Wednesday, 29 January 2014

#ceriBERI - Tentang Mimpiku (Bhg.08)



Siti Aminah sudah terpegun. Sejak tadi dia tidak bergerak-gerak langsung. Hanya matanya yang menyorot tajam rumah kayu di hadapannya sekarang ini. Sempat dia menoleh pada kakaknya yang tercinta.

​“Kita nak tinggal kat rumah ni ke kak? Macam nak roboh saja Amy tengok. Kalau hujan lebat dan kebetulan pula angin kencang, boleh terbang semua atap rumah ni. Silap haribulan, dengan kita-kita sekali ikut terbang. Masuk berita muka Amy ni nanti.”

Amboi.. Manisnya bahasa Siti Aminah. Insaf sikit wahai Siti Aminah. Sekarang kamu papa kedana. Jadi jangan asyik merungut itu dan ini. Terima segalanya dengan redha dan hati terbuka.

Macam mana nak redha dan hati terbuka kalau keselamatan diri pun belum pasti! Kalau ribut petir melanda macam mana?

“Takkan robohlah. Amy jangan risau ya!”pujuk Jamie.

“Hah! Tengok atap tu, macam nak diterbangkan angin saja. Hish! Amy takutlah. Kakak serius ke nak kita semua tinggal kat sini?”aju Siti Aminah terus. Jelas pada wajah itu sejuta rasa ragu untuk menetap di rumah tersebut.

​“Masya-Allah! Pondok apa pula kat tepi rumah tu? Reban ayam ke?”soal Siti Aminah seperti baru terkena histeria.

Jamie mengerling adiknya. Banyak celoteh pula si Siti Aminah ini. Silap haribulan ada juga mulut yang diplaster nanti.

“Bukan reban ayam. Tapi bilik mandi.”

“Apa?! Bilik mandi? Macam mana ni? Amy tak boleh hidup kat rumah yang tandas di luar. Kalau malam-malam sakit perut macam mana? Takkan nak buang air besar dalam plastik. Amy tak rela."

​Untuk kesekian kalinya Jamie mengerling adik bongsunya. Dalam hati dia mengomel geram dengan sikap adiknya yang sudah terbiasa hidup mewah itu.

​“Jaga perangai tu, Amy. Kita sekarang hidup menumpang. Tak boleh lagi hidup macam dulu. Apa yang ada, kita terima. Dengan keadaan kita sekarang, kita tak layak nak demand. Kita ni orang menumpang."

​“Amy faham semua itu, kak. Tapi tengoklah keadaan rumah ni. Macam rumah tinggal saja Amy tengok. Kalau tengok dari jauh, macam rumah hantu pun ada. Rumah ni dah tak sesuai orang tinggal. Bahaya!”

​“Jangan cakap macam tu lagi. Mak Long sudi terima kita tinggal dengan mereka pun dah kira baik. Atau Amy prefer tidur kat bawah jambatan?”selar Jamie. Sempat dia mengerling ibunya. Sejak tadi ibunya yang tersayang itu memilih untuk berdiam diri.

​Siti Aminah mendiamkan diri. Lantas tanpa sepatah kata dia menolong mengeluarkan beg mereka daripada bonet teksi. Namun jelas terpancar rasa kurang senang untuk tinggal di rumah tersebut.

​“Haris! Mak Lang dengan sepupu kamu semua dah sampai!”

​Lengkingan suara nyaring itu membuat semua penumpang teksi tersebut memberikan tumpuan pada sang empunya suara. Berdiri di anak tangga terakhir Mak Long Shamsiah dengan senyuman lebar di bibir.

​Tidak lama kemudian, anak lelaki tunggal Mak Long Shamsiah keluar dari pintu dapur. Lelaki awal 30-an itu langsung saja meluru untuk bersalaman dengan ibu.

​Langkah Siti Aminah mendadak saja terhenti. Mukanya ikut berseri-seri. Sekarang sepasang matanya sudah melekat pada wajah abang Haris. Tidak boleh dialih lagi.

