Friday, 9 May 2014

#Bab11 - Persembahan Dari Hati

Hati Nadine panas. Kalaulah satu cerek di letak di atas hati Nadine, pasti air di dalam cerek tersebut mendidih dalam masa sepuluh saat.

Lihatlah di depan rumah sana. Baiknya hati Abu Hanifah tolong Mak Cik Haida. Padahal anak-anak bujang Mak Cik Haida bukan seorang. Tapi tiga orang. Cukup sangat kalau sekadar nak angkat almari dan sofa baru Mak Cik Haida.

“Terima kasih sangatlah, Hanif. Kalau Hanif tak ada tadi, sampai petang pun belum tentu siap.”

Begitu lembut dan tersusun sekali kata-kata Mak Cik Haida. Senyuman Mak Cik Haida pun luar biasa panjang. Sampaikan Nadine yang melihat hampir hendak pengsan.

Mak Cik tua ni memang sengaja lancarkan perang dengan Nadine. Dia tak tahu agaknya yang Nadine ni pernah jadi jaguh perang. Kalau tidak, masakan wujud perang teluk versi kecil-kecilan antara Nadine dan juga Abu Hanifah.

Tapi itu cerita lama. Nadine dah lama tutup buku tu. Nadine yang sekarang tak kerek macam dulu-dulu.

“Lepas ni, bolehlah tolong lagi, kan?” lanjut Mak Cik Haida. Terlalu sengaja mengerling Nadine sepintas lalu sebelum kembali menyorot Abu Hanifah.

Tidak cukup dengan itu, jari tangan Mak Cik Haida begitu tenang sekali menyentuh lengan Abu Hanifah. Nasib baik Abu Hanifah lekas-lekas menjarakkan diri. Kalau tidak, mahu juga Nadine bertukar menjadi Incredible Hulk!

“Insya-Allah, mak cik. Kalau saya lapang, saya pasti tolong.”

“Haida. Mak Cik tu untuk orang tua saja. Saya muda lagi.”

Tolonglah! Nadine geli dengan perangai Mak Cik Haida.

Nadine enggan menunggu lagi. Pintu gril sudah dibuka setelah selesai memberi jelingan paling tajam pada Abu Hanifah. Kalau dalam masa lima minit Abu Hanifah tidak menyusul, Nadine nak merajuk! Kemudian, Nadine pun takkan masak.

Nadine masak? Sedap ke?

Sedaplah!

Setelah menunggu hampir lima belas minit, barulah terdengar bunyi pintu utama dibuka. Terjengul batang tubuh Abu Hanifah di situ.

Sepi. Meskipun Nadine ada di ruang tamu, namun suasana tetap sepi. Aura merajuk berada dimana-mana saja.

“Hari ni macam sepi saja, kan?” ujar Abu Hanifah. Sengaja memancing supaya Nadine membuka mulut.

Nadine membuang pandang. Malas hendak melayan celoteh Abu Hanifah.

Sepatutnya, awal pagi tadi mereka keluar jogging bersama. Tapi itulah, baru sampai di luar pagar, Mak Cik Haida sudah berjaya tarik perhatian Abu Hanifah.

Nadine tak suka. Benci dan meluat. Kalau tolong orang lain, Nadine tak kisah sangat. Tapi bukan Mak Cik Haida!

“Hari ni macam tak sempat kita nak keluar jogging. Esok pagi, insya-Allah kita keluar awal ya,” lanjut Abu Hanifah lagi. Kali ini, sorotan matanya begitu lembut sekali. Cuma Nadine saja yang keraskan hati. Konon-kononnya acuh tak acuh.

“Fasal Mak Cik Haida tadi..”

“Kalau abang tak offer, Mak Cik Haida takkan minta tolong. Nadine penatlah kalau macam ni. Penat sangat!” potong Nadine. Meluat betul hati Nadine bila nama Mak Cik Haida disebut-sebut oleh Abu Hanifah.

Terkejutnya Abu Hanifah. Sepasang matanya sempat terkebil-kebil sebelum kembali mengukir senyuman khas hanya untuk Nadine Qhaisara.

