Wednesday 15 January 2014

#CeriBERI - Tentang Mimpiku (Bhg.03)



Suasana sibuk menyelubungi ruang legar Hospital Tawakkal yang masih berdiri
kukuh di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Orang ramai kelihatan berpusu-pusu memasuki hospital yang telah berdiri gah selama 25 tahun itu.

Di satu bilik, rasa cemas masih menghantui sekeping hati seorang ibu tua. Pilu di hati ibu tua itu tidak tertanggung lagi setiap kali sepasang mata tuanya meleret pada wajah pucat anak lelakinya.

Jari tangannya sudah menyentuh tangan Faris Hayyi yang dingin. Tangan anak lelakinya itu dielus lembut. Berdoa dengan sejuta harapan Hayyi akan segera membuka mata.

“Buka mata, Hayyi. Hayyi dah tidur lama sangat. Buka mata ya?”lembut saja suara ibu tua itu memujuk anaknya supaya lekas bangun.

Sepi. Langsung tiada sebarang tindak balas daripada Hayyi. Hayyi masih lagi tidur dengan nyenyak. Hayyi enggan bangun. Hayyi enggan memujuk hati ibunya yang gundah. Dia memilih untuk tidur dan bebas daripada belenggu dunia.

“Hayyi..”seru sang ibu terus. Begitu sayu dan perlahan. Begitu mencengkam jiwa tuanya yang lara. Dia hanya ingin Hayyi lekas-lekas sedar dan kembali pada pangkuan keluarga.

“Hayyi,”panggil sang ibu lagi, lebih kuat dari sebelumnya. Renungan matanya kian redup.

“Hayyi tak kasihan dengan ibu ke? Ibu tak sanggup tengok Hayyi dalam keadaan macam ni. Hati ibu sakit sangat. Buka mata Hayyi! Buka mata sekarang!”jerit ibu tua itu. Dia sudah gagal mengawal emosi yang berkecamuk.

“Sabar makcik. Bawa bertenang. Nanti Hayyi pasti akan buka mata,”pujuk doktor Danish. Risau juga hatinya melihat kedaan ibu Hayyi.

Hanya esakan yang membalas kata-kata pujukan doktor Danish. Agak lama ibu tua itu berkeadaan begitu sebelum kembali mengelus lembut rambut anak lelakinya.

“Ibu datang. Tolong buka mata sayang,”lanjut sang ibu tua itu kemudian. Masih
memujuk anaknya supaya segera bangun. Doktor Danish di sisinya sudah lama memicit dahi.

Fikirannya ikut berkecamuk.

“Buka mata sayang. Kita balik rumah ya. Ibu masak semua lauk kegemaran Hayyi. Ibu janji. Ibu pun takkan marah-marah atau paksa Hayyi lagi buat perkara yang Hayyi tak suka. Buka mata sekarang ya,”lanjut ibu tua itu. Sayangnya Hayyi masih tetap kaku. Langsung tidak peduli pada segala kata pujukan ibunya saat ini.

“Hayyi, buka mata sayang. Jangan buat ibu risau. Ibu merayu sangat, Hayyi bukalah mata. Ibu tak sanggup ditinggalkan,”luah ibu tua itu terus pada anaknya yang tercinta. Tubuh tuanya terhingut-hingut menahan tangis yang kembali meletus.

“Hayyi...”panggil ibu tua itu tanpa jemu.

“Hayyi..”panggil ibu tua itu sekali lagi. Begitu lirih. Begitu mencengkam perasaan.

Doktor Danish merenung pada jururawat yang bertugas di sampingnya. Hatinya
juga tidak yakin dengan keputusan yang telah diambil. Dan percayalah, rasa bersalah sudah mengekorinya terus!

“Doktor,”panggil jururawat di sisinya. Wajah jururawat muda itu kelihatan tegang sekali. Sebenarnya dia juga tidak sanggup. Tapi doktor Danish sudah merayu meminta tolong. Dia tidak berdaya untuk berkata tidak pada permintaan doktor Danish.

“Saya minta maaf, Ain. Saya dah libatkan awak dalam hal ni.”

