva istimewa Ain telah bangun. Dan lelaki itu telah bertanya soalan. Soalan dalam Bahasa Melayu pula tu.


Ain geleng kepala. Sempat juga matanya menjeling tompokan basah pada sut hitam lelaki tersebut.


Habislah Ain kalau begini. Kalau tadi kepala, sekarang lutut Ain pula terasa sangat lemah. Kalau... Kalau lelaki itu tanya tentang tompokan peta istimewa itu nanti, Ain nak jawab apa?


Okey Ain. Bawa bertenang. Buat muka paling polos. Selepas itu, pura-pura tidur. Kemudian bangun bila nak sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


Ain memaksakan satu senyuman. Malangnya senyuman Ain jadi senyuman robot pula. Keras dan nampak pelik.


Ain sayang, tunggu apa lagi tu? Kalau dah senyum, cepat tidur.


Tapi...


Tunggu apa lagi? Nak tunggu sampai rahsia Ain terbongkar?


Bukan macam tu.


Sekarang, Ain. Ain mesti pura-pura tidur. Sekarang!




LIMITED EDITION. STOK SANGAT TERHAD. HANYA ADA 1500 COPIES. 


4 comments:

  1. PK...cetak la lg buku nie....sy nk sgt miliki buku nie.....sy terlewat sbb br je tau psl PK....tlg la!!!.....

    ReplyDelete
  2. PK....cetakla lagi buku nie.....sy nak sgt miliki buku nie....sy terlewat sbb br je tau psl PK....tlg la...

    ReplyDelete