“Hidup berjiran macam inilah, Nadine. Hari ni hari Mak Cik Haida yang susah. Esok lusa mungkin hari kita.”

“Nadine tak kisah pun abang tolong jiran. Cuma jangan Mak Cik Haida. Nadine seram dengan dia. Abang tak rasa ke mak cik tu macam ada yang tak kena? Gerak hati Nadine ni kata, mak cik tu cuba nak ambil abang daripada Nadine.”

Abu Hanifah meraih Nadine rapat padanya. Memeluk sambil mengelus rambut isterinya yang tersayang. Memujuk dengan caranya yang tersendiri.

Look at me,” pinta Abu Hanifah setelah 15 saat berlalu.

Lagi-lagi Nadine kalah pada sorotan tajam itu. Macam ni, hati yang hampir meletup pun boleh jadi sejuk.

“Merajuk lagi?”

Diam.

“Duduk, abang nak cakap sikit.”

Nadine menurut. Hati di dalam sudah bolak balik. Susahlah kalau begini. Nadine baru nak merajuk selama 3 hari 2 malam.

“Macam ni, tak payah pakai pemerah pipi dah. Muka Nadine dah cukup merah,” ujar Abu Hanifah ketika menyentuh pipi Nadine.

“Abang jangan nak buat lawak,” bantah Nadine, malu bila ditangkap basah. Padahal memang dia suka bila dipeluk tadi. Rasa selamat dan rasa terus terpujuk.

“Mana ada buat lawak. Abang suka bila pipi ni jadi merah,” luah Abu Hanifah. Kemudian tiba-tiba saja dia melutut. Jari tangan Nadine diraih lalu dielus penuh rasa cinta.

“Being your husband is truly a miracle for me. Only Allah knows how much I love you."

Nadine mengetap bibirnya. Rasa terharu cepat benar menular dalam diri. Lebih-lebih lagi bila bibir Abu Hanifah singgah mengucup tangannya.

“Nadine pun tahu betapa susahnya abang nak lembutkan hati Nadine. Takkanlah abang senang-senang nak biarkan rasa bahagia ni pergi disebabkan Mak Cik Haida. Itu kerja gila namanya. Takkanlah abang nak pilih Mak Cik Haida pula.”

Aduh.. Hati perempuan Nadine semakin terpujuk. Macam mana ni? Nadine sebenarnya nak ajar Abu Hanifah. Tapi belum apa-apa, hatinya lebih dulu sudah terpujuk. Kemudian jantung dan seterusnya otak. Semuanya sudah mengalah.

"Do you trust me?”

Nadine mengangguk tanpa sedar. Kalah pada bahasa tubuh Abu Hanifah.

“Thank you. Asalkan Nadine percaya, abang dah dapat semangat untuk jadi suami paling baik,” balas Abu Hanifah sambil mengulum senyuman khasnya lagi. Setelah itu kepalanya dilentokkan pada pangkuan Nadine.

“Bagusnya dapat manja-manja macam ni. Hilang merajuk. Hilang penat. Hilang rasa cemburu. Sekali-sekala buat Nadine naik angin bagus juga. Abang boleh letak kepala dekat sini. Lepas tu, lagi bagus kalau Nadine sisir rambut abang dengan tangan, kan?” 

Alahai.. Mengada-ngada sungguh ayat Abu Hanifah. Pun begitu Nadine menurut lagi. Rambut hitam Abu Hanifah disisir dengan penuh kasih sayang.

“Sebelah sini pula. Kemudian sini. Dan sini. Sisir dengan rasa cinta ya. Barulah nikmat.”

Terangkat-angkat juga kening Nadine. Rasa geram pun bertandang. Hingga tanpa sedar Nadine menyisir rambut hitam itu dengan kasar.

“Nadine sisir rambut abang kasar-kasar macam ni pun terasa nikmat. Macam ni, tak payah pakai sikatlah. Tangan Nadine dah cukup jadi sikat rambut abang. Boleh tak macam ni?”

“Malaslah Nadine nak layan. Nadine nak masak,” balas Nadine. Pura-pura marah. Dalam hati, Tuhan saja yang tahu betapa Nadine ingin mengulum senyum lebar.