“Doktor Danish jangan risau. Biar pecah di perut. Jangan pecah di mulut,”balas Ain sambil mengukir senyum. Sekadar untuk melunakkan hati doktor Danish. Padahal hatinya sendiri sudah dilanda tsunami. Risau! Bimbang! Takut! Semuanya bersatu menjadi satu rasa yang menyusahkan hati dan minda.

Doktor Danish menganggukkan kepalanya. Sekilas dia mengerling Hayyi. Nafasnya di hela, cukup panjang. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan.

Aku sahabatmu dunia akhirat. Tapi aku tak sanggup menipu begini, Hayyi. Aduh..

Permintaan Hayyi sudah membuat hidupnya tunggang langgang.

Sungguh, dia sangat keliru dengan keputusan yang telah dia ambil. Keputusan yang bakal menghancur luluhkan hati seorang ibu tua. Namun apalah yang mampu dia lakukan.

Sebagai teman baik Hayyi, dia sentiasa menginginkan yang terbaik buat temannya itu.

“Bangun, Hayyi. Ibu kata bangun!”jerit Puan Sharifah setelah gagal mengawal
emosinya untuk kali kedua. Kali ini tubuh kaku Hayyi turut digoncang dengan keras. Hampir saja tubuh Hayyi jatuh kalau tidak segera di halang oleh doktor Danish.

“Bawa mengucap, makcik. Percayalah cakap saya, Hayyi pasti akan bangun,”pujuk doktor Danish. Dia sudah menarik tubuh tua Puan Sharifah. Kemudian di dudukkan pada sofa yang setia menanti.

“Bila? Bila Hayyi akan buka mata, Danish? Makcik cuma nak tahu bila?”

Doktor Danish menghela nafas panjang. Tangan tua ibu Hayyi digenggam erat.

“Danish sebagai doktor pun tak dapat beri jawapan. Macam mana makcik tak
risau,”ujar Puan Sharifah sebelum mengongoi sepuas hati. Pandangannya berbalam-balam.

Hatinya gelisah memikirkan keadaan kesihatan Hayyi.

“Bertenang, makcik. Hayyi selamat. Insya-Allah, dia akan buka mata. Makcik beri Hayyi sedikit masa,”lanjut doktor Danish lagi.

“Macam mana dengan keadaan Hayyi, Danish? Hayyi sihat, kan? Lepas dia buka mata, dia sudah boleh pulang, kan?”tanya Puan Sharifah bertalu-talu.

Hanya keluhan kecil yang lahir dari bibir doktor Danish. Renungannya silih berganti antara Hayyi yang masih terbaring kaku di katil hospital dan juga Puan Sharifah. Hatinya sedikit ragu untuk mencari kata pemula paling sesuai untuk menerangkan keadaan sebenar Hayyi.

Alahai.. Sulitnya mahu menuturkan satu pembohongan! Maafkan saya, makcik. Saya cuma mengikuti permintaan seorang teman.

“Kenapa diam saja ni, Danish? Jawablah pertanyaan makcik ni! Bila Hayyi akan sedar?”desak Puan Sharifah bila doktor Danish masih memilih untuk berdiam diri. Kemudian renungan mata Puan Sharifah beralih pada jururawat yang berada di sisi doktor Danish.

Ain meneguk liurnya sendiri. Berusaha sebaik mungkin untuk kelihatan tenang.

Susah kalau pembohongan mereka terbongkar!
“Hayyi sihat, kan? Dia akan ingat makcik semula, kan?” aju Puan Sharifah. Berat
hatinya untuk menerima hakikat Hayyi langsung tidak mengenali dirinya sewaktu sedar tadi.

“Hayyi akan sedar tak lama lagi,”balas Ain akhirnya. Suaranya sedikit gugup. Sempat dia merenung doktor Danish, meminta pertolongan daripada lelaki itu.

Kalau Puan Sharifah terus mendesak, Ain bimbang dia akan memberitahu perkara sebenar.

“Tapi mungkin Hayyi tidak seperti dulu lagi,”beritahu doktor Danish. Begitu
berhati-hati supaya tidak menyinggung perasaan ibu tua itu.

Diluar kawalan fikiran, Puan Sharifah menggenggam erat lengan doktor Danish.
Jelas dia menginginkan penjelasan lebih lanjut.

“Apa maksud Danish ni? Makcik tak faham. Cuba jelaskan dengan lanjut.”

Danish hela nafas panjang. Perlahan-lahan dia mendorong tubuh tua ibu teman baiknya untuk mengambil tempat pada kerusi yang disediakan.

“Makcik masih tak faham. Tolong jangan beritahu makcik Hayyi hilang ingatan. Makcik tak boleh terima,”ujar Puan Sharifah.

Nampaknya suaranya Puan Sharifah sudah berubah serak menahan tangis yang hampir meletus. Sekilas dia merenung sekujur tubuh kaku Hayyi. Pilu di hati hanya Tuhan saja yang tahu. Percayalah, hatinya tidak kuat untuk menerima dugaan seperti ini.

“Saya minta maaf makcik. Tapi itulah yang berlaku. Gegaran yang berlaku di
kepalanya sudah menyebabkan Hayyi mengalami amnesia yang kami kategorikan sebagai jenis am”

“Amnesia? Tapi Hayyi tetap akan kenal makcik, kan?”pintas Puan Sharifah.

“Begini makcik. Amnesia jenis am mengakibatkan ketidak upayaan pesakit mengingati keseluruhan peristiwa dalam hidupnya. Hayyi tak dapat mengingati fakta-fakta peribadi seperti nama dan asal usul seluruh peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. ”

Puan Sharifah mengucap panjang. Kepalanya digelengkan berulang kali. Amat payah untuk hati tuanya menerima segala penerangan doktor Danish. Tidak mungkin Hayyi lupa pada dirinya! Tidak mungkin Hayyi lupa pada ibu yang telah melahirkan dan membesarkannya!
“Ada satu perkara lagi saya nak beritahu makcik pasal keadaan Hayyi. Saya harap makcik bertenang.”

Lekas-lekas Puan Sharifah menyorot doktor Danish.

“Semalam Hayyi ada sedar sekejap. Dan dia..”

“Dan dia apa? Kenapa tak beritahu makcik awal-awal?”

“Saya bimbang makcik tak dapat terima perubahan Hayyi.”

“Apa maksud Danish ni? Kenapa dengan Hayyi? Apa yang berubah?”

Sepi seketika.

“Jawab pertanyaan makcik, Danish. Kenapa dengan Hayyi? Hayyi sakit apa? Beritahu makcik sekarang. Makcik sanggup bayar berapa sekalipun rawatan perubatan, asalkan Hayyi selamat.”

“Duit bukan lagi masalah, makcik.”

“Habis itu? Apa yang kurang lagi?”

“Begini, makcik. Saya harap makcik bawa bertenang dan bersabar. Ini semua dugaan.”

“Jangan buat makcik tambah risau. Cerita saja,”desak Puan Sharifah.

Doktor Danish mengeluh berat.

“Hayyi perlu menerima rawatan mental.”

Mendadak Puan Sharifah bangun daripada kerusinya.

“Ra.. Rawatan mental?”

Lambat-lambat doktor Danish mengangguk.

“Kenapa Hayyi mesti dapatkan rawatan mental? Jawab pertanyaan makcik ni sekarang!”tekan Puan Sharifah dengan suara yang agak keras. Jelas dia sangat terkejut mendengar ayat ‘rawatan mental’ meniti di bibir Doktor Danish.

Selepas itu tubuhnya sudah menjadi seringan kapas. Lututnya sudah tidak berupaya untuk menampung beban tubuhnya. Pandangannya berubah gelap.

Sayup-sayup dia mendengar suara Danish memanggil namanya dan juga jururawat yang bertugas. Percayalah, dia enggan mendengar penjelasan Doktor Danish tentang ‘rawatan mental’. Hati tuanya tidak sanggup. Benar-benar tidak sanggup.


Hayyi tidak gila. Tidak mungkin anaknya gila!


#bersambung lagi..

5 comments:

  1. PK... Danish tu komplot dgn hayyi ke yg hayyi tu mental? Ni kena ulang bc btl2 ni...huhu - jumay jue

    ReplyDelete
  2. Lalalalalalalalalalalalala.. No comment! Lililililililili ;D

    ReplyDelete
  3. Isy isy isy makin vanyak kemusykilan timbul yg akan buat sy nak mintakkkkkkk lagiiiiiiiiikk kat pk yg baik hati ni...hehehe

    ReplyDelete