Thursday 16 January 2014

#ceriBERI - Tentang Mimpiku (Bhg.04)



“Oooiiiiiiii! Tunggulah! Nak pergi mana tu? Jangan lari kuat sangat!”jerit Hayyi sambil ketawa berdekah-dekah saat melihat itik yang dikejar lari susup sasap menyelamatkan diri. Halaman luas lengkap dengan rumput permaidani itu kini riuh rendah dengan suara tawa Hayyi, berselang seli dengan suara itik putih yang seolah-olah menjerit minta tolong supaya tidak dikejar.

“Tunggu! Tunggu aku! Kenapa lari laju sangat ni?”jerit Hayyi tanpa henti. Hatinya sedikit geram bila masih gagal menangkap itik putih yang baru dibeli ibunya petang semalam. Itupun setelah puas dia merengek.

“Bencilah itik ni! Bukan nak tunggu aku pun. Jahat betul!”gerutu Hayyi setelah kelelahan mengejar kepantasan itik putih tersebut.

“Sudahlah tu, Hayyi. Mari sini dekat ibu. Kita sarapan sama-sama ya,”pujuk sang ibu dari beranda rumah. Sejak tadi matanya mengekori segala gelagat Hayyi.

“Tak nak! Hayyi nak tangkap itik ni dulu. Itik ni jahat sangat. Itik ni tak nak kawan pun dengan Hayyi.”

Alahai Hayyi.. Kenapa perangai macam budak-budak tadika ni? Dengar cakap ibu kamu itu. Kamu tak kasihan dengan ibu kamu ke?

Sikit pun tak. Sudah! Jangan kacau aku lagi. Aku ada misi nak tangkap itik ni. Wahai itik jahat, bersiap-sedialah. Aku akan tangkap kau dalam masa lima minit!

“Sarapan dulu. Kemudian baru sambung tangkap itik tu,”pujuk sang ibu tua itu tanpa jemu. Sayangnya Hayyi tetap dengan usahanya untuk menangkap itik putih yang malang itu.

Nasib kaulah itik. Kau sudah ditakdirkan untuk menjadi teman bermain Hayyi. Layankan saja.

“Aha, lepas ni kau takkan dapat lari lagi,”ujar Hayyi kuat, kemudian kembali ketawa panjang. Sesekali dia melompat girang. Lagaknya tidak ubah seperti anak kecil yang baru berusia lima tahun.

Semakin kencang itik putih itu berlari, semakin bersemangat Hayyi mengejarnya.Tidak lelah meski harus merempuh rimbunan pokok bunga kertas ibunya. Tidak peduli meski duri pokok bunga kertas tersebut mulai melukai kulit tangan dan wajahnya.

“Pak Mat, tolong saya paksa Hayyi ke sini. Habis luka kulitnya nanti terkena duri pokok bunga,”arah puan Sharifah pada tukang kebunnya.

Kalau tadi hanya Hayyi dan itik putih itu saja yang saling berkejaran, kini Pak Mat sudah pun menyertai kumpulan kejar-mengejar tersebut.

“Hayyi, jangan lari laju sangat. Pak Mat tak larat nak kejar.”

“Pakcik tak payahlah kejar. Pakcik duduk diam-diam tengok Hayyi tangkap itik putih ni ya.”

“Nanti habis luka kulit Hayyi kena duri pokok-pokok bunga kat sini.”

“Itik tu tak sakit pun kena duri pokok!”

Pak Mat sudah menepuk dahi. Kalau begini, sampai ke sudah pun dia tidak akan berjaya memujuk Hayyi untuk makan sarapan.

Lantas dia sengaja menunggu Hayyi melintas di depannya, kemudian tanpa ampun lagi dia menerkam Hayyi.

“Makan sarapan dulu. Kemudian baru main dengan itik putih tu lagi.”

“Tak mahu! Hayyi tak mahu sarapan. Hayyi nak main dengan itik putih tu lagi!”jerit Hayyi sambil meronta sekuat hati.

Apabila dia gagal melepaskan diri. Lengan Pak Mat terus di gigit kuat. Terpekik-pekik Pat Mat dibuatnya minta dilepaskan.

“Pak Mat kalah,”balas Hayyi selamba sebelum kembali mencari itik putih tadi.

“Minta maaf, puan. Saya tak dapat bawa Hayyi ke sini,”luah Pak Mat sebaik saja berada di depan Puan Sharifah.

“Tak mengapalah, Pak Mat. Pak Mat pergi rawat bekas gigitan Hayyi tu dulu. Takut melarat nanti.”

“Sikit saja ni. Hayyi tak gigit saya sampai berdarah.”

Begitu penjelasan Pak Mat sebelum keduanya kembali memberi tumpuan pada aksi Hayyi.

“Mana kau nak lari lagi ha?”soal Hayyi sendiri setelah menemui tempat persembunyian itik putih tersebut. Kemudian dia ketawa sepuasnya. Langsung tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku disekelilingnya. Saat ini dia sangat bahagia. Saat ini dia cukup gembira.

Berdecit bunyi itik putih itu ketika tubuh kecilnya berjaya ditangkap oleh Hayyi. Tanpa membuang masa, Hayyi segera mencium itik tersebut sebelum mengusap bulunya. Kemudian itik tersebut dilepaskan sebelum kembali dikejar.

Halaman banglo dua tingkat itu kembali riuh. Nampaknya sepanjang hari ini Hayyi pasti menghabiskan masanya mengejar itik putih malang itu.

“Hayyi, sudahlah. Tak kesian ke dengan itik tu?”aju Puan Sharifah. Kepalanya digeleng tanda kesal. Anak bujangnya segera digamit.

Larian Hayyi mendadak saja terhenti. Lambat-lambat dia berpaling. Wajah ibunya disorot cukup tajam. Sedetik berlalu dia meluru ke arah ibunya sambil menghentakkan kaki dengan keras. Tanda protes terhadap arahan ibunya.

Wajahnya masam mencuka. Muncungnya panjang sedepa. Kini dia berdiri betul-betul di hadapan ibunya.

“Kenapa pandang ibu macam tu?”tanya Puan Sharifah. Sedikit gugup dengan sikap anak bujangnya. Dan dia nyaris menjerit saat Hayyi menarik tangannya lalu ikut berlari mengejar itik putih tadi.

Pak Mat yang sejak tadi menjadi pemerhati ikut terperanjat. Tergopoh-gapah dia mengejar Hayyi dan juga Puan Sharifah.


“Hayyi, lepaskan tangan puan. Kasihan dengan puan. Puan tak larat tu,”pinta Pak Mat berkali-kali. Namun hanya ketawa besar Hayyi yang membalas permintaan Pak Mat.


#bersambung yer.. 

6 comments:

  1. hayyi ni mental ke atau autistik ni???? hihihi... - jumay jue

    ReplyDelete
  2. Oh seksa baca entry pendek2 ni pk...:p
    Tapi kenapa hayyi jd mental plak ni..apa motipnya

    ReplyDelete
  3. Oh...apakah hayyi saja wat perangai cenggitu utk menguji hati seseorang?

    ReplyDelete
  4. Hayyi ni kenape? saja buat mental ke apa? Tp naper semua n3 ni pendek?

    ReplyDelete