“Masak sedap-sedap sikit. Kalau terlebih garam abang tak nak makan. Hari-hari masin, boleh dapat darah tinggi kalau macam ni.”

“Iyalah, Nadine mana pandai masak. Tak macam Sarah kesayangan abang tu. Tak macam mak cik tercinta abang juga. Nadine ni siapa.”

Hanya tawa Abu Hanifah yang membalas kata-kata Nadine. Sampai berair-air matanya.

“Main-masin pun, abang makan sampai habis apa. Kalau masakan dekat kedai, abang tak sentuh kalau tak sedap. Cuma kalau Nadine yang masak saja abang anggap istimewa. Sebabnya, air tangan isteri abang ni ada magis. Masaklah apa pun, semua abang habiskan.”

Okey, Nadine tak jadi merajuk.

“Abang nak makan apa?”

“Masaklah apa pun. Abang makan.”

“Ikan masin okey?”

“Okey.”

“Telur asin?”

“Okey.”

“Sayur masin?”

Dahi Abu Hanifah sudah pun berkerut-kerut. Semua pun masin, Nadine sengajalah tu.

“Jangan nak mengada-ngada. Buat telur dadar dengan sayur kacang panjang goreng saja. Lepas tu kalau ada sup kosong pun bagus juga.”

“Senangnya nak masak. Betul ke ni?”

“Betullah. Nak buat macam mana, isteri abang ni pandai masak itu saja buat masa sekarang. Kalau abang minta ayam tandoori, nanti isteri abang ni buat ayam ‘hangusi’ pula.”

Serta-merta muka Nadine berubah cemberut. Hilang segala riak nakal pada wajahnya bila disindir secara halus begitu.

“Tapi itulah, ayam ‘hangusi’ pun abang telan. Sebab apa saja yang isteri abang masak, semuanya istimewa dengan rasa yang tersendiri.”

Percayalah, Nadine melangkah menuju ke ruang tamu dengan senyuman tidak lekang di bibir. Abu Hanifah itu kan, pandai pujuk hati Nadinelah. Macam ni, Nadine nak merajuk selalulah. Boleh selalu dipujuk.




SATU jam setengah kemudian, meja makan sudah dihiasi dengan telur dadar dan juga sayur kacang panjang goreng. Sup? Hurm.. Sup tak ada sebab terlebih masin tadi. Jadi hanya air kosong yang dijadikan sebagai kuah.

“Nadine minta maaf. Nadine selalu buat abang kecewa bila masak. Ada saja yang tak kena. Kalau bukan hangus, masin.”

“Tak ada apalah. Abang tak kisah pun. Abang dah syukur sangat kita cukup makan macam ni. Negara miskin lain, nak jumpa nasi pun payah.”

“Nadine risau mak tanya kenapa abang kurus.”

“Abang kurus tak apa. Jangan Nadine yang kurus. Nanti abang tak tahu nak jawab apa dengan ibu.”

Sumpah, Nadine seperti mahu menangis mendengar kata-kata Abu Hanifah. Kalau begini, Nadine mahu lekas-lekas pandai masak.

"Nadine tak pernah nak suap abang, kan?" beritahu Abu Hanifah tiba-tiba. Mematikan segala lamunan Nadine yang panjang.

Nadine mengangkat wajah. Sepasang matanya tidak berkelip menyorot Abu Hanifah.

"Abang perasan tak, perangai abang pelik sangat semenjak akhir-akhir ni? Sekarang tiba-tiba nak minta suap pula."

"Pelik ke? Abang rasa biasa saja. Lagipun masa dekat rumah inilah nak bermanja-manja dengan isteri sendiri. Dekat tempat kerja mana ada Nadine. Kalau ada, boleh juga abang nak manja-manja."

Meremang juga bulu roma Nadine. Memang perangai Abu Hanifah sangat pelik.

"Macam mana kalau abang beri pilihan dan Nadine pilih. Boleh?"

"Pilihan apa?"

"Abang nak minta Nadine suap abang. Jadi, abang beri Nadine pilihan. Tak adalah nanti Nadine kata abang ni paksa-paksa pula."

"Cakaplah."

"A = Nadine setuju nak suap abang. B = Nadine pilih opsyen A. Dan C = Nadine pilih opsyen B. Antara opsyen A, B dan C, Nadine pilih mana?"

"Ulang sekali lagi??"

"A = Nadine setuju nak suap abang. B = Nadine pilih opsyen A. Dan C = Nadine pilih opsyen B. Antara opsyen A, B dan C, Nadine pilih mana?"

Nadine mengecilkan sepasang matanya. Mulalah Nadine rasa macam nak cubit saja Abu Hanifah.

“Itu bukan pilihan. Itu lebih kepada mandatori.”

“Tak kisahlah. Cepat beri jawapan. A, B atau C.”

“Jangan nak mengada-ngada.”

“Mengada-ngada apa pula. Abang beri pilihan kut. Kalau susah sangat, abang tolong pilihkan. Abang pilih opsyen C.”

Tidak sampai lima saat, Abu Hanifah sudah berada di sisi Nadine. Menyorot Nadine dengan lembut seraya mengangakan mulutnya.

Separuh rela Nadine menurut. Tatkala melihat wajah ceria Abu Hanifah, separuh hatinya yang kurang rela tadi, mendadak jadi rela.

“Lauk yang Nadine masak ni sedap. Bila Nadine tolong suap, bertambah sedap jadinya. Macam ni, abang nak suap hari-hari jugalah.”

“Amboi! Tadi nak Nadine jadi tukang sikat. Sekarang jadi tukang suap pula.”

“Iyalah sayang. Takkan abang nak suruh Mak Cik Haida pula.”

Berubah lagi air muka Nadine.

“Okey, Nadine buat. Jangan sebut-sebut lagi nama mak cik tu.”

Terukir dengan jelas senyuman penuh makna Abu Hanifah. Nampaknya, Abu Hanifah ada modal nak usik Nadine.

“Kalau mandi sama?”

“Mandi sama?” ulang Nadine.

Tanpa ampun lagi, jari tangan Nadine sudah mendarat di lengan Abu Hanifah. Selepas itu, macam biasalah. Terdengar alunan suara Abu Hanifah mendendangkan lagu bertajuk ‘Aduh’. Dengungnya sempurna. Cuma harakatnya saja yang terlebih.




**
#DOA CINTA SEORANG LELAKI (DCSL) sudah berada di kedai buku berhampiran. 
#PERSEMBAHAN DARI HATI hanya sambungan cerita ini dengan beberapa tambahan bab awal. Plot tak sama. Takkan jumpa dalam versi asal dan ada sambungan betul-betul lepas 'check in'.  Jadi kalau belum baca #DCSL, cepat2 dapat kan :))

Latest teaser 'n' updates. REQ. GROUP;
https://www.facebook.com/groups/584073261660707/



18 comments:

  1. Replies
    1. Hihihi.. PK pun da naek jeles dgn NQ ni ha.. Ngee

      Delete
    2. AH pilih je la sy. tak payahh susah :) hahaha. bole tak PK ?

      Delete
    3. Brsiap sedialah nk kene jelingan dgn nq.. Ekeke

      Delete
  2. Abam abu sgt romantik...sooo suwitttt

    ReplyDelete
    Replies
    1. PK pun dah cair mcm eskrem sundae ni ha.. Ngeh3

      Delete
  3. Oh AH...buat den semakin nanar...
    Lagi PK...💖

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sabor yorrr.. Perjalanan masih jauh ni.. Mua3

      Delete
  4. Hehehe bestttt sangat, sweet giler si abu ni

    ReplyDelete
  5. Naknmarah pun tak jadi...nak merajuk terpujuk. Abu ni baik sgt. Jangan sampai terkena sudahlah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nk wat acaner.. Mmg ah tu trlebey baek hati........

      Delete
  6. Selalunya ai akan mitak my abam abu suapkan aii makan..
    Heheehehe
    Ngeri sungguh dgn makcikhaida ni..

    ReplyDelete