Thursday 2 October 2014

#Bab02 - Persembahan Dari Hati

Tiga  bulan  kemudian.  Hari  Ahad.  Cuaca  tidak terlalu terik, tidak juga redup.


Gerakan tangan Abu Hanifah terhenti.  Niatnya mahu  membersihkan  lantai  bilik  air  hilang  ketika telinganya  menangkap  suara  seorang  perempuan. Datangnya dari luar bilik air. Bukan suara ibunya. Bukan juga  suara  Fatim, tetapi suara  yang  begitu  asing  pada pendengaran telinga Abu Hanifah.

Pintu  bilik  air  Abu  Hanifah  buka  luas-luas. Terlihat  dengan  jelas  seorang  perempuan  sedang bertinggung di depan bilik air. Pada tangan perempuan itu ada seekor kucing yang boleh tahan gempalnya.

"Awak siapa?" tanya Abu Hanifah tanpa berbasa-basi lagi. 

Kali  ini,  gerakan  tangan  Nadine  pula  yang terhenti.  Lehernya  terlalu  keras  untuk  dipalingkan. Mendengar  suara garau itu pun sudah cukup membuat Nadine tidak selesa.  Setahu Nadine,  Mak Jah yang baru jadi  jirannya  beberapa  bulan  yang  lalu  cuma  tinggal berdua dengan Fatim. Jadi, siapa lelaki ni? 

"Saya  tanya,  awak  siapa?"  ulang  Abu  Hanifah sekali lagi.

Mati terus debat hati Nadine. 

"Bisu ke?"

Amboi.. Dia kata Nadine bisu? 

"Ataupun awak ni pencuri?"

Pencuri  pula?  Mendadak  saja  Nadine  bangun sebelum berpusing menghadap lelaki bersuara garau itu. 

"I bukan pencuri. I tinggal.."

Ayat  Nadine  mati.  Mulutnya  sempat  terbuka luas.  Begitu  juga  matanya.  Pemandangan  yang  sedikit menjolok mata itu hampir saja membuat jantung Nadine melompat keluar. Ini kerana pemilik suara garau itu hanya memakai  seluar  bermuda  paras  lutut  dan..  Dan  tidak berbaju. 

Aduh.. Petang yang indah ini mata Nadine telah dipertontonkan  dengan  sesuatu  yang  terdedah.  Sesuatu yang kalau dilihat lama-lama, boleh melemahkan sekeping hati perempuan Nadine. Lagipun.. Lagipun sorotan mata lelaki itu sangat tajam. 

"I  jiran Mak  Jah,"  sambung  Nadine  kemudian. Itupun setelah degup jantungnya kembali seirama. Namun rasa terkejut dalam diri sangat sulit untuk dibuang. Dan  rasanya,  Abu  Hanifah  lebih  terkejut berbanding Nadine sendiri. Pada saat ini,  sepasang mata Abu Hanifah tidak berkelip lagi menatap Nadine.

Memang perempuan di depannya ini perempuan yang sama. Yang ditemuinya di dalam perut LRT beberapa bulan  yang  lalu.  Yang  meliriknya  dengan  pandangan biasa-biasa.  Namun lirikan biasa itu sudah cukup untuk membawa lari hatinya.

"Jiran?" 

Lekas-lekas Nadine mengangguk.

"I Nadine. I datang sini cuma nak ambil ni, bukan nak mencuri.  I  tak buat kerja macam tu," cerita Nadine. Tubuh gempal Orlando segera diangkat. 

Segaris  senyuman  istimewa  cepat  benar menghiasi wajah Abu Hanifah. Tanpa dapat ditahan lagi, sepasang matanya menilik semua harta Nadine.  Bermula dari rambut, kening, hidung dan kemudian singgah lama pada sepasang mata bening itu.  Semuanya tidak pernah gagal  memberi  pesona  yang  indah.  Buat  seketika  Abu Hanifah leka dan terus alpa. Tewas pada bisikan jahat di sekelilingnya.

"You siapa? You buat apa dekat rumah ni?”

Belum  pun  sempat  Abu  Hanifah  memberi jawapan, Orlando lebih dulu telah melompat ke arah Abu Hanifah. Tanpa ampun lagi, Orlando telah meninggalkan corak cakaran selari pada bahu Abu Hanifah.

Bulatnya mata Nadine. Rasanya, Nadine hampir histeria  melihat  tindakan  spontan  Orlando.  Habislah Orlando. Habislah Nadine juga.

"Maaf!  Lando tak sengaja.  Tolong jangan pukul Lando,"  pinta Nadine lantas  penuh hati-hati  mengambil Orlando dari pegangan lelaki tersebut.

"Maaf  lagi  sekali.  Maaf  sangat,"  pinta  Nadine terus. Berharap benar Orlando tidak di apa-apakan. 

Abu Hanifah menyeringai kesakitan. Dia kembali memasuki bilik air sebelum keluar semula bersama sehelai tuala dan pengepit kain. Kemudian dia menyorot Nadine dengan cukup tajam. Tanpa sebarang kata, dia mengorak langkah menghampiri Nadine.

Terhenti  sekejap  nafas  Nadine  bila  lelaki  itu semakin  mendekat.  Otak  Nadine  cepat  benar  menjadi tepu.

"You  nak  buat  apa  ni?  I  jerit  kalau  you  tak berhenti  sekarang,"  ugut  Nadine  sambil  ikut  berundur setapak  ke  belakang.  Setelah  itu  setapak  lagi.  Pada akhirnya, Nadine terperangkap ketika belakang tubuhnya bergesel dengan dinding.

"Kalau..  Kalau you sentuh I,  I  jerit.  You jangan main-main," ugut Nadine lagi. Otaknya ligat mencari idea mahu melarikan diri.  Matanya pula meliar  mencari  apa-apa yang boleh diguna untuk menyelamatkan diri. 