​“Amy tarik balik semula kata-kata Amy tadi. Amy sudi tinggal kat rumah ni,"luah Siti Aminah sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk.

​“Hah? Betul ke ni?"aju Jamie semula dengan muka pelik.

​“Serius. Amy takkan cakap apa-apa lagi.”

​“Cepatnya Amy ubah fikiran.”

​“Kalau kakak beritahu awal-awal abang Haris tu kacak, Amy takkan banyak cakap. 
Jadi semua ini salah kakak. Lain kali kenalkan Amy terus dengan abang Haris."

​“Macam itu pun boleh?”

​“Mestilah boleh!”

Boleh tahan juga perangai ‘gedik’ si Siti Aminah ini. Tadi bukan main lagi dia tidak sudi tinggal di rumah Mak Long. Tapi selepas abang Haris muncul, terus fikiran Siti Aminah berpusing 360 darjah!

​“Terima kasih kak sebab sudi terima saya anak beranak kat rumah ni. Saya ni dari dulu sampai sekarang hanya tahu menyusahkan keluarga saja."

​Begitu kata-kata ibu sebaik saja tubuhnya didakap erat oleh Mak Long Shamsiah.

​“Jangan cakap macam tu. Kita kan adik beradik. Kamu tak pernah menyusahkan kakak pun. Kakak pun tengah marah lagi ni. Sepatutnya kamu datang rumah kakak awal-awal lagi. Bukan tunggu selepas berbulan-bulan. Mulai sekarang, kakak nak kamu sekeluarga mulakan hidup baru kat sini. Kakak suka sangat kalau rumah ni meriah dengan suara kamu anak beranak. Kata orang putih, the more the merrier.”

​“Ha.. Jangan fikir orang kampung tak tahu speaking London, Amy. Tengok je la Mak Long tu. Jadi jangan nak pandai-pandai pandang rendah orang lain. Don’t judge a book by it’s cover my dear Amy,”bisik Jamie. Hatinya senang dapat membuat wajah comel Siti Aminah berubah menjadi cemberut.

​“Gedik kakak ni,”tempelak Siti Aminah sebelum ikut mendekati Mak Long Shamsiah. Meninggalkan Jamie dengan Abang Haris menyelesaikan tugas memungah barang.

​“Terima kasih, abang Haris."

​Haris merenung sekilas sepupunya. Kali terakhir dia melihat sepupunya itu sewaktu Jamie berangkat ke London untuk meneruskan pengajian di bidang kedoktoran di sana. Dan kini setelah empat tahun berlalu, gadis polos tapi becok mengusik yang pernah di kenalinya dulu sudah bertambah cantik. Sayangnya sifat ‘becok’ gadis itu sudah pupus entah ke mana. Yang jelas Jamie lebih banyak membisu sekarang.

​“Abang cuma tolong angkat beg ni saja. Bukan abang beri sumbangan besar pun,”balas abang Haris sambil mengulum senyum tipis.

​“Abang tahu bukan yang tu maksud Jamie, kan?”

"Perkara kecil. Tak payahlah asyik ulang-ulang cakap. Abang cuma nak Jamie dengan Mak Lang hidup lebih tenang."
​Hanya senyuman lebar yang mampu Jamie hadiahkan pada abang Haris. Kemudian dia sudah bergerak menghampiri pemandu teksi tadi untuk membayar tambang.

​Namun hasratnya terhalang bila abang Haris yang terlebih dulu mengunjukan wang tambang kepada pemandu teksi tersebut. Berkerut-kerut dahi Jamie.

​“Abang buat Jamie makin dihimpit rasa bersalah,”keluh Jamie akhirnya. Jauh di relung paling dalam dia sedikit berat hati bila abang Haris yang membayar tambang teksi tadi.

​“Tak payahlah nak rasa terhimpit. Tak ada maknanya Jamie. Kita kan satu keluarga, jangan la berkira sangat dengan abang. Isu ni kita tutup. Yang penting sekarang abang dapat selalu lihat senyuman Jamie. Senyuman Jamie tu boleh buat abang bahagia. Abang cakap betul ni. Abang tak bohong."

"Abang Haris, apa kata mulai saat ni abang panggil Jamie dengan nama Siti,"pinta Jamie tiba-tiba.

"La.. Kenapa pula? Nama Jamie tak elok ke?"

​Jamie ketawa kecil. Pendekatan yang diambil oleh abang Haris sedikit mencuit hatinya yang sudah lama membeku untuk ketawa senang. Pandainya abang Haris ambil hati Jamie.

​“Nama Jamie tu macam tak sesuai dengan Siti. Jamie tu lebih sesuai untuk orang kaya. Bukan miskin macam Siti ni. Hidup pun menumpang kat rumah abang.”

​“Merepek la Siti ni. Macam tu pun boleh jadi alasan ke?"

"Panggil Jamie dengan nama Siti sekarang. Please abang Haris,"pinta Jamie untuk kesekian kalinya.

Sepi seketika.

"Biar abang cakap terus terang juga ya. Sebenarnya abang pun lebih suka nama Siti daripada Jamie. Bila abang bahasakan diri Siti dengan nama Jamie, abang rasa macam Siti ni orang lain. Langsung tak rapat dengan abang.”

​“Pasal tu la Siti nak keluarga Siti panggil dengan nama Siti.”

​Abang Haris ketawa mengekek. Lucu bila Jamie menyebut namanya sebanyak tiga kali dalam satu ayat.

​Jamie mengetap bibirnya kuat-kuat.  Geram bukan main hatinya bila abang Haris ketawa mengekek. Entah apa yang lucu dia sendiri tidak tahu.

​Lalu tanpa sedar, pertemuannya dengan abang Haris seminggu lalu kembali terimbas. Pada saat semua keluarga belah ayah dan ibunya menjauh, rupanya masih ada yang prihatin pada apa yang telah menimpa keluarga Jamie.

Kehadiran abang Haris pada petang Jumaat itu adalah rahmat Allah yang sangat Jamie tunggu. ​Tanpa meminta sebarang balasan, lelaki itu telah melangsaikan segala hutang ayah dengan Along. 

Percayalah, Jamie sangat terharu dengan pertolongan daripada abang Haris dan Mak Long Shamsiah. Kalau mereka berdua tiada, entah apalah yang menimpa Jamie sekeluarga.

​“Terima kasih, abang Haris. Sampai mati pun Siti takkan lupa semua pertolongan abang Haris pada kami," luah Jamie. Begitu perlahan, cukup untuk didengari oleh abang Haris saja.

​Kening abang Haris sudah terangkat-angkat.

​“Terima kasih sebab muncul dalam keluarga kami. Terima kasih sebab tolong kami bila kami dah tak ada siapa-siapa lagi."

​“Sudah-sudahlah tu kakak. Kakak nak berborak dengan abang Haris sampai bila? Nanti-nanti kan boleh borak lagi.”

​Siti Aminah sudah menyampuk dan langsung saja di balas tawa panjang Mak Long Shamsiah dan ibunya sendiri.

​Jamie  menjeling adiknya. Geram di hati hanya Tuhan saja yang tahu.

​“Memang nak kena Amy tu,”gerutunya sendiri seraya menghayun langkah memasuki rumah pusaka usang itu. Hari ini dia sudah berjanji pada dirinya sendiri untuk membuka lembaran baru.

Segala kisah hitam yang melanda keluarganya akan dilupakan. Percayalah, kalau boleh Jamie ingin kisah hitam itu terpadam terus dari ingatannya! Dia ingin menjadi Jamie yang dulu dengan nama baru. Dia ingin menjadi Siti Jamilah yang selalu ceria! Yang selalu petah berkata-kata!


Nota PK : Macam biasa, bersambung lagi ~~~


3 comments:

  1. Best cerita nie harap bersmbung cepat skit.. X sabaq nk tau kisah Hayyi..

    ReplyDelete