Saturday 4 October 2014

#SE - Tersuka Tanpa Sengaja (Entri Khas Qurban @ Bhg.02)

Terkial-kial juga Syed Arif cuba memasukkan beras ke dalam sarung ketupat. Tangannya memang keras kalau melibatkan hal-hal dapur. Apatah lagi kerja halus begini. Namun digagahkan juga untuk belajar demi Farhah. Farhah yang tiba-tiba saja kata suka makan ketupat. Jadi Syed Arif harus bijak mencari tahu proses membuat ketupat.

“Baru dua yang siap?” tegur Kak Long Naila yang baru muncul dari tangga dapur. Pada tangannya ada besen yang boleh tahan juga besarnya.

“Dua yang sangat berharga. Berpeluh satu badan dia buat,” balas Mak Cik Noraini sembari berusaha menyembunyikan senyum.

“Ketupat yang Syed buat jangan hidang pada tetamu. Syed buat untuk Farhah. Syed buat dengan penuh kasih sayang, sebab itu dari tadi baru dua yang siap.”

Kak Long Naila terus cuit bahu Farhah.

“Jangan percaya, Farhah. Alasan saja tu. Sebenarnya dia tak pandai,” bidas Kak Long Naila sambil ketawa. Biarlah muka Syed Arif masam sekali pun, Kak Long Naila tetap juga tidak peduli.

“Farhah team abang, kan? Jadi mesti percaya cakap abang. Kalau tidak, Farhah jadi burung pungguk malam ni. Ada karma yang sangat dahsyat kalau Farhah pangkah abang,” bisik Syed Arif bila melihat Farhah sudah mula mahu ketawa. Syed Arif pun memang sengaja meleretkan perkataan 'dahsyat'. Biar Farhah gerun.

Farhah membesarkan sepasang matanya. Menyorot dengan muka setengah tidak percaya.

"Paling penting jangan buat muka tak percaya macam Farhah buat sekarang. Jangan buat naluri abang teruja. Kalau abang terbabas, Farhah juga yang segan. Tolong dengar nasihat abang kali ni."

Kali ini Farhah tidak lagi buat muka setengah tidak percaya, tetapi muka yang sangat terkejut.

"Kalau buat muka terkejut macam ni lagi tak boleh. Lagi buat abang rasa macam nak terbabas sekarang juga," bisik Syed Arif lagi. Betul-betul di tepi telinga Farhah.

Cepat saja Farhah bangun. Kemudian mengambil tempat di sisi Mak Cik Noraini. Duduk di sisi ibu mertuanya yang tersayang lebih selamat.

"Kenapa Farhah?" soal Mak Cik Noraini. Jelas terlihat riak risau pada wajah tua itu. Jari tangannya singgah pada dahi Farhah.

"Tak ada apa, mak. Farhah tak demam pun. Cuma dekat sana ada semut merah. Kalau kena gigit, boleh jadi gatal merenyam."

"Semut merah?" ulang Mak Cik Noraini.

"Tak apa. Sekejap lagi mak tolong 'ridsect' semut merah tu," luah Mak Cik Noraini kemudian sambil memberi kerlingan ada makna pada Syed Arif.

Syed Arif baru saja hendak membantah bila telefon bimbit pintarnya berbunyi minta diangkat. Tertera satu nama di situ. Satu nama yang membuat Syed Arif kerut dahi.

"Siapa yang telefon?"

"Kawan, mak."

Hanya itu jawapan Syed Arif. Dia telah bangun dan memilih untuk menjawab panggilan tersebut di ruang tamu.

Termasuk kali ini, telah tiga kali Syed Arif meraup rambutnya dengan cara kasar. Hatinya bolak-balik antara tanggungjawab sebagai seorang doktor dan seorang suami kepada Farhah Ahmad Alias.

“We need you, Syed.”

Suara yang terdengar sangat terdesak itu kedengaran lagi. Makin susah hati Syed Arif kalau begini. Agak lama juga dia membisu sebelum memberi jawapan.

Syed Arif mematikan talian telefon dengan hati yang separuh. Sempat dia mengerling ke arah Farhah dan ibunya di ruang dapur. Kak Long Naila pun masih ada di sana. Abang Hisham pula sibuk membakar lemang di depan rumah. Daus seperti biasa menjadi pengacau ayahnya.

“Farhah,” keluh Syed Arif. Rasa bersalah yang datang bukan sedikit, tapi bergunung-gunung. Lebih-lebih lagi bila melihat senyuman Farhah ketika ini. Dan sebentar lagi dia bakal kehilangan senyuman istimewa tersebut.

“Farhah,” panggil Syed Arif. Bahu Farhah disentuh penuh hati-hati.

Farhah menyahut dengan segaris senyuman khas. Senyuman yang membuat hati Syed Arif galau lalu jadi bersimpang di sana dan sini. Belum apa-apa dia telah kalah dengan Farhah. Kalau begini, bagaimana lagi mahu bercerita tentang hal sebenar?

Agak lama juga Syed Arif berada di bawah paras normal. Hanya setelah tangannya disentuh lembut barulah dia kembali stabil.

“Kenapa ni? Abang nampak susah hati. Macam ada masalah besar.”

“Ikut abang sekejap. Abang nak cakap sikit.”

Ayat ‘cakap sikit’ Syed Arif sebenarnya meresahkan Farhah. Lebih-lebih lagi ketika melihat wajah keruh lelaki itu. Dan meskipun wajah Farhah dipenuhi tanda tanya besar, namun dia tetap juga menurut.

“Rahsia apa abang nak beritahu ni? Sampai nak kena masuk dalam bilik,” seloroh Farhah. Hati di dalam memang telah lama menyanyikan lagu resah. Di luar saja Farhah berusaha keras supaya nampak tenang.

Syed Arif memilih jawapan membisu. Hanya tangannya saja yang meraih Farhah supaya rapat padanya.

“Ada apa sebenarnya?” desak Farhah. Sorotannya hanya pada Syed Arif.

Syed Arif masih juga begitu. Masih lagi membisu. Cuma pelukannya saja yang semakin rapat.

“Farhah susah nak bernafas ni.”

Barulah Syed Arif kelam-kabut melonggarkan pelukannya. Selepas itu, Farhah di bawa ke birai katil. Dia duduk di sisi Farhah dengan seraut wajah seperti sedang dipaksa pergi berperang.

I’m so sorry, Farhah,” luah Syed Arif antara dengar dengan tidak. Apa yang pasti, tangan gagahnya telah meraih tangan Farhah sendiri. Tangan kecil itu digenggam erat-erat.

“Abang salah. Abang bakal buat Farhah kecewa. Abang bakal buat Farhah sedih.”

“Abang buat salah apa pula ni? Kalau fasal ketupat tu, abang jangan risau. Kalau ketupat abang tak gaya ketupat pun, Farhah makan juga. Kalau rasa ketupat tu macam basi sekali pun, Farhah pun tetap akan makan. Asalkan abang yang buat dan masak.”

Hanya sorotan tajam Syed Arif yang membalas segala luahan hati Farhah. Kemudian sekali lagi tubuh Farhah diraih. Cuma kali ini, pelukan Syed Arif tidak terlalu erat.

Bila dipeluk begini, lagilah hati Farhah risau. Risaunya telah mencapai paras paling tinggi.

“Abang kalau ada..”

They need me, Farhah,” potong Syed Arif. Sebaris kata yang cukup untuk membuat Farhah lemah. Farhah tahu sangat siapa ‘they’ yang dimaksudkan oleh Syed Arif. Hidup dengan lelaki ini banyak mengajar Farhah tentang maksud sepotong ayat meski tanpa pangkal dan hujung cerita.

I’m sorry. I’m sorry, Farhah. I am really sorry,” luah Syed Arif berkali-kali. Wajahnya telah dibenamkan pada bahu Farhah. Farhah yang kaku tanpa suara membuat rasa bersalah Syed Arif jadi berganda. Paling meresahkan hati bila getaran tubuh Farhah mulai terasa.

"Kalau Farhah nak marah abang, abang tak kisah. Abang rela. Farhah marahlah abang puas-puas."

Aduh.. Ayat Syed Arif hanya membuat Farhah mahu menangis sepuas hati. Sudahnya jari tangan Farhah naik pada kedua belah pipi Syed Arif. Membelai wajah sugul itu dengan rasa yang berbaur.

“Pukul berapa abang nak gerak balik KL?”

Syed Arif menundukkan wajah. Tidak punya kekuatan untuk membalas sorotan Farhah. Dan dia juga tidak punya kekuatan untuk merangkai jawapan.

"Pukul berapa abang nak balik KL?" tanya Farhah lagi sekali. Berusaha untuk tabah meskipun sebenarnya dia tidak tabah langsung. Bila-bila masa saja air matanya boleh tumpah dengan teruk.

Soonest possible.”

“Kalau macam tu, Farhah kemas baju abang semula.”

Lekas-lekas Syed Arif menarik tangan Farhah. Menghalang niat Farhah untuk bangun.

“Do you hate me, Farhah?”

Ya Tuhan, soalan apa yang Syed Arif tanya ni? Laju saja Farhah geleng kepala. Berusaha pula untuk tersenyum biarpun hatinya telah banjir dengan air mata.

“I could not hate you."

Semakin besar rasa bersalah Syed Arif pada Farhah. Entah kenapa jawapan Farhah hanya mengundang sendu yang berpanjangan.

"I could only love you," lanjut Farhah kemudian.

Cepat saja Syed Arif berlutut di sisi Farhah. Memeluk lutut Farhah. Memeluk dengan getaran tubuh yang sama hebat dengan getaran tubuh Farhah.

"Terima kasih, Farhah."

"Farhah siapkan baju abang dulu."

Syed Arif masih memeluk lutut Farhah. Menghantar isyarat bahawa hal hatinya belum selesai.

"Abang susah hati nak tinggalkan, Farhah. Abang ajak Farhah beraya kampung abang. Tapi akhirnya abang bakal tinggalkan Farhah dekat sini," ujar Syed Arif seraya menjatuhkan kepalanya di atas paha Farhah.

Farhah mengusap rambut hitam Syed Arif. Berusaha terus memberi rasa nyaman pada hati Syed Arif dan pada hati sendiri pastinya.

"Abang tentu ingat kisah Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail, kan? Macam mana seorang ayah dan anak saling rela berkorban kerana kasihnya mereka pada Allah SWT. Kalau seorang nabi pun rela berkorban, lagilah kita manusia ni digalakkan berkorban demi kebaikan. Lagipun abang bukan pergi untuk suka-suka, tetapi bekerja untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Farhah tak pernah tak bangga dengan kerja abang. Pengorbanan abang selalu nampak besar di mata Farhah."

Tangan gagah Syed Arif telah mula melingkar pada pinggang Farhah. Memeluk seperti tidak mahu dilepaskan lagi. Melampiaskan semua rasa bersalah dan rasa bangganya pada Farhah.

"Abang nak Farhah kira sampai tiga ratus. Kira perlahan-lahan. By the time you complete three hundred counts, I will be right here beside you again. Percayakan cakap abang kali ni."

Menitis juga air mata Farhah. Namun jari tangannya begitu cepat juga menyeka. Farhah tidak mahu Syed Arif tahu dia menangis. Malam ini, Farhah mahu kelihatan kuat di depan Syed Arif.

"Tiga ratus kiraan dan abang akan muncul depan Farhah semula, kan?"



#ideakreatifpublication

REQ. GROUP ~ Latest Teaser 'n' Updates
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/permalink/704548769613155/



** versi cetak telah berada di pasaran ya. Boleh dapatkan di kedai buku berhampiran.
Harga RM26.00(sem) 'n' RM29.00(SS)

Kalau beli dengan IKP terus, harga online dekat bawah ni :)
Harga Online IKP RM24.00(sem) 'n' RM27.00(SS)
Free postage (Malaysia sahaja)

6 comments:

  1. allah mmg kalo sy kt tmpat farhah msti x rela nk lps kn dr sa tp tabah nye farhah .. bangganyeee hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dr SA dah ajar Farhah jadi isteri yg hati kental selalu.. Ngee

      Delete
  2. Sedih la baca nie... dr SA sentiasa cuba yg terbaik utk farhah... sobs sobs..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syania Ann.. Alooo.. Tamaulah sedey2.. Nak wat mcm mana kalu kene duty.. huhuu

      Delete
  3. Gitu ler jadinya kalau kawen ngan tuan doktor..... biasa la....
    Yg x biasanya ni.....
    Awat seciput?????
    Suka potong perasaan org la PK ni

    ReplyDelete