Pada saat matanya melihat botol air di atas meja, terus  saja Nadine capai.  Tanpa ampun lagi,  kepala dan bahu Abu Hanifah selamat menjadi mangsa pukulan botol air. Bukan sekali, tapi berkali-kali.

"Nadine!"  tingkah  Abu  Hanifah.  Botol  air  juga berjaya  dirampas  lalu  diletakkan  di  atas  meja  semula. Kemudian tuala yang sejak tadi dipegang berjaya singgah di  atas  kepala Nadine lalu dikemaskan dengan pengepit kain.  Nampaknya tuala putih itu telah selamat  menjadi tudung yang menutup aurat Nadine.

Hampir  sepuluh  saat  juga  Nadine  terpaku dek kerana terkejut. Pandangannya silih berganti  antara tuala dan juga lelaki tersebut yang sedang membelek lebam di bahu.

"Ma.. Maaf. I ingatkan you.. Err.. You nak sentuh I tadi."

"Baliklah sebelum saya betul-betul  sentuh awak. Lain  kali  kalau  keluar  dari  rumah,  tutup  aurat  awak dengan sempurna.  Saya bukan nabi,  Nadine.  Saya pun bukan mahram awak.  Saya cuma lelaki  biasa.  Tak lepas dari godaan syaitan."

Makin  kelu  lidah  Nadine.  Hendak  melangkah pun terasa amat payah. Apa lagi mahu membuka mulut. Rasa bersalahnya berganda-ganda pada lelaki itu.

Aduh...  Kenapalah  tangan  ni  laju  sangat  capai botol  air  tu.  Kalau  kosong,  mungkin  masih  boleh dimaafkan.  Isunya sekarang,  botol  air  itu penuh dengan isi.

“Lagi  satu,  kalau nak masuk rumah orang,  beri salam dulu. Jangan redah saja. Kalau pun awak jiran saya, tapi itu bukan tiket untuk awak lupa tentang salam.”

“Eh?” luah Nadine sepatah.

“Beri  salam bukan saja dapat  pahala kebajikan, malah  rahmat  pun  dapat.  Tidak  cukup  dengan  itu, malaikat pun mendoakan bagi mereka yang memberi dan menjawab salam sebanyak  70 kali.  Paling  bagus,  Allah pun  mengampunkan  dosa  mereka  sebelum  mereka berpisah.”

Tidak berkelip mata Nadine menerima tazkirah ringkas tersebut.

“Dan kalau awak dapat tutup aurat awak dengan sempurna, sayalah yang paling bersyukur. Iman hati saya terjaga, mata saya pun terjaga. Jadi tolong, kalau awak ke sini lagi, pastikan aurat awak ditutup dengan sempurna.”

Nadine  menelan  liur  yang  tiba-tiba  saja  terasa sangat  pahit.  Tuala  yang  terletak  molek dikepalanya dipegang kemas.

"Tunggu apa lagi? Cepatlah bergerak,” pinta Abu Hanifah bila melihat Nadine seperti melamun jauh.

Kepalang terkejutnya Nadine. Mujur saja Nadine tidak  melatah.  Sekarang  seperti  lipas  kudung  Nadine keluar  dari  ruang  dapur  tersebut.  Orlando pun Nadine sudah lupa hendak ambil.  Namun biarlah,  yang penting Nadine mesti  keluar  dari  rumah Mak Jah dulu.  Rumah Mak Jah ada lelaki. Sedap dipandang dan dia beri Nadine tuala dan pengepit kain.

Nadine! Kamu cakap apa ni? Mana boleh Nadine fikir begitu. Ingat sikit,  lelaki  itu bukan mahram Nadine. Jaga adab Nadine sebagai seorang perempuan.

Memang itu kenyataannya. Bukan salah Nadine. Lelaki  itu yang salah.  Siapa suruh dia tidak pakai  baju. Tapi  nama  dia  siapa  ya?  Paling  penting,  dia  buat  apa dekat rumah Mak Jah?

Tidak  sampai  sesaat,  sepasang  mata  Nadine kembali terbuka luas. Lelaki tadi.. Lelaki tadi tu anak lelaki Mak  Jah  ke?  Yang  katanya  menetap di  Kaherah?  Yang katanya sangat menarik hati? 

“Nadine.”

Suara  garau  itu  lagi.  Bagaikan  robot  Nadine berpusing.  Sangka  Nadine  dia  bakal  melihat pemandangan  yang  indah  lagi.  Mana  tahu  kali  ini  dia melihat  Abu  Hanifah  dalam  versi  yang  lain.  Versi memakai  jubah.  Jujur,  Nadine  lebih  suka  versi  seluar bermuda tadi. Nadine tak suka jubah. 

“Awak lupa kucing ni.”

“Ya. Kucing. I lupa ambil kucing ni.”

Orlando mengeliat  kecil  setelah kembali  berada dalam pelukan Nadine. 

“Nadine.”

Aduh.. Namanya kembali  disebut dengan penuh kelembutan  oleh  lelaki  berjubah  tersebut.  Payah  kalau begini.

“Nama  saya  Abu  Hanifah.  Tolong  ingat  nama tu."

“Huh?”



** Persembahan Dari Hati adalah kesinambungan dari novel #Doa Cinta Seorang Lelaki (DCSL). Yang belum memiliki #DCSL, boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran pada harga RM26.00(Sem) 'n' RM29.00(SS). 

Ataupun boleh beli online dengan Ideakreatifpublication pada harga diskaun RM24.00(Sem) 'n' RM27.00(SS). Penghantaran percuma (Malaysia Sahaja)



#REQ. GROUP ~ for latest updates
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/




3 